1

Inisiatif ‘PROPER TOP’ SMK Labuan Bantu Murid Mengikuti PdPR

Labuan, 29 Julai – Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) Fasa 4 bermula pada 26 Julai hingga 30 Ogos 2021.

Keperluan untuk mengikuti PdPR merupakan cabaran besar kepada murid SMK Labuan yang menghadapi masalah ketiadaan peranti dan data internet. Walaupun jumlahnya tidak ramai tetapi ini akan menjejaskan pembelajaran murid-murid berkenaan sepanjang tempoh PdPR.

Atas keprihatinan guru-guru, staf dan PIBG SMK Labuan bagi membantu murid-murid berkenaan maka terhasillah inisiatif Program Pinjaman Peranti dan Bantuan Top Up data internet (PROPER TOP) SMK Labuan.

Pemilihan murid berdasarkan penelitian guru kelas, Unit Kebajikan Murid dan Unit HEM dengan menilai murid yang sangat memerlukan peranti dan data internet untuk mengikut PdPR secara dalam talian.

Peranti ini diberi sebagai pinjaman untuk tempoh yang sesuai sehingga ibu bapa murid dapat mengusahakan pembelian peranti sendiri.

Dua orang murid Tingkatan 2 penerima pertama peranti

Sumbangan bantuan Top up hanya akan diteruskan kepada murid yang mengikuti PdPR secara konsisten dan betul-betul memerlukan data internet.

Penyerahan pertama peranti telah dilaksanakan pada 25 Julai 2021 kepada 2 orang murid Tingkatan 2, manakala bantuan top up telah diberi kepada 46 orang murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6.

Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail bin Abdullah menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua guru dan staf serta PIBG SMK Labuan atas sumbangan yang diberi untuk inisiatif PROPER TOP ini. 

Semoga inisiatif PROPER TOP ini akan mencapai matlamatnya, selaras dengan slogan SMK Labuan iaitu “Setiap Murid Bernilai” dan slogan Jabatan Pendidikan WP Labuan “Guru Sayang Muridnya”. Encik Ismail Abdullah

Berita oleh : SMK Labuan

Encik Ismail memberi kata-kata semangat dan nasihat kepada penerima peranti



Guru dan murid SK Lubok Temiang dan SK Desa Tasik bekerjasama Jayakan Program Merentas Maya

LABUAN – Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang (SKLT) Wilayah Persekutuan Labuan dan SK Desa Tasik (SKDT) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah bekerjasama menjayakan Program Merentas Maya anjuran bersama Program Pemulihan Khas kedua-dua sekolah pada 16 Julai 2021.

Guru Pemulihan Khas SKLT, Norhasiken Mohd Dahli dan Guru Pemulihan Khas SKDT, Noor Hana Ismail merupakan penyelaras program yang pertama kali diadakan itu.

Turut hadir Guru Besar SKLT, Haji Adam Abd Rahim dan Guru Besar SKDT, Mazlan Bahari.

Hadir sama menjayakan program tersebut ialah Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Bangsar Pudu, Nur Huda Md Ralip, Ketua-ketua Panitia, Zunika Amboh Turuh (SKLT) dan Che An Khalid (SKDT).

Program tersebut turut membabitkan 12 orang murid SKLT, 3 murid Tahun 3 dan 7 murid Tahun 2 SKDT di samping 22 orang guru SK Lubok Temiang dan 10 orang guru SK Desa Tasik.

Antara objektif program tersebut ialah memberi ruang kepada murid untuk belajar dan berinteraksi dengan rakan-rakan dari sekolah yang berlainan, selain, menjalin hubungan yang baik antara kedua-dua buah sekolah.

Pada masa sama, ia meningkatkan kemahiran belajar murid melalui pendedahan kepada Kaedah Belajar Membaca Ekspereei.

“Memberi pengalaman baharu kepada murid-murid melalui aktiviti lawatan secara maya.

“Mewujudkan kolaboratif antara kedua-dua buah sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” jelas Haji Adam.

Haji Adam bersama guru-guru menjayakan Program Merentas Maya melalui aplikasi Google Meet.
Kedua-dua orang guru juga berkongsi bahan pengajaran dengan murid-murid Pemulihan Khas yang menjayakan Program Merentas Maya.

Sempena program tersebut, diadakan aktiviti lawatan secara maya SKLT ke SKDT dan sesi Taaruf antara guru dan murid, sesi perkongsian ilmu dan inovasi daripada dua orang guru pemulihan khas kepada murid pemulihan khas.

