SMK Labuan Johan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat WP Labuan 2019

Labuan, 21 Ogos – Lima orang pelajar Tingkatan Enam SMK Labuan yang menamakan kumpulan mereka sebagai Kumpulan Pengisahan Sinaran Maida telah berjaya menjuarai Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 2019 Peringkat WP Labuan pada 17 Ogos 2019 di Anjung Budaya Layang-Layangan.

Pertandingan Pengisahan Kenegaraan ini terbuka kepada peserta-peserta berumur 18 tahun ke atas.

Sinaran Maida terdiri daripada tiga orang pelakon iaitu Mohamad Azuan bin Isack (6 Atas), Mohamad Syazwan Firdaus bin Mohd Sufry (6 Rendah) dan Elly Nazirah binti Sufri (6 Rendah).

Mereka dibantu oleh 2 orang krew iaitu Aleeya Nazurin binti Dzulhaide dan Nurul Ateyrah binti Yusaili, kedua-duanya pelajar 6 Rendah.

Sinaran Maida yang telah berjaya merangkul hadiah RM3000 berserta trofi dan sijil, menewaskan saingan kumpulan Pearl Revolution di tempat kedua dan Team Pisangs di tempat ketiga.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh YBhg Dato’ Sri Haji Amir bin Hussien, Pengerusi Perbadanan Labuan.

Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Sri Hj Amir berkata, di sebalik kenikmatan yang dirasai sebagai rakyat yang bernaung di bawah Negara yang bebas, sudah pasti terdapat tokoh-tokoh yang berjuang di sebaliknya bagi mendapatkan kemerdekaan.

” Sentiasa menghargai dan mengingati perjuangan tokoh-tokoh negara ini adalah salah satu cara bagaimana kita menyuburkan semangat patriotism dan cinta kepada negara dalam kalangan warganegara Malaysia.” Dato’ Sri Hj Amir

Sinaran Maida akan mewakili WP Labuan dalam Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Terengganu pada 27-28 September 2019.

Berita Oleh : SMK Labuan




SMK Mutiara Anjur Ceramah Remaja, Penyalahgunaan Dadah, Inhalan dan Bahan Terlarang

Labuan, 20 Ogos – Seramai 36 murid SMK Mutiara mengikuti ceramah tentang bahaya najis dadah oleh AADK bertempat di Dewan Semarak sekolah ini.

Sesi ceramah telah disampaikan oleh Encik Md. Hasri bin Jeinia, Pegawai Pencegahan AADK Cawangan Labuan. Ceramah selama 1 jam 30 minit telah menyentuh pelbagai aspek pengetahuan dan kemahiran remaja menangkis ancaman bahaya najis dadah.

Menurut Encik Hasri, golongan remaja semakin terdedah kepada ancaman najis dadah. Perkara utama yang diperlukan oleh remaja masakini ialah kekuatan dalaman termasuk disiplin diri dan didikan agama yang kukuh.

Tambah beliau, faktor utama remaja terjebak dalam penyalahgunaan dadah ialah disebabkan pengaruh rakan sebaya. Justeru remaja dinasihatkan untuk bijak memilih rakan dalam pergaulan harian.

Encik Hasri sedang memberi ceramah kepada murid-murid mengenai bahayanya penyalahgunaan dadah kepada murid-murid SMK Mutiara

Ceramah ini dilaksanakan sempena Minggu Antidadah peringkat sekolah yang diadakan mulai 19 sehingga 23 Ogos 2019.

Menurut Encik Hafiz, penyalaras program yang juga Kaunselor sekolah memberitahu aktiviti-aktiviti lain yang turut diadakan sepanjang minggu antidadah ialah Cafe teen, lawatan ke Pusat Koreksional Labuan dan IPD Labuan, pertandingan melukis poster dan menulis esei serta pertandingan keceriaan lorong PPDa di sekolah.

Acara perasmian Minggu Antidadah yang bertemakan ‘Komuniti Kita Tanggungjawab Kita’ telah disempurnakan oleh pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim.

Berita Oleh : SMK Mutiara




Laman Membaca Permata Hati, Hub Transformasi Minda Komuniti, SMK Rancha-Rancha

Labuan , 13 Ogos – Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha telah mengadakan perasmian laman bacaan Permata Hati pada 9 ogos yang lalu.

