1

JPWPL Jalin Hubungan Dua Hala dengan Negara Jepun

Labuan, 29 Julai – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya mewujudkan hubungan dua hala profesional dalam bidang pendidikan dan pembangunan bola sepak dengan negara Jepun.

Jabatan ini telah dikunjungi oleh oleh Mr Tatsuya Tony Takahashi, Director NPO SAM (Save the Asian Monuments), Mr Kojima Takuya, Senior Coach of Tokyo Football Association, Miss Iyama Tomomi, Nursing, medical science and student care teacher, Board member of NPO SAM dan Mr Daichi Baba, pada 25 Julai hingga 28 Julai 2019.

Rombongan telah melawat beberapa sekolah, antaranya ialah SK Sungai Bedaun, SMK Taman Perumahan Bedaun dan SMK Mutiara.

Pihak sekolah telah membuat sesi perkongsian mengenai Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) dan Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM), di samping aktiviti-aktiviti pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas.

Rombongan NPO SAM, Jepun, Pegawai-pegawai JPNS, pegawai-pegawai JPWPL bergambar kenangan bersama murid-murid SK Sungai Bedaun.

Di SMK Mutiara dan SMK Taman Perumahan Bedaun, Mrs Iyama Tomomi dan Mr Daichi Baba telah berkongsi kepada para guru berkenaan pendidikan dalam penjagaan kesihatan di sekolah-sekolah Jepun.

Dari kiri Dr Hyginus, Mrs Sally Ann Scott, Encik Mohd Nizam, Mrs Iyama Tomomi dan Mr Daichi dalam perkongsian pendidikan mengenai penjagaan kesihatan di sekolah-sekolah Jepun

Sempena lawatan tersebut juga, satu pertandingan Karnival Mini Liga Bola Sepak antara sekolah-sekolah Menengah di Labuan telah diadakan di Padang Bola Sepak SMK Pantai dan SK Pantai.

Mr Kojima Takuya telah mengambil bahagian sepenuhnya dalam karnival itu dengan memberi dorongan dan sokongan kepada sekolah-sekolah yang bertanding.

Beliau turut memuji kemahiran individu yang dimiliki oleh pemain-pemain sekolah di Labuan tetapi masih banyak ruang untuk diperbaiki terutama dalam permainan berpasukan.

Mr Kojima juga telah berkongsi kepakaran dan pengalaman kepada jurulatih-jurulatih setiap sekolah dalam memperbaiki kelemahan pasukan dan pihaknya bersedia untuk membantu mengembangkan lagi teknik kejurulatihan dan kemahiran para pemain.

Beliau akan membawa para pemain remaja bola sepak di Jepun untuk membuat koloborasi dan perlawanan persahabatan bagi meningkatkan lagi pembangunan bola sepak di wilayah ini.

Mr Kojima dan Puan Norazita bersama pemain bola sepak SMK Pantai

Terdahulu, Mr Kojima dan Mr Daichi sempat menyertai pasukan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dalam perlawanan persahabatan menentang Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Labuan.

Para Pemain JPWPL dan ATM Labuan
Dari kiri Mr Tony, Mr Daichi, Mr Kojima, Encik Raisin Saidin dan para pemain JPWPL

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin ketika ditemui dalam perbincangan antara kedua-dua pihak, mengucapkan terima kasih dan menzahirkan rasa gembira dengan kehadiran para rombongan dari Jepun yang hadir.

Beliau berharap jalinan kerjasama ini dapat mewujudkan hubungan dua hala profesional dalam bidang pendidikan dan pembangunanan sepak bola untuk pengembangan profesional guru dan murid antara Labuan dan Jepun.

Perancangan seterusnya dengan membawa pelajar-pelajar daripada Universiti Toyo, Jepun untuk datang berkunjung ke Labuan pada tahun 2020.

Ketika sesi lawatan ke SMK Taman Perumahan Bedaun



Hari Koperasi Sekolah (HKS) SMK Labuan Suburkan Budaya Keusahawanan dan Kemasyarakatan

Labuan, 31 Julai – Hari Koperasi Sekolah (HKS) SMK Labuan telah menyuburkan budaya keusahawanan dan kemasyarakatan, demikian intipati ucapan perasmian oleh Datuk Hajah Noraini binti Datuk Seri Panglima Hj Salleh, Pengerusi Perhubungan ANGKASA Negeri Sabah.

Beliau berkata, Koperasi sekolah menyediakan murid-murid dengan peluang menimba pengalaman dalam bidang perniagaan. Ini secara langsung juga dapat memberi impak kepada pembangunan sifat-sifat positif murid seperti rajin, jujur, bekerjasama dan komited terhadap tanggungjawab yang diberi.

Hari Koperasi Sekolah (HKS) SMK Labuan 2019 yang berlangsung pada 28 Julai lalu, menyediakan pelbagai aktiviti dan pengisian. Antaranya Koop Run 5 KM, menyediakan gerai jualan, pameran, pertandingan karya penulisan, mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan melukis untuk pelajar dan lawatan kemasyarakatan.

Hari Koperasi SMK Labuan bertambah meriah dengan hasil gabungan kerjasama agensi lain melalui aktiviti seperti kitar semula bersama Perbadanan Labuan, menderma darah bersama Jabatan Kesihatan WP Labuan, pertandingan Petanque bersama Jabatan Belia dan Sukan, ceramah pendidikan keusahawanan bersama Perbadanan Nasional Berhad dan pameran pelbagai agensi.

Koperasi SMK Labuan Berhad berazam untuk terus memberi sumbangan positif kepada sekolah amnya dan kepada murid-murid khasnya. Ini juga secara kolektifnya akan memberi sumbangan kepada kemajuan gerakan koperasi di peringkat nasional.

Jumlah jualan Koperasi SMKL Berhad bagi tahun berakhir 31 Mac untuk 3 tahun terakhir bermula 2017 hingga 2019 menunjukkan peningkatan yang semakin ketara.

Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah berkata pihak sekolah komited dengan peranan koperasi sekolah iaitu  membantu membangunkan modal insan yang kompetitif serta berpotensi untuk memperkukuhkan bidang keusahawanan negara.

Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam pameran-pameran serta aktiviti kitar semula, yang merupakan aktiviti yang menyumbang kepada penyuburan sikap menghargai alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

Di majlis yang sama, Adik Kizzer Poh dan Siti Nordiana binti Abdullah, masing-masing telah mendapat Anugerah Khas Koperator Lelaki dan Perempuan Terbaik 2019.

Turut hadir Encik Jaafar bin Matusin, Penolong Pengarah Unit Kokurikulum, Jabatan Pendidikan WP  Labuan, Tuan Haji Md Yusof bin Haji Chuchu, Yang Dipertua PIBG SMK Labuan, Encik Azmaniansyah Bin Bachok, Pegawai Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Labuan, Puan Yantie Bakir, Ketua Peladang Muda, Pertubuhan Peladang Kawasan Labuan Selatan.

Berita Oleh : SMK Labuan

Dari kiri Encik Kitli, Encik Jaafar, Encik Azmaniansyah, Encik Ismail, Datuk Hjh Noraini, Tuan Hj Yusof, Encik Saminan dan Puan Yantie



Pelari Sabah kuasai KOOP Run SMK Labuan 2019

Labuan, 31 Julai – Pelari dari Sabah Safree Sabdin dan Marlin Hing William mengungguli KOOP Run 5 Kilometer SMK Labuan 2019 yang diadakan pada ahad lalu bersempena dengan Hari Koperasi Sekolah SMK Labuan.

Safree Sabdin dari Penampang Sabah menguasai kategori Lelaki, meninggalkan Aizan Sofizan (Tamparuli) ditempat kedua dan Fabian Osmond Daimond (Inanam) ditempat ketiga.

Marlin Hing muncul juara kategori Perempuan dengan mengatasi pencabar terdekat Melsheira Jumit dari Tenom dan Davein Joyce a/p Habalan dari Beaufort, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Johan bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai RM 500 dan sijil penyertaan. Naib johan dan tempat ketiga mendapat RM 300 dan RM 100 berserta sijil.

Manakala tempat ke 4 hingga ke 10 membawa pulang wang tunai RM 50 dan sijil penyertaan.

Seramai 240 orang peserta telah menyertai larian ini yang telah disempurnakan oleh Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail bin Abdullah.

Peserta-peserta KOOP Run 5 km SMKL 2019

Encik Ismail mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak-pihak yang menyumbang hadiah-hadiah sempena Koop Run SMK Labuan ini.

“Semoga acara ini akan menjadi daya tarikan untuk acara yang lebih besar kerana SMK Labuan bercadang untuk menganjurkan Larian SMK Labuan 100 Tahun pada tahun 2021 nanti, seterusnya menyemarakkan pelancong luar datang ke Labuan”. Encik Ismail Abdullah

Turut memeriahkan program tersebut, Yang DiPertua PIBG SMK Labuan, Tuan Haji Md Yusof Haji Chuchu, Puan Zalina Zunkepely (Penolong Kanan Pentadbiran), Puan Marziawati Mardan (Penolong Kanan Hal Ehwal Murid), Encik Cheah Teong Aik (Penolong Kanan Kokurikulum), Encik Saminan Sabtu (Penolong Kanan Pusat Tingkatan Enam) dan Encik Kitli Beka (Penolong Kanan Petang).

Berita Oleh : SMK Labuan

Encik Ismail bersama para pemenang kategori lelaki KOOP Run SMK Labuan 2019



Program Peningkatan Penguasaan Tahap Minimum Matematik Murid-murid Tahun 6 Sekolah-sekolah Rendah W.P Labuan

LABUAN, Sabtu – Jabatan Pendidikan W.P Labuan (JPWPL) dan anjuran bersama Task Force Matematik JPWPL dan Pusat Pungutan Zakat W.P Labuan mengadakan Program Peningkatan Penguasaan Tahap Minimum Matematik Murid-murid Tahun 6 Sekolah-sekolah Rendah W.P Labuan bertempat di Dewan Institut Latihan Perindustrian (ILP). Program ini disertai seramai 160 orang murid calon UPSR seluruh W.P Labuan dan 55 orang guru terdiri daripada PK pentadbiran, ketua panitia Matematik dan guru-guru Matematik Tahun 6.
Penceramah jemputan program peningkatan ini ialah Encik Azri bin Omar yang merupakan ketua pasukan bersama pemeriksa kertas. Beliau juga merupakan seorang penggubal soalan dan guru cemerlang (Matematik).

Program ini bertujuan memantapkan mengukuhkan keyakinan diri, memberi kesedaran dan memantapkan kemahiran murid menjawab soalan kertas UPSR – Matematik dengan menggunakan teknik dan kaedah menjawab yang betul dan tepat dan meningkatkan kemahiran pedagogi guru dalam kaedah mengajar murid menjawab soalan dengan tepat dan betul. Selain itu, objektif program ini adalah untuk membantu murid-murid Tahun 6 pencapaian sederhana menguasai tahap minimum dalam mata pelajaran Matematik – UPSR.

Pengarah JPWPL, Raisin bin Saidin, yang telah merasmikan program ini dalam ucapannya berharap agar program ini dapat memberi impak kepada semua murid yang menyertai program ini. Beliau juga berharap melalui perkongsian ilmu dan pengalaman penceramah akan membantu meningkatkan prestasi subjek Matematik di Wilayah Persekutuan Labuan dalam UPSR pada tahun ini. Pengerusi Task Force Matematik JPWPL, Norinnie binti Kassim turut mengucapkan terima kasih kepada guru dan murid dari 15 buah sekolah yang menyertai program ini. Beliau juga berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi meningkatkan kecemerlangan prestasi mata pelajaran Matematik di Wilayah Persekutuan Labuan. Turut hadir Ustaz Hj Ahmad Shahrizal Bin Mohd Saffian, Pengurus Pusat Pungutan Zakat W. P Labuan dan Timbalan Pengerusi Task Force Matematik, Puan Murni binti Jaafar.




Ikon Guru Lakar Sejarah di Indonesia sebagai Pembentang Pleno

Ikon
Guru Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia 2015, Dr. Hyginus Lester Junior
Lee melakar sejarah apabila menjadi pembentang utama tunggal dari Malaysia dalam
sidang pleno persidangan antarabangsa Indonesia.

Sidang
pleno adalah sesi lengkap yang dihadiri oleh semua peserta sesuatu persidangan
dan umumnya disampaikan oleh tokoh dan ilmuwan tersohor dalam bidang tertentu.

Anak
kelahiran Kota Kinabalu dan sedang berkhidmat sebagai pegawai Pembimbing Pakar
Peningkatan Sekolah (SISC+) Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan adalah
seorang daripada empat pembentang pleno luar negara dalam The 3rd Indonesia International
Conference on Linguistics, Language Teaching, Literature and Culture
yang
berlangsung pada 20-22 Julai 2019 di Universitas Pamulang, Indonesia.

Tiga pembentang pleno luar negara yang lain ialah Dr. Mark Fraser dari Universiti Wollongong (Australia), Paul Smith, OBE (British Council Jakarta), dan Shri Makrand Shukla (Pengarah, Jawaharlal Nehru Indian Cultural Centre, Kedutaan India di Jakarta). Lima pembentang pleno dalam negara dari Indonesia ialah Profesor Sihabudin (Universitas Pendidikan Indonesia), Dr. Condro Nur Alim (Universitas Muhammadiyah Purwokerto), Dr. Desvalini Anwar (Universitas Negeri Padang), Hjh Djasminar Anwar (Universitas Pamulang), dan Dr. Muhammad Widan (Universitas Pamulang).

Dari kiri: Dr Desvalini, Dr Hyginus, Hjh Djaminar dan Dr. Mark Fraser

Perunding
Pendidikan Amerika Syarikat, John Parker dan Perunding Pendidikan Amsterdam, Paul
Bijlsma merupakan dua pembentang fitur (featured
speaker
).

Persidangan
tiga hari itu dirasmikan oleh Profesor Dr. Uman Suherman,
Kepala LLDIKTI Wilayah IV Jabar-Banten di Kampus III Viktor Lt.8, Universitas Pamulang.
Profesor Dr. Joko Nurkamto daripada Universiti
Sebelas Maret yang juga Presiden TEFLIN dijemput sebagai pembicara utama (keynote
speaker
)

Dr.
Hyginus menyatakan bahawa beliau teruja apabila dijemput sebagai pembentang
tunggal Malaysia sidang pleno dan amat berterima kasih di atas kepercayaan pihak
universiti memberi peluang berkongsi dapatan kajian tindakan inovasi
pembelajaran bahasa Inggeris bertajuk “I SPY 5
Starflowers: Innovating Teaching, Facilitating Learning of Subject-Verb Agreement
and Plural Nouns”.

“I
SPY 5 Staflowers” merupakan inovasi pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris
yang memberi fokus kepada aspek tatabahasa subject-verb
agreement
dan plural nouns. Inovasi
tersebut adalah penambahbaikan daripada inovasi awal beliau “I SPY 5 Stars” dan
“I SPY 5 Stars Version 2.0” yang telahpun memenangi pelbagai anugerah peringkat
negeri, kebangsaan, dan antarabangsa.

Kajian tindakan yang melibatkan 264 orang murid ini adalah hasil kerjasama Ketua Panitia Bahasa Inggeris SMK Mutiara Wilayah Persekutuan Labuan, Cik Debbie Lawrence dan Ketua Pentaksir Lisan Sekolah, Puan Onnia Ahngol. Inovasi tersebut telah dibentangkan di peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara dalam Seminar Kajian Tindakan Panitia pada 06 April 2019 dan dipamerkan dalam The 3rd Creativity and Innovation Exhibition & Language Teaching Seminar (3rd CAIELTS 2018), Pertandingan Kreativiti dan Inovasi PIBG SMK Mutiara 2018, dan Karnival Mai Tah Ba’Inovasi Peringkat Kebangsaan 2019.

Dr. Hyginus menerima sijil daripada Hjh Djasminar Anwar, Dekan Fakulti Persuratan, Universitas Pamulang

Dr.
Hyginus merakamkan penghargaan kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah
Persekutuan Labuan, Encik Raisin bin Saidin, Pegawai SIP+ yang juga mantan
Pengetua SMK Mutiara, Encik Louren Abon, Ketua Sektor Jaminan Kualiti Cik
Khaziyati Osman, dan Ketua Pengurusan Akademik Encik Yusup Mohammad atas
sokongan penglibatan kakitangan jabatan dalam kajian dan inovasi.

Dr. Hyginus merupakan penerima anugerah Ikon Inovasi Kebangsaan MyRIS 2019 dan Ikon Guru Inovasi Jabatan Pendidikan W. P. Labuan 2019. Bett Asia yang berpusat di United Kingdom pernah menobatkan beliau sebagai Warga Global 2016 (Global Citizen) kerana kecemerlangan beliau dalam inovasi dan penyelidikan peringkat antarabangsa. Beliau menganjurkan bengkel percuma untuk guru dan murid dan boleh dihubungi melalui laman Facebook “Hyginovasi” atau hyginovasi.blogspot.com




Program Pengantarabangsaan NPO SAM Jepun dan Lawatan kerja SPS Negeri Sembilan ke SK Sungai Bedaun

Labuan, 29 Julai – Seramai empat pegawai daripada Non- Profit Organization (NPO) Save the Asian Monument (SAM) Jepun dan 23 pegawai daripada Sektor Pengurusan Sekolah (SPS), Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) telah mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) Jumaat lalu.

Lawatan NPO, SAM diketuai oleh Mr Takahashi Tony Tatsuya dan Mrs. Iyama Tomomi. Turut hadir Mr Kojima Takuya, jurulatih bola sepak dan Mr Daichi Baba.

Manakala kunjungan rombongan daripada JPNS diketuai oleh Haji Misri bin Mustama, Ketua Sektor  SPS, JPNS.

Ketibaan rombongan tersebut disambut oleh murid-murid yang memakai pakaian tradisional masyarakat tempatan iaitu kaum Kedayan, kaum Iban, kaum Kadazan, kaum Dusun serta lengkap berpakaian kebangsaan Malaysia iaitu baju melayu dan baju kurung.

Turut dipersembahkan muzik tradisional kulintangan yang dimainkan oleh murid-murid tahun tiga dan enam.

Murid-murid SK Sungai Bedaun menggayakan pakaian tradisional masyarakat tempatan bergambar ceria bersama ahli rombongan JP Negeri Sembilan dan pegawai-pegawai JPWPL
Persembahan kulintangan yang menjadi perhatian ahli rombongan JPNS dan NPO SAM, Jepun

Menurut Penolong Kanan Hal Ehwal Murid , Puan Kamariah binti Salim yang merupakan ketua bahagian sambut tamu, pemilihan aktiviti ini merupakan usaha memantapkan  program silang budaya bagi mencorak pemikiran generasi masa depan.

Rombongan tersebut dibawa meninjau Gallery Walk (Project Based Learning – STEM) di Dewan Mutiara. Sebanyak enam stesen projek murid tahun lima dipamerkan. Antaranya ialah “Build a Volcano” (Science), “Parachute Rocket” (Engineering), “Propeller Car” (Engineering), “Augmented Reality” ( Technology), “Build a Catapult” ( Engineering ) dan “Bridge Building Challenge”( Engineering).

Pada hari ini kita dapat melihat hasil projek anak-anak SK Sungai Bedaun yang berjaya menyelesaikan tugasan yang diberi dan menghasilkan projek bagi mengatasi masalah tersebut,” jelas Pn.Rina Farrina, Penolong Kanan Pentadbiran sebagai penyelaras projek.

Justeru, melalui Pendidikan STEM pihak sekolah
amnya dengan kerjasama ibu bapa, komuniti melaksanakan pelbagai program sebagai
persiapan melahirkan guna tenaga yang mampu memenuhi keperluan industry sesuai
dengan agenda transformasi Pendidikan abad ke-21.

Ujarnya lagi, pendidikan STEM juga menekankan konsep berpandukan komponen 6C dalam pdp iaitu communication, creative thinking, crictical thinking, citizenship, character dan collaboration seperti yang terkandung di dalam pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) serta menekankan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

Ahli rombongan begitu tekun mendengar penjelasan daripada pempamer berkenaan projek STEM mereka.

Mereka turut melihat Kelas Simulasi Bahasa Arab tahun tiga yang dikendalikan oleh Ustazah Anfal Binti Amir dan Ustazah Suadah binti Abdul Wahab yang merupakan PLC yang berkonsepkan pengajaran berpasangan.

PLC ini merupakan salah satu cara untuk membantu guru yang bukan opsyen untuk memantapkan pdpc dalam mata pelajaran yang diajar.

Mereka juga dibawa melawat Galeri Mutiara, melihat sendiri pemeriksaan kesihatan gigi, melihat kerja-kerja menaiktaraf musolla Al-Kauthar dan melawat tiga buah kelas pra sekolah.

Penolong Kanan Kokurikulum, Encik Mohd Aizam bin Abdul Rahim turut menyatakan kesyukuran kerana mendapat bimbingan kejurulatihan bola sepak daripada En.Kojima Tokuya yang merupakan Jurulatih Bola Sepak dan perkongsian ilmu  daripada Mrs.Iyama Tomomi bersama guru-guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.

Mrs. Iyama Tomomi, pengarah  NPO SAM turut mengadakan sesi perkongsian pintar dengan guru-guru. Beliau menyampaikan  taklimat ringkas  bertajuk “The Role Of Yogo Teachers and Functions of the Health Room”.

Rombongan NPO SAM, Jepun sempat merakamkan gambar kenangan di Galeri Mutiara bersama Dg. Sarifah (dua dari kanan) dan Norinie (dua dari kiri).
Mr Takahashi Tony Tatsuya (kanan), Mrs. Iyama Tomomi (tiga dari kiri) dan Mr Kojima Takuya (dua dari kanan) melihat peperiksaan gigi murid oleh pegawai pergigian.

Siri lawatan pada pagi ini turut dimeriahkan dengan kehadiran  Ketua-ketua sektor dan pegawai-pegawai daripada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL).

Guru Besar SK Sungai Bedaun, Puan Dg. Sarifah Binti A. Mahmod mengalu-alukan kehadiran ahli rombongan daripada NPO SAM dan pegawai-pegawai SPS, JPNS dan menyampaikan ucapan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan yang memberi peluang dan kepercayaan SK.Sungai Bedaun untuk terlibat sama sempena Minggu Pengantarabangsaan Labuan melalui Pendidikan. Beliau berharap semoga dengan program pengantarabangsaan dan penandaarasan ini dapat membina hubungan rapat di antara sekolah dengan NPO SAM Japan dan JPNS melalui ‘Smart Partnership’ berkaitan dengan perkongsian ilmu dan kepakaran.

Sementara itu, Tuan Haji Misri bin Mustama, Ketua Sektor  SPS, JPNS mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah di atas sambutan dan layanan yang sungguh mesra kepada ahli rombongan.

“Kami banyak belajar melalui lawatan ini. Semoga ianya dapat mewujudkan satu sistem perkongsian maklumat bersama di antara JPNS yang melaksanakan penanda aras dengan SK Sungai Bedaun iaitu sekolah rujukannya” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Puan Dg. Sarifah (duduk lima dari kiri) rombongan NPO SAM, Jepun, Pegawai-pegawai JPNS, ketua-ketua sektor, pegawai-pegawai JPWPL bergambar kenangan bersama guru-guru SK Sungai Bedaun.
Rombongan JPNS, merakamkan gambar kenangan bersama pegawai-pegawai JPWPL, guru-guru dan murid-murid SK Sungai Bedaun.
Lawatan untuk melihat projek menaiktaraf Musolla Al-Kauthar



The 4th International Creativity and Innovation Exhibition & Language Teaching Seminar

Panitia
Bahasa Inggeris Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara Wilayah Persekutuan Labuan
dengan kerjasama Unit Bahasa, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan
telah menganjurkan The 4th International Creativity and Innovation
Exhibition & Language Teaching Seminar atau ringkasnya 4th CAIELTS
2019 pada 27 Julai 2019 bertempat di Dewan Semarak SMK Muiara. Program tersebut
juga telah mendapat sokongan Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Mutiara dan SISC+
Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Majlis perasmian pembukaan 4th
CAIELTS 2019 telah disempurnakan oleh Encik Mohd Nizam bin Yasim, Pengetua SMK
Mutiara selaku Penasihat CAIELTS. Dalam ucapannya, beliau merakamkan
penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan
Wilayah Persekutuan Labuan kerana telah menyokong usaha sekolah meningkatkan
kualiti pedagogi melalui perkongsian amalan baik pembentangan kertas kerja dan
pameran produk kreatif dan inovatif oleh guru-guru dalam dan luar Labuan.

Menurutnya lagi, CAIELTS bermula sebagai
latihan dalam perkhidmatan peringkat Panitia Bahasa Inggeris SMK Mutiara yang pernah
dipimpin oleh Dr. Hyginus Lester dan dahulunya dikenali sebagai Creative and
Innovative English Language Teaching Seminar pada tahun 2016. Namun, tahun 2017
memperlihatkan penjenamaan semula CAIELTS sebagai Creativity and Innovation
Exhibition & Language Teaching Seminar kerana peranannya yang lebih meluas.
Ucapan terima kasih dilahirkan kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi
Nasional Labuan dan Innospace Labuan kerana telah menjadi kolaborator CAIELTS
pada tahun 2016 dan 2017.

Beliau turut mengalu-alukan penyertaan 18 pembentangan kertas kerja, 48 pempamer, 19 peserta, 3 hakim inovasi, dan 21 orang ahli jawatankuasa pengelola.  Antara yang hadir dalam seminar tersebut adalah Ikon Guru Kebangsaan, Dr. Hyginus Lester Junior Lee, Ikon Guru Labuan Puan Suriani Alland Rice Oxley dan Encik Samih bin Kukung serta Guru Adiwira Labuan, Cik Norfadzillah Chin dan Encik Yahya Burhanuddin.

Guru sedang menerangkan bahan pameran kepada pengunjung dari negara Jepun

Pengerusi Pengelola CAIELTS, Dr. Hyginus Lester
Junior Lee menyatakan bahawa CAIELTS tahun ini lebih unik dan istimewa kerana
menyelit pembentangan maya daripada dua pembentang luar negara, Profesor Madya
Dr. Jonathan Mark Newton dan Dr. Bui Le Diem Trang (Vietnam), masing-masing
pensyarah kanan dan lulusan pascasiswazah Victoria University of Wellington,
New Zealand. Pembentangan maya itu adalah tentang pengajaran bahasa Inggeris
melalui Task-based Language Teaching (TBLT) yang berjaya menggalakkan kemahiran
komunikatif dan pembelajaran berpusatkan murid.

Sally Ann Scott dari Labuan English Academy
adalah salah seorang pembentang fitur (featured speaker) dalam CAIELTS. Berasal
dari United Kingdom, beliau berkongsi teknik dan petua mengajar bahasa Inggeris
sebagai bahasa kedua dalam konteks sekolah rendah di Labuan. Puan Tomomi Iyama
dari NPO SAM Japan dan Encik Daichi Baba dari ZenFoods Japan berkongsi tentang penjagaan
kesihatan di sekolah-sekolah Jepun.

