1

SMK Labuan Ceria, Johan Keceriaan Bulan Kebangsaan Kategori Sekolah Menengah Labuan

Labuan – SMK Labuan muncul johan Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan peringkat Labuan tahun ini bagi kategori sekolah Menengah.

Pelbagai bentuk arca, gubahan, hiasan, puisi, hiasan bendera, gerbang, replika mercu tanda negara, kain rentang, hiasan daripada bahan-bahan terpakai dihasilkan oleh warga SMK Labuan.

Pengetuanya, Encik Ismail Abdullah telah menggerakkan seluruh warga sekolah yang terdiri daripada murid, guru, staf, pekerja swasta dan PIBG untuk membuat persediaan menyertai pertandingan itu.

“SMK Labuan akan terus menyertai pertandingan seperti ini sebagai satu cara untuk warga sekolah menghargai dan menghayati erti kemerdekaan negara melalui unsur-unsur keceriaan sepanjang bulan kebangsaan.” Encik Ismail Abdullah

Penilaian telah dibuat oleh pegawai-pegawai daripada Jabatan Penerangan WP Labuan dan berjaya menambat hati para juri, seterusnya diumumkan sebagai Johan Kategori Sekolah Menengah dalam Majlis Malam Anugerah Keceriaan Bulan Kebangsaan dan Hari Inovasi Jabatan Penerangan Labuan.

SMK Labuan menerima hadiah RM2000 beserta sijil dan trofi, disampaikan oleh Dato’ Sri Hj Amir bin Hussien, Pengerusi Perbadanan Labuan. Turut bersama ialah Encik Supian Musa, Pengarah Jabatan Penerangan WP Labuan.

Berita Oleh : SMK Labuan




Kepimpinan Pendidikan Futurustik : Kolokium Graduan NPQEL Kali Ke-3 Di Sarawak

Labuan, 24 Okt – Seramai 3 pengetua dan 3 guru besar terpilih menyertai Kolokium Graduan NPQEL 2019 di Kuching, Sarawak yang telah diadakan dari 22 hingga 24 Oktober 2019.

Kolokium tahunan peringkat kebangsaan ini diadakan buat kali ketiga sejak tahun 2017 khusus untuk graduan NPQEL membuat perkongsian amalan-amalan terbaik pengurusan pendidikan di sekolah masing-masing.

Seramai 42 pembentang dari seluruh negara telah membuat perkongsian dalam kolokium kali ini. Ini termasuklah 2 pembentang dari W. P. Labuan yang diwakili oleh Pengetua SMK Rancha-Rancha, Encik Yahya Ahmad Puteh dan Guru Besar SK Tanjung Aru, Puan Faridah Amit.

Sementara itu, Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim dan pengetua SMK Pantai IBWS, Puan Norazita binti Mohd Nor hadir sebagai peserta. Turut hadir sebagai peserta ialah Encik Mohammad Farihi bin Abdul Halim dan Hajjah Aini binti Haji Salleh masing-masing adalah Guru Besar SK Membedai dan SK Kerupang.

Encik Yahya telah membuat pembentangan bertajuk Amalan PIBK Melalui Pelaksanaan Senyum 360 darjah. Manakala Puan Faridah pula memilih “Makan Usai-usai Lai : Prinsip KABB” sebagai tajuk pembentangan beliau.

Pembentangan daripada wakil Labuan telah berjaya menarik minat peserta kolokium dengan kehadiran peserta melebihi 50 orang dalam sesi selari sepanjang 2 hari kolokium tersebut.

Dengan tema “Kepimpinan Pendidikan Futurustik”, kolokium yang dianjurkan oleh Institut Aminuddin Baki, Cawangan Sarawak ini telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Amin bin Senin.

Dalam ucapan perasmian, Dr. Amin menekankan peri penting PGB sebagai pemimpin pendidikan di sekolah masing-masing mengupayakan sistem penyampaian bagi menjayakan agenda pendidikan negara. “PGB yang telah mengikuti latihan NPQEL sepatutnya kompeten untuk merealisasikan harapan stakeholder selaras Anjakan ke-5 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025”, kata beliau.

