1

Mesyuarat PIBG Medan Erat Kerjasama Guru, Ibu Bapa dan Komuniti

Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan (SMKL) telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (MAT PIBG) kali ke-25 pada hari Sabtu lalu.

Lebih 300 ibu bapa dan guru hadir menjayakan majlis tersebut yang diadakan di Dewan Mutiara sekolah berkenaan.

Sebelum mesyuarat bermula, para ibu bapa telah diberikan taklimat berkaitan kesihatan dan keselamatan murid.

Slot Advokasi berkaitan Anemia untuk Remaja telah disampaikan oleh Cik Ainor Farahin binti Aziz daripada Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan.

Manakala Koperal Encik Mohd Farehan bin Morshidi daripada IPD Labuan telah berkongsi tentang maklumat yang berkaitan cabaran-cabaran remaja masa kini.

Pengetua SMK Labuan, Encik Mohd Nizam bin Yasim dalam ucapannya menyeru ibu bapa memberi kepercayaan kepada pihak sekolah dalam memberi pendidikan terbaik ke arah melahirkan “Anak yang Baik lagi Cerdik” (ABC).

Beliau juga berharap agar ibu bapa dapat memberikan komitmen dan bersama-sama pihak sekolah menjayakan semua aktiviti sekolah ke arah kemenjadian murid SMK Labuan yang unggul.

Selain itu, beliau mengambil kesempatan menerangkan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).

“Pengukuran UASA tidak lagi merujuk gred atau markah tetapi dijelaskan melalui Tahap Penguasaan (TP) 1 hingga 6” jelas beliau.

Ucapan Aluan oleh Pengetua SMKL, Encik Mohd Nizam Yasim

MAT PIBG kali ini dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Dalam ucapannya, beliau menjelaskan fungsi sesebuah sekolah bukan semata-mata melahirkan murid-murid cemerlang akademik tetapi melahirkan pewaris negara yang mempunyai peribadi, sahsiah, akhlak dan agama.

“Dalam melahirkan generasi pewaris negara yang beradab mulia, sekolah perlu menjalinkan hubungan yang mantap antara ibu bapa, guru dan komuniti” ujar beliau lagi.

Pada akhir ucapannya, beliau menzahirkan harapan agar kerjasama yang erat ini akan berterusan demi kebaikan anak-anak yang bakal menjadi pewaris kepemimpinan pada masa hadapan.

Ucapan Perasmian oleh Pengarah Pendidikan, JPWPL Encik Yusup Haji Mohamad

MAT PIBG kali ke-25 ini turut diserikan dengan cabutan bertuah. Pemenang hadiah utama yang berupa sebuah TV telah menjadi milik salah seorang bapa atau penjaga murid yang hadir.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Yang Dipertua (YDP) PIBG, Tuan Haji Yusuf bin Haji Chu Chu bersama dengan barisan AJK PIBG sesi 2023/2024.

Berita Oleh : SMK Labuan

Mesyuarat PIBG sedang berlangsung
Para ibu bapa yang hadir
Pemenang Hadiah Utama Cabutan Bertuah



AKTIVITI MENARIK DISUSUN SEMPENA MINGGU HARI GURU SK BUKIT KALLAM 2023

Majlis dirasmikan oleh Encik Sajali @ Sazalee Hj Dinin, Guru Besar SK Bukit Kallam

Saban tahun, Hari Guru akan disambut pada 16 Mei setiap tahun bagi menghargai pengorbanan guru-guru dalam mendidik anak bangsa. Justeru itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru dengan kerjasama Teacher’s and Non Teacher’s Club (TnT)SK Bukit Kallam menganjurkan Minggu Sambutan Hari Guru Tahun 2023

Minggu Hari Guru dimulakan dengan Majlis Perasmian yang disempurnakan oleh Encik Sajali @ Sazalee Bin Haji Dinin selaku Guru Besar. Semasa majlis tersebut, dimulakan dengan bacaan perutusan Hari Guru oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan Menteri Pendidikan. Bukan itu sahaja, lafaz ikrar guru dan nyanyian lagu Kami Guru Malaysia juga diselitkan.

Bagi memeriahkan majlis,terdapat dua persembahan daripada murid iaitu Deklamasi Sajak dan Poem Recitation yang dalam masa yang sama menyokong Highly Immersive Programme.

