1

SM ST. Anthony Lahirkan Atlet Cemerlang Sempena Kejohanan Sukan Renang MSSWPL 2018

Labuan – Sekolah Menengah St. Anthony telah melahirkan dua orang atlet cemerlang renang sempena Kejohanan Akuatik MSSWPL yang diadakan pada 23 – 24 Februari 2018 baru-baru ini.

Adik Nursaimah Binti  Hussin pelajar tingkatan 3 telah mendapat 2 pingat emas 1M Terjun Papan anjal  dan 2M terjun papan anjal. Ini melayakkan adik Nusaimah dinobatkan sebagai Atlet Cemerlang Terjun bagi kategori 15 tahun ke bawah.

Manakala Adik Bryan Chin Bao Yang pelajar tingkatan 4 telah memperolehi 6 pingat emas dan dua pingat perak.  Beliau telah dianugerahkan Atlet Cemerlang Renang kategori 18 tahun ke bawah dengan mencipta empat  rekod baru bagi acara 50M  dan 100M gaya kupu-kupu, 50M gaya lentang dan  100M gaya bebas, selain memenangi pingat emas 50M gaya dada, 100M gaya dada.

Pengetua sekolah Puan Dona Undoh dalam ucapan beliau semasa Majlis Perhimpunan rasmi sekolah pada 26 Februari 2018, mengucapkan tahniah kepada 2 jaguh renang sekolah, walaupun sekolah tidak ada kolam renang tempat berlatih, kerana bakat dan sokongan ibu bapa dan disiplin diri yang tinggi bagi kedua perenang ini, mereka berjaya meletakkan diri sebagai perenang cemerlang peringkat MSSWPL.

Seluruh warga sekolah amat berbangga dengan kejayaan dua perenang sekolah ini.

Puan Dona dalam ucapannya menyatakan :

Kita doakan kedua atlet renang ini akan terus berlatih meningkatkan kemahiran masing-masing dan mencontohi semangat perenang negara Pandalela Renong dan Welson Sim. Mudah-mudahan suatu hari nanti keduanya bakal menjadi perenang Labuan dan seterusnya perenang negara.

Dari Kiri : En Chia Sia Theng (YDP PIBG SAS), Adik Bryan, Pn Dona (Pengetua SAS) dan Pn Michalle (Ibu Bryan)

Berita Oleh : DK Suhana PG Tassip




Sukarelawan PBSM Labuan Timba Ilmu Kejurulatihan Di Sabah

Labuan, 27 Feb – Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan telah menghantar 6 orang sukarelawan untuk menghadiri kursus Training Of Trainers siri ke-4 tahun 2018 bagi program First Aid Training Harmonisation(FATH) dan Health & Hygiene Promotion(H&H).

Sukarelawan terdiri daripada Pengarah BSMM W. P. Labuan (Pn. Christine Mungge), M. A Hospital Labuan (En. Viveken Krishnan), Setiausaha Kehormat BSMM W. P. Labuan (Pn. Nor Abizah Tadin), kakitangan Asian Supply Base Sdn. Bhd ( Tn. Japariddin Yunus), Pegawai Perbadanan Labuan ( Tn. Hussin Hassim) dan Tn. Mazdi Bin Salleh.

Pengerusi PBSM Labuan Encik Sahar Misron memberitahu, kursus tersebut telah dianjurkan oleh International Committee of the Red Cross (ICRC) dengan kerjasama Ibu Pejabat Bulan Sabit Merah Malaysia negeri Sabah yang diadakan selama 3 hari 2 malam bermula pada 23-25 Februari 2018 di The Gem Hotel, Beaufort, Sabah.

Selain daripada wakil Wilayah Persekutuan Labuan, turut serta di dalam program tersebut adalah wakil daripada daerah Kuala Penyu (4 orang), Beaufort (1 orang), Sipitang (5 orang) dan Papar (5 orang).

Antara pengisian di dalam program tersebut adalah bagaimana untuk memperkenalkan diri dan BSMM kepada komuniti, penyampaian program FATH dan H&H dengan baik, ilmu Asas Pertolongan Cemas yang sesuai kepada masyarakat sekeliling dengan menggunakan bahan dan peralatan yang mudah terdapat di sekeliling serta cara-cara pegurusan dokumentasian untuk pelaksanaan program FATH dan H&H di kawasan dan daerah masing-masing.

Para peserta juga dibahagi kepada beberapa kumpulan untuk menjalani latihan dalam kumpulan untuk setiap topik yang dibincangkan dan dibentangkan di hadapan para panel dan peserta sendiri.

Tujuan daripada latihan ini adalah untuk mendedahkan kepada peserta akan situasi sebenar sekiranya peserta FATH dan H&H membuat program tersebut di kawasan dan daerah masing-masing. Latihan tersebut juga adalah bagi melatih peserta menjadi seorang fasilitator yang baik, dan tenang apabila berhadapan dengan masyarakat ketika memgajar. Ini adalah bertujuan untuk penyampaian yang lebih jelas dan mudah difahami oleh masyarakat.

Kursus telah berakhir sekitar jam 1.30 petang dengan majlis penyampaian sijil penyertaan dan sesi bergambar beramai-ramai.

Encik Sahar menyatakan bahawa PBSM Labuan akan menghantar lebih ramai sukarelawan untuk mendapat tauliah kejurulatihan pada masa hadapan.

Berita Oleh : Pengerusi PBSM Labuan, Encik Sahar Misron




Pendedahan Peringkat Awal Cegah Rasuah Sekolah Pekan Satu

Labuan, 27 Febuari 2018 – Dalam usaha meneruskan momentum sokongan masyarakat yang diraih melalui program Sahabat GERAH, SPRM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia melancarkan Sahabat Cilik SPRM bagi membina jalinan kerjasama dengan golongan pelajar sekolah rendah dalam memerangi rasuah. Sekolah Kebangsaan Pekan Satu dan SPRM telah berganding bahu dalam mengadakan program tersebut dengan tujuan utama iaitu untuk menyerapkan rasa benci atas rasuah dari peringkat yang terawal iaitu sekolah rendah . Sahabat Cilik SPRM diwujudkan bertujuan untuk melahirkan masyarakat bebas rasuah bermula daripada pelajar sekolah rendah yang merupakan generasi pewaris kepimpinan negara.

Program yang dianjur oleh SPRM ini melibatkan semua pelajar tahap satu dan dua serta guru-guru SK Pekan Satu untuk diberi pendedahan mengenai kesan rasuah dan cara untuk mencegah serta mengenal pasti bentuk-bentuk rasuah dalam kehidupan harian .Selain itu , Program Sahabat Cilik SPRM ini dilancarkan oleh Timbalan Pengarah SPRM Datuk Azam Baki dan dirasmikan oleh Puan Maimoon Matnoh selaku Ketua Sektor Pembangunan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan .

Di samping itu bagi menarik minat golongan pelajar, SPRM juga melancarkan maskot dalam perjuangan membanteras rasuah yang dikenali sebagai Komisioner DZ yang dihasilkan dengan kerjasama Animonsta Studio.

Guru Besar SK Pekan Satu ,Puan Anita Shyamini menyatakan dalam ucapan beliau, ‘”Kita lihat program ini menyokong aspirasi yang terkandung dalam pelan pendidikan murid antaranya dalan pembangunan pengetahuan, kepimpinan, kreativiti, dwibahasa, nilai-nilai etika dan kerohanian .Ini kerana dalam SPRM itu sendiri sangat menekankan nilai-nilai murni seperti amanah,integriti,jujur dan akauntabiliti.’

Ceramah turut menjelaskan fungsi dan peranan SPRM serta kesalahan-kesalahan rasuah di bawah Akta SPRM 2009. Selain itu, turut diadakan kuiz kepada pelajar. Sesi ceramah ini turut dihujani dengan pelbagai soalan yang diajukan kepada penceramah.

Majlis berakhir dengan sesi bergambar dan penyampaian cenderahati sebagai tanda kenang-kenangan kepada pelajar dan guru-guru.




Pelancaran 1Hari 1Buku SMK Lajau

Labuan, 26 Feb –1HARI 1BUKU”  Majlis Pelancaran Program NILAM SMK Lajau 2018 telah diadakan dengan jayanya pada 26 Februari 2018 dengan kerjasama daripada semua ahli jawatankuasa yang dilantik.

Majlis ini telah dimulakan dengan rutin perhimpunan sekolah iaitu lagu Negaraku, Maju dan Sejahtera,bacaan ikrar, bacaan doa dan  seterusnya majlis pelancaran telah berjalan dengan  lancar sebagaimana yang telah dirancang.

Majlis yang dirancang ini adalah usaha secara kolaboratif  antara Pusat Sumber Sekolah dengan Panitia Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bagi  merealisasikan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia  dalam melaksanakan program galakan membaca yang lebih berkesan dan dapat dijalankan secara berterusan.

Selain itu, program ini bertujuan untuk membudayakan   sikap rajin membaca dalam kalangan murid disamping meningkatkan kemahiran berbahasa serta menggunakan Pusat Sumber Sekolah sebagai wahana ilmu yang berkesan. Oleh itu, Program NILAM ini bakal dijalankan sepanjang tahun 2018.

Gimik Perasmian majlis ini diadakan dengan penyerahan penanda perasmian kepada Penolong Kanan Pentadbiran SMK Lajau , Cik. Nur Ain Mohammed selaku perasmi majlis yang dibawa oleh seorang orang pesilat Melayu diiringi oleh seorang pesilat lelaki dan dua orang dayang istana serta iiringgi irama gamelan.

Ucapan Perasmian Majlis Pelancaran Program Nilam 2018 telah disampaikan oleh Penolong Kanan Pentadbiran sekaligus merasmikan pelancaran majlis tersebut. Dalam ucapan perasmian beliau menegaskan bahawa membaca menjadi tunggak utama dalam pelaksanaan PdP.

Sehubungan itu murid perlu membina amalan membaca dan menjadikan sikap suka membaca bagi menjana idea yang kreatif dan inovatif .

Dalam erti kata lain, membaca dapat meningkatkan maklumat dan bakal meningkatkan taraf  hidup murid serta bakal menjadi aset negara yang tidak ternilai.

Kempen berbahasa secara betul, tumpuan kepada aspek penggunaan bahasa perlu diadakan dengan aktiviti yang bersesuaian. Usaha ini  bertujuan untuk mencungkil bakat bagi memperkasakan bahasa Melayu dan Pusat Sumber Sekolah  bertindak sebagai penyumbang utama.

Beliau juga menyarankan agar pelajar dan guru berkunjung ke perpustakaan untuk  mengikuti aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Majlis ini adalah titik permulaan kepada pemupukan budaya membaca dalam kalangan pelajar. Semoga dengan adanya program seumpama ini dapat memberi kesedaran kepada pelajar kepentingan membaca serta melahirkan pelajar yang berketrampilan serta berdaya saing dalam menimba ilmu.

Majlis ini telah diungkayahkan oleh Encik Yaakub bin Aji selaku Guru Perpustakaan dan Media SMK Lajau, Wilayah Persekutuan Labuan.

Berita Oleh : Encik Mohd Jamatin Abd Latip




Kejohanan Akuatik MSSWPL SK Pekan Satu 2018

Labuan, 22 – 24 Febuari – Sekolah Kebangsaan Pekan Satu telah menyertai salah satu program yang besar pada tahun ini iaitu Kejohanan Akuatik MSSWPL dengan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)  2013-2025 untuk yang melahirkan modal insan secara holistik, tidak hanya tertumpu kepada kejayaan akademik tetapi juga bidang kokurikulum .

Adik Mohd Nazril bin Nazir (12tahun) berjaya membawa pulang 1 Pingat Emas bagi acara papan terjun 3 meter dan 1 Pingat Gangsa bagi acara papan terjun 1 meter . Manakala, adik Mohd Hafiz Redza b. Abdullah (12 thn),turut membawa pulangan satu Pingat Emas dalam acara papan terjun 1 meter dan 1 Pingat Gangsa untuk acara papan terjun 3 meter.

Guru Besar SK Pekan Satu , Puan Anita Shyamini menyatakan bahawa murid yang cemerlang bukan sahaja dilihat pada kejayaan dalam bidang akademik semata-mata tetapi juga perlu diimbangi dengan kejayaan dalam aspek sukan dan kokurikulum.

Beliau juga menyatakan bahawa program ini menekankan aspek keselamatan murid memandangkan murid menjalankan aktiviti diluar sekolah dan turut melibatkan sekolah- sekolah yang lain.

Kejohanan ini dianjurkan oleh MSSPWL Labuan bertempatkan di Labuan International School  dan dirasmikan oleh En Hasbullah bin Habit . Aktiviti diketuai dan dilatih oleh En Vincent Kubing AK Ajab bersama 5 peserta dari SK Pekan Satu yang terdiri daripada Mohd Nadzril B. Nasir (12 thn), Mohd Irfan Danish b. Abdul Jali (12 Thn), Mohd Hafiz Redza b. Abdullah (12 thn), Mohd Mujanir b. Inil (12thn) dan  Aureil Berneil Charlie (10 thn) .

Atas titik peluh dan usaha tanpa henti serta semangat kesukanan yang tinggi , SK Pekan Satu berazam untuk terus menjalankan latihan insentif untuk  melatih anak-anak SKPS demi mencungkit bakat mereka .

SKPS truly number 1!

Labuan Hebat Guru Sayang Muridnya,

Kemenjadian dan kecemerlangan murid bermula disini.




Majlis Watikah Perlantikan Badan Kepimpinan Pelajar SMK Lajau Tahun 2018

Labuan – 05 Feb 2018 : Majlis Watikah Perlantikan Badan Kepimpinan Pelajar SMK Lajau tahun 2018 telah selamat disempurnakan semasa Majlis Perhimpunan Rasmi Sekolah baru-baru ini bertempat di Dataran Gemilang SMK Lajau. Majlis watikah perlantikan pengawas tersebut merupakan penghargaan serta pengiktirafan sekolah kepada pelajar sebagai pemimpin sekolah. Melalui pengiktirafan tersebut, pelajar diberikan kepercayaan dan kehormatan dalam menjalankan khidmat bantu mereka. Watikah telah disampaikan kepada gabungan pemimpin pelajar yang terdiri daripada Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber, Pembimbing Rakan Sebaya, serta Duta Penggerak Digital.

Dalam majlis ini, En. Mohd Jamatin Abd Latip sebagai Pengetua SMK Lajau diiringi oleh En. Jasmi Sabtu PK Hal Ehwal Murid telah menyampaikan watikah kepada wakil setiap Badan Gabungan Kepimpinan Pelajar berkenaan. Dalam majlis yang sama, adik Mohd Nazrin Shah bin Johari telah diberikan watikah sebagai Ketua Pengawas SMK Lajau manakala adik Zulaikha Nabilla binti Zulkifli telah menerima watikah Penolong Ketua Pengawas SMK Lajau bagi tahun 2018.

En. Mohd Jamatin Abd Latip dalam ucapannya sempat menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua pelajar yang telah berjaya dilantik sebagai Pemimpin Murid. Beliau juga memberi ingatan kepada pemimpin murid supaya dapat menjalankan amanah yang telah diberikan dengan sebaik-baiknya dalam membantu guru-guru bagi memastikan iklim sekolah terpelihara tanpa masalah disiplin. Di samping itu, keutamaan dalam pelajaran harus dititikberatkan oleh pemimpin murid sebagai suri teladan kepada murid yang lain agar sama-sama mengharumkan nama baik sekolah. Kepimpinan Pelajar SMK Lajau dibimbing oleh Encik Mohd Hisyam bin Asim dan Puan Jalina Marlini binti Kula.

Gambar Bacaan Ikrar dan Aku janji barisan kepimpinan pelajar SMK Lajau tahun 2018 yang terdiri daripada Badan Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber, Pembimbing Rakan Sebaya, dan Duta Penggerak Digital.

Berita Oleh : Encik Mohd Jamatin Abd Latip




Majlis Anugerah Motivasi REPSOL Tahun 2018

Labuan, 13 Feb 2018 – Majlis Anugerah Motivasi REPSOL Tahun 2018 bagi murid-murid UPSR dan PT3 Tahun 2017 dari Golongan Komuniti Nelayan Peringkat WP Labuan telah diadakan di Grand Dorsett Hotel WP Labuan yang melibatkan seramai lima puluh (50) murid UPSR dan PT3 Tahun 2017. Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Ybhg Datuk Eddie Abdullah Penasihat Perhubungan Komuniti & Kerajaan (Sabah&Labuan) Repsol Oil&Gas Malaysia Limited, En.Ahmad Fakhrurazzi Arshad Pengurus Stakeholder Relations, Repsol  Oil & Gas Malaysia Limite, Encik Raisin bin Saidin Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Pegawai-pegawai Repsol Oil & Gas Malaysia Limited, Ketua–Ketua Sektor Jabatan Pendidikan W.P. Labuan, Pengetua dan Guru Besar.

Majlis ini bertujuan untuk menyalurkan sumbangan dalam bentuk wang ringgit kepada murid-murid dari golongan komuniti nelayan dan juga berpendapatan rendah yang tinggal di Wilayah Persekutuan Labuan.Bantuan ini merupakan insentif daripada Repsol Oil & Gas Malaysia Limited yang bukan sahaja berniaga semata-sama tetapi dalam masa yang sama, syarikat ini banyak membantu komuniti di sekitar tempat operasi khususnya di luar pantai iaitu kaum nelayan.

Objektif program ini adalah untuk menghargai dedikasi dan komitmen murid-murid melalui bantuan wang ringgit secara ‘one off’. Dalam ucapan aluan Tuan Raisin berharap “dengan adanya bantuan ini, murid-murid khususnya yang layak menerima anugerah ini, akan menggunakan wang bantuan tersebut untuk membeli peralatan sekolah dan buku-buku pelajaran. Dan semoga dengan adanya bantuan ini, sedikit sebanyak dapat meningkatkan motivasi murid-murid dalam pembelajaran dan kemenjadian murid dalam akademik”.




Lions Club Mandarin W.P. Labuan Bantu Murid Sekolah Menengah St. Anthony Wilayah Persekutuan Labuan

LABUAN Lions Club Mandarin telah mengadakan salah satu projek amal membantu murid-murid dari keluarga berpendapatan rendah dalam bentuk pemberian kupon pemakanan berkhasiat. Pengerusi Lions Club Mr. Chin Kin Yin menyatakan sejumlah RM7500.00 diberikan kepada 10 orang murid terpilih di Sekolah Menengah St. Anthony W.P.Labuan. Encik Chin Kin Yin dalam ucapan beliau semasa majlis penyerahan sumbangan di SM. St. Anthony pada 31 Januari 2018,  berharap dengan sumbangan dapat meringankan beban ibu bapa sekaligus menyokong para pelajar untuk meneruskan persekolahan mereka.

Puan Dona Binti Undoh selaku Pengetua sekolah SM. St. Anthony, mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas keperihatinan pihak Lions Club Mandarian Labuan. Menurut beliau pemilihan pelajar bagi program ini bukan sahaja dari latar belakang keluarga, tetapi juga aspek sahsiah, kehadiran ke sekolah dan pencapaian akademik. Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Encik Yee Choon Hian atas usaha mengadakan program jaringan dengan pihak NGO ini.

En Tan Chin Fah, President Lion Clubs Mandarin Labuan semasa menyampaikan ucapan di Majlis Serahan cek bernilai RM7500.00 di Sekolah Menengah St. Anthony WP Labuan

Gambar 10 orang murid terpilih sebagai penerima bantuan Lions Club Mandarin Labuan




Lawatan Pengarah ke SMK Lajau 2018

LABUAN, 29 Jan 2018 Kata-kata keramat “Pemimpin Berjiwa Rakyat” dan “Pemimpin Turun Padang” amat sinonim dengan pemimpin yang mesra dengan masyarakat di bawahnya.

SMK Lajau menzahirkan rasa berterima kasih dan bersyukur atas kesudiaan Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) En. Raisin bin Saidin berserta Ketua-ketua Sektor hadir ke SMK Lajau bagi bermesra bersama guru dan murid dalam perhimpunan rasmi mingguan sekolah.

Dalam majlis itu, Pengarah JPWPL, En. Raisin Saidin menyampaikan amanat dan nasihat kepada murid-murid agar sentiasa rajin menghadirkan diri ke sekolah dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menimba ilmu pengetahuan di samping mengamalkan budaya pelajar cemerlang dengan sentiasa menepati masa dan menghormati warga pendidik yang bersungguh-sungguh menyampaikan ilmu kepada mereka.

En. Raisin menyampaikan ucapan dalam perhimpunan rasmi mingguan sekolah bersama murid-murid.

Murid-murid tekun mendengar ucapan dan amanat daripada Pengarah Jabatan Pelajaran WP Labuan.

Selain itu, En. Raisin Saidin juga menyarankan kepada seluruh warga pendidik di SMK Lajau supaya mengamalkan pembelajaran Abad Ke-21 sesuai dengan PPPM 2013-2025 selari dengan arus pemodenan semasa.

Pada masa yang sama, guru juga diingatkan supaya sentiasa kreatif dan inovatif dalam menyampaikan wacana kepada murid-murid di dalam kelas.

Terdahulu, En. Raisin Saidin telah tiba di SMK Lajau seawal jam 6.40 pagi bagi sama-sama menyambut kehadiran murid di pagar sekolah bersama Pentadbir SMK Lajau yang terdiri daripada En. Mohd Jamatin Abd Latip (Pengetua), Cik Nor Ain Mohamed  ( PK Pentadbiran ), En. Jasmi bin Sabtu (PK HEM), En. Dahlan Kassim (PK Kokum) dan Pn. Noraini Sabuddin (PK PPKI) untuk menghidupkan budaya Program Guru Penyayang di sekolah.

Amalan Program Guru Penyayang menyambut kehadiran murid di pintu masuk sekolah.

En. Raisin Saidin beserta rombongan Ketua Sektor JPN WPL sempat merakamkan kenangan bersama warga pendidik SMK Lajau tahun 2018 sebelum mereka berangkat meninggalkan SMK Lajau kira-kira jam 8.00 pagi.

Sumber Berita : SMK Lajau




Merentas Desa SMK Lajau 2018

Labuan, 4 Februari – Merentas Desa telah menjadi program tahunan SMK Lajau di sini selaras dengan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 untuk melahirkan modal insan secara holistik, tidak hanya tertumpu kepada kejayaan akademik tetapi juga mengeratkan silaturrahim dalam kalangan pelajar, guru-guru dan ibu bapa.

Pengetua SMK Lajau, Encik  Mohd Jamatin bin Abd Latip berkata, murid yang cemerlang bukan sahaja dilihat pada kejayaan dalam bidang akademik semata-mata tetapi juga perlu diimbangi dengan kejayaan dalam aspek sukan dan kokurikulum.

Beliau juga menyatakan bahawa program ini menekankan aspek keselamatan murid memandangkan murid berlari merentasi beberapa kampung  untuk melengkapkan larian mereka termasuklah Kg. Batu Arang, Kg. Tanjung Aru dan Kg. Lajau.

Pengetua bergambar bersama peserta kategori bawah 18 tahun sebelum larian bermula

Aktiviti ini dianjurkan oleh Unit Kokurikulum dan Sukan SMK Lajau yang diketuai oleh Encik Dahlan bin Kassim, Penolong Kanan Kokurikulum dan acara ini melibatkan semua pelajar Tingkatan 1 hingga 5 termasuklah pelajar Program Pendidikan Khas dan Integrasi (PPKI) mewakili 5 buah rumah sukan terdiri daripada Ruamah Satria, Rumah Wira, Ruamah Waja, Rumah Perdana, dan Rumah Inspira.

Pertandingan yang melibatkan acara individu dan berpasukan itu meletakkan empat kategori yang terdiri daripada kateghori bawah 15 tahun lelaki dan perempuan, kategori bawah 18 tahun lelaki dan perempuan di mana larian kesemua kategori ini perlu melalui laluan sejauh 7KM bagi melengkapkan larian mereka.

Rumah Wira muncul sebagai juara keseluruhan Merentas Desa SMK Lajau tahun ini manakala naib johan dimenangi oleh rumah Satria, tempat ketiga Rumah Perdana, Rumah Waja dan Inspira masing-masing tempat keempat dan kelima.

Semua pemenang tempat pertama hingga ke enam setiap kategori akan mewakili SMK Lajau ke pertandingan Merentas Desa peringkat Negeri Wilayah Persekutuan  Labuan.   

Pelajar-pelajar Program Pendidikan Khas (PPKI) yang menyertai Merentas Desa

Pengetua memberi bantuan air minuman kepada peserta yang keletihan berlari.

Pemenang Kategori bawah 18 tahun adik Ak Aminur Hamidon

Sumber Berita : SMK Lajau