“Pra syarat kepada pemimpin futuristik ialah meletakkan kepentingan dan masa depan murid-murid di hadapan dalam membuat perancangan dan pelaksanaan sesuatu perkara. Ini termasuklah semasa guru menulis Buku Rekod Mengajar Guru (BRMG) agar memenuhi keperluan murid. PGB perlu memantau penulisan BRMG agar tujuannya memenuhi keperluan profesional bukan keperluan pentadbiran semata-mata”, tambahnya lagi.

Dr Amin Senin

Di samping itu, Dr. Amin turut menyeru agar pelaksanaan Pendidikan Sivik di sekolah meletakkan aspek non-kognitif di hadapan agar matlamat pembentukan nilai-nilai murni dalam memenuhi keperluan sosial tercapai melalui amalan dan bukan  literasi semata-mata.

Dr. Amin juga menyarankan agar setiap PGB sebagai barisan hadapan perlu ada passionate dan go extra miles dalam pengurusan pendidikan.

Kontinjen Labuan diketuai oleh Timbalan Pengarah Pendidikan dari Sektor Perancangan, Puan Khaziyati binti Osman. Turut serta ialah Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Matnoh dan Penolong Pengarah Sektor Perancangan, Puan Kamariah binti Salim.

Berita Oleh : Encik Mohd Nizam Yasim, Pengetua SMK Mutiara




Gilap Potensi Tingkatan 5 SMK Pantai IBWS 2019

Labuan, 24 Okt – Seramai 50 orang murid Tingkatan 5 sekolah ini telah mengikuti Bengkel Gilap Potensi anjuran bersama SMK Pantai IBWS dan MPKK Kg Pantai bertempat di SMK Pantai IBWS pada 22 Oktober lalu.

Objektif utama bengkel ini ialah untuk meningkatkan pencapaian murid-murid ini dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah SPM 2019.

Program ini  merupakan kolaborasi yang julung kalinya diadakan antara SMK Pantai dan komuniti Kampung Pantai.

Dalam ucapan alu-aluan, Pengetua SMK Pantai IBWS,  Puan Norazita Md. Nor @ Shamsuri berharap murid-murid yang telah terpilih mengikuti bengkel ini seharusnya menggunakan peluang ini bagi memantapkan lagi persediaan bagi subjek Bahasa Melayu  dan Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM). Hal ini kerana  subjek ini  merupakan  subjek  wajib lulus untuk melayakkan  calon  mendapat  sijil SPM.

Beliau mengucapkan penghargaan dan ribuan terima kasih kepada MPKK Kg Pantai yang diterajui oleh Encik Kamal @ Dino b. Sidek atas kolaborasi dan berharap usaha ini dapat diteruskan  pada masa-masa akan datang.

Pengetua SMK Pantai, Puan Norazita ketika membuat ucapan aluan
Bengkel teknik menjawab mata pelajaran Sejarah

Bengkel  ini mendapat sumbangan kewangan daripada MPKK Kg. Pantai. 

“Kejayaan anda bergantung pada usaha anda” kata  En. Kamal @ Dina b. Sidek  kepada peserta bengkel semasa menyampaikan ucapan dan motivasi kepada peserta bengkel Gilap Potensi peringkat SMK Pantai WP. Labuan.

Semoga program ini dapat meningkatkan kesungguhan, kesedaran dan kemahiran murid-murid untuk kedua-dua mata pelajaran ini dalam menghadapi  SPM  nanti sekaligus dapat hasrat sekolah untuk mencapai 100% lulus SPM.

Berita Oleh : Puan Jakiah bt Ingkam, SMK Pantai

Gambar bersama-sama Pentadbir sekolah dengan JK MPKK Kg Pantai



‘Selangkah Ke Menara Gading’ : Majlis Graduasi Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan

Labuan, 23 Okt – ‘Selangkah Ke Menara Gading’ begitulah tema bagi Majlis Graduasi Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan yang telah diadakan di Palm Beach Resort and SPA, malam Ahad lalu.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) Dr Suzillah Sidek.

Seramai 136 pelajar Tingkatan 6 Atas, 60 ibu bapa dan 38 pensyarah Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan menghadiri majlis tersebut.

Para Graduasi Tingkatan 6 yang hadir

Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah dalam ucapannya berkata Majlis Graduasi Pusat Tingkatan Enam adalah sebagai perangsang dan semangat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau berkata prestasi Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan berada pada tahap baik dengan peningkatan Gred Purata Sekolah dan bilangan calon yang mendapat PNGK 3.00 ke atas juga meningkat.

Katanya, Kohort STPM 2018 mencipta sejarah STPM Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan apabila Farah Ain Nabila Roslizar berjaya mendapat keputusan sempurna PNGK 4.00. Kini Farah Ain sedang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa dengan kepujian (Kewangan Antarabangsa) UMSKAL.

Baca berita terdahulu : Farah Ain Cipta Sejarah STPM Labuan

Jelas Encik Ismail, jumlah pelajar STPM 2018 yang dapat melanjutkan pengajian ke IPTA dan IPTS juga melebihi tahun sebelumnya yang berjumlah 75 orang.

“Kita doakan agar pelajar-pelajar kohort ini juga akan dapat mencapai kejayaan lebih baik daripada kohort yang lepas. Kita masih mengimpikan PNGK 3.00 yang belum kesampaian. Pelajar-pelajar perlu ingat jika kita dapat mencapai PNGK 3.00 tahun ini, maka nama Jabatan Pendidikan Labuan akan berada di tempat teratas dalam ranking pencapaian mengikut negeri di seluruh negara,” katanya.

Dr Suzillah bersama pelajar terbaik keseluruhan adik Sharifah Nur Halimatul Sa’adiah Wan Muslim

Sementara itu, Dr Suzillah berkata semua sedia maklum akan dunia pendidikan yang semakin mencabar selari dengan kemajuan dalam pelbagai aspek terutamanya dalam pembangunan negara.

Katanya, pelajar pada hari ini menggalas tanggungjawab bukan sahaja untuk belajar tetapi dibimbing dan dididik untuk menjadi pewaris negara agar dapat menjadi modal insan yang bukan sahaja berilmu tetapi mempunyai akhlak dan sahsiah yang terpuji. ‘Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’, begitulah harapan yang disandarkan kepada anakanak generasi pada hari ini.

Dr Suzillah berkata majlis graduasi dan peperiksaan STPM adalah satu titik permulaan kepada sebuah perjalanan yang bakal diterokai oleh para pelajar.

Tambah beliau, peluang pendidikan dan kemudahan yang disediakan sewajarnya dijadikansebagaibatuloncatan kepada pelajar supaya dapat menguasai ilmu, kemahiran dan membina personaliti yang cemerlang.

Katanya, pelajar-pelajar seharusnya berupaya menggunakan kelebihan yang ada bagi merealisasikan impian masing-masing untuk cemerlang dalam peperiksaan STPM tidak lama lagi.

“Dengan semangat yang jitu, adalah penting bagi pelajar-pelajar untuk menzahirkan kejayaan melalui usaha yang berterusan,” katanya.

Pada majlis itu, Anugerah Kokurikulum Terbaik Lelaki diberikan kepada Mohamad Azuan Izack manakala Anugerah Kokurikulum Terbaik Perempuan disandang Nur Nabilla Hartono.

Irham Zulhilmi Mohd Johan pula meraih Anugerah Khas Kepimpinan manakala Anugerah Khas Terbaik Aliran Sains (Amy Siah Hui Bee).

Anugerah Khas Terbaik Aliran Kemanusiaan diberikan kepada Sharifah Nur Halimatul Sa’adiah Wan Muslim.

Beliau sekali lagi menaiki pentas apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Terbaik Keseluruhan 2019.

Turut hadir Yang Dipertua PIBG SMK Labuan Tuan Haji Md Yusof Haji Chuchu, Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) Encik Sahbudin Ag Muhamad dan Penolong Kanan Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan Encik Saminan Sabtu.

Berita Oleh : SMK Labuan




Edugolf Labuan Masters 2019 : Semarak Bulan Sukan Negara

Labuan 23 Okt – Dalam menyemarakkan sambutan Bulan Sukan Negara peringkat WP Labuan, Jabatan pendidikan WP Labuan tidak ketinggalan dengan menganjurkan Pertandingan Edugolf Labuan Master 2019 pada 20 Oktober 2019.

Kejohanan tersebut diadakan di Labuan Golf Club (LGC) dan telah mendapat penyertaan lebih 100 orang pemain golf dari WP labuan dan Sabah.

Sehari sebelumnya iaitu pada 19 Oktober 2019 juga telah diadakan kejohanan golf untuk pemain golf bawah 18 tahun dan bawah 15 tahun di Labuan Golf Club.

Pengarah Pendidikan Labuan Encik Raisin Saidin yang juga merupakan Presiden Edugolf Labuan berharap semoga kejohanan ini menjadi satu wadah untuk memantapkan perpaduan pelbagai kaum di Labuan.

Kejohanan ini juga satu cara untuk mempromosikan LGC dan LIGC sebagai destinasi bermain golf kepada peminat-peminat golf dari luar labuan.

Encik Idris Mohamad telah dinobatkan sebagai Johan Kategori Gross, manakala Encik Mohamad Shukri Sahari@Andy Johan Kategori Nett.

Bagi kategori wanita telah dimenangi oleh Puan Shirley Poh.

Kategori Medal A, Medal B dan Medal C masing-masing telah dimenangi oleh Encik Bonis Samid, Encik J.Herman Tungin dan Dr. Ramlee Hairum.

Encik Raisin Saidin yang turut serta dalam kejohanan ini, telah muncul sebagai Johan dalam kategori VIP Edugolf Labuan Masters 2019.




Majlis Graduasi SMK Mutiara Raikan Murid-Murid Tingkatan 5

Labuan, 19 Oktober – SMK Mutiara telah menganjurkan Majlis Graduasi bagi tahun 2019 khusus untuk meraikan murid-murid Tingkatan 5 hari ini.

Majlis yang diadakan di Dewan Arena, SMK Mutiara telah dihadiri lebih 500 orang termasuk murid-murid, ibubapa, para jemputan dan guru-guru.

Acara tahunan yang gilang gemilang ini telah dirasmikan oleh Encik Yusup bin Mohamad, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran selaku rasmi Pengarah Pendidikan.

Dalam ucapannya, Encik Yusup menyeru agar semua murid dapat memberi fokus sepenuhnya kepada peperiksaan SPM yang bakal berlangsung pada November ini. Setiap murid wajar menggunakan peluang dan ruang yang terbentang untuk mencatat keputusan terbaik dalam SPM nanti.

“Murid-murid seharusnya sedar bahawa SPM adalah sijil pertama yang diiktiraf oleh kerajaan untuk membolehkan murid menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi. Justeru setiap murid tidak boleh lalai atau leka dengan cabaran masa kini terutamanya yang berbentuk hiburan secara keterlaluan”, katanya lagi.

Perasmian Majlis Graduasi SMK Mutiara oleh Encik Yusop
Murid-murid Tingkatan 5 SMK Mutiara

Terdahulu, Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim dalam ucapan alu-aluannya mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah berusaha  bersungguh-sungguh untuk hadir ke majlis GRADUASI kali ini yang diadakan secara tahunan. Beliau turut mendorong murid-murid untuk terus berusaha dan merebut peluang yang terbentang luas di hadapan mereka.

Di akhir majlis, semua murid Tingkatan 5 telah menerima sijil tamat persekolahan masing-masing. Di samping itu, murid-murid yang berjaya mendapat gred A+, A atau A- dalam mata pelajaran yang diambil semasa Peperiksaan Percubaan SPM lalu turut diberi inisiatif berbentuk wang tunai daripada PIBG. Seramai 82 calon SPM telah mendapat manfaat daripada inisiatif ini.

Adik Mirza Afandi telah dipilih sebagai murid terbaik dalam Peperiksaan Percubaan SPM tahun ini. Ketika ditemui, adik Mirza melahirkan rasa syukur dan berharap agar prestasi terbaik dapat dikekalkan di dalam SPM sebenar nanti.

Majlis kali ini turut dimeriahkan dengan persembahan silat, deklamasi sajak dan nyanyian solo.

Turut hadir di dalam majlis ini ialah Encik Afandi Nasir, Pegawai Angkat Sekolah dari Jabatan Pendidikan W. P. Labuan dan YDP PIBG, Puan Liza anak Didi. Selain itu, Pegawai Perhubungan Sekolah dari IPD Labuan, ASP Haslina bin Hassan turut hadir sama.

