1

Puasa membentuk disiplin diri agar bersabar

Labuan, 29 Apr – Majlis Khatam Al-Quran Perdana peringkat SMK Taman Perumahan Bedaun anjuran Panitia Pendidikan Islam sekolah telah berlangsung di Surau An-Najah SMK Taman Perumahan Bedaun pada 29 April lalu.

Majlis yang disertai kira-kira 25 murid itu dimulakan dengan taklimat ringkas oleh Ustaz Nik Muhamad Fazli bin Nik Abdul Razak sebelum dimulakan bacaan surah Al-Fatihah secara beramai-ramai dan diteruskan dengan Majlis Khatam Al-Quran bermula jam 9.30 pagi

Turut hadir dalam majlis itu ialah pengetua sekolah, Puan Norazita bt Md.Nor @ Shamsuri , serta Guru Kanan Bidang Kemanusiaan, Ustaz Mohd Daud bin Abdul Rahman

Puan Norazita dalam ucapannya turut menzahirkan harapan agar hari-hari yang berbaki dalam bulan Ramadan ini dapat diisi sebaik mungkin.

Beliau turut mengingatkan murid bahawa ibadah puasa ini mendidik umat Islam agar mempunyai sifat sabar yang tinggi dan menggesa murid agar mengelakkan diri dari terlibat dengan kegiatan jenayah buli disekolah sepertimana yang telah tular di media sosial kes buli yang berlaku di sebuah sekolah di Langkawi baru-baru ini.

“Mudah-mudahan puasa kita semua adalah puasa zahir dan batin. Secara zahir kita menahan lapar dan dahaga sedang secara batin, kita memelihara akhlak dan diri daripada dosa dan maksiat. Semoga puasa kita menjadikan kita orang yang banyak bersabar.”

Majlis khatam ini diakhiri dengan penyampaian cenderahati berupa duit raya kepada semua murid yang menyertai.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Majlis Khatam Al-Quran diketuai oleh khalifah majlis, Ustaz Nik Fazli.



Majlis Jalinan Kasih Guru dan Murid SMK Taman Perumahan Bedaun Tahun 2022

LABUAN, 29 April – SMK Taman Perumahan Bedaun Unit Bimbingan dan Kaunseling dengan kerjasama Unit Disiplin Sekolah telah mengadakan Majlis Jalinan Kasih Guru dan Murid sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun 2022.

Puan Norazita Bt Md Nor @ Shamsuri, pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun telah menyampaikan sumbangan duit raya kepada setiap murid seramai 539 orang murid. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah semua penolong kanan dan Ketua Bidang mata pelajaran.

Majlis Jalinan Kasih Guru dan Murid diadakan di Anjung Berbuloh, SMK Taman Perumahan Bedaun.

Majlis ini merupakan inisiatif sekolah untuk memberi kegembiraan kepada murid-murid. Sumber kewangan duit raya disumbangkan oleh barisan guru-guru dan staf sokongan.

Majlis Jalinan Kasih Guru dan Murid telah menjadi tradisi di SMK Taman Perumahan Bedaun pada setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Puan Norazita, amalan memberi sumbangan duit raya kepada murid ini bagus diteruskan pada masa akan datang kerana mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara warga sekolah SMK Taman Perumahan Bedaun.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




Majlis Khatam Al Quran Menutup Tirai Program Ihya’ Ramadan Peringkat JPWPL Tahun 2022

Labuan, 29 April- Majlis Khatam Al Quran yang diadakan pagi tadi secara bersemuka di Bilik Mesyuarat Botanikal, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) menjadi kemuncak sekaligus menutup tirai kepada Program Ihya’ Ramadan Peringkat JPWPL bagi tahun 2022.

Majlis Khatam Al Quran yang dikelolakan oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI)  ini telah dihadiri lebih 50 peserta daripada kalangan pegawai dan kakitangan di jabatan. Majlis dimulai dengan bacaan surah Al Kahfi ayat 1 hingga 10 dan ayat 100 hingga 110 diketuai oleh Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam ustaz Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim,.

