1

Majlis Pelancaran Ihya’ Ramadan 1445/2024M Peringkat Jabatan Pendidikan W.P. Labuan

Labuan, 11 Mac 2024 – Tazkirah ‘Ambang Ramadan’ membuka tirai majlis pelancaran Ihya’ Ramadan 1445H peringkat Jabatan Pendidikan WP Labuan yang menampilkan penceramah Dr. Nik Azlan bin Nik Man, Timbalan Mufti, Pejabat Mufti WP Labuan di Bilik Mesyuarat Botanikal pagi tadi.

Sektor Pendidikan Islam (SPI) JPWPL selaku pengelola utama telah menganjurkan pelbagai aktiviti menarik sepanjang Ramadan 1445H. Warga Jabatan Pendidikan WP Labuan berpeluang menyertai aktiviti-aktiviti tersebut sambil mengisi masa terluang di samping melipat gandakan amalan ibadah. Antara pengisian yang telah dirancang ialah sambutan Nuzul Quran, Tadarus dan majlis khatam Al-Quran, Tabung Ihya Ramadan, Pertandingan Sihat Ramadan, jaulah ramadan, kuiz, pertandingan tulisan khat dan ziarah kasih ramadan bersama keluarga murid asnaf.

Programt ihya’ Ramadan telah disempurnakan oleh Tuan Haji Abidin bin Marjan, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan yang turut bersama-sama memeriahkan majlis.

Dalam ucapan pelancarannya, beliau mengajak seluruh warga Jabatan Pendidikan W.P. Labuan untuk bersama-sama meningkatkan amal ibadah dan mengambil peluang sebaiknya dalam mencari keredhaan Ilahi di Bulan mulia ini. Beliau juga menzahirkan ucapan terima-kasih kepada penyelaras program kerana menjemput penceramah dan berharap dapat bertemu kembali pada perhimpunan bulanan jabatan pada bulan ini.

Beliau turut menyampaikan satu potongan hadis yang berbunyi :

“Seandainya manusia mengetahui keistimewaan Ramadan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadan”
– Hadis Riwayat al-Thabrani, Ibnu Khuzaimah & al- Baihaqi.

”Perbanyakkan sedekah, membaca al-Quran dan beristigfar di bulan ini, jika semua harta adalah racun, maka zakat itu penawarnya”. tambahnya lagi.

Dalam tazkirah Ahlan Ya Ramadan, Dr. Nik Azlan berkongsi mengenai kelebihan dan keindahan bulan Ramadan.

Menurutnya, ramadhan adalah bulan keampunan, bulan pembebasan dari api neraka, bulan Al-Quran, bulan yang digandakan ganjaran pahala, bulan lailatul qadar, bulan doa dimakbulkan serta bulan yang penuh dengan limpahan rahmat dan berkat.

Penutup majlis ini diisi dengan slot penyampaian cenderahati kepada penceramah dan diikuti dengan sesi jamuan makan tengah hari yang dilaksanakan secara ‘portluck’ oleh setiap sektor.

Majlis tersebut turut dihadiri Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembelajaran, Encik Haji Sawal Salleh Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pengurusan Sekolah, Encik Ag Marten Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembangunan Murid, Hajah Kamariah binti Salim Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam dan pegawai dan staf jabatan pendidikan.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam




BRISK WALK – GEOTAPAK TANJUNG LAYANG-LAYANGAN, ANJURAN KELAB PENDIDIKAN

Labuan, 28 Jan 2024 – Seramai 50  warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) menyertai Brisk Walk- Geotapak Tanjung Layang-Layangan anjuran Kelab Pendidikan (KelPen), JPWPL bermula jam 7.00 pagi tadi.

Brisk walk iaitu berjalan menyelusuri pantai Tanjung Layang-layangan ini merupakan aktiviti kedua yang dianjurkan KelPen sesi 2024/2025 selepas Hari Keluarga. Aktiviti pagi tadi dimulai dengan taklimat ringkas dari geoguide berpengalaman, Encik Nazli Ho Abdullah dan sesi pemanasan badan.

