1

1410 Guru Labuan Terima Pelan Data Internet dan Telefon Pintar

30 Dis 2016 – 1410 guru sekolah menengah dan rendah seluruh Labuan menerima agihan Pelan Data Internet dan “Smart Phone Altitude” dibawah Projek Perkhidmatan 1Bestarinet Fasa Dua Kementerian Pendidikan Malaysia hari ini.

Pelan Data Internet 2GB setiap bulan dan “Smart Phone Altitude” merupakan penambahbaikan dari perkhidmatan 1Bestarinet Fasa 1.

Telefon pintar ini dilengkapi dengan aplikasi yang telah disepadukan dengan aplikasi Frog Assignment, Frog Chat dan Frog Snap untuk membolehkan akses untuk menyemak kerja rumah yg diberikan kepada pelajar.

Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin, 1BestariNet merupakan projek transformasi pendidikan yang diperkenalkan kerajaan bagi menghubungkan semua sekolah kepada satu platform pembelajaran tunggal, mesra pengguna dengan persekitaran rangkaian yang lebih selamat.

Telefon pintar ini turut dilengkapkan dan disepadukan dengan aplikasi Frog Assignment, Frog Chat dan Frog Snap yang lebih fleksibel serta mudah digunakan.

Melalui aplikasi ini, guru boleh memberi dan menyemak tugasan murid melalui “Frog Virtual Learning Environment “ (VLE) di mana sahaja dengan mudah dan ia juga dilengkapi dengan Pelan Data Guru 2GB bagi setiap guru yang membolehkan guru mengakses internet untuk tujuan Pembelajaran dan Pengajaran.

“Di samping mereka boleh berhubung dengan rakan guru lain dengan panggilan dan SMS tanpa kos pada bila-bila masa dan di mana jua bagi bertukar-tukar idea dan pendapat untuk meningkatkan lagi mutu pengajaran terhadap para pelajar”.

“Memandangkan 1BestariNet adalah komponen utama dalam Anjakan 7, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, maka agihan smart phone ini kepada guru-guru dapat meningkatkan lagi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah masing-masing, terutamanya dalam Frog VLE”. Encik Raisin Saidin.

Beliau berharap agar para pendidik dapat memanfaatkan kemudahan yang diberikan ini dengan kelebihan teknologi di dalam pembelajaran masa kini yang tidak pernah dirasai oleh mereka sebelum ini sebagai landasan untuk menerokai kaedah baru pembelajaran yang bersesuaian dengan gaya dan tempo pembelajaran alaf baharu.

“Penerimaan telefon pintar tersebut diharapkan menyumbang ke arah hasrat kerajaan untuk membudayakan ICT dalam kalangan guru dan murid”, ujar Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Haji Isli.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pengagihan Telefon Pintar tersebut di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri WP Labuan, di sini, petang tadi.

“Peluasan penggunaan dan kemajuan yang telah dicapai dalam bidang ICT di Malaysia adalah sesuatu yang boleh dibanggakan”,

“Langkah Kerajaan dalam melaksanakan pelbagai projek transformasi dan program ICT dalam pendidikan telah berjaya membudayakan ICT sebagai budaya kerja dalam bidang pendidikan”. Datuk Rozman Haji Isli.

Datuk Rozman optimis tahap ICT murid-murid dan guru-guru semakin hari semakin meningkat dan adalah tidak keterlaluan bahawa hampir semua guru dan murid dalam sistem persekolahan telah didedahkan kepada literasi ICT sama ada dalam pendidikan mahu pun pengurusan.

Bagi Pengetua Sekolah Menengah Pantai IB World Labuan, Encik Sahar Misron berasa gembira dan bersyukur dengan adanya telefon pintar tersebut ia akan menaikkan lagi mutu pembelajaran bukan sahaja di sekolahnya bahkan kesemua 27 sekolah menengah dan rendah yang ada di Labuan ini kerana akhirnya para pelajar sendirilah yang akan mendapat manfaat daripada kaedah pembelajaran tersebut.

Beliau juga berharap agar kemudahan ini turut memberi impak positif kepada murid dalam proses pembelajaran menerusi teknologi terkini serta membantu ibubapa dalam pemantauan tugasan secara atas talian.

Turut hadir Pengarah Pembangunan Perniagaan YTL Communication Sdn Bhd, Haji Shahirul Amran yang mana syarikat tersebut merupakan Pembekal Perkhidmatan Projek 1BestariNet Fasa 2 ini.

 




Empat sekolah di Labuan terpilih untuk ikuti Program Sekolah Transformasi 1.0 dan 2.0

EMPAT sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan telah terpilih mengikuti Program Sekolah Transformasi 1.0 dan 2.0 sempena Kolokium Program Sekolah Transformasi (PST) 2016 yang telah berlangsung di Institut Aminudin Baki Cawangan Genting Highlands, baru-baru ini.

Dua sekolah menengah iaitu SMK Taman Perumahan Bedaun yang diwakili Pengetua Jijah Mohd Suhai dan SMK Lajau diwakili oleh Penolong Kanan Pentadbiran Norain Mohamad.

Manakala SK Tanjung Aru diwakili Guru Besar Murni Jaafar dan Dg Sarifah A Mahmod selaku guru besar mewakili SK Sungai Bedaun telah menghadiri kolokium selama dua hari itu.

Pada majlis itu, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof telah menyampaikan watikah pelantikan Program Sekolah Transformasi 1.0 kepada Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun dan Guru Besar SK Tanjung Aru.

Manakala SMK Lajau dan SK Sg Bedaun menerima Watikah Program Sekolah Transformasi 2.0.

Program Sekolah Transformasi (PST) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merupakan sebahagian daripada usaha KPM ke arah meningkatkan pencapaian murid.

Mengaplikasikan amalan terbaik dalam pelaksanaan pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Objektif Program Sekolah Transformasi ialah mengaplikasikan konsep dan amalan terbaik Sekolah Amanah di sekolah harian terpilih dengan kos pengoperasian yang lebih rendah dan membangunkan kepakaran tempatan melalui pendekatan latihan dan bimbingan yang berstruktur kepada Pembimbing Kepimpinan dan Pembimbing Pedagogi serta pemimpin Sekolah Transformasi. Pembiayaan ditanggung sepenuhnya oleh KPM.

Selain itu, menggalak dan mengamalkan pembelajaran murid secara aktif and meningkatkan pemikiran kritis dan kreatif dalam kalangan murid, pembangunan persekitaran pembelajaran yang lebih berkesan, ilim bilik darjah dan sekolah yang kondusif dan fleksibel, teknik PdP yang kreatif dan berkesan pengurusan sekolah yang cekap dan mengutamakan kemenjadian murid, peningkatan capaian dan penggunaan ICT penglibatan aktif komuniti setempat.

Hadir sama, Sahnudin Ariffin yang mewakili Pengarah Pendidikan Labuan Raisin Saidin yang juga Rakan Elit Sekolah Transformasi Jabatan Pendidikan Labuan.

Dipetik dari : Utusan Borneo, 7 Disember 2017