1

Program Ziarah Cakna Perluas Konsep Sekolah Penyayang

Labuan, 28 Januari – Kementerian Pendidikan Malaysia akan memperluaskan konsep sekolah penyayang dan memperkukuh hubungan antara sekolah dan ibu bapa serta penjaga melalui Program Ziarah Cakna.

Sebelum ini, program ziarah hanya tertumpu kepada murid yang bermasalah sahaja, tetapi dalam konteks yang baharu, ianya akan diperluaskan kepada amalan ziarah guru ke rumah murid tanpa mengira status murid bagi memperkukuhkan hubungan antara sekolah dengan ibu bapa atau penjaga.

Majlis Pelancaran Program Ziarah Cakna, peringkat Wilayah Persekutuan Labuan telah dilancarkan di Dewan Surapit, Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan oleh Encik Hasbollah Amit, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin.

Encik Hasbollah dan para guru besar, sempena majlis pelancaran Program Ziarah Cakna 2019 WP Labuan

Sementara itu, Puan Wiwik Iswandari Sudirman, YDP Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sungai Bedaun dalam ucapannya, PIBG akan sentiasa menyokong dan memberikan kerjasama secara berterusan dalam apa jua program sekolah bagi meningkatkan keberhasilan dan kemenjadian anak-anak murid di Labuan.

Selesai majlis pelancaran, Encik Hasbollah dan rombongan yang terdiri daripada ketua-ketua sektor, pengetua, guru besar, YDP PIBG dan beberapa orang guru telah menziarahi adik Afiq Adham bin Raime di Kampung Patau-Patau 1.

Manakalah rombongan Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah melawat rumah adik Norsheera Erina bt Mohd Hafez iaitu cucu kepada lagenda bola sepak negara era 1970-an dan 1980-an, Datuk Hassan Sani.

Ziarah Cakna yang dilancarkan serentak seluruh negara ini akan menjadi platform bagi guru dan ibu bapa berkongsi perkembangan menyeluruh berkaitan murid, memahami latar belakang keluarga murid dan berkongsi pandangan bagi memastikan kemenjadian murid kelak.

Lawatan ke rumah adik Norsheera Erina bt Mohd Hafez



Program “Kembali Ke Sekolah” Yayasan Wilayah Persekutuan Bantu 84 Orang Murid SK Layang-Layangan

Labuan – Program ‘Kembali Ke Sekolah’ atau juga dikenai sebagai ‘Back To School’ merupakan satu program amal PIBKS yang bertujuan untuk membantu persediaan murid-murid yang kurang berkemampuan untuk kembali ke sekolah.

Program ini memberi tumpuan  kepada anak-anak yatim, kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan anak-anak golongan yang memerlukan khususnya kepada murid-murid yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan.

Penyerahan sumbangan telah disampaikan oleh Puan Hajah Dayang Bt Hj Md Yassin, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan.

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa terima kasih kepada Yayasan Wilayah Persekutuan di atas keprihatinan membantu seramai 84 orang murid yang terpilih dalam menyediakan kelengkapan persekolahan pada pembukaan sesi persekolahan 2019.

“Usaha yang dilakukan oleh pihak Yayasan Wilayah Persekutuan ini adalah bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan dan sedikit sebanyak usaha ini dapat menyemarakkan lagi semangat murid-murid berkenaan untuk hadir ke sekolah.” Puan Hajah Dayang Bt Hj Md Yassin.

Ianya merupakan jumlah penerima yang paling ramai di Wilayah Persekutuan Labuan dan penyediaan kelengkapan beg persekolahan telah membantu meringankan beban perbelanjaan ibu-bapa atau penjaga yang kurang berkemampuan.

Pada pelancaran majlis ini semua guru berpakaian sekolah bagi mengimbau semula alam persekolahan zaman dahulu.

Program yang dikendalikan oleh Unit Bimbingan Kaunseling sekolah ini membawa slogan “Datang dengan Harapan Pulang dengan Kejayaan” telah mencapai matlamatnya kerana program ini disekalikan dengan pengisian watikah perlantikan Pengawas Sekolah sesi persekolahan 2019.

Seramai 65 orang pengawas telah menerima watikah pelantikan yang terdiri daripada Pengawas Sekolah,  Pengawas Pusat Sumber, Pengawas Kantin, Ketua Kelas dan Bridget Bestari.

Guru Besar berharap jawatan yang digalas dapat melatih pengawas menjadi pemimpin yang berkesan dan bertanggungjawab serta mempunyai sifat kepimpinan yang diasah sejak dari peringkat awal persekolahan. 

Ini sememangnya menjadi titik permulaan yang terbaik untuk melahirkan generasi dan pelapis pemimpin negara sesuai dengan objektif perlantikan iaitu memberi pengiktirafan dan semangat kepada pengawas supaya melakukan tugas yang diamanahkan dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab.

Semoga dengan perlantikan ini, semua pengawas yang telah dilantik dapat menggalas, menyempurnakan tanggungjawab dan menguatkuasakan peraturan sekolah tanpa rasa ragu.

Mereka merupakan pelajar pilihan yang mempunyai ketrampilan dan kecemerlangan baik daripada aspek akademik, sahsiah mahupun kokurikulum, dan merupakan  role model kepada murid-murid lain.

Berita Oleh : SK Layang-Layangan

Perlantikan Pengawas Sekolah,  Pengawas Pusat Sumber, Pengawas Kantin, Ketua Kelas dan Bridget Bestari Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan



Cabaran Pemansuhan Peperiksaan Tahap 1 Sekolah Rendah : Bicara Eksekutif Pendidikan @ WP Labuan 2019

Labuan, 21 Januari – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan telah mengadakan Bicara Eksekutif Pendidikan @ WP Labuan 2019 bertempat di salah sebuah hotel di Labuan yang dihadiri oleh Pengetua Guru Besar dan Warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Bicara Eksekutif kali ini membincangkan tentang cabaran pemansuhan peperiksaan di tahap 1 bagi sekolah rendah yang menampilkan tiga orang panel yang terdiri daripada Cikgu Yusup Muhammad, Ketua Sektor Pengurusan Akademik yang mewakili pengurusan Jabatan Pendidikan, Cikgu Jaafar Matusin, Guru Besar SK Pekan Dua mewakili pengurusan sekolah dan Cikgu Muharna @ Ana Shariff Mucklie, guru SKK St Anne mewakili guru pelaksana di sekolah.

Cikgu Yusup berkata langkah pemansuhan peperiksaan bagi murid Tahap 1 (Tahun 1, 2, 3) adalah bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih bermakna berasaskan pertumbuhan dan menggilap potensi murid secara holistik.

Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) ini sebenarnya bukanlah perkara baharu tetapi telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sejak bulan Julai tahun 2011 lagi.

Mengupas mengenai cabaran pemansuhan peperiksaan ini, Cikgu Jaafar selaku Guru Besar menyatakan pelbagai perkara perlu diambil perhatian termasuk pengetahuan, kemahiran dan kesediaan guru melaksanakan pentaksiran di bilik darjah bagi menggantikan sepenuhnya peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun di tahap satu.

Di Labuan, Sekolah Kluster Kecemerlangan SK St Anne merupakan sekolah yang telah melaksanakan pentaksiran di bilik darjah sejak tahun 2011 lagi.

Pengajaran dan Pembelajaran di dalam kelas di Sekolah Kebangsaan Patau-Patau

Cikgu Muharna berkongsi pengalaman bahawa PBD bukanlah perkara yang merumitkan tetapi mudah dan seronok dilaksanakan jika pelaksanaannya dirancang dengan baik dan teratur.

Pihak sekolah dan guru-guru perlu sentiasa membuat perbincangan dan berkongsi idea bagaimana untuk menarik minat murid dan menjadikan pembelajaran di dalam bilik darjah menjadi seronok.

Senarai semak adalah contoh instrumen bagi memudahkan penilaian dibuat ke atas murid pada penghujung tahun.

Moderator bicara kali ini dikendalikan oleh Cikgu Mohd Nizam Yasim, Ketua Unit Sains Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Raisin Saidin dalam ucapannya menyatakan tujuan utama Bicara Eksekutif Pendidikan ini diadakan adalah untuk berkongsi wacana pemikiran, menggalas tanggungjawab bersama bagi menangani cabaran autonomi dan akauntabiliti pengurusan pendidikan yang telah diberikan oleh pihak Kementerian kepada Jabatan Pendidikan dan Sekolah.

YB Datuk Rozman Hj Isli, Ahli Parlimen Labuan yang turut hadir pada majlis tersebut berasa seronok dan berharap segala perancangan dapat direalisasikan dengan jayanya demi melonjakkan kemenjadian anak murid di Malaysia, khususnya di Labuan.




Majlis Perutusan Tahun Baharu 2019 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 19 Januari – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Majlis Perutusan Tahun Baharu 2019 bertempat di Dewan Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS) yang telah dihadiri oleh 500 orang warga pendidikan di Labuan.

Dalam ucapan amanat, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin menzahirkan ucapan penghargaan kepada warga pendidikan, ibu bapa, komuniti masyarakat yang telah berjaya memartabatkan pendidikan dan kemenjadian anak murid di Labuan.

Pelbagai kejayaan yang telah dicapai oleh pendidikan Labuan pada tahun 2018 dan beliau berharap momentem kecemerlangan ini diteruskan lagi pada tahun 2019.

Menyentuh hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjadikan sekolah kerajaan sebagai sekolah pilihan dan mengembalikan wibawa universiti awam, tiga hala tuju yang akan menjadi kompas kepada Kementerian iaitu:

  1. Mengembalikan cinta ke dalam pendidikan (pendidikan berteraskan nilai).
  2. Ketinggian kualiti sebagai pemangkin kecemerlangan, relevensi dan keberkesanan ( peningkatan kualiti seluruh sistem).
  3. Autonomi dan akauntabiliti untuk sekolah dan universiti.

Sekolah mesti menjadi tempat yang paling selamat dan menyeronokkan. Untuk merealisasikan cita-cita ini, KPM telah memberikan penekanan khusus empat bahagian yang akan menjadi tumpuan pada tahun ini iaitu :

  1. Persekitaran dan infrastruktur – memastikan sekolah sebagai tempat yang selamat dan sejahtera, di samping lengkap dengan kemudahan asas yang diperlukan.
  2. Proses Pengajaran – Guru mengajar dan bekerja dengan gembira dan menyeronokkan.
  3. Proses Pembelajaran – berorientasikan pembelajaran (learning-centered) dan tidak lagi berorientasikan peperiksaan bagi murid tahun satu hingga tiga. Fokus pembelajaran secara didik hibur, pembelajaran abad ke 21 dan Pentaksiran Bilik Darjah.
  4. Pendidikan Inklusif – tumpuan mengurangkan kadar keciciran murid golongan OKU, B40, orang asli dan kanak-kanak tanpa dokumen.
YB Datuk Rozman menerima Anugerah Khas Bakti Tokoh Pendidikan daripada Encik Raisin Saidin

Mengenai naratif baharu amalan pendidikan, fokus dan gerak kerja KPPM 2019, warga sekolah perlu memahami dan melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dalam konteks sekolah bagi mencapai matlamat PPPM iaitu keberhasilan utama dalam kualiti sekolah dan kemenjadian murid.

Satu lagi fokus yang perlu dilihat adalah pembelajaran berorientasikan perkembangan iaitu mengoptimumkan kemenjadian murid dalam tempoh fasa awal persekolahan ( 6 + 3 ).

Katanya lagi, aktiviti-aktiviti pendidikan yang dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan sekolah-sekolah telah berjaya membawa peserta samada di kalangan guru dan murid untuk datang mengunjungi Wilayah Persekutuan Labuan, seterusnya membantu industri pelancongan di Pulau ini.

Majlis Perutusan Tahun Baharu 2019 ini telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Labuan, YB Datuk Rozman bin Hj Isli.

Dalam ucapannya, YB Datuk Rozman menyeru agar warga guru di Labuan berusaha memastikan hala tuju pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia menjadi kenyataan.

Guru adalah insan yang paling dekat dengan murid, menjadi penyumbang dalam mendidik dan membangunkan manusia sebagai modal insan yang berjaya dari pelbagai aspek.

Beliau berasa bangga kerana banyak kejayaan telah dicapai oleh murid-murid dan guru-guru Labuan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Pada majlis itu, YB Datuk Rozman menerima anugerah khas Tokoh Bakti Pendidikan manakala Jurufotografi Kanan UMSKAL Encik Azri Onn Othman menerima Bakti Wartawan.

Di akhir majlis, Pelan Strategik Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan 2019-2025 telah dilancarkan oleh YB Datuk Rozman.

Gambar kenangan, YB Datuk Rozman, Encik Raisin Saidin bersama warga Jabatan Pendidikan WP Labuan



Program ‘Mai Tah Ke Sekolah’ SKK SK Rancha-Rancha

Labuan, 21 Jan – Unit Disiplin, Bimbingan dan Kaunseling SKK SK Rancha-Rancha telah memperkenalkan Program ‘Mai Tah Ke Sekolah’ bagi tujuan menarik minat murid hadir ke sekolah pada setiap hari persekolahan.

Kelas yang mencapai kehadiran 100% setiap minggu akan menerima ‘mama token’ dan ‘baby token’ sebagai lencana simbol kehadiran penuh untuk setiap murid dalam kelas sepanjang minggu berkenaan.

Ceramah ‘Buli’ yang disampaikan oleh ASP Sukvinderjeet Singh dari Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, IPK W.P Labuan.

Ceramah ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan kesedaran pada murid berkaitan dengan kes buli dan langkah-langkah untuk menangani kes buli.

Sekolah juga menyediakan Peti Aduan Sekolah untuk menyalurkan aduan jika terdapat kes disiplin yang perlu dilaporkan.

Berita Oleh : SKK SK Rancha-Rancha




SK Layang-Layangan : Program Transisi Penerapan Budaya “Love, Happiness and Mutual Respect”

Labuan, 18 Jan – Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan telah melancarkan Program Transisi dan Guru Penyayang 2019 yang merupakan salah satu program tahunan awal persekolahan.

Program tersebut berfokuskan kepada aktiviti-aktiviti pengenalan kepada dunia persekolahan untuk murid-murid Tahun Satu dan Prasekolah, serta pelaksanaan Dasar Guru Penyayang Kementerian Pendidikan Malaysia yang melibatkan semua guru dan murid.

Objektifnya ialah untuk melahirkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan yang menjadi teras dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Program Transisi Prasekolah ke Tahun Satu merupakan satu program yang telah dirangka dengan tujuan untuk membantu kanak-kanak menghadapi perubahan diri dalam keadaan transisi dari pendidikan tidak formal sama ada di rumah atau pun di prasekolah ke pendidikan secara formal di Tahun Satu.

Program telah berlangsung selama 3 minggu iaitu minggu pertama ialah Perlaksanaan Minggu Orientasi diikuti dengan Minggu Pembentukan Kumpulan iaitu (Dinamika Kumpulan) dan Perlaksanaan aktiviti ke arah proses Pengajaran dan Pembelajaran.

Guru Besar dan Penolong-Penolong Kanan meraikan Simbolik Program Transisi bersama Puan Amia.

Program ini melibatkan 2 kelas iaitu Kelas Satu Sarjana dan Satu Bestari iaitu seramai 75 orang murid.

Program ini adalah bersifat membimbing ke arah alam persekolahan formal dan menekankan amalan budaya penyayang seperti yang disarankan.

Dalam ucapan alu-aluan Guru Besar, Puan Hajah Dayang Bt Hj Md Yassin menyeru semua murid untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti persekolahan, serta menasihatkan para murid untuk membantu menjadikan suasana persekolahan lebih selesa dan ceria disamping pemupukan nilai-nilai murni kepada murid-murid baharu.

Adalah diharapkan dengan adanya program ini, kanak-kanak yang datang dari pelbagai latar belakang sosio ekonomi, persekitaran dan pengetahuan akan dapat menyesuaikan diri dan bersedia meneruskan pembelajaran secara formal dan tidak menghadapi sebarang masalah berkaitan dengan pembelajaran dan pergaulan terutamanya bagi murid yang tidak pernah ke kelas Tadika dan Prasekolah.

Majlis penutupan Minggu transisi 2019 ini bermula pada jam 8.00 pagi bertempat di Pusat Sumber Sekolah yang telah dirasmikan oleh En. Imbran Bin Hj. Yunus Ketua Unit Sains dan Matematik merangkap pegawai angkat SK. Layang-Layangan.

Pada majlis tersebut beliau juga turut memberi pendedahan tentang Pentaksiran Tahap 1 kepada ibu bapa dan waris murid Tahun Satu yang hadir.

Seramai 68 orang ibu bapa yang hadir pada majlis tersebut begitu teruja menyaksikan persembahan daripada murid-murid Tahun Satu sebagai memeriahkan lagi majlis.

Hadir sama ialah Puan Amia Bte Buah Ketua Unit Bahasa Jabatan Pendidikan WP Labuan.  

Sebelum itu majlis dimulakan dengan para ibu bapa mendengar Taklimat Keselamatan daripada Inspt. Rose, pegawai polis angkat sekolah diikuti dengan Taklimat 1M1S dan jQaf yang disampaikan oleh ustaz Mohd. Mokhsein Bin Nasiruddin.

Berita Oleh : SK Layang-Layangan

Sebahagian ibu bapa yang hadir pada sesi Taklimat Pentaksiran Tahap 1 



Pertandingan Merentas Desa Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha (SMKRR)

Labuan, 18 Jan – Pertandingan Merentas Desa peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha (SMKRR) sekali lagi mencipta lakaran sejarah dengan menganjurkan acara terbabit buat kali ke-5.

Seramai 400 orang pelajar bersama ibu bapa dan komuniti terlibat dalam acara pada acara tersebut yang berlangsung seawal 7 pagi.

Larian merentas desa dimulakan dengan taklimat keselamatan yang diberikan oleh En. Muhammad Bin Abdullah selaku setiausaha sukan sekolah.

Rumah sukan Hijau menjadi juara dengan kutipan 205 mata diikuti dengan rumah sukan Kuning, 179 mata.

Turut hadir memeriahkan acara terbabit, En. Omar Baki Bin Matusin Pengetua SMKRR selaku pelepas bagi peserta.

Acara ini turut melibatkan pegawai trafik lalu-lintas daripada IPD Labuan bersama pihak Jabatan Pertahanan Awam bagi memastikan keselamatan dan kelancaran acara terbabit.

Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha




Kenaikan Pangkat Merupakan Satu Penghargaan dan Pengiktirafan Kepada Guru

Labuan –  Seramai 69 orang warga Jabatan Pendidikan menerima surat Kenaikan pangkat Time-Based Berasaskan Kecemerlangan Gred DG44 hingga Gred DG52 dan pemangkuan ke Gred DG42.

Majlis Penyerahan Surat Kenaikan Pangkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah berlangsung pada 16hb Januari 2018 bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, WP Labuan.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin mengucapkan syabas tahniah kepada para guru yang menerima surat kenaikan pangkat dan berharap ianya menjadi pemangkin semangat serta dorongan kepada semua guru untuk meningkatkan prestasi masing-masing.

Beliau menaruh kepercayaan yang tinggi bahawa warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan di segenap lapisan akan terus bersama-sama berusaha memberikan perkhidmatan berimpak tinggi dengan cemerlang dan berintegriti serta melaksanakan penambahbaikan secara berterusan demi melahirkan modal insan yang berkualiti.

Encik Sahnuddin menerima sijil kenaikan pangkat daripada Encik Raisin Saidin



Program Jaringan – Jalinan Perkongsian Amalan Inovasi Pembelajaran (PLC-Inovasi) Bersama Institusi Pendidikan Di Negara Brunei Darussalam

SERAMAI 18 orang ahli
rombongan dari Jabatan Pendidikan W.P.Labuan telah melaksanakan Program
Jaringan – Jalinan Perkongsian Amalan Inovasi Pembelajaran (PLC-Inovasi)
Bersama Institusi Pendidikan Di Negara Brunei Darussalam yang bermula pada 13
sehingga 15 Januari 2019.

Rombongan yang diketuai oleh
Puan Khaziyati binti Osman, Ketua Sektor Jaminan Kualiti ini, terdiri daripada  2 orang Guru Besar dan seorang Pengetua
daripada Transformasi Sekolah 25 (TS25), 2 orang Pegawai Pembimbing Pakar Rakan
Peningkatan Sekolah (SISC+), 10 orang guru inovatif dan seorang Penolong
Pegawai Teknologi Maklumat.

Program ini merupakan program yang julung kalinya diadakan di luar negara iaitu di negara Brunei Darussalam yang telah melibatkan 4 institusi pendidikan di Brunei iaitu Sekolah Rendah Dato Basir, Sekolah Rendah Kampung Perpindahan Lambak Kanan Jalan 10, Fakulti Pendidikan Universiti Brunei Darussalam dan Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Di dalam program ini sebanyak
11 buah stesen telah dibuka dan dikendalikan oleh guru-guru inovatif dari
W.P.Labuan bagi berkongsi penciptaan inovasi mereka yang telah berjaya
meningkatkan tahap pencapaian dan penguasaan murid dalam mata pelajaran-mata
pelajaran yang tertentu sekaligus meningkatkan kualiti Pengajaran dan
Pembelajaran (P&P) guru-guru.

Perkongsian Amalan Inovasi
Pembelajaran (PLC-Inovasi) ini diberikan kepada para pegawai Jabatan
Sekolah-sekolah Brunei, barisan pensyarah universiti, guru-guru besar dan guru-guru
sekolah rendah, bakal-bakal guru, pelajar-pelajar universiti dan anak-anak
murid sekolah rendah di setiap institusi pendidikan Brunei yang dilawati.

Selain daripada melaksanakan
perkongsian Amalan Inovasi Pembelajaran, rombongan ini juga telah berjaya
menandatangani dokumen perjanjian Permufakatan Strategik dalam bidang kajian
dan inovasi antara W.P.Labuan dan negara Brunei Darussalam. Melalui perjanjian
ini, akan lebih banyak program Jaringan – Jalinan Perkongsian Amalan Inovasi
Pembelajaran yang bermatlamatkan untuk meningkatkan tahap pencapaian dan
prestasi guru dan murid di W.P.Labuan dan Brunei akan diadakan.

Menurut kata Ketua Kontinjen,
Puan Khaziyati binti Osman, Ketua Sektor Jaminan Kualiti di Jabatan Pendidikan
W.P.Labuan, “Program lawatan ini merupakan satu program perkongsian yang
telah berjaya mencapai objektif yang disasarkan. Semua guru inovatif yang
terlibat telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan melaluinya, Tahap
Profesionalisme guru-guru inovatif ini telah dapat ditingkatkan.”.Di akhir
lawatan, peserta rombongan turut berkesempatan mengadakan kunjungan ke pejabat
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Brunei.




Majlis Penutupan Program Transisi Dan Guru Penyayang Tahun 1 2019

Labuan, 18 Jan – Sekolah Kluster Kecemerlangan, Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha telah mengadakan Majlis Penutupan Program Transisi dan Guru Penyayang Tahun 2019 yang telah dirasmikan oleh Pegawai Angkat sekolah, Puan Zaliha binti Salleh.

Program Transisi merupakan satu program untuk membantu kanak-kanak menghadapi perubahan diri dalam keadaan transisi dari pendidikan tidak formal sama ada di rumah ataupun di prasekolah ke pendidikan secara formal di Tahun Satu.

Taklimat Pentaksiran Bilik Darjah oleh Puan Norinnie binti Kassim, Guru Besar SKK SK Rancha-Rancha memberi penjelasan tentang kaedah pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang mana pemansuhan amalan peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun bagi murid Tahap I di semua sekolah rendah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mulai tahun 2019.

Hadir bersama Encik Rasid bin Jaludin, YDP PIBG SKRR dan semua ibubapa dan murid Tahun 1 SKK SK Rancha-Rancha.

Berita Oleh : SKK SK Rancha-Rancha