Manakala Majlis Khatam Al Quran dipimpin oleh  Penolong Pengarah Pembangunan Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam, Ustaz Sahrum Bin Samlan. Seramai 14 qari jabatan telah memperdengarkan bacaan juzuk amma bermula daripada surah Ad-dhuha hingga surah An-Nas.

Tazkirah berkaitan fadhilat mempelajari Al Quran yang disampaikan oleh Ketua Imam Masjid Layang-Layangan ustaz Muhammad Syafie Abdul Ghani telah menyuntik semangat para peserta khatam Al Quran untuk terus belajar dan menguasai kemahiran Al Quran.

“Sebagai umat Islam kita sangat dituntut untuk mendalami ilmu al-Quran. Selain itu ilmu bacaan seperti cara lafaz dan hukum tajwid perlu di fahami dan didalami dengan betul agar bacaan bertambah baik”. katanya.

Majlis Khatam Al Quran yang diadakan pagi ini merupakan kesinambungan bagi menjadikan amalan membaca Al Quran sebagai satu kelaziman dalam kehidupan seharian dan menyemai rasa kecintaan yang mendalam terhadap kalamullah. Memartabatkan Al Quran ke satu tahap yang lebih tinggi dan yang paling utama dapat memantapkan kemahiran membaca al-Quran dalam setiap jiwa warga kerja JPWPL ini.

Menurut Ketua Penolong Pengarah SPI, Ustazah Kamariah Salim, Sektor Pendidikan Islam telah melaksana pelbagai program sepanjang bulan Ramadan tahun ini seperti tadarus Al-Quran, Tazkirah zohor, Sentuhan Nurani dengan bacaan Al Mathurat setiap pagi, Tafaqquh Fiddin iaitu bacaan surah Al Kahfi dan Yaasin setiap Jumaat, Jaulah Ramadan ke 5 buah masjid,Tabung Infaq Ramadan, Iftar Ramadan, Sumbangan kepada asnaf dan kemuncaknya pada pagi ini iaitu Majlis Khatam Al-Quran.

Majlis Perasmian Penutupan Program Ihya’ Ramadan telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Yusup Hj Mohamad.

Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta yang berjaya menyelesaikan bacaan mengikut juzuk dan peserta yang memperdengarkan bacaan dengan faseh dan lancar dalam majlis tersebut.

“Penghayatan kepada isi kandungan ayat-ayat suci al-Quran akan memberi kita inspirasi dan galakan untuk lebih berusaha mendekatkan diri kepada Ilahi dan menguasai segenap bidang ilmu pengetahuan. Membaca dengan memfokuskan kepada kualiti bacaan dengan meraikan hukum tajwid sangat penting di samping mentadabbur iaitu memahami dan menghayati makna Al-Quran itu sendiri”. katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

 “Di kesempatan ini juga saya ingin merakamkan jutaan penghargaan kepada semua jawatankuasa yang telah menghidupkan dan menjayakan program-program sepanjang bulan Ramadan kali ini. Terima kasih kepada Sektor Pendidikan Islam yang menjadi nadi kepada setiap program sepanjang ramadhan dan sentiasa memberi komitmen yang terbaik bagi memastikan setiap program berjalan dengan lancar.

Majlis tersebut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad, pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan Encik Mohd Nizam Yasim, Yang Dipertua Majlis Guru Besar Puan Dg Sarifah A Mahmood.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam




SMKTPB Santuni Murid Yatim dan Asnaf

LABUAN: Seramai 40 anak yatim dan murid dari keluarga asnaf masing-masing menerima sumbangan berupa barangan keperluan asas dan duit raya hasil kutipan Tabung Infak Ramadan serta sumbangan peribadi guru-guru dan staf SMKTPB kepada murid.

Sumbangan Bakul Kasih Ramadan ini adalah antara usaha pihak sekolah dalam menyemarakkan lagi aktiviti penghayatan sepanjang bulan puasa dalam kalangan guru dan staf bagi membantu golongan yang memerlukan.

Pengetua sekolah, Puan Norazita bt Md.Nor merakamkan penghargaan atas inisiatif Panitia Pendidikan Islam sekolah dalam Program Ihya Ramadan tahun ini memberi peluang kepada semua guru dan staf untuk menyantuni anak yatim melalui kutipan sumbangan samada barangan keperluan mahupun wang ringgit.

“Penglibatan pihak guru dan staf sendiri dalam menyampaikan Bakul Kasih Anak Yatim dan Asnaf pada setiap tahun sentiasa dinanti-nantikan oleh guru untuk menambahnilai amalan di bulan Ramadan dan memberikan keceriaan dengan meringankan beban keluarga murid asnaf dan anak yatim terbabit untuk menyambut lebaran,” katanya.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




Majlis Pelancaran Program SUMUR Mentor Mentee SMK Taman Perumahan Bedaun 2022

LABUAN, 25 April – SMK Taman Perumahan Bedaun telah menjayakan Majlis Pelancaran Program Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) dan Mentor Mentee bagi tahun 2022.

Majlis yang dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK TPB dan Panitia Pendidikan Islam ini dilaksanakan pada perhimpunan rasmi sekolah mengikut norma baharu. Turut hadir bersama dalam majlis ini ialah barisan pentadbir SMK Tmn Perumahan Bedaun.

Program SUMUR yang bermula pada tahun 2017 ini merupakan arahan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bermatlamat melahirkan murid yang memiliki personaliti terpuji dan boleh dicontohi oleh murid lain, memupuk perasaan cintakan ilmu untuk kebahagiaan dunia dan akhirat, menerapkan nilai jati diri dan berusaha meningkatkan daya kepimpinan danmempunyai semangat patriotisme yang tinggi.

Terdapat empat Modul utama dalam Program SUMUR iaitu Modul Mutadayyin, Modul Berbudi Bahasa, Modul Jati Diri dan Modul Penampilan Diri. Kesemua Modul ini merangkumi semua aktiviti yang dijalankan oleh sekolah dan murid-murid akan dinilai permakahan oleh guru-guru sepanjang tahun.

Puan Norazita Md Nor @ Shamsuri, selaku pengetua SMK TPB dalam ucapannya menyatakan pembentukkan sahsiah dan disiplin yang positif adalah penting dalam melahirkan generasi berakhlak terpuji.

Pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi meningkatkan sahsiah dan keterampilan diri yang positif dalam kalangan murid agar dapat mencegah mereka daripada gejala yang tidak sihat yang mungkin akan menjejaskan masa depan mereka.

Beliau juga mengingatkan agar pelaksanaan program SUMUR dan Mentor Mentee sekolah ini dapat dijalankan dengan sebaiknya agar berjaya memperkasakan potensi dan kemenjadian murid sekolah ini.            

Majlis Pelancaran Program SUMUR dan Mentor Metee telah disempurnakan oleh pengetua dengan acara memotong reben banting program SUMUR dan penyerahan Modul Mentor Mentee oleh Encik Awang Adi Tuah, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid kepada Puan Norazita Md Nor @ Shamsuri, Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun sebagai simbolik perasmian tersebut.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

MERASMIKAN : Puan Norazita Md Nor @ Shamsuri, Pengetua SMK TPB menandatangani banting Program SUMUR dan Mentor Mentee



Gotong-royong Memasak Eratkan Hubungan Sesama Guru dan Staf SMK Taman Perumahan BedaunTPB

Labuan 25 April –  Panitia Pendidikan Islam SMKTPB bersama Kelab Guru & Staf sekolah menjalin kerjasama menganjurkan program Dapur4Iftar iaitu majlis gotong-royong memasak dan mengagihkan juadah berbuka puasa sempena Ramadan di Bengkel Masakan SMK Taman Perumahan Bedaun dekat sini.

Inisiatif program itu bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dengan warga guru dan staf sambil berkongsi rezeki sesama ahli keluarga staf.

Sebanyak 165 bekas juadah berjaya disiapkan dan diagihkan kepada guru dan ahli keluarga staf sebagai juadah berbuka puasa.

Aktiviti dimulakan dengan menyediakan bahan dan perkakasan memasak nasi minyak, lauk dan acar secara bergotong-royong di bengkel berkenaan.

Turut hadir Pengerusi Kelab Guru & Staf SMK Taman Perumahan Bedaun, Puan Noorain Bt Mohd Tuah.

Acara gotong-royong dijalankan oleh ahli jawatankuasa program serta  dibantu oleh guru-guru bukan Islam bermula jam 10.30 pagi hingga 3.00 petang.

Encik Mohd Daud selaku penyelaras majlis berkata, program itu diadakan bertujuan mengimarahkan lagi Ramadan serta sebagai salah satu usaha mengukuhkan semangat kerjasama dan merapatkan hubungan guru Muslim bersama rakan guru bukan Muslim.

“Program ini telah mula dilaksanakan tahun lepas dan mendapat sokongan untuk diadakan sekali lagi pada tahun ini. “

Dalam pada itu, Puan Noorain merangkap Pengerusi Kelab Staf berkata, beliau bersyukur kerana dapat membantu menjayakan majlis ini dan mengeratkan lagi hubungan sesama staf melalui aktiviti gotong royong menyediakan makanan untuk berbuka puasa.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




7 Guru SMK Labuan Terima Surat Kenaikan Pangkat

Labuan, 25 April – Seramai 7 guru SMK Labuan diraikan di dalam Majlis Penyerahan Surat Kenaikan Pangkat Sabtu lalu. Majlis kelolaan Sektor Sumber Manusia (SSM), Jabatan Pendidikan W.P Labuan ini telah diadakan di salah sebuah pusat rekreasi di Kg. Sungai Miri.

Menurut Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber Manusia, Encik Mohd Khairul Hafiz bin Juni, majlis ini diadakan bagi merai dan mengiktiraf kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) dan Pegawai Kumpulan Pelaksana (PKP) secara Time Based Berasaskan Kecemerlangan (TBBK).

Menurut pengetua SMK Labuan, Encik Mohd Nizam bin Yasim, seramai 1 guru telah menerima kenaikan pangkat dari DG48 ke DG52, 4 orang daripada DG44 ke DG48, 2 orang daripada DG41 ke DG44.

Guru-guru yang terlibat ialah Yusfalizah binti Yusoff (DG48 ke DG52), Chua Chee Kiat, Dayangku Halizah binti Pg. Hassan, Liaw Chia Chiun dan Voon Sem Yee(DG44 ke DG48), Juriati binti Jumat dan Nur Hidayah binti Muhammad (DG41 ke DG44).

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua penerima dan berharap pengiktirafan kerajaan ini dapat meningkatkan motivasi diri dan kualiti kerja guru-guru ke peringkat yang lebih tinggi” katanya lagi.

Majlis telah dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

“Ini adalah menifestasi penghargaan kerajaan atas sumbangan dan komitmen guru-guru dan menyeru agar kita semua terus istiqamah dan konsisten dalam meningkatkan budaya kecemerlangan dalam organisasi” Encik Yusup Haji Mohamad.

Majlis penyampaian surat kenaikan pangkat diadakan serentak dengan Pelancaran Pergerakan Massa:#TERIMAKASIHCIKGU peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.

Berita Oleh : SMK Labuan




SMK Labuan Anjur Ceramah Sempena Nuzul Al-Quran

Labuan, 21 April – SMK Labuan telah menganjurkan ceramah bertajuk Kemuliaan Al-Quran sempena sambutan Hari Nuzul Al-Quran pada Selasa lalu.

Program anjuran Panitia Pendidikan Islam sekolah berkenaan telah dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya.

Program yang bermula 8.00 pagi telah dimulai dengan sesi alunan bacaan Al-Quran yang diketuai oleh Adik Mohd Nabil Nuruddin bin Ramli.

Sejurus selepas itu, satu sesi ceramah bertajuk ‘Kemuliaan Al-Quran’ telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Uwais Qarni bin Abdul Wahab, Mudir Pusat Pengajian Tahfiz Ribat yang juga merupakan pendakwah bebas.

Dalam sesi ceramahnya, beliau menyentuh tentang tanggungjawab seorang muslim terhadap Al-Quran dengan berusaha untuk merapatkan diri dan mesra dengan mukjizat paling agung itu.

“Dengan amalan membaca sehelai selepas setiap waktu solat, kita akan mampu untuk khatam Al-Quran dalam masa 2 bulan”

“Al-Quran membawa pelbagai kemuliaan dan menjadi pemberi syafaat kepada pembacanya di akhirat kelak” jelas beliau lagi.

Ustaz Muhammad Uwais Qarni bin Abdul Wahab, Mudir Pusat Pengajian Tahfiz Ribat

Menurut Penyelaras program, Ustazah Jamaliah binti Mohd Said yang juga Ketua Panitia Pendidikan Islam, program ini telah dihadiri oleh seramai 123 peserta yang terdiri daripada guru, murid dan ibubapa.

“Pihak urusetia mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah hadir secara dalam talian ke program tersebut dan berharap agar mendapat manfaat daripada sesi ceramah berkenaan” kata beliau lagi.

Majlis telah diakhiri dengan ucapan penutupan oleh Pengetua sekolah, Encik Mohd Nizam bin Yasim.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada penganjur dan berharap program sebegini dapat diteruskan untuk memupuk nilai murni berteraskan Islam dalam kalangan murid-murid SMK Labuan.

Berita Oleh : SMK Labuan

Pengetua SMK Labuan, Encik Mohd Nizam bin Yasim



Pelancaran Program Ihya’ Ramadan Peringkat JPWPL Tahun 2022

Labuan – Kehadiran bulan Ramadan Al-Mubarak diraikan dengan Majlis Pelancaran Program Ihya’ Ramadan Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) yang diadakan Bilik Mesyuarat Botanikal, JPWPL pada 1 April yang lalu.

Program Ihya’Ramadan yang dikelolakan oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI) diadakan untuk mengimarahkan bulan Ramadhan dengan program-program yang dapat meningkatkan amal ibadah dan penghayatan Islam dalam kalangan warga pendidikan.

Majlis dimulai dengan bacaan surah Al Kahfi, surah Yaasin dan doa selamat. Tazkirah Ambang Ramadan yang disampaikan secara santai oleh Pengurus Kanan  Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan Labuan, Ustaz Ahmad Sharizal Mohd Saffian  menyerikan lagi majlis tersebut.

Dalam tazkirahnya Ustaz Ahmad Sharizal berkata cara untuk menzahirkan kegembiraan menunggu ketibaan Ramadan adalah dengan mempersiapkan diri dengan ilmu berkaitan puasa dan ibadat lain yang boleh dilakukan sepanjang Ramadan.

Katanya, setiap muslim selalu berharap untuk bertemu dengan bulan ramadan, karena bulan ini merupakan bulan yang penuh dengan rahmat, anugerah dan pahala yang berlipat ganda.

“Ciri-ciri orang beriman iaitu saat datangnya bulan Ramadan ia senang. Melakukan ibadah puasa dengan penuh keimanan dan ketaqwaan sehingga nanti akan timbul perasaan takut untuk melakukan segala bentuk kemaksiatan” ujarnya lagi.

Majlis Pelancaran Program Ihya’ Ramadan telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Yusup Haji Mohamad.

Dalam ucapannya, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang hadir secara bersemuka dan secara maya dalam Program Tafaqquh Fiddin ini.

“Saya percaya ada beberapa program yang telah disusun oleh Sektor Pendidikan Islam dalam kita menghidupkan lagi ibadah puasa Ramadhan yang akan datang di peringkat jabatan ini dan begitu juga yang telah dirancang peringkat sekolah.

“Kita perlu muhasabah diri supaya setiap perkara negatif ketika Ramadan pada tahun yang lalu tidak kita ulangi pada tahun ini. Kita perlu menghayati intipati falsafah sebenar ibadat puasa pada Ramadan ini supaya apa yang diamalkan tidak tersasar daripada landasan sebenar”, tegas Yusup lagi.

Dalam ucapannya beliau turut mendoakan agar Ramadan yang disambut kali ini memberikan semangat kepada kita dan umat Islam di Malaysia terutamanya untuk bangkit kembali setelah menghadapi pelbagai kekangan akibat Covid-19.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Encik Mohd Nizam Yasim, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Encik Yahya Ahmad Puteh, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Puan Kamariah Salim, Ketua-ketua sektor, pengetua dan guru besar serta pegawai-pegawai JPWPL.  

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam




Majlis Bicara Aspirasi Pendidikan 2022, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan

LABUAN, 02 April  2022 –  Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Majlis Aspirasi Pendidikan 2022.

Kehadiran warga pendidik adalah seramai 285 orang yang terdiri daripada Majlis Pengurusan Tertinggi Jabatan, Focal Person, Pengetua & Guru Besar, YgDipertua PIBG, pegawai-[egawai jabatan dan wakil warga pendidik di setiap sekolah. Turut hadir bersama YBhgia. Datin Sri Dato’ Hjh. Norsiah binti Abdullah, merupakan AJK Focal Person Jabatan Pendidikan WP.Labuan

Dalam majlis ini Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Encik Mohd Nizam bin Yasim telah membentangkan Pelan Strategik jabatan bagi tahun 2022.

Dalam pembentangan tersebut, beliau telah menekankan tentang 9 Strategik jabatan dalam mencapai matlamat berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 hingga 2025.

Menerusi ucap tama pengarah Pendidikan Encik Yusup bin Haji Mohamad, beliau menekankan bahawa apapun kerja buat seluruh warga Pendidikan haruslah memberi fokus kepada Kemenjadian Murid dan Sekolah Berkualiti.

Disamping beliau juga menekankan beberapa isu antaranya, isu beg berat dalam kalangan murid-murid sekolah rendah.

SekolahKu Sejahtera digagaskan bagi memperkenalkan, mempromosi, dan meningkatkan kefahaman terhadap elemen-elemen sejahtera yang perlu diterap, dididik, diamalkan, dan dihayati sehinggan menjadi budaya semua warga sekolah.

Majlis ini juga diselajurkan dengan Pelancaran Saluran Aduan Jabatan Pendidikan  Wilayah Persekutuan Labuan bertemakan Bersama Meningkatkan Kualiti Penyampaian Sistem Pendidikan. Banting turut diedarkan ke sekolah-sekolah di WP.Labuan.

Dari kiri Encik Nizam, Puan Maimoon, Encik Yusup, Encik Yahya dan Ustaz Abdul Rahman

Majlis Aspirasi Pendidikan ,Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan 2022  telah  dipengerusikan oleh Puan Maimoon binti Hj.Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, merupakan urusetia bagi majlis ini. 

Majlis ini telah diadakan di Dewan Theatrette, Bagunan Utama Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan.

Majlis ini juga bersiaran langsung melalui Facebook Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Berita Oleh : Sektor Pengurusan Sekolah

Gimik pelancaran Majlis Bicara Aspirasi Pendidikan 2022
Pembentangan Pelan Strategik JPWPL 2022 oleh Encik Mohd Nizam
Bersama warga pendidikan dan tetamu yang hadir
Encik Reza menerima hadiah kuiz daripada Encik Yusup