Guru-guru dan AKP SMK Labuan ikuti Bengkel myPortfolio

Labuan, 31 Okt : Seramai 135 guru dan AKP SMK Labuan telah hadir mengikuti bengkel penyediaan dan pengemaskinian Myportfolio yang telah diadakan pada Sabtu lalu di Dewan Mutiara sekolah berkenaan.

Bengkel yang dibuat secara ‘hands on’ telah dikendalikan oleh Puan Fauziah Ahmad, Puan Ajiejah Lajim dan Puan Norazimah binti Yaacob daripada Jabatan Pendidikan W.P Labuan.

Menurut penyelaras bengkel, Puan Jamaliah Razali berkata bengkel ini bertujuan untuk membuka peluang kepada semua guru dan AKP melengkapkan myPortfolio masing-masing terutamanya dalam membuat pengemaskinian mengikut format terkini.

Salah seorang guru, Cikgu Syafiq Rohim berkata bengkel ini sangat bermanfaat kepada semua guru dalam memahami keperluan perkhidmatan secara lebih terperinci.

“Sebagai guru baharu, saya berasa bertuah kerana telah dibimbing secara bersemuka dan ‘hands on’ oleh pegawai-pegawai JPN” tambah beliau lagi.

Turut hadir dalam bengkel tersebut ialah Penolong-penolong Kanan sekolah iaitu Encik Kitli Beka, Encik Cheah Teong Aik dan Encik Saminan Sabtu.

Berita Oleh : SMK Labuan




Peranti Siswa : 117 Pelajar Tingkatan 6 SMK Labuan Terima Peranti Bantu Pembelajaran

Labuan, 30 Okt : Seramai 117 pelajar Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan bertuah menerima sebuah peranti untuk pembelajaran pada Jumaat lalu.

Insentif kerajaan di bawah program Peranti Siswa ini berjaya menyediakan peluang pembelajaran secara digital dengan lebih berkesan.

Penolong Kanan Tingkatan 6, Encik Saminan Sabtu berkata pelajar-pelajar yang menerima insentif ini adalah dalam kalangan pelajar-pelajar B40 yang menuntut di Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan.

Salah seorang penerima, adik Nurul Syamisha binti Herman Tuah berasa bersyukur atas pemberian khas kerajaan kepada pelajar-pelajar Tingkatan Enam.

“Semestinya peranti ini membolehkan saya dan rakan-rakan belajar dengan lebih berkesan terutamanya dalam menghadapi peperiksaan tidak lama lagi”. Nurul Syamisha

Peranti yang disumbangkan oleh kerajaan adalah berbentuk sebuah tablet berjenama yang dibekalkan oleh sebuah syarikat yang dilantik.

Turut hadir dalam meninjau sesi pengagihan peranti ialah Encik Sahbudin Ag. Muhammad dan Encik Christopher John Sintum, Penolong Pengarah Unit Menengah, Sektor Pengurusan Sekolah.

Berita Oleh : SMK Labuan

Adik Nurul Syamisha dari Kelas 6AA menerima peranti dari Encik Sahbudin
Encik Sahbudin meyampaikan peranti siswa kepada pelajar tingkatan 6AB, adik Thien Hui Shen



Program Pengarah Turun Padang, Kunjungi Calon SPM 2022

Labuan, 25 Okt : SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menerima kunjungan daripada Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad bersama tujuh orang pegawai JPN pada 21 Oktober 2022 (Jumaat).

“Program Pengarah Turun Padang” ke SMKTPB memasuki tahun kedua yang diadakan secara bersemuka dengan 88 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Objektif utama program ini adalah untuk memberi peluang kepada calon SPM 2022 mendengar amanat daripada Tuan Pengarah sebelum menduduki Peperiksaan Percubaan SPM yang akan bermula pada 31 Oktober nanti.

Turut hadir bersama dalam program ini ialah Pngetua SMKTPB, Puan Norazita Md Nor @ Shamsuri, Penolong-Penolong Kanan, Guru Kanan Bidang serta guru-guru mata pelajaran SPM.

Majlis dimulakan dengan bacaan Yassin yang dipimpin oleh adik Mohd Haikal bin Abd Rahim, diikuti dengan bacaan doa munajat yang dipimpin oleh adik Mohamad Nazhim bin Suhaili.

Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yahya bin Ahmad Puteh.

Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa program ini bertujuan untuk memberi sedikit ruang dan peluang kepada Tuan Pengarah untuk bertemu dan berbicara dengan lebih dekat lagi bersama-sama calon SPM 2022.

Beliau berharap agar semua calon dapat menggunakan masa yang masih ada dengan sebaik mungkin demi mencapai target masing-masing dalam SPM.

Encik Yahya juga mengharapkan agar murid-murid dapat hadir penuh ke sekolah agar tidak ketinggalan dalam mana-mana mata pelajaran.

Calon SPM 2022 SMK Taman Perumahan Bedaun

Tambahnya lagi, Jabatan Pendidikan WP Labuan amat yakin dengan pihak sekolah yang sememangnya mempunyai perancangan untuk memastikan pencapaian semua calon SPM 2022 layak memperoleh sijil SPM kerana sejarah sebelum ini telah membuktikan bahawa SMKTPB pernah mencapainya.

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Tuan Pengarah Pendidikan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Dalam ucapannya, beliau amat berharap agar semua calon SPM pada tahun ini dapat bangkit dan lebih berkeyakinan untuk mencipta kejayaan kerana ilmu amat penting untuk masa depan semua.

Beliau juga menyarankan agar semua calon menghayati lirik lagu “Warisan” dendangan Allahyarham Sudirman Haji Arsad kerana lagu tersebut mempunyai maksud yang tersendiri.

Di samping berkongsi kata-kata semangat dengan calon SPM, sesi soal jawab bersama Tuan Pengarah juga diadakan.

Banyak perkongsian ilmu dan kata-kata semangat yang dapat diperoleh daripada ucapan Tuan Pengarah.

Pada akhir ucapannya, beliau berharap agar semua calon SPM 2022 akan memperoleh kejayaan yang cemerlang dan seterusnya dapat membanggakan ibu bapa serta sekolah dengan pencapaian masing-masing.

Majlis diakhiri dengan penyerahan sijil kepada Tuan Pengarah dan juga Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran sempena Program Penyerahan Anak Angkat kepada mereka berdua.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Adik Rosnazira (Pengawas) dan Adik Nur Aziah
merupakan anak angkat kepada Encik Yahya dan Encik Yusup



APC 2021 : 10 Orang Warga SMK Labuan Terima Anugerah

Labuan, 3 Okt 2022 – Seramai 9 guru dan seorang Pegawai Khidmat Pelaksana (PKP) SMK Labuan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun perkhidmatan 2021 pada Jumaat lalu. Mereka adalah sebahagian daripada 119 penerima APC pada tahun ini.

Majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah diadakan di salah sebuah pusat rekreasi di Sungai Pagar.

Kira-kira 200 telah hadir dalam majlis tersebut terdiri daripada penerima APC , pegawai-pegawai jabatan pendidikan, para pengetua dan guru besar serta pihak media.

Puan Hajjah Salmah binti Jopri, Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, KPM telah hadir merasmikan majlis tersebut.

Dalam ucapannya, Puan Hajjah Salmah menyeru agar semua penerima APC meneruskan momentum kecemerlangan dan berlumba-lumba membentuk budaya kerja cemerlang.

Penekanan perubahan mestilah kepada “character building” iaitu melalui penambahan ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran dan mengamalkan nilai-nilai murni.

“Jika kita merancang untuk setahun maka semailah padi, jika kita merancang untuk sedekad maka tanamlah pokok dan jika kita merancang untuk seumur hidup, maka didiklah manusia. ” tegas beliau lagi yang mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato’ Haji Pkharuddin bin Ghazali.

Sembilan guru SMK Labuan yang menerima APC 2021 ialah Puan Noritah binti Madina, Puan Rohainah binti Baniamin, Encik Hamka bin Daud dan Nor Hidayah binti Muhamad.

Selain itu, Puan Noorul Syarhida binti Nurul Hadi, Encik Zukifli bin Ismail, Encik Ariff Amir bin Muhamad dan Norazimah bin Mohd Hirin turut terpilih.

Manakala 2 lagi ialah Puan Nur Hidayah binti Muhamad dan Encik Anuar bin Talip.

Salah seorang penerima, Puan Noritah menyifatkan anugerah ini sebagai satu pengiktirafan dan pembakar semangat baginya untuk terus menyumbang khidmat bakti cemerlang pada masa-masa akan datang.

Pengetua SMK Labuan, Encik Mohd Nizam bin Yasim turut hadir meraikan kejayaan guru-guru SMK Labuan memperoleh APC pada tahun 2021. Beliau mengucapkan tahniah atas kejayaan mereka dan berharap mereka terus cemerlang menggalas amanah, memikul tanggungjawab bersama-sama meletakkan SMK Labuan sebaris dengan sekolah-sekolah yang lain yang hebat.

Turut hadir ialah Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yahya bin Ahmad Puteh dan Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Haji Matnoh.

Berita Oleh : SMK Labuan




Guru Dan AKP SMKTPB Dirai Dalam Majlis Apresiasi Sanjungan Budi

Labuan, 29 Ogos – Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah mengadakan Majlis Apresiasi Sanjungan Budi 2022 buat julung kalinya sebagai tanda penghargaan kepada guru-guru dan AKP.

Majlis ini berlangsung dengan jayanya pada 27 Ogos bertempat di Hotel Aifa.

Menurut penyelaras program, Puan Lau Chin Ying, objektif utama majlis ini adalah untuk menghargai pencapaian dan pelibatan guru dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan Hal Ehwal Murid (HEM) tahun 2022.

Majlis ini juga bertujuan untuk meningkatkan semangat dan motivasi kepada semua guru dan AKP untuk memperbiaki dan meningkatkan lagi pencapaian pada masa hadapan.

Majlis yang julung kali diadakan ini, juga diharapkan dapat mengukuhkan lagi silaturahim dalam kalangan pentadbir, guru dan AKP.

Turut hadir bersama dalam majlis ini ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yahya bin Ahmad Puteh serta Yang Dipetua PIBG, Encik Haider Husin bin Md Rashid.

Puan Lau Chin Ying menerima Anugerah Khas Pengetua atas khidmat bakti sebagai Penolong Kanan Kokurikulum.
Dari kiri Ustaz Mohd Daud, Puan Norazita, Encik Yahya dan Encik Haider

Pengetua SMKTPB, Puan Norazita binti Md.Nor @ Shamsuri dalam ucapannya berkata majlis ini diadakan kerana pihak sekolah sedar akan komitmen serta penat lelah yang telah diberikan oleh guru-guru demi memastikan kemenjadian murid dan kualiti sekolah.

“SMKTPB sememangnya mempunyai potensi untuk lebih cemerlang dalam pencapaian SPM. Begitu juga dalam bidang kokurikulum kerana dalam masa yang singkat, kita telah meraih pelbagai kejayaan dalam pencapaian sukan di peringkat Majlis Sukan Sekolah WP Labuan (MSSWPL),”katanya.

Beliau juga mengharapkan komitmen daripada semua guru untuk melangkah seiringan dalam merealisasikan kemenjadian murid dan kualiti sekolah.

Slogan “Kemenjadian Setiap Murid Aspirasi Kami” dan “STEM Lestarikan Inovasi Masa Hadapan” perlu dihayati oleh semua guru demi kemenjadian murid dan kualiti sekolah.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yahya bin Ahmad Puteh.

Dalam ucapannya, beliau sangat kagum dan berbangga dengan pencapaian SMKTPB dalam memastikan kemenjadian murid dan kualiti sekolah.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada barisan pentadbir kerana berjaya mengadakan majlis seperti ini sebagai tanda penghargaan kepada semua guru dan AKP untuk terus meningkatkan pencapaian masing-masing dalam pelbagai bidang.

Ucapan syabas dan tahniah juga diberikan kepada semua guru yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan HEM.

Selain penyampaian sijil kepada guru-guru dan AKP, penghargaan turut diberikan kepada dua orang guru yang telah berpindah ke SMK Rancha-Rancha iaitu Ustaz Mohd Daud bin Abdul Rahman dan Encik Ivan Lai.

Majlis diteruskan dengan perkongsian amalan terbaik daripada Cikgu Nurul Faezah binti Abdullah yang berkongsi tentang amalan terbaik PdPc Sejarah. Manakala Cikgu Syafikah binti Nordin pula membuat perkongsian amalan terbaik tentang inovasi “Tapak Kordinasi Lompat Kijang”.