Pada sebelah petang pula diadakan aktiviti Senam Zumba, diteruskan dengan Sukaneka dan Perlawanan Bola Jaring yang menyaksikan empat buah rumah sukan yang diwakili oleh Guru dan AKP.

Minggu Hari Guru ini juga akan menyaksikan semua guru akan diundi oleh anak murid untuk Anugerah Hari Guru, seterusnya lawatan ke rumah guru bersara dan juga Majlis Jamuan Makan Hari Guru sebagai penutup program ini.

Lafaz ikrar guru
 
Senam zumba yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Jasmani & Kesihatan
Pelbagai permainan yang dipertandingkan dalam Sukaneka
Perlawanan bola jaring yang menyaksikan Rumah Helang menjadi Johan



Sambutan RIMUP Hari Raya, Pra Pesta Kaamatan dan Hari Gawai Menyuburkan Perpaduan SMK Taman Perumahan Bedaun

Labuan – Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah mengadakan Sambutan RIMUP (Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan) Hari Raya, Pra Pesta Kaamatan dan Hari Gawai dengan penuh meriah.

Sambutan ini berlangsung pada 17 Mei 2023 di kelas masing-masing dan diteruskan di Dataran Bedaun SMKTPB.

Sambutan RIMUP ini disambut bertujuan untuk memupuk semangat muhibah, perpaduan dan kemesraan antara warga sekolah melalui aktiviti-aktiviti yang diadakan di samping menjadi landasan kepada hubungan baik di antara warga sekolah dengan murid-murid.

Sesi bergambar semua guru bersama murid-murid

Sambutan dimulakan dengan jamuan raya di mana murid-murid membawa juadah masing-masing dan dinikmati bersama-sama guru-guru dan rakan-rakan. Murid-murid sangat teruja berkongsi hidangan dengan rakan-rakan yang pelbagai agama dan bangsa.

Selesai menjamu selera, semua murid dikumpulkan di Dataran Bedaun untuk mengikuti acara seterusnya.

Pengetua SMKTPB, Puan Norazita binti Md.Nor @ Shamsuri telah dijemput untuk berucap dan dalam ucapannya beliau berkata sambutan ini diadakan untuk memupuk dan menyemai sikap bersatu-padu di kalangan murid.

Beliau berharap perpaduan itu tidak hanya dilihat ketika sambutan ini sahaja tetapi turut mengharapkan murid-murid sentiasa mengamalkannya dalam kehidupan seharian dengan lebih harmoni.

Puan Norazita binti Mohd Nor @Shamsuri menyampaikan ucapan

Sambutan diteruskan dengan pertandingan menganyam ketupat. Seramai 17 orang murid telah menyertai pertandingan dan menunjukkan kemahiran masing-masing. Pertandingan ini telah dimenangi oleh Maizatul Aqma bt Harun.

Seterusnya pertandingan ikat samping telah berlangsung. Seramai 24 orang murid lelaki telah menunjukkan kreativiti masing-masing dalam mengikat samping dan memperagakan hasil ikatan dengan penuh bergaya. Mohd Khazwan bin Sahiron telah dipilih sebagai pemenang bagi pertandingan ini.

Terdapat juga pertandingan mengalunkan takbir raya, pertandingan menghasilkan kad ucapan, kelas ceria raya dan ‘groufie’ kelas.

Murid-murid menyertai pertandingan menganyam ketupat

Cikgu Maibistamizlan telah dipilih sebagai pemenang penampilan Hari Raya, Pra Pesta Kaamatan dan Hari Gawai bagi kategori guru lelaki manakala Cikgu Marcela binti Maikel bagi kategori guru perempuan.

Mohd Khazwan sekali lagi telah dipilih sebagai pemenang penampilan bagi kategori murid lelaki dan Elizabeth Elly Mai Anak Leonard bagi kategori murid perempuan.

Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang dan sesi bergambar semua warga sekolah.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




Kem Kepimpinan Dan Watikah Pelantikan Pemimpin Muda Meningkatkan Kemahiran Insaniah Murid

LABUAN, 17 Mei 2023 – Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun Unit Bimbingan dan Kaunseling, Unit Disiplin Sekolah, Unit Pusat Sumber Sekolah dan guru penyelaras tingkatan telah berkolaborasi menjalankan Kem Kepimpinan dan Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Muda sesi 2023/2024.

Kem kepimpinan dan watikah pelantikan yang diselaras oleh, Viviana Ayu Saidin, bertujuan untuk mengiktiraf jawatan pemimpin muda sekolah. Selain itu, kem kepimpinan dan watikah pelantikan pemimpin muda bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri dan motivasi barisan pemimpin muda sekolah dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin muda di sekolah.

Kem kepimpinan pemimpin muda dijalankan pada 11 Mei 2023 dan 12 Mei 2023. Terdapat tiga slot ceramah diadakan semasa hari pertama kem iaitu slot “Ice Breaking”, slot disiplin dan slot penampilan diri pemimpin muda. Slot bidang tugas pengawas sekolah, slot bidang tugas pembimbing rakan sebaya, slot bidang tugas pengawas pusat sumber dan slot bidang tugas ketua kelas dan penolong ketua kelas dijalankan pada hari kedua kem kepimpinan. Disamping itu, raptai watikah pelantikan juga dijalankan pada hari kedua kem kepimpinan.

Watikah pelantikan pemimpin muda dijalankan pada 15 Mei 2023, isnin, 7.00 pagi hingga 7.30 pagi, bertempat di Dataran Bedaun sekolah. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu “Negaraku’, lagu Wilayah Persekutuan “Maju dan Sejahtera” dan lagu Rasmi Sekolah “Berwawasan, Progresif dan Cemerlang”. Pengacara majlis adalah Nurul Izzatie binti Abdullah, manakala Shafizul bin Jainal, daripada kelas 4 Beta memimpin bacaan doa. Seterusnya, barisan pemimpin muda melafazkan ikrar pemimpin muda dengan diketuai oleh ketua pengawas sekolah, Jericho Adree bin Josnih @ Joseph.

Pengetua, Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, menyerahkan sijil watikah pelantikan pemimpin muda kepada wakil pengawas sekolah iaitu Jericho Adree bin Josnih @ Joseph, wakil pembimbing rakan sebaya, Mohammad Firdaus bin Mamat, wakil pengawas pusat sumber, Muhd Norazwandy Adha bin Norazlan dan wakil ketua kelas serta penolong ketua kelas, Jelvan bin Justin dengan diiringi oleh guru Penolong Kanan pentadbiran, Chai Yee San. Turut hadir sepanjang majlis dijalankan, Penolong Kanan Kokurikulum, Yee Choon Hian, guru-guru dan staf sokongan sekolah. Seramai 41 orang murid pengawas sekolah, 49 orang murid pembimbing rakan sebaya, 25 orang murid pengawas pusat sumber sekolah, 22 orang murid ketua kelas dan 22 orang murid penolong ketua kelas telah menerima sijil watikah pelantikan pemimpin muda.

Menurut Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, “Anak Baik lagi Cerdik adalah matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia masa kini. Maka dengan itu, semoga adanya kem kepimpinan dan watikah pelantikan pemimpin muda ini dapat meningkatkan kemahiran-kemahiran yang diperlukan oleh semua pemimpin muda. Pemimpin muda sekolah ialah pengawas sekolah, pembimbing rakan sebaya, pengawas pusat sumber, ketua-ketua kelas dan penolong ketua kelas. Begitu juga semoga kem kepimpinan dan watikah pelantikan ini dapat meningkatkan keyakinan pemimpin muda selepas ini semasa menjalankan tugas di sekolah.”

Puan Norazita Menyampaikan Ucapan Peringatan Tanggungjawab Sebagai Pemimpin Muda Kepada Pemimpin Muda Yang Baharu Diwatikahkan

Kemudian, watikah pelantikan muda ditutup dengan acara sesi bergambar pengetua, barisan pentadbir sekolah, guru penyelaras pengawas sekolah, guru penyelaras pembimbing rakan sebaya, guru penyelaras pengawas pusat sumber, guru penyelaras tingkatan bersama barisan pengawas sekolah, pembimbing rakan sebaya, pengawas pusat sumber sekolah, ketua-ketua kelas dan penolong ketua-ketua kelas.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun