1

Murid SK Sungai Bedaun Gembira Sertai Program Maybank Corporate Responsibility (CR) Day 2019

Labuan, 30 Ogos – Kolaboratif di antara Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) dengan Maybank Malaysia Berhad, Cawangan Labuan dalam Program Maybank Corporate Responsibility (CR) Day 2019 pada 24 Ogos lalu di Dewan Permata, SKSB berjaya mencungkil bakat dan potensi murid dalam berbahasa Inggeris.

Program ini
melibatkan 25 orang pegawai Maybank Labuan manakala jawatankuasa bertugas
terdiri daripada guru-guru SKSB dan 105 orang murid daripada tahun 4 dan tahun
5.

Acara pada pagi
itu dimulakan dengan Perarakan Hari kemerdekaan yang terdiri daripada lima
kontijen termasuk kontijen staf Maybank Berhad Cawangan Labuan. Perarakan
murid-murid ini  dikendalikan oleh
Panitia Sejarah dan Panitia Bahasa Inggeris.

Bagi menceriakan suasana, murid-murid berarak dengan memakai pakaian yang melambangkan perpaduan dan tema kemerdekaan Malaysia. Mereka berarak seawal jam 7.00 pagi di Dataran Perhimpunan SKSB sambil membawa bendera Malaysia dan logo sambutan hari kemerdekaan tahun ini iaitu “Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih”.

Kontingen Tok Janggut segak mengenakan pakaian bertemakan kemerdekaan
Kontinjen Antanom bergambar bersama “Basikal Merdeka”

Kontijen-kontijen tersebut ialah Kontijen Rentap yang melibatkan dua puluh enam orang murid dengan diiringi oleh tiga orang guru iaitu Cikgu Frederick Singan, Cikgu Evelyn Martin dan Cikgu Normah.

Kontijen Tok
Janggut pula terdiri daripada dua puluh enam orang murid dan tiga  orang guru iaitu Cikgu Mariam Basir, Cikgu
Noor Farehin Yusof dan Cikgu Noraliza Allbi.

Kontijen Antanom
juga terdiri daripada dua puluh enam orang murid dan tiga orang guru iaitu Cikgu
Shafawati Seliat, Cikgu Wong Lee Choo dan Cikgu Sanimah Tali.

Cikgu Rabiatul Adawiah, Cikgu Shalihin, dan Cikgu Mylsa Avinnie Musah pula mengiringi Kontijen Mat Kilau yang terdiri daripada dua puluh tujuh orang murid.

Kontijen Maybank
Labuan pula terdiri daripada sepuluh orang staf dan diketuai oleh Pengarah
Maybank Cawangan Labuan Encik Jofri Bin Baharuddin.

Encik Jofri (lima dari kanan) mengetuai perbarisan kemerdekaan kontingen Maybank.

Bagi mencungkil bakat serta kemahiran berbahasa inggeris, pihak penganjur menyediakan pertandingan “Musical Drama” , “The best essay”  dan “Singing Competition”

Pertandingan Musical Drama ini terdiri daripada tiga kumpulan yang membawakan lagu tema Do Re Mi, Favourite Things dan So Long, Forewell!. Semua aktiviti menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantara dan dibimbing oleh guru-guru subjek Bahasa Inggeris. Manakala Singing Competition telah disertai seramai lapan orang murid. Kesemua pertandingan ini diadili oleh pegawai-pegawai daripada Maybank, Labuan.

Puan Dg. Sarifah binti A. Mahmod Guru Besar SKSB, merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kepercayaan pihak Maybank Berhad Cawangan Labuan yang telah memilih SKSB bagi melaksanakan program Seed of Future and Global CR Day 2019.

“Selaku guru besar dan ketua di sini, saya sangat terharu di atas kepercayaan pihak Maybank kepada pihak sekolah. SKSB sangat beruntung kerana sudah dua tahun menjadi rakan kerjasama dengan Maybank. Banyak manfaat yang diperolehi oleh murid-murid. Pihak sekolah sentiasa membuka pintu kepada mana-mana agensi untuk berkolaborasi bagi menjayakan program kearah kemenjadian murid dan kecemerlangan sekolah”. Katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Encik Jofri Bin Baharuddin Pengarah Maybank Cawangan Labuan, Puan Maimon Binti Matnoh, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Puan Wiwik Iswandari Binti Sudirman, Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), guru-guru dan ibubapa murid.

Dalam ucapannya, Encik Jofri turut melahirkan rasa bangga di atas kerjasama dan komitmen padu kedua-dua pihak dalam melaksanakan program ini. 

“Saya sungguh
seronok melihat persembahan murid-murid. Mereka berani berbahasa inggeris
dan  sangat yakin  berada di atas pentas. Terserlah bakat
anak-anak dalam bidang lakonan dan nyanyian malah mereka dapat menghayati
bait-bait perkataan yang dituturkan dengan baik. Aktiviti
yang dilaksanakan menjadi platform untuk menggalakkan
murid-murid mempraktikkan penggunaan bahasa inggeris dalam kehidupan seharian.
Ia secara tidak langsung dapat menarik minat murid terhadap bahasa
inggeris.  ” Katanya ketika berucap
semasa majlia penutupan.

Menurut Encik Jofri lagi,  Program Maybank Corporate Responsibility (CR) Day 2019 merupakan satu tanggung-jawab korporat yang dilaksanakan saban tahun. Fokus pada tahun ini adalah terhadap penguasaan bahasa inggeris selaras dengan peranannya sebagai bahasa utama dunia.

Ketua Panitia Bahasa Inggeris SKSB Cikgu Noor Farehin Binti Mohd Yusof,  turut merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Maybank cawangan Labuan atas sumbangan buku-buku cerita bahasa inggeris dan sumbangan tenaga untuk  menyediakan sudut bacaan kedua di Sk Sungai Bedaun.

Puan Maimoon (berdiri empat dari kanan), Puan Wiwik Iswandari (berdiri kiri dari kanan), Encik Jofri (berdiri lima dari kanan), Puan Dg Sarifah (berdiri tujuh dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama staf Maybank Cawangan Labuan dan guru-guru SKSB selepas merasmikan sudut bacaan Maybank.

Encik Jofri bin Baharuddin, Puan Dg Sarifah binti  A.Mahmod dan Puan Maimoon binti Mat Noh turut merasmikan sudut bacaan Maybank di Dewan Permata dan membuat lawatan ke sudut bacaan pertama Maybank yang terletak di pusat sumber sekolah. Dengan adanya kedua-kedua sudut bacaan Maybank ini, akan bertambahlah bahan bacaan Bahasa Inggeris untuk murid-murid SK Sungai Bedaun.

Program
diakhiri dengan penyampaian hadiah dan makan tengahari yang telah disumbangkan
oleh Maybank.

Semoga murid-murid terus bermotivasi dalam pembelajaran mereka dan berminat terhadap bahasa Inggeris. Semoga kerjasama ini dapat memberi manfaat kepada  kedua-dua belah pihak dan dapat  diteruskan lagi dimasa hadapan.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Peserta Rumah Mat Kilau menjuarai keseluruhan acara yang dipertandingkan.Tahniah juga kepada kepada semua peserta kerana berjaya mengikuti semua acara dengan jaya.
Pembawa papan tanda Kontinjen Rentap bergaya bersama busana tradisional kaum iban.



Sambutan 31 Ogos SKK St Anne Meriah dengan kehadiran ‘Bikers dari Sarawak dan Labuan’

Labuan, Jumaat 30 ogos – Sambutan Hari
Kemerdekaan SKK SK St Anne meriah dengan kehadiran kira-kira 20 penunggang motorsikal
berkuasa besar dari Sarawak dan Labuan untuk sama-sama meraikan sambutan
kemerdekaan. Rombongan tersebut diwakili Kelab Bikers guru-guru Sarawak dan
dari kelab Free Riders Labuan, HD Borneo Labuan, 9 Dragon Riders Labuan dan
Saluq-saluq Labuan.

Antara aktiviti yang dijalankan semasa
sambutan kemerdekaan itu ialah, laungan Merdeka sebanyak 3 kali yang diketuai
oleh rombongan ‘Bikers’ dari sarawak, kuiz kemerdekaan dan tayangan dokumentari
kemerdekaan.

Rombongan bikers dari Sarawak turut mengambil kesempatan mengadakan Lawatan Penandarasan di SKK SK St Anne.

Murid-murid diberi peluang membonceng motorsikal besar bersama-sama



SKK Rancha Rancha Mengadakan Sambutan Ambang Kebangsaan 2019

LABUAN, Jumaat 30 Ogos – Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) SK Rancha-Rancha (SKRR) telah mengadakan Sambutan Ambang Kebangsaan 2019 Peringkat Sekolah. Majlis sambutan ini disertai oleh semua guru, kakitangan dan murid SK Rancha-Rancha.

Majlis ini bermula pada jam 7.00 pagi dan berakhir pada jam 8.30 pagi. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Wilayah dan lagu sekolah, seterusnya bacaan doa yang disampaikan oleh Ustaz Zulkornain Ahmad. Seterusnya, ucapan perasmian oleh guru besar, Norinnie binti Kassim. Laungan kemerdekaan sebanyak 7 kali telah diketuai oleh PK Hal Ehwal Murid (HEM), Shawal bin Abd Rahman.

Guru-guru telah menggayakan pakaian bertemakan warna bendera dan cukup mengujakan murid-murid. Majlis di akhiri dengan nyanyian lagu- lagu patriotik secara beramai-ramai.




Karnival Cegah Denggi SMK Taman Perumahan Bedaun Berjaya Menarik Ramai Pengunjung

Labuan, 25 Ogos – Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun dengan kerjasama Jabatan  Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Karnival Cegah Denggi secara terbuka kepada masyarakat setempat pada 25 Ogos 2019, (Ahad) bertempat di perkarangan sekolah.

Tujuan karnival ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan bahaya nyamuk aedes dan cara-cara pencegahan denggi dalam kehidupan seharian.

Karnival ini dirasmikan oleh ahli Parlimen Labuan, YB Datuk Rozman Bin Isli. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyokong usaha yang dilakukan oleh pihak sekolah untuk menganjurkan program kesedaran tentang bahaya penyakit denggi kepada masyarakat umum.

Karnival yang dianjurkan ini pasti akan memberi manfaat yang besar kepada warga Labuan dalam mengurangkan kes-kes demam denggi dari semasa ke semasa melalui proses pencegahan yang bermula dari kawasan rumah masing-masing.

Sepanjang karnival, pelbagai aktiviti yang menarik telah dijalankan oleh pihak sekolah untuk disertai oleh orang ramai. Antaranya, pertandingan mewarna  peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah, ceramah kesihatan, pemeriksaan kesihatan percuma, senamrobik dan demonstrasi alat fogging.

Demonstrasi alat fogging
Pertandingan Mewarna Poster bertemakan Cegah Denggi peringkat sekolah rendah

Selain itu, Persatuan COMBI Taman Mutiara juga turut serta dalam karnival ini dengan mengadakan sudut pameran berkaitan bahaya aedes dan penyakit denggi untuk maklumat kepada para pengunjung.

Progam ini meupakan salah satu daripada program di bawah Program Dengue Patrol Sekolah untuk menyebarluaskan info-info berkaitan dengan pencegahan denggi.

Pihak sekolah berharap agar penganjuran karnival ini akan dapat membantu pihak-pihak yang berkaitan seperti Jabatan Kesihatan untuk mengurangkan kes-kes demam denggi di Wilayah Persekutuan Labuan kerana mencegah itu adalah lebih baik daripada merawat.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Ceramah Cegah Denggi oleh wakil Jabatan Kesihatan WP Labuan



SMK Labuan Johan Karnival Kadet JPJ Peringkat WP Labuan 2019

Labuan, 28 Ogos – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan Jabatan Muzium Chimney telah menganjurkan Program Karnival Kadet JPJ Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2019, bertempat di Muzium Chimney pada 23 Ogos yang lalu.