Ruang bacaan  yang dinamakan  sebagai Permata Hati ini merupakan ruang bacaan kanak-kanak yang berumur antara 4 hingga 10  tahun. Ruang bacaan ini adalah perkhidmatan istimewa yang diberikan kepada ahli komuniti pusat sumber di sekolah SMK Rancha-Rancha.

Perasmian laman bacaan Permata Hati di Pusat Sumber DSDN telah dilakukan oleh penaung Pusat Sumber Sekolah berkenaan iaitu Datin Dato’ Sri Hajah Norsiah binti Abdullah.

Turut menyaksikan perasmian majlis itu ialah Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusian Jabatan Pendidikan W.P Labuan  iaitu Encik Asbolah bin Amit, Pengerusi Labuan Society Encik Wan Abdul Rahim bin Wan Abd Rahman , Encik Yahya bin Ahmad Puteh Pengetua SMK Rancha-Rancha serta barisan penolong kanan pentadbiran sekolah tersebut.

Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha memberi kemudahan yang bertaraf perpustakaan awam di Malaysia

Sewaktu membuat penanda perasmian , penaung Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha menyatakan bahawa ruang yang diadakan tersebut  mampu menarik lebih ramai lagi pengunjung ke PSS DSDN SMK Rancha-Rancha.

Dengan adanya pelbagai kemudahan dan ruang yang menarik, beliau yakin Pusat Sumber Sekolah DSDN mampu menjadi pusat tranformasi minda kepada komuniti terdekat seperti penduduk Kampung Sungai Lada, Sungai Labu, Sungai Miri, Sungai Pagar dan Sungai Bedaun.

Encik Sapri bin idris selaku Ikon Guru Perpustakaan dan Media W.P Labuan dan GPM sekolah berkenaan menyatakan, laman membaca Permata Hati  diwujudkan adalah untuk menjadikan Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha hub membaca dalam kalangan komuniti setempat.

Tambah beliau lagi, dengan adanya laman sedemikian maka ahli komuniti yang terdiri daripada kanak-kanak akan mengenali PSS DSDN SMK Rancha-Rancha sekaligus menjadikan sekolah tersebut sebagai buah hati para ibu bapa dalam membudayakan amalan membaca yang seharusnya dipupuk sejak dari kecil lagi.

GPM SMK Rancha-Rancha En Sapri (kiri) bergambar bersama tetamu perasmi yang hadir

Menurut Pengetua sekolah SMK Rancha-Rancha, Encik Yahya bin Ahmad Puteh menegaskan SMK Rancha-Rancha sebagai sekolah komuniti, seharusnya mempunyai alternatif dalam menarik ahli komuniti datang ke sekolah. Ahli komuniti setempat boleh menyumbang idea, wang ringgit dan tenaga dalam membangunkan sekolah secara kolektif.

Hubungan yang erat antara warga sekolah bersama komuniti setempat sudah pastinya akan memberi impak yang baik khususnya dalam perkembangan pendidikan anak-anak kampung di Wilayah Persekutuan Labuan.

Encik Yahya ketika membuat ucapan alu-aluan kepada para tetamu yang hadir

Kanak-kanak yang telah menjadi ahli komuniti Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha, boleh meminjam bahan bacaan yang disediakan pada setiap hari Sabtu dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari. Ibu bapa boleh menemani anak-anak mereka ketika di pusat sumber sekolah .

Perkhidmatan tambahan di Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha ini telah dibiayai oleh penaung PSS iaitu Datin Dato’ Sri Hajah Norsiah binti Abdullah dengan menyediakan khidmat pegawai perpustakaan untuk menjaga dan menguruskan PSS setiap hari Sabtu.

Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha

Laman membaca Permata Hati pengikat kasih sayang antara anak-anak dengan ibu bapa



Perasmian Bulan Kemerdekaan Sk Pekan Satu

Labuan,9
Ogos 2019 (Jumaat) – SK Pekan Satu tidak ketinggalan mengibarkan jalur gemilang
sebagai suntikan patriotisma dalam pelancaran Perasmian Bulan Kemerdekaan
peringkat sekolah pada pagi Jumaat yang dikendalikan oleh Cikgu Noor Anidah
binti Ag Adi. Majlis Perasmian ini telah disempurnakan oleh Puan Anita Shyamini
A/S Azman, Guru Besar SK Pekan Satu W.P.Labuan.

Majlis Pelancaran mengibarkan jalur gemilang ini, melibatkan seluruh warga SK Pekan Satu, murid-murid dan guru-guru. Murid seawal usia 5 Tahun juga turut bersama-sama mengibarkan jalur gemilang bagi merasai semangat kemerdekaan. Suntikan semangat kemerdekaan ini di pancarkan dengan hiasan jalur gemilang yang memenuhi kawasan sekolah SK Pekan Satu mengikut kreativiti guru-guru dan murid menyerlahkan semangat patrotisma di kalangan warga SK Pekan Satu.

Murid-murid berkumpul di dataran bagi menyambut pelancaran Bulan Kemerdekaan peringkat Sekolah Kebangsaan Pekan Satu

 Di samping mengibarkan jalur gemilang sempena
pelancaran Bulan Kemedekaan, Seluruh warga SK Pekan Satu  bersama-sama menyanyikan lagu tema sambutan
kemerdekaan ke-62 dan beberapa buah lagu patriotik dalam menyemarakkan lagi
jiwa anak merdeka. Puan Anita berkata, pelancaran bulan kemerdekaan itu
penting, terutama kepada generasi baharu bagi menyemai semangat patriotik sejak
di bangku sekolah agar dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai jiwa merdeka
yang kental pada masa hadapan.

“Generasi
baharu harus diberi kesedaran dan semangat merdeka juga perlu disemai dalam
jiwa mereka agar dapat memupuk rasa kecintaan yang tinggi terhadap negara Malaysia.

“Kita bimbang, jika semangat patriotik ini sudah hilang dalam sanubari mereka, ia akan memberi impak negatif pada masa depan negara dan bangsa, kerana murid-murid pada hari ini adalah wira dan wirawati Negara pada masa akan datang” katanya ketika ditemui selepas pelancaran itu.

Sementara
itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SK Pekan Satu Puan Normah binti
Rahimi, berkata berpuluh acara membabitkan pelajar dan guru disediakan bagi
mengisi aktiviti bulan kemerdekaan.

Antara
aktiviti yang akan dijalankan sepanjang Bulan Kemerdekaan, mewarna bendera
Malaysia, melukis poster merdeka, nyanyian lagu patriotik, pakaian beragam bertemakan
kemerdekaan, pameran dan kibaran bendera sepanjang bulan Ogos hingga September.

Diharapkan dengan pelbagai aktiviti yang telah dirancang dapat meningkatkan semangat cintakan Malaysia dalam kalangan warga SKPS dalam kelompok generasi yang berbilang bangsa, agama dan budaya.

Dari kiri Cikgu Farhah, Cikgu Noor Anidah, Penolong Kanan HEM Puan Normah Rahimi, Guru Besar SKPS Puan Anita Shyamini A/P S. Azman, Penolong Kanan Satu SKPS Puan Zailiana Zainol dan Cikgu Hafizah mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda pelancaran Bulan Kemerdekaan peringkat SK Pekan Satu



Murid SK Sungai Bedaun Seronok Belajar : SEAS English Camp 2019 anjuran Sabah English Aspiration Society

Labuan, 9 Ogos –  Seramai sepuluh orang murid dan dua guru  Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) terpilih untuk mengikuti English Camp 2019, Projek Maybank Global CR Day 2019 dengan kerjasama Sabah English Aspiration Society (SEAS) yang diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Yin , Membakut Sabah pada  3 hingga 4 Ogos yang lalu.

Program SEAS ini menggabungkan kerjasama beberapa pihak antaranya Kolej Vokasional Keningau, SJKC Pei Yin, Kementerian Pendidikan dan Inovasi Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah , Pejabat Pendidikan Daerah Beaufort dan  Maybank Berhad .

Projek Maybank Global CR Day diadakan setiap tahun merupakan program kemasyarakatan yang melibatkan komuniti di lokasi masing-masing melalui inisiatif yang memberi kesan kepada kehidupan dan alam sekitar.

Fokus pada kali ini adalah terhadap penguasaan Bahasa Inggeris dalam usaha untuk memperkasakan Bahasa Inggeris selaras dengan peranannya sebagai bahasa utama dunia.

Peserta SK Sg Bedaun ceria bergambar bersama Fasilitator dari United Kingdom, MyOutreach@UK Team.

Menurut Puan Noor Farehin Mohd Yusof, Ketua Panitia Bahasa Inggeris,  sebanyak 15 buah sekolah sekitar Sabah yang terpilih  dengan tajaan oleh Maybank dalam program “Seed of the Future Initiative” dan SKSB merupakan satu-satunya sekolah mewakili Wilayah Persekutuan Labuan yang mendapat tajaan daripada Maybank Berhad cawangan Labuan.

Beliau melahirkan rasa kesyukuran dan berterima kasih kepada pihak  pengurusan Maybank Berhad atas pemilihan ini.

“ Alhamdulillah, peserta-peserta SKSB memberi maklumbalas yang positif. Mereka bukan sahaja dapat belajar Bahasa Inggeris dalam persekitaran yang responsif dan menyeronokkan malah dapat berkenalan dengan peserta-peserta dari sekolah lain ”. Katanya semasa majlis penutupan kem tersebut.

Encik Shalihin Bin Bakhrul (kiri), Puan Noor Farehin Mohd Yusof (empat dari kanan) bergambar ceria bersama peserta SEAS SKSB.

Program SEAS telah dirasmikan oleh Puan Jenifer Lasimbang, Pembantu Menteri Pelajaran Dan Inovasi, Sabah. Turut hadir Dr Zainab binti Kassim, Pengarah Sabah  English Aspirations Society, Team CR Maybank , Encik Sirhajwan Idek, Guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional Keningau yang pernah menjadi Juara Dunia bagi International Innovation and Entrepreneurship Excellence in Teaching Award di Paris pada tahun 2017. Fasilitator dari United Kingdom,  MyOutreach@UK Team dan fasilitator daripada Kolej Vokasional Keningau, Sabah.

Guru Besar SKSB, Puan Dg. Sarifah Binti A. Mahmod turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Maybank Berhad yang telah memberi peluang kepada murid-murid SKSB untuk menyertai kem tersebut.

 “ Sekali lagi ucapan terima kasih kami warga SKSB kepada Maybank dan SEAS atas sumbangan buku-buku kepada para peserta dan juga untuk sudut-sudut bacaan di SKSB ”. Katanya dengan penuh bangga.

Beliau berharap semoga input yang diperolehi oleh anak-anak SKSB melalui kem ini dapat  meningkatkan keyakinan diri untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris bagi mencorak pemikiran generasi masa depan serta dapat membina hubungan rapat di antara sekolah  dengan SEAS melalui ‘Smart Partnership’ berkaitan dengan perkongsian ilmu dan kepakaran khususnya dalam penguasaan Bahasa Inggeris.

Peserta SKSB merakamkan gambar kenangan bersama Dr Zainab binti Kassim (bertudung merah), Encik Sirhajwan Idek (kanan)

Semoga program ini dapat diteruskan lagi  dan dapat memberi peluang kepada murid-murid lain untuk menyertai program yang sangat bermanfaat ini.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Peserta SEAS merakamkan gambar kenangan di bilik penginapan mereka di SJKC Pei Yin, Membakut.
Peserta SEAS lelaki begitu ceria bergambar bersama rakan-rakan mereka daripada pelbagai sekolah yang mengikuti kem.



SMK Labuan Beri Saingan Sengit, Karnival Kokurikulum Tingkatan Enam Peringkat Negeri Sabah

Labuan 8 Ogos – SMK Labuan telah memberikan saingan yang sengit dalam Karnival Kokurikulum Tingkatan Enam Peringkat Negeri Sabah yang telah berlangsung di SMK Pengiran Omar (SMKPO), Sipitang Sabah pada 4 hingga 5 Ogos 2019.

Karnival yang dikelolakan oleh Pusat Tingkatan Enam SMK Pengiran Omar Sipitang ini telah dirasmikan oleh Pg. Mohd Yacob bin Pg Hj Omar, Pemimpin Pembangunan Masyarakat, wakil rasmi Datuk Dr Yusof bin Hj Yacob, Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah.

SMK Labuan telah menyertai 7 acara iaitu Petanque, Bola Jaring, Futsal Lelaki, Futsal Perempuan, Badminton, Bola Tampar dan Catan (Seni Visual) yang diwakili oleh 40 orang pelajar, diiringi oleh 12 orang guru.