Menurutnya, Geopark Labuan terdapat tiga tapak iaitu Geotapak, Biotapak dan Tapak Budaya. Di Geotapak Tanjung Layang-Layangan terdapat Lapisan Silang, Lanskap Hakisan Pantai dan Gerbang Laut yang terbina 15 juta tahun dahulu.

Geopark Labuan telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang baharu pada 16 Disember 2021 semasa Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan Bilangan 1 Tahun 2021. Sekaligus menjadikan Geopark berkenaan satu lagi produk  pelancongan  yang bakal menarik pengunjung ke Labuan.

Geopark Kebangsaan Labuan yang berkeluasan 402 kilometer persegi mempaparkan evolusi endapan batuan dan landskap yang membentuk Pulau Labuan serta tapak-tapak biologi.

Aktiviti pada pagi tadi berakhir dengan sesi penyampaian hadiah oleh Pengerusi KelPen Puan Suriani Alland Rice Onxley kepada 5 orang pemenang kuiz geopark iaitu Encik Jurukan Jinseng, Puan Evionna Sambai, Datin Hanijah, Puan Julynah Wali dan Puan Kamariah Salim serta penyampaian Sijil Penghargaan kepada geoguide.

Berita Oleh : Kelab Pendidikan JPWPL




Program RIMUP diperkasa, Perpaduan Madani terserlah

 

LABUAN –  Sambutan Perayaan Krismas dan Tahun Baharu Cina telah disambut dengan meriah oleh seluruh warga sekolah di Dewan Muhibah, SM St.Anne baru-baru ini.

Pengetua SM St.Anne, Mary Anita Abah dalam ucapannya mengucapkan rasa syukur kerana walaupun dalam kesibukan guru-guru membuat persediaan untuk murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada Isnin nanti namun masih sanggup bertungkus lumus menjayakan majlis sebegini dengan jayanya. Selain itu, katanya semangat perpaduan dan semangat hidup bermasyarakat ini antara elemen yang perlu diberikan tumpuan bagi mengelakkan wujudnya isu polarisasi perkauman antara murid di sekolah. Sebaliknya, sejak alam persekolahan inilah murid-murid dibiasakan untuk menjiwai kemanisan hidup bermasyarakat dengan mengakui, menghargai dan meraikan keragaman budaya dan agama selaras dengan konsep Perpaduan Madani.

 

Majlis sambutan ini telah dirasmikan oleh YDP PIBG SM St.Anne, Bonis Samid. Dalam ucapannya, beliau berkata amalan menyambut perayaan bersama-sama ini salah satu mekanisme yang dilakukan oleh pihak sekolah dalam memperkasakan program Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP). Kemeriahan sambutan perayaan ini turut sama dirasai oleh beberapa orang tetamu jemputan antaranya ibu bapa, AJK PIBG, ahli Lembaga Sekolah, Paroki Gereja Sacrament WP Labuan, Rev.FR.Thomas Madanan, Guru Besar SKK St.Anne, Cecilia Chua, Guru Besar Tadika St.Anne, SR Julie Bating dan Pegawai Perhubungan Sekolah, ASP Dorarin Guanoi.

Dalam ucapan perasmian itu juga Bonis Samid telah menyatakan bahawa secara peribadi beliau sangat menyokong amalan menyambut perayaan bersama-sama ini. Menurutnya, galakan menyambut perayaan bersama-sama ini sememangnya patut diterapkan sejak di bangku sekolah lagi. Katanya lagi, guru dan murid sama-sama dapat melihat sendiri perbezaan kepelbagaian budaya yang akhirnya melengkapkan diri mereka menjadi warganegara Malaysia yang bertuah. Oleh itu, sewajarnya hasrat KPM untuk memperkasa program Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP) di semua sekolah perlu disokong dan dijayakan bersama-sama.