SMK Labuan dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Karnival Kadet JPJ Labuan 2019 dengan mengungguli 4 aktiviti daripada 6 aktiviti yang dipertandingkan. SMK Labuan telah memenangi aktiviti simpulan dan ikatan, Puzzle dan susunan silang kata, melukis secara berkumpulan dan aktiviti membuat monumen dari barang hanyut.

SMK Pantai pula memenangi aktviti tali terpanjang, manakala SMK Mutiara unggul dalam aktviti masakan ikhtiar hidup.

Matlamat utama program ini diadakan adalah untuk memupuk semangat bersatu padu dalam satu kumpulan kadet JPJ dan melahirkan kadet JPJ yang berdisiplin, berdedikasi, berketrampilan serta mampu menjadi pemimpin yang berkaliber.

SMK Labuan yang diwakili oleh 20 orang pelajar Kadet JPJ sekolah telah diiringi oleh Encik Nazrin Ismail, Puan Noraslindah Hassan dan Puan Emma Fadzilah Adis.

Majlis perasmian penutupan karnival ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Rozman bin Datuk Haji Isli, Ahli Parlimen Labuan.

Turut hadir Encik Mohammad Afdhal Mohd Ruslan, Pengarah JPJ Labuan, Encik Nazli Ho Abdullah, Pemangku Pengarah Muzium Labuan dan Encik Aminuddin Abdul Malek, Pegawai Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Berita Oleh : SMK Labuan

Berdiri dari kiri – Ustazah Emma Fadzilah Adis dan Cikgu Noraslindah Hassan bersama pasukan Kadet JPJ SMK Labuan



Sekolah Kluster Kecemerlangan SK Rancha-Rancha Muncul Johan Kategori Tahap 2 dan Tahap 1 Pertandingan Bercerita Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Labuan 2019

LABUAN, 28 OGOS – Murid tahun lima, Amni Naeelah binti Ahmad Saifuddin dan murid tahun tiga, Gabriella Isabelle Huminodun Jisty masing-masing dari Sekolah Kluster Kecemerlangan SK Rancha-Rancha muncul johan bagi kategori Tahap 2 dan Tahap 1 dalam pertandingan Bercerita Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Labuan 2019 yang berlangsung di dewan terbuka dan pusat sumber sekolah, SK Rancha-Rancha, W.P Labuan. Dengan kejayaan itu, kedua-duanya akan mewakili Labuan ke peringkat Kebangsaan.
Naib johan kategori Tahap 2 menjadi milik Ahmad Wafiq bin Mohd Redzuan dari SK Kerupang manakala ketiga murid SK Pekan 2, Iris Qasreena binti Mohamad Haszri.
Bagi kategori Tahap 1, naib johan dimenangi murid SK Tanjung Aru, Auni Hannani binti Hasbudin dan tempat ketiga disandang Vanessa Trinity Jason yang mewakili SK St Anne.
Ketua hakim pertandingan bercerita Tahap 1, Jamilah Ag. Kanak dan Rositah Abdul Rahman selaku ketua hakim Tahap 2. Barisan hakim Tahap 1 Fauziah Saamah dan Saripah Suip, manakala bagi Tahap 2 ialah Hasnan bin Mohd Saad dan Norailing Vou. Pengerusi Teknik bagi pertandingan ini ialah Norliah Abd Gapar sementara SK Rancha-Rancha merupakan pengelola pertandingan itu.
Sebanyak 16 buah sekolah rendah dengan 16 peserta Tahap 1 dan 16 peserta Tahap 2 menyertai pertandingan ini. Ketua Unit Kokurikulum, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan (SPPK) JPNWPL, Jaafar Hj Matusin menyampaikan hadiah kepada pemenang. Turut hadir Penolong Pengarah Unit Kelab Persatuan, SPPK JPNWPL, Asmawi Hj Ahmad dan Guru Besar SK Rancha-Rancha, Norinnie binti Kassim.




27 Kertas Kajian Tindakan Dibentangkan Di Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2019

Labuan – SATU Kolokium
Kajian Tindakan Peringkat Negeri W.P.Labuan telah diadakan pada 23 Ogos 2019 di
Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Labuan. Kolokium Kajian Tindakan
ini merupakan satu program khusus untuk para pemimpin sekolah dan guru-guru
yang telah menyertai Bengkel Kajian Tindakan menggunakan Borang Inovasi 12
Langkah.

Bengkel Kajian Tindakan menggunakan Borang Inovasi 12 Langkah ini telah dijalankan sebanyak 2 fasa iaitu Fasa Perancangan & Pelaksanaan dan Fasa Penyediaan Slaid Pembentangan. Di dalam fasa 1, sebanyak 4 siri bengkel telah dijalankan iaitu siri 1 pada 31 Januari, siri 2 pada 18 Februari, siri 3 pada 26 Februari dan siri 4 pada 4 Mac. Manakala di fasa 2 pula, sebanyak 2 siri bengkel telah dijalankan iaitu siri 1 pada 4 & 5 Julai dan siri 2 pada 19 Julai 2019.

Borang Inovasi 12 Langkah yang digunakan dibengkel ini adalah borang inovasi yang dihasilkan oleh Puan Suriani Alland Oxley, School Improvement Specialist Coaches (SISC+) Labuan.

Borang Inovasi 12 Langkah ini merupakan borang yang mengandungi 12 soalan mudah bagi membantu peserta menjana idea mereka dalam menyelesaikan isu pengajaran dan pembelajaran (P&P), pengurusan panitia dan kepimpinan sekolah melalui strategi kajian tindakan.

Strategi kajian tindakan bukan sahaja dapat membantu meningkatkan kualiti pedagogi, pengurusan dan kepimpinan guru dan pemimpin sekolah malah kajian tindakan membantu meningkatkan tahap profesionalisme mereka melalui amalan pembelajaran kendiri yang berilmiah.

Selain itu, kajian tindakan juga merupakan satu kaedah yang boleh dijadikan rujukan kerana kajian tindakan menyediakan data dan evidens sahih mengenai proses perubahan amalan pedagogi, pengurusan dan kepimpinan guru dan pemimpin sekolah yang terbaik.

Seramai 34 orang pembentang yang terdiri daripada 3 orang pengetua dari S.M.K Labuan, S.M.K Taman Perumahan Bedaun dan Sekolah Antarabangsa Labuan, 3 orang Guru Besar dari S.K Bebuloh, S.K Pantai dan S.K Tanjung Aru serta 28 orang guru dari Pusat Tingkatan 6 S.M.K Labuan, Penolong Kanan Kurikulum S.M.K Taman Perumahan Bedaun, S.K Bukit Kalam, S.K Layang-Layangan, S.J.K(C) Chi Wen, S.K Pekan Satu, S.K.K S.K ST Anne, S.K Pantai, S.K Pekan Dua, S.K Lubok Temiang dan Sekolah Antarabangsa Labuan telah membentangkan 27 kertas kajian tindakan di kolokium ini.

Gambar-gambar sekitar kolokium kajian tindakan

Selain daripada berkongsi dapatan, kajian tindakan para pembentang juga turut diberikan penilaian bintang emas, perak dan gangsa yang dinilai oleh 4 orang juri iaitu Puan Khaziyati Osman (Ketua Sektor Jaminan Kualiti) merangkap ketua juri, Puan Maimoon Matnoh (Ketua Sektor Pengurusan Sekolah), Encik Hasbollah bin Amit (Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan) dan Encik Awang Marten bin Hj Abdul Rahman (Ketua Penolong Pengarah BTPN).

Sebanyak 8 kertas kajian tindakan telah diberikan bintang emas, 13 bintang perak dan 6 bintang gangsa di kolokium ini.

Majlis perasmian penutupan dan penyampaian sijil Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Negeri W.P.Labuan telah disempurnakan oleh Tuan Raisin Bin Saidin, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Turut sama dimajlis ini ialah para jemputan yang terdiri daripada para pemimpin sekolah dan guru-guru di Labuan.

Encik Raisin Saidin berucap semasa majlis perasmian penutupan Kolokium Kajian Tindakan



SK Pekan Satu Muncul Johan Kalam Jamaie, dan Seni Khat Sempena Karnival Dakwah Sekolah-Sekolah (KDSS) WP Labuan

Labuan, 23 Ogos– Karnival Dakwah Sekolah-Sekolah (KDSS) peringkat Wilayah Persekutuan Labuan telah berlangsung pada 22 dan 23 Ogos 2019 yang lalu. Tiga acara telah diadakan sepanjang dua hari karnival ini berlangsung iaitu Kalam Jamaie, Seni Khat dan Khatam al-Quran Perdana bagi peserta-peserta sekolah rendah.

Sekolah Kebangsaan Pekan Satu menghantar penyertaan bagi ketiga-tiga acara iaitu seramai 25 orang murid mewakili pertandingan kalam jamaie, 2 orang murid mewakili pertandingan seni khat dan 2 orang mewakili acara khatam al-quran perdana di bawah bimbingan Puan Sanisah binti Zulkifle sebagai jurulatih utama dan guru pengiring.

Kumpulan Al-Hannan telah muncul johan bagi pertandingan Kalam Jamaie dan telah dipilih menerima hadiah kategori lirik terbaik. Kumpulan ini dianggotai oleh 25 orang murid yang diketuai oleh adik Nur Amna Ammiera binti Amiruddin sebagai konduktor pasukan. Kumpulan Al-Hannan mempersembahkan kalam jamaie bertajuk “Arriyadhotu” di bawah tema “Fil Mal’abi”.

Kejayaan ini telah melayakkan kumpulan Al-Hannan untuk mewakili Wilayah Persekutuan Labuan ke Karnival Dakwah Sekolah-Sekolah (KDSS) peringkat kebangsaan di Selangor Darul Ehsan pada Oktober depan.

Kumpulan Al-Hannan mendapat giliran pertama untuk memulakan pertandingan

Kejayaan terus dirai oleh peserta SK Pekan Satu apabila adik  Mohd Luqman Hakim Bin Mohamad diumumkan sebagai johan bagi acara seni khat kategori lelaki sekolah rendah.

Kejayaan ini turut melayakkan adik Mohd Luqman Hakim Bin Mohamad untuk bersama kontinjen Wilayah Persekutuan Labuan ke KDSS peringkat kebangsaan nanti. Bagi pertandingan Seni Khat kategori perempuan sekolah rendah, adik Alya Mahirah Binti Wahid telah mendapat tempat ketiga.

Acara khatam al-quran perdana yang sememangnya merupakan acara tahunan ini telah disertai oleh adik Muhammad Azhad Irsyadee  Bin Abd Danan dan adik Nur Fatin Madiha  Binti Hamka bagi mewakili SK Pekan Satu. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua yang telah mewakili sekolah.

Diharapkan agar keberanian yang ditonjolkan dan kejayaan yang telah diperoleh oleh adik-adik ini menjadi penyuntik semangat kepada rakan-rakan yang lain untuk tampil ke hadapan mengasah bakat masing-masing. Semoga kejayaan ini menjadi platform terbaik untuk semua wakil SK Pekan Satu terus mencintai al-quran , Bahasa Arab dan seni khat.

Berita Oleh : SK Pekan Satu




MPSM LABUAN Sertai Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Negeri 2019

Labuan, 24 Ogos – Dua pengetua telah mewakili MPSM membentang di dalam Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Negeri yang telah diadakan pada 23 Ogos 2019 bertempat di Bilik Benua, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN).

Encik Ismail Abdullah, Pengetua SMK Labuan yang juga merupakan YDP MPSM Labuan telah membentang kajian tindakan bertajuk Meningkatkan Amalan PLC Dalam Kalangan Guru di SMK Labuan Dengan Menggunakan Strategi ‘I-LEAD’.

Menurut beliau, strategi ‘I-LEAD’ telah berjaya meningkatkan pelibatan guru dalam menjadikan PLC sebagai medium meningkatkan kualiti PdP dalam kalangan guru di SMK Labuan. Strategi ini juga telah memberi impak positif dalam meningkatkan prestasi akademik di SMK Labuan secara keseluruhan.

Puan Hajjah Jijah Mohamad Suhai pula membuat pembentangan bertajuk ‘Practice Makes Perfect’ dalam kolokium ini. Beliau merupakan pengetua di SMK Taman Perumahan Bedaun.