Tujuh sekolah telah menyertai karnival ini yang terdiri daripada SMK Pengiran Omar Sipitang, SMK Merapok Lawas, SMK Beaufort, SMK Keningau 2, SMK Majakir, SMK Kinarut dan SMK Labuan.

Pasukan Catan Seni Visual SMK Labuan paling menyerlah dengan menyapu bersih tiga tempat kedudukan teratas. Irham Zulhilmi Mohd Johan muncul sebagai johan, Nassuha Erdina Dollah meraih tempat kedua dan Annisha Khairen Ishak tempat ketiga.

Pasukan Petanque SMK Labuan juga tidak kurang hebatnya dengan muncul johan, mengalahkan SMKPO A di tempat kedua dan SMKPO B di tempat ketiga. Skuad Petanque SMK Labuan diwakili Mohd Aiman Shah Ahmad Satiah, Siti Noorhafiza Nazwa Norizan, Mohd Syamil Zharfan Zulphian, Mc Olsen Harry, Zulaikha Nabilla Zulkifli dan Kellvictor Kimlin.

Catan (Seni Visual) dari kiri Annisha (ketiga), Irham (Johan), Nassuha (Naib Johan)
SMKL Johan Petanque, dari kiri Ustaz Mohd Sanusi, Hj Mazri, Encik Ismail, Encik Saminan dan Puan Evelyn

Dalam Pertandingan Badminton, pasukan SMKPO dinobatkan sebagai juara, diikuti SMK Merapok di tempat ke dua dan SMK Labuan di tempat ke tiga.

SMKPO A juga muncul johan acara futsal perempuan diikuti SMK Labuan dan SMKPO B. Dalam kategori futsal lelaki, johan disandang SMK Beaufort, kedua SMKPO Team B dan ketiga SMK Labuan.

SMK Keningau 2 muncul juara acara Bola Jaring, naib johan SMK Labuan dan ketiga SMK Pengiran Omar Sipitang.

Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah merakamkan penghargaan dan terima kasih atas sokongan dan bantuan PIBG SMK Labuan dan para ibu bapa.

Beliau berkata Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan berhasrat untuk menganjurkan Karnival Kokurikulum Tingkatan 6 Peringkat Antarabangsa pada tahun 2020 melibatkan Sekolah, Pusat Tingkatan 6 / Pra Universiti dari Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia dan Brunei Darussalam.

Berita Oleh : SMK Labuan

SMKL (berdiri) Naib Johan Futsal perempuan, bersama Johan SMKPO (duduk)
SMKL Naib Johan Bola Jaring, Cikgu Napsiah Ibrahim (2 kiri) dan Cikgu Hjh Hamidah Omar (3 kiri)



Murid 12 tahun menjuarai 4th Malaysia Open International Taekwondo Championship 2019

6 Ogos 2019 / Labuan – Mohammad Mainiezam
Bin Maswandie, murid 12 tahun yang bersekolah di SK Tanjung Aru telah
mengharumkan nama Labuan sekali lagi tahun ini dengan memenangi pingat emas
dalam 4th Malaysia Open International Taekwondo Championship 2019 pada 2 hingga
4 Ogos yang bertempat di Stadium Juara, Mont Kiara, Kuala Lumpur, Malaysia.

Murid ini juga telah menyertai
pertandingan ini selama tiga tahun berturut-turut dan sentiasa mencapai
kejayaan yang cemerlang. Murid ini pernah mendapat tempat kedua bagi kategori
yang sama pada tahun lalu dan kini adik Mohd Mainiezam membuktikan bahawa
dirinya boleh menjadi lebih baik daripada tahun sebelum ini. Hasil daripada sokongan
dan didikan daripada ibu bapa, adik Mohammad Mainiezam akhirnya berjaya
mendapat juara pada Kejohanan ini. 
Disiplin serta azam yang tinggi daripada diri murid ini sendiri turut
menyumbang kepada kejayaannya pada kali ini.

Negara-negara
luar yang terlibat dalam pertandingan ini termasuklah Indonesia, Singapura,
Kemboja, Nepal, India, Brazil dan China. Kesemua peserta yang terlibat
memberikan saingan yang sengit dalam setiap kategori yang dipertandingkan.
Namun begitu, hal ini tidak meruntuhkan semangat murid 12 tahun ini dan setelah
bertanding selama 3 hari, murid ini membuktikan bahawa dirinya dapat mengatasi
semua cabaran dalam kategori ‘Kyorugi’ lelaki 10-12 tahun (Heavy Weight) dan
akhirnya berjaya merangkul pingat emas dengan menewaskan lawan daripada Negeri
Sembilan.

Ucapan
setinggi-tinggi tahniah juga  diberikan
kepada murid ini daripada seluruh warga SK Tanjung Aru sempena kemenangannya
pada tahun ini.




Hari Koperasi Sekolah (HKS) SMK Labuan Suburkan Budaya Keusahawanan dan Kemasyarakatan

Labuan, 31 Julai – Hari Koperasi Sekolah (HKS) SMK Labuan telah menyuburkan budaya keusahawanan dan kemasyarakatan, demikian intipati ucapan perasmian oleh Datuk Hajah Noraini binti Datuk Seri Panglima Hj Salleh, Pengerusi Perhubungan ANGKASA Negeri Sabah.

Beliau berkata, Koperasi sekolah menyediakan murid-murid dengan peluang menimba pengalaman dalam bidang perniagaan. Ini secara langsung juga dapat memberi impak kepada pembangunan sifat-sifat positif murid seperti rajin, jujur, bekerjasama dan komited terhadap tanggungjawab yang diberi.

Hari Koperasi Sekolah (HKS) SMK Labuan 2019 yang berlangsung pada 28 Julai lalu, menyediakan pelbagai aktiviti dan pengisian. Antaranya Koop Run 5 KM, menyediakan gerai jualan, pameran, pertandingan karya penulisan, mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan melukis untuk pelajar dan lawatan kemasyarakatan.

Hari Koperasi SMK Labuan bertambah meriah dengan hasil gabungan kerjasama agensi lain melalui aktiviti seperti kitar semula bersama Perbadanan Labuan, menderma darah bersama Jabatan Kesihatan WP Labuan, pertandingan Petanque bersama Jabatan Belia dan Sukan, ceramah pendidikan keusahawanan bersama Perbadanan Nasional Berhad dan pameran pelbagai agensi.

Koperasi SMK Labuan Berhad berazam untuk terus memberi sumbangan positif kepada sekolah amnya dan kepada murid-murid khasnya. Ini juga secara kolektifnya akan memberi sumbangan kepada kemajuan gerakan koperasi di peringkat nasional.

Jumlah jualan Koperasi SMKL Berhad bagi tahun berakhir 31 Mac untuk 3 tahun terakhir bermula 2017 hingga 2019 menunjukkan peningkatan yang semakin ketara.

Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah berkata pihak sekolah komited dengan peranan koperasi sekolah iaitu  membantu membangunkan modal insan yang kompetitif serta berpotensi untuk memperkukuhkan bidang keusahawanan negara.

Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam pameran-pameran serta aktiviti kitar semula, yang merupakan aktiviti yang menyumbang kepada penyuburan sikap menghargai alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

Di majlis yang sama, Adik Kizzer Poh dan Siti Nordiana binti Abdullah, masing-masing telah mendapat Anugerah Khas Koperator Lelaki dan Perempuan Terbaik 2019.

Turut hadir Encik Jaafar bin Matusin, Penolong Pengarah Unit Kokurikulum, Jabatan Pendidikan WP  Labuan, Tuan Haji Md Yusof bin Haji Chuchu, Yang Dipertua PIBG SMK Labuan, Encik Azmaniansyah Bin Bachok, Pegawai Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Labuan, Puan Yantie Bakir, Ketua Peladang Muda, Pertubuhan Peladang Kawasan Labuan Selatan.

Berita Oleh : SMK Labuan

Dari kiri Encik Kitli, Encik Jaafar, Encik Azmaniansyah, Encik Ismail, Datuk Hjh Noraini, Tuan Hj Yusof, Encik Saminan dan Puan Yantie



Pelari Sabah kuasai KOOP Run SMK Labuan 2019

Labuan, 31 Julai – Pelari dari Sabah Safree Sabdin dan Marlin Hing William mengungguli KOOP Run 5 Kilometer SMK Labuan 2019 yang diadakan pada ahad lalu bersempena dengan Hari Koperasi Sekolah SMK Labuan.

Safree Sabdin dari Penampang Sabah menguasai kategori Lelaki, meninggalkan Aizan Sofizan (Tamparuli) ditempat kedua dan Fabian Osmond Daimond (Inanam) ditempat ketiga.