Dalam ucapan perasmian penutupan 4th CAIELTS 2019, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin bin Saidin menyatakan bahawa seminar pengajaran bahasa seperti ini dapat mendedahkan dan menerapkan amalan pedagogi kreatif dan inovatif dalam kalangan guru berorientasikan konsep pembelajaran abad ke-21, lantas mampu meningkatkan penguasaan dan profisiensi murid dalam bidang bahasa menggunakan aktiviti yang menarik dan efektif. Pameran kreativiti dan inovasi pula menjadi platform guru-guru berpengalaman memperkenalkan amalan pedagogi kreatif dan inovatif untuk dikongsi bersama, mempersembahkan kaedah pembelajaran dan pengajaran lebih menarik, membincangkan isu dan cabaran dalam pendidikan abad ke-21, dan membangunkan motivasi dan minat murid dalam pembelajaran serta menjana pemikiran yang lebih kritis. Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Encik Louren Abon, Pegawai SIP+ Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, wakil rasmi Pengarah Pendidikan.

Majlis Perasmian penutupan oleh Encik Louren (kiri) bersama Encik Mohd Nizam, Dr. Hyginus dan Puan Siti Aminah

The
4th CAIELTS 2019 turut memberikan sijil penghargaan kepada tiga
orang inovator dalam kalangan pegawai pendidikan yang telah mengharumkan nama
sekolah, jabatan, negeri, dan negara dalam program kreativiti dan inovasi
peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Penerima sijil tersebut adalah Puan
Suriani Alland Rice Oxley, Dr. Hyginus Lester Junior Lee, dan Encik Samih bin
Kukung.

Bagi
penilaian pembentangan pengajaran bahasa, Dr. Hyginus Lester Junior Lee meraih
pingat emas dengan tajuk kajian “The Mystery of As”. Penerima pingat emas yang lain
ialah Encik Samih bin Kukung (Velcro Smart Board Innovation – SK Lubok Temiang),
Puan Junaidah Baharuddin dan Cik Norsuziana Amnor (ROGABA – SMK Mutiara), Pasukan
SISC+ (Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan),
dan Noor Azma Mukhtar (Keberkesanan Penggunaan Simbol Nombor Dalam Proses Tranformasi
Ayat – SM Sains Labuan). Anugerah Pilihan Hakim bagi pembentangan terbaik
pengajaran bahasa dirangkul oleh Encik Samih bin Kukung dan Dr. Hyginus Lester
Junior Lee.

Penilaian
Pameran Kreativiti dan Inovasi melihat pasukan I SPY 5 Starflowers (SMK Mutiara),
Velcro Smart Board Innovation (SK Lubok Temiang), Model E-VAR (SMK Mutiara), BaTaSuSiRum
(SM St. Anne), Biology A+ Secretbox (SM Sains Labuan), Grammar Blocks (SM Sains
Labuan), DIY Mini Kit (SM Sains Labuan), Kit ALLIN 1 (SK Sangkabok, Kuala Penyu),
CoCA-Or-La (SM Sains Labuan), dan Lukisan Kronologi (SM Sains Labuan) meraih
pingat emas. Anugerah Pilihan Hakim kategori kreativiti dan inovasi dirangkul
oleh Kit ALLIN 1 (SK Sangkabok, Kuala Penyu), KIT DIY Mini Kit (SM Sains Labuan),
dan Lukisan Kronologi (SM Sains Labuan).

Turut hadir dalam The 4th CAIELTS 2019 ialah Puan Siti Aminah binti Zakaria (Penolong Kanan Pentadbiran SMK Mutiara) dan Encik Josten Lamibai (Penolong Kanan Kokurikulum SMK Mutiara).

Berita Oleh : SMK Mutiara

Pemenang Pingat Emas Kreativiti dan Inovasi (Pasukan I SPY 5 Starflowers – SMK Mutiara)
(dari kiri: Dr. Hyginus, Puan Sally Ann Scott, Encik Mohd Nizam, Puan Tamomi Iyama, Encik Daichi)



Karnival Riang Ria Prasekolah Peringkat Negeri W.P Labuan

Labuan, 25 Julai- Karnival Riang Ria Prasekolah peringkat negeri WP Labuan telah dijalankan di Prasekolah SK Sg Lada. Kumpulan sasaran karnival ini ialah seluruh murid-murid Wiayah Persekutun Labuan termasuklah murid-murid SKPS yang sudah pastinya tidak ketinggalan mengambil bahagian. Karnival ini diadakan pada 25 Julai sehingga 27 Julai 2019. Antara pertandingan yang dijalankan termasuklah membaca lancar, hafazan dan membina perkataan dalam Bahasa Inggeris di adakan di SK Sg Lada selaku tuan rumah Karnival Riang Ria Prasekolah pada tahun ini. Prasekolah Sekolah Kebangsaan Pekan Satu telah menghantar 3 individu iaitu 2 lelaki dan 1 perempuan bagi kategori membaca lancar Bahasa Melayu, Hafazan kategori lelaki dan perempuan. Tidak ketinggalan juga wakil seramai 4 orang bagi pertandingan membina perkataan dalam Bahasa Inggeris. Manakala wakil bagi persembahan prasekolah pula disertai oleh 16 orang murid cili api. Terdapat kira-kira 14 buah sekolah yang menyertai Karnival Riang Ria Prasekolah Peringkat negeri WP Labuan. Berikut merupakan senarai nama peserta Prasekolah Sekolah Kebangsaan Pekan Satu.

Membaca Lancar Bahasa Melayu

  1. Irfan Ziqri bin Mohd Faiz

Hafazan

  1. Muhammad Hilmi Zuhdi Bin Mohd Sayuti (L)
  2. Nur Aisyah Syazana Binti Juply (P)

Permainan Bahasa (Bahasa Inggeris)

  1. Muhammad Adi Khairi Bin Ali Rahman
  2. Putra Arrashiddin Bin Abdullah
  3. Wan Arif Isyraff Bin Wan Abdul Halim
  4. Nur Zarra Arissa Binti Rume

Persembahan Bakat Prasekolah

  1. Muhammad Hilmi Zuhdi Bin Mohd Sayuti
  2. Muhammad Adi Khairi Bin Ali Rahman
  3. Muhammad Azmin Bin Abdullah
  4. Muhammad Firash Bin Mohd Fadil
  5. Muhammad Ikhwan Bin Ramlan
  6.  Irfan Ziqri Bin Mohd Faiz
  7. Wan Arif Isyraf Bin Wan Abdul Halim
  8. Putra Arrashiddin Bin Abdullah
  9. Nur Hazirah Arissa Binti Mohd Hazim
  10. Nur Zarra Arissa Binti Rume
  11. Nurul Nazhirah Binti Romy
  12. Aulyndra Beth Charlie
  13. Nur Elfiera Ardinie Binti Masdi
  14. Nurul Ashsiena Binti Norzi
  15. Qisya Nurwajihah Binti Hezri
  16. Wan Zulaikha Zahra Binti Wan Zawawi

Percapaian terbaik bagi kategori hafazan lelaki ialah adik Muhammad Hilmi Zuhdi Bin Mohd Sayuti yang telah dinobatkan sebagai Johan daripada 14 peserta. Manakala kategori perempuan yang terbaik ialah Nur Aisyah Syazana Binti Juply mendapat tempat ke-5 daripada 14 peserta. Bagi kategori membaca lancar Bahasa Melayu pula, adik Irfan Ziqri bin Mohd Faiz telah mendapat tempat ke-5 daripada 14 peserta yang menyertai dan turut menerima saguhati bagi kategori permainan bahasa inggeris. Bagi pertandingan persembahan pula telah mendapat Anugerah Usahasama Terbaik dan keputusan keseluruhan karnival riang ria Prasekolah Peringkat negeri WP Labuan Prasekolah Sk Pekan Satu telah mendapat tempat ke 5 dari 14 buah prasekolah yang bertanding. Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memberi sokongan dan  kejayaan kepada pasukan Prasekolah Sk Pekan Satu. Pencapaian ini merupakan pencapaian yang sangat membanggakan kerana jelas sekali peningkatan pencapaian prasekolah SKPS berbanding tahun lepas. Kesungguhan  dan  usaha  para peserta  telah membawa kemenangan kepada Prasekolah Sk Pekan Satu.




Jalinan Pintar JPWPL dan KUPU, Brunei Darussalam

Labuan, 23 Julai – Jalinan kerjasama pintar yang telah terjalin bermula Januari 2019 yang lalu menjadi wadah kepada kerjasama berterusan antara Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) dengan Kolej Universiti Perguruan Ugama (KUPU) Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam.

Lawatan kerja perkongsian komuniti pembelajaran professional dalam inovasi pengajaran dan pembelajaran (PdP) para pensyarah dan pelajar KUPU bermula 22hb sehingga 25hb Julai merupakan peluang yang sangat berharga kepada warga pendidik di Wilayah Persekutuan Labuan.

Rombongan seramai 17 orang ini diketuai oleh Pensyarah KUPU, Ustaz Dr Zulkifli bin Haji Zakaria.

Dalam beberapa siri lawatan ke sekolah, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin telah diwakili oleh Puan Khaziyati Osman, Ketua Sektor Jaminan Kualiti, merangkap Pengurus Program.

Antara sekolah yang dilawati oleh KUPU ialah SK Sungai Bedaun, SK Bebuloh, SK Pantai, SK Tanjung Aru, SMK Taman Perumahan Bedaun. Sekolah-sekolah ini merupakan sekolah yang terlibat dengan Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25).

Para Pelajar dan guru didedahkan dengan bahan inovasi yang dihasilkan oleh pensyarah dan pelajar KUPU
Lawatan Perkongsian Inovasi PdP KUPU ke SK Bebuloh

Rombongan juga turut melawat Sekolah Menengah Agama, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (SMA MAIWP Labuan) dan membuat sesi perkongsian bersama guru Pendidikan Islam di Wilayah ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persektuan Labuan, Encik Raisin Saidin mengalu-alukan semua ahli rombongan ke pulau yang indah ini untuk lawatan kerja perkongsian pembelajaran melalui inovasi dan kreativiti pedagogi yang boleh memberikan kepelbagaian bentuk alat inovasi yang boleh membantu guru-guru di Wilayah Persekutuan Labuan.

Inovasi merupakan tindak kerja untuk membina satu perkara atau hasil yang baharu atau membuat satu pembaharuan. Dalam hal ini, sebarang inovasi yang dihasilkan dapat menyemarakkan idea kreatif dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah bagi guru serta pengurusan berkesan kepada pemimpin dan pengurus di jabatan dan sekolah.

“Sehubungan dengan kehadiran rakan-rakan pendidik daripada negara Brunei Darussalam, bukan hanya dapat berkongsi kemahiran berinovasi dan berkreativiti dalam pendidikan, malah dapat mengukuhkan silaturrahim yang telah sedia terjalin”. Encik Raisin Saidin

Encik Raisin Sadin tertarik mendengar penerangan mengenai Inovasi KUPU oleh Ustaz Haji Roslan

Ketua Sektor Jaminan Kualiti, Puan Khaziyati binti Osman berkata perkongsian ini akan memberi peluang kepada sekolah dan guru-guru Pendidikan Islam untuk menimba ilmu inovasi PdP yang pastinya boleh menambah kemahiran guru sedia ada.

Sementara itu, Ustaz Dr Zulkifli bin Haji Zakaria selaku ketua rombongan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan di atas sambutan dan layanan yang cukup istimewa kepada ahli rombongan.

Besarlah harapan beliau agar lawatan kerja pendidikan ini dapat mengukuhkan lagi jalinan pendidikan antara Malaysia dan Brunei Darusalam serta diberkati dengan silaturrahim berterusan.

Puan Khaziyati (4 dari kiri) dan Ustaz Dr Zulkifli bersama Ketua-Ketua Sektor, Pegawai JPWPL dan Para Pensyarah serta pelajar-pelajar KUPU ketika lawatan ke Jabatan Pendidikan WP Labuan

Sekitar Perkongsian Pintar inovasi KUPU bersama guru-guru Pendidikan Islam di Wilayah Persekutuan Labuan

Sekitar Perkongsian Pintar inovasi KUPU bersama guru-guru dan murid-murid SK Sungai Bedaun




Program Adikku Sayang Membentuk Jatidiri Remaja Muslim

Labuan, 21 Julai : Seramai 50 murid SMK MUTIARA dan 10 murid SMK LABUAN telah terpilih mengikuti kursus membina jatidiri remaja muslim bertempat di SMK MUTIARA dari 19 hingga 21 Julai 2019.

Program yang dikenali sebagai Adikku Sayang… Sayangi Masa Depanmu ini adalah anjuran SMK MUTIARA dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) WP Labuan . Antara objektifnya adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran remaja Islam dalam menangani isu dan cabaran masa kini.

Beberapa penceramah dan fasilitator telah dijemput untuk membuat perkongsian terbaik melalui sesi ceramah dan aktiviti perbengkelan. Antaranya ialah Ustaz Shahirul bin Abdullah daripada Kolej Matrikulasi Labuan, Cikgu Firdaus Lee Abdullah dari SMK Mutiara dan Ustaz Kapten Kamarulzaman Mat Isa daripada KAGAT TUDM Labuan.

Ustaz Shahirul sedang mengendalikan sesi ceramah

Ketika ditemui, Ustaz Zainal Wahab selaku penyelaras program telah melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pihak JAWI WP Labuan kerana telah menyediakan peruntukan kepada pihak sekolah untuk menganjurkan program-program berbentuk pembinaan insaniah ini.

Peruntukan telah digunakan sebaiknya terutamanya dalam membentuk remaja muslim seiring dengan perubahan cabaran semasa. Beliau juga merasakan bertuah kerana SMK Mutiara telah terpilih oleh pihak JAWI WP Labuan untuk menjalinkan kerjasama erat dalam pembangunan modal insan muslim bermula dari alam remaja.

Program yang berlangsung selama 3 hari ini telah berjaya meningkatkan semangat dan motivasi diri para peserta yang terdiri daripada murid-murid tingkatan 3 hingga 5, Kelas Aliran Agama SMK Mutiara dan peserta jemputan dari tingkatan 3, SMK Labuan.

Mengulas lanjut perkara ini, Ustaz Mohd Zulaini Yaacob, Penolong Pengarah Kanan JAWI WP Labuan berkata pihaknya komited dalam menjalin kerjasama dengan sekolah- sekolah di wilayah ini. Sebenarnya inilah hasrat pihak JAWI W.P. Labuan iaitu memberikan kefahaman yang jelas tentang Agama Islam secara menyeluruh bermula dari bangku sekolah lagi. Semoga kerjasama erat ini dapat berterusan pada masa akan datang.

Adik Rahidun Bin Asri dari kelas 5 Ibnu Sina yang juga penghulu kursus telah diumumkan sebagai peserta terbaik lelaki manakala adik Nurul Ain Haziqah Binti Mohd Rashidin dari tingkatan 4 Ibnu Khaldun telah dipilih sebagai peserta terbaik wanita.

Salah satu aktiviti sepanjang kursus Adikku Sayang…. Sayangi Dirimu

Penutupan kursus telah disempurnakan oleh Encik Mohd Nizam bin Yasim, pengetua SMK Mutiara. Dalam ucapannya, beliau mengingatkan tentang cabaran-cabaran bentuk baharu yang perlu ditangani dengan oleh remaja muslim masa kini. Setiap individu perlu bersedia untuk membuat perubahan dan melengkapkan diri masing-masing dengan kemahiran insaniah terutama dalam menangani arus Revolusi Industri 4.0.

Semoga jalinan kerjasama yang erat antara pihak JAWI WP Labuan dan SMK Mutiara ini dapat melahirkan modal insan yang unggul peribadi dan budi pekerti sebagai Muslim sejati.

Turut hadir dalam majlis penutupan kursus ini ialah Puan Siti Aminah Binti Zakaria, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Mutiara,Ustaz Mohd Basri Bin Mahadi, pegawai JAWI WP Labuan, En. Mohd Zahriman bin Ahmad, wakil PIBG SMK Mutiara, Ustazah Siti Sarah Abdul Majid, Ketua Panitia Pendidikan Islam SMK Mutiara, pegawai- pegawai JAWI WP Labuan dan ahli jawatankuasa kerja Program Adikku Sayang…Sayangi Masa Depanmu.

Pihak sekolah berharap agar sumbangan dan bantuan berterusan daripada pelbagai pihak untuk meningkatkan kemenjadian murid dan kualiti sekolah selaras dengan Anjakan ke-9, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Encik Mohd Nizam menyampaikan cenderahati kepada Ustaz Zulaini