1

Norma Baharu Dalam Pelaksanaan Orientasi Tingkatan 1

25 Januari – Program Orientasi Tingkatan 1 SMK Mutiara WP Labuan, Norma Baharu Melalui Tayangan Video telah dilancarkan pada 25 Januari 2021. Program yang dirasmikan oleh Tuan Pengetua, Encik Yahya Bin Ahmad Puteh merupakan program yang julung-julung kali diadakan secara atas talian. Program yang dianjurkan oleh Unit Bimbingan Dan Kaunseling ini bermatlamat untuk memberi pengetahuan kepada murid mengenai keperluan murid dalam norma baharu di samping mengenali tentang budaya dan persekitaran persekolahan yang terdapat di SMK Mutiara.

“Walaupun kita masih dalam situasi Perintah  Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh kerjaan baru-baru ini namun situasi tersebut tidak menghalang sekolah untuk mengadakan program kepada murid-murid Tingkatan Satu yang baru memulakan persekolahan mereka di sekolah ini”, kata Encik Yahya, Pengetua SMK Mutiara  ketika dihubungi.     Beliau juga menambah bahawa pada ketika ini , semua murid Tingkatan 1 tidak hadir secara bersemuka dan hanya mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah secara atas talian.

Manakala, En Ahmad Radzi bin Ab Halim, selaku urusetia program mengatakan bahawa semua video telah dimuat naik ke Youtube adalah untuk tontonan semua pelajar baharu Tingkatan 1, penjaga/waris dan warga sekolah. Dalam video yang dipaparkan ini, semua murid dan warga sekolah akan dapat mendengar taklimat daripada semua unit yang terlibat melalui rakaman yang disediakan seperti amanat yang disampaikan sendiri oleh Pengetua, En. Yahya bin Ahmad Puteh , En. Masri bin Ayong Penolong iaitu Kanan HEM, En. Hisham bin Abdul Aziz iaitu Penolong Kanan Pentadbiran, En. Jostelen Lamibai iaitu Penolong Kanan Kokurikulum.

Selain itu, rakaman ucapan juga turut melibatkan unit-unit penting di sekolah seperti Unit Bimbingan dan Kaunseling, Skim Pinjaman Buku Teks, Unit Disiplin, Pusat Sumber Sekolah SMK Mutiara  dan juga unit-unit yang lain. Dalam pautan video yang dikongsikan juga, pelajar tingkatan 1 juga boleh membuat pertanyaan melalui Google Form yang disediakan dan juga boleh memberikan cadangan penambahbaikan. Secara keseluruhannya, respon yang diperolehi daripada pelajar melalui soal selidik Google Form yang diberikan menunjukkan pelajar menyukai dan bersetuju dengan cara baharu orientasi kali ini dijalankan.

Program Orientasi Tingkatan 1 SMK Mutiara WP Labuan, Norma Baharu Melalui Tayangan Video telah dilancarkan melalui sebaran video dan ditonton di kediaman masing-masing melalui pautan https://www.youtube.com/watch?v=oHS0_y-F_c0. Sasaran program ini adalah untuk semua pelajar baharu Tingkatan 1. Turut hadir dalam gimik pelancaran program ini PK HEM, En Masri Ayong dan kaunselor sekolah iaitu En Ahmad Radzi bin Ab Halim dan Pn Normaisaraf binti Ab Rashid dengan menggunakan kaedah baharu iaitu menekan butang “send” di youtube bagi melancarkan video yang telah disediakan.




Semua Sekolah Menengah Patuhi SOP Pengoperasian Hari Pertama Persekolahan 2021

Labuan, 21 Jan – Tinjauan oleh pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Negeri hari ini mendapati pengoperasian hari pertama persekolahan di 10 buah sekolah menengah di Labuan telah berjalan dengan lancar. Semua pegawai angkat sekolah telah diminta untuk membuat tinjauan dan memberi khidmat bantu berkaitan tatacara pengoperasian sekolah bagi memastikan kesiapsiagaan sekolah dalam mematuhi SOP yang telah diwartakan oleh Majlis Keselamatan negara (MKN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sesi tinjauan yang turut disertai oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) daripada PDRM telah diselaraskan oleh Puan Maimoon binti Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah. Menurut beliau, tinjauan pada hari ini adalah bagi memastikan 10 sekolah menengah termasuk Kolej Vokasional telah bersedia untuk menerima murid Tingkatan 5 kohort 2020 dan Tingkatan 6.

“Tinjauan ini juga termasuk pematuhan kepada model pengawalan keberadaan murid di pintu pagar sekolah yang telah dikeluarkan oleh KPM mengikut kesesuaian lokaliti sekolah. Hal ini sangat penting kerana pihak JPN sentiasa mengutamakan keselamatan murid dalam tempoh PKP ini. Murid-murid dan guru-guru perlu sentiasa mematuhi norma-norma baharu dalam amalan harian dan aktiviti pembelajaran sepanjang masa” ujar beliau lagi.

Encik Yusup bin Mohamad, Timbalan Pengarah di Sektor Pembelajaran (SPb) yang meninjau keadaan di SMK Taman Perumahan Bedaun mendapati pihak sekolah telah bersedia sepenuhnya untuk menerima murid seawal jam 6 pagi.