Marlin Hing muncul juara kategori Perempuan dengan mengatasi pencabar terdekat Melsheira Jumit dari Tenom dan Davein Joyce a/p Habalan dari Beaufort, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Johan bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai RM 500 dan sijil penyertaan. Naib johan dan tempat ketiga mendapat RM 300 dan RM 100 berserta sijil.

Manakala tempat ke 4 hingga ke 10 membawa pulang wang tunai RM 50 dan sijil penyertaan.

Seramai 240 orang peserta telah menyertai larian ini yang telah disempurnakan oleh Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail bin Abdullah.

Peserta-peserta KOOP Run 5 km SMKL 2019

Encik Ismail mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak-pihak yang menyumbang hadiah-hadiah sempena Koop Run SMK Labuan ini.

“Semoga acara ini akan menjadi daya tarikan untuk acara yang lebih besar kerana SMK Labuan bercadang untuk menganjurkan Larian SMK Labuan 100 Tahun pada tahun 2021 nanti, seterusnya menyemarakkan pelancong luar datang ke Labuan”. Encik Ismail Abdullah

Turut memeriahkan program tersebut, Yang DiPertua PIBG SMK Labuan, Tuan Haji Md Yusof Haji Chuchu, Puan Zalina Zunkepely (Penolong Kanan Pentadbiran), Puan Marziawati Mardan (Penolong Kanan Hal Ehwal Murid), Encik Cheah Teong Aik (Penolong Kanan Kokurikulum), Encik Saminan Sabtu (Penolong Kanan Pusat Tingkatan Enam) dan Encik Kitli Beka (Penolong Kanan Petang).

Berita Oleh : SMK Labuan

Encik Ismail bersama para pemenang kategori lelaki KOOP Run SMK Labuan 2019



Program Peningkatan Penguasaan Tahap Minimum Matematik Murid-murid Tahun 6 Sekolah-sekolah Rendah W.P Labuan

LABUAN, Sabtu – Jabatan Pendidikan W.P Labuan (JPWPL) dan anjuran bersama Task Force Matematik JPWPL dan Pusat Pungutan Zakat W.P Labuan mengadakan Program Peningkatan Penguasaan Tahap Minimum Matematik Murid-murid Tahun 6 Sekolah-sekolah Rendah W.P Labuan bertempat di Dewan Institut Latihan Perindustrian (ILP). Program ini disertai seramai 160 orang murid calon UPSR seluruh W.P Labuan dan 55 orang guru terdiri daripada PK pentadbiran, ketua panitia Matematik dan guru-guru Matematik Tahun 6.
Penceramah jemputan program peningkatan ini ialah Encik Azri bin Omar yang merupakan ketua pasukan bersama pemeriksa kertas. Beliau juga merupakan seorang penggubal soalan dan guru cemerlang (Matematik).

Program ini bertujuan memantapkan mengukuhkan keyakinan diri, memberi kesedaran dan memantapkan kemahiran murid menjawab soalan kertas UPSR – Matematik dengan menggunakan teknik dan kaedah menjawab yang betul dan tepat dan meningkatkan kemahiran pedagogi guru dalam kaedah mengajar murid menjawab soalan dengan tepat dan betul. Selain itu, objektif program ini adalah untuk membantu murid-murid Tahun 6 pencapaian sederhana menguasai tahap minimum dalam mata pelajaran Matematik – UPSR.

Pengarah JPWPL, Raisin bin Saidin, yang telah merasmikan program ini dalam ucapannya berharap agar program ini dapat memberi impak kepada semua murid yang menyertai program ini. Beliau juga berharap melalui perkongsian ilmu dan pengalaman penceramah akan membantu meningkatkan prestasi subjek Matematik di Wilayah Persekutuan Labuan dalam UPSR pada tahun ini. Pengerusi Task Force Matematik JPWPL, Norinnie binti Kassim turut mengucapkan terima kasih kepada guru dan murid dari 15 buah sekolah yang menyertai program ini. Beliau juga berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi meningkatkan kecemerlangan prestasi mata pelajaran Matematik di Wilayah Persekutuan Labuan. Turut hadir Ustaz Hj Ahmad Shahrizal Bin Mohd Saffian, Pengurus Pusat Pungutan Zakat W. P Labuan dan Timbalan Pengerusi Task Force Matematik, Puan Murni binti Jaafar.