Mesyuarat Agung PIBG SMK Taman Perumahan Bedaun Tahun 2021
Labuan, 10 April – SMK Taman Perumahan Bedaun (SMK TPB) telah melaksanakan Mesyuarat Agung PIBG bagi tahun 2020/2021 dengan Norma Baharu secara atas talian Google Meet bertempat di kediaman masing-masing. Mesyuarat yang dijalankan bermula jam 9.00 pagi hingga 11.50 pagi itu turut dihadiri oleh Pegawai Angkat Sekolah, Encik Mohd. Firlii Firzuan Lee Abdullah, ibu-bapa dan guru-guru SMK TPB. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YDP PIBG SMK TPB iaitu En. Peter Wong.
Seramai 120 orang ibu bapa dan guru telah telah menghadiri mesyuarat ini secara atas talian termasuk juga melalui saluran FaceBook SMK TPB yang disiarkan secara langsung kepada ibu bapa bagi yang tidak dapat mengikuti secara Google Meet.
Pengetua SMK TPB, Encik Ag. Rozlan b. Manan dalam ucapannya berkata reputasi sekolah selama dua tahun telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dari aspek kurikulum mahupun kokurikulum. Selain itu, pihak sekolah sedang giat menjalankan kerja-kerja naik taraf beberapa fasiliti dan penyelengaraan bangunan sekolah agar menjadi lebih kondusif dan selamat kepada warga sekolah khususnya murid-murid.
Pengetua membentangkan program-program sekolah untuk peningkatan pencapaian peperiksaan SPM
YDP PIBG, Encik Peter Wong pula dalam ucapannya berkata usaha guru-guru yang komited dalam mendidik anak-anak perlu disokong oleh ibu bapa dengan memberikan sokongan dan kerjasama yang jitu agar kecemerlangan sekolah dapat dikekalkan.
Bendahari PIBG, Encik Ivan Lai telah membentangkan laporan prestasi kewangan PIBG bagi tahun 2019 dan tahun 2020. Selain itu juga, beberapa usul telah dibentangkan dalam mesyuarat agung PIBG ini telah mendapat kelulusan sebulat suara oleh ahli mesyuarat demi kemajuan dan penambahbaikan pendidikan murid-murid SMK TPB sejajar Motto sekolah ini iaitu Kemenjadian Setiap Murid Aspirasi Kami. Antara usul yang dipersetujui adalah tambahan sumbangan PIBG bagi anak-anak yang berada dalam kelas peperiksaan PT3 dan juga SPM. Tambahan dana ini adalah salah satu bentuk sokongan padu dan komitmen ibu bapa dalam membantu pihak sekolah mengekalkan prestasi cemerlang pencapaian 100 peratus lulus SPM seperti tahun sebelumnya.
YDP PIBG, En. Peter Wong dalam ucapan penangguhannya berkata, ibu bapa perlu memberi kerjasama dan sokongan jitu terhadap usaha pihak sekolah dan guru-guru dalam setiap aktiviti dan pembangunan murid secara menyeluruh. Beliau juga mengucapkan terima kasih atas komitmen ibu bapa memastikan ank-anak sentiasa menjaga SOP yang telah digariskan dalam memastikan persekitaran sekolah kekal selamat untuk sesi persekolahan berlangsung.
Mesyuarat Agung PIBG SMK TPB tamat pada jam 11.50 pagi dan telah berlangsung dengan baik dan lancar hasil kejasama semua pihak dalam menjayakannya. Turut hadir penolong kanan pentadbiran Pn. Chai Yee San, Penolong Kanan HEM En. Awang Adi bin Tuah dan Penolong kanan Kokurikulum Pn. Lau Chin Ying.
Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun
Ibu bapa dan guru mengikuti mesyuarat secara atas talian menggunakan saluran Google Meet dan juga FB Live SMK TPB.Perlantikan Ahli Jawatankuasa PIBG SMK Tmn Perumahan Bedaun bagi sesi 2021/2022
Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SMK Labuan 2021 Secara Maya
Labuan, 12 Apr – Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SMK Labuan bagi tahun 2021 telah berlangsung secara maya dengan kehadiran 98 orang ahli, sabtu lepas.
Pengetua merangkap penasihat PIBG SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah dalam ucapannya berkata SMK Labuan sentiasa mengamalkan pematuhan SOP dan pembudayaan Norma Baharu COVID-19 dalam garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) secara bersemuka di sekolah bagi semua tingkatan dilaksanakan dengan teratur dan mematuhi SOP.
Katanya lagi, Program Kecemerlangan PT3, SPM dan STPM akan diteruskan dengan norma baharu, seperti melaksanakan aktiviti Bengkel Teknik Menjawab, Kelas Tambahan, Program Khas Lulus 100% SPM dan STPM.
Kokurikulum dalam norma baharu akan diberi perhatian untuk memberi peluang murid terlibat dan mendapat markah kokurikulum yang sewajarnya.
Encik Ismail turut menghargai segala bantuan dan sumbangan PIBG dalam bentuk wang ringgit, material dan sokongan moral serta semangat kepada sekolah khususnya kepada guru-guru yang gigih berusaha untuk kebaikan anak-anak murid SMK Labuan.
“Semoga PIBG SMK Labuan terus menyokong dan membantu usaha-usaha sekolah demi kejayaan dan kecemerlangan murid-murid. Kerjasama yang padu sangat penting apatah lagi dalam suasana pandemik Covid-19 yang masih menjadi cabaran utama kepada sekolah dan ibu bapa. Sekolah terus menjunjung slogan SMK Labuan Juara : Setiap Murid Bernilai “, Encik Ismail Abdullah.
Suasana di bilik mesyuarat (Pengetua, YDP dan NYDP)
YDP PIBG SMK Labuan, Tuan Haji Md Yusof bin Haji Chuchu berkata PIBG merupakan satu medium yang berkesan untuk mengeratkan lagi hubungan antara pihak sekolah dengan komuniti.
Justeru, PIBG sewajarnya bergerak seiring dengan perkembangan sekolah dan menjadi penyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan sesebuah sekolah.
“Sokongan yang padu daripada semua pihak merupakan senjata penting bagi menjana kecemerlangan anak-anak kita. Oleh yang demikian, pihak PIBG akan terus menyokong segala usaha pihak sekolah dalam mengadakan pelbagai aktiviti yang bersesuaian dengan norma baharu.” Tuan Haji Md Yusof
Dalam kita berhadapan dengan pandemik yang agak membimbangkan kita semua, kita masih sedaya upaya berusaha dalam mencapai kejayaan secara holistik dan perkara ini menggambarkan usaha dan doa kita serta kerjasama yang terjalin kukuh antara guru dan ibu bapa selama ini diberkati oleh Allah SWT.
Mesyuarat telah bersetuju melalui cadangan serta sokongan iaitu kadar sumbangan dikekalkan sebanyak RM50 untuk setiap keluarga. Kadar ini dikekalkan sejak tahun 2012.
Mesyuarat juga bersetuju agar kutipan sumbangan sebanyak RM20 bagi setiap murid Tingkatan 3, 5 dan 6 untuk Program Kecemerlangan PT3, SPM dan STPM.
Hadir sama dalam mesyuarat tersebut, Naib Yang DiPertua PIBG SMK Labuan, Encik Nordin Ahmad, AJK PIBG, ibu bapa dan guru-guru SMK Labuan.
Berita Oleh : SMK Labuan
AJK PIBG : dari kiri Puan Asnur Liza Baharuddin (AJK), Puan Normazrena Kadam (Setiausaha), Encik Ismail (Penasihat), Tuan Hj Md Yusof (YDP), Encik Nordin (Naib YDP), Encik Teng How Ching (Bendahari), Encik Azlan Tumingan (AJK)
Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) SMK Rancha-Rancha Kali Ke-8 Tahun 2021
Labuan, 10 April 2021. Buat julung kalinya Mesyuarat Agung PIBG SMK Rancha-Rancha kali ke-8 dilaksanakan menggunakan kaedah atas talian iaitu Google Meet selaras dengan ketetapan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu 2.0 dengan kehadiran seramai 116 orang ahli.
Pengetua SMK Rancha-Rancha iaitu Encik Wan Azman bin Wan Awang selaku penasihat PIBG SMK Rancha-Rancha, telah menyatakan setinggi-tinggi perhargaan kepada semua ibu bapa yang hadir ke Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SMK Rancha-Rancha kali ke-8. Beliau juga mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan sumbangan PIBG sepanjang tahun 2020 serta berharap agar ibu bapa dan AJK PIBG akan terus memberikan sokongan, kerjasama dan sumbangan kepada program-program yang akan dilaksanakan oleh pihak sekolah sepanjang tahun 2021.
Dalam ucapan YDP PIBG SMK Rancha-Rancha, Encik Awang Adi bin Tuah menyatakan kesyukuran dan terima kasih dengan kehadiran ibu bapa yang sangat menggalakkan. Hal ini menunjukkan bahawa ibu bapa sedar akan kepentingan ilmu pengetahuan dan perkembangan anak-anak di sekolah walaupun berdepan dengan situasi pandemik covid-19. Beliau turut menyatakan bahawa sepanjang pandemik covid-19 ini, pihak sekolah sentiasa berusaha memberikan pendidikan yang terbaik dan menjaga kesihatan murid-murid dengan melaksanakan SOP yang ditetapkan.
Antara usul dan cadangan yang dibincangkan semasa mesyuarat ini ialah pelaksanaan kelas tambahan bagi pelajar tingkatan 3 dan 5, pelaksanaan aktiviti kokurikulum secara bersemuka, mewujudkan komunikasi yang efektif antara ibu bapa / penjaga dengan guru mata pelajaran dan program-program kebajikan bagi membantu murid yang kurang berkemampuan.
Melalui mesyuarat ini, ibu bapa sebulat suara bersetuju dengan cadangan dan sokongan untuk mengekalkan sumbangan PIBG sebanyak RM50 untuk setiap keluarga.
Puan Norfeaizah binti Awang selaku setiausaha PIBG SMK Rancha-Rancha mengucapkan terima kasih atas kehadiran ibu bapa yang sangat menggalakkan dan kerjasama ibu bapa dengan memberikan usul serta cadangan yang sangat memberansangkan bagi pembangunan murid dan sekolah.
Turut hadir dalam mesyuarat ini, Naib Yang DiPertua PIBG SMK Rancha-Rancha, Puan Rosnani bin Daud, semua AJK PIBG dan guru-guru SMK Rancha-Rancha.