Majlis diakhiri dengan sesi sambutan hari lahir semua guru dan AKP serta cabutan bertuah. TAMAT.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Encik Ramlan (AKP) menerima sijil penghargaan daripada Puan Pengetua.



Perkhemahan Perdana Unit Beruniform (UNICAMP) Peringkat Sekolah Tahun 2022 SMK Pantai, WP LABUAN

Labuan, 22 Ogos – SMK Pantai, Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Perkhemahan Perdana Unit Beruniform (UniCamp) peringkat sekolah tahun 2022 yang berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 19 ogos sehingga 21 ogos 2022.

Perkhemahan tersebut merupakan anjuran Unit Kokurikulum dengan kerjasama Unit Beruniform SMK Pantai yang terdiri daripada Kadet Polis, Kadet Bomba, Kadet Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kadet Sekolah Pertahanan Awam (KASPA), Pengakap, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Puteri Islam, Pandu Puteri, Taekwondo dan Kadet Remaja Sekolah (KRS). Perkhemahan tersebut melibatkan 33 orang murid dari setiap unit beruniform berserta guru-guru penasihat.

Objektif perkhemahan tersebut diadakan adalah untuk menanam, memupuk dan memberi latihan awal daripada aspek kepimpinan, sahsiah dan kemasyarakatan dalam kalangan pelajar. Selain itu, perkhemahan ini juga bertujuan untuk membentuk generasi yang mengamalkan sifat-sifat berdikari, bekerjasama dalam berpasukan, bertanggungjawab, yakin diri dan cekal hati dalam menghadapi cabaran serta membentuk masyarakat sekolah yang mempunyai hubungan erat dengan orang ramai yang saling memerlukan.

Taklimat Perkhemahan Perdana Unit Beruniform (UNICAMP) SMK Labuan

Tambahan pula, perkhemahan ini mampu meningkatkan pembelajaran menerusi pengalaman-pengalaman yang menyeronokkan dan selamat serta sejahtera dalam persekitaran yang berbeza. Perkhemahan ini juga bertujuan untuk melakukan aktiviti dengan mengutamakan ciri-ciri keselamatan dan pengisian masa lapang yang berfaedah. Akhir sekali, murid dapat memperolehi kemahiran dan pengalaman baru dalam aktiviti perkhemahan di kawasan sekolah sekali gus mengeratkan perpaduan dalam kalangan pelajar yang berbilang bangsa dan agama.

Perkhemahan ini merupakan acara tahunan yang penting bagi unit-unit beruniform sekolah. Aktiviti ini bertujuan untuk membantu pelajar mempelajari, menggunakan dan mengukuhkan ilmu yang telah dan akan dipelajari semasa di sekolah. Aktiviti perkhemahan ini diharap dapat mendidik dan memberi pengalaman kepada pelajar. Pengalaman dan pengetahuan yang akan mereka perolehi dalam perkhemahan ini akan dapat digunakan oleh pelajar yang terlibat untuk kebaikan diri, masyarakat, dan negara khususnya.

Sepanjang perkhemahan ini, terdapat banyak pengisian yang menarik telah dijalankan termasuklah ikatan dan gajet rimba, senaman pagi, pertandingan ikhtiar hidup, pertandingan pertunjukan kebudayaan, pertandingan rentas halangan, khidmat masyarakat, persembahan seni mempertahankan diri Taekwondo, sukaneka dan pecah bedungan (ice breaking).

Penyediaan Makanan dan Aktiviti Memasak dari unit KASPA

Kemuncak perkhemahan ini adalah pada hari terakhir iaitu pada majlis penutupan kem perdana ini iaitu pada 21 Ogos 2022. Majlis penutupan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Wilayah Sejahtera dan nyanyian lagu sekolah seterusnya diikuti dengan bacaan doa oleh wakil murid. Kemudian, majlis diteruskan dengan tayangan montaj perkhemahan yang telah disediakan oleh jawatankuasa dokumentasi perkhemahan.

Selesai tayangan montaj, majlis diteruskan dengan ucapan pengetua SMK Pantai iaitu Encik Ismail bin Abdullah. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada semua peserta kem atas pelibatan sepanjang kem dijalankan selama tiga hari dua malam berlangsung. Beliau juga merakamkan ucapan tahniah kepada Jawatankuasa Perkhemahan Perdana atas penganjuran program ini.

“Penganjuran perkhemahan ini merupakan satu usaha murni yang akan menjadi landasan dalam pembentukan peribadi dan sahsiah diri murid-murid. Melalui pengisian program yang memberikan penekanan khusus dalam membentuk disiplin seseorang pelajar, diharapkan agar perkhemahan ini bukan sahaja dapat mencorakkan kehidupan pelajar yang mempunyai disiplin diri yang tinggi, malah berupaya merencanakan masa depan bangsa dan negara”. Encik Ismail Abdullah

Beliau turut meletakkan harapan agar semua peserta kem tidak akan melakukan dan mempunyai rekod salah laku disiplin pada masa akan datang selepas mengikuti program ini. Selain itu, beliau turut mendoakan agar semua murid SMK Pantai terus melakar kejayaan yang bakal membanggakan diri, keluarga, sekolah, masyarakat, bangsa dan agama.

Majlis Penutupan Perkhemahan Perdana Unit Beruniform

Seterusnya, majlis penutupan diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan dan peserta kem. Juara keseluruhan telah dimenangi oleh unit PBSM, tempat kedua ialah KASPA dan tempat ketiga disandang oleh Kadet Polis. Peserta kem terbaik kategori lelaki dianugerahkan kepada saudara Mirza Muhammad bin Macmillon Malim daripada unit Kadet Bomba.

Manakala, peserta kem terbaik kategori perempuan ialah saudari Allieyanah Alexius daripada unit KASPA. Majlis penutupan berakhir dengan sesi fotografi oleh semua peserta dan diikuti dengan sesi fotografi mengikut unit beruniform bersama pengetua, barisan pentadbir dan guru penasihat.

Berita Oleh : SMK Pantai

Peserta Terbaik Kem Kategori Lelaki ialah saudara Mirza Muhammad bin Macmillon Malim dari unit Kadet Bomba. Manakala, Peserta Kem Terbaik Kategori Perempuan ialah saudari Allieyanah Alexius dari unit KASPA
Guru-guru penasihat unit beruniform



Yayasan Wilayah Persekutuan Sumbang RM20,000.00

Labuan, 23 Ogos – Menteri Wilayah Persekutuan,YB Dato’Seri Shahidan Kassim telah menyampaikan sumbangan
sebanyak RM20,000.00 kepada SMK Labuan pada Sabtu lalu. Sumbangan tersebut sebagai bantuan pembelian buku-buku rujukan bagi kegunaan pelajar-pelajar Tingkatan Enam di sekolah berkenaan.

Majlis yang dihadiri oleh barisan pentadbiran sekolah, semua pensyarah Pusat Tingkatan Enam dan para pelajar Tingkatan Enam telah diadakan di Dewan Mutiara.

Penolong Kanan Tingkatan Enam, Encik Saminan Sabtu berkata sumbangan tersebut adalah manifestasi keprihatinan kerajaan dalam meningkatkan kualiti pembelajaran pelajara-pelajar di pulau ini.

“Saya berterima kasih kepada Yayasan Wilayah Persekutuan kerana telah bersama-sama membantu dan menyumbang ke arah kemenjadian pelajar-pelajar di Labuan. Sumbangan ini bukan sahaja telah menyuntik semangat pelajar-pelajar Tingkatan Enam malah juga guru-gurunya”. ujar beliau yang mewakili Pengetua sekolah.

Dalam majlis itu juga YB Dato’ Seri Shahidan bersama rombongan sempat meluangkan masa dan beramah mesra bersama semua hadirin.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan YBhg. Datuk Zaizalnizam Zainun, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Tuan Haji Rithuan Ismail dan Timbalan Pengarah Pendidikan, Encik Yahya Ahmad Puteh.

Berita Oleh : SMK Labuan

Dato’Seri Shahidan Kassim beramah mesra dengan pelajar-pelajar SMK Labuan



Latihan Kebakaran : Pupuk Rasa Tanggungjawab Terhadap Aspek Keselamatan Sekolah SMKTPB

Labuan, 22 Ogos – Satu sesi latihan kecemasan kebakaran telah diadakan pada di Sekolah Menengah Taman Perumahan Bedaun bermula pada 18 Ogos lalu.

Sebelum latihan dimulakan ,satu taklimat mengenai  Latihan Kecemasan Kebakaran dan Protokol Latihan Kecemasan Kebakaran telah diberikan semasa perhimpunan kepada semua kakitangan sekolah oleh Guru 3K, Jawatankuasa Bertindak Keselamatan, Encik Maibistamizlan Md Salleh.

Latihan kecemasan kebakaran telah diadakan pada pukul 08.45 pagi dengan deringan siren  sebanyak 3 kali. Selepas deringan siren , guru peyelaras telah menelefon Bomba dan memaklumkan situasi dan lokasi sekolah.

Guru-guru, kakitangan sekolah dan pelajar- pelajar telah menunjukkan komitmen yang sangat baik apabila berjaya mengosongkan bangunan hanya dalam masa 5 minit sahaja.

Pihak Bomba telah tiba pada jam 8.55 pagi di sekolah . Pihak bomba telah mengadakan taklimat cara -cara mengendalikan pemadam api jenis ABC.

Sesi demontrasi memadam api telah melibatkan guru ,pelajar dan pengawal keselamatan sekolah . Selepas sesi demontrasi , pelajar telah dibenarkan untuk melawat trak bomba .

Hasil latihan ini dianggap sebagai berjaya kerana dapat dilakukan dalam tempoh bawah 6 minit.

Pengetua sekolah, Puan Norazita Md Nor Shamsuri mencadangkan agar sesi latihan kecemasan kebakaran ini diulang semula pada masa hadapan supaya pelajar-pelajar, guru-guru dan kakitangan sekolah sentiasa berada dalam keadaan bersedia dan berjaga-jaga. Hal ini penting dalam memupuk rasa bertanggungjawab dan mengambil berat tentang aspek-aspek keselamatan di sekolah.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Murid begitu gembira dan teruja dapat menaiki kenderaan dan mengenali peralatan Bomba



Majlis Apresiasi Bersama Pengarah Suntik Motivasi Guru SMKTPB

LABUAN – Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menerima kunjungan mesra daripada Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encuj Yusuf bin Haji Mohamad bersama dengan lapan orang pegawai sempena Majlis Apresiasi Bersama Pengarah.

Turut hadir bersama ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Ketua Penolong Pengarah dan Penolong Pengarah setiap sektor.

Majlis ini merupakan cetusan idea daripada Pengarah sendiri yang ingin bersua muka dengan guru-guru yang mengajar tingkatan empat dan lima dengan lebih dekat lagi.

Objektif utama majlis ini diadakan adalah bagi menyatakan hasrat Pengarah untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua guru yang mengajar murid-murid Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021.

Selain itu, majlis ini juga diharapkan dapat memberi peluang kepada semua guru untuk sama-sama berkongsi idea atau menyatakan keperluan pihak sekolah demi memastikan kemenjadian murid dalam semua aspek.

Encik Yusup Haji Mohamad bersama warga pendidik SMK Taman Perumahan Bedaun

Majlis ini dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Nik Muhammad Fazli bin Nik Abdul Rahman.

Pengetua SMKTPB, Puan Norazita Md.Nor @ Shamsuri menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pengarah serta rombongan yang sudi membuat kunjungan mesra.

Dalam ucapannya, Puan Norazita berharap agar semua guru dapat menggunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin demi meningkatkan pencapaian SPM pada masa akan datang.

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Pengarah Pendidikan Labuan, Encik Yusuf  bin Haji  Mohamad. Beliau amat berbangga dan berterima kasih kepada semua guru kerana berjaya menunjukkan komitmen yang tinggi untuk memastikan kejayaan anak-anak didik dalam pencapaian SPM 2021 yang lalu.

Katanya lagi, beliau sedar bahawa anak-anak yang menduduki SPM 2021 sememangnya mempunyai cabaran yang besar kerana terpaksa berdepan dengan pembelajaran secara dalam talian selama dua tahun, selain merupakan kohort pertama bagi sukatan baharu Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Sebelum mengakhiri ucapannya, Encik Yusuf berpesan agar semua guru terus berusaha untuk melahirkan murid yang cemerlang dalam SPM dan layak mendapat sijil. Komitmen yang ditunjukkan oleh guru-guru haruslah cemerlang kerana dalam rezeki kerjaya seorang guru terpikul satu amanah yang besar.

Majlis diakhiri dengan sesi dialog bersama Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yahya bin Ahmad Puteh.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




Majlis Interaksi Akademik Jalin Kerjasama PIBG Dalam Meningkatkan Prestasi Murid SMKTB

Labuan, 13 Ogos – SMK Taman Perumahan Bedaun telah mengadakan Majlis Interaksi Akademik Bersama Ibu Bapa/ Penjaga, Penetapan Matlamat Calon SPM 2022 dan Pemugaran Program STEMEC dalam kalangan ibu bapa/ Penjaga.

Seramai 347 orang ibu bapa atau penjaga yang menghadiri program ini bersama dengan anak masing-masing bertujuan untuk mengambil slip Peperiksaan Pertengahan Tahun 2022  dan slip Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Turut hadir sebagai tetamu kehormat iaitu Pegawai Angkat Sekolah,  Encik Mohd Nazri  bin Mustapa, dan Yang Di-Pertua PIBG, SMK Taman Perumahan Bedaun, Encik Heidar Hussein bin Mohammad Rashid.

Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk membincangkan halatuju dan perkembngan pembelajaran murid terutamanya murid Tingkatan 5 yang akan menduduki SPM. Selain itu, perkongsian idea antara pihak sekolah dan ibu bapa/ penjaga dapat mengeratkan serta hubungan seterusnya meningkatkan kerjasama antara ibu bapa/ penjaga dan guru-guru dalam menangani masalah murid sama ada dari segi kehadiran, sahsiah dan prestasi akademik. 

Yang Di-Pertua PIBG SMKTPB, Encik Heidar Hussein Bin Mohammad Rashid, mengetuai Ikrar Akujanji Ibu Bapa/ Penjaga

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Encik Awang Adi  bin Tuah, memberikan taklimat menangani kehadiran murid Tingkatan 5. Dalam taklimat ini, beliau menerangkan faktor-faktor utama ketidakhadiran murid, murid-murid  Tingkatan 5 yang kerap tidak hadir ke sekolah dan juga intervensi yng dijalankan oleh pihak sekolah dalam menangani masalah ketidakhadiran murid Tingkatan 5 khasnya untuk membantu dalam meningkatkan prestasi murid dalam SPM.

Selain itu, Penolong Kanan Akademik, Puan Chai Yee San, meneruskan sesi Taklimat Interaksi Akademik dengan menyatakan tujuan interaksi akademik diadakan. Penetapan matlamat calon SPM 2022 juga diberikan dalam taklimat beliau ini. Beliau juga menekankan kepentingan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam menentukan calon SPM layak mendpat sijil atau tidak. Seramai 15 orang murid disenaraikan sebagai pelajar target cemerlang bagi SPM 2022.

Dalam sesi taklimat yang terakhir, Puan Chai Yee San menjelaskan SMKTPB telah dipilih untuk menjadi antara Sekolah Contoh STEM daripada 32 buah sekolah di Malaysia. Beliau menjelaskan matlamat pendidikan STEM, Strategi, Kesan Penerapan STEM kepada PdPc dan murid. Selain itu, beliau juga menjelaskan peranan ibu bapa/ penjaga serta harapan sekolah iaitu menjadi Sekolah Model STEM yang cemerlang dengan kerjasama padu daripada semua pihak terutama sokongan ibu bapa/ penjaga.

Program diteruskan dengan Ikrar Akujanji Penetapan Matlamat SPM yang dipimpin oleh wakil murid Tingkatan 5, adik Maizura Mazliani binti Mazlan,. Manakala Yang Di-Pertua PIBG,  Enik Heidar Hussein Bin Mohammad Rashid, pula mengetuai Ikrar Akujanji Ibu Bapa/ Penjaga.

Selepas sesi taklimat, sesi pengagihan Slip Peperiksaan Pertengahan Tahun 2022 dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) oleh guru kelas diadakan di Dataran Bedaun untuk Murid Tingkatan 5. Manakala untuk Tingkatan 1 hingga 4 diadakan di dalam kelas masing-masing.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Ikrar Akujanji Penetapan Matlamat SPM yang dipimpin oleh adik Maizura Mazliani