1

Dr Hyginus SMK Mutiara memenangi Silver Award (Anugerah Perak)di International Invention and Innovative Competition Series 1/2018

Dr Hyginus Lester Junior Lee, Guru Kanan Bidang Kreativiti dan Inovasi SMK Mutiara telah menyertai International Invention and Innovative Competition Series 1/2018 yang berlangsung pada 12 Mei 2018 (Sabtu) di Hotel Federal Kuala Lumpur.

Beliau bertanding di bawah kategori profesional untuk jurusan sains sosial.
Inovasi yang dipertandingkan ialah “I SPY 5 Stars Version 2.0”, alat bantu mengajar bahasa Inggeris untuk topik “subject-verb agreement (SVA) dan plural forms”.

Baca Lanjutan Berita ini di Laman Web Rasmi SMK Mutiara




SMK Labuan Juara Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Peringkat WP Labuan 2018

Labuan – SMK Labuan telah muncul sebagai juara Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Peringkat WP Labuan 2018 anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, pada 21 Mei 2018 bertempat di Dewan SMK Pantai.

Pertandingan yang dikelolakan oleh SMK Pantai ini telah disertai oleh pembahas SMK Labuan, SMK Lajau, SMK Pantai, SMK Mutiara, SMK Taman Perumahan Bedaun, SMK Rancha-Rancha dan SM St Anne.

Pada pusingan akhir, SMK Labuan telah berjaya mengalahkan pasukan pembahas dari SMK Mutiara dengan tajuk perbahasan “Kita tidak Serius Menangani Isu Alam Sekitar”. Tempat ketiga telah dimenangi oleh SMK Pantai dan SMK Lajau.

Sofia Umaira bt Ismail, pembahas SMK Labuan yang bertindak sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi pihak kerajaan telah dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik Pertandingan Akhir Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Peringkat WP Labuan 2018.

Pembahas SMK Labuan juga dianggotai oleh Athirah Atiqah binti Jamudin, Rafieq Rafizie Nur Sha bin S.Roslee, Nurul Aiza Husna Mohd Zaki, Nur Ain Rabiatul Farraliza Kasim.

Jurulatih dan guru pengiring ialah Puan Rohati binti Lusim, Puan Nor Shasiah Otiman, Puan Juliana @ Bibiana Nain, Puan Sumaliza Abas dan Encik Mohd Sufian Ismail.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin hadir bagi memberi sokongan kepada para peserta yang bertanding, diiringi oleh Ketua Sektor SPPK Encik Asbola Amit dan Pengetua SMK Pantai, Encik Sahar Misron.

Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah berkata “Kali terakhir sekolah ini muncul sebagai johan keseluruhan ialah pada tahun 2014 dan kejayaan kali ini membolehkan SMK Labuan mewakili Labuan ke Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Kedah pada 1 hingga 3 Julai 2018. Syabas dan tahniah diucapkan kepada para pembahas dan jurulatih yang bertungkus lumus menjadikan SMK Labuan juara”.

SMK Labuan menerima piala berserta sijil pertandingan.

 

Encik Ismail bersama pembahas terbaik Sofia Umaira

Sumber Berita : Encik Ismail Abdullah ( Pengetua SMK Labuan )




Perkhemahan dan Motivasi Pra Universiti SMK Labuan 2018

Labuan – Unit Kokurkulum, SMK Labuan telah menganjurkan  Perkhemahan dan Motivasi Pra Universiti SMK Labuan 2018 bertempat di Pusat Kokurikulum Negeri Jabatan Pendidikan WP Labuan pada 4 hingga 6 Mei 2018.

Seramai 132 orang pelajar dan 33 0rang pensyarah terlibat dalam menjayakan perkhemahan tersebut.

Matlamat perkhemahan adalah  melahirkan pelajar yang lebih berpengetahuan, berkeyakinan dan bersemangat tinggi untuk belajar demi kecemerlangan dalam peperiksaan STPM dan dalam kehidupan mereka.

Pelbagai aktiviti diadakan seperti memasang khemah, ice breaking, kayak, masakan rimba, tali temali, aktiviti kebudayaan, kenal diri dan khidmat masyarakat.

Aktiviti Berkayak di Pusat Kokurikulum JPWPL

Melalui aktiviti ini, pelajar dapat menanam keyakinan dan motivasi diri yang tinggi, selain meningkatkan ketahanan fizikal dan mental dalam menghadapai apa jua cabaran serta memupuk semangat kerjasama yang mantap diantara peserta.

Mohd Acamar Awang Hamzah dan Nur Fatieah Abdullah dinobatkan sebagai peserta terbaik perkhemahan kategori lelaki dan perempuan.

Majlis telah dirasmikan oleh En. Ismail Bin Abdullah , Pengetua SMK Labuan dan turut dihadiri oleh En. Roziman bin Hj Sabtu, Penolong Pengarah Pusat Kokurikulum Negeri dan En. Saminan bin Hj Sabtu,  Penolong Kanan Pusat Ting 6 SMK Labuan.

Para pelajar sempat berposing dalam Aktiviti Ikhtiar Hidup

Sumber Berita : Encik Ismail Abdullah (Pengetua SMK Labuan)




SMK LAJAU Hargai Prestasi Pelajar dan Guru

Labuan – SMK Lajau berazam untuk terus menghasilkan peningkatan prestasi dalam bidang akademik dengan menjunjung slogan 1SEMELA: PENGGERAK PEMBELAJARAN BERMAKNA yang menghargai dan menggilap potensi murid yang mempunyai latar belakang dan kebolehan yang berbeza-beza.

Demikian ucapan Pengetua SMK Lajau Encik Mohd Jamatin Abd Latip dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah (MAKAS 2017) yang telah diadakan pada 12 Mei 2018 (Sabtu) di Dewan Mini, SMK Lajau.

Objektif  MAKAS 2018  adalah untuk memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada murid-murid yang cemerlang dalam bidang akademik dalam peperiksaan PT3, SPM dan peperiksaan dalaman sekolah serta memberikan penghargaan kepada guru-guru yang memberikan komitmen yang tinggi terhadap tugas dan menyumbangkan sepenuh tenaga kepada sekolah.

Majlis meraikan pelajar dan guru ini telah dirasmikan oleh Encik Yusup bin Mohamad, Pegawai SI Partner +, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Dari kiri, Encik Sahnudin, Encik Jamatin, Encik Yusof, Hjh Fauziah dan Encik Tapa

Dalam ucapannya beliau berkata, slogan 1SEMELA: PENGGERAK PEMBELAJARAN BERMAKNA memang bertepatan dengan slogan ini dizahirkan kerana kita sedar bahawa setiap pelajar yang datang ke sekolah pada setiap hari ini mempunyai keazaman yang tinggi untuk belajar demi kehidupan yang lebih bermakna.

 “Keazaman yang tinggi untuk menguasai sesuatu mata pelajaran dan memperoleh keputusan yang cemerlang jelas ditunjukkan melalui anugerah yang diterima. Oleh itu, segala ilmu pengetahuan yang diperoleh dapat diterapkan dan diaplikasikan dalam kehidupan”, jelasnya.

Segala usaha dan tekad yang berterusan inilah pelajar SMK Lajau telah berjaya mengangkat nama SMK Lajau untuk cemerlang dalam bidang kurikulum dan juga kokurikulum.

Beliau berkata, dalam persaingan global yang semakin sengit sekarang dan juga pada masa akan datang, kecemerlangan akademik sahaja tidak mencukupi. Dalam realiti dunia sebenar, kecemerlangan akademik merupakan satu bonus, tetapi beberapa faktor lain juga perlu dibangunkan sejak peringkat sekolah supaya murid-murid mudah menghadapi dunia kerjaya yang kompetitif.

Barisan Pentadbir Sekolah bersama Pegawai Angkat dan pelajar-pelajar yang diraikan

“Kemahiran komunikasi sangat penting, kemahiran interpersonal, psikologi, kemahiran berunding, kemahiran pelbagai bahasa akan memberi kelebihan kepada murid-murid kita untuk bersaing dengan pihak-pihak lain di luar sana” katanya.

Sebelum acara MAKAS bermula, diadakan acara penamaman pokok bunga di Taman PIBK. Taman ini adalah taman yang diusahakan oleh Ahli Jawatankuasa PIBG SMK Lajau yang diketuai oleh YDP PIBG, Encik Tapa bin Jani. Simbolik penanaman pokok disediakan  untuk tiga orang iaitu Encik Yusof Mohamad, Hajah Fauziah binti Datuk Hj Mohd Din selaku Bapa Angkat Korporat SMK Lajau dan Encik Mohd Jamatin Abd Latip.

Acara penanaman pokok bunga di Taman PIBK SMK Lajau

 Sumber Berita : Encik Mohd Jamatin Abd Latip ( Pengetua SMK Lajau )

 




Program Khidmat Bantu Peningkatan Penggunaan Vle Frog Sk Sungai Lada

LABUAN – Pada 17 Mei yang lalu seramai 24 orang murid SK Sungai Lada yang terdiri daripada murid-murid Tahun 5 telah mengikuti Program Khidmat Bantu Peningkatan Penggunaan VLE Frog yang dianjurkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan (BTPN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

            Seramai 6 orang wakil BTPN KPM termasuk wakil Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan telah menjalankan program ini di beberapa buah sekolah pada 16 dan 17 Mei. Program yang berlangsung selama sejam itu dijalankan di Makmal Komputer SK Sungai Lada yang mana melibatkan penerangan dan demonstrasi pengajaran kepada murid-murid dengan menggunakan aplikasi VLE Frog iaitu Frog Play.

            Selama sejam, murid dibimbing mengenai cara menggunakan Frog Play. Selain bimbingan kepada murid, khidmat bantu ini juga merupakan bimbingan dan bantuan kepada guru ICT berkenaan kaedah dan cara pengendalian murid-murid semasa menjalankan sesi pengajaran disamping penggunaan Frog Play semasa pengajaran dan pembelajaran.

            Melalui program ini, kemahiran murid-murid menggunakan aplikasi Frog Play dapat ditingkatkan, murid-murid dapat membantu menggalakkan rakan-rakan lain untuk menggunakan aplikasi VLE Frog sama ada di sekolah mahupun di rumah serta murid-murid dapat meneroka satu sumber lain bagi mengulang kaji pelajaran secara kendiri.

            Menurut Puan Maimunah wakil dari BTPN, tujuan lawatan ini adalah untuk memberikan bimbingan kepada sekolah mengenai penggunaan VLE Frog dengan harapan peningkatan kepada 1.8juta murid menggunakan VLE Frog secara purata bulanan. Beliau berharap, semua guru dapat menggalakkan murid menggunakan Frog Play bagi menjawab soalan mengikut tahap dan subjek. Encik Awang Martin wakil dari JPN WPL pula menegaskan guru-guru perlu memberi ruang dan peluang kepada murid-murid untuk mencuba dan menggunakan VLE Frog sejajar dengan kemudahan dan prasarana yang telah diberikan kepada sekolah bagi menunaikan hak murid meneroka ilmu dan kemahiran baharu. Guru Besar Sk Sungai Lada, Encik Maidan Dali @ Sumardi Bin Yusoff pula dalam ucapan beliau berharap dengan lawatan bimbingan ini, sekolah dapat mencapai KPI yang ditetapkan oleh KPM. Beliau turut mengucapkan ucapan terima kasih kepada pihak BTPN kerana sudi mengadakan lawatan ke SKSL sekali gus memberikan bimbingan kepada guru-guru dan murid SKSL dengan harapan sekolah dapat memperkasakan penggunaan VLE Frog dalam kalangan murid.

Disediakan oleh : Dg Siti Hasanah Binti Hassan.




SK Tanjung Aru, Guru Dihargai, Murid Disayangi

16Mei 2018/Labuan – 16 Mei merupakan hari yang cukup bermakna bagi seluruh warga pendidik di Malaysia, di mana sambutan hari guru diadakan bagi menghargai jasa guru di dalam bidang pendidikan. Pada hari yang istimewa ini, SK Tanjung Aru menyambut hari guru di peringkat sekolah dan juga menyambut hari lahir murid yang jatuh pada bulan April, Mei dan Jun sebagai tanda kasih sayang pihak sekolah kepada murid-murid terlibat.

Hari Guru tahun 2018 disambut secara sederhana namun bermakna kerana Guru Besar di dalam ucapannya mengatakan bahawa ‘guru merupakan barisan hadapan dalam merealisasikan harapan negara untuk menjadikan negara kita maju setanding dengan negara-negara lain’. Selain itu juga, Guru Besar, Puan Murni Binti Jaafar juga menyatakan dan menyeru kepada semua guru untuk terus bersungguh-sungguh mendidik anak-anak murid di SK Tanjung Aru kerana ‘guru merupakan agen perubahan atau trasnformasi kepada kemajuan negara kita, Malaysia’ selaras dengan tema hari guru pada tahun ini iaitu “ Guru Pemacu Transformasi Pendidikan”.

Selain daripada menyambut hari guru, sekolah juga menyambut hari lahir murid yang jatuh pada bulan April, Mei dan Jun. Sambutan harijadi ini diadakan setiap 3 bulan bagi menghargai dan menunjukkan kasih sayang guru terhadap anak-anak murid di sekolah ini. Aktiviti sambutan harijadi ini merupakan usaha sekolah melalui program yang dianjurkan oleh unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah. Sumbangan seperti hadiah dan kek harijadi daripada pihak ibu bapa, guru dan masyarakat sekeliling menjadikan sambutan hari lahir anak-anak murid di sekolah ini begitu istimewa dan tidak dapat dilupakan. Kerjasama daripada pelbagai pihak ini menjadikan hubungan ibu bapa, guru dan masyarakat menjadi erat demi anak-anak murid sekolah ini.

Akhir sekali, sambutan hari guru dan hari lahir anak-anak murid SK Tanjung Aru ini menjadikan setiap warga sekolah dan masyarakat di sekitarnya untuk saling menghargai dan bantu-membantu demi mencapai matlamat yang sama.

 




Dr Hyginus memenangi Silver Award International Invention and Innovative Competition Series 1/2018

Dr Hyginus Lester Junior Lee, Guru Kanan Bidang Kreativiti dan Inovasi SMK Mutiara telah menyertai International Invention and Innovative Competition Series 1/2018 yang berlangsung pada 12 Mei 2018 (Sabtu) di Hotel Federal Kuala Lumpur.

Beliau bertanding di bawah kategori profesional untuk jurusan sains sosial.
Inovasi yang dipertandingkan ialah “I SPY 5 Stars Version 2.0”, alat bantu mengajar bahasa Inggeris untuk topik “subject-verb agreement (SVA) dan plural forms”.

Inovasi tersebut juga telah diterbitkan dalam sebuah buku berjudul “Innovation for Sustainable Growth Series 1/2018” oleh MNNF Publisher dan mempunyai nombor ISBN 978-967-15509-2-2.

Dr Hyginus memenangi Silver Award (Anugerah Perak) dalam kategori profesional sains sosial dan membawa pulang hadiah berupa plak serta sijil pencapaian.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia atas kelulusan penyertaan tersebut dan terima kasih kepada Pengarah Jabatan Pendidikan W. P. Labuan, Pengetua SMK Mutiara, dan warga SMK Mutiara atas sokongan yang diberikan.




Majlis Pelancaran Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu

Labuan, 3 MEI Kumpulan Penggerak Pelibatan Ibu bapa dan Komuniti Kebangsaan (KPPIBKK) negeri WP Labuan  telah menganjurkan “Majlis Pelancaran Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu” buat kali pertama bagi seluruh Malaysia.

Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan telah terpilih selaku tuan rumah diketuai oleh Puan Hjh Dayang Damit@Saidah Md Yassin bagi majlis ini yang melibatkan 17 buah sekolah rendah, 9 buah sekolah menengah, Sekolah Menengah Agama dan Kolej Vokasional Labuan.

Majlis ini dianjurkan bersama Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan WP Labuan, Kumpulan Penggerak Pelibatan Ibu bapa dan Komuniti Negeri ( KPPIBKN), Yang Dipertua PIBG/Setiausaha PIBG , dan Kumpulan Sokongan Ibu bapa (KSIB).

Program ini  diadakan untuk memberi penghargaan ‘Terima Kasih Cikgu’ dengan menggalakkan ibu bapa dan komuniti terlibat sama dalam meraikan sambutan Hari Guru peringkat sekolah, PPD dan JPN.

Di samping itu, meningkatkan permuafakatan, kerjasama, sikap kebersamaan dan kesepunyaan bahawa sekolah adalah milik masyarakat.  Majlis ini juga berkonsepkan “Permuafakatan dan kerjasama ibu bapa, komuniti dan pihak swasta memberi penghargaan, meraikan,  menghargai dan mengucapkan ‘Terima Kasih Cikgu’ kepada warga pendidik.”

Penyerahan Bunting Terima kasih cikgu daripada Yang Dipertua PIBG Encik Mamdoh kepada Guru Besar SK Pekan Satu, Puan Anita

Pelbagai acara dan aktiviti telah  dilaksanakan bagi menggambarkan penghargaan dan terima kasih kepada warga pendidik . Penyerahan Bunting Terima kasih cikgu daripada Yang Dipertua PIBG kepada Pengetua dan guru besar sekolah masing-masing.

Anugerah Terima kasih Cikgu, Jasamu dikenang dijadikan satu platform untuk menzahirkan ingatan bekas-bekas murid kepada bekas guru yang disayangi.

Tuan Hj Ahmad bin Hj Tamin telah dinobatkan penerima Anugerah Terima Kasih Cikgu Jasamu dikenang bagi tahun 2018.

Penerima anugerah menerima Sijil Penghargaan dari Jabatan Pendidikan WP Labuan dan wang tunai sumbangan daripada bekas murid penerima anugerah sendiri iaitu Senator Datuk Hj Bashir bin Hj Alias,  Ahli Dewan Negara Malaysia, RM 1,000, Datuk Mohd Rafi bin Datuk Alli Hassan, Ketua Pemuda WP Labuan, RM500.00  dan Tn Hj Yussuf bin Hj Chucu  RM 500.00.

Encik Raisin Saidin menyampaikan sijil penghargaan kepada Tn Haji Ahmad, penerima Anugerah Terima Kasih Cikgu Jasamu dikenang bagi tahun 2018

Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Labuan dalam ucapannya ,  KPPIBKK  dapat berganding bahu secara mantap dalam menzahirkan penghargaan terhadap segala jasa dan pengorbanan guru.

Beliau berharap  kepada semua pihak samada yang terlibat dalam  bidang pendidikan  mahupun masyarakat di segenap lapisan wajar dan mampu menzahirkan rasa terima kasih mereka kepada golongan guru yang bukan sahaja menabur bakti  malah mengorbankan diri untuk melahirkan dan  membentuk generasi berilmu dalam sebuah negara yang berdaulat, maju serta berdaya saing.

Puan Zaliha binti Mohd Salleh, selaku Pegawai Meja PIBK,JPNWPL memaklumkan program Terima kasih Cikgu ini akan diadakan setiap tahun untuk mengenang jasa-jasa guru yang masih berkhidmat maupun yang sudah bersara.

Para Pengetua dan Guru Besar Bersama Bunting Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu

Tuan Hj Yussuf bin Hj Chucu  juga melahirkan rasa kesyukuran dengan adanya program ini. Beliau berkata program ini bukan sahaja dapat memberi kesempatan menghargai dan mengucapkan terima kasih atas jasa-jasa guru-guru, sekurang-kurangnya dapat memberi keceriaan kepada guru-guru bahawasanya jasa mereka akan tetap dikenang selama-lamanya.

Tn Hj Yussuf juga merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan WP Labuan kerana mengiktiraf usaha KPPIBKK atas perkongsian strategik ini.

Senator Datuk Hj Bashir bin Hj Alias , Ahli Dewan Negara Malaysia  dalam ucapan perasmiannya turut mengucapkan tahniah kepada Jabatan Pendidikan WP Labuan dan Kumpulan Penggerak Pelibatan Ibu bapa dan Komuniti Kebangsaan (KPPIBKK) negeri WP Labuan kerana berjaya mengadakan majlis yang gemilang ini.

Program ini mencerminkan usaha dan   bukti kepada permuafakatan kerjasama, sikap kebersamaan, kesepunyaan di antara pelbagai pihak  dengan  Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti  sekaligus menunjukkan bahawa pendidikan kita di malaysia ini adalah milik masyarakat.

Beliau juga berharap agar program ini dapat diteruskan dan memberi peluang terbaik untuk guru-guru dihargai   dalam bidang pendidikan bersama permuafakatan ahli  Kumpulan Penggerak Ibu Bapa  Komuniti seluruh Labuan, PIBG , PIBK , Komuniti, Sektor   Swasta dan Korporat.

Gambar Kenangan, Terima Kasih Cikgu !

Turut hadir,  Datuk Hajah Aini Binti Safar, Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita WP Labuan, Datuk Khalid Bin Abd. Ghani,  Puan Hjh Fauziah Binti Datuk Hj. Mohd. Din, Puan Maimoon bin Hj Matnoh, Encik Omar Baki Bin Matusin, Pengerusi KPPIBKK, Ketua-ketua Jabatan, Ketua Polis Labuan, Pengetua dan Guru Besar  dan  penerima anugerah Terima Kasih Cikgu Jasamu dikenang.

 




Dato’ Norsiah Abdullah merasmikan Logo PIBG SK Pekan Satu di Karnival 111 PIBK 2018

Labuan : Isteri Bapa Angkat Korporat Sekolah Kebangsaan Pekan Satu Dato’ Norsiah Abdullah telah melancarkan Logo  Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah semasa Karnival 111 PIBK SK Pekan Satu 2018 pada 06 Mei 2018 (Ahad). Beliau yang juga merupkan Pengarah Operasi Labuan Liberty  Port Management  (LLPM) Sdn Bhd turut melancarkan Skuad Patrol Denggi Fasa II.

Kedua-dua pelancaran itu diadakan sempena Karnival 111 PIBK yang melibatkan Ibu Bapa dan Komuniti , Kumpulan Sokongan Ibubapa (KSIB)  SKPS di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan ,Tanjung Purun pada 4- 6 Mei lalu.

Karnival 111 PIBK merupakan program yang dirangka khas untuk mengumpul dana bagi mengisi tabung sekolah . Hasil kewangan yang diperolehi  dari program ini akan digunakan untuk menampung keperluan sekolah dari segi akademik,ko-akademik dan penyenggelengaraan fizikal sekolah khususnya Pusat Sumber, Bilik Kesenian  dan kantin sekolah . Disamping meningkatkan tahap komitmen PIBG untuk membantu pihak sekolah , ia juga selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, anjakan ke-sembilan iaitu berkerjasama dengan ibubapa ,komuniti dan sektor swasta secara meluas

Hal ini memberi peluang kepada warga PIBG dan PIBK diseluruh SKPS untuk berkerjasama menjayakan majlis terebut .

Turut diadakan Pertandingan Mewarna ,Pertandingan Bercerita , Pidato , Public Speaking , Masakan  dan Voice of 111 Contest (Pertandingan Menyanyi ) yang terbuka bukan sahaja untuk murid-murid SKPS dan ibubapa  malah , kepada orang awam yang berminat. Selain itu , forum agama  bertajuk ‘Penggerak Insan Bestari Gemilang’  disampaikan oleh En Mamduh Zakaria dan ceramah kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Labuan .

Turut hadir , Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan Tuan Raisin bin Saidin Ketua Unit Pendidikan Swasta ,Jabatan Pendidikan Labuan Pn Zaliha Mohd Salleh, Guru Besar SKPS  Pn Anita Shyamini S. Azman  dan Yang Dipertua PIBG SK Pekan Satu Pn Mamduh Zakaria yang juga penyelaras program.

Hadir sama ,Penolong Kanan Pentadbiran En Shawal Abdul Rahman (HEM),  Pn Noorlihan Abd Alip (HEM),  Pn Zailianan Zainul (PK-Ko), Pn Basneh Jamilide (PK Pendidikan Khas) serta Pn Shamila Devi Krishnan (Setiausaha PIBG).

Pn Anita mengucapkan terima kasih atas kesudian dan kehadiran Norsiah melancarkan logo baharu PIBG SK Pekan Satu itu .

Terima kasih juga saya ucapkan kepada PIBG ,guru-guru dan ibu bapa yang sanggup meluangkan masa dalam menjayakan majlis ini .Saya berharap komitmen dan kerjasama semua pihak dapat diterusan untuk manfaat SK Pekan Satu secara keseluruhannya , katanya .

Tuan Raisin turut menyatakan harapan  beliau yang berkaitan dengan PIBG SKPS  didalam ucapan beliau .

Harapan saya agar Karnival 111 PIBK SK Pekan Satu disambut dengan meriah bukan sahaja untuk tahun 2018 malah tahun-tahun yang berikutnya  .Selain itu , mampu melahirkan rappor yang positif dan meningkatkan ikatan permuafakatan ,kesedaran dan komitmen dari kepimpinan tertinggi PIBG sehingga ke peringkat akar umbi agar dapat membantu melancarkan semua aktiviti yang dilaksanakan di sekolah.

SKPS  truly number 1 !
Labuan Hebat Guru Sayang Muridnya
Kemenjadian dan kecemerlangan murid bermula disini.



SK Tanjung Aru Mengorak Langkah Memartabatkan Pantun

4 Mei/Labuan –  Wakil pemantun SK Tanjung Aru telah berjaya meraih  tempat ketiga bersama dengan SK Membedai dalam Pertandingan Pesta Pantun Peringkat Sekolah Rendah yang  berlangsung di SK Patau-Patau pada 2 hingga 5 mei minggu lalu.

Membariskan pemantun iaitu Ninabilah , Nur Azra, Seri Suriana, Nurkhalilah, dan  Nurhafizah yang mewakili sekolah SK Tanjung Aru telah membawa pulang piala dan sijil penyertaan.

Jurulatih pasukan, Puan Suliana Binti Amin berkata wakil pemantun sekolah mereka menunjukkan komitmen yang baik dan persembahan yang mantap pada pertandinngan itu dan juga merupakan pendedahan kepada para pelajar dalam seni memartabatkan pantun yang makin ditelan zaman.

“Jika dilihat pada pencapaian kita untuk penyertaan kali ini, pasukan pantun sekolah telah menunjukkan prestasi yang agak baik berbanding tahun sebelum ini. Saya yakin pasukan pemantun sekolah mampu untuk pergi lebih jauh jika diasuh dengan baik”.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa seni bahasa Melayu ini mampu dimartabatkan oleh golongan muda,lebih-lebih murid sekolah rendah. Namun ,perlu kita tanamkan minat dalam kalangan mereka. Bahkan, guru sebenarnya memainkan peranan paling penting dalam membimbing murid dalam meneroka ilmu berpantun”.

Sekolah SK Tanjung Aru juga telah mendapat Naib Johan Anugerah Busana Terbaik pada pertandingan kali ini. Pertandingan tersebut juga telah menaikkan semangat murid-murid apabila melihat persaingan sengit antara SK Bukit Kallam dan SJK(C) Chi Wen berentap di pentas akhir. Pertandingan Pesta Pantun tersebut telah dijuarai oleh SK Bukit Kallam yang akan mewakili Wilayah Persekutuan Labuan ke peringkat kebangsaan.