            Pelbagai pengisian dimuatkan dalam majlis sambutan ini antaranya persembahan tarian singa, pertandingan “Miss Chinese”, pemberian ang pao dan limau mandarin, cabutan bertuah, persembahan biola, nyanyian, dan tarian kipas.

 

Mary Anita Abah, Pengetua SM St.Anne menyampaikan ucapan alu-aluan

Bonis Samid, YDP PIBG selaku perasmi majlis Sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu Cina

Dari kanan Aydah Patarusi, Penolong Kanan Pentadbiran, Mary Anita Abah, Cecilia Chua, Guru Besar SKK St.Anne bersama-sama dengan murid Sek Men St.Anne

Rev.FR.Thomas Madanan empat kiri, Mary Anita Abah tiga kiri bersama-sama dengan ibu bapa murid yang menyumbangkan persembahan tarian singa

ASP Dorarin Guanoi, kanan, bersama-sama dalam menyempurnakan gimik perasmian

Lovely Hossana membuat persembahan biola

Pertandingan “Miss Chinese” yang melibatkan semua kelas Tingkatan 1 hingga 4

Pertandingan “Miss Chinese” yang melibatkan semua kelas Tingkatan 1 hingga 4




IMPAK 3.0 MENJALIN KEBERSAMAAN IBU BAPA CALON SPM 2023 SMK PANTAI.

Majlis Inisiatif Menuju Puncak Kejayaan (IMPAK) 3.0 telah diadakan pada 9 Disember 2023 di Dewan
SMK Pantai, dihadiri oleh seramai 159 calon SPM 2023 SMK Pantai bersama ibu bapa masing-masing.
Antara objektif majlis IMPAK 3.0 diadakan ialah supaya :
1. Ibu bapa mengetahui prestasi terkini akademik anak masing-masing
2. Ibu bapa lebih jelas tentang peranan sokongan kepada anak-anak menjelang SPM 2023
3. Ibu bapa dan guru bersama-sama berusaha membantu peningkatan prestasi murid-murid hingga tarikh peperiksaan bertulis SPM
4. Murid-murid dan ibu bapa mempunyai pertanggungjawaban yang sama dalam menghadapi SPM
5. Murid, ibu bapa dan guru sepakat dan bersungguh-sungguh mencapai matlamat SPM 2023 iaitu 100% layak mendapat sijil dan Gred Purata Sekolah (GPS) 4.40, sekurang-kurangnya 8 orang mendapat semua A. Dalam majlis berkenaan, Pengetua SMK Pantai Encik Ismail Abdullah telah membentangkan pencapaian murid-murid tingkatan 5 dalam Peperiksaan Percubaan SPM 2023 termasuk matlamat yang diletakkan kepada setiap murid untuk dicapai semasa SPM sebenar.

Pengetua juga membentangkan intervensi dan strategi pihak sekolah untuk memastikan semua calon SPM mencapai kejayaan mengikut keupayaan masing-masing tanpa mengira murid tersebut adalah murid lemah, sederhana atau cemerlang. Pengisian lain dalam majlis berkenaan ialah Warkah Untuk Ibu Bapa iaitu murid-murid menulis warkah yang menyatakan perasaan masing-masing dan diserahkan kepada ibu bapa untuk dibaca. Ikrar Murid juga diadakan untuk menyatakan aku janji murid-murid di hadapan ibu bapa dan guru untuk berusaha mencapai kejayaan dalam SPM.

Di akhir majlis, Ikrar Ibu Bapa juga diadakan untuk menyatakan janji dan usaha pihak ibu bapa memastikan anak masing-masing bersedia menghadapi SPM serta menyokong segala usaha pihak sekolah untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif saat akhir membantu calon-calon SPM 2023 SMK Pantai. Bacaan Ikrar Ibu Bapa diketuai oleh Puan Noraini binti Samsu, Penolong Pendaftar Kanan UMSKAL iaitu ibu kepada Nur Waheeda binti Mohd Rizal, murid Tingkatan 5 Principled SMK Pantai.