Adik Mirza Afandi menerima sijil daripada Encik Yusop



MAKOM SMK Labuan 2019 : Mengiktiraf Pencapaian Kokurikulum

Labuan, 19 Okt – Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan mengiktiraf pencapaian kokurikulum murid melalui Majlis Anugerah Kokurikulum (MAKOM) SMK Labuan 2019, yang telah diadakan di Dewan Mutiara SMK Labuan.

Anugerah ini mengiktiraf pencapaian murid yang mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga dalam pertandingan kokurikulum peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa sepanjang 2019.

Majlis telah disempurnakan oleha En Asbola bin Amit, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan WP Labuan, wakil rasmi Pengarah Pendidikan, Encik Raisin bin Saidin.

Beliau berkata, perkara yang menarik bagi mengenai SMK Labuan ini adalah slogan ‘Setiap Murid Bernilai’ sangat sesuai dan bertepatan dengan slogan yang dizahirkan kerana setiap murid yang datang ke sekolah pada setiap hari ini mempunyai bakat atau kecenderungan masing-masing.

Keistimewaan dan kebolehan seseorang pelajar itu bukan terletak kepada kecemerlangan dalam akademik semata-mata tetapi juga dalam bidang kokurikulum perlu seiring cemerlang.Segala kelainan bakat dan kebolehan pelajar SMK Labuan ini telah berjaya mengangkat nama SMK Labuan untuk cemerlang dalam bidang kokurikulum di peringkat yang lebih tinggi.

Pengetua Encik Ismail dalam ucapan aluan berkata SMK Labuan sentiasa berjaya meraih kejayaan di peringkat kebangsaan setiap tahun dalam pelbagai bidang. Kejayaan ini telah membuka minda dan meningkatkan keyakinan warga sekolah bahawa menjadi yang terbaik di Malaysia bukanlah impian yang sukar dicapai tetapi merupakan matlamat yang boleh dicapai dengan komitmen dan usaha yang gigih.

Pada tahun ini 3 orang murid tingkatan 4 iaitu Deena Liyana binti Talip, Nur Ainul Mardhiah binti Addris dan Siti Aqilah binti Hassan bersama guru pembimbing Cikgu Isabella Kim telah muncul sebagai Johan Karnival Inovasi Teknologi Hijau Peringkat Kebangsaan bagi kategori Inovasi Tenaga Biojisim. Projek mereka iaitu CANEnergy Biomass iaitu penghasilan tenaga daripada hampas tebu telah berjaya memikat hati juri dan sekaligus mengatasi 15 buah negeri yang lain.

“Saya mengharapkan agar rentak kemenangan dan pencapaian pelajar-pelajar dan guru-guru SMK Labuan dalam bidang kokurikulum ini akan berterusan, dan menjadikan pengalaman bersekolah atau bertugas di SMK Labuan sebagai kenangan paling manis yang tidak dapat dilupakan.” Encik Ismail Abdullah.

Marvin Hing Majin telah mendapat anugerah Putera Kokurikulum di atas penglibatan yang  aktif dalam olahraga bagi acara Lompat Jauh, Lompat Kijang dan Lompat Tinggi. Pencapaian tertinggi Marvin ialah mendapat pingat perak Lompat Jauh Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) kategori Lelaki 18 Tahun.

Beliau bersama pasukan juga telah muncul Johan dalam Bahas Bahasa Inggeris dan National Science Challenge Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan dan seterusnya mewakili Labuan ke peringkat kebangsaan.

Puteri Kokurikulum telah dianugerahkan kepada pelajar tingkatan 4, Deena Liyana binti Talip. Pencapaian tertinggi beliau ialah muncul Johan Karnival Inovasi Teknologi Hijau Peringkat Kebangsaan bagi kategori Inovasi Tenaga Biojisim.

Beliau juga telah menjadi johan dalam Pesta Pantun WP Labuan 2018, mewakili Labuan dalam Pertandingan School Lab, Kem Kadet Remaja dan Pertandingan Cabaran Keselamatan Siber Nasional Peringkat Kebangsaan 2018.

Tokoh Kokurikulum Tingkatan 6 menjadi milik Mohammad Azuan bin Izack di atas kejayaan menjadi Johan Pertandingan Sketsa Rukun Negara 2018, Johan Pengisahan Kenegaraan 2019 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.

Turut hadir Yang Dipertua PIBG SMK Labuan, Tuan Haji Md Yusof Haji Chuchu, Penolong Pengarah Sektor Pembelajaran, merangkap pegawai angkat SMK Labuan, Puan Murni Jaafar, Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Zalina Zunkepely dan Penolong Kanan Kokurikulum, Encik Cheah Teong Aik.

Antara VIP yang hadir

Berita Oleh : SMK Labuan




“Corporate Social Responsibility Programme : Giving Back To The Community #wecare”

Labuan, 19 Oktober 2019- SKPS bertuah apabila julung kalinya dipilih oleh Sobena Offshore INC Sdn Bhd, salah sebuah organisasi carigali minyak dan gas yang terulung di Labuan untuk melaksanakan aktiviti sosial di SKPS yang berfokuskan keselamatan di sekolah. Seramai 70 orang murid yang terdiri daripada pengawas sekolah, 20 orang guru dan AJK PIBG SKPS dan 40 orang kakitangan Sobena Offshore menyertai program ini. Turut hadir Puan Anita Shyamini A/P S. Azman (GB SKPS), Puan Normah Binti Rahimi (PK Hem SKPS), Encik Esmit Bin Amat (PK Kokurikulum SKPS), Encik Siew Fatt Cysn (Pengurus Besar Sobena), Encik Darren Thang (Pengurus Kilang Sobena), Puan Zaliha binti Mohd Salleh (Penolong Pengarah Unit Pendidikan swasta Sektor Pengurusan Sekolah JPWPL merangkap NYDPPIBG) selaku wakil pengarah, Encik Yassin bin Tawih (Ajk Biro Kewangan Pibg), Puan Surani binti Kadir (Ajk Biro Kebajikan Pibg).

Dalam ucapan, Puan Zaliha binti Mohd Salleh mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah kerana telah berjaya berkerjasama dengan pihak Sobena Offshore bagi merealasasikan program yang amat penting kepada murid-murid SKPS. “Program sebegini merupakan satu perkembangan yang kita dapat lihat peranan masyarakat dalam pendidikan serta pelibatan ibu bapa, komuniti dan swasta seperti mana yang dikehendaki oleh KPM”. “JPN sentiasa mengalu-alukan keterlibatan komuniti dan swasta bersama-sama bertepatan dengan dasar pintu terbuka sekolah bagi bersama-sama peranan dalam pendidikan” tambah beliau lagi.

Encik Siew Fatt Cysn (Pengurus Besar Sobena) sanggup terbang dari Kuala Lumpur sebagai tanda sokongan dan komitmen penuh serta menunjukkan keprihatinan beliau tentang aspek keselamatan semua warga sekolah ini. Encik Darren Thang (Pengurus Kilang Sobena) mengucapkan terima kasih kepada pihak SKPS kerana memberi kesempatan serta kerjasama bagi menjalankan program di sini. “Program ini dijalankan pada setiap tahun dan pada tahun ini kami memilih SKPS sebagai destinasi terbaru” tambah beliau lagi.

Program ini bermula pada pukul 7:00 pagi sehingga 12:30 tengah hari dengan dimulakan dengan zumba. Aktiviti kecergasan fizikal ini menggalakkan semua peserta aktif dan cergas semasa program berlangsung. Antara intipati program pada hari ini ialah, pihak Sobena Offshore menyajikan 3 slot ceramah kepada peserta antaranya safety at school, road safety dan first aid. Ketiga-tiga slot ini memberi pendedahan secara langsung kepada peserta bahawa keselamatan diri adalah tanggung jawab setiap individu termasuk murid sekolah tidak kira di sekolah, di rumah atau dimana sahaja berada.

dari kiri Puan Surani Kadir (Ajk Biro Kebajikan Pibg), Puan Zaliha binti Mohd Salleh (Penolong Pengarah Unit Pendidikan swasta Sektor Pengurusan Sekolah JPWPL), Puan Anita Shyamini A/P S. Azman (GB SKPS), Encik Siew Fatt Cysn (Pengurus Besar Sobena), Encik Darren Thang (Pengurus Kilang Sobena).

