1

Kursus Pembugaran Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Semasa Pasca PKP

Labuan, 25 Jun – Kursus Pembangunan Profesionalisme Berterusan Guru-Guru Pendidikan Islam Dalam Memantapkan Kemahiran Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) telah diadakan secara dalam talian dengan disertai seramai 208 peserta dengan jayanya.

Kursus ini diadakan untuk meningkatkan kompetensi warga pendidik khususnya Guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab dalam mengaplikasikan Pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara maya dan membugarkan kemahiran Pentaksiran Bilik Darjah.

Peserta
kursus terdiri daripada Guru Besar, pegawai-pegawai SISC+, pegawai di Jabatan
Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), Guru Pendidikan Islam dan Bahasa
Arab serta guru-guru di wilayah ini.

Kursus telah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Pegawai SISC+ Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah PPD Melaka Tengah, Puan Hjh Rohaizan Othman.

Peserta kursus yang hadir secara dalam talian.
Penerangan tentang cadangan aktiviti Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21)

Menurut Puan Hjh Rohaizan, Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bertujuan menambah baik pembelajaran murid melalui pentaksiran formatif iaitu mentaksir perkembangan untuk pembelajaran secara berterusan dalam pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran sumatif yang  mentaksir perkembangan tentang pembelajaran pada akhir sesuatu tempoh, tajuk atau bidang pembelajaran.

“PBD akan memberi tumpuan kepada perkembangan pelajaran murid atau berorientasikan pembelajaran, bukan lagi berorientasikan peperiksaan. Ia berfokus kepada perkembangan dan kemenjadian murid secara holistik.

Pelaporan PBD dilakukan sebanyak dua kali iaitu di pertengahan tahun dan di akhir tahun”. Katanya semasa kursus tersebut.

Puan Hjh Rohaizan sedang berkongsi ilmu dan bersedia menjawab persoalan daripada peserta kursus.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Puan Kamariah Salim merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian penceramah berkongsi ilmu dengan warga pendidik di W.P.Labuan biarpun secara maya. Guru-guru turut berpeluang untuk bertanya soalan dan merungkai segala permasalahan berkaitan PBD .

”Tahniah diucapkan kepada
guru-guru yang telah mengambil pelbagai inisiatif dalam memastikan penyampaian
pengajaran dan pembelajaran (PdP) kepada anak didik mereka terus berjalan
walaupun dalam keadaan sukar semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP).

“Dalam konteks normal baharu iaitu pembelajaran semasa PKP, PBD masih dijalankan secara dalam talian melalui kaedah pemerhatian, penulisan dan lisan. Guru boleh menggunakan pelbagai kaedah pentaksiran dengan menggunakan bentuk komunikasi dan aplikasi yang bersesuaian untuk mentaksir murid”. Katanya semasa majlis penutupan kursus tersebut.

Kamariah menyampaikan ucapan ringkas semasa telesidang Kursus Pembangunan Profesionalisme Berterusan Guru-Guru Pendidikan Islam Dalam Memantapkan Kemahiran Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Kursus yang dianjurkan oleh Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) diadakan selepas sesi pembukaan semula persekolahan setelah lebih tiga bulan bercuti disebabkan pendemik COVIC-19 yang melanda seluruh dunia.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam




Selamat Kembali Ke Sekolah, 1264 Murid Di Labuan Mulakan Persekolahan

Labuan, 24 Jun 2020 – Hari ini bermulalah kembali sesi persekolahan membabitkan 1264 orang murid tingkatan 5 dan tingkatan 6 yang mengambil peperiksaan awam di Labuan melibatkan 10 buah sekolah menengah termasuk Kolej Vokasional.

Walaupun perasaan khuatir yang dirasai oleh murid, mereka tetap teruja dan bersemangat untuk hadir ke sekolah dengan kes COVID-19 yang semakin terkawal.

Ini dibuktikan dengan catatan kehadiran murid di Labuan pada hari pembukaan sekolah sangat memberangsangkan dengan peratus kehadiran 97.16%.

Setelah 3 bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekolah turut diarahkan tutup akibat penularan wabak COVID-19, tinjauan pembukaan sekolah-sekolah di Labuan, mendapati berjalan lancar berpandukan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Antara norma baharu di sekolah yang disarankan oleh KKM ialah saringan kesihatan di pintu masuk sekolah, kerap mencuci tangan dengan sabun (hand sanitizer), pematuhan penjarakan sosial dan tiada aktiviti yang melibatkan perhimpunan.