 




IDEA BARU SSN SMK MUTIARA JAYAKAN KEM PEMANTAPAN SAHSIAH

Oleh: Muhammad Izzuddin Bin Mahamad Nazeri

 

LABUAN, 21 OKTOBER 2023: Seramai 130 orang pelajar daripada 10 buah sekolah telah menyertai Kem Pemantapan Sahsiah peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang dianjurkan oleh SSN SMK Mutiara. Objektif program ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk membentuk  sahsiah yang unggul dan terpuji serta menerapkan elemen karamah insaniah bagi menjayakan aspirasi anak yang baik lagi cerdik. Program ini berlangsung selama dua hari bermula dengan sesi E-Ceramah yang bertajuk ‘’Teladan Terbaik Sepanjang Zaman: Mencari Syurga dengan Akhlak Nabi” yang disampaikan oleh Pencetus Ummah Akram Ikrami. Beliau menekankan amalan berselawat kepada nabi Muhammad saw sebanyak 300 kali akan mempermudahkan segala urusan harian kita serta dimurahkan rezeki.

Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah slot ceramah, latihan dalam kumpulan dan amalan penghayatan islam. Slot pertama dimulakan dengan ceramah yang bertajuk Sahsiah Terpuji, Akhlak Diteladani yang disampaikan oleh Tn. Hj. Norazlan Bin Mahmood. Beliau juga menekankan bahawa kepentingan berakhlak mulia merupakan tunjang utama kejayaan sebagai seorang pelajar. Selain itu, para peserta juga menunaikan solat dhuha secara berjemaah. Pemantapan amalan penghayatan islam melalui solat dhuha ini merupakan rahsia utama kejayaan yang cemerlang telah dikecapi oleh golongan yang berjaya.

Seterusnya, slot ceramah yang kedua pula disampaikan oleh Ustaz Ibrahim Bin Che Mad yang bertajuk Penghayatan Al-Quran membentuk Sahsiah Unggul. Beliau mengingatkan kepada pelajar agar tidak meninggalkan bacaan Al-Quran dalam amalan seharian. Selanjutnya, sesi petang pula diteruskan dengan aktiviti didik hibur yang bertajuk ‘’Menyingkap Rahsia Kejayaan dalam Perang Badar’’ yang dikelolai oleh Ustaz Muhammad Izzuddin Bin Mahamad Nazeri, Penyelaras Kem Pemantapan Sahsiah 2023. Segmen Perang Badar: Aura Al-Qassam ini telah mencetuskan  detik  kegembiraan dan terpancar kepuasan pada wajah para peserta melalui aktiviti perang belon air. Para peserta akan bertempur menggunakan belon air sebagai senjata dan berusaha mengatur strategi bagi menawan kubu pasukan pihak lawan.

Akhir Sekali, majlis penutupan kem pemantapan sahsiah peringkat Wilayah Persekutuan Labuan tahun ini telah dirasmikan oleh Puan Hajjah Kamariah Binti Salim, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Pengetua SSN SMK Mutiara, Encik Awang Rozlan Bin Manan dan seluruh jawatankuasa kerja Kem Pemantapan Sahsiah kerana telah berjaya membawa idea baru dan kelainan dengan pelaksanaan aktiviti yang sangat menarik, segar dan lari daripada kebiasaan. Tambahannya pula, para peserta dan guru pengiring sangat menunjukkan penglibatan yang aktif dan produktif sepanjang program berlangsung.

 

Sesi bergambar tanda kenang-kenangan, melibatkan para peserta, urusetia dan juga pengiring bersama Puan Hajjah Kamariah Binti Salim, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam JPWPL dan Pengetua SSN SMK Mutiara, Encik Awang Rozlan Bin Manan.

Sesi penyampaian cenderahati daripada Tuan Pengetua kepada perasmi program iaitu Puan Hajjah Kamariah Binti Salim.

Urusetia pendaftaran sedang menantikan para peserta untuk mendaftar seawal jam 7.00 pagi

Gambar para peserta lelaki sebelum memulakan aktiviti “Perang Badar: Aura Al-Qassam”

 

Gambar para peserta perempuan sebelum memulakan aktiviti “Perang Badar: Aura Al-Qassam”

 

Penyampaian cenderahati oleh Ustaz Sahrum Bin Samlan, Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam kepada penceramah program.

Ucapan Perasmian Penutup yang disampaikan oleh Puan Hajjah Kamariah Binti Salim, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan




FORUM BAITI JANNATI: ANAK YANG BAIK LAGI CERDIK BERLANDASKAN AL-QURAN DAN SUNNAH CETUSKAN INSPIRASI DAN MARTABATKAN KELAS ALIRAN AGAMA SSN SMK MUTIARA

LABUAN, 5 OGOS 2023. Penyelaras Kelas Kemahiran Quran, Kelas Aliran Agama SSN SMK Mutiara dengan Kerjasama Persatuan Ulama’ Malaysia telah berjaya menganjurkan  forum Baiti Jannati: Anak Yang Baik Lagi Cerdik Berlandaskan Al-Quran Dan Sunnah pada 5 Ogos 2023 bertempat di Dewan Kuliah Utama, Institut Latihan Perindustrian, Labuan. Sokongan dan kolaborasi yang mantap juga diberikan oleh pihak pentadbiran Institut Latihan Perindustrian (ILP Labuan), Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah-Sekolah (PEKDIS), Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG SSN SMK Mutiara) dan Persatuan Anak Muda Labuan (PAMULA) bagi menjayakan diskusi ilmiah ini buat masyarakat di Wilayah Persekutuan Labuan. Program ini telah dirasmikan oleh Puan Noraini binti Hj Sabudin, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Tambahan pula, Encik Hisham Abdul Aziz yang merupakan Penolong Kanan Pentadbiran SSN SMK Mutiara menyatakan bahawa pembentukan anak yang baik lagi cerdik itu bukan sahaja mampu memacu kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan. Bahkan, ianya juga mampu mengukir senyuman pada wajah ibu ayah tercinta serta disukai masyarakat.

Seramai 170 orang telah menyertai program ini dengan jayanya melibatkan murid dari SSN Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara, pelajar Institut Latihan Perindustrian Labuan, Madrasah Tahfiz Al Quran Sri Merinding serta masyarakat sekitar. Ustaz Muhammad Izzuddin selaku penyelaras program dan moderator forum telah menjemput dua orang panel program yang dibawakan khas dari Universiti Malaya iaitu Prof. Dr Mohd Roslan Bin Mohd Nor dan Dr. Mohd Safwan Bin Harun. Penglibatan aktif dua tokoh cendekiawan ini dalam hal ehwal islam di negara kita tidak dapat disangkal lagi apabila Prof Roslan dan Dr Safwan menekankan bahawa pembentukan peribadi anak yang baik lagi cerdik berlandaskan Al-Quran dan Sunnah merupakan strategi terbaik dan ampuh dalam membentuk keluarga bahagia serta memartabatkan konsep yang sering diungkapkan oleh Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia, Dato Hj Pkharuddin Hj Ghazali. Tujuan penganjuran program ini adalah untuk memantapkan institusi kekeluargaan ke arah pencapaian yang cemerlang dalam diri pelajar yang baik lagi cerdik serta penerapan karamah insaniah dalam pembangunan masyarakat dan negara.