Kehadiran ibu bapa dan guru
Pembugaran Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri W.P Labuan Di SMK Rancha-Rancha Patuhi SOP Ketat Daripada Tuan Rumah
8 April 2021 – Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) yang dilancarkan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan W.P Labuan, Tuan Yusuf bin Mohammad baru-baru ini di Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha ( SMKRR ) dilaksanakan bagi memupuk semangat membaca guru dan pelajar di samping memupuk aspirasi komuniti pembaca dalam membangunkan masyarakat Malaysia yang berilmu pengetahuan.
Tuan Yusuf bin Mohammad berkata, program yang diadakan itu memperlihatkan kesungguhan pihak Jabatan Pendidikan untuk menjadikan amalan membaca satu budaya yang pastinya bertujuan untuk membentuk satu masyarakat yang berpengetahuan, berilmu dan bermaklumat. Budaya membaca sebagai suatu amalan adalah asas kepada pemerolehan dan pengukuhan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan pula merupakan asas kepada pembangunan diri manusia. Ini bermakna, melalui amalan membaca seseorang itu bukan sahaja kaya dengan pelbagai ilmu pengetahuan, bahkan berkebolehan menyampaikan ilmu pengetahuan tersebut dengan baik dan berkesan.
“Daripada segi sains, amalan membaca menjadi salah satu kaedah senaman dan latihan minda yang berkesan di samping berkeupayaan memperkuat rangkaian otak manusia serta mampu merangsang pembinaan rangkaian saraf yang baharu. Dan jika kita membaca sesuatu berulang kali, apa yang kita baca itu akan lebih lekat di dalam ingatan dan tidak mudah dilupakan. Pembacaan yang banyak juga dapat mempertingkatkan kecerdasan emosi (emotional intelligence atau EQ) dan tahap kecerdasan intelektual (intelligence Quotient atau IQ) seseorang. Kedua-dua unsur kecerdasan ini amat penting bagi membolehkan seseorang itu menguasai pelbagai keadaan dan merebut peluang yang ada bagi pembangunan diri,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis tersebut di Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha.
Katanya lagi, salah satu cabaran yang kita hadapi hari ini untuk menggalakkan budaya membaca ialah pengaruh digital ke atas masyarakat amnya dan murid sekolah khasnya. Pengaruh digital kepada masyarakat begitu besar sehingga sumber pembacaan tradisional seperti surat khabar dan buku-buku semakin diketepikan. Malahan buku teks juga ada dalam bentuk digital dan digunakan secara meluas semasa pandemic ini. Banyak syarikat akhbar terpaksa menggulung tikar kerana jualan merosot manakala buku-buku tinggal mengumpul debu di perpustakaan atau di atas rak namun saya rasa tidak berlaku di SMK Rancha-Rancha. Namun begitu, ini tidak bermakna rakyat sudah berhenti membaca. Yang berubah ialah sumber pembacaan. Malahan, hari ini hampir kesemua akhbar mempunyai versi digital dan buku-buku juga diterbitkan secara digital. Dari segi itu, pembacaan masih kekal sebagai satu budaya. Yang membimbangkan ialah sumber pembacaan di dalam arus digital itu begitu banyak tanpa sekatan sehingga ia menjadi gelanggang untuk menyebar berita palsu “fake news” dan lain-lain kandungan yang merosakkan masyarakat terutamanya murid sekolah. Di sinilah letaknya cabaran pembacaan hari ini untuk membezakan yang benar dan yang palsu, yang dihasil melalui kajian dan yang dicipta secara picisan. Oleh itu guru memainkan peranan penting dalam memberi panduan kepada murid.
Tetamu yang hadir menyaksikan Pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri W.P Labuan patuh kepada SOP
Program DMK ini merupakan penganjuran bersama Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha dan Sektor Sumber Teknologi Pendidikan JPWPL dalam menjadikan warga pelajar di Labuan sebagai satu usaha ke arah negara membaca dalam tempoh 10 tahun bermula 2021 hingga 2030.Turut hadir ke Majlis Pelancaran DMK peringkat negeri W,P Labuan ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Ustaz Haji Abdul Rahman bin Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Puan Maimoon binti Haji Matnoh, Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Menengah W.P Labuan En Ismail bin Abdullah, Yang Dipertua Majlis Guru Besar W.P Labuan Pn. Dayang Sarifah binti A.Mahmud , Penolong Pengarah SSTP Pn.Norsiah binti Sulaiman, Penolong Pengarah SSTP Pn Malai Hasnah binti Malai Ahmad , Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMKRR En Awang Adi bin Tuah.
Sementara itu, menurut Pengetua SMK Rancha-Rancha , Ustaz Wan Azman bin Wan Awang DMK tersebut dibahagikan kepada enam program iaitu kepelbagaian program membaca, pembangunan prasarana dan aktiviti membaca, pesta buku sebagai destinasi perbukuan masyarakat, pembangunan pembacaan dalam kalangan remaja dan kanak-kanak, capaian buku digital dan pendidikan sepanjang hayat. Kempen Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) dilancarkan dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara membaca pada tahun 2030.
Pengetua SMK Rancha-Rancha Ustaz Wan Azman bin Wan Awang menyampaikan ucapan alu-aluan
Dari aspek yang lain, beliau menjelaskan Kempen Dekad Membaca Kebangsaan 2021 hingga 2030 merupakan usaha jitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memartabatkan dan mendaulatkan Bahasa Kebangsaan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Berslogankan #MALAYSIAMEMBACA, kempen ini akan diperluaskan ke semua peringkat khalayak sasaran termasuk bayi seawal usia, prasekolah, sekolah rendah, menengah, universiti dan masyarakat umum.
Tambah beliau lagi, Pusat Sumber Sekolah merupakan nadi utama pengerak program ini. Umum mengetahui bahawa Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha merupakan PSS 5 Bintang bukan sahaja terkenal dengan dekorasinya malah terkenal sebagai salah sebuah Pusat Sumber Sekolah yang lengkap dengan pelbagai fasiliti yang boleh digunakan oleh murid sekolah dan komuniti setempat. Beliau menggesa spaya pelajar dan komuniti boleh menggunakannya kita seoptimum.
Tuan Awang Marten bin Datuk Haji Abdul Rahman selaku Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri Labuan berkata “Kita mahu menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca 2030. Untuk memastikan kempen ini mencapai keberhasilan yang dihasratkan tambah beliau, slogan dan tagar #MALAYSIAMEMBACA dipilih akan dipopularkan supaya menjadi inspirasi kepada pelajar di Labuan untuk membaca selaras dengan hasrat KPM yang ingin menjadikan Malaysia sebuah negara membaca.
Cikgu Sapri bin Idris GPM SMK Rancha-Rancha selaku penyelaras pelancaran DMK peringkat negeri W.P Labuan menjelaskan pelancaran DMK 2021 merupakan satu usaha yang dapat merealisasikan penyuburan budaya membaca dalam kalangan warga pendidikan. Semua pihak perlu merangka dan melaksanakan satu pendekatan baharu yang segar, lebih mantap serta agresif bagi menarik lebih ramai masyarakat untuk mencintai dunia pembacaan dan membugarkan pembudayaan membaca. Selain itu, kempen ini diyakini mampu untuk memperkukuhkan budaya membaca dan meningkatkan peratusan rakyat Malaysia membaca untuk merealisasikan hasrat dan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
En Sapri bin Idris GPM SMK Rancha-Rancha penyelaras program pelancaran pembugaran Dekad Membaca Kebangsaan peringkat negeri W.P Labuan.
Majlis pelancaran hari ini turut menyaksikan penyerahan sumbangan buku kepada semua sekolah-sekolah seluruh W.P Labuan. Penyerahan sumbangan buku telah diberikan oleh Tuan Yusuf bin Haji Mohammad kepada Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Menengah W.P Labuan iaitu En Ismail bin Abdullah dan Yang Dipertua Majlis Guru Besar iaitu Puan Dayang Sarifah binti A. Mahmud. Pelajar di W.P Labuan boleh menyaksikan pelancaran pembugaran DMK pada pagi itu melalui flatform Youtube dan Facebook Ranchas Production.
Berita Oleh : SMK Rancha Rancha
Majlis penyerahan buku kepada Yang Dipertua Majlis Guru Besar iaitu Puan Dayang Sarifah binti A. Mahmud
Program Muslimah Dhuha
Labuan, 08 April– Program Muslimah Dhuha, Perumahan Sabah Gas Rancha2 merupakan program khas bertujuan menyampaikan bantuan kepada anak-anak yatim khususnya di SK Pekan Satu. Program ini bermula pada jam 8:00 pagi sehingga 10:00 pagi. Majlis ini merupakan tanda penghargaan kepada sekolah-sekolah dan guru-guru yang setia menyokong kempen dan aktiviti Bantuan Anak Yatim yang dilaksanakan selama ini. Objektif program ini ialah membantu serta meringankan beban anak yatim menjelang bulan Ramadhan.
Rombongan yang diketuai oleh Puan Seha Alwi disambut oleh Guru Besar SKPS, Anita Shyamini A/P S. Azman, PK Pentadbiran SKPS Encik Airol Azmi bin Abd Gani, PK HEM SKPS Puan Normah binti Rahimi, PK Kokurikulum SKPS Encik Esmit bin Amat dan beberapa orang guru SKPS.
Seramai 24 orang murid yatim SKPS menerima bantuan daripada pihak Muslimah Dhuha. Antara keperluan yang disampaikan dalam majlis ini adalah barangan kelengkapan dapur iaitu beras, minyak, gula dan sebagainya. Selain daripada itu, pihak Muslimah Dhuha juga turut menginfakkan buku ilmiah kepada sekolah. Buku-buku tersebut adalah hasil nukilan anak-anak peserta Program Muslimah Dhuha.
Dalam ucapannya, Anita Shyamini melahirkan jutaan terima kasih kepada pihak Muslimah Dhuha kerana memilih SKPS bagi menyampaikan bantuan kepada para murid yang berstatus anak yatim. “Murid-murid yatim ini sangat bertuah kerana menerima bantuan di ambang bulan Ramadhan sebagai tanda kasih sayang” tambah beliau lagi.
Puan Seha Alwi pula berkata, dengan adanya bantuan seperti ini sekurang-kurangnya dapat meringankan tanggungan penjaga terutamanya mereka yang mempunyai anak yang ramai. “Sekalung ucapan tahniah dan terima kasih kepada pihak SKPS kerana sudi menerima kunjungan daripada pihak kami dalam menyampaikan bantuan ini. Pihak kami juga berharap agar bantuan ini menjadi pembakar semangat anak-anak yatim SKPS supaya lebih tabah dan cekal dalam mengharungi bulan Ramadhan yang bakal menjelang tiba.” tambah beliau lagi.
