1

Dua Guru SMK Mutiara Naik Pangkat

Labuan, 27 Julai – Warga SMK Mutiara mengucapkan tahniah atas kejayaan dua guru SMK Mutiara maju setapak lagi dalam kerjaya sebagai guru. Puan Teo Geok Lin dan Puan Mary Bong menerima surat kenaikan pangkat masing-masing daripada Pengarah Pendidikan W. P. Labuan, Puan Khaziyati binti Osman pada Isnin.

Puan Teo Geok Lin yang juga merupakan Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP) Sains Kemanusiaan di sekolah ini menerima surat kenaikan pangkat daripada gred DG44 ke Gred DG48 Khas Untuk Penyandang (KUP) . Manakala Puan Mary Bong pula menerima surat kenaikan pangkat daripada gred DG41 ke Gred DG44(KUP). Kedua-dua guru telah layak dinaikkan pangkat secara Time-based Berasaskan Kecemerlangan (TBBK).

Ketika mengulas penerimaan surat kenaikan pangkat tersebut, Puan Teo Geok Lin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya warga SMK Mutiara yang telah banyak memberi kerjasama dan sokongan sepanjang perkhidmatan beliau di sekolah ini selama 25 tahun.

Puan Teo Geok Lin menerima surat kenaikan pangkat daripada Puan Khaziyati

Cik Mary Bong pula menyifatkan kenaikan pangkat ini merupakan satu suntikan semangat untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang pada masa akan datang. Beliau juga telah menyumbang bakti di SMK Mutiara selama 18 tahun.

Surat kenaikan pangkat telah diserahkan oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Puan Khaziyati Osman dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Terbuka, Pusat Kokurikulum Negeri di Merinding. Seramai 68 guru dan Pegawai Khidmat Pelaksana (PKP) penerima terlibat dalam kenaikan pangkat tahun ini.

Dalam ucapannya, Puan Khaziyati Osman yang baru dilantik sebagai Pengarah Pendidikan W.P Labuan ke-7 berharap agar kenaikan pangkat akan menjadi inspirasi ke arah perkhidmatan yang lebih cemerlang.

“Semakin tinggi pangkat, semakin besar tanggungjawab kita. Kita mesti mampu menterjemah dan melaksana semua dasar KPM untuk meningkatkan kualiti sekolah dan kemenjadian murid. Berilah contoh terbaik kepada rakan sekerja melalui kepimpinan melalui teladan” tambah beliau lagi.

Puan Khaziyati menyampaiakn surat kenaikan pangkat kepada Cik Mary Bong

Pengetua SMK Mutiara, Mohd Nizam bin Yasim turut hadir meraikan guru-guru berkenaan. Beliau menyifatkan kedua-dua guru sangat komited dan telah memberi khidmat terbaik sepanjang berkhidmat di SMK Mutiara.

“Kedua-dua guru adalah sangat layak untuk kenaikan pangkat ini. Semoga mereka terus memberi perkhidmatan cemerlang dan menjadi contoh kepada guru-guru yang lain” tambah beliau.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yusup bin Mohamad dan Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Mat Noh.

Berita Oleh : SMK Mutiara




Warga SMK Mutiara Hargai Jasa Guru Berpindah

Labuan, 24 Julai – Seramai 52 warga SMK Mutiara telah hadir dan meluangkan masa untuk bersama-sama menghargai jasa dan sumbangan empat guru yang berpindah tempat bertugas di salah sebuah hotel di pusat bandar pada jumaat lalu. Mereka terlibat dalam proses penempatan semula guru (redeployment) yang dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mulai Jun 2020.

Majlis yang bermula jam 2.30 petang tersebut telah dianjurkan oleh Kelab Keluarga SMK Mutiara yang diterajui oleh Puan Mizan Adlia binti Mohd Shoib. Menurut beliau, majlis ini diadakan khusus untuk merai dan menghargai jasa guru-guru berkenaan yang telah menabur bakti dan khidmat sekian lama di SMK Mutiara.

“Warga Mutiara amat merasai kehilangan kempat-empat guru ini kerana kami telah bersama-sama mengajar di SMK Mutiara sejak sekian lama. Berbagai-bagai kenangan pahit manis yang telah diharungi bersama. Majlis seperti ini adalah salah satu tradisi yang telah lama bertapak di SMK Mutiara” ujar beliau lagi

Guru-guru yang terlibat ialah Tuan Haji Minggu bin Amat, Ustazah Roshidah binti Saad, Puan Naidatul Idura binti Idris dan Puan Fadhilah binti Awang.