Prof Dr Mohd Roslan Bin Mohd Nor, Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya menekankan bahawa pendekatan pendidikan anak-anak berlandaskan Al-Quran merupakan tunjang utama dalam merealisasikan slogan Anak yang baik lagi cerdik. Selain itu, Dr Mohd Safwan Bin Harun, Pensyarah Kanan Universiti Malaya menjelaskan bahawa pelaksanaan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah merupakan elemen penting bagi menentukan kejayaan seseorang pelajar. Antara amalan yang boleh diaplikasikan ialah bersedekah, solat pada malam hari, berdoa dan bersangka baik dengan takdir Allah. Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan  yang telah memberikan sumbangan kewangan demi menjayakan program yang berimpak ini. Semoga segala jasa baik yang diberikan oleh semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini akan menjadi wasilah dan bekalan baik kita semua untuk agama, bangsa dan negara.

Poster Program Baiti Jannati: Anak Yang Baik Lagi Cerdik Berlandaskan Al-Quran Dan Sunnah.
Duduk dari kanan: Dr. Mohd Safwan Bin Harun merupakan pensyarah kanan Jabatan Fiqh dan Usul Universiti Malaya, Prof Dr Roslan Bin Mohd Nor selaku Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya serta Ustaz Muhamad Izzuddin Bin Mahamad Nazeri dari SSN SMK Mutiara.
Para peserta sedang mengalunkan zikir asmaul husna sebelum forum bermula
Ucapan perasmian disampaikan oleh Puan Noraini binti Hj Sabudin, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
Prof Dr Mohd Roslan Bin Mohd Nor dan Dr Mohd Safwan Bin Harun mewakili Persatuan Ulama’ Malaysia menyampaikan cenderahati kepada Encik Hisham Bin Abdul Aziz, Penolong Kanan Pentadbiran SSN SMK Mutiara.
Sesi fotografi guru-guru SSN SMK Mutiara sebagai tanda kenang-kenangan bersama Prof. Dr Mohd Roslan Bin Mohd Nor dan Dr Mohd Safwan Bin Harun.



PROGRAM SUNTIKAN MOTIVASI “Ubah Diri, Tingkat Prestasi, Capai Misi” MEMBAKAR SEMANGAT MURID CALON SPM

Labuan, 18 Julai – Unit Bimbingan dan Kaunseling SSN SMK Mutiara dan SMK Taman Perumahan Bedaun telah berkolaborasi menjalankan program suntikan motivasi “Ubah Diri, Tingkat Prestasi, Capai Misi”.

Program yang diselaras oleh Encik Ahmad Radzi bin Ab Halim dan Puan Viviana Ayu Saidin tersebut, bertujuan untuk membimbing pelajar mengasah minda positif dan yakin dalam menghadapi cabaran. Di samping itu, mendorong pelajar untuk bermotivasi mencapai matlamat atau impian mereka. Program juga bertujuan untuk mendedahkan kepada pelajar mengenai kaedah atau teknik dalam penetapan matlamat sama ada dalam pembelajaran mahupun alam karier termasuk berkongsikan dengan pelajar teknik dan kemahiran belajar efektif melalui kaedah atas talian dan luar talian.

Program suntikan motivasi dijalankan pada 18 Julai 2023, jam 7.30 pagi hingga jam 4.30 petang, bertempat di Auditorium Labuan International School. Seramai 154 murid tingkatan 5 dari SSN SMK Mutiara dan 104 murid tingkatan 5 dari SMK Taman Perumahan Bedaun telah menghadiri program yang dijalankan.

Turut hadir sepanjang program dijalankan adalah Encik Ag. Rozlan bin Manan, pengetua SSN SMK Mutiara, Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun, Cikgu Christleynie Jaitin, guru bimbingan dan kaunseling SSN SMK Mutiara, Cikgu Anna Karmilla binti Arbani, guru bimbingan dan kaunseling SMK Taman Perumahan Bedaun serta guru-guru SSN SMK Mutiara dan SMK Taman Perumahan Bedaun.

Program dimulakan dengan pendaftaran peserta pada jam 7.30 pagi sebelum disusuli tiga slot ceramah disampaikan oleh Tuan Hadi Hidayah Hj Tutuh, penceramah jemputan dari Master Trainer dan Motivator, Al-Hidayah Training Consultancy (AHTC), Sabah.