Guru menunjukkan cara-cara membasuh tangan menggunakan hand sanitizer kepada murid

Pemeriksaan suhu bagi murid, guru dan individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah juga akan dilaksanakan setiap hari. Mereka yang mencatatkan suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius atau bergejala tidak akan dibenarkan memasuki kawasan sekolah.

Kedudukan meja di dalam kelas disusun pada jarak 1 meter dan kapasiti maksimum sebuah kelas tidak melebihi 20 orang murid.

Waktu rehat secara berperingkat akan dikuatkuasakan buat semua murid. Makanan dan minuman di kantin akan siap dibungkus dan murid akan makan di dalam kelas masing-masing di bawah pengawasan guru.

Aktiviti di luar bilik darjah seperti sukan dan kokurikulum secara bersemuka, tidak dilaksanakan sehingga suatu tarikh dimaklumkan kelak.

Suasana di dalam kelas SMK Mutiara, penjarakan meja 1 meter dan murid makan dalam kelas di bawah pengawasan guru

Pada hari pertama pembukaan sekolah, kehadiran guru juga amat baik dengan 99.6% guru termasuk guru-guru sekolah rendah di Labuan hadir untuk memulakan tugas di sekolah masing-masing.

Warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan yang terdiri daripada Timbalan-timbalan Pengarah, Ketua Penolong Pengarah dan Pegawai Angkat Sekolah juga turut membuat lawatan ke semua sekolah di Wilayah ini bagi melihat perkembangan dan membantu pihak sekolah dalam memulakan era norma baharu pembukaan sekolah.

Pengarah Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Dr Ismuni Bohari, Pengarah Majlis Keselamatan Negeri Labuan, Puan Nurzalizah Kartika Abdullah dan Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Jabatan Pendidikan WP Labuan, Puan Khaziyati Osman juga turut bekesempatan turun padang ke Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan bagi melihat sendiri pematuhan SOP yang telah ditetapkan.

Murid SMK Lajau : Amalan murid membasuh tangan sebelum memasuki kawasan sekolah
Murid SMK Labuan mengikut laluan pergerakan yang ditetapkan menuju ke kelas masing-masing
Dr Ismuni, Pengarah Kesihatan Negeri Labuan sedang berbincang sesuatu dengan Encik Ismail, Pengetua SMK Labuan
Suasana norma baharu sekolah SM St Anne
Suasana di pintu masuk sekolah SMK Rancha-Rancha
Guru-guru SK Membedai : Kami Sentiasa Bersedia !



Bacaan Surah Yassin dan Doa Selamat Sempena Pembukaan Semula Sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 23 Jun – Majlis Bacaan Yaasin dan Doa Selamat sempena Pembukaan Semula Sekolah diadakan secara serentak bermula jam 8.30 pagi di 26 buah sekolah menengah dan sekolah rendah di Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) secara online dengan disertai lebih daripada 1,110 orang warga pendidik di seluruh Labuan.

Majlis
Bacaan Yaasin dan Doa Selamat diadakan untuk memohon perlindungan ke hadrat
Allah s.w.t agar dipermudahkan segala urusan sesi pembukaan semula sekolah pada
24 Jun 2020 ini setelah lebih tiga bulan bercuti disebabkan pendemik Covic-19
yang melanda seluruh dunia. Cuti Pertengahan Penggal Persekolahan bermula 14
Mac 2020 dan ianya bersambung dengan cuti semasa Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP) bermula 18 Mac 2020 sehinggalah 23 Jun 2020.   

Majlis
tersebut telah diurus setiakan oleh Ketua Panitia Pendidikan Islam di semua
sekolah di wilayah ini. Ianya turut dihadiri oleh Majlis Pengurusan Tertinggi
(MPT), pegawai angkat sekolah, Ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),ibu bapa
dan murid-murid.   

Menurut
Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran merangkap Pemangku Pengarah, Encik Yusup
bin Mohamad, majlis ini bertujuan untuk meniupkan semangat kembali ke sekolah
setelah lama bercuti dan meningkatkan motivasi kepada para guru-guru agar
bekerja dengan lebih bersunguh-sungguh dalam melaksanakan tugas hakiki iaitu
pengajaran dan pembelajaran.

Dalam ucapannya selepas bacaan doa selamat, Encik Yusup
bin Mohamad merakamkan ucapan terima
kasih kepada guru yang telah mengambil pelbagai inisiatif dalam memastikan
penyampaian pengajaran dan pembelajaran (PdP) kepada anak didik terus berjalan.
Kaedah ‘Home Based Learning’ (HBL) dilaksanakan sepanjang Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP).  Kaedah HBL ini
akan diteruskan kepada semua murid di sekolah rendah dan murid tingkatan satu
hingga tingkatan empat di sekolah menengah sehingga sesi persekolahan mereka
bermula.

Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Puan Kamariah binti Salim turut merakamkan ucapan terima kasih di atas komitmen daripada ibu bapa yang cakna  terhadap pembelajaran anak-anak di rumah dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti akses internet dan peranti digital.

Sekitar Majlis Bacaan surah Yassin dan Doa Selamat Sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan secara telesidang menggunakan aplikasi google meet berjalan lancar.

“Kita memahami semangat berkobar-kobar anak-anak yang ingin kembali ke sekolah untuk belajar seperti biasa dan bertemu guru-guru serta rakan-rakan. Begitu juga kerinduan guru-guru untuk hadir ke sekolah bagi melaksanakan PdP. InshaAllah pada 24 Jun 2020 ini sesi persekolahan semula akan dibuka bagi murid-murid tingkatan 5 dan tingkatan 6 di lapan buah sekolah menengah dan sebuah Kolej Vokasional di Labuan”. Katanya semasa Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat  Sekolah Menengah St Anthony secara maya pagi tadi.

Sekolah-sekolah di wilayah ini dalam keadaan kesiapsiagaan menerima kehadiran murid dan pembukaan semula sesi persekolahan. Pemantauan dan kunjung bantu daripada pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) ke semua sekolah telah dilaksanakan. Begitu juga penataran Garis Panduan Pengurusan Sekolah Pasca PKP kepada guru-guru, PIBG turut dilakukan bagi memastikan pengurusan sekolah berjalan lancar, Pengajaran dan Pembelajaran berlaku dalam keadaan selamat dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Kamariah Salim menyampaikan ucapan ringkas semasa telesidang Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat bersama warga Sekolah Menengah St Anthony.



Sambutan Hari Guru Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 2020

Labuan, 13 Jun – Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih berkuatkuasa sehingga 31 Ogos depan, Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan (JPNWPL) telah menganjurkan Sambutan Hari Guru 2020 secara maya.

Sambutan Hari Guru Peringkat W.P Labuan dengan tema “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu” telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman.

Dr, Fary dalam ucapan perasmiannya berkata, guru memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga dalam pengajaran bagi memberi impak positif terhadap kualiti anak didik.

Ini seterusnya melahirkan modal insan yang holistik dan berguna kepada masyarakat, selain mampu membina negara bangsa yang cemerlang dan gemilang.

Meskipun diadakan secara maya, namun sambutan itu tetap memberi makna besar kepada dua pesara guru yang berjasa kepada Labuan iaitu mantan Guru Besar SK Sungai Lada, Encik Abdul Safar Awang Damit dan Mantan Pengetua SMK Pantai IBWS, Encik Sahar Misron yang masing- masing dinobatkan Tokoh Guru 2020.

Turut diumumkan Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2019 dalam kalangan anak guru, Ikon Guru, Guru Inovatif dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan.

Sambutan ini mendapat tontonan 2000 orang melalui platform Youtube.

Hadir sama menjayakan sambutan secara maya itu ialah Timbalan Pengarah (Sektor Pembelajaran), JPWPL, Encik Yusup Mohammad, Timbalan-timbalan Pengarah, Ketua Penolong Pengarah, Para Pengetua, Guru Besar, Guru-Guru dan Warga Jabatan Pendidikan WP Labuan.

TOKOH GURU 2020 Mantan Guru Besar SK Sg. Lada Encik Abd. Safar Awang Damit
TOKOH GURU 2020, Encik Sahar Misron mantan Pengetua SMK Pantai IBWS.