1

Bingkisan Karnival SMathen 2017, SELAMAT PAGI MALAYSIA TV1

Labuan : Seramai 299 peserta terdiri dari pelajar sekolah rendah dan menengah membabitkan 32 sekolah daripada 4 buah negara iaitu Indonesia, Filipina, Vietnam dan Malaysia menyertai Pertandingan SMathEn Antarabangsa 2017.

Karnival ini  berlangsung selama empat hari bermula 25hb hingga 28hb Oktober bertempat di SK St Anne, Dewan JKR Labuan dan sekitar Wilayah Persekutuan Labuan.

Pelajar yang ditemui merasa seronok dan teruja menyertai acara yang dipertandingkan selain mendapat pengalaman dan mengenali rakan baharu.

SK St Anne, Sekolah Kluster Kecemerlangan muncul juara keseluruhan setelah berjaya meraih empat (4) emas melalui Sumo Robotik, GMath individu dan berkumpulan serta Labuan English Amazing Race.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh YB Datuk Rozman bin Datuk Haji Isli, Ahli Parlimen P166 Labuan pada majlis makan malam SmathEn 2017 pada 28hb Oktober.

Datuk Rozman berkata, generasi muda perlu dididik dengan pelbagai aspek kemahiran menerusi kurikulum baharu sesuai dengan cabaran abad ke 21.

Beliau juga berharap dengan peningkatan ilmu dan kebolehan pelajar dapat melahirkan bakal pemimpin minda kelas pertama dan mampu bersaing di peringkat global.

YB Rozman merasmikan karnival SMathen Antarabangsa 2017 diperhatikan oleh Encik Raisin dan Puan Shim (Ehsan RTM)

Pada majlis ini turut diadakan majlis menandatangani memorandum kerjasama antara Guru Besar ke empat-empat negara serta dimeriahkan lagi persembahan kebudayaan dan nyanyian murid sekolah.

Sementara itu, Guru Besar SK St Anne, Puan Shim Cheng Teo mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan berasa gembira dengan kejayaan penganjuran karnival ini lebih-lebih lagi berjaya menarik penyertaan dari  negara luar.

Walaupun sekolah ini kecil, tetapi mempunyai nafsu yang besar dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti yang melibatkan murid, demi melihat kejayaan mereka di masa hadapan, katanya lagi.

Penganjuran karnival SMathen ini adalah anjuran SK St Anne bersama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Turut hadir Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Zainal Madasin.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada SK St Anne, Sekolah Kluster Kecemerlangan.

Kejayaan ini juga mendapat liputan daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui program SELAMAT PAGI MALAYSIA di TV1. Pautan boleh ditonton melalui URL : https://youtu.be/ahWIa4Hstms

Pertandingan Labuan English Amazing Race

 

Peralatan Robotik yang digunakan dalam Pertandingan Sumo Robotik

 




MAKOM SMK Labuan Beri Pengiktirafan Kejayaan Pelajar

Labuan, 28 Okt – Majlis Anugerah Kokurikulum (MAKOM) SMK Labuan telah diadakan bertempat di Dewan Mutiara, SMK Labuan yang telah dirasmikan oleh Encik Asbola Amit, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, wakil rasmi Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan.

MAKOM memberi pengiktirafan atas kejayaan-kejayaan pelajar mendapat sekurang-kurangnya tempat ketiga dalam pertandingan-pertandingan peringkat WP Labuan, peringkat kebangsaan dan peringkat antarabangsa.

Adik Md Alias bin Muhammad Junaidi dan adik Noor Azizah Abdul Aziz telah dinobatkan sebagai Putera Puteri Kokurikulum 2017 SMK Labuan.

Kejayaan yang diperolehi adik Md Alias ialah dinobatkan sebagai atlit terbaik bawah 15 Kejohanan Balapan dan Padang MSSWPL, Johan Chimney Run 11 km WP Labuan dan Johan Koop Run 6 km.

Manakala adik Noor Azizah dipilih berdasarkan pencapaian Peserta Terbaik Kem Biodiversiti Peringkat Kebangsaan, Peserta Perempuan Terbaik Kem Pendidikan Luar Peringkat Kebangsaan dan Presiden Kelab Interact SMKL.

Tokoh Kokurikulum Pra Universiti pula diberikan kepada adik Hegalashini a/p Gopalakrishnan di atas kejayaan dalam kejohanan-kejohanan Olahraga Terbuka Beaufort, Terbuka Sabah, BIMP-EAGA.

Dalam ucapan aluan, Pengetua SMK Labuan Encik Ismail berkata, kejayaan SMK Labuan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa telah membuka minda dan meningkatkan keyakinan warga SMK Labuan bahawa kejayaan peringkat kebangsaan dan antarabangsa bukan hanya impian yang sukar dicapai tetapi merupakan matlamat yang boleh dicapai dengan komitmen dan usaha yang gigih.

Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada jabatan dan NGO yang paling aktif membantu sekolah dalam aktiviti kokurikulum iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) WP Labuan, 51 Kompeni Komposit ATM (Darat) dan Persekutuan Pengakap Malaysia WP Labuan (PPMWPL).

Sementara itu, En Asbola mengambil kesempatan merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh warga SMK Labuan kerana pada tahun ini SMK Labuan telah melakar banyak kejayaan di peringkat negeri mahupun kebangsaan sama ada dalam bidang kurikulum ataupun kokurikulum. Kejayaan ini telah menjadikan SMK Labuan sebagai salah sebuah sekolah yang terbaik di WP Labuan.

Perkara yang menarik bagi saya tentang SMK Labuan ini adalah slogan ‘Setiap Murid Bernilai’. Amat sesuai dan bertepatan sekali slogan yang dizahirkan kerana kita sedar bahawa setiap pelajar yang datang ke sekolah pada setiap hari ini mempunyai bakat atau kecenderungan masing-masing. Keistimewaan dan kebolehan seseorang pelajar itu bukan terletak kepada kecemerlangan dalam pelajaran sahaja tetapi dalam bidang kokurikulum juga. Jelaslah segala kelainan bakat dan kebolehan pelajar SMK Labuan ini telah berjaya mengangkat nama SMK Labuan untuk cemerlang dalam bidang kokurikulum di peringkat yang lebih tinggi. katanya lagi.

Pada majlis tersebut juga, penghargaan diberikan kepada 51 Kompeni Komposit ATM (Darat), diwakili oleh Pegawai Waran II Mohd Ali Akber bin Karim,  Persekutuan Pengakap Malaysia WP Labuan (PPMWPL) diwakili oleh Encik Han Siew Kwong dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) WP Labuan dihadiri sendiri oleh Encik Zainal Madasin (Pengarah JBPM WP Labuan), bagi menghargai jasa dan bantuan yang diberikan kepada pihak sekolah dalam menjayakan program sekolah.

Encik Ismail menyampaikan plak penghargaan kepada Encik Zainal

Turut hadir Tn Hj Hussin Salleh (Timbalan YDP PIBG SMKL),  En Mohd Nizam Yasim (Pegawai Angkat SMKL), En Ag Rozlan Manan (PK Pentadbiran), En Cheah Teong Aik (PK Kokurikulum), Pn Zalina Zunkepely (PK HEM), En Saminan Sabtu (PK Pra U)

Sumber Berita : SMK Labuan




Majlis Graduasi Pra Universiti SMK Labuan Sesi 2017

LABUAN, 29 Okt – Seramai 123 pelajar Pra Universiti SMK Labuan telah menerima sijil pada Majlis Graduasi Sesi 2017 yang diadakan di Hotel Lazenda, malam Rabu lalu.

Majlis penyampaian sijil tersebut disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Encik Raisin Saidin.

Anugerah Terbaik Keseluruhan diraih Nurfaradiana Khamis (PNGK 3.46, 6AF) dan Neily Nurqasrina Sazali (PNGK 3.46, 6AG).

Bagi Anugerah Terbaik Aliran Sains diterima Billy Tan Cheah Ming (PNGK 2.55, 6AD) manakala Nurfaradiana Khamis (PNGK 3.46, 6AF) dan Neily Nurqasrina Sazali (PNGK 3.46, 6AG) menerima Anugerah Terbaik Aliran Kemanusiaan.

Anugerah Kokurikulum 2017 disandang Yazid Zahiruddin Faiz Mu’izzuddin dan Suzliana Suali selepas cemerlang dalam bidang tersebut.

Sembilan orang pelajar pula menerima Anugerah Kecemerlangan selepas memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif 3 Pointer dan Ke Atas.

Encik Raisin Saidin (3 kanan) dan Encik Ismail (4 kiri) bersama pelajar Pra U SMK Labuan yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum

Mereka ialah Norfarahdiana Khamis (PNGK 3.46) (Kelas 6AF), Neily Nurqasrina Sazali (PNGK 3.46) (Kelas 6AG), Liyana Abdul Rahman (PNGK 3.29) (Kelas 6AG), Marlissa Umos (PNGK 3.29) (Kelas 6AB), Nurdiana (PNGK 3.26) (Kelas 6AB), Clarice Urun @ Saimon (PNGK 3.21) (6AB), Mohd Rasmad Musim (PNGK 3.21) (6AF), Atilla Atasha Hanafi (PNGK 3.13) (6AE) dan Nazrul Naeem Asmawi (PNGK 3.13) (6AF).

Encik Raisin turut menyampaikan sijil kepada 14 Ahli Majlis Perwakilan Pelajar bagi Sesi 2016/2017.

Dalam ucapannya, Encik Raisin menyeru pelajar Pra Universiti agar mengekalkan kejayaan yang diperolehi semasa di SMK Labuan untuk menempuh lebih banyak cabaran di menara gading dan alam pekerjaan kelak.

Katanya, kecemerlangan di peringkat sekolah akan lebih bermakna sekiranya mereka mampu mengekalkannya di universiti sebelum mengaplikasikan ilmu tersebut di bidang pekerjaan.

“Banyak lagi cabaran yang perlu pelajar hadapi di peringkat universiti dan alam pekerjaan kelak. Justeru itu, mereka harus mengekalkan kecemerlangan kerana persaingan amat sengit pada masa akan datang,”katanya.

Sementara itu, Encik Ismail merakamkan ucapan penghargaan kepada pensyarah yang gigih mendidik pelajar Pra Universiti sehingga mereka mampu melanjutkan pengajian tinggi di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan IPT Swasta sama ada di dalam mahupun luar negara.

Oleh itu, beliau mahu pelajar Pra U tidak mensia-siakan peluang belajar di peringkat tersebut agar mereka juga mampu menuruti jejak langkah pelajar SMK Labuan sebelum ini yang berjaya memasuki IPT dan memperolehi kerjaya yang mereka harapkan.

“Kalau mereka berusaha lebih gigih, saya yakin dan percaya mereka akan mampu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan cemerlang dalam bidang pekerjaan kelak,”katanya.

Encik Ismail tidak lupa mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pelajar Pra U yang akan menamatkan pengajian mereka di SMK Labuan.

Sementara itu, Encik Ismail dan Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof Madya Dr Hanudin Amin turut  menandatangani Surat Hasrat sambil disaksikan Encik Raisin, Haji Hussein Salleh selaku Naib Yang Dipertua PIBG  dan Penolong Kanan Pra U, Encik Saminan Sabtu.

Majlis itu yang bermula pukul 7.30 malam dimeriahkan lagi dengan persembahan puisi “Adalah” oleh Siti Nurul Hidayah Abdul Hamid (6 RD) serta nyanyian medley Aina dengan diiringi alunan dan petikan gitar oleh Tyren dan Aizat.

Turut hadir Penolong Kanan Pentadbiran, Encik Ag Rozlan Manan, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Puan Zalina Zunkepely dan 37 pensyarah Pra Universiti SMK Labuan.

Pensyarah Pra U SMK Labuan merakam kenangan bersama Encik Raisin Saidin (duduk tengah), Ismail ( 4 kiri)

Sumber Berita : SMK Labuan

 




Didik Murid Untuk Kesejahteraan Kelak

Labuan, 26 Okt :

Guru hendaklah mengajar dan mendidik anak-anak murid supaya mereka boleh hidup sejahtera dan sempurna pada zaman mereka kelak.

Demikian ucapan amanat Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin di Majlis agihan Tablet berserta aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia hari ini bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Bebuloh.

Teknologi ICT merupakan suatu keperluan dalam zaman ini, murid bertambah seronok dan bersemangat jika guru bijak memanfaatkan ICT dalam pengajaran di bilik darjah.

Oleh itu, kemudahan tablet yang diberikan kepada  guru amat bertepatan bagi membantu guru merancakkan lagi pembelajaran abad ke 21, khususnya di Wilayah Persekutuan Labuan ini.

Encik Raisin Saidin juga berkata, roh guru perlu ada di setiap orang guru, sentiasa bersungguh-sungguh dalam mengajar anak murid bagi menimbulkan suasana keseronokan belajar di kalangan murid.

“Guru harus bersedia dan selesa mengajar tetapi dalam masa yang sama guru perlu mempersiapkan diri agar murid juga bersedia dan selesa untuk belajar. Barulah pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan seronok dan berkesan”, katanya.

Kementerian Pendidikan Malaysia komited untuk mengubah pendidikan negara serta meningkatkan pencapaian murid. Matlamatnya akhirnya melahirkan murid yang berfikiran kreatif dan kritis dalam sebarang bidang yang diceburi.

Sebanyak 30 orang guru SK Bebuloh menerima tablet yang telah disampaikan sendiri oleh Encik Raisin dan merupakan sekolah yang ke 19 di Labuan menerima agihan peralatan bantu mengajar ini.

Terdahulu, Encik Raisin Saidin mengucapkan tahniah kepada Guru Besar dan Penolong Kanan Pentadbiran sekolah yang baharu sahaja dilantik iaitu Encik Adam Abd Rahim (Guru Besar) dan Encik Aznan Abidin (Penolong Kanan Pentadbiran).

Beliau berharap agar kedua-dua pentadbir ini dapat berkerjasama dalam menaikkan lagi prestasi dan pencapaian SK Bebuloh.

Turut hadir pada majlis tersebut Puan Noremelia Mohamad Nor, Pengurus Perhubungan Kakitangan Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Encik Adam Abd Rahim, Guru Besar SK Bebuloh, Ketua-ketua Sektor dan Pegawai Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Guru-guru SK Bebuloh gembira menerima kemudahan tablet bagi tujuan PdP

 




SK Tanjung Aru Menyertai Kolokium Bagi Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25)

26 Oktober/Labuan – Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru merupakan antara sekolah yang bertuah kerana terpilih untuk menyertai kolokium bagi Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah selama 3 hari bermula dari 23 Oktober hingga 25 Oktober 2017. Sebanyak 43 sekolah dari Sarawak, 40 sekolah dari Sabah dan 9 dari Labuan menyertai Kolokium ini.

Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) merupakan sebahagian usaha Kementerian Pendidikan Malaysia ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti. Program ini juga menekankan tentang mengaplikasikan amalan terbaik dalam pelaksanaan pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP) selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025.

Antara PGB JPWPL yang turut sama membantu menyiapkan pameran TS25 1.0 bagi SK Tanjung Aru

Penyertaan Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru dalam pameran TS25 ini bertujuan untuk menampilkan laporan  aktiviti sepanjang 2 tahun menjalankan Program TS25 1.0. Laporan aktiviti yang dipamerkan membuktikan bahawa sekolah mampu menyahut cabaran dalam mencapai matlamat TS25 ini iaitu memantapkan kepimpinan sekolah, memaksimumkan potensi guru dan murid menerusi peningkatan kualiti pembelajaran dan pengajaran serta mengukuhkan penglibatan ibu bapa, komuniti dan pihak berkepentingan demi kejayaan murid.

Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru sebagai wakil WP Labuan telah membuat pameran TS25 sempena kolokium tersebut  bersama 9 buah lagi sekolah dari Sabah dan Sarawak. Pameran ini telah dijayakan oleh seorang guru dan 2 orang murid iaitu Puan Evelin Miun, adik Jessica Anthony dan adik Ninabilah Pendaton. Turut serta dalam Kolokium ini ialah Guru Besar Sk Tanjung Aru, Puan Murni Binti Jaafar. Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Datuk Mahmud Karim berkata terdapat lima modul latihan dan modul seterusnya bergantung kepada sekolah masing-masing untuk memikirkan transformasi yang hendak dilaksanakan, asalkan ia mencapai objektif berkaitan pencapaian pelajar itu sendiri.

Lawatan Yang Berbahagia Datuk Dr Amin Bin Senin, Ketua pengarah Pendidikan Malaysia




Murid SJK(C) Chi Wen, Tempat Ketiga Pertandingan Bicara Tunas Bahasa Melayu, Peringkat Kebangsaan

Labuan 24 Okt : Adik Mac Frederon Feridlee dari SJK(C) Chi Wen sekali lagi mengharumkan nama sekolah dan Labuan dalam Pertandingan Bicara Tunas Bahasa Melayu, Orator Milenia Peringkat Kebangsaan 2017 di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor pada 22-24 Oktober 2017.

Murid Tahun Lima ini, 11, meraih tempat ke-3 daripada 28 peserta dari sepuluh negeri yang bertanding dan berjaya membawa pulang plak serta wang tunai berjumlah RM300.

Sebelum ini, Mac Frederon telah mendapat naib johan Pertandingan Pidato Karnival Perpaduan Sekolah-sekolah Kluster Kecemerlangan Peringkat Kebangsaan pada 10 hingga 12 Oktober di Kundasang dan menyertai Pertandingan Syarahan Bahasa Malaysia Piala Perpaduan Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan pada 5 hingga 7 Oktober di Likas.

Guru pengiring Cikgu Mohd. Farik Madun, mengucapkan sekalung tahniah kepada Mac Frederon yang sentiasa gigih berlatih meskipun menghadapi cabaran untuk menyertai tiga pertandingan yang berbeza pada bulan yang sama.

Namun, segala penat lelah terbayar dengan memori manis yang tercipta di bumi Kundasang dengan meraih naib johan dan tempat ketiga di UPM Serdang dalam tempoh masa kurang dua minggu.

Cikgu Farik bersama Mac Frederon

Majlis penutupan diadakan pada 23 Otober, malam bertempat di Seri Perdana, Kediaman Rasmi YAB Perdana Menteri Malaysia dan dirasmikan oleh YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor,  Penaung Yayasan Minda.

Sumber Berita : Cikgu Mohd Farik Madun




Seramai 1394 Guru Labuan Menerima Tablet Secara Berperingkat

Labuan, 23 Okt – Seramai 1,394 guru Labuan menerima tablet dilengkapi perisian Tutor Guru dan e-paper Utusan Malaysia secara berperingkat bermula 23hb Okt sehingga 27hb Okt 2017.

Majlis Perasmian penyerahan tablet yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) St Anne, Sekolah Kluster Kecemerlangan telah dirasmikan oleh Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Dalam ucapannya, beliau menyeru guru-guru memanfaatkan kemudahan tablet yang diberikan dengan menyesuaikan gaya penyampaian seiring dengan pengajaran dan pembelajaran abad ke-21.

Seiring dengan peredaran zaman yang menyaksikan penggunaan gajet serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), guru-guru Labuan tidak seharusnya ketinggalan, katanya.

Pemberian tablet yang dilengkapi dengan perisian Tutor Guru serta e-Paper Utusan Malaysia ini bertujuan memudahkan proses penyediaan lembaran kerja secara digital dalam kalangan guru bagi membolehkan mereka me­lakukan perancangan pengajaran di mana-mana sahaja tanpa me­ngira masa.

Perisian Tutor Guru membantu guru mengakses pangkalan data soalan dan memudahkan mereka menyediakan latihan kepada murid.

Manakala e-Paper Utusan Ma­laysia boleh digunakan untuk guru mengetahui perkembangan terkini berita-berita tempatan dan dunia.

Sebelum ini, tablet telah diserahkan kepada guru-guru di Sarawak, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Putrajaya.

Turut hadir pada majlis tersebut, Puan Faridah Hashim, Pengurus Kanan Audit Dalaman dan Pematuhan Kumpulan Utusan Melayu Berhad, Cik Shim Ching Teo, Guru Besar SK St Anne, Ketua-Ketua Sektor, KPP BTPN, Pengetua dan Guru Besar WP Labuan.

 




SKSB Juara National Space Challenge Peringkat Kebangsaan

LABUAN:  Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) Labuan yang muncul juara dalam pertandingan National Space Challenge Prime Minister’s Throphy 2017.

Program National Space Challenge Prime Minister’s Trophy  2017 (NSC2017) dimulakan dengan Ujian Kelayakan NSC2017 yang diadakan pada 8 dan 9 Ogos 2017 di seluruh negeri secara dalam talian (online).

Adik Muhammad Danial Adlan Rizuan dan Muhammad Fariesh Jehan Johari telah layak ke peringkat akhir dan mengalahkan 15 lagi peserta dari seluruh negeri di Malaysia.

Murid yang dibimbing oleh Cikgu Faridah Liasmat ini telah membawa pulang piala pusingan, teleskop, plak, medal, sijil dan kit pendidikan sebagai hadiah kemenangan.

Pertandingan anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Planetarium Negara dan Kementerian Pendidikan Malaysia ini berlangsung pada 13-16 Oktober di Planetarium Negara, Kuala Lumpur.

Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengucapkan syabas dan tahniah kepada Adik Muhammad Danial Adlan Rizuan dan Muhammad Fariesh Jehan Johari, guru pembimbing dan seluruh warga SK Sungai Bedaun, Mekar Terbilang. Kemenjadian dan kecemerlangan murid bermula di sini.

Guru Besar, Puan Dg Sarifah bersama Warga Sekolah dan Warga JPWPL menyambut ketibaan adik Daniel dan Fariesh serta Guru Pengiring Cikgu Faridah




Pameran Seni Visual STPM Pra U SMK Labuan 2017

Labuan : Pameran Seni Visual STPM Pra U SMK Labuan telah diadakan di Dewan Mutiara, SMK Labuan pada 13 Oktober 2017 yang telah dirasmikan sendiri oleh Pengetua Encik Ismail Abdullah.

Pameran yang disertai oleh 33 orang pelajar 6 Atas ini merupakan salah satu syarat yang harus dipenuhi oleh pelajar-pelajar tingkatan 6 atas  yang mengambil mata pelajaran Seni Visual STPM.

Para pelajar perlu menghasilkan projek Kajian Seni Visual berteraskan kepada penyelidikan yang terbahagi kepada dua aspek iaitu pengkaryaan dan perekaan.

Pada tahun ini, dalam aspek pengkaryaan, pelajar perlu menghasilkan karya bertemakan “BANGKIT”. Manakala dalam aspek perekaan, pelajar perlu mereka model kereta untuk aktiviti lasak.

Objektif pameran ini di adakan adalah untuk menunjukkan kekuatan gaya penampilan karya yang tersendiri, mengetengahkan idea yang asli dan baharu dalam pengkaryaan  perekaan serta menunjukkan kesungguhan meneroka ilmu menerusi rujukan, eksperimentasi dan eksplorasi.

Para pelajar perlu memberi hujah secara yakin terhadap konsep, bentuk dan sumbangan karya mengikut kesesuaian konteks, menampilkan kebolehan mengorganisasi secara berkesan melalui persembahan dan peragaan karya, selain mengemukakan pemikiran kritikal, analitikal dalam perbincangan dan perbahasan Seni Visual.

Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail berharap pelajar-pelajr mendapat kejayaan yang cemerlang dalam mata pelajaran Seni Visual khasnya dan semua mata pelajaran STPM amnya.

Turut hadir En Saminan Sabtu (PK Pra U),  En Azize Mohd Yusoph (Pensyarah Seni Visual SMKL), Cik Rosnanih Amat ( Pensyarah Seni Visual SMKL), Semua pensyarah dan semua pelajar Pra U SMKL

 

Encik Ismail bersama salah seorang pelajar yang menghasilkan karya bertemakan “BANGKIT”

 




Pencapaian membanggakan di Kejohanan “19th USKU International Karate Championship 2017”, Jepun

Pasukan Karate Labuan berjaya membawa pulang 3 pingat gangsa di Kejohanan “19th USKU International Karate Championship 2017” yang berlangsung di Takanabe, Miyazaki, Jepun pada 13-15 Oktober 2017.

3 orang peserta telah dihantar untuk menyertai kejohanan kali ini.

Adik Nur Aneesa Aira Binti Mohamad Affendi yang merupakan seorang murid Tahun 3 SK Pekan Dua W.P. Labuan telah merangkul 2 pingat gangsa melalui acara Individu Kata Perempuan 9 Tahun dan Kumite Individu Perempuan 9 Tahun.

Manakala 1 lagi pingat gangsa telah diperolehi oleh Mohd Norfarhan Bin Nordin melalui acara Individu Kata Lelaki Terbuka.

Mohd Norfarhan juga merupakan bekas murid SK Pekan Dua (2005 – 2010). Seorang lagi atlet Labuan iaitu Zacchaeus Dunang Jerangku, murid Tahun 6 SJKC Chi Wen.

Kontinjen Pasukan Karate Labuan ke Jepun ini diketuai sendiri oleh Sensei Aswadee Taba yang juga merupakan Jurulatih Karate Labuan dan Mohd Norfarhan sebagai Penolong Jurulatih.

Sumber Berita : SK Pekan Dua