Slot-slot tersebut ialah slot Quantum Motivasi Sukses “Ubah Diri, Tingkat Prestasi, Capai Misi”, slot Berani Berimpian Sukses dan slot Mengurus Waktu dan 7 Protokol. Slot Quantum Motivasi Sukses dijalankan selepas murid-murid mendaftar manakala slot Berani Berimpian Sukses dijalankan selepas jam 9.30 pagi iaitu minum pagi. Pada jam 12.30 tengah hari hingga jam 1.30 petang, murid-murid rehat, solat dan makan tengah hari.

Kemudian, Slot Mengurus Waktu dan 7 Protokol diteruskan pada jam 1.30 petang hingga jam 4.00 petang. Hadi Hidayah berkata, “Individu yang berani menyimpan tujuan hidup, sentiasa ingat solat dan ingat ibu bapa adalah individu yang boleh berjaya.”

 Acara kemuncak program ialah sesi penyampaian sijil penghargaan kepada penceramah jemputan oleh NYDP PIBG, SSN SMK Mutiara Puan Susana Binti Binsiu. Seterusnya, Tuan Hadi Hidayah menyampaikan sijil penghargaan pihak sekolah kepada Puan Norazita, pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun dan Cikgu Radzi, wakil pengetua SSN SMK Mutiara. Kemudian, aktiviti bergambar bersama penceramah jemputan dijalankan sebagai penutup tirai program suntikan motivasi “Ubah Diri, Tingkat Prestasi, Capai Misi”.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




PROGRAM PERJUMPAAN SIDANG PERTAMA – RANCANGAN PENDIDIKAN INDIVIDU (RPI)  MURID BERKEPERLUAN PENDIDIKAN KHAS (MBPK) PPKI SMK MUTIARA W.P.LABUAN.

Labuan ,  6  JUN 2023 bertempat di Dewan Semarak Sekolah Sains Sukan SMK Mutiara  – Sejajar dengan Sekolah Transformasi telah dilaksanakan satu program perjumpaan sidang pertama bagi Rancangan Pendidikan Individu (RPI). Seramai 80 orang ibubapa Murid berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK )telah hadir .

Gambar bersama ibubapa MBPK Baju  Kuning Penolong Kanan Pendidikan Khas Roslaniah Zainal Disebelah kiri kemeja kelabu dan bertali leher Pengetua Ag. Rozlan Bin Manan.

Program ini dimulakan dengan ucapan pengenalan daripada Ag.Rozlan Bin Manan Pengetua SSN SMK Mutiara. Seterusnya Ucapan dan penerangan Program RPI oleh Roslaniah Zainal Penolong Kanak Pendidikan Khas SSN SMK Mutiara.

Sesi Penerangan Program RPI  oleh Penolong Kanan Pendidikan Khas Roslaniah Zainal

Secara Ringkasnya Rancangan Pendidikan Individu (RPI) adalah satu dokumen bertulis. Ia dirancang khusus untuk seseorang MBPK. Ia juga dibentuk bertujuan mendokumentasikan segala pengubahsuaian dan penerapan ke atas program pembelajaran dengan kebenaran dan kerjasama ibubapa MBPK. RPI berfungsi sebagai satu alat atau instrument untuk menentukan kerjasama dan kolaborasi antara sekolah, ibubapa MBPK dan jika perlu pegawai pendidikan dan individu dari agensi khidmat sokongan lain.

Ucapan Kata Aluan dan pengenalan Ringkas Program RPI oleh Pengetua SSN SMK Mutiara Ag.Rozlan bin Manan
Sesi Perbincangan oleh Cikgu Khairul bagi menentukan perancangan dan penilaian seseorang MBPK bersama salah seorang  penjaga MBPK

Selesai Ucapan Ibubapa bersama guru berbincang dalam menentukan perancangan, penilaian dan pencapaian satu huraian berhubung dengan perkhidmatan yang diperlukan oleh MBPK.

Majlis berjalan dengan lancar dan berakhir pada jam 4.30 petang.




AKTIVITI MENARIK DISUSUN SEMPENA MINGGU HARI GURU SK BUKIT KALLAM 2023

Majlis dirasmikan oleh Encik Sajali @ Sazalee Hj Dinin, Guru Besar SK Bukit Kallam

Saban tahun, Hari Guru akan disambut pada 16 Mei setiap tahun bagi menghargai pengorbanan guru-guru dalam mendidik anak bangsa. Justeru itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru dengan kerjasama Teacher’s and Non Teacher’s Club (TnT)SK Bukit Kallam menganjurkan Minggu Sambutan Hari Guru Tahun 2023

Minggu Hari Guru dimulakan dengan Majlis Perasmian yang disempurnakan oleh Encik Sajali @ Sazalee Bin Haji Dinin selaku Guru Besar. Semasa majlis tersebut, dimulakan dengan bacaan perutusan Hari Guru oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan Menteri Pendidikan. Bukan itu sahaja, lafaz ikrar guru dan nyanyian lagu Kami Guru Malaysia juga diselitkan.

Bagi memeriahkan majlis,terdapat dua persembahan daripada murid iaitu Deklamasi Sajak dan Poem Recitation yang dalam masa yang sama menyokong Highly Immersive Programme.

Pada sebelah petang pula diadakan aktiviti Senam Zumba, diteruskan dengan Sukaneka dan Perlawanan Bola Jaring yang menyaksikan empat buah rumah sukan yang diwakili oleh Guru dan AKP.

Minggu Hari Guru ini juga akan menyaksikan semua guru akan diundi oleh anak murid untuk Anugerah Hari Guru, seterusnya lawatan ke rumah guru bersara dan juga Majlis Jamuan Makan Hari Guru sebagai penutup program ini.

Lafaz ikrar guru
 
Senam zumba yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Jasmani & Kesihatan
Pelbagai permainan yang dipertandingkan dalam Sukaneka
Perlawanan bola jaring yang menyaksikan Rumah Helang menjadi Johan



Hari Pelaporan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SSN SMK Mutiara WP Labuan Mengesan Perkembangan dan Kemajuan Pembelajaran Murid Berkeperluan Khas

14 Februari 2023 – Hari Pelaporan merupakan kesempatan untuk pihak sekolah menghubungkan ibu bapa, penjaga dan guru bagi berdiskusi dan berkongsi pandangan masing-masing terhadap prestasi murid Berkeperluan Pendidikan Khas di PPKI SSN SMK Mutiara.

Seramai 67 daripada 71 orang ibu bapa dan penjaga yang telah hadir pada sesi ini. Perjumpaan ini melaporkan keputusan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Keberkesanan Intervensi Rancangan Pendidikan Individu, Markah PAJSK serta pendaftaran semula murid bagi kemasukan sesi baharu yang akan bermula pada 20 Mac 2023 ini.

Antara isu yang dibincangkan ialah mengenai hala tuju MBPK selepas menamatkan persekolahan, kesediaan MBPK untuk mengikuti Inklusif Penuh ke Kelas Perdana, kehadiran murid ke sekolah serta tahap perkembangan murid dalam menguasai mata pelajaran teras di sekolah.

Dengan adanya program seperti ini, ibu bapa bukan sahaja dapat mengetahui prestasi anak-anak mereka, malah ianya dapat juga sebagai satu wadah perbincangan kea rah penambahbaikan atau usaha yang boleh dilakukan untuk membantu murid-murid Berkeperluan Pendidikan Khas ini.

Ibu bapa menunggu giliran untuk berjumpa dengan Guru
Ibubapa mengisi borang pendaftaran

Perbincangan diantara guru, ibu bapa dan murid