1

Guru-guru dan AKP SMK Labuan ikuti Bengkel myPortfolio

Labuan, 31 Okt : Seramai 135 guru dan AKP SMK Labuan telah hadir mengikuti bengkel penyediaan dan pengemaskinian Myportfolio yang telah diadakan pada Sabtu lalu di Dewan Mutiara sekolah berkenaan.

Bengkel yang dibuat secara ‘hands on’ telah dikendalikan oleh Puan Fauziah Ahmad, Puan Ajiejah Lajim dan Puan Norazimah binti Yaacob daripada Jabatan Pendidikan W.P Labuan.

Menurut penyelaras bengkel, Puan Jamaliah Razali berkata bengkel ini bertujuan untuk membuka peluang kepada semua guru dan AKP melengkapkan myPortfolio masing-masing terutamanya dalam membuat pengemaskinian mengikut format terkini.

Salah seorang guru, Cikgu Syafiq Rohim berkata bengkel ini sangat bermanfaat kepada semua guru dalam memahami keperluan perkhidmatan secara lebih terperinci.

“Sebagai guru baharu, saya berasa bertuah kerana telah dibimbing secara bersemuka dan ‘hands on’ oleh pegawai-pegawai JPN” tambah beliau lagi.

Turut hadir dalam bengkel tersebut ialah Penolong-penolong Kanan sekolah iaitu Encik Kitli Beka, Encik Cheah Teong Aik dan Encik Saminan Sabtu.

Berita Oleh : SMK Labuan




Peranti Siswa : 117 Pelajar Tingkatan 6 SMK Labuan Terima Peranti Bantu Pembelajaran

Labuan, 30 Okt : Seramai 117 pelajar Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan bertuah menerima sebuah peranti untuk pembelajaran pada Jumaat lalu.

Insentif kerajaan di bawah program Peranti Siswa ini berjaya menyediakan peluang pembelajaran secara digital dengan lebih berkesan.

Penolong Kanan Tingkatan 6, Encik Saminan Sabtu berkata pelajar-pelajar yang menerima insentif ini adalah dalam kalangan pelajar-pelajar B40 yang menuntut di Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan.

Salah seorang penerima, adik Nurul Syamisha binti Herman Tuah berasa bersyukur atas pemberian khas kerajaan kepada pelajar-pelajar Tingkatan Enam.

“Semestinya peranti ini membolehkan saya dan rakan-rakan belajar dengan lebih berkesan terutamanya dalam menghadapi peperiksaan tidak lama lagi”. Nurul Syamisha

Peranti yang disumbangkan oleh kerajaan adalah berbentuk sebuah tablet berjenama yang dibekalkan oleh sebuah syarikat yang dilantik.

Turut hadir dalam meninjau sesi pengagihan peranti ialah Encik Sahbudin Ag. Muhammad dan Encik Christopher John Sintum, Penolong Pengarah Unit Menengah, Sektor Pengurusan Sekolah.

Berita Oleh : SMK Labuan

Adik Nurul Syamisha dari Kelas 6AA menerima peranti dari Encik Sahbudin
Encik Sahbudin meyampaikan peranti siswa kepada pelajar tingkatan 6AB, adik Thien Hui Shen



Program Pengarah Turun Padang, Kunjungi Calon SPM 2022

Labuan, 25 Okt : SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menerima kunjungan daripada Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad bersama tujuh orang pegawai JPN pada 21 Oktober 2022 (Jumaat).

“Program Pengarah Turun Padang” ke SMKTPB memasuki tahun kedua yang diadakan secara bersemuka dengan 88 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Objektif utama program ini adalah untuk memberi peluang kepada calon SPM 2022 mendengar amanat daripada Tuan Pengarah sebelum menduduki Peperiksaan Percubaan SPM yang akan bermula pada 31 Oktober nanti.

Turut hadir bersama dalam program ini ialah Pngetua SMKTPB, Puan Norazita Md Nor @ Shamsuri, Penolong-Penolong Kanan, Guru Kanan Bidang serta guru-guru mata pelajaran SPM.