Musliha Dhuha Menginfakkan Buku Ilmiah Kepada Para Anak Yatim.
Akhir sekali, Cikgu Suriana Binti Kadir selaku penyelaras program melahirkan rasa kesyukuran dan terima kasih kepada semua kerana majlis ini dapat dilangsungkan dengan jayanya. Tambahnya lagi, tanpa komitmen yang tinggi daripada semua pihak, maka program seumpama ini tidak mungkin dapat dilaksanakan sepertimana yang diharapkan.
Pengoperasian Persekolahan SMK Labuan Dalam Norma Baharu Berjalan Lancar
Labuan, 6 April : SMK Labuan memulakan hari pertama persekolahan dalam norma baharu pada 5 April 2021 dengan lancar. Kehadiran murid disambut seawal jam 6.00 pagi oleh Pengetua Encik Ismail bin Abdullah bersama guru-guru bertugas SMK Labuan.
Turut sama membuat kunjungan pada awal pagi melihat suasana kehadiran murid ialah Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan Encik Yusup bin Hj Mohamad, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan Tuan Haji Sawal bin Salleh serta Yang DiPertua PIBG Tuan haji Md Yusof bin Hj Chuchu.
Jumlah murid berdaftar SMK Labuan ialah seramai 1611 orang iaitu Tingkatan 1 (301), Tingkatan 2 (299), Tingkatan 3 (297), Tingkatan 4 (286), Tingkatan 5 (237) dan Tingkatan 6 Atas (191).
Proses kehadiran murid sesi pagi (Tingkatan 4 dan 5) seramai 523 orang pagi tadi berjalan lancar bermula jam 6.00 pagi hingga 7.00 pagi.
Pelajar Tingkatan 6 Atas akan mula hadir ke sekolah pada 13 April setelah selesai Peperiksaan STPM Semester 3 yang berlangsung pada 5 hingga 12 April 2021. Proses kehadiran 897 murid sesi petang juga berjalan lancar bermula jam 11.30 pagi hingga jam 12.00 tengah hari.
Encik Ismail ketika sesi temubual bersama RTM Labuan
Pengetua SMK Labuan Encik Ismail bin Abdullah sangat menghargai segala bantuan dan sumbangan terutamanya guru-guru serta staf SMK Labuan, PIBG SMK Labuan serta bekas pelajar SMK Labuan yang telah membolehkan sekolah membeli keperluan seperti 400 kerusi untuk lokasi transit murid-murid sesi petang, 11 kanopi untuk lokasi transit serta 7 buah papan putih beroda untuk 7 buah kelas.
Semua ini adalah keperluan untuk mematuhi persekolahan dalam norma baharu yang melibatkan beberapa Prosedur Operasi Standard terutamanya penjarakan fizikal, kebersihan serta mengelakkan pertembungan atau perkumpulan murid sesi petang dan sesi pagi.
Jadual waktu balik secara berperingkat telah berjaya mengurangkan kesesakan di luar kawasan sekolah pada waktu balik sesi pagi dan sesi petang.
Encik Ismail berharap agar pengoperasian sekolah pada hari-hari berikutnya akan lebih lancar dan teratur. Terima kasih kepada pihak PDRM atas bantuan mengawal aliran trafik di hadapan sekolah. Terima kasih juga kepada ibu bapa yang memberi dorongan untuk anak-anak hadir ke sekolah setelah sekian lama tidak dapat menjalani sesi pembelajaran bersemuka.
Berita Oleh : SMK Labuan
Dari kiri : Tuan Haji Sawal, Encik Yusup, Encik Ismal dan Tuan Haji Md Yusof
Permuafakatan Warga Sekolah, PIBG Dan Bekas Pelajar Membantu Persiapan Pengoperasian Sekolah SMK Labuan Dalam Norma Baharu
Labuan, 4 April : Permuafakatan antara warga sekolah, PIBG dan bekas pelajar telah berjaya membantu persiapan pengoperasian sekolah SMK Labuan dalam norma baharu.
SMK Labuan merupakan sekolah yang melaksanakan pengoperasian Model Dua sesi. Cabaran utama pihak sekolah ialah untuk menyediakan lokasi transit bagi semua 901 murid sesi petang sebagai tempat menunggu sementara sebelum murid-murid sesi pagi balik bermula jam 12.15 tengah hari.
Seramai 600 murid dapat ditampung menggunakan kemudahan sedia ada iaitu Dewan Mutiara, Galeri Kristal dan Garaj kenderaan guru. Sekolah perlu menyediakan lokasi transit untuk 300 orang murid lagi.
Hasil permuafakatan, PIBG SMK Labuan telah menyumbangkan 11 buah khemah besar bersaiz 20 kaki x 20 kaki sebagai lokasi transit 300 murid sesi petang. Pihak sekolah telah melancarkan kutipan “Patak-Patak Guru dan Staf SMK Labuan” yang berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM6,000.00 dalam masa kurang 24 jam.
AJK PIBG juga telah membantu membuat kutipan sumbangan dalam kalangan bekas pelajar SMK Labuan tahun 1980an dan berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM2,400.00.
Ini membawa kepada jumlah keseluruhan mencecah lebih RM8,000.00 dan dapat menyelesaikan isu untuk membeli 300 buah kerusi bagi menampung tempat duduk murid.
Untuk rekod, SMK Labuan akan menerima kehadiran seramai 1618 murid Tingkatan 1 hingga Ting 6 Atas sempena pengoperasian sekolah dalam norma baharu di seluruh negara.
Jumlah murid sesi pagi ialah seramai 717 orang iaitu Tingkatan 4 (286), Tingkatan 5 (237) dan Tingkatan 6 Atas (194). Jumlah murid sesi petang pula ialah seramai 901 orang iaitu Tingkatan 1 (305), Tingkatan 2 (299) dan Tingkatan 3 (297).
Encik Ismail bersama Tuan Haji Md Yusof setelah pemasangan kanopi selesai
Pengetua SMK Labuan Encik Ismail Abdullah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PIBG di bawah pimpinan Yang DiPertua Tuan Haji Md Yusof bin Haji Chuchu, Naib Yang DiPertua Encik Nordin Ahmad serta AJK ibu bapa Puan Susanna Koh yang mengambil inisiatif untuk membantu pihak sekolah menyelesaikan cabaran yang dihadapi.
Semua persiapan yang dilakukan adalah bertujuan untuk melaksanakan pengoperasian sekolah dalam norma baharu. Insha Allah SMK Labuan sudah bersedia untuk menerima kehadiran murid bermula 5 April 2021 nanti.
Berita Oleh : SMK Labuan
Pembugaran Program Nilam Oleh Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha Menyuburkan Budaya Membaca Dalam Kalangan Warganya
Labuan, 4 April 2021 : Budaya dan aktiviti membaca menjadi pasak keteguhan seseorang individu, malah sesuatu komuniti dan sesebuah negara. Bagi memastikan rakyat di negara ini mengamalkan sikap suka membaca, kerajaan telah melancarkan Dekad Membaca Kebangsaan . Usaha kerajaan ini adalah untuk menarik penyertaan orang ramai dalam program dan aktiviti berkaitan pembacaan bagi menyuburkan minat membaca, memupuk kesedaran betapa pentingnya membaca sepanjang hayat, mengamalkan membaca dari pelbagai sumber bahan bacaan dan menjadikan membaca sebagai satu budaya.
Bertitik tolak daripada hakikat itulah, Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha telah melaksanakan pembugaran program NILAM peringkat sekolah dengan penglibatan warga sekolah khususnya pentadbir, guru dan staff SMK Rancha-Rancha secara atas talian dengan menggunakan platform google meet. Program NILAM norma baharu ini, membolehkan pelajar dan guru boleh melayari IQ DELIMA untuk membuat catatan samada melalui komputer atau pun telefon bimbit.
Sebelum itu, pengetua sekolah Ustaz Wan Azman bin Wan Awang semasa menyampaikan ucapan alu-aluan program menegaskan SMK Rancha-Rancha memandang serius pelaksanaan program NILAM. Ia adalah usaha murni Kementerian Pendidikan Malaysia. Ia mencakupi semua aktiviti galakan membaca yang dijalankan di sekolah yang melibatkan penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun yang diakhiri dengan pengiktirafan yang bersesuaian. Program ini telah mula dilaksanakan dengan rasminya pada tahun 1999 bagi murid tahun satu di sekolah rendah dan tingkatan satu atau peralihan di sekolah menengah, iaitu melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia Bil 13/1998 : Program Membina Tabiat Membaca bertarikh 22 Mei 1998.
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha Ustaz Wan Azman bin Wan Awang
Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah En. Sahnuddin bin Ariffin berkata, Program NILAM yang ditambahbaik mula dijalankan secara sepenuhnya mulai sesi persekolahan tahun 2018. Ia merupakan kesinambungan kepada program NILAM sebelum ini. Walau bagaimanapun, NILAM yang ditambahbaik ini lebih mementingkan kualiti pembacaan berbanding kualiti bahan yang dibaca. Ia merupakan gabungan aktiviti pembacaan (kuantiti dan kualiti bahan) dan juga aktiviti-aktiviti pengayaan selepas pembacaan (peningkatan pengetahuan dan kemahiran selepas pembacaan) yang mana ia berfokuskan kepada aspek kualiti selepas pembacaan. Secara umumnya, ia menggalakkan penglibatan semua warga sekolah/ masyarakat/ komuniti setempat/ pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan dalam pelaksanaan program serta pembinaan tabiat membaca dalam kalangan murid-murid.
Penolong Kanan Pentadbiran En. Sahnuddin bin Ariffin
Cikgu Sapri bin Idris , Guru Perpustakaan dan Media SMK Rancha-Rancha menjelaskan melalui NILAM IQ DELIMA murid mempunyai banyak pilihan dalam memilih bahan bacaan. Mereka boleh memilih sama ada bahan bacaan buku ataupun bahan bukan buku. Bahan bacaan buku terdiri daripada buku berbentuk fizikal dan juga buku digital/ e-book. Sementara bahan bukan buku pula adalah bahan bercetak (katalog berilmiah, manual pengguna, buku skrap, jurnal, brosur berilmiah, majalah, artikel/rencana, komik, peta, cerpen, carta, poster, buletin) dan bahan bukan cetak (video klip berinformasi, CD perisian pendidikan, kit pembelajaran, e-bahan pembelajaran).
Jumlah bacaan buku murid masih dikekalkan seperti mana yang terdapat dalam NILAM terdahulu. Akan tetapi, ia telah ditambahbaik dari sudut kualitatif melalui kuantiti buku yang dibaca. Pengukuran kualiti bacaan diukur melalui jumlah bahan yang dibaca. Semakin banyak bahan yang dibaca, semakin tinggi bintang yang akan diberikan. Sekolah juga boleh menghasilkan aktiviti yang lebih berkesan dan inovatif bagi merangsang minat murid dalam pembacaan.
Pengurus Program Cikgu Sapri bin Idris Guru Perpustakaan dan Media SMK Rancha-Rancha
Ketua Bidang Bahasa Cikgu Zaharah binti Mat Jali ketika sesi percambahan ilmu berkata pada masa kini didapati trend membaca murid-murid sekarang telah mengalami evolusi yang mana kaedah dan bahan bacaan telah banyak berubah sejajar dengan kemajuan teknologi yang murid-murid praktikkan ketika ini. Menurutnya terdapat dua perkara yang perlu diberikan perhatian jika pihak sekolah ingin mendalami trend membaca dalam kalangan murid-murid. Yang pertama ialah apakah jenis buku yang mendapat perhatian paling tinggi dalam kalangan murid-murid. Dalam kajian yang dibuat oleh Bahagian Perkembangan Kurikulum didapati murid-murid lebih suka membaca buku-buku yang berkisar mengenai sesuatu yang ”hampir’ dengan mereka, sesuai dengan usia dan persekitaran mereka. Selain dari buku-buku bukan fiksyen yang berbentuk ilmiah, murid-murid lebih terarah untuk membaca buku-buku yang berkaitan dengan remaja, hubungan dalam konteks usia remaja, grafik yang menarik dengan teks yang mudah difahami.
Perkara kedua yang membentuk trend membaca dalam kalangan murid-murid pula ialah bentuk buku yang dibaca. Trend dan minat murid-murid sekarang lebih terarah kepada sesuatu yang bersifat teknologi dan ICT. Kita melihat ini sebagai sesuatu yang positif dan Program NILAM juga sememangnya sentiasa ditambahbaik seiring dengan kemajuan teknologi sedia ada. Dalam pelaksanaan Program NILAM kita meminta murid membaca sebanyak mungkin buku dan kemudian mencatatnya dalam Buku Rekod NILAM. Buku-buku yang dimaksudkan ialah buku-buku berbentuk fizikal yang dipinjam dari Pusat Sumber Sekolah, Perpustakaan Awam ataupun yang mereka beli sendiri.
Program Perkogsian pintar Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha kali ini telah menjemput panel istimewa merupakan seorang Guru Perpustakaan dan Media SMK Putrajaya Presint 9( 2 ) iaitu Cikgu Nurafidah binti Mohd Khalid. Beliau merupakan Ikon GPM Putrajaya 2018 dan 2020.. Cikgu Nurafidah menjelaskan melalui penguasaan kemahiran literasi maklumat , negara dapat membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan k-ekonomi dan k-masyarakat. Selain itu, dapat memperkukuhkan pembangunan modal insan untuk menghasilkan tenaga manusia berpengetahuan .Matlamat Pendidikan Negara ialah melahirkan insan yang beriman, berakhlak mulia, berilmu, berterampilan dan sejahtera selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga akan tercapai. Konsep Pengajaran dan Pembelajaran Bestari yang berpusatkan pelajar dan dipermudahkan dengan bantuan ICT secara tidak langsung pembangunan ICT dalam pendidikan dapat dipercepatkan. Aspek literasi maklumat juga akan menjadikan pelajar berdikari secara beransur-ansur untuk menghayati konsep pendidikan seumur hidup.
Selain itu, penceramah jemputan juga menyentuh tentang program bacaan yang boleh menarik minat murid-murid menjadikan amalan budaya membaca sebagai salah satu cara hidup seharian. Sekolah khususnya guru-guru perlu mencari idea bagaimana untuk meningkatkan motivasi membaca dalam kalangan pelajar. Beliau menyarankan pihak PSS perlu memberi tumpuan kepada aktiviti yang mencetuskan minat pelajar dan membantu meningkatkan harga diri mereka. Penyelidikan mengesahkan bahawa motivasi kanak-kanak adalah faktor utama dalam membaca yang berjaya. Dalam menyelesaikan dan mengurangkan mood murid-murid kurang gemar membaca,kajian perlu dilakukan dengan penglibatan semua peringkat komuniti.
Penceramah jemputan Cikgu Nurafidah Mohd Khalid daripada SMK Puterajaya Presint 9 ( 2 )
Konkulisinya, program NILAM yang mula diadakan pada tahun 1999 bermatlamat agar murid-murid di Malaysia sebati dengan budaya membaca, seterusnya menjadikan tabiat suka membaca sebagai satu amalan hidup. Berdasarkan laporan World’s Most Literate Nation, Malaysia berada pada kedudukan ke-53 dalam senarai negara membaca. Kajian juga mendapati keutamaan pelajar membaca ialah untuk tujuan pembelajaran dan sedikit untuk bacaan senggang. Suatu pendekatan yang wajar dilaksanakan untuk memupuk tabiat membaca ialah dengan usaha pembugaran Program NILAM.
SK Kerupang Prihatin Bantu Murid Kurang Berkemampuan
Labuan, 26 Mac – Adik Awang Akid bin Herman dari kelas 2 Inovasi dan adik Auni Adalia binti Ishak dari kelas 6 Inovasi merupakan dua orang murid bertuah yang telah menerima sumbangan ikhlas berbentuk telefon bimbit daripada Mantan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kerupang, Encik Nik Hisyam.
Menurut Guru Besar SK Kerupang, Puan Hajah Aini Bt Hj Salleh, murid–murid yang dipilih menerima sumbangan ini merupakan murid dalam golongan yang berpendapatan rendah.
“Kita sedar pada masa kini, ramai anak-anak kita terutama daripada keluarga yang berpendapatan rendah tidak mempunyai gajet eletronik ini untuk mendapatkan maklumat serta menjalani sesi pembelajaran secara dalam talian.Kita berharap sumbangan ini dapat memberi manfaat kepada murid dan keluarga yang telibat.” Puan Hajah Aini
Beliau telah memberikan sumbangan ikhlas ini kepada kedua orang murid berkenaan, selaras dengan keprihatinan SK Kerupang dan PIBGnya kepada golongan murid yang kurang berkemampuan.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Encik Nik Hisyam. Semoga dimurahkan rezeki.
Berita Oleh : SK Kerupang
Program Munajat Bacaan Yasin dan Doa Warga Pendidik WP Labuan Kali Ke-3
Labuan : Panitia Pendidikan Islam SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) sekali lagi berjaya menganjurkan Program Munajat Bacaan Yasin dan Doa Warga Pendidik untuk kali ke-3 sebagai langkah mencegah penularan pandemik Covid-19. Program ini mendapat jalinan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan WP Labuan dan juga Sekolah-sekolah di WP Labuan. Majlis yang berlangsung secara dalam talian pada 25 Mac 2021 dimulakan dengan bacaan Yasin selepas solat Maghrib di kediaman masing-masing.
Turut hadir bersama dalam program ini ialah Ustazah Hajah Kamariah binti Salim, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam, Pegawai-Pegawai JPNWPL, Pengetua- Pengetua, Guru- Guru Besar, guru-guru , ibu bapa dan juga murid-murid. En. Ag Rozlan Manan , Pengetua SMKTPB turut hadir bersama dengan barisan pentadbir dan guru-guru SMKTPB.
Menurut moderator, Ustazah Saidatun Nadiah binti Abdul Aziz, tujuan utama program ini adalah untuk mendoakan kesihatan dan keselamatan semua warga pendidik, petugas di barisan hadapan, murid- murid, keluarga dan masyarakat agar terhindar daripada ditimpa musibah wabak Covid-19. Program ini juga bertujuan untuk memohon kepada Allah SWT agar mereka yang dijangkiti wabak Covid-19 akan kembali sembuh dengan segera dan mendoakan agar negara kita serta dunia akan bebas daripada wabak ini, di samping mendoakan kecemerlangan anak-anak yang telah selesai menduduki SPM.
Selesai bacaan Yasin dan doa yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Daud Abdul Rahman, majlis diteruskan dengan ucapan daripada En. Ag Rozlan, Pengetua SMKTPB. Dalam ucapannya, beliau merakamkan ucapan terima kasih atas kehadiran semua secara dalam talian. Program yang berlangsung untuk kali ke-3, merupakan sebahagian daripada usaha daripada pihak sekolah dan JPNWPL dalam menangani pandemik Covid-19. Beliau turut mengharapkan agar semua urusan warga pendidik akan dipermudahkan memandangkan pembukaan semula sekolah akan berlangsung pada 05 April 2021.
En. Ag Rozlan dalam ucapannya turut tidak menafikan bahawa SMKTPB juga terkesan akibat pandemik Covid-19 kerana ada calon SPM yang terpaksa menunggu untuk penjadualan semula bagi menduduki peperiksaan SPM. Semoga semua calon SPM akan memperoleh kejayaan yang cemerlang. Beliau turut berharap agar program ini akan dapat diteruskan agar kita semua sentiasa dilindungi dan mudah-mudahan doa yang dipanjatkan akan dimakbulkan oleh Allah.
Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Ustazah Hajah Kamariah binti Salim, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam. Dalam ucapannya, beliau merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada SMKTPB kerana berjaya melaksanakan program ini untuk kali ke-3. Beliau sangat bersyukur kerana calon SPM telah selamat menduduki peperiksaan SPM setelah tertangguh akibat pandemik Covid-19. Sememangnya anak-anak SPM 2020 merupakan insan terpilih untuk berada dalam situasi ini dan pastinya akan menjadi sejarah kepada kita semua. Beliau mendoakan agar anak-anak yang tamat menduduki SPM akan memperoleh kejayaan yang cemerlang. Ucapan syabas dan tahniah juga dirakamkan kepada semua sekolah kerana berjaya mematuhi SOP yang telah ditetapkan dalam menjalani norma baharu ini terutama sekali yang melibatkan pergerakan murid-murid di sekolah.
Semoga usaha kita semua akan dapat membantu memutuskan rantaian pandemik Covid-19. Sesungguhnya setiap musibah yang Allah turunkan ada hikmahnya yang tersendiri. Salah satunya, beliau mendapati guru-guru kini semakin kreatif menggunakan teknologi maklumat untuk melaksanakan PdPr masing-masing demi memastikan anak murid tidak tercicir dalam pembelajaran. Pada akhir ucapannya, beliau berharap agar wabak ini segera diangkat oleh Allah SWT dan mendoakan agar kita semua dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
Majlis diakhiri dengan solat Isyak dan solat Hajat di rumah masing-masing.