Warga sMK Mutiara yang meraikan guru-guru yang berpindah

Tuan Haji Minggu yang juga merupakan jurulatih sepenuh masa bagi permainan sepak takraw telah ditempatkan sebagai Ketua Penolong Pengarah, Unit Hal Ehwal Murid di Jabatan Pendidikan W.P. Labuan mulai 24 Julai 2020. Beliau telah berkhidmat selama 15 tahun di SMK Mutiara.

Ustazah Roshidah pula ditempatkan di SMK Lajau atas keperluan perkhidmatan. Beliau yang pernah menerajui panitia Pendidikan Islam telah menabur bakti selama 15 tahun di SMK Mutiara.

Manakala dua lagi guru iaitu Puan Naidatul Idura dan Puan Fadhilah masing-masing telah ditempatkan di SMK Taman Perumahan Bedaun dan SMK Pantai juga atas keperluan perkhidmatan. Mereka telah bersama-sama menyumbang bakti di SMK Mutiara selama 8 tahun.

Pengetua SMK Mutiara turut hadir meraikan dan menghargai jasa-jasa mereka. Dalam ucapannya beliau berharap agar guru-guru yang berpindah tempat bertugas agar dapat meneruskan kecemerlangan di tempat baharu. Selain itu beliau juga mengalu-alukan kehadiran 3 guru baharu yang mula ditempatkan SMK Mutiara mulai Jun 2020. Mereka ialah Encik Jumardi, Puan Azhana dan Cik June Ann.

“Walau di mana kita bertugas, laksanakan tanggungjawab kita dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Dengan cara ini kita akan dapat membantu meningkatkan kemenjadian murid-murid di pulau bertuah ini secara komprehensif ” tambahnya lagi.

Turut menyampaikan ucapan ialah Tuan Haji Minggu bin Amat yang mewakili guru-guru yang berpindah. Beliau memberi kata-kata semangat agar semua warga SMK Mutiara terus berusaha memberi perkhidmatan terbaik untuk meningkatkan kualiti sekolah.

Tuan Haji Minggu berucap mewakili guru-guru yang terlibat dalam penempatan semula

Di akhir majlis, Kelab Keluarga SMK Mutiara telah menyampaikan cenderamata kenangan kepada semua guru yang berpindah sebagai tanda ingatan dan penghargaan. Panitia-panitia, koperasi sekokah dan kelas juga tidak ketinggalan menyampaikan hadiah kepada guru-guru berkenaan. Penyampaian cenderahati telah disempurnakan oleh pengetua sekolah.

Selepas jamuan ringan yang disediakan oleh pihak hotel, semua warga SMK Mutiara mengambil peluang merakamkan gambar kenangan bersama-sama guru-guru yang telah berpindah.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Puan Siti Aminah Binti Zakaria, Penolong Kanan Pentadbiran dan Encik Jostelen Lamibai, Penolong Kanan Kokurikulum SMK Mutiara.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Teruskan Kecemerlangan !, ucapan Pengetua SMK Mutiara Encik Mohd Nizam



SMK Mutiara Terokai Projek Madu Kelulut Di Sekolah

Labuan, 21 Julai – Madu lebah kelulut adalah antara produk pertanian yang mendapat permintaan ramai dewasa ini. Selain daripada khasiat madunya, pemeliharaan kelulut mampu menjadi sumber pendapatan tambahan kepada pengusahanya kerana harganya yang mahal.

Menyedari hal ini, SMK Mutiara mengorak langkah memulakan projek pemeliharaan lebah kelulut di kawasan sekolah dengan tiga sarang permulaan. Sarang-sarang diperolehi daripada tanah besar Sabah dengan bantuan seorang pengusaha lebah kelulut yang telah berjaya, Encik Jumat Latip yang juga merupakan seorang pesara guru.

Menurut Encik Jumat, pemeliharaan lebah kelulut memerlukan usaha dan kos yang sangat minima kerana kelulut tidak perlu diberi makan seperti peliharaan yang lain. Lebah kelulut akan terbang dalam lingkungan 2 kilometer dari sarangnya untuk mengutip madu daripada pokok-pokok yang berbunga.

“Lebah kelulut ini dari jenis trigona itama mempunyai jangka hayat selama 21 hari untuk hidup. Lebah ini akan terbang untuk mengumpul madu dan kembali semula ke sarang setiap hari sebelum mati. Lebah kelulut yang baharu akan dihasilkan oleh permaisuri di dalam sarang tersebut” katanya lagi.

Warga SMK Mutiara bekerjasama dalam menyiapkan tapak sarang kelulut

Idea untuk memelihara lebah kelulut terhasil apabila pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim melihat banyak pokok-pokok yang berbunga yang ditanam dalam kawasan sekolah. Selain itu, projek ini mampu memberi satu bentuk pendidikan keusahawanan kepada guru dan murid sekolah ini selaras dengan hasrat Kemahiran Melalui Rekabentuk (KMR) dalam program Transformasi Sekolah (TS25).

“Pihak sekolah telah membuka peluang pelaburan kepada guru-guru SMK Mutiara yang ingin mencuba memelihara kelulut. Kita menawarkan harga setiap sarang sebanyak RM280 dan setakat ini ketiga-tiga sarang yang ditempah telah dibeli oleh 3 orang guru SMK Mutiara” tambah beliau lagi.

Salah seorang pelabur dalam pembelian sarang kelulut ini, Ustazah Siti Sarah berkata beliau tidak mempunyai pengetahuan yang cukup dalam mengendalikan pemiliharaan kelulut tetapi sangat berminat dengan keistimewaan dan kelazatan madunya.

Selain itu, Cikgu Nurul Hidayah dan Cikgu Nurul Shazwani juga tidak mahu ketinggalan membuat pelaburan ke atas sarang-sarang kelulut. Mereka turut berharap agar kelulut ini akan dapat mengeluarkan hasil terbaik suatu masa nanti untuk dinikmati bersama.

Pengarah Projek, Encik Ramlan (kiri) dibantu oleh Encik Aspan (kanan)

Pengarah projek, Encik Ramlan Matusin berkata beliau dan rakan-rakan telah membantu membuat pemilihan lokasi-lokasi yang sesuai untuk peletakan sarang-sarang induk kelulut. Selain aspek keselamatan, aspek-aspek cuaca dan sumber makanan turut dipertimbangkan.

“Kami berusaha untuk menjadikan projek ini sebagai projek permulaan yang berjaya. Jika berjaya kami akan menyarankan agar lebih banyak sarang akan ditempatkan di kawasan sekolah. Warga sekolah tidak perlu risau kerana kelulut adalah sejenis lebah yang tidak berbisa dan tidak menyengat sesuka hati” ujarnya lagi.

Peletakan sarang-sarang lebah kelulut telah disempurnakan oleh ketiga-tiga guru berkenaan tepat jam 7.55 malam tadi. Acara bersejarah ini turut disaksikan oleh Encik Mohd Nizam Yasim, Ustaz Mohd Farihi Ab. Halim, Encik Roslan Ajak, Encik Aspan Ngadi dan Encik Samad bin Tokiran.

Berita Oleh : SMK Mutiara




Kerjasama Ibu Bapa dan Guru Ceriakan SMK Mutiara

Sekolah yang ceria mampu meningkatkan rasa kepunyaan dan kebersamaan dalam kalangan ibu bapa, guru dan murid. Menyedari kepentingannya, PIBG dan guru-guru SMK Mutiara telah mengadakan 3 siri gotong royong untuk membersih dan menceriakan laluan pejalan kaki berbumbung yang menghubungkan perhentian bas dan pintu masuk ke SMK Mutiara.

Laluan sepanjang kira-kira 300 meter ini merupakan laluan utama murid-murid SMK Mutiara berulang alik ke sekolah. Sejak PKP mulai 18 Mac lalu, laluan ini sunyi dan tidak digunakan oleh murid-murid dan telah dipenuhi oleh rumput rampai.

Melalui inisiatif PIBG yang diilhamkan oleh YDP PIBG, Encik Ahmad Adha, ibu bapa dan guru telah bersama-sama menyumbang masa, tenaga dan wang ringgit bagi membersih dan menceriakan laluan tersebut.

Antara inisiatif yang telah dibuat ialah membersih persekitaran dan mengecat pagar sepanjang laluan tersebut.

Laluan masuk kawasan sekolah SMK Mutiara bertambah ceria

Menurut Encik Jostelen Lamibai, ketua projek yang juga PK Kokurikulum SMK Mutiara, program gotong royong ini telah melibatkan seramai 20 guru dan ibubapa yang prihatin terhadap keperluan murid-murid di sekolah ini.

“Sepanjang 3 siri gotong royong yang bermula pada 20 Jun hingga 11 Julai, kami telah bersama-sama berusaha untuk memastikan keselamatan dan keselesaan murid apabila operasi sekolah dibuka sepenuhnya secara berperingkat”, katanya.

“Kami juga telah bersetuju untuk memilih warna-warna bendera Wilayah untuk pagar tersebut bagi meningkatkan kesedaran murid-murid terhadap warna-warna yang menjadi lambang negeri ini” tambahnya lagi.

Saling bekerjasama menceriakan sekolah

Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim yang turut serta dalam program gotong royong ini berasa sangat gembira dengan kerjasama erat yang ditunjukkan oleh ibubapa dan guru-guru.

“Kita faham kekangan masa yang dihadapi oleh ibubapa untuk menyertai program gotong royong terutamanya yang melibatkan hujung minggu. Saya berharap agar lebih ramai lagi ibu bapa dan guru dapat menyumbang masa dan tenaga untuk kepentingan murid-murid” ujar beliau.

Selain itu, PIBG SMK Mutiara turut merancang 3 siri gotong royong lagi untuk tahun ini melibatkan aktiviti membina arca MUTIARA, menebang pokok-pokok tua dalam kawasan sekolah dan mengecat pemegang tangga. Beliau juga berharap agar lebih ramai ibubapa dapat turut serta dalam aktiviti-aktiviti yang seterusnya.

Menurut beliau lagi, kerjasama yang diharapkan adalah mengikut kesediaan dan keupayaan ibu bapa. Konsep kesukarelaan adalah teras kepada semua aktiviti PIBG yang ajan dianjurkan dari semasa ke semasa.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Terima kasih atas sokongan yang menjayakan program gotong-royong SMK Mutiara



Program Solidariti Jurulatih Pusat Kokurikulum W.P. Labuan

Labuan – 10 hingga 12 julai 2020 yang lepas, seramai 17 orang jurulatih Pusat Kokurikulum Negeri W.P. Labuan yang diketuai oleh Encik Samsul bin Mandisin dan Encik Roziman bin Sabtu selaku Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid ( Pusat Kokurikulum ) telah mengadakan satu program yang dinamakan Program Solidariti Jurulatih ke Pusat Kokurikulum Negeri Sabah yang terletak di Kg Malangang, Kiulu, Tamparuli.

Program solidariti ini adalah bertujuan untuk membantu Pusat Kokurikulum Negeri Sabah yang telah dilanda banjir besar pada 27 jun 2020. Selain itu, program ini juga adalah merupakan program untuk menunjukkan semangat persaudaraan dalam kalangan jurulatih Pusat Kokurikulum seluruh malaysia khususnya semangat bantu-membantu yang telah diterapkan kepada semua jurulatih Pusat Kokurikulum. Sempena program ini, aktiviti gotong-royong telah dilaksanakan untuk membersihkan beberapa kawasan yang terjejas teruk akibat banjir tersebut.

Jurulatih telah dibahagikan kepada empat kumpulan dan telah diberikan tugas yang berkaitan untuk diselesaikan. Aktiviti gotong-royong dimulakan pada 11 julai 2020 bermula pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari bagi sesi pertama dan disambung pada sesi kedua bermula pada pukul 2.00 petang dan selesai pada pukul 4.30 petang.

Ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua jurulatih Pusat Kokurikulum Negeri W.P. Labuan yang menyertai program pada kali ini. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada semua Pengetua dan Guru Besar yang memberikan pelepasan kepada jurulatih yang terlibat. Tidak lupa juga kepada pihak Jabatan Pendidikan W.P. Labuan yang telah memberikan kebenaran sehingga program solidariti ini telah dapat dilaksanakan. Semoga jasa baik semua akan mendapat balasan dari yang maha esa.

Secara keseluruhannya, program solidariti ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan secara tidak langsung telah meningkatkan imej Jabatan Pendidikan W.P. Labuan ke seluruh negara khususnya dalam kalangan keluarga Pusat Kokurikulum.




SMK Mutiara Hasilkan Jalur Gemilang Guna Bahan Kitar Semula

Labuan, 13 Julai 2020 – Sempena menyambut bulan kemerdekaan yang bakal menjelang, SMK Mutiara telah menghasilkan projek Jalur Gemilang daripada bahan kitar semula yang berukuran 16 kaki panjang dan 8 kaki lebar. Bendera tersebut telah dipamerkan di foyer Blok B SMK Mutiara bermula 14 Julai.

Menurut pengarah projek, Cikgu Nurazimah binti Anuar, projek ini mengambil masa empat hari untuk disiapkan dengan menggunakan 4 jenis bahan kitar semula. Bahan-bahan yang digunakan termasuklah penutup botol, sarang telur, botol plastik dan ranting kayu.

“Kami telah menggunakan kira-kira 3000 penutup botol, 100 sarang telur dan 150 botol plastik dalam menyiapkan projek ini. Seramai 50 guru dan ibubapa turut serta dalam projek ini. Semua bahan kitar semula ini adalah sumbangan daripada guru-guru dan ibubapa” Cikgu Nurazimah

Pengetua sekolah, Encik Mohd Nizam bin Yasim telah melahirkan rasa penghargaan dan terima kasih atas kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh guru guru dan PIBG SMK Mutiara dalam menzahirkan rasa kecintaan dan keprihatinan kepada lambang negara ini selaras dengan slogan bulan kemerdekaan kali ke-63 iaitu Malaysia Prihatin.

“Penghasilan bendera dari bahan kitar semula ini bukan hanya dari aspek fizikalnya sahaja tetapi ia perlu dilihat sebagai sebuah karya seni. Bermula dari aspek perancangan sehingga pelaksanaan, semuanya telah memberi gambaran dan menifestasi daya kreativiti, kesungguhan, keazaman dan keprihatinan guru-guru SMK Mutiara dalam menghasilkan sesuatu karya seni. Saya telah dapat melihat guru-guru dan ibubapa memberi kerjasama yang sangat padu dalam menjayakan projek ini”. Encik Mohd Nizam

Guru dan Ibu Bapa berganding bahu menyiapkan projek Jalur Gemilang SMK Mutiara

Salah seorang bapa murid yang terlibat dalam penghasilan bendera kebangsaan ini, Encik Alias bin Asri berkata ini adalah pengalaman pertama beliau menghasilkan sesuatu karya seni dalam saiz yang besar. Pengalaman yang diperolehi banyak mengajar beliau erti kesabaran, ketekunan dan kesungguhan dalam setiap pekerjaan.

Seorang lagi bapa yang terlibat, Encik Rajab menyifatkan projek seperti ini telah memberi peluang kepada beliau untuk memberi sumbangan kepada sekolah.

“Pihak sekolah telah mendidik anak saya dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 dan inilah ketikanya saya pula menyumbangkan kepada sekolah” katanya.

Kepingan terakhir projek ini telah disempurnakan oleh Cikgu Nurazimah Anuar selaku pengarah projek tepat jam 7.16 malam, 13 Julai 2020. Turut menyaksikan peletakan kepingan terakhir tersebut ialah Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim, Cikgu Siti Khadijah binti Razali dan Cikgu Lim Sok Ing.

Jabatan Pendidikan W.P Labuan yang diketuai oleh Encik Asbola Amit telah datang untuk mendokumen Jalur Gemilang tersebut pagi tadi sebagai sebahagian daripada program sambutan kemerdekaan tahun ini dengan tema Malaysiaku Prihatin.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Dari Kiri : Encik Azman, Encik Roslan, Encik Asbola, Encik Mohd Nizam dan Encik Roziman membuat lawatan dokumentasi sempena sambutan bulan kemerdekaan
Ibu bapa yang hadir bangga dan gembira dengan sumbangan yang diberikan kepada pihak sekolah



PPKI SMK Mutiara Bakal Miliki Bangunan Sendiri

Labuan – Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SMK Mutiara bakal memiliki bangunan sendiri tidak lama lagi. Demikian seperti yang dimaklumkan hasil lawatan Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Yasmin binti Hussain pada 30 Jun yang lalu.

Lawatan tapak bangunan baharu tersebut turut disertai oleh Jurutera Kanan JKR Labuan, Encik Henry Liew. Beliau turut memberi taklimat pelan lantai pelaksanaan projek yang akan dikendalikan sepenuhnya oleh pihak JKR.

Bangunan tersebut dijangka akan memiliki 10 bilik darjah serta kemudahan-kemudahan lain termasuk bilik dobi, ruang memasak dan tempat letak kereta.

Hasil daripada maklumbalas taklimat tersebut, beberapa cadangan penambahbaikan terhadap pelan sedia ada dibuat dengan mengambilkira keperluan murid-murid PPKI. Selain itu laluan berbumbung dari bangunan baharu ke kantin sekolah turut diusulkan untuk memberi keselesaan kepada murid-murid PPKI kelak.

“Pelan lantai bangunan akan dimuktamadkan secepat mungkin bagi membolehkan projek dapat dilaksanakan secepat mungkin” kata Encik Henry.

Encik Henry Liew sedang memberi penerangan kepada Datuk Dr. Yasmin

Dalam sesi lawatan itu juga, Datuk Dr. Yasmin turut meninjau kemudahan sedia ada di bangunan yang menempatkan murid-murid PPKI. Ini termasuklah satu unit kuaters guru yang digunakan sebagai bilik PdP bagi kemahiran memasak dan mendobi.

“Kita akan berusaha untuk mempercepatkan pembinaan bangunan baharu namun perancangan mesti teliti. Pihak kami telah mengenalpasti beberapa aspek yang perlu di nilai semula berdasarkan pengalaman-pengalaman di negeri lain. Kita yakin bangunan baharu nanti akan memberi lebih banyak kemudahan dan keselesaan murid-murid PPKI pada masa akan datang” ujar Dr. Yasmin.

Pengetua sekolah, Encik Mohd Nizam bin Yasim berkata pihak sekolah mengucapkan terima kasih atas kunjungan Bahagian Pendidikan Khas yang telah diketuai sendiri oleh pengarah bahagian.

“Saya berharap agar bangunan baharu ini akan menjadi kenyataan dalam jangkamasa terdekat. Ini adalah kerana keadaan bilik-bilik PdP sekarang ini kurang kondusif kerana menumpang di lokasi-lokasi mengikut kekosongan. Hal ini telah memberi impak yang kurang baik kepada 55 orang murid PPKI dari aspek kemenjadian murid” katanya lagi.

Tandatangan lawatan Kerja Rasmi oleh Datuk Dr Yasmin ke PPKI SMK Mutiara, diperhatikan oleh Encik Mohd Nizam

Pihak sekolah turut menyampaikan empat biji buah naga sebagai cenderamata kenangan kepada Datuk Dr. Yasmin. Buah naga tersebut adalah hasil daripada program perkebunan murid-murid PPKI sejak sekian lama. Terdapat kira-kira 105 pokok buah naga di persekitaran sekolah.

Turut serta dalam sesi lawatan tersebut ialah Pemangku Pengarah Pendidikan W.P. Labuan, Encik Yusup bin Mohamad dan KPP Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan W. P. Labuan, Puan Noraini binti Sabudin.

Berita Oleh : SMK Mutiara




SK Sungai Bedaun Bersedia Menerima Kehadiran Murid Untuk Sesi Persekolahan Pasca PKP

Labuan – SK Sungai Bedaun telah membuat persediaan dari segi fizikal sekolah mengikut SOP yang ditetapkan oleh KPM, MKN dan KKM.

Persediaan pembukaan semula sesi persekolahan telah dilaksanakan oleh pentadbir, guru-guru, AKP dan pekerja pembersihan sekolah. Kerjasama daripada semua pihak menjadikan SKSB bersedia menerima kehadiran murid untuk sesi persekolahan pasca PKP.

Pada 04 Julai 2020 (Sabtu), SK Sungai Bedaun telah menerima kunjungan pemantauan dan bimbingan dari Pegawai Khas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Sektor Operasi Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia, Tuan Haji Abdul Razak Sulaiman bersama rombongan pegawai Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Sesi lawatan ke bilik-bilik kelas yang telah disusun atur mengikut SOP.

Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk memantau  dan memastikan pihak sekolah telah bersedia dalam pengurusan pelaksanaan SOP (Standard Operation Procedure) bagi mengelakkan penularan jangkitan wabak Covid-19 apabila sekolah dibuka semula nanti.

Sesi pemantauan  memfokuskan kepada persediaan sekolah sebelum sesi persekolahan norma baharu.

Selain itu, sekolah juga diingatkan agar menitikberatkan SOP dalam setiap aspek persediaan yang dijalankan oleh pihak sekolah sebelum sesi persekolahan bermula pada 14 Julai 2020 (Rabu).

Antara SOP yang dititikberatkan sewaktu pemantauan termasuklah stesen imbas suhu, penjarakan sosial (bilik darjah/bilik guru/pejabat), pelan dan label laluan kawasan sekolah dan bilik darjah, tatacara pembelian makanan di kantin, penyediaan bilik isolasi, penyediaan tempat membasuh tangan dan pensanitasi tangan. 

Sesi lawatan ke Makmal Sains

Tuan Haji Abdul Razak berpuas hati dan mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah dengan persiapan yang telah dibuat bagi menerima kehadiran murid pada pembukaan sekolah 15 Julai nanti.

Guru Besar Sk Sungai Bedaun, Puan Dg Sarifah A.Mahmod berkata, semua  warga sekolah berganding bahu melakukan persiapan yang rapi serta mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah.

Beliau berharap  agar segala usaha yang telah dijalankan pihak sekolah dapat membantu mencegah penularan serta memutuskan rantaian Covid-19.

Sementara itu, kelas prasekolah telah memulakan sesi pembelajaran pada 01 Julai 2020. Murid-murid prasekolah amat teruja untuk kembali ke sekolah. Alhamdulillah sesi persekolahan prasekolah di SK Sungai Bedaun berjalan lancar.

Harapan daripada Guru Besar agar ibu bapa saling bekerjasama untuk menyampaikan maklumat kepada anak-anak supaya bersedia mengamalkan norma baharu apabila kembali ke sekolah nanti.

Antara norma baharu yang perlu dipatuhi oleh ibu bapa adalah memastikan anak-anak tidak ke sekolah jika bergejala, menasihati anak mengamalkan penjarakan sosial, mengajar anak-anak langkah mencuci tangan dengan betul dan mendidik amalan batuk dan bersin dengan betul.

Hari pertama persekolahan prasekolah, murid teruja untuk belajar.

Untuk makluman, SK Sungai Bedaun memilih model persekolahan 1 sesi bagi prasekolah dan kelas perdana. Sesi persekolahan semula bagi murid tahun 5 dan  6 akan bermula pada 15 Julai 2020 manakala murid-murid yang lain akan kembali ke sekolah pada 22 Julai 2020.

Oleh itu, sama-sama kita merealisasikan harapan kerajaan Malaysia untuk memerangi wabak Covid-19 dengan menggunakan tanda pagar kita mesti menang. #Kitamestimenang.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Menyukat suhu apabila tiba di perkarangan sekolah.
Murid dihantar ke sekolah oleh ibu bapa dan maklumat murid direkod melalui sistem QR Code.



Lawatan Kerja Rasmi Bagi Pemantauan Pembukaan Sekolah Di SKK St Anne

5 Julai 2020 – Tuan Raisin bin Saidin A.D.K Timbalan Pengarah Kanan Sektor Perancangan dan Pengoperasian Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Malaysia mewakili Tuan Haji Adzman bin Talib, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Sektor Operasi Sekolah mengadakan lawatan kerja rasmi bagi Pemantauan Pembukaan Sekolah di SKK St Anne

Turut sama hadir, Ketua Sektor Pengurusan Akademik (SPA),
Encik Yusup bin Mohamad merangkap pemangku Pengarah Pendidikan JPWPL
bersama-sama barisan ketua-ketua sektor JPWPL

Fokus pemantauan adalah untuk melihat persiapan sekolah
dalam menerima murid tahun 5 dan 6 pada 15 Julai dan tahun 1 hingga 4 pada 22
Julai 2020 nanti.

Pihak sekolah SKK St Anne telah memilih model 1 bagi pembukaan sekolah iaitu model sekolah satu sesi. Secara keseluruhannya, pihak sekolah SKK St Anne telah melaksanakan langkah-langkah keselamatan dalam Garis Panduan Pembukaan Sekolah dan berjaya dalam permohonan untuk melaksanakan pembukaan sekolah model 1. Pihak sekolah dan para guru juga telah bersedia sepenuhnya untuk beroperasi.

Pengukuran jarak di lakukan oleh pasukan pemantau

Guru Besar SKK St Anne Pn Cecilia @ Chua Lai Eng menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada guru guru yang telah bertungkus lumus membuat persiapan pembukaan persekolahan berdasarkan model satu.

Taklimat hasil pemantauan



P2MP Menjadi Program Berkesan Ketika Sekolah Normal Baharu – Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha

LABUAN- Pusat Sumber 5 bintang W.P Labuan, Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha melaksanakan P2MP (Pencegahan dan Pemulihan Melalui Pendidikan) dengan menerbitkan sebuah rancangan “Selamat Pagi Labuan (SPL) – Jom Kembali Ke Sekolah Norma Baharu” oleh Ranchas’TV. Rancangan SPL yang diterbitkan oleh TV Pusat Sumber Sekolah yang dikenali Ranchas TV  pada kali ini memfokuskan kepada pembukaan sekolah pada 24 Jun 2020. Banyak maklumat perkongsian dalam persiapan sekolah normal baharu telah diberikan oleh pentadbir , guru , ibu bapa serta pelajar.

Proses pengambaran program Selamat Pagi Labuan oleh Team Ranchas Production daripada Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha

Untuk julung kalinya Ranchas TV telah  melibatkan  Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan 6 buah sekolah  termasuklah Kolej Vokasional Sepang, SMK Syed Abu Bakar Baling Kedah, SMK Putrajaya Presint 9 (2), Sekolah Menengah Sains Labuan, SMK Labuan dan guru serta pelajar SMK Rancha-Rancha. Malah, pihak komuniti yang terdiri daripada ibu bapa setempat juga turut terlibat dalam menjayakan rancangan ini. Ranchas’ Production ingin melibatkan lebih banyak komuniti dan sekolah luar Labuan untuk meluaskan lagi rancangan SPL ini dan nama SMK Rancha-Rancha itu sendiri.