Majlis dimulakan dengan bacaan Yassin yang dipimpin oleh adik Mohd Haikal bin Abd Rahim, diikuti dengan bacaan doa munajat yang dipimpin oleh adik Mohamad Nazhim bin Suhaili.

Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yahya bin Ahmad Puteh.

Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa program ini bertujuan untuk memberi sedikit ruang dan peluang kepada Tuan Pengarah untuk bertemu dan berbicara dengan lebih dekat lagi bersama-sama calon SPM 2022.

Beliau berharap agar semua calon dapat menggunakan masa yang masih ada dengan sebaik mungkin demi mencapai target masing-masing dalam SPM.

Encik Yahya juga mengharapkan agar murid-murid dapat hadir penuh ke sekolah agar tidak ketinggalan dalam mana-mana mata pelajaran.

Calon SPM 2022 SMK Taman Perumahan Bedaun

Tambahnya lagi, Jabatan Pendidikan WP Labuan amat yakin dengan pihak sekolah yang sememangnya mempunyai perancangan untuk memastikan pencapaian semua calon SPM 2022 layak memperoleh sijil SPM kerana sejarah sebelum ini telah membuktikan bahawa SMKTPB pernah mencapainya.

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Tuan Pengarah Pendidikan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Dalam ucapannya, beliau amat berharap agar semua calon SPM pada tahun ini dapat bangkit dan lebih berkeyakinan untuk mencipta kejayaan kerana ilmu amat penting untuk masa depan semua.

Beliau juga menyarankan agar semua calon menghayati lirik lagu “Warisan” dendangan Allahyarham Sudirman Haji Arsad kerana lagu tersebut mempunyai maksud yang tersendiri.

Di samping berkongsi kata-kata semangat dengan calon SPM, sesi soal jawab bersama Tuan Pengarah juga diadakan.

Banyak perkongsian ilmu dan kata-kata semangat yang dapat diperoleh daripada ucapan Tuan Pengarah.

Pada akhir ucapannya, beliau berharap agar semua calon SPM 2022 akan memperoleh kejayaan yang cemerlang dan seterusnya dapat membanggakan ibu bapa serta sekolah dengan pencapaian masing-masing.

Majlis diakhiri dengan penyerahan sijil kepada Tuan Pengarah dan juga Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran sempena Program Penyerahan Anak Angkat kepada mereka berdua.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Adik Rosnazira (Pengawas) dan Adik Nur Aziah
merupakan anak angkat kepada Encik Yahya dan Encik Yusup



Capai Sasaran : Program Intervensi Berfokus Jurang Pencapaian Murid Kecerdasan Kinestetik Peringkat Kebangsaan Zon Wilayah Persekutuan Labuan 2022

Labuan, 16 Okt – Program Intervensi Berfokus Jurang Pencapaian Murid Kecerdasan Kinestetik Peringkat Kebangsaan Zon Wilayah Persekutan Labuan 2022 telah berlangsung dengan jayanya bermula 10 hingga 14 Oktober lalu.

Program anjuran Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan dilaksanakan di Pusat Kokurikulum Negeri W.P Labuan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil inisiatif yang sangat proaktif dalam menarik minat murid kecerdasan kinestetik khususnya bagi menarik minat murid-murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.

Penyelaras program, Encik Joe Hellmy bin Jumat dan Encik Abdul Kahar Bin Abdul Rahim berkata antara objektif program ini diadakan adalah untuk meningkatkan pencapaian murid dalam mata pelajaran berfokus kepada layak sijil SPM melalui pendekatan pendidikan luar.

Pada waktu yang sama, membangunkan jati diri murid merangkumi aspek adab dan sahsiah. Selain pembangunan potensi murid dan menyemai integriti budaya di kalangan murid.

Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah Tips Menjawab Cemerlang, Jejak Sejarah & Jejak Marin, Buka Minda, Rentas Halangan dan Orienteering.

Menariknya, murid juga diberi peluang berkayak sambil menikmati keindahan di sekitar Pulau Papan dan ini merupakan satu pengalaman yang cukup berharga bagi setiap peserta.

Seramai 72 pelajar SPM 2022-2023 yang terpilih iaitu dari SMK Labuan, SSN SMK Mutiara, SMK Pantai IBWS dan SMK Lajau.

Kerjasama yang baik dan kerja sepasukan oleh para peserta
Keseronokan jelas terpancar di wajah para peserta Program Intervensi Berfokus Jurang Pencapaian Murid Kecerdasan Kinestetik Zon Wilayah Persekutan Labuan 2022
Sesi penerangan dan tunjuk ajar oleh Jurulatih kepada para peserta
Disiplin yang diterapkan dalam program Intervensi Berfokus Jurang Pencapaian Murid Kecerdasan Kinestetik

Majlis Penutupan telah dirasmikan oleh Encik Raisin Saidin, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Encik Raisin Saidin menzahirkan rasa keterujaan, dengan adanya program ini dapat mencapai matlamatnya iaitu meningkatkan pencapaian murid dalam mata pelajaran berfokus kepada layak sijil SPM melalui pendekatan pendidikan luar.

“Saya amat berkeyakinan semua murid dapat merasakan perubahan dalam diri sendiri terutama bakat yang berjaya diserlahkan semasa mengikuti aktiviti yang telah disusun”.

“Berbaktilah kepada ibu bapa anda dan jangan lupa mendoakan kejayaan kepada diri sendiri dalam menghadapi peperiksaan SPM yang akan datang”. Encik Raisin Saidin

Majlis perasmian penutupan oleh Encik Raisin Saidin

Aktiviti pembelajaran luar bilik darjah yang mencabar ketahanan fizikal, emosi dan spiritual semua murid merupakan elemen yang mampu mencabar minda murid dalam memastikan aktiviti fizikal yang di gabung jalinkan dengan pembelajaran dapat mewujudkan pembelajaran menyeronokkan.

Keseronokan pembelajaran merupakan faktor yang paling penting dalam memastikan murid-murid menguasai ilmu pengetahuan dengan baik.

Turut hadir, Encik Yusup Haji Mohamad, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Encik Yusup menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat baik secara langsung mahupun secara tidak langsung dalam menjayakan program ini.

Para pelajar dari SMK Mutiara
Encik Raisin Saidin dan Encik Yusup Haji Mohamad bersama para jurulatih dan peserta terlibat



Lahirkan Warisan Generasi ABC : Dialog Prestasi Nasional Bil 2/2022 Kementerian Pendidikan Malaysia

Labuan, 10 Okt – Dialog Prestasi Nasional (DPN) Bil 2/2022 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah berlangsung di Labuan pada 6 hingga 7 Oktober 2022.

Dialog Prestasi adalah salah satu program utama dalam pelaksanaan Program Transformasi Daerah (DTP) dan merupakan satu forum perbincangan untuk menyemak prestasi berdasarkan data bagi memastikan sasaran KPI dicapai.

Agenda DPN pada kali ini memfokuskan kepada Kluster 2 : Kemenjadian Murid dan Kluster 4 : Kecemerlangan Sekolah/PPD/JPN dengan memberi tumpuan kepada analisis keputusan SPM Tahun 2019-2021 dan Status Prestasi Pencapaian Pengurangan Jurang Berasaskan Bandar Luar Bandar (BLB) dan Jantina Peringkat Kebangsaan.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin bin Haji Ghazali yang baharu dilantik pada 23 September 2022 menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah kerana diberi peluang menggalas tugas dan amanah yang begitu besar sebagai KPPM yang ke-19.

Beliau berharap amanah ini merupakan amanah bersama demi menyediakan pendidikan yang terbaik untuk warisan anak bangsa generasi akan datang.

Katanya lagi warisan yang perlu kita lahirkan adalah melahirkan generasi Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Bila kita bercakap tentang warisan, apa yang kita ingin wariskan adalah Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC) yang menjadi impian setiap ibu bapa dan masyarakat. YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin bin Haji Ghazali

Beliau menyeru kepada semua warga pendidik dan ibu bapa bersama-sama :

Didiklah anak murid kita dengan cara yang sesuai, apa pun anak yang kita didik mampu melahirkan generasi yang mempunyai sahsiah diri yang tertinggi. KPPM

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin bin Haji Ghazali
KPPM mempengerusikan Dialog Prestasi Nasional Bil 2/2022 secara bersemuka di Labuan dan secara Hybrid melalui Google Meet. Dari kiri Encik Raisin Saidin, YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin, Dr. Norisah Suhaili

DPN diakhiri dengan sesi dialog pembentangan Kluster 4 iaitu perkongsian amalan terbaik sekolah, PPD dan JPN. Antara perkongsian ialah Intervensi Peningkatan LMS SPM 2021 (SMK Pantai WP Labuan), Intervensi jurang SES dan jantina (SMK Setapak Indah Kuala Lumpur), Pembelajaran Hibrid : Alternatif Pembelajaran Abad ke-21 (SMK Putrajaya Presint 18(1)), Narrow Cluster Intervension (SMK Taman Universiti 2, Johor), Inovasi Smartzoom (SK Kempadang, Pahang) dan SPM “Easy Access” Peneraju oleh PPD Kuala Terengganu, Terengganu.

Turut hadir dalam Dialog Prestasi Nasional ialah Timbalan KPPM, Sektor Operasi Sekolah, Dr. Norisah binti Suhaili, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian merangkap Pengurus Program DTP, Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan selaku tuan rumah Encik Yusup Haji Mohamad, Pengarah-pengarah Bahagian dan Timbalan Pengarah, Pengarah JPN dan PPD Kementerian Pendidikan Malaysia.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada BPSH dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan yang menjadi urusetia bersama DPN pada kali ini.




APC 2021 : 10 Orang Warga SMK Labuan Terima Anugerah

Labuan, 3 Okt 2022 – Seramai 9 guru dan seorang Pegawai Khidmat Pelaksana (PKP) SMK Labuan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun perkhidmatan 2021 pada Jumaat lalu. Mereka adalah sebahagian daripada 119 penerima APC pada tahun ini.

Majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah diadakan di salah sebuah pusat rekreasi di Sungai Pagar.

Kira-kira 200 telah hadir dalam majlis tersebut terdiri daripada penerima APC , pegawai-pegawai jabatan pendidikan, para pengetua dan guru besar serta pihak media.

Puan Hajjah Salmah binti Jopri, Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, KPM telah hadir merasmikan majlis tersebut.

Dalam ucapannya, Puan Hajjah Salmah menyeru agar semua penerima APC meneruskan momentum kecemerlangan dan berlumba-lumba membentuk budaya kerja cemerlang.

Penekanan perubahan mestilah kepada “character building” iaitu melalui penambahan ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran dan mengamalkan nilai-nilai murni.

“Jika kita merancang untuk setahun maka semailah padi, jika kita merancang untuk sedekad maka tanamlah pokok dan jika kita merancang untuk seumur hidup, maka didiklah manusia. ” tegas beliau lagi yang mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato’ Haji Pkharuddin bin Ghazali.

Sembilan guru SMK Labuan yang menerima APC 2021 ialah Puan Noritah binti Madina, Puan Rohainah binti Baniamin, Encik Hamka bin Daud dan Nor Hidayah binti Muhamad.

Selain itu, Puan Noorul Syarhida binti Nurul Hadi, Encik Zukifli bin Ismail, Encik Ariff Amir bin Muhamad dan Norazimah bin Mohd Hirin turut terpilih.

Manakala 2 lagi ialah Puan Nur Hidayah binti Muhamad dan Encik Anuar bin Talip.

Salah seorang penerima, Puan Noritah menyifatkan anugerah ini sebagai satu pengiktirafan dan pembakar semangat baginya untuk terus menyumbang khidmat bakti cemerlang pada masa-masa akan datang.

Pengetua SMK Labuan, Encik Mohd Nizam bin Yasim turut hadir meraikan kejayaan guru-guru SMK Labuan memperoleh APC pada tahun 2021. Beliau mengucapkan tahniah atas kejayaan mereka dan berharap mereka terus cemerlang menggalas amanah, memikul tanggungjawab bersama-sama meletakkan SMK Labuan sebaris dengan sekolah-sekolah yang lain yang hebat.

Turut hadir ialah Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yahya bin Ahmad Puteh dan Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Haji Matnoh.

Berita Oleh : SMK Labuan