“Pihak sekolah telah berjaya menyusun dengan baik pergerakan murid bermula daripada pintu pagar sekolah sehingga ke dalam bilik darjah. Kita dapati murid-murid juga patuh kepada arahan guru untuk beratur dengan tertib, membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan seterusnya bergerak ke kelas masing-masing untuk memulakan sesi pembelajaran.” kata beliau.

Tinjauan di SMK Mutiara pula turut disertai oleh Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) daripada IPD Labuan, ASP Haslina bin Hassan. Beliau turut memuji kesiapsiagaan dalam menangani pandemik Covid19 di peringkat sekolah.

“Saya sempat meninjau di dalam bilik darjah juga mendapati bilik darjah telah disusun mengikut jarak yang sesuai dengan SOP yang telah ditetapkan. Sabun pembersih tangan telah disediakan oleh pihak sekolah di tempat-tempat yang strategik bagi membolehkan murid-murid mengamalkan pembersihan tangan secara kerap” ujar beliau.

Sesi persekolahan di SMK Lajau juga berlangsung dengan baik. Menurut Puan Maimoon binti Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, pihak sekolah telah berjaya menyusun pergerakan murid dengan baik dengan mengamalkan penjarakan fizikal bermula daripada pintu pagar sekolah hingga ke bilik darjah. Dalam sesi lawatan ke kelas-kelas, beliau sempat memberi motivasi kepada murid-murid yang telah ‘bercuti’ lama.

“Kami berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan sekolah menerima kehadiran murid hari ini. Guru-guru juga kelihatan begitu komited dan teruja untuk mengadakan sesi PdP secara bersemuka bersama-sama dengan murid” kata beliau.

Pengarah Pendidikan, Puan Khaziyati binti Osman sempat meninjau sesi persekolahan di SMK Labuan yang menerima murid paling ramai hari ini. Kunjungan ini juga turut disertai oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri yang telah diketuai sendiri oleh pengarahnya, Dr. Ismuni Bohari. Menurut pengetuanya, Encik Ismail Abdullah berkata seramai 232 murid Tingkatan 5 kohort 2020 dan 312 pelajar Tingkatan 6 hadir ke sekolah hari ini.

Puan Khaziyati melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak terutamanya pentadbir sekolah yang begitu komited dalam memastikan pematuhan kepada SOP bagi mengelak penularan pandemik Covid19 di dalam premis sekolah.

“Jabatan Pendidikan sangat komited untuk terus mengamalkan norma-norma baharu dalam tempoh kritikal ini. Saya berharap agar amalan ini konsisten daripada hari pertama sehingga ke hari terakhir persekolahan. Kerjasama daripada pelbagai pihak sangat dialu-alukan bagi memberi cadangan penambahbaikan kepada SOP sedia ada bagi meningkatkan keberkesanan kawalan penularan Covid19 terutamanya daripada Jabatan Kesihatan Negeri dan PDRM” kata beliau lagi.

Ketika mengulas dapatan laporan kehadiran murid hari ini, Encik Abdul Rahman Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid (SPM) memaklumkan seramai 911 murid daripada 984 murid tingkatan lima kohort 2020 atau 93.89% murid telah hadir sesi bersemuka di sekolah hari ini.

Sesi persekolahan hari ini tidak melibatkan murid pra sekolah, sekolah rendah dan murid-murid Tingkatan 1 hingga 5 kohort 2021.

Berita Oleh : Encik Mohd Nizam Yasim, Sektor Perancangan, JPWPL

Murid SMK Pantai mengimbas suhu terlebih dahulu sebelum memasuki kawasan sekolah



Sesi persekolahan di Labuan secara hadir ke sekolah dan PdPR bermula hari ini

Labuan, 20 Januari – Hari ini bermula sesi persekolahan tahun 2021 di Labuan melalui kaedah secara bersemuka dengan murid hadir ke sekolah dan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) .

Murid sekolah rendah, tingkatan satu hingga empat mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah melalui kaedah secara dalam talian atau luar talian.

Sesi persekolahan secara bersemuka di Labuan hanya melibatkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM 2020 pada bulan Februari dan Mac 2021, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.

Pada 15 hingga 19 Januari 2021, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengambil inisiatif melaksanakan sanitasi di semua sekolah menengah di Labuan demi menjaga keselamatan pelajar di sekolah.




Proses Sanitasi SMK Rancha-Rancha Bagi Pembukaan Sekolah Tahun 2021

19 Januari 2021- Kerjasama komuniti dalam mengekang penularan Covid-19 membantu SMK Rancha-Rancha dalam penyediaan pembukaan sekolah pada 20hb Januari 2021. Maka, proses sanitasi dilaksanakan di seluruh kawasan sekolah dengan komitmen baik pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Labuan dan Jabatan Pendidikan W.P Labuan.

Penolong Kanan Pentadbiran SMK Rancha-Rancha iaitu En. Sahnudin bin Ariffin berkata, program sanitasi  yang dibuat oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan Perbadanan Labuan adalah bertepatan dengan masalah yang melanda ketika ini. “ Soal keselamatan sangat diberi keutamaan oleh SMK Rancha-Rancha demi keselamatan warganya “ ujar beliau.

Puan Marziati binti Mardan selaku Penolong Kanan HEM  menegaskan langkah yang dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan W.P Labuan dengan membuat sanitasi di semua sekolah W.P Labuan merupakan langkah tepat dalam memberi keyakinan kepada ibu bapa pelajar untuk menghantar anak mereka kembali ke sekolah. Ibu bapa perlu yakin akan keselamatan anak-anak mereka ketika berada di sekolah.

Taklimat sanitasi daripada Wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan
Persiapan yang dilakukan oleh anggota Bomba dan Penyelamat sebelum menjalankan proses sanitasi

Proses sanitasi tersebut berlangsung kira-kira satu jam dan berjalan dengan lancar.  Kesemua anggota bomba dan Perbadanan Labuan memakai alat perlindungan diri (PPE) semasa menjalankan proses sanitasi.  Tumpuan diberikan kepada bilik darjah, pejabat sekolah, bilik guru, makmal, bilik-bilik khas dan kawasan sekolah yang terbuka.

Pusat sumber sekolah DSDN tidak ketinggalan dalam proses sanitasi yang dijalankan
Proses sanitasi yang dijalankan di makmal sekolah

Diharapkan pembukaan sekolah akan berjalan lebih lancar selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia yang ingin memastikan sekolah selamat, bebas daripada jangkitan wabak Covid-19.  




Semua Sekolah Menengah W.P Labuan Disanitasi

Labuan, 19 Januari : Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah mengambil inisiatif menyelaras program sanitasi di semua sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Labuan menjelang pembukaan sekolah pada 20 Januari 2021. Program yang dilaksanakan dengan kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Perbadanan Labuan, Jabatan Kesihatan, APAM dan PDRM telah dilaksanakan mulai 15 hingga 19 Januari 2021.

Kerjasama bersepadu ini telah diselaraskan oleh Sektor Perancangan, Jabatan Pendidikan W.P Labuan. Menurut penyelaras program, Encik Ahmad Firdaus Lee bin Abdullah berkata sebanyak 10 buah sekolah menengah telah disanitasi termasuk Kolej Vokasional Labuan.

“Program ini bertujuan memastikan tahap kebersihan dan keselamatan premis dan bangunan sekolah berada di tahap terbaik menjelang pembukaan sekolah untuk murid-murid Tingkatan 5 dan Tingkatan 6” kata beliau lagi.

Pasukan sanitasi diterajui oleh Unit HAZMAT, Jabatan Bomba dan Penyelamat W.P Labuan yang diketuai oleh Penolong Kanan Penguasa Bomba, Encik Azlan bin Talin. Menurut beliau, Jabatan Bomba dan Penyelamat sentiasa bersedia melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan pandemik Covid 19 dapat dibentung sepenuhnya.

Sebelum memulakan kerja-kerja sanitasi, beliau turut membuat taklimat ringkas berkaitan sanitasi kendiri yang boleh dilaksanakan pada bila-bila masa oleh mana-mana organisasi.

“Kita semua mempunyai tanggungjawab bagi memastikan Covid19 tidak menular dalam masyarakat” ujar beliau lagi.

Penerangan oleh Encik Azlan sebelum memulakan sanitasi
Proses sanitasi di dalam bilik darjah

Proses sanitasi ini juga turut mendapat kerjasama yang baik daripada pihak pentadbir sekolah. Pengetua SMK Labuan yang juga YDP Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) Labuan, Encik Ismail bin Abdullah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat membantu sekolah dalam kerja-kerja sanitasi kali ini. Beliau turut memaklumkan sebanyak 6 blok bilik darjah, bilik guru, bilik mesyuarat, makmal, dewan serta kemudahan-kemudahan lain telah disanitasi dalam program yang bermula dari jam 9.00pagi hingga 10pagi Sabtu lalu.

Pengarah Pendidikan, Puan Khaziyati binti Osman turut melahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih atas kerjasama padu pelbagai pihak dalam membantu pihak jabatan melaksanakan kerja-kerja sanitasi di sekolah kali ini.

“Apapun yang kita lakukan adalah sebenarnya demi kepentingan murid-murid di Wilayah Persekutuan Labuan. Kita juga mahu ibubapa yakin dan percaya bahawa kita telah mengambil langkah-langkah perlu dan proaktif demi menjaga keselamatan anak-anak mereka apabila sekolah mulai beroperasi nanti. Keselamatan dan kesihatan semua murid dan guru adalah keutamaan jabatan dan tidak boleh dikompromi dalam situasi pandemik Covid-19” tambah beliau lagi.

Berita Oleh : Encik Mohd Nizam Yasim, Sektor Perancangan, JPWPL

Penyelaras program Encik Firdaus Lee ( kiri ) sedang memantau sanitasi di sekolah-sekolah W.P Labuan
Sanitasi SMK Taman Perumahan Bedaun
Sanitasi SMK Pantai IBWS