1

‘Kouryukai’ JPWPL Mengeratkan Jaringan Antarabangsa Bersama Jepun

Labuan, 18 Januari : Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya menganjurkanKouryukai’ , program pengantarabangsaan bersama University of Toyo, Tokyo pada Isnin lalu.

Kouryukai merupakan ungkapan kata bahasa Jepun bermaksud sebagai satu pertemuan atau berhimpun untuk bertukar-tukar pandangan, idea sama ada dari segi pendidikan, budaya dan sebagainya di antara dua kumpulan orang yang mempunyai perbezaan negara, bangsa atau budaya serta bertujuan berkenal-kenal mesra.

Program anjuran Sektor Perancangan dilaksanakan secara dalam talian melibatkan 75 orang peserta.

Penyelaras program, Puan Faridah Amit berkata seramai 28 pelajar University of Toyo dan 47 murid-murid sekolah menengah di Labuan terlibat di dalam program yang memasuki siri ke-3 sejak tahun 2021.

“Objektif utama program ini adalah untuk menyediakan peluang mengenali budaya antara dua negara kepada murid-murid di Labuan, selain memberi peluang murid-murid untuk berinteraksi walaupun berlainan bahasa” kata beliau.

Dalam sesi kali ini, murid-murid Labuan berpeluang mengenali beberapa aspek di dalam kehidupan remaja di negara matahari terbit. Antaranya ialah aktiviti-aktiviti pembelajaran, rekreasi, makanan dan permainan tradisi seperti Daruma-san ga Koronda.  

Adik Mohd Aidil bin Farhan dari SMK Labuan melahirkan rasa bertuah kerana terpilih menyertai program ini.

“Saya dapat mengenali budaya Jepun dengan lebih dekat. Kebetulan pula saya memang meminati majalah Mangas dan karya kartun Jepun yang begitu popular di Malaysia”

Program turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim. Dalam ucapan penutupan program, beliau berharap agar program jaringan antarabangsa ini dapat diteruskan walaupun situasi pandemik Covid-19 masih melanda dunia.

Program telah dikendalikan oleh Cikgu Cladius Upin Lonsiong Jr. dari SMK Rancha-Rancha sebagai moderator.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Antara makanan ringan di Jepun
Antara permainan tradisional di Jepun



Pengarah Turun Padang, Kunjungi Calon SPM 2021

Labuan : SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menerima kunjungan daripada Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad bersama enam orang pegawai JPN pada 12 Januari 2022 (Rabu) lalu.

Program yang dikenali sebagai “Program Pengarah Turun Padang” diadakan secara bersemuka dengan 90 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Objektif utama program ini adalah untuk memberi peluang kepada calon SPM 2021 untuk mendengar amanat daripada Pengarah sebelum mereka menduduki SPM pada 02 Mac 2022 nanti.

Turut hadir bersama dalam program ini ialah YDP PIBG, Encik Peter Wong, Pengetua, Encik Ag Rozlan bin Manan, Penolong-Penolong Kanan serta guru-guru mata pelajaran SPM.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh adik Danial Hakimi bin Ramli dari kelas 5 Gamma dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yahya bin Ahmad Puteh.

Encik Yahya menjelaskan bahawa program ini bertujuan untuk memberi sedikit ruang dan peluang kepada Tuan Pengarah untuk bertemu dan berbicara dengan lebih dekat lagi bersama-sama calon SPM 2021. Beliau juga memaklumkan bahawa sekolah-sekolah lain juga akan menerima kunjungan daripada Pengarah melalui program Pengarah Turun Padang sebelum menjelangnya SPM. Beliau berharap agar semua calon dapat menggunakan masa yang masih ada dengan sebaik mungkin demi mencapai kecemerlangan dalam SPM.

Encik Yahya menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis
Pengarah Turun Padang.

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Pengarah Pendidikan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.Dalam ucapannya, Encik Yusup merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon SPM 2021 yang dapat hadir bersama-sama dalam program tersebut.

Beliau turut menjelaskan bahawa tujuan pelaksanaan program ini adalah untuk bertanyakan khabar calon SPM serta memberi inspirasi kepada semua calon untuk berdepan dengan satu cabaran yang sangat penting dalam hidup anak-anak iaitu menduduki peperiksaan SPM.

Beliau amat berharap agar semua calon SPM pada tahun ini dapat bangkit dan lebih berkeyakinan untuk mencipta kejayaan walaupun banyak cabaran yang terpaksa diharungi dari semasa ke semasa. Calon SPM 2021 dianggap istimewa kerana sejak dari tingkatan empat lagi mereka telah melalui fasa pembelajaran secara dalam talian ekoran pandemik Covid-19.

Encik Yusup turut berharap agar semua calon SPM dapat menggunakan masa yang ada dengan sebaik mungkin untuk mencipta sejarah dalam kehidupan masing-masing kerana SPM merupakan “Sijil Penentu Masa Depan” anak-anak.

Encik Yusup Haji Mohamad

Di samping berkongsi kata-kata semangat dengan calon SPM, sesi soal jawab bersama Pengarah juga diadakan. Banyak ilmu dan kata-kata semangat yang dapat diperoleh daripada sesi soal jawab tersebut. Pada akhir ucapannya, beliau berharap agar semua calon SPM akan memperoleh kejayaan yang cemerlang dan seterusnya dapat membanggakan ibu bapa serta sekolah dengan pencapaian masing-masing.

Sebelum berakhir, majlis diteruskan dengan penyampaian slip keputusan Peperiksaan Percubaan SPM kepada sembilan orang murid yang berjaya mendapat 4A, 5A, 6A, 7A dan 9A dalam peperiksaan percubaan baru-baru ini.

Selain itu, penyampaian banner “Selamat Menduduki Peperiksaan SPM 2021” daripada pihak JPN kepada pengetua sekolah juga turut diadakan diikuti dengan simbolik penyampaian Modul YaPEIM kepada wakil murid.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan daripada pihak sekolah kepada pihak JPN yang disampaikan oleh Pengetua, Encik Ag Rozlan kepada Encik Yusup.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Encik Yusuf dan pegawai-pegawai JPWPL bergambar bersama pentadbir dan YDP PIBG sekolah