Sementara itu, Norhasiken yang telah berkhidmat 8 tahun di SKLT dilantik sebagai Pengerusi Majlis Guru Pemulihan Khas Wilayah Persekutuan Labuan dan Guru Inovasi Pemulihan Khas Wilayah Persekutuan Labuan.

Manakala Noor Hana telah berkhidmat selama 22 tahun dan menjadi Guru Pemulihan sejak 14 tahun yang lalu.

Beliau turut menyandang jawatan sebagai Jurulatih Utama Pemulihan Khas Negeri dan Kebangsaan pada tahun 2015 – 2019.

Noor Hana turut terlibat sebagai jurucakap Kaedah Belajar Membaca Eksperesi sejak 2016 hingga sekarang.

Noor Hana turut meraih naib johan Pertandingan Guru Inovatif Peringkat Negeri pada tahun 2016 dan 2019 serta jurucakap Kaedah Belajar Membaca Eksperesi Terbaik Tahun 2019 dan 2020.

Sementara itu, dalam ucapannya, Haji Adam berkata pada masa kini, struktur pembelajaran dalam bidang dunia pendidikan telah banyak berubah akibat daripada cabaran yang dihadapi oleh guru-guru dalam mendepani era pasca COVID-19.

Justeru, seluruh warga pendidik disarankan untuk mengaplikasikan corak Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang berkesan dan menarik untuk disampaikan kepada murid-murid antaranya adalah PdP secara maya melalui medium google meet seperti ini.

Sehubungan itu, beliau percaya dan yakin program tersebut merupakan suatu usaha yang bersungguh-sungguh daripada guru-guru demi memastikan murid-murid pemulihan khas memperolehi ilmu pembelajaran berdimensi baharu yang dapat menjadi titik permulaan ke arah kejayaan serta memberi pengalaman bermakna dan menarik serta kolaboratif antara murid dari dua buah negeri yang berbeza ini.

Selain itu, dapat membuka ruang dan peluang kepada murid-murid untuk berinteraksi dan berkenalan dengan rakan-rakan dari sekolah yang berlainan serta dapat menjalin hubungan antara kedua-dua buah sekolah.

Haji Adam berharap semoga programtersebut dapat meningkatkan kemahiran belajar murid melalui kaedah pengajaran dan inovasi serta perkongsian PdP amalan terbaik yang disampaikan oleh guru-guru pemulihan khas dalam Program Merentas Maya ini kepada murid-murid Pemulihan Khas.

“Saya berharap lebih banyak program dapat diadakan pada masa akan datang untuk manfaat murid dan guru SK Lubok Temiang dan SK Desa Tasik,”tambah Haji Adam penuh harapan. Haji Adam tidak lupa mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada kedua-dua penyelaras program yang berjaya mengadakan Program Merentas Maya melalui aplikasi Google Meet.

Berita Oleh : SK Lubok Temiang

Guru Pemulihan Khas kedua-dua sekolah sedang berinteraksi dengan murid-murid melalui aplikasi Google Meet.



Murid SK Pekan II dan SMK Pantai Terima 236 Peranti CERDIK untuk PdPR

Labuan – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah mengagihkan sebanyak 236 unit peranti CERDIK masing-masing 118 unit kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan Pekan II dan SMK Pantai, baru-baru ini.

Inisiatif CERDIK  merupakan kerjasama Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pendidikan (KPM) yang menyediakan akses digital iaitu komputer riba serta penyambungan data internet kepada murid dari keluarga berpendapatan rendah atau B40.

Pemilihan murid dan sekolah yang terlibat dengan CERDIK ditentukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

KPM juga meneliti spesifikasi perkakasan dan perisian untuk memastikan pelaksanaan inisiatif yang lebih lestari terutama dari segi sokongan jaminan, kebolehgunaan, dan jangka hayat yang lebih lama untuk pembelajaran digital pada masa depan.

Pengetua SMK Pantai, Puan Norazita menyerahkan peranti iPad kepada bapa murid yang berkeperluan
Guru Besar SK Pekan II, Puan Hjh Dayang Damit@Saidah ketika penyerahan kepada ibu bapa yang hadir menerima peranti di Pusat Ko

Pengagihan peranti SK Pekan II telah dilaksanakan pada 30 Jun 2021, bertempat di Pusat Kokurikulum, JPWPL. Manakala pengagihan peranti kepada murid SMK Pantai telah selesai dilaksanakan pada 15 Julai 2021. Kedua-dua pengagihan mengikut SOP yang telah ditetapkan dan dilaksanakan secara Pandu Lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup Haji Mohamad berharap agar kemudahan ICT yang diberikan ini dapat membantu murid-murid mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Mudah-mudahan bantuan peranti yang diberikan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh murid dalam menjalani sesi pembelajaran di rumah masing-masing”. Encik Yusup Haji Mohamad

Menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November lepas oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan mengumumkan sumbangan sebanyak RM150 juta ke dalam Tabung CERDIK oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi pemberian komputer riba kepada 150 ribu murid di 500 sekolah sebagai projek rintis yang akan diselia Yayasan Hasanah.

