1

MAHRAJAN THAQAFI MADANI ANTARABANGSA MARTABATKAN KECEMERLANGAN KELAS ALIRAN AGAMA SSN SMK MUTIARA

LABUAN 20 Januari 2024, Kelas Aliran Agama SSN SMK Mutiara  telah berjaya menganjurkan Mahrajan Thaqafi Madani Antarabangsa Kelas Aliran Agama SSN SMK Mutiara pada 20  Januari 2024. Turut sama dalam menjayakan program ini adalah En. Ag Rozlan bin Manan, pengetua SSN SMK Mutiara, Puan Roziah Abdul Rahim, Penolong Kanan Pentadbiran , SSN SMK Mutiara, Ustaz Haji Zainal Abdul Wahab, Penyelaras Kelas Aliran Agama SSN SMK Mutiara, Ustazah Siti Sarah Abdul Majid, Ketua Panitia Pendidikan Islam, SSN SMK Mutiara, Encik Hisham Abd Aziz, Penolong Kanan Pentadbiran SM MAIWP Labuan,Ustazah Nurfalina binti Kasim, Guru  Pendidikan Islam dari SMA MAIWP Labuan, Ustaz Saifulizzan bin Mat Yasin, Ketua Kem Komandan  Mahrajan Thaqafi Madani Antarabangsa Kelas Aliran Agama SSN SMK Mutiara, , Ustaz Moahammad Rizailan bin Che Mohd Sukri, Ustaz Mohd Fuad Ibrahim, Ustaz Mohamad Izzudin bin Mohamed Nazeri, Ustazah Siti Zamriah binti Hussin, Ustazah Nur Hanani binti Mohd Nasir dan Ustazah Nur Fasihah binti Daeng Mustafa Kamal dari SSN SMK Mutiara selaku urusetia program kali ini,.

            Seramai 120 peserta telah menyertai program ini dengan jayanya melibatkan semua murid Kelas Aliran Agama dari tingkatan satu as-Syafie hingga ke tingkatan 5 as-Syafie , SSN Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara. Ustaz Haji Zainal Abdul Wahab selaku penyelaras program telah menjemput tiga orang penceramah hebat untuk menjayakan program ini. Mereka adalah Ustazah Nurfalina Kasim yang bertugas sebagai Guru Pendidikan Islam di SMA MAIWP Labuan. Beliau merupakan bekas penuntut Universiti Yarmouk ,Irbid, Jordan yang merupakan bