1

Guru Dan AKP SMKTPB Dirai Dalam Majlis Apresiasi Sanjungan Budi

Labuan, 29 Ogos – Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah mengadakan Majlis Apresiasi Sanjungan Budi 2022 buat julung kalinya sebagai tanda penghargaan kepada guru-guru dan AKP.

Majlis ini berlangsung dengan jayanya pada 27 Ogos bertempat di Hotel Aifa.

Menurut penyelaras program, Puan Lau Chin Ying, objektif utama majlis ini adalah untuk menghargai pencapaian dan pelibatan guru dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan Hal Ehwal Murid (HEM) tahun 2022.

Majlis ini juga bertujuan untuk meningkatkan semangat dan motivasi kepada semua guru dan AKP untuk memperbiaki dan meningkatkan lagi pencapaian pada masa hadapan.

Majlis yang julung kali diadakan ini, juga diharapkan dapat mengukuhkan lagi silaturahim dalam kalangan pentadbir, guru dan AKP.

Turut hadir bersama dalam majlis ini ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yahya bin Ahmad Puteh serta Yang Dipetua PIBG, Encik Haider Husin bin Md Rashid.

Puan Lau Chin Ying menerima Anugerah Khas Pengetua atas khidmat bakti sebagai Penolong Kanan Kokurikulum.
Dari kiri Ustaz Mohd Daud, Puan Norazita, Encik Yahya dan Encik Haider

Pengetua SMKTPB, Puan Norazita binti Md.Nor @ Shamsuri dalam ucapannya berkata majlis ini diadakan kerana pihak sekolah sedar akan komitmen serta penat lelah yang telah diberikan oleh guru-guru demi memastikan kemenjadian murid dan kualiti sekolah.

“SMKTPB sememangnya mempunyai potensi untuk lebih cemerlang dalam pencapaian SPM. Begitu juga dalam bidang kokurikulum kerana dalam masa yang singkat, kita telah meraih pelbagai kejayaan dalam pencapaian sukan di peringkat Majlis Sukan Sekolah WP Labuan (MSSWPL),”katanya.

Beliau juga mengharapkan komitmen daripada semua guru untuk melangkah seiringan dalam merealisasikan kemenjadian murid dan kualiti sekolah.

Slogan “Kemenjadian Setiap Murid Aspirasi Kami” dan “STEM Lestarikan Inovasi Masa Hadapan” perlu dihayati oleh semua guru demi kemenjadian murid dan kualiti sekolah.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yahya bin Ahmad Puteh.

Dalam ucapannya, beliau sangat kagum dan berbangga dengan pencapaian SMKTPB dalam memastikan kemenjadian murid dan kualiti sekolah.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada barisan pentadbir kerana berjaya mengadakan majlis seperti ini sebagai tanda penghargaan kepada semua guru dan AKP untuk terus meningkatkan pencapaian masing-masing dalam pelbagai bidang.

Ucapan syabas dan tahniah juga diberikan kepada semua guru yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan HEM.

Selain penyampaian sijil kepada guru-guru dan AKP, penghargaan turut diberikan kepada dua orang guru yang telah berpindah ke SMK Rancha-Rancha iaitu Ustaz Mohd Daud bin Abdul Rahman dan Encik Ivan Lai.

Majlis diteruskan dengan perkongsian amalan terbaik daripada Cikgu Nurul Faezah binti Abdullah yang berkongsi tentang amalan terbaik PdPc Sejarah. Manakala Cikgu Syafikah binti Nordin pula membuat perkongsian amalan terbaik tentang inovasi “Tapak Kordinasi Lompat Kijang”.

Majlis diakhiri dengan sesi sambutan hari lahir semua guru dan AKP serta cabutan bertuah. TAMAT.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Encik Ramlan (AKP) menerima sijil penghargaan daripada Puan Pengetua.



Perkhemahan Perdana Unit Beruniform (UNICAMP) Peringkat Sekolah Tahun 2022 SMK Pantai, WP LABUAN

Labuan, 22 Ogos – SMK Pantai, Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Perkhemahan Perdana Unit Beruniform (UniCamp) peringkat sekolah tahun 2022 yang berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 19 ogos sehingga 21 ogos 2022.

Perkhemahan tersebut merupakan anjuran Unit Kokurikulum dengan kerjasama Unit Beruniform SMK Pantai yang terdiri daripada Kadet Polis, Kadet Bomba, Kadet Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kadet Sekolah Pertahanan Awam (KASPA), Pengakap, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Puteri Islam, Pandu Puteri, Taekwondo dan Kadet Remaja Sekolah (KRS). Perkhemahan tersebut melibatkan 33 orang murid dari setiap unit beruniform berserta guru-guru penasihat.

Objektif perkhemahan tersebut diadakan adalah untuk menanam, memupuk dan memberi latihan awal daripada aspek kepimpinan, sahsiah dan kemasyarakatan dalam kalangan pelajar. Selain itu, perkhemahan ini juga bertujuan untuk membentuk generasi yang mengamalkan sifat-sifat berdikari, bekerjasama dalam berpasukan, bertanggungjawab, yakin diri dan cekal hati dalam menghadapi cabaran serta membentuk masyarakat sekolah yang mempunyai hubungan erat dengan orang ramai yang saling memerlukan.

Taklimat Perkhemahan Perdana Unit Beruniform (UNICAMP) SMK Labuan

Tambahan pula, perkhemahan ini mampu meningkatkan pembelajaran menerusi pengalaman-pengalaman yang menyeronokkan dan selamat serta sejahtera dalam persekitaran yang berbeza. Perkhemahan ini juga bertujuan untuk melakukan aktiviti dengan mengutamakan ciri-ciri keselamatan dan pengisian masa lapang yang berfaedah. Akhir sekali, murid dapat memperolehi kemahiran dan pengalaman baru dalam aktiviti perkhemahan di kawasan sekolah sekali gus mengeratkan perpaduan dalam kalangan pelajar yang berbilang bangsa dan agama.

Perkhemahan ini merupakan acara tahunan yang penting bagi unit-unit beruniform sekolah. Aktiviti ini bertujuan untuk membantu pelajar mempelajari, menggunakan dan mengukuhkan ilmu yang telah dan akan dipelajari semasa di sekolah. Aktiviti perkhemahan ini diharap dapat mendidik dan memberi pengalaman kepada pelajar. Pengalaman dan pengetahuan yang akan mereka perolehi dalam perkhemahan ini akan dapat digunakan oleh pelajar yang terlibat untuk kebaikan diri, masyarakat, dan negara khususnya.

Sepanjang perkhemahan ini, terdapat banyak pengisian yang menarik telah dijalankan termasuklah ikatan dan gajet rimba, senaman pagi, pertandingan ikhtiar hidup, pertandingan pertunjukan kebudayaan, pertandingan rentas halangan, khidmat masyarakat, persembahan seni mempertahankan diri Taekwondo, sukaneka dan pecah bedungan (ice breaking).

Penyediaan Makanan dan Aktiviti Memasak dari unit KASPA

Kemuncak perkhemahan ini adalah pada hari terakhir iaitu pada majlis penutupan kem perdana ini iaitu pada 21 Ogos 2022. Majlis penutupan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Wilayah Sejahtera dan nyanyian lagu sekolah seterusnya diikuti dengan bacaan doa oleh wakil murid. Kemudian, majlis diteruskan dengan tayangan montaj perkhemahan yang telah disediakan oleh jawatankuasa dokumentasi perkhemahan.

Selesai tayangan montaj, majlis diteruskan dengan ucapan pengetua SMK Pantai iaitu Encik Ismail bin Abdullah. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada semua peserta kem atas pelibatan sepanjang kem dijalankan selama tiga hari dua malam berlangsung. Beliau juga merakamkan ucapan tahniah kepada Jawatankuasa Perkhemahan Perdana atas penganjuran program ini.

“Penganjuran perkhemahan ini merupakan satu usaha murni yang akan menjadi landasan dalam pembentukan peribadi dan sahsiah diri murid-murid. Melalui pengisian program yang memberikan penekanan khusus dalam membentuk disiplin seseorang pelajar, diharapkan agar perkhemahan ini bukan sahaja dapat mencorakkan kehidupan pelajar yang mempunyai disiplin diri yang tinggi, malah berupaya merencanakan masa depan bangsa dan negara”. Encik Ismail Abdullah

Beliau turut meletakkan harapan agar semua peserta kem tidak akan melakukan dan mempunyai rekod salah laku disiplin pada masa akan datang selepas mengikuti program ini. Selain itu, beliau turut mendoakan agar semua murid SMK Pantai terus melakar kejayaan yang bakal membanggakan diri, keluarga, sekolah, masyarakat, bangsa dan agama.

Majlis Penutupan Perkhemahan Perdana Unit Beruniform

Seterusnya, majlis penutupan diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan dan peserta kem. Juara keseluruhan telah dimenangi oleh unit PBSM, tempat kedua ialah KASPA dan tempat ketiga disandang oleh Kadet Polis. Peserta kem terbaik kategori lelaki dianugerahkan kepada saudara Mirza Muhammad bin Macmillon Malim daripada unit Kadet Bomba.

Manakala, peserta kem terbaik kategori perempuan ialah saudari Allieyanah Alexius daripada unit KASPA. Majlis penutupan berakhir dengan sesi fotografi oleh semua peserta dan diikuti dengan sesi fotografi mengikut unit beruniform bersama pengetua, barisan pentadbir dan guru penasihat.

Berita Oleh : SMK Pantai

Peserta Terbaik Kem Kategori Lelaki ialah saudara Mirza Muhammad bin Macmillon Malim dari unit Kadet Bomba. Manakala, Peserta Kem Terbaik Kategori Perempuan ialah saudari Allieyanah Alexius dari unit KASPA
Guru-guru penasihat unit beruniform



Yayasan Wilayah Persekutuan Sumbang RM20,000.00

Labuan, 23 Ogos – Menteri Wilayah Persekutuan,YB Dato’Seri Shahidan Kassim telah menyampaikan sumbangan
sebanyak RM20,000.00 kepada SMK Labuan pada Sabtu lalu. Sumbangan tersebut sebagai bantuan pembelian buku-buku rujukan bagi kegunaan pelajar-pelajar Tingkatan Enam di sekolah berkenaan.

Majlis yang dihadiri oleh barisan pentadbiran sekolah, semua pensyarah Pusat Tingkatan Enam dan para pelajar Tingkatan Enam telah diadakan di Dewan Mutiara.

Penolong Kanan Tingkatan Enam, Encik Saminan Sabtu berkata sumbangan tersebut adalah manifestasi keprihatinan kerajaan dalam meningkatkan kualiti pembelajaran pelajara-pelajar di pulau ini.

“Saya berterima kasih kepada Yayasan Wilayah Persekutuan kerana telah bersama-sama membantu dan menyumbang ke arah kemenjadian pelajar-pelajar di Labuan. Sumbangan ini bukan sahaja telah menyuntik semangat pelajar-pelajar Tingkatan Enam malah juga guru-gurunya”. ujar beliau yang mewakili Pengetua sekolah.

Dalam majlis itu juga YB Dato’ Seri Shahidan bersama rombongan sempat meluangkan masa dan beramah mesra bersama semua hadirin.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan YBhg. Datuk Zaizalnizam Zainun, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Tuan Haji Rithuan Ismail dan Timbalan Pengarah Pendidikan, Encik Yahya Ahmad Puteh.

Berita Oleh : SMK Labuan

Dato’Seri Shahidan Kassim beramah mesra dengan pelajar-pelajar SMK Labuan



SMK Labuan Catat Keputusan STPM Memberangsangkan

Labuan, 22 Ogos – Pengumuman Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Kohort 2021/2020 telah diumumkan oleh Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup Haji Mohamad Khamis lalu.

Pengumuman secara dalam talian dipancarkan khas dari Kota Kinabalu yang telah disaksikan oleh semua pensyarah Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan dan para pelajar yang telah menduduki peperiksaan STPM Kohort 2021/2020.

Secara keseluruhan, prestasi W.P. Labuan bagi lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran pada tahun 2021 bagi calon sekolah kerajaan ialah 96.75% dengan pencapaian Gred Purata Negeri ialah 2.50.

Seramai 41 daripada 154 orang calon yang telah menduduki peperiksaan ini ialah calon mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.00 ke atas iaitu 26.62% berbanding 36 calon bersamaan 26.47% tahun lalu.

Adik Nurdiana Binti Mohd Ali telah diumumkan sebagai pelajar terbaik STPM 2021 peringkat W. P. Labuan ialah dengan pencapaian PNGK 3.92. Sementara adik Norhalyna dan adik Dahlia Farisah binti Derin masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga terbaik pencapaian STPM dengan mendapat PNGK 3.84 secara bersama.

Para pelajar dan ibu bapa menunggu keputusan STPM dengan penuh debar

Antara mata pelajaran yang mencatatkan 100% lulus ialah mata pelajaran Kimia, Matematik [T] dan Fizik. Sementara mata pelajaran yang lain turut mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

En. Yusup dalam ucapan pengumuman ini turut merakamkan jutaan terima kasih kepada semua petugas peperiksaan STPM 2021 yang telah dapat menjalankan tugas dengan cemerlang dan dapat melaksanakan urusan pengendalian STPM 2021 dengan jayanya walaupun sedang berhadapan dengan situasi pandemik Covid-19 pada ketika itu.

“Saya berharap agar kejayaan mereka akan menjadi pendorong kepada murid- murid lain untuk mencipta kecemerlangan yang lebih hebat pada masa akan datang. Saya yakin kejayaan yang dikecapi adalah hasil daripada usaha dan perancangan yang rapi pihak sekolah, ibu bapa, pelajar dan guru-guru”. kata beliau.

Turut hadir dalam pengumuman tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan, Encik Sawal Salleh, Pengetua SMK Labuan, Encik Mohd Nizam bin Yasim, Penolong Kanan Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan, Encik Saminan Sabtu dan YDP PIBG, Encik Yusuf bin Haji Chu Chu.

Berita Oleh : SMK Labuan




Latihan Kebakaran : Pupuk Rasa Tanggungjawab Terhadap Aspek Keselamatan Sekolah SMKTPB

Labuan, 22 Ogos – Satu sesi latihan kecemasan kebakaran telah diadakan pada di Sekolah Menengah Taman Perumahan Bedaun bermula pada 18 Ogos lalu.

Sebelum latihan dimulakan ,satu taklimat mengenai  Latihan Kecemasan Kebakaran dan Protokol Latihan Kecemasan Kebakaran telah diberikan semasa perhimpunan kepada semua kakitangan sekolah oleh Guru 3K, Jawatankuasa Bertindak Keselamatan, Encik Maibistamizlan Md Salleh.

Latihan kecemasan kebakaran telah diadakan pada pukul 08.45 pagi dengan deringan siren  sebanyak 3 kali. Selepas deringan siren , guru peyelaras telah menelefon Bomba dan memaklumkan situasi dan lokasi sekolah.

Guru-guru, kakitangan sekolah dan pelajar- pelajar telah menunjukkan komitmen yang sangat baik apabila berjaya mengosongkan bangunan hanya dalam masa 5 minit sahaja.

Pihak Bomba telah tiba pada jam 8.55 pagi di sekolah . Pihak bomba telah mengadakan taklimat cara -cara mengendalikan pemadam api jenis ABC.

Sesi demontrasi memadam api telah melibatkan guru ,pelajar dan pengawal keselamatan sekolah . Selepas sesi demontrasi , pelajar telah dibenarkan untuk melawat trak bomba .

Hasil latihan ini dianggap sebagai berjaya kerana dapat dilakukan dalam tempoh bawah 6 minit.

Pengetua sekolah, Puan Norazita Md Nor Shamsuri mencadangkan agar sesi latihan kecemasan kebakaran ini diulang semula pada masa hadapan supaya pelajar-pelajar, guru-guru dan kakitangan sekolah sentiasa berada dalam keadaan bersedia dan berjaga-jaga. Hal ini penting dalam memupuk rasa bertanggungjawab dan mengambil berat tentang aspek-aspek keselamatan di sekolah.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Murid begitu gembira dan teruja dapat menaiki kenderaan dan mengenali peralatan Bomba



Penyediaan Pelan Tindakan Terbaik : Bengkel Kerja Inisiatif DTP #54 Tahun 2022 Dan Post-Mortem SPM 2021

Labuan, 19 Ogos – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Bengkel Kerja Inisatif DTP #54 dan Post-Mortem SPM 2021 di Kota Kinabalu pada 17 hingga 19 Ogos 2022.

Inisiatif Program Transformasi Daerah (DTP) dibangunkan bertujuan memacu prestasi sekolah melalui pelan intervensi bagi merealisasikan usaha peningkatan kemenjadian murid.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup Haji Mohamad berkata keputusan SPM 2021 merupakan pencapaian dan peningkatan yang cukup membanggakan dari segi layak menerima sijil, peratus lulus dan gred purata negeri.

Beliau amat menghargai komitmen pihak sekolah, pentadbir sekolah dan guru-guru di atas pencapaian ini.

“Menjadi satu cabaran bersama untuk mengekalkan serta meningkatkan lagi pencapaian SPM di tahun mendatang”.  Encik Yusup Haji Mohamad.

 Justeru itu pihak jabatan, sekolah dan guru-guru perlu sentiasa bekerjasama secara sepasukan bagi menyediakan pelan tindakan yang terbaik demi mengekalkan produk kemenjadian anak-anak murid di Labuan.

Datuk Dr Amin Senin, Encik Yusup Hj Mohamad bersama pengurusan tertinggi JPWPL

Dalam majlis yang sama, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah menjemput YBhg. Datuk Dr. Amin Senin, mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) untuk sesi perkongsian mengenai dunia pendidikan di Malaysia.

Katanya, guru digalakkan untuk menambah baik pembelajaran murid mengikut tahap keupayaan melalui kepelbagaian kaedah dan kreativiti pengajaran sesuai dengan era pembelajaran digital masa kini.

“Pendidikan Mengangkat Nilai, Maruah dan Harga Diri Murid”, Datuk Dr. Amin Senin.

Melalui bengkel ini, sesi post-mortem, perkongsian, perbincangan dan pembentangan intervensi sekolah oleh para pengetua serta program task force SPM 2022 telah berjaya dilaksanakan.

Perkongsian Pendidikan : Pembelajaran Digital oleh Datuk Dr Amin Senin



Majlis Apresiasi Bersama Pengarah Suntik Motivasi Guru SMKTPB

LABUAN – Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menerima kunjungan mesra daripada Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encuj Yusuf bin Haji Mohamad bersama dengan lapan orang pegawai sempena Majlis Apresiasi Bersama Pengarah.

Turut hadir bersama ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Ketua Penolong Pengarah dan Penolong Pengarah setiap sektor.

Majlis ini merupakan cetusan idea daripada Pengarah sendiri yang ingin bersua muka dengan guru-guru yang mengajar tingkatan empat dan lima dengan lebih dekat lagi.

Objektif utama majlis ini diadakan adalah bagi menyatakan hasrat Pengarah untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua guru yang mengajar murid-murid Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021.

Selain itu, majlis ini juga diharapkan dapat memberi peluang kepada semua guru untuk sama-sama berkongsi idea atau menyatakan keperluan pihak sekolah demi memastikan kemenjadian murid dalam semua aspek.

Encik Yusup Haji Mohamad bersama warga pendidik SMK Taman Perumahan Bedaun

Majlis ini dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Nik Muhammad Fazli bin Nik Abdul Rahman.

Pengetua SMKTPB, Puan Norazita Md.Nor @ Shamsuri menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pengarah serta rombongan yang sudi membuat kunjungan mesra.

Dalam ucapannya, Puan Norazita berharap agar semua guru dapat menggunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin demi meningkatkan pencapaian SPM pada masa akan datang.

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Pengarah Pendidikan Labuan, Encik Yusuf  bin Haji  Mohamad. Beliau amat berbangga dan berterima kasih kepada semua guru kerana berjaya menunjukkan komitmen yang tinggi untuk memastikan kejayaan anak-anak didik dalam pencapaian SPM 2021 yang lalu.

Katanya lagi, beliau sedar bahawa anak-anak yang menduduki SPM 2021 sememangnya mempunyai cabaran yang besar kerana terpaksa berdepan dengan pembelajaran secara dalam talian selama dua tahun, selain merupakan kohort pertama bagi sukatan baharu Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Sebelum mengakhiri ucapannya, Encik Yusuf berpesan agar semua guru terus berusaha untuk melahirkan murid yang cemerlang dalam SPM dan layak mendapat sijil. Komitmen yang ditunjukkan oleh guru-guru haruslah cemerlang kerana dalam rezeki kerjaya seorang guru terpikul satu amanah yang besar.

Majlis diakhiri dengan sesi dialog bersama Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yahya bin Ahmad Puteh.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




Majlis Interaksi Akademik Jalin Kerjasama PIBG Dalam Meningkatkan Prestasi Murid SMKTB

Labuan, 13 Ogos – SMK Taman Perumahan Bedaun telah mengadakan Majlis Interaksi Akademik Bersama Ibu Bapa/ Penjaga, Penetapan Matlamat Calon SPM 2022 dan Pemugaran Program STEMEC dalam kalangan ibu bapa/ Penjaga.

Seramai 347 orang ibu bapa atau penjaga yang menghadiri program ini bersama dengan anak masing-masing bertujuan untuk mengambil slip Peperiksaan Pertengahan Tahun 2022  dan slip Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Turut hadir sebagai tetamu kehormat iaitu Pegawai Angkat Sekolah,  Encik Mohd Nazri  bin Mustapa, dan Yang Di-Pertua PIBG, SMK Taman Perumahan Bedaun, Encik Heidar Hussein bin Mohammad Rashid.

Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk membincangkan halatuju dan perkembngan pembelajaran murid terutamanya murid Tingkatan 5 yang akan menduduki SPM. Selain itu, perkongsian idea antara pihak sekolah dan ibu bapa/ penjaga dapat mengeratkan serta hubungan seterusnya meningkatkan kerjasama antara ibu bapa/ penjaga dan guru-guru dalam menangani masalah murid sama ada dari segi kehadiran, sahsiah dan prestasi akademik. 

Yang Di-Pertua PIBG SMKTPB, Encik Heidar Hussein Bin Mohammad Rashid, mengetuai Ikrar Akujanji Ibu Bapa/ Penjaga

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Encik Awang Adi  bin Tuah, memberikan taklimat menangani kehadiran murid Tingkatan 5. Dalam taklimat ini, beliau menerangkan faktor-faktor utama ketidakhadiran murid, murid-murid  Tingkatan 5 yang kerap tidak hadir ke sekolah dan juga intervensi yng dijalankan oleh pihak sekolah dalam menangani masalah ketidakhadiran murid Tingkatan 5 khasnya untuk membantu dalam meningkatkan prestasi murid dalam SPM.

Selain itu, Penolong Kanan Akademik, Puan Chai Yee San, meneruskan sesi Taklimat Interaksi Akademik dengan menyatakan tujuan interaksi akademik diadakan. Penetapan matlamat calon SPM 2022 juga diberikan dalam taklimat beliau ini. Beliau juga menekankan kepentingan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam menentukan calon SPM layak mendpat sijil atau tidak. Seramai 15 orang murid disenaraikan sebagai pelajar target cemerlang bagi SPM 2022.

Dalam sesi taklimat yang terakhir, Puan Chai Yee San menjelaskan SMKTPB telah dipilih untuk menjadi antara Sekolah Contoh STEM daripada 32 buah sekolah di Malaysia. Beliau menjelaskan matlamat pendidikan STEM, Strategi, Kesan Penerapan STEM kepada PdPc dan murid. Selain itu, beliau juga menjelaskan peranan ibu bapa/ penjaga serta harapan sekolah iaitu menjadi Sekolah Model STEM yang cemerlang dengan kerjasama padu daripada semua pihak terutama sokongan ibu bapa/ penjaga.

Program diteruskan dengan Ikrar Akujanji Penetapan Matlamat SPM yang dipimpin oleh wakil murid Tingkatan 5, adik Maizura Mazliani binti Mazlan,. Manakala Yang Di-Pertua PIBG,  Enik Heidar Hussein Bin Mohammad Rashid, pula mengetuai Ikrar Akujanji Ibu Bapa/ Penjaga.

Selepas sesi taklimat, sesi pengagihan Slip Peperiksaan Pertengahan Tahun 2022 dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) oleh guru kelas diadakan di Dataran Bedaun untuk Murid Tingkatan 5. Manakala untuk Tingkatan 1 hingga 4 diadakan di dalam kelas masing-masing.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Ikrar Akujanji Penetapan Matlamat SPM yang dipimpin oleh adik Maizura Mazliani



Ilmu Kewartawanan Guru SMKTPB Dimantapkan

LABUAN, 9 Ogos – Seramai 25 orang guru SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah mendapat bimbingan berkaitan ilmu kewartawanan pada hari Khamis, bertempat di Bilik Mesyuarat SMKTPB.

Perkongsian ilmu kewartawanan telah disampaikan oleh Jurufoto Kanan Universiti Malaysia Sabah Kampus Labuan (UMSKAL), En. Azri Onn Othman.

Objektif program ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada guru-guru tentang maklumat asas penulisan berita.

Dalam perkongsian ilmu, En.Azri Onn mengatakan bahawa maklumat asas untuk menulis berita ialah dengan menggunakan konsep (4W, 1H).

Setiap berita yang ditulis haruslah merujuk kepada (What, Who, When, Where serta How).

Berita yang ditulis biasanya merangkumi aktiviti seperti mesyuarat, perjumpaan, seminar, sukan, kebudayaan, keagamaan, lawatan, bengkel serta pelbagai pertandingan.

Tambahnya lagi, semua maklumat harus disampaikan dengan jelas bagi memastikan berita yang ditulis dapat dibaca dengan jelas oleh pembaca.

Selain itu, penulisan tajuk berita juga sangat penting agar tidak terlalu ringkas dan terlalu panjang.

En. Azri Onn memberikan taklimat berkaitan ilmu kewartawanan kepada guru

Melalui perkongsian ilmu ini juga, guru-guru yang hadir turut didedahkan dengan teknik mengambil gambar yang betul.

Jurufoto seharusnya mengambil gambar dengan betul agar menampakkan sisi depan sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan peristiwa yang dijadikan laporan berita tersebut.

Semua objek yang boleh digerakkan perlu dialihkan terlebih dahulu sebelum mengambil gambar agar tidak menghalang pemandangan dalam gambar.

Pada akhir program, En.Azri Onn berharap agar semua guru dapat menghasilkan penulisan berita yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan.

Sebelum berakhirnya program, Penolong Kanan Pentadbiran, Pn. Chai Yee San merakamkan ucapan terima kasih kepada Jurufoto Kanan UMSKAL, En. Azri Onn kerana sudi berkongsi ilmu kewartawanan kepada semua guru SMKTPB yang terlibat.

Beliau juga berharap agar ilmu yang dikongsikan dapat dimanfaatkan oleh semua guru dalam menulis berita berkaitan aktiviti sekolah.

Turut hadir ialah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, En. Awang Adi Tuah, Penolong Kanan Kokurikulum, En. Yee Choon Hian serta Guru Kanan Bidang.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Guru-guru mendengar taklimat daripada En. Azri Onn



SMK Rancha Rancha Meterai Sijil Jalinan Kerjasama Bersama IPG Kampus Keningau Sabah

Labuan – Seramai 25 orang pensyarah dan kakitangan Institut Perguruan Guru Kampus Keningau Sabah daripada Jabatan Pembangunan Latihan dengan Kerjasama Unit Pusat Sumber IPGKK  telah mengadakan Penanda Aras ke Pusat Sumber Sekolah DSDN SMK Rancha-Rancha  pada 14 Julai 2022 lalu.

Menurut Ustaz Wan Azman Wan Awang, Pengetua SMK Rancha-Rancha , lawatan penandaarasan IPG Kampus Keningau pada kali ini adalah berfokus untuk mengenalpasti, mempelajari, mengubahsuai dan melaksanakan amalan-amalan terbaik daripada Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha. Pemilihan Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha adalah sangat tepat kerana ia mempunyai rekod dan pencapaian yang cemerlang dalam pengurusan pusat sumber sekolah samada di peringkat negeri mahupun di peringkat  kebangsaan. En Shamrin bin Surip Ketua Jabatan Pembangunan Latihan IPGKK berkata ketika membuat ucapan katanya,

lawatan ini adalah untuk perkongsian pintar, menggerakkan sekolah serta institusi mengamalkan konsep pembelajaran setiap masa. Dengan mempelajari dari pihak lain, sesebuah institusi seperti sekolah akan dapat menyedari tentang kelemahan dan kekurangan diri sendiri dan seterusnya berupaya untuk melaksanakan penambahbaikan. Proses pembelajaran ini akan menentukan bahawa usaha penambahbaikan sentiasa dilakukan.

Ketibaan rombongan tersebut yang diketuai oleh Dr Saidah Khadijah Ahmad , Ketua Jabatan Agama Islam dan Moral ( menjalankan tugas sebagai Timbalan Pengarah ) IPG Kampus Keningau Sabah,  telah disambut oleh pentadbir sekolah, AJK Pusat Sumber  serta pengawas pusat sumber sekolah.

Ketika membuat ucapan balas,  Dr Saidah Khadijah Ahmad  berkata , melalui lawatan ini diharap IPGKK Sabah dapat membantu sekolah meningkatkan kepakaran dalam sesuatu proses kerja dan dapat pula  mewujudkan satu sistem perkongsian maklumat bersama di antara IPGKK dengan SMK Rancha-Rancha. Ia memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak. Kami akan mempelajari amalan-amalan yang lebih baik manakala SMK Rancha-Rancha akan lebih memahami tentang operasi dan prestasi sekolah sendiri.

Dalam sesi lawatan tersebut, ahli rombongan telah ditayangkan video tentang Pusat Sumber Sekolah. Turut disampaikan adalah taklimat mengenai Pusat Sumber Sekolah dan kejayaan PSS DSDN SMKRR sepanjang tahun 2020 hingga 2021. Taklimat tersebut disampaikan oleh Claudius Upin Longsiong JR.

Majlis menandatangai sijil Program Membina Kerjasama dan  Jalinan  Bersama di antara  SMK Rancha-Rancha dan Institusi Perguruan Guru Kampus Keningau Sabah turut diadakan selepas perkongsian pengurusan pusat sumber sekolah di Bilik Mesyuarat Utama SMK Rancha-Rancha.   Semoga dengan adanya jalinan ini kedua-dua pihak akan saling berkongsi ilmu dan bertukar pandangan ke arah pemantapan Pusat Sumber Sekolah di tempat masing-masing.

Majlis menandatangani Program Membina Kerjasama dan Jalinan Bersama  Antara SMK Rancha-Rancha dengan Institusi Perguruan Guru Kampus Keningau Sabah

Para peserta rombongan telah dibawa meninjau ke  bilik-bilik khas PSS DSDN. Antara bilik-bilik khas yang dibawa melawat adalah Studio Ranchas TV, Bilik NILAM Lounge, Perpustakaan Multimedia, Bilik Rakaman dan Tayangan serta Konti Ranchas FM.  Di pusat sumber DSDN SMK Rancha-Rancha, peserta rombongan telah diberi penerangan ringkas oleh pengawas pusat sumber sekolah yang bertindak sebagi duta SMK Rancha-Rancha.  Rata-rata peserta rombongan berasa sangat kagum akan pengurusan serta inovasi yang telah dibuat di PSS DSDN SMK Rancha-Rancha.

Cikgu Sapri Idris selaku Guru Perpustakaan dan Media Sekolah berkata , sudah tiba masanya jalinan yang lebih luas dilakukan oleh PSS DSDN SMK Rancha-Rancha bersama institusi pendidikan dalam serta luar negara. Kami mempuyai fasiliti serta kepakaran yang boleh diserap ke dalam pengurusan sumber. Sebagai hab transformasi minda komuniti,  jalinan seperti ini  sangat membantu SMK Rancha-Rancha mencapai objektif serta matlamat yang dihasratkan. Saya juga yakin , SMK Rancha-Rancha melalui pengurusan pusat sumber sekolah akan menjadi sebuah sekolah yang cemerlang di peringkat kebangsaan dengan memberi fokus kepada kecemerlangan akademik serta kemenjadian skil pelajar-pelajarnya.

Rombongan dari IPG Kampus Keningau bersama pentadbir SMK Rancha-Rancha
Pengawas Pusat Sumber Sekolah memberi penerangan sudut-sudut yang ada
di Pusat Sumber Sekolah DSDN SMK Rancha-Rancha
Ahli rombongan dibawa melawat ke Konti Ranchas FM
Cikgu Sapri Idris Guru Perpustakaan dan Media SMK Rancha-Rancha