Keriangan terpancar di wajah murid bersama ibunya yang hadir menerima peranti CERDIK di SMK Pantai
Ibu bapa rasa gembira dan syukur yang tidak terhingga dengan bantuan peranti ICT berserta data internet untuk PdPR anak mereka
Encik Yusup Haji Mohamad menyerahkan borang peranti kepada ibu bapa SK Pekan II secara pandu lalu sambil diperhatikan Ustaz Haji Abdul Rahman
Petugas SK Pekan II memberi penerangan ringkas kepada ibu bapa mengenai peranti CERDIK yang diterima
Guru-guru SK Pekan II semasa persiapan pengagihan peranti CERDIK kepada murid-murid



PLC “KOPI O PULUT PANGGANG” Medan Perkongsian Profesional Warga Pendidik

Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah berjaya menganjur dan menarik penyertaan warga guru seluruh negara dalam sesi Profesional Learning Community (PLC) yang diadakan secara dalam talian pada Jumaat lalu.

Program santai yang dinamakan “Kopi O Pulut Panggang” kali ini telah membawa Pensyarah Pengajian Melayu dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur, Dr. Yuznaili Saleh sebagai penceramah.

Dalam sesi kali ini, Dr. Yuznaili telah berkongsi teknik-teknik pembacaan yang berkesan untuk pelbagai peringkat seawal umur 5 tahun sehingga kepada golongan dewasa.

Beliau menekankan tentang kesesuaian bahan bacaan kepada pembaca setiap peringkat umur. Pemilihan bahan bacaan yang salah akan menyebabkan otak manusia menolak untuk memahami kandungan yang tertulis di dalam sesebuah buku.

“Bahan bacaan ilmiah secara umum mempunyai 3 peringkat iaitu permulaan, pertengahan dan lanjutan. Kaedah dan cara penulisan dalam setiap peringkat ini adalah berbeza dan telah disesuaikan mengikut golongan pembaca tertentu”

“Kaedah atau teknik bacaan yang sesuai juga dapat membantu pembaca untuk memahami dengan lebih baik tentang kandungan sesebuah buku. Fokus dan lerekan mata banyak membantu pembaca untuk menangkap idea-idea besar yang hendak disampaikan oleh penulis” tambah beliau lagi.

Selain itu, para pembaca perlu mematuhi tempoh pembacaan secara konsisten bagi memberi peluang kepada otak untuk menyerap dan memproses pelbagai kategori maklumat yang ada di dalam bahan bacaan tersebut.

Sektor Perancangan (SPr) dan Sektor Pembelajaran (SPb) , Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah bekerjasama bagi menjayakan sesi PLC ini yang merupakan aktiviti sokongan professional kepada ahli-ahli Alumni Kolokium Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah.

Menurut Puan Faridah Amit, Penolong Pengarah Sektor Pembelajaran yang juga penyelaras program, sesi PLC ini turut dibuka kepada penyertaan umum terutamanya guru-guru sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengerusi Alumni, Puan Suriani Alland Rice Oxley yang juga Pegawai SISC+ di Sektor Pembelajaran menyifatkan pemilihan tajuk “Teknik Pembacaan Berkesan” adalah sangat signifikan dan menjadi ilmu pelengkap kepada ahli Alumni sebagai persediaan untuk melakukan pembacaan yang lebih banyak terutamanya dalam penyediaan sesuatu kertas kajian penuh.

Terdahulu, dalam ucapan aluan majlis, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim berharap agar alumni ini akan menjadi satu medan perkongsian ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berterusan demi kepentingan warga pendidik seluruh negara.

Di dalam sesi ucapan, beliau turut mengumumkan tiga kertas kajian tindakan terbaik yang telah dipilih oleh panel penilai.

Kertas kajian tindakan bertajuk “Menyelesaikan Masalah Pengiraan Melibatkan Persamaan Kimia bagi subjek Kimia Menggunakan Model Pelan Bansho Jepun” hasil kajian Cikgu Chin Khui Kyun dari SMK Kunak Jaya telah berjaya memperoleh tempat pertama.

Pemenang tempat kedua dirangkul oleh Cikgu Mylsa Avinne dari SK Sungai Bedaun dan tempat ketiga pula disandang oleh Cikgu Farhana binti Abdol Sappar dari Sekolah Antarabangsa Labuan.

Sesi PLC ‘KOPI O PULUT PANGGANG’ yang disiarkan melalui pelantar YouTube live ini telah menarik penonton secara dalam talian seramai 226 orang.

Berita Oleh : Sektor Perancangan




PEKDIS Laksana Ibadah Korban Berkelompok di Kawasan Perkarangan Pejabat MAQIS

Labuan: Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah-sekolah (PEKDIS) Cawangan Labuan telah menganjurkan korban berkelompok di kawasan Perkarangan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) baru-baru ini.

Program Korban Berkelompok merupakan inisiatif PEKDIS dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) untuk mendekati masyarakat, memupuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan warga Pendidikan selain dapat meraikan golongan kurang berkemampuan dan wajar diberi perhatian.

Sebanyak tiga ekor lembu telah dikorbankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengekang penularan wabak pandemik Covid-19 dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)

Penyelaras Program Korban PEKDIS Ustaz Hj Sahrum bin Samlan berkata, bagi memastikan kelancaran program pihak urus setia sentiasa menitik beratkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) ibadah korban sebagaimana yang disarankan kerajaan bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Pihak  penganjur menyediakan kaunter saringan kesihatan di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan 12 orang petugas, merekod kehadiran melalui aplikasi MySejahtera, memastikan petugas sentiasa memakai pelitup muka, apron plastik pakai buang (disposeable apron), sarung tangan getah serta pelindung muka (face shield) sepanjang proses melapah dan memotong daging korban berlangsung.

Gotong-royong: Petugas Korban bergotong- royong menguruskan proses menimbang, memotong dan membungkus daging korban.

 “Alhamdulillah, kita berjaya menyelesaikan kerja-kerja menimbang, memotong, membungkus dengan cepat biarpun hanya melibatkan 12 orang petugas. Proses agihan kepada 50 orang asnaf dalam kalangan murid-murid sekolah sekitar wilayah Persekutuan Labuan berjalan lancar. Begitu juga agihan yang dilakukan oleh peserta korban sendiri untuk saudara mara dan jiran terdekat.”. katanya.

Sementara itu, Pengerusi PEKDIS Cawangan Labuan Kamariah binti Salim berkata, pihaknya telah mendapat kebenaran untuk melaksanakan ibadah korban berkelompok daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (JAWI), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan  pihak berkuasa tempatan.

“Sebagai manifestasi ubudiah kepada Allah s.w.t., PEKDIS Labuan telah merancang untuk mengadakan program korban ini sejak bulan Januari yag lalu dan pada hari ini ianya dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Alhamdulillah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) telah membenarkan pelaksanaan program ibadah korban di Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 2021 dengan SOP yang ketat serta pemantauan yang dilakukan oleh pihak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM)”.

Ceria: Sebahagian daripada petugas korban ceria sepanjang melaksanakan rotong –royong ibadah korban di kawasan perkarangan pejabat MAQIS.

“Sembelihan tiga ekor lembu berlangsung seawal jam 7.30 pagi iaitu selepas solat sunat Aidiladha yang adakan di Rumah Sembelih Ruminan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) begitu juga proses melapah.”

 “Bagi proses menimbang, memotong dan membungkus pula telah dilaksanakan di kawasan Perkarangan Pejabat  MAQIS bersebelahan denga Pusat Sembelihan yang dikendalikan oleh 12 orang petugas yang  terdiri daripada mereka yang telah selesai menerima 2 DOS Vaksin (Vaksin Lengkap).” ujarnya .

 “PEKDIS menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas jalinan kerjasama yang sangat baik yang diberikan oleh pihak MAQIS sepanjang program ini berlangsung. Semoga kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang”. katanya lagi.

Pelaksanaan Ibadah korban pada tahun ini sama seperti tahun lalu di mana tiada aktiviti masak-memasak seperti kebiasaan dilakukan. PEKDIS selaku penganjur program sentiasa mengamalkan dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Turut hadir di dalam program ini ialah Pengarah MAQIS Labuan Nazrul Azman Mat Rahim, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Hj Abdul Rahman Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Kamariah Salim.

Cenderamata: Nazrul Azman (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Kamariah dengan diperhatikan oleh Abdul Rahman.
Rakam kenangan: Kamariah (kanan), Nazrul Azman (dua dari kanan), Abdul Rahman (empat dari kanan) bergambar bersama pasukan pemantau SOP.
Pematuhan SOP: Sahrum berpakaian lengkap dengan apron, sarung tangan dan memakai pelitup separuh muka dan pelindung muka  sepanjang pelaksanaan ibadah korban

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam




SMK Mutiara Iktiraf Pelibatan Murid Dalam PdPR

LABUAN – Pihak sekolah perlu memberikan suntikan motivasi dan galakan agar murid-murid sekolah dapat menghadirkan diri  secara konsisten dalam  Pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah(PdPR). Hal ini demikian kerana, situasi pandemik Covid 19 sedikit sebanyak telah memberikan pelbagai kesan kepada murid-murid dan jika tidak ditangani dengan baik sudah pasti akan menyebabkan murid-murid tersebut mengalami defisit pembelajaran.  Justeru, usaha yang diadakan oleh SMK Mutiara patut dipuji dalam menghargai murid-murid yang terlibat secara aktif  dalam PdPR, demikian seperti yang dikatakan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Abdul Rahman Bin Haji Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Labuan sempena Majlis Penghargaan Murid PdPR ( MAPEM 2021) yang diadakan baru-baru ini.

Beliau juga menambah bahawa kehadiran murid dalam Pdpr sangat penting supaya  murid-murid tidak mengalami defisit pembelajaran. Walaupun pengajaran dan pembelajaran di rumah ini berbeza jika dibandingkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka, namun kita semua perlu menerima hakikat bahawa PdP secara norma baharu ini perlu diterima dengan hati yang terbuka. Kehadiran anak-anak murid juga perlu diambil perhatian oleh semua guru dan ibu bapa. 

Dalam majlis yang sama,  Yahya Ahmad Puteh selaku Pengetua SMK Mutiara berkata bahawa objektif penganjuran MAPEM PdPR adalah untuk menghargai murid-murid terlibat secara aktif dalam PdPr, Murid yang hadir awal dalam PdPr dan Murid yang mempunyai kehadiran terbaik sepanjang tempoh PdPR berlangsung. Seramai 76 orang murid yang diberikan penghargaan atas pelibatan mereka yang aktif sepanjang tempoh PdPR berlangsung. Murid-murid yang diberi penghargaan ini terdiri daripada murid-murid Tingkatan satu hinggalah ke Tingkatan 5. 

“Saya mengharapkan kehadiran murid akan lebih baik selepas ini memandangkan murid-murid akan mula bersekolah selepas 31 Ogos 2021 nanti. Setakat ini, jumlah kehadiran murid-murid SMK Mutiara dalam keadaan yang baik. Hal ini disebabkan dengan sokongan ibu bapa yang sentiasa membantu sekolah dengan memastikan anak-anak mereka hadir sepaanjang sesi pdpr berlangsung. Saya percaya semua murid dan guru akan lebih bersedia menghadapi sesi pdpr apabila tamatnya cuti pertengahan penggal kedua nanti.”

Dalam majlis yang berkenaan, Mathew Chew Kah Ming , mengatakan bahawa sepanjang sesi berlangsungnya pdpr ini, terdapat banyak cabaran yang dilaluinya. 

“Antara cabaran terbesar bagi saya ialah dari aspek medisiplinkan diri.  Seperti yang kita semua sudah maklum, pdpr berlangsung di rumah masing-masing. Pada awalnya saya sangat sulit untuk menyertai sesi pdpr pada awal pagi tetapi berkat dorongan daripada guru2, saya berjaya mengatasi masalah ini. Saya percaya ini juga merupakan cabaran bagi semua pelajar yang lain”

Mathew juga berkata bahawa disebabkan Pdpr dijalankan secara maya, dia tidak lagi dapat berkomunikasi secara bersemuka dalam bilik darjah. Hal ini menjadikannya sukar untuk memahami sesuatu topik pembelajaran. Oleh itu, jalan penyelesaian baginya ialah menonton rancangan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan seperti menonton Didik TV serta turut menasihati kawan-kawannya supaya tidak putus asa dan teruskan usaha walaupun tidak dapat bersekolah seperti sebelum ini akibat Covid 19.

Selain itu, Nurain Atiqah Ramblie dari Kelas 5 Ibnu Sina mengatakan bahawa pengalaman belajar secara pdpr agak mencabar kerana pdpr ini merupakan perkara baharu.Namun secara tidak langsung,  dirinya boleh belajar tentang penggunaan teknologi.