Puan Anita Shyamini A/P S. Azman (GB SKPS) menzahirkan kegembiraan apabila pihak Sobena Offshore memilih SKPS sebagai sasaran untuk membantu meningkatkan dan memantapkan lagi keselamatan murid-murid khususnya. Beliau juga berkirim salam kepada CEO Sobena yang berada di Jepun dan berharap dapat berjumpa dengannya secara langsung. Dalam nada gurauan, beliau meminta agar CEO tersebut membawa bersama buku-buku berkaitan keselamatan untuk disimpan dalam perpustakaan yang sedang dinaiktaraf. Program yang dikenali sebagai ‘Safety awarness’ ini juga amat baik kerana setiap ibu bapa mengharapkan keselamatan anaknya terjaga semasa pergi dan pulang dari sekolah. Program ini juga dapat mendidik tentang keselamatan seawal berada di sekolah rendah sesuai dengan pepatah “melentur buluh biar dari rebung” Selain itu pihak Sobena Offshore juga menambah satu lagi perisian program dengan  menceriakan SK Pekan Satu melalui penghasilan mural pada dinding bangunan sekolah SKPS, meletakkan tanda-tanda amaran keselamatan seperti awas, warning sticker, arah keluar masuk dan sebagainya bagi membangkitkan kesedaran tentang pentingnya menjaga keselamatan kerana ianya merupakan perkara yang Sobena sendiri utamakan dalam segenap fasa operasi yang dilakukan oleh mereka.Akhir sekali, Puan Normah Binti Rahimi (PK Hem SKPS) selaku penyelaras program sangat berpuas hati apabila program ini berjalan dengan lancar dan ianya bukan semata-mata mengisi kekosongan waktu malah program ini dijalankan bagi memupuk kesedaran yang tinggi terutama dalam kalangan murid-murid SKPS. Semua murid yang terlibat dengan program ini diharapkan dapat menjalankan tanggungjawab serta dapat mengaplikasi semua ilmu yang telah dipelajari sepanjang program ini dan akan  menjadi pemimpin cilik bijak dalam aspek keselamatan kepada rakan-rakan yang lain dengan mengadaptasikan segala ilmu yang telah disampaikan dalam persekitaran sekolah yang lebih selamat dan kodusif sebagai gedung ilmu demi mencapai kejayaan yang cemerlang dan dinamik. Selain itu murid yang terlibat dalam program ini juga

Puan Anita Shyamini AP S. Azman (GB SKPS) memberikan cenderahti kepada Encik Siew Fatt Cysn (Pengurus Besar Sobena).



MPSM Raikan Persaraan Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun : Bakti Disanjung, Budi Dijunjung

Labuan, 18 Okt – MPSM telah mengadakan majlis ringkas meraikan persaraan Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB), Puan Hajjah Jijah binti Mohamad Suhai di Hotel Dorsette.

Majlis ini telah dihadiri oleh Pengarah Pendidikan W.P. Labuan, Pengarah Kolej Vokasional dan semua pengetua dari sekolah-sekolah menengah di wilayah ini.

Puan Hajjah Jijah yang berasal dari Sarawak telah mula berkhidmat di Labuan sejak tahun 1998.

Beliau telah menabur bakti di beberapa buah sekolah sebelum menjawat jawatan pengetua di SMK Taman Perumahan Bedaun.

Antara sekolah-sekolah tersebut di Labuan ialah SMK Lajau dan SMK Pantai IBWS.

Menceritakan pengalaman bertugas di Labuan, beliau menyatakan rasa syukur dan bangga kerana berjaya menamatkan perkhidmatan awam sebagai pendidik dengan rasa kepuasan yang tersendiri.

Puan Hajjah Jijah bersama Encik Raisin Saidin dan Pengetua-pengetua Labuan

Mula berkhidmat sebagai guru biasa di SMK PENRISSEN, Kuching, Sarawak dan kemudiannya menjawat jawatan PK PENTADBIRAN di SMK PANTAI.

Di SMK Pantai, beliau telah berjaya membawa sekolah ini ke satu tahap yang membanggakan dengan mendapat pengiktirafan sebagai International Baccalaureate World School (IBWS) daripada IBO pada tahun 2015.

Pada tahun 2016, beliau telah diberi kepercayaan untuk menerajui SMK Taman Perumahan Bedaun.

Sepanjang di SMKTPB, beliau telah membawa perubahan ketara dari aspek kemenjadian murid dan kualiti sekolah secara keseluruhan. Ini termasuklah menerajui SMKTPB sebagai Sekolah Transformasi Kohort pertama di Labuan.

“Menjadi seorang guru memerlukan pengorbanan besar dari segi masa dan tenaga. Seseorang guru sentiasa memikirkan perkara terbaik untuk setiap anak muridnya tanpa memikirkan balasan kecuali kejayaan anak-anak muridnya”, Puan Hajjah Jijah.

Beliau berharap agar pendidikan di pulau bertuah ini terus berkembang maju mencapai prestasi terbaik dari semasa ke semasa.

Puan Jijah ketika diraikan oleh warga SMK Taman Perumahan Bedauan

Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin yang turut hadir dalam majlis berkenaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Puan Hajjah Jijah atas jasa, sumbangan dan pengorbanan yang telah diberikan untuk warga Labuan secara keseluruhannya.

Beliau turut berharap agar Puan Hajjah Jijah terus memberi sumbangan bermakna kepada bidang pendidikan walaupun telah bergelar pesara kerana gelaran cikgu akan tetap kekal selamanya.

Dalam majlis tersebut juga, Encik Ismail Abdullah selaku YDP MPSM telah menyampaikan hadiah persaraan daripada pihak MPSM.

Encik Ismail turut melahirkan rasa kehilangan seorang rakan pengetua yang dedikasi dalam mendidik warga Labuan.

Berita Oleh : MPSM Labuan

Encik Ismail menyampaikan sijil penghargaan kepada Puan Hajjah Jijah



Kelab SPBT Pupuk Nilai Menyayangi Buku Teks Sebagai Sumber Ilmu : SMK TP Bedaun, SJK(C) Chi Wen Dinobat Sebagai Johan

Labuan, 14 Sept – Jabatan Pendidikan WP Labuan telah mengadakan Pertandingan Program Amalan Terbaik Kelab Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) Sekolah Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan bagi Tahun 2019, yang berlangsung selama 2 hari bermula 10hb Okt bertempat di BTPN Labuan.

Program amalan terbaik ini dilaksanakan bagi mengupayakan peranan Kelab SPBT iaitu membantu dalam pengurusan dan pelaksanaan Skim Pinjaman Buku Teks di sekolah terutama dalam menghasilkan lebih banyak inovasi SPBT.

Dalam menyuntik semangat kerjasama dan tanggungjawab dalam kalangan murid, maka pelaksanaan program ini merupakan satu langkah untuk melahirkan murid sebagai role model kepada rakan yang lain.

Encik Raisin Saidin, Puan Jijah, Encik Ag Marten, Encik Hasbollah dan Guru Pembimbing bersama Johan Kelab SPBT SMK Taman Perumahan Bedaun
Johan : Murid-murid dari Kelab SPBT SJK(C) Chi Wen, Guru Pembimbing bersama Encik Raisin Saidin, Encik Ag Marten dan Encik Hasbollah

Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin.

Encik Raisin Saidin berkata, dengan adanya Kelab SPBT di sekolah, kelab ini dapat memupuk nilai menyayangi buku teks dalam kalangan murid dan seterusnya memartabatkan kedudukannya sebagai sumber ilmu yang penting.

Kelab SPBT SMK Taman Perumahan Bedaun telah dinobatkan sebagai Johan Amalan terbaik Kelab SPBT Peringkat Negeri, diikuti oleh Naib Johan, SMK Lajau dan Sekolah Menengah Agama WP Labuan di tempat ketiga.

Manakala Kelab SPBT SJK(C) Chi Wen pula muncul sebagai Johan kategori Sekolah Rendah, Naib Johan SK Bukit Kalam dan Ketiga SK Sungai Bedaun.

Sebanyak 10 sekolah rendah dan 5 sekolah menengah telah mengikuti pertandingan ini yang dihakimi oleh Juri daripada Ketua-ketua Unit SPBT Negeri dan Ketua Juri ialah Cik Siti Hajar Sharudin Sabri, Penolong Pengarah Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Ucapan Perasmian Penutupan oleh Pengarah Pendidikan Encik Raisin Saidin
Encik Raisin Saidin bersama Guru SPBT SK Bukit Kalam