Dalam pembentangan tersebut beliau memberi fokus kepada kaedah terbaik meningkatkan kefahaman dalam kalangan murid Tingkatan 5 berkaitan tajuk ‘Bumi Sebagai Sfera’.

Sebelum pengenalan kaedah ini, murid-murid yang lemah menghadapi kesukaran dalam menguasai kandungan pembelajaran tajuk berkenaan. Beliau berusaha dari semasa ke semasa membuat kajian dan penambahbaikan dalam kaedah PdP dan akhirnya tercetus inovasi yang dinamakan ‘Practice Makes Perfect’.

Hasilnya, pembelajaran murid di dalam mata pelajaran matematik tingktan 5 terutamanya tajuk ‘Bumi Sebagai Sfera’ telah menjadi lebih mudah untuk difahami dan penguasaan murid meningkat.

Kolokium anjuran Sektor Jaminan Kualiti, Jabatan Pendidikan W.P.Labuan ini pertama kali seumpamanya diadakan susulan daripada empat siri bengkel kajian 12 langkah Kajian Tindakan yang telah dikendalikan oleh ikon inovasi negeri Cik Suriani Alland Rice Oxley.

Kajian Tindakan yang dihasilkan oleh Encik Ismail bin Abdullah dan Puan Jijah Mohamad Suhai telah berjaya dianugerah pingat perak oleh para juri. MPSM berasa bangga dan mengucapkan tahniah atas pencapaian yang diraih oleh kedua-dua pengetua tersebut.

Perasmian penutupan kolokium kajian tindakan telah disempurnakan oleh Encik Raisin bin Saidin, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan W. P. Labuan.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua-ketua sektor, para pengetua dan para guru besar semua sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan termasuk LIS.

Berita Oleh : Encik Mohd Nizam Yasim, Pengetua SMK Mutiara

Encik Raisin Saidin (duduk tengah), Puan Khaziyati (kiri), Encik Ag Marten (kanan) bersama peserta kolokium



Program Tahsin Sahsiah Remaja Muslim, ‘Sucikan Dirimu’ SMK Mutiara Bantu Murid Menyucikan Diri Secara Tertib

Labuan – Seramai 158 murid-murid Tingkatan 4 dan 5 SMK Mutiara dibimbing secara amali di dalam Program Tahsin Sahsiah Remaja Muslim, Sucikan Dirimu yang telah diadakan di Surau Al Marjan, SMK Mutiara pada 23 Ogos 2019 lalu.

Program ini dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam SMK Mutiara. Menurut penyelaras program, Ustazah Siti Sarah, aktiviti ini dianjurkan untuk memberi pengetahuan dan kemahiran mandi wajib secara amali. Inisiatif ini diambil kerana hasil tinjauan mendapati ramai murid belum tahu tentang kaedah mandi wajib secara tertib.

Beliau juga mengucapkan terima kasih atas kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Bomba dan Kecemasan Labuan dalam menjayakan program ini.

Sebelum sesi amali, satu sesi ceramah telah disampaikan oleh Ustaz Abdull Basir Bin Mahadi dari JAWI Labuan. Dalam ceramah beliau, Ustaz Abdull Basir telah menekankan konsep kebersihan dan kesucian terutamanya dalam melaksanakan ibadat kepada Allah dan kehidupan seharian.

Ustaz Abdull Basir bin Mahadi sedang menyampaikan ceramah berkaitan konsep kebersihan dan kesucian

Program bimbingan dilaksanakan secara berasingan antara murid-murid lelaki dan murid-murid perempuan.

Peserta-peserta yang ditemui telah melahirkan rasa teruja dalam melaksanakan amali tersebut. Mereka merasakan program ini sangat berguna terutama kepada golongan remaja dalam proses ‘menyucikan diri’. Hal ini kerana kebanyakan remaja merasa malu untuk bertanya tentang hal ini walaupun kepada ibubapa sendiri. Mereka berharap agar program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang demi kebaikan murid-murid.

Program diakhiri dengan Solat Taubah secara berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Abdull Basir.

Berita Oleh : SMK Mutiara