Pengacara bertugas saudara Aiman Hakim dan Nasrullah Hanuddin dari Ranchas TV

Selamat Pagi Labuan (SPL) – Jom Kembali Ke Sekolah Normal Baharu yang diacarakan oleh 4 pengacara  Ranchas’TV dan Ranchas’FM iaitu Aiman, Balqis, Nasrul dan Raziq yang menyampaikan info pendidikan mengenai Pencegahan dan Pemulihan pandemik Covid-19 dalam situasi Normal Baharu. Seperti biasa, penggambaran ini dilakukan secara atas talian dengan menggunakan skype untuk mencegah penyebaran Covid-19 dan melibatkan guru serta pelajar dari Semenanjung Malaysia.

Selain dari melakukan P2MP, SMK Rancha-Rancha juga bersedia untuk menerima pelajar walaupun perlu memberikan banyak penekanan dari aspek keselamatan pelajar. Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah melakukan penilaian terhadap SMK Rancha-Rancha pada 17 Jun yang lalu. Puan Khaziyati Osman, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan , Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan juga turut sempat meluahkan rasa gembiranya terhadap persediaan SMK Rancha-Rancha melalui Rancangan Selamat Pagi Labuan – Jom Kembali Kesekolah Normal Baharu bersama Warga Pendidik.

“Berdasarkan pemantauan kami di bilik-bilik darjah, bilik khas, kantin dan persekitaran lain, saya mendapati sekolah ini memang cukup bersedia untuk pembukaan semula sekolah pada 24 Jun nanti. Semua garis panduan dan penekanan terhadap keselamatan iaitu penjarakan sosial dan kesihatan memang dilaksanakan”. – katanya dalam rancangan SPL – Warga Pendidik.

Cikgu Nurafidah Mohd Khalid dari Sekolah Menengah Putrajaya Presint 9-2 bersiaran bersama Ranchas TV

Cikgu Yahya
Ahmad Puteh Pengetua SMK Rancha-Rancha berkata, Ranchas’ TV   merupakan satu-satunya pusat sumber di
Labuan yang menjalankan pencegahan dan pemulihan pandemik covid 19 kepada
pelajar, guru dan warga setempat melalui medium radio dan televisyen . “ saya
sangat berbangga akan usaha ini kerana para pelajar dari generasi muda telah
mulai sedar akan tanggungjawab mereka untuk memutuskan rantaian covid 19 “
ujarnya.

Manakala Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Jabatan Pendidikan W.P. Labuan, Encik Ag Marten bin Datuk Haji Abdul Rahman memuji akan perancangan Pusat Sumber Sekolah DSDN SMK Rancha- Rancha dengan mewujudkan TV Pusat Sumber. Tambah beliau lagi , pelajar didedahkan dengan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi secara profesional melalui aplikasi teknologi digital semasa yang sangat memberi manfaat kepada para pelajar.

Pusat Sumber Sekolah SMK Rancha-Rancha akan menerbitkan lebih banyak program pencegahan dan pemulihan terutamanya kepada para pelajar melalui medium radio dan televisyen. Cikgu Sapri bin Idris percaya , komitmen dan kemahiran yang dimiliki oleh team Ranchas Production akan berupaya menerbitkan banyak lagi  rancangan yang  memberi pendidikan ketika pandemik covid.

Ranchas TV bersiaran secara langsung bersama Puan Khaziyati Osman, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Jabatan Pendidikan WP Labuan. Turut bersiaran Puan Maimo0n Haji Matnoh Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Untuk rancangan Selamat Pagi Labuan,  Team Ranchas’ Production yang terdiri dari Ranchas’TV dan Ranchas’FM melakukan penggambaran selama 2 hari untuk rancangan pada kali ini yang melibatkan ramai warga pendidik, komuniti dan pelajar. Pembantu team produksi  juga mematuhi SOP ketika penggambaran berlangsung iaitu penjarakan sosial 1 meter, penggunaan pelitup muka, malah pelajar dari W.P Labuan sendiri melakukan penggambaran hanya secara atas talian. Rancangan SPL ini akan ditayangkan pada penghujung bulan Jun melalui pelantar YouTube Channel Ranchas’ Production.

Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha