1

Empat Murid SK Pantai Terima Sumbangan Maqis

Labuan,28 Mei – Seramai empat orang murid Sekolah Kebangsaan Pantai telah menerima sumbangan daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pejabat MAQIS Labuan di sekolahitu.

Mereka ialah Intan Farhani Minggu (Murid PPKI), Nur Shameera Fadillah(MuridPPKI), Nur Qashrina Farzana Mohd Fatmehiswan(Tahun 3) dan Dalna Balqis Bt Abdullah (Tahun 2).

Sumbangan berbentuk bahan mentah seperti beras, minyak, biskut dan lain-lain diterima murid berkenaan.

Program itu dianjurkan Pejabat MAQIS Labuan dengan kerjasama Unit Integriti, Ibu Pejabat MAQIS Putrajaya, Biro Kebajikan PUSPANITA serta Kelab Sukan dan Kebajikan MAQIS.

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Pauld Johnny yang mewakili Pengarah MAQIS Labuan Nazrul Azman Bin Mat Rahim.

Turut hadir, pegawai-pegawai MAQIS Labuan Basran Dan Gudan Lisa Micheal serta Guru Besar SK Pantai Mahani Hussin, Azlina Abdol Garip (PK HEM) dan Halifah Salim (PK PPKI).

Program itu bertujuan memupuk nilai-nilai murni serta budaya berkongsi nikmat rezeki yang ada kepada masyarakat sekeliling sebagai tanda mensyukuri rezeki yang diperolehi dan dalam masa yang sama mengambil peluang untuk mengumpul saham akhirat.

Sementara itu, Mahani merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak MAQIS kerana sudi menyampaikan sumbangan kepada murid-murid SK Pantai yang terpilih.

Penerima sumbangan NurQashrina Farzana Mohd Fatmehiswan bersama ibunya.

DISEDIAKAN OLEH,
Pasukan Media
SK Pantai, W.P.Labuan




Marvin Terima Anugerah Khas Pengarah Pendidikan WP Labuan

Labuan – Adik Marvin Hing Majin dari Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan telah dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Pengarah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bagi bulan Mei 2019.

Adik Marvin dipilih di atas kejayaan mendapat Pingat Perak dalam acara Lompat Jauh Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2019 bagi Kategori Lelaki 18 Tahun dan pencapaian yang cemerlang dalam bidang akademik, mahupun kokurikulum.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin berkata Anugerah Khas Pengarah ini, buat julung kalinya diberikan kepada murid bagi mengangkat martabat murid dan memberi pengiktirafan di atas pencapaian membanggakan yang telah ditunjukkan.

Anak kepada pasangan Encik Majin Basayu dan Puan Teo Boon Leng ini dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah dan mempunyai 2 orang adik beradik.

Beliau mula berkecimpung dalam bidang olahraga khususnya lompat jauh ketika berumur 12 tahun di Sekolah Kebangsaan St Anne dan minat beliau diteruskan lagi di peringkat sekolah menengah, SMK Labuan.

Cikgu Faizal Abu Bakar, Cikgu Hafiz, Cikgu Bedevonsoon merupakan antara individu penting sebagai jurulatih yang telah membantu adik Marvin dalam bidang olahraga dan lompat jauh.

Dalam bidang akademik, beliau telah berjaya meraih 9A dalam PT3 dan mendapat gred A dalam SEGAK serta gred A PAJSK.

Beliau juga aktif dalam bidang sukan lain seperti badminton dan mewakili sekolah Labuan dalam permainan Catur Kebangsaan pada tahun 2017 dan 2018.

Di bidang kokurikulum, adik Marvin dan rakan-rakan telah berjaya merangkul tempat pertama dalam pertandingan National Science Challenge 2018 peringkat negeri dan tempat pertama dalam Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris Ala Parlimen peringkat negeri pada tahun 2016 dan 2017, seterusnya mewakili Labuan dalam peringkat Kebangsaan.

Harapan sebagai seorang atlit, adik Marvin berharap agar suatu hari nanti beliau dapat memenangi kejohanan SUKMA 2020 dan kejohanan di peringkat antarabangsa serta mengharumkan nama sekolah, amnya Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini akan membuat yang terbaik untuk mendapat keputusan yang cemerlang dan berharap berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading.

Ditanya mengenai faktor kejayaan dalam acara lompat jauh MSSM 2019, beliau menjawab sokongan moral ibu bapa, rakan-rakan, inisiatif dan usaha para jurulatihnya yang melatih beliau bermula tahun 2015 sehingga hari ini.

Begitu juga dengan pihak sekolah yang mewujudkan tempat latihan bersesuaian dan menyediakan gelanggang lompat jauh yang membantu dalam meningkatkan kemahiran teknikal lompatan beliau.

Adik Marvin bersama Cikgu Faisal menunjukkan Pingat Perak yang dimenangi dalam Kejohanan Olahraga MSSM 2019



Perhimpunan Bulanan, Mei 2019 : Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi

Labuan – “Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi”, tema Perhimpunan Bulanan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) yang telah dipilih bagi bulan Mei 2019, selaras dengan tema sempena Hari Guru Kebangsaan 2019.

Majlis telah berlangsung pada 23 Mei lalu, bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, WP Labuan, dihadiri oleh Ketua-ketua Sektor, Pegawai dan Kakitangan JPWPL serta para Pengetua Guru Besar.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin dalam ucapannya menggariskan ciri-ciri yang perlu ada pada seorang guru.

Antaranya guru perlu sentiasa hadir ke sekolah dan masuk ke bilik darjah tepat pada waktunya. Ini penting kerana ianya memberi contoh teladan kepada murid mahupun kepada guru rakan sejawat dan menjadi akauntabiliti seorang guru untuk masuk ke bilik darjah untuk melaksanakan tanggungjawabnya.

Guru juga perlu memberi perhatian penuh kepada murid-muridnya secara menyeluruh dan rasa kepedulian yang tinggi. Ianya bertepatan dengan nilai teras yang diintegrasikan dalam sistem pendidikan negara oleh Kementerian Pendidikan Malaysia melalui kasih sayang, kegembiraan dan sifat saling menghormati.

Adik Marvin Hing Majin telah dipilih menerima Anugerah Khas Pengarah di atas kejayaan merangkul pingat perak dalam acara lompat jauh dalam Kejohanan MSSM peringkat kebangsaan baru-baru ini serta pencapaian yang cemerlang dalam bidang akademik.

Adik Marvin Hing Majin bersama ibu bapanya menerima Anugerah Khas Pengarah

Cikgu Anne dari Sekolah Kebangsaan Patau-Patau telah dipilih sebagai Adiwira Guru bagi bulan Mei 2019.

Pada majlis tersebut juga diadakan penyampaian sijil dan cenderamata kepada Encik Sahar Misron, mantan Pengetua SMK Pantai serta Puan Monica Liew Fook Jin, mantan Pembantu Operasi SK Sungai Bedaun yang telah bersara pada bulan Mei ini.

Baca Jasamu Dikenang : Terima Kasih Cikgu Omar, Terima Kasih Cikgu Sahar

Seramai empat orang Pengetua baharu yang telah dilantik iaitu Encik Mohd Nizam Yasim (SMK Mutiara), Encik Yahya Ahmad Puteh (SMK Rancha-Rancha), Puan Norazita Md Nor@Shamsuri (SMK Pantai IBWS) dan Puan Mary Anita Abah (SM St Anne).

Jasamu Dikenang : Encik Sahar Misron
Para Guru Besar sempat menggayakan suasana Hari Raya di perkarangan BTPN



Majlis Penutupan Ihya Ramadhan SKK Rancha-Rancha

Labuan, 24 Mei – Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha (SKRR) (Sekolah Kluster Kecemerlangan) mengadakan majlis penutupan Ihya Ramadhan yang bertempat di dewan sekolah. Majlis dirasmikan oleh Puan Zaliha binti Mohd Salleh yang merupakan Pegawai Angkat Sekolah.
Antara aktiviti yang telah dijalankan sepanjang bulan Ramadan adalah Program Ihya’ Ramadhan, Tadarus Quran, Iftar Jama’ie, Solat Hajat dan Majlis Bacaan Yaasin UPSR 2019, Kuliah Tiga Minit (KULTIM) yang disampaikan oleh murid dan kutipan derma atau galakan bersedekah (Tabung Ihya’ Ramadhan).

Guru Besar, Puan Norinnie binti Kassim berkata pelbagai aktiviti yang telah dijalankan bagi melahirkan murid dan warga SKRR yang mengimarahkan bulan Ramadan dan sentiasa memanfaatkan waktu untuk beribadat kepada Allah SWT serta menyedarkan diri tentang adanya balasan baik daripada Allah dalam setiap usaha mendekatkan diri kepada-Nya. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat di dalam memberi sumbangan kewangan, masa dan tenaga bagi memastikan program sepanjang Ramadan ini berjalan dengan baik dan lancar.

Manakala, Puan Zaliha dalam ucapannya berkata, program itu sangat memberi manfaat kepada murid dan guru memandangkan Ramadan bulan yang Allah janjikan kepada seluruh umat manusia untuk mendapat pahala berlipat kali ganda.

Majlis diteruskan dengan khatam Quran yang disertai seramai 36 orang murid tahun 6 kerana berjaya khatam 30 juzuk al-Quran semasa program tadarus yang diadakan sepanjang bulan Ramadan.

Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada anak yatim, peserta tadarus al-quran, peserta tadarus dan peserta kuliah tiga minit. Seterusnya, penyampaian hadiah pemenang pertandingan mewarna dan kuiz Ramadan. Majlis diakhiri dengan penyampaian duit raya daripada guru-guru kepada murid-murid.




SEMARAK KASIH RAMADHAN, KAMI SAYANG KAMU, Mengimarahkan Program Ihya’ Ramadhan SK Sungai Bedaun

Labuan – Seramai 692 murid Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) mengimarahkan Majlis Semarak Kasih Ramadhan sempena Penutupan Program Ihya’ Ramadhan 2019 yang diadakan di Dewan Permata sekolah tersebut pada 21 Mei lalu.

Majlis Semarak Kasih Ramadhan merupakan kemuncak kepada Program Ihya’ Ramadhan yang merupakan acara tahunan di SKSB. Program ini dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab sekolah berkenaan.

Majlis penutupan program itu telah disempurnakan oleh Puan Dg. Sarifah Binti A. Mahmod, Guru Besar SKSB.

Turut hadir dalam majlis tersebut Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (5P) Daerah, Cawangan Labuan yang diketuai oleh Datin Hjh Dayang Pungut binti Abdul Jalil, Datuk Hj Abdul Rahman Bin Hj Lamudin sebagai Naib Pengerusi  serta   20 ahli persatuan tersebut. Tuan Haji Wan Abdul Rahim Bin Wan Abd  Rahman, Puan Hajah Haryani Binti Isli daripada Labuan Society , Puan Wiwik Iswandari Binti Sudirman, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKSB dan ibu bapa penerima bantuan Semarak Kasih Ramadhan.

Menurut Puan Dg.
Sarifah Binti A.Mahmod Guru Besar SKSB, Program Ihya’ Ramadhan merupakan antara
program besar dalam takwim sekolah yang bertujuan untuk menjana dan menyelaras
program pembangunan modal insan di sekolah.

“Pihak sekolah sentiasa menguar-uarkan aktiviti dan program di sekolah sama ada melalui media sosial seperti “facebook”, ‘group Whats App’ mahupun surat. Tujuannya ialah supaya masyarakat khususnya ibu bapa maklum dan ambil peduli aktiviti di sekolah serta peka terhadap kehadiran anak-anak setiap hari. Semoga semangat Ramadhan kali ini dapat meningkatkan keutuhan sahsiah anak-anak SKSB dan kerjasama antara sekolah dengan ibu bapa dapat ditingkatkan”. Katanya semasa berucap dalam majlis tersebut. 

Pelancaran Program Ihya’ Ramadhan dan Tabung Infaq Ramadhan 2019 telah disempurnakan oleh Puan Dg. Sarifah (lapan dari kanan). Ustaz Sahrom Samlan (lima dari kiri), Puan Wiwik Iswandari (tujuh dari kanan) dan barisan guru pendidikan Islam.
Puan Dg.Sarifah (dua dari kanan) memasukkan sumbangan dalam tabung infaq Ramadhan sambil diperhatikan oleh Rina Farrina (kiri), Wiwik Iswandari (dua dari kiri) dan Kamariah (kanan) semasa pelancaran Tabung Infaq Ramadhan.

Puan Dg. Sarifah turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan yang diberikan oleh pelbagai pihak untuk anak-anak SKSB pada tahun ini.

Dalam majlis
tersebut seramai 8 orang anak yatim SKSB menerima sumbangan hamper dan duit
raya daripada Persatuan 5P terdiri daripada bekas guru dan guru besar yang
pernah berkhidmat di Labuan. Sumbangan tersebut merupakan program tahunan
persatuan 5P dengan slogan “Kami Sayang Kamu”.

Menurut Datin Hjh Dayang Pungut, warga 5P sentiasa peka terhadap keperluan dan turut merasai  kesedihan anak-anak yang kehilangan orang tersayang menjelang Aidilfitri yang bakal menjelma. Semoga sumbangan ini dapat menceriakan anak-anak tersebut.

Sementara itu, seramai 20 orang menerima sumbangan hamper makanan asas  daripada Labuan Society di bawah pimpinan pengerusinya Tuan Hj Wan Abdul Rahim dan Setiausaha Kehormat Hajah Haryani Binti Isli.

Sumbangan turut disampaikan kepada 75 asnaf dan anak yatim di sekolah ini berupa makanan asas yang disumbangkan oleh ibu bapa prihatin, guru-guru, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) dan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK), SKSB.

Anak-anak yatim gembira menerima sumbangan berupa hamper dan ‘duit raya’ yang disampaikan oleh persatuan 5P cawangan Labuan

Penyerahan Sumbangan Cermin Mata di bawah Program “Mataku Harapanku” , Yayasan Wilayah turut di adakan. Seramai 8 orang murid dan 4 orang pekerja swasta di SKSB menerima sumbangan tersebut. Program “Mataku Harapanku” menawarkan pemeriksaan mata secara percuma dan pemberian 3,000 cermin mata secara percuma untuk fasa pertama ini. Sasaran program ini adalah para pelajar yang berpendapatan rendah serta warga emas di wilayah ini.

Majlis Khatam Al-Quran warga SKSB turut di adakan dalam majlis tersebut yang diketuai oleh Ustaz Mohd Rozman Bin Umar sebagai khalifah khatam. Ia disertai seramai  35 murid, 35 guru dan seorang anggota kumpulan pelaksana (AKP). Kumpulan ini menjalankan tadarus semasa rehat dan waktu senggang mereka.  

Persembahan nasyid  daripada murid-murid dan guru-guru telah menceriakan  suasana majlis tersebut. Murid-murid begitu teruja melihat guru-guru memainkan alat muzik dan melihat persembahan hebat guru mereka yang diketuai oleh Dg.Sarifah.

Sementara itu, Pelbagai aktiviti berjaya dilaksanakan sepanjang Program Ihya’ Ramadhan. Ceramah Ahlan Ya Ramadhan telah disampaikan oleh Ustaz Shahrom Bin Samlan, Penolong Pengarah Bahagian Adab dan Dakwah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) membuka tirai menyambut ketibaan Ramadhan.

Sebahagian daripada penerima bantuan makanan asas daripada Labuan Society yang telah disampaikan oleh Tn Hj Abdul Rahim (berdiri di tengah).

Puan Dg. Sarifah dalam ucapannya turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang sama-sama menjayakan program Ihya’ Ramadhan.

”Alhamdulillah, Ramadhan tahun ini masih diberi kesempatan untuk bertadarus bersama-sama murid dan guru, menyertai majlis Tahlil, Iftar Jamaie, solat berjemaah  dan turut serta dalam khatam Al Quran peringkat sekolah sebagai penutup program Ihya Ramadhan tahun ini.

Tahniah kepada semua warga sekolah terutamanya kepada peneraju utama iaitu  Panitia Pendidikan Islam kerana telah berjaya melaksanakan program ini dengan jayanya.” katanya lagi.

Semoga program ini dapat diteruskan di masa hadapan. Atas segala sumbangan yang dihulurkan, semoga ianya dapat mengurangkan beban yang ditanggung keluarga berkenaan dalam mengharungi bulan Ramadhan yang barokah dan menyambut ketibaan Aidilfitri nanti.

Semoga sumbangan kita akan menjadi asbab pahala kita digandakan di bulan yang penuh keberkatan ini.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Kegembiraan terpancar di wajah guru-guru seusai majlis Semarak Kasih Ramadhan dan Khatam Al Quran



Jalinan Kasih DWEN mengimarahkan Iftar Jamaei SK Layang-Layangan

Program Penghayatan (Ihya’) Ramadan adalah satu program pembangunan sahsiah yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam SK. Layang-Layangan WP. Labuan. 

Aktiviti utamanya adalah ceramah agama Nuzul Quran, tadarus Al-Quran, pertandingan mewarna, tabung Ramadan Kareem, iftar jamaie dan lain-lain amalan sunat.

Antara pengisian Program Ihya’ Ramadan tahun 2019 adalah Tadarus Al- Quran di mana semua guru dan murid-murid tahun 6 diperuntukkan masa rehat untuk bertadarus al-Quran.

Selain itu, Tabung Ihya’ Ramadan juga telah dilancarkan bagi menggalakkan guru-guru, murid-murid dan kakitangan bersedekah / berinfaq bagi merebut ganjaran berlipat ganda sempena Ramadan Al-Mubarak ini. Hasil kutipan ini disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

Majlis Iftar Jamaie melibatkan semua guru dan kakitangan berbuka puasa di Tiara Hotel bersama-sama dengan golongan warga emas seramai 20 orang dari Kg. Sungai Labu dan Kg. Bebuloh. 

Melalui Dasar Warga Emas Negara (DWEN) yang mengiktiraf warga emas sebagai warganegara yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman yang mempunyai hak untuk menikmati kehidupan sejahtera, dihormati dan boleh terus menyumbang kepada pembangunan negara.

Manakala seramai 7 orang anak-anak yatim dan 25 orang anak miskin yang terpilih dan seterusnya menerima sumbangan melalui sedekah atau infaq yang telah diperolehi daripada para dermawan dan Tabung Ihya’ Ramadan. Tidak ketinggalan kumpulan PIBK juga turut menerima sumbangan daripada Guru Besar kerana usaha sama mereka dalam kejayaan sekolah.

Sumbangan untuk anak yatim disampaikan oleh Tuan Pengarah

Di antara penyumbang program ini adalah terdiri daripada Tuan Haji Wahab Andot, Pengarah Arif Electrical Engineering yang merupakan ahli perniagaan, Pusat Pungutan Zakan WP. Labuan, Labuan Soceity dan orang perseorangan.  

Program Ihya’ Ramadan  ini diadakan bertempat di Tiara Hotel dan Iftar Jamaei SK. Layang-Layangan merupakan program kemuncak bagi program tersebut.

Majlis yang dihadiri oleh Pengarah Pendidikan WP. Labuan, YBhg. Cikgu Raisin Bin Saidin selaku perasmi, Tuan Haji Wahab Bin Andot, Ustaz Ahmad Adha bin Ahmad Zohdi Penolong Pengurus PPZ, En. Abd. Aziz Penolong Pengarah JaPen, Hajah Haryani Binti Datuk Hj. Isli, En. Shah Redzuan NYDP sekolah ini dan Sarjan Rozilan Pegawai Polis angkat serta warga guru.

Dalam ucapan perasmian beliau menyentuh tentang manfaat yang diperolehi oleh murid-murid melalui aktiviti Ihya Ramadan dan berharap supaya program seperti ini dapat dibugarkan lagi pada setiap tahun dari semasa ke semasa. Beliau juga turut menyanjung usaha sekolah dengan keterlibatan warga emas dalam program ini yang beliau anggap sebagai satu langkah yang proaktif dalam menjalin hubungan baik dan kasih sayang sesama insan.

Terdahulu
Guru Besar SKLL, Puan Hajah Dayang @ Saidah Bte Hj Md Yassin semasa ucapan
aluannya memperkatakan mengenai bulan Ramadan adalah ‘Bulan Tarbiyah’ (bulan
didikan) yang mana melaluinya, seseorang Muslim itu seharusnya terdidik
imannya, jiwanya dan peribadinya melalui pelbagai program kerohanian yang
dilaksanakan untuk mendidik jiwa murid-murid. Beliau turut mengingatkan
kepada semua supaya sentiasa membaca Al Quran sebagai amalan harian serta
berusaha  mengangkat mertabat warga emas
dan tidak melupakan jasa mereka yang terdahulu pernah menabur jasa.

Program ini dapat memberikan peluang kepada warga sekolah untuk turut serta menyumbang tenaga, kepakaran dan kewangan dalam program kemasyarakatan bersempena bulan penuh keberkatan ini disamping menggembirakan hati para anak yatim dan miskin yang memerlukan bantuan.

Berita Oleh : SK Layang-Layangan

Tuan Pengarah menyantuni seorang warga emas yang menerima sumbangan



Program Smart Bantu Atasi Masalah Kehadiran Murid Ke Sekolah

Labuan– Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan Program Smart Siri 1/ 2019 kelmarin bertempat di Dewan Permata sekolah tersebut.

Program
tersebut dihadiri seramai 58 orang murid tahun satu hingga enam. Pemilihan
peserta program ini adalah berdasarkan kehadiran murid ke sekolah, pencapaian
akademik dan juga untuk pembinaan sahsiah terpuji murid.

Program Smart di bawah Unit Disiplin dan Unit Bimbingan dan Kaunseling bertujuan untuk membina dan memantapkan sahsiah terpuji murid serta mengatasi masalah murid berisiko cicir. Di samping untuk mendedahkan murid tentang peluang meningkatkan potensi diri dalam pelbagai kemahiran.

Antara pengisian program ini ialah sesi motivasi, ceramah daripada pihak PDRM, kaunseling individu dan kelompok serta latihan dalam kumpulan (LDK).

Murid-murid begitu tekun mendengar ceramah yang disampaikan oleh Sarjan Mohd Hafizuddin Augustin.

Guru Besar
SKSB, Puan Dg. Sarifah Binti A. Mahmod berkata pihak sekolah mengambil
berat  terhadap pembinaan jati diri murid
yang terpuji. Justeru, kerjasama daripada semua pihak khususnya ibu bapa amat
diperlukan untuk membentuk peribadi yang mulia 
anak-anak ini seawal mereka di tahun satu.

“Kita berharap melalui Program Smart ini, anak-anak akan mencintai sekolah. Rajin hadir ke sekolah, sentiasa menunjukkan amalan terpuji seperti membantu rakan-rakan, menjaga keceriaan dan kebersihan persekitaran sekolah dan menjadi ‘mata-mata’ kepada guru bagi mengekang salah laku disiplin murid lain”.

Katanya lagi, murid-murid di sekolah rendah berada di peringkat pertumbuhan di mana mereka sepatutnya suka hadir ke sekolah untuk memperolehi pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna. Guru-guru memberikan lebih perhatian kepada penerapan nilai kasih sayang, kegembiraan dan hormat-menghormati dalam memantapkan pembangunan sahsiah dan karakter murid.” Katanya semasa ditemui dalam majlis berkenaan.

Norsidah (Guru bimbingan dan kaunseling) turut menyampaikan ceramah motivasi dalam majlis tersebut.

Dalam majlis tersebut ceramah berkaitan  Keciciran di kalangan murid-murid dan Salah laku jenayah remaja telah disampaikan oleh Sarjan Mohd Hafizuddin Augustin Bin Abdullah daripada Balai Polis Kampung Bebuloh.

Semoga SKSB berjaya melahirkan murid yang bersahsiah tinggi, bersikap positif sentiasa bermotivasi dan mempunyai keazaman untuk cemerlang dalam semua bidang bersesuaian dengan slogan SKSB Mekar Terbilang.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Sarjan Mohd Hafizuddin Augustin (tengah) menerima sijil penghargaan daripada Dg Sarifah dengan diperhatikan oleh Kamariah dalam majlis tersebut.



Majlis Penutupan Ihya Ramadhan SK Pekan Satu

Labuan, 21 Mei- Panitia Agama Islam telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran, penyampaian cenderahati kepada peserta taddarrus dan penyampaian bantuan anak-anak yatim sempena Program Ihya Ramadhan tahun ini. Majlis dimulakan dengan bacaan Asma Ul Husna dan diringi oleh bacaan pembuka majlis agar program ini diberkati Allah. Khalifah bagi Majlis Khatam Al-Quran disandang oleh Ustaz Muhamad Zafar bin Abu Bakar bagi mengepalai seramai 20 murid lelaki dan 20 murid perempuan untuk membaca surah-surah Lazim sempena majlis Khatam Al-Quran.

Majlis ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran Tuan Haji Yunus Haji Yusof wakil dari JPN dan tuan Yassin bin Tawi wakil PIBG SK Pekan Satu yang diiringi oleh Guru Besar SK Pekan Satu, W.P. Labuan  Pn Anita Shyamini A/P S. Azman. Tuan Haji Yunus Haji Yusof menggalakkan agar aktiviti sebegini bukan sahaja di bulan ramadhan bahkan pada bulan-bulan yang lain supaya warga sekolah semakin dekat dengan penciptanya. Seterusnya beliau merasmikan Program Penutupan Ihya ramadhan Sk Pekan Satu pada tahun 2019.

Sebagai lanjutan daripada program ini diteruskan dengan penyampaian kepada 40 murid dan 30 guru yang terlibat dengan majlis taddarrus sepanjang program ihya ramadhan ini. Sesungguhnya sesiapa yang membaca 1 huruf Al-Quran akan digandakan 10 kebaikan oleh Allah maka dengan itu membaca Al-Quran amat digalakkan kepada semua individu bukan sahaja pada bulan ramadhan tetapi pada setiap hari.

Kemuncak program ini ialah penyampaian bantuan anak-anak yatim. Sk Pekan Satu sudah mengenalpasti seramai 32 orang murid iaitu 22 orang murid lelaki dan 10 orang murid perempuan yang kehilangan bapa atau ibu. Kerjasama yang jitu daripada warga sekolah dan ibu bapa bagi memeriahkan lagi kutipan tabung ihya ramadhan bagi disalurkan kepada anak-anak yatim amat di hargai. Daripada tabung tersebut setiap murid telah memperolehi sepasang baju raya berserta kasut, hamper, biskut raya dan air, tuala serta duit raya. Semasa penyampaian kami sebagai warga sekolah amat pilu dan gemberi apabila melihat murid-murid ini tersenyum riang apabila mendapat sumbangan yang tidak dijangka oleh mereka. Konklusinya program sebegini hendaklah diteruskan pada setiap tahun dan berharap agar kerjasama antara pihak sekolah dan Pibg semakin erat supaya murid-murid mendapat manfaatnya kelak.




Ziarah Cakna Pusat Tingkatan 6 SMK Labuan

Labuan – SMK Labuan meneruskan lagi Program Ziarah Cakna tahun ini dengan menyantuni ibu bapa/penjaga di Kampung Saguking, Kampung Sungai Bangat dan Kampung Lubok Temiang pada 17 Mei yang lalu.

Ziarah Cakna pada kali ini berfokus kepada pelajar yang sedang mengikuti pengajian tingkatan 6 di SMK Labuan.

Keluarga pertama yang dilawati ialah keluarga adik Siti Nurul Binti Badul yang mempunyai 5 orang adik-beradik di kampung Saguking. Pelajar kedua adik Muhammad Daniel Bin Nor Azman yang tinggal bersama ibu, datuk dan neneknya di Kampung Sungai Bangat.

Akhir sekali, rombongan telah melawat keluarga adik Siti Diana Binti Mujin di Kampung Lubok Temiang. Emak beliau, Rajimah binti Sijin meninggal dunia pada tahun 2018 akibat kegagalan fungsi organ. Siti Diana yang mempunyai 7 orang adik beradik, kini dijaga oleh abangnya Abdul Nazri Bin Mujin sebagai ketua keluarga.

adik Siti Nurul (tudung gelap) bersama ibunya menerima sumbangan daripada pihak sekolah

Mudah-mudahan program ini serba sedikit dapat meringankan beban pelajar yang kurang berkemampuan dan dapat mengeratkan lagi tali silaturrahim antara guru, PIBG dan masyarakat.

Bantuan berbentuk wang tunai RM100 dan keperluan harian seperti beras, gula, milo, minyak masak dan hamper.

Rombongan telah disertai oleh Encik Ismail Abdullah, Pengetua SMK Labuan, Tn Hj Md Yusof Hj Chuchu, YDP PIBG, Encik Saminan Sabtu, Penolong Kanan Pusat Tingkatan 6, Encik Abd Manan Nasir, Ketua Unit Kokurikulum Pusat Tingkatan 6 dan Ustaz Jailani Muda, Pensyarah Pusat Tingkatan 6.

Encik Ismail berkata, program ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang dan harapan beliau agar lebih ramai lagi masyarakat tampil bagi membantu anak-anak yang memerlukan khususnya sempena menyambut hari Raya Aidilfitri.

Tn Hj Md Yusof menyampaikan sumbangan kepada adik Siti Diana



Jasamu Dikenang : Terima Kasih Cikgu Omar, Terima Kasih Cikgu Sahar

Labuan : Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Labuan telah mengadakan Majlis Jamuan bagi meraikan persaraan 2 orang Pengetua iaitu Cikgu Omar Baki Matusin (SMK Rancha-Rancha) dan Cikgu Sahar Misron (SMK Pantai), baru-baru ini di salah sebuah hotel di Labuan.

Cikgu Omar Baki memulakan kerjaya sebagai seorang pendidik bermula dengan menjadi guru sandaran di SMK Kuala Penyu pada tahun 1987.

Setelah menerima Diploma Pendidikan UKM, beliau telah ditugaskan di Pulau Labuan iaitu di Sekolah Berasrama Penuh Labuan pada tahun 1990 dan berkhidmat selama 5 tahun.

Beliau kemudiannya berpindah ke Sabah pada tahun 1995, di SMK Majakir, Papar dan memegang jawatan sebagai Penyelia Petang serta Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.

Pada tahun 2000, beliau berpatah balik semula ke Pulau Labuan, dinaikkan pangkat sebagai Pengetua yang pertama, di SMK Taman Perumahan Bedaun.

Perjalanan karier beliau terus berkembang sehingga dilantik sebagai Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan WP Labuan pada tahun 2001 sehingga 2013.

Seterusnya, pada tahun 2013, beliau sekali lagi dinaikkan pangkat dan dilantik sebagai Pengetua dan juga merupakan pengetua yang pertama, di SMK Rancha-Rancha sehinggalah beliau bersara wajib pada tahun ini di usia 60 tahun.

Cikgu Omar Baki mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Ekonomi.

Anak kelahiran Menumbok sabah ini, berkahwin dengan Puan Norismah Ab Moin (mantan Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan WP Labuan ) dan dikurniakan 3 orang cahaya mata.

Cikgu Omar Baki menerima Sijil Penghargaan daripada Encik Raisin Saidin
Cikgu Omar Baki dan Isteri bersama Cikgu Sawal

Pengetua SMK Pantai IB World School, Cikgu Sahar Misron bersara wajib 60 tahun pada 3 Mei lalu selepas menabur bakti dalam perkhidmatan awam selama 38 tahun.

Beliau mula bertugas di Wilayah Persekutuan Labuan sejak tahun 2003 hingga 2019.

Cikgu Sahar memulakan kerjaya sebagai guru di SJKC Kemayan, Pahang pada tahun 1981 hingga 1983, kemudian berpindah tugas di SJKC Maran, Pahang tahun 1984 dan SJKC Chung Ching, Kuantan, Pahang pada tahun 1985 sehingga 1987.

Seterusnya beliau ditawarkan berkhidmat di Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia di Pesiaran Duta, Kuala Lumpur tahun 1987 sehingga tahun 2000.

Beliau kembali bertugas di sekolah setelah memperoleh Sijil Kelayakan Kepengetuaan Kebangsaan pada tahun 2001.

Beliau bertugas di SMK Yaacob Latiff, Jalan Peel, Kuala Lumpur pada tahun 2000 sebagai Ketua Bidang Kemanusiaan untuk tempoh lima bulan, sebelum dilantk menjadi ‘caretaker’ sekolah baharu di Sekolah Menengah Setapak Indah pada tahun 2001-2003.

Penghujung tahun 2003, Cikgu Sahar berhijrah ke Pulau Labuan dan menjadi guru Geografi dan Bahasa Melayu di SMK Pantai.

Setelah itu karier beliau diteruskan dengan menjawat sebagai sebagai Ketua Unit Perkhidmatan dan Ketua Sektor Perkhidmatan Pelajaran di Jabatan Pelajaran WP Labuan pada tahun 2005 sehingga tahun 2006.

Beliau menjadi pengetua SMK Lajau yang ketiga selepas Haji Mohammad Abu Bakar dan Abidin Marjan pada tahun 2006.

Bertukar ke Sekolah Sukan Negeri SMK Mutiara tahun 2011 sehingga tahun 2012, sebelum kembali bertugas menerajui SMK Lajau mulai 16 Januari 2012.

Selepas itu beliau bertugas di SMK Pantai sebagai Pengetua Cemerlang mulai 16 April 2012 sehinggalah bersara wajib pada 2 Mei 2019.

Sepanjang 16 tahun berkhidmat di Labuan, Cikgu Sahar aktif dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada jasa dan pengorbanan Cikgu Omar Baki Matusin dan Cikgu Sahar Misron dalam dunia pendidikan. Selamat Bersara dan Terima Kasih Cikgu.

Gambar kenangan Cikgu Sahar dan Cikgu Omar bersama warga Pendidikan Labuan