“Antara tips yang boleh saya  kongsikan dalam menghadapi cabaran pdpr  ialah menetapkan ‘alarm’ dalam telefon supaya kita lebih peka tentang kelas dan masa bagi satu-satu subjek sewaktu pdpr supaya kita lebih bersedia sebelum memasuki kelas.Selain itu, saya juga memastikan buku-buku sudah ada di atas meja dan kemas kerana ini akan memberikan kita lebih bersemangat untuk memulakan pdpr. Saya juga akan akan membuat tugasan yang diberikan pada waktu malam. Saya juga sentiasa peka terhadap jadual harian kelas dan menjadikan jadual kelas sebagai ‘wallpaper’ dalam telefo bimbit saya”

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YDP PIBG Sekolah, Norhani Binti Yusof, dan semua penolong kanan sekolah. Majlis tersebut telah diurusetiakan oleh Unit Bimbingan Dan kaunseling SMK Mutiara.

Berita Oleh : SMK Mutiara




123 Guru Mengikuti Bengkel Pembugaran Tatabahasa Di Dalam Talian

Pada 12 Julai 2021 bersamaan hari Isnin, SMK Pantai IBWS dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan WP labuan melalui Program Task Force Bahasa Melayu telah mengadakan program yang ke-3 iaitu Bengkel Pembugaran Tatabahasa. Program ini melibatkan semua guru Bahasa Melayu sekolah menengah dan sekolah rendah di WP Labuan. Namun begitu bengkel ini turut disertai oleh guru-guru dari luar WP Labuan kerana menggunakan pelantar dalam talian seperti You Tube dan FB Live selain Google Meet. Seramai 123 orang peserta menghadiri bengkel termasuk Pengetua SMK Pantai iaitu Puan Norazita binti Md Nor@Shamsuri merangkap Pengerusi Task Force BM K2.

Dalam ucapan pembukaan, Encik Yusup bin Haji Mohamad Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri W.P Labuan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Jawatankuasa Task Force BM Kertas 2, kerana berjaya melaksanakan Bengkel Pembugaran Tatabahasa secara dalam talian. Beliau juga menyatakan bahawa pandemik bukanlah halangan untuk sebarang perkongsian ilmu. Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Puan Amiah binti Bua, Ketua Penolong Pengarah Unit Bahasa Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Objektif program ini adalah untuk berkongsi ilmu yang berkaitan tentang tatabahasa dari peringkat asas ke peringkat yang lebih tinggi. Bengkel ini merupakan salah satu cara untuk mengulang kembali ilmu-ilmu tatabahasa disamping memberikan ilmu tambahan khusus buat guru-guru baharu. Perkongsian ini juga diharapkan dapat mempertingkatkan lagi keputusan peperiksaan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan seterusnya mendapat 100 peratus lulus pada peringkat SPM.

Program dimulakan dengan kata-kata aluan oleh pengerusi majlis iaitu Puan Sa’adiah binti Bohari yang juga merupakan Ketua Panitia Bahasa Melayu SMK Pantai IBWS. Moderator pada petang itu pula ialah Puan Salbiah binti Hamduh. Moderator memperkenalkan penceramah terlebih dahulu sebelum menyerahkan sesi perbengkelan kepada penceramah. Penceramah utama pada petang itu ialah Puan Hjh Siti Zahara binti Mohammad yang merupakan SISC+ Bahasa Melayu. Beliau juga merupakan seorang Munsyi Dewan, Juruaudit dalaman Bahasa KPM dan Jurulatih Utama KebangsaanKSSM Format Baharu SPM.

Program ini berjaya dilaksanakan dengan lancar dan semua peserta menzahirkan rasa puas hati dengan bengkel tersebut berdasarkan soal selidik yang disi oleh para peserta. Pada penghujung program, melalui boring soal selidik, para peserta menunjukkan tahap penguasaan dan pemahaman yang cemerlang. Bengkel berakhir pada jam 5.20 petang.

Berita Oleh : Unit Bahasa, Sektor Pembelajaran




Meningkatkan Kompetensi Guru Pendidikan Islam
Bengkel Integrasi Digital Dalam PdP Pendidikan Islam

Labuan, 19 Julai Jawatankuasa Task Force Pendidikan Islam SPM dengan kerjasama Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) berjaya menganjurkan Bengkel Integrasi Digital Dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Pendidikan Islam secara dalam talian yang diadakan pada Sabtu lalu.

Bengkel Integrasi Digital yang diadakan merupakan satu usaha untuk meningkatkan profesionalisme guru Pendidikan Islam ke arah melahirkan warga pendidik yang bermaklumat tentang kaedah pengajaran yang terkini melalui perkongsian kepakaran dalam dunia digital.

Turut hadir sama dalam program itu Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam ustazah Kamariah binti Salim dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha merangkap Pengerusi Jawatankuasa Task Force Pendidikan Islam SPM ustaz Wan Azman bin Wan Awang.

Seramai 94 peserta yang terdiri daripada guru-guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab sekolah menengah dan sekolah rendah di wilayah ini menyertainya.

Menurut Wan Azman, Integrasi digital dalam PdP memainkan peranan penting seiring dengan perkembangan teknologi pendidikan terkini. Ini kerana penggunaan teknologi dalam pendidikan akan memberi kesan terhadap perubahan sistem dan kualiti pendidikan yang dilaksanakan oleh guru. Diharapkan juga agar bengkel ini dapat meningkatkan kecemerlangan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) GPI di wilayah ini.

PERKONGSIAN ILMU yang sangat menarik dan interaktif daripada Jurulatih Google Classroom negeri Johor, ustaz Yusri Yusoff

Bengkel ini telah dikendalikan oleh ustaz Yusri bin Yusoff, Guru Cemerlang Pendidikan Islam, Sekolah Menengah Sains Batu Pahat, Johor sebagai penceramah jemputan. Merupakan penceramah yang berpengalaman luas dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi juga merupakan admin digital classroom negeri Johor.

Antara perkongsian Ilmu yang telah disampaikan oleh penceramah ialah berkaitan keperluan Digital, aplikasi digital dalam PdP, Peranan Teknologi Dalam Pengajaran dan Pembelajaran, Kepentingan Teknologi Pendidikan Dalam Pengajaran dan Pembelajaran.

Menurut Yusri, Integrasi Digital menjadi kaedah terbaik untuk meneruskan pendidikan apabila pendemik COVID-19 melanda untuk memastikan bahawa sesi pembelajaran tidak terganggu.

“Teknologi menjadikan proses PdP akan menjadi lebih menarik dan berkesan di dalam kelas maya.  Melalui interaksi digital proses PdP dapat dijalankan dengan lebih mudah, ringkas dan padat kerana murid-murid akan didedahkan dengan gambaran dan persembahan menarik serta mudah untuk di fahami”.

Katanya lagi, guru akan lebih kreatif dan inovatif dalam PdP mereka  malah keberkesanan hasil dan objektif pengajaran dan pembelajaran dapat berlaku dengan mudah dan terancang.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Kamariah binti Salim merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian penceramah berkongsi ilmu dengan warga pendidik di W.P.Labuan serta komitmen guru yang hadir pada petang Sabtu tersebut.

“Kita memahami atas kekangan masa rutin guru di sekolah yang padat, namun berupaya hadir memenuhi undangan ceramah. Alhamdulillah pada petang ini beliau berkesempatan bersama kita berkongsi ilmu pendigitalan yang sedang hangat diperkatakan oleh warga pendidik.” katanya dalam ucapan penutupan.

“Sesungguhnya Pendemik Covid-19, secara tidak langsung mengandungi hikmah yang amat luar biasa. Warga pendidik tidak mempunyai pilihan selain menggunakan teknologi digital bagi kelangsungan proses PdP. Jadi sudah tiba masanya untuk kita mantapkan lagi pembelajaran dan pengajaran dalam talian ini terutamanya untuk kegunaan pada masa akan datang,” katanya

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

BERUCAP: Ustazah Kamariah menyampaikan ucapan penutupan di dalam bengkel tersebut.
KENANGAN: Peserta kursus sempat merakamkan gambar bersama penceramah selepas selesai bengkel integrasi digital.



Kursus Kepimpinan Murid SMK Taman Perumahan Bedaun Tahun 2021

Labuan, 10 Julai – SMK Taman Perumahan Bedaun telah menjayakan Kursus Kepimpinan Murid bagi tahun 2021 dengan Norma Baharu secara atas talian Google Meet bertempat di kediaman masing-masing.  Kursus yang dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK TPB ini bermula pada jam 9.30 pagi hingga 12.00 tengahari. Kursus ini melibatkan empat tunggak pemimpin murid SMK TPB yang terdiri daripada Pengawas Sekolah, Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), Pengawas Pusat Sumber Sekolah (PSS) dan Ketua Tingkatan seramai 60 orang peserta secara keseluruhannya dan 3 orang guru penasihat sebagai penceramah kursus.

Kursus Kepimpinan Murid ini dimulakan dengan taklimat daripada Guru Penasihat setiap badan Kepimpinan Murid berkenaan. Seterusnya semua peserta diberikan bengkel secara atas talian yang telah disampaikan oleh En. Abdul Kadir bin Ali selaku Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK TPB. Barisan Pemimpin Murid seramai 60 orang ini disajikan dengan motivasi dan kemahiran dalam membina potensi sebagai seorang pemimpin pada masa kini.

Kursus Kepimpinan ini diakhiri dengan Majlis Perasmian Penutupan dan Watikah Perlantikan Pemimpin Murid SMK TPB tahun 2021. Encik Ag. Rozlan bin Manan, selaku pengetua SMK TPB dalam ucapannya juga mengingatkan barisan pemimpin murid supaya bersiap sedia dan memperkasakan potensi kepimpinan mereka agar berjaya memberi contoh terbaik kepada murid-murid lain. Kejayaan mereka sebagai pemimpin menjadi salah satu tanda aras kemenjadian murid sekolah ini. Pihak sekolah juga berharap kerjasama yang diberikan oleh barisan pemimpin murid mampu membawa kejayaan dan kecemerlangan sekolah dalam aspek kurikulum, kokurikulum dan sahsiah murid.

Kursus Kepimpinan ini di akhiri dengan bacaan Ikrar barisan Pemimpin Murid yang diketuai oleh Ketua Pemimpin Murid yang dilantik. Semoga dengan Kursus Kepimpinan yang telah dijalankan ini dapat memberi suntikan semangat dan kemahiran yang bermanfaat kepada semua Pemimpin Murid SMK Tmn Perumahan Bedaun. Penolong Kanan Pentadbiran Puan Chai Yee San dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid En. Awang Adi bin Tuah turut hadir dalam majlis penutupan ini.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




29 Guru SK Membedai WP Labuan Menghadiri Bengkel Pemerkasaan Pentaksiaran Bilik Darjah PBD Secara Dalam Talian

Sekolah kebangsaan Membedai telah mengadakan Program Bengkel Pemerkasaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) peringkat sekolah pada 10 Julai 2021 yang telah dirasmikan oleh Encik Mohamed Al Ghaffar bin Haji Mohamed Maidin Guru Besar SK Membedai W.P Labuan. Objektif bengkel ini dilaksanakan ialah untuk membimbing guru agar dapat melaksanakan pentaksiran bilik darjah dalam apa jua keadaan. Ini bermakna semasa pandemic covid 19 melanda dan guru-guru melaksanakan PdPR tetapi pada masa yang sama PBD masih tetap dilaksanakan. Bengkel telah dijalankan di atas talian dari jam 9 pagi hingga 11.30 pagi.

Dalam teks ucapan Pengarah Pendidikan yang dibacakan oleh Guru Besar beliau merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah atas inisiatif dan komitmen pihak pentadbir dan guru-guru SK Membedai melaksanakan PLC bagi memperkasa pelaksanaan PBD sebagai satu instrumen untuk mengukur tahap penguasaan murid-murid dalam pembelajaran. Oleh itu, seperti kita sedia maklum pemansuhan UPSR kini tumpuan telah beralih dari penilaian berorientasi peperiksaan kepada pentaksiran yang menumpukan kepada perkembangan tingkah laku murid dalam penguasaan kemahiran pembelajaran. Sehubungan itu, langkah pihak sekolah memperkasa pelaksanaan PBD adalah amat bertepatan dengan perubahan tersebut dan diharapkan dapat mempertingkatkan kemenjadian murid secara berterusan dan holistik.  

Guru Besar SK Membedai, Encik Mohd Al-Ghaffar Mohd Maidin

Penceramah utama bengkel ialah Cikgu Juraidah binti Aman SISC+ Unit TVET serta dibantu oleh Cikgu Mohd Daud bin Abdullah SISC+ Unit TVET dan Cikgu Ebby Heryani binti Rahmat Mentor PBD TVET.  Turut hadir bersama ialah Puan Amiah binti Bua, Ketua Penolong Pengarah Unit Bahasa Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Semua Pentadbir sekolah dan guru terlibat dalam bengkel ini.

Bengkel berjalan lancar dengan pembentangan dan soal jawab yang membina. Di peringkat sekolah, Pentadbir sekolah dan guru mempunyai peranan tersendiri bagi merealisasikan pelaksanaan PBD agar berkesan serta memberi impak yang positif kepada murid. Pihak pentadbir sekolah melakukan bimbingan dan pemantauan,manakala guru-guru dalam panitia mata pelajaran melakukan perbincangan sesama mereka dalam melakukan pertimbangan professional terhadap murid.

Berita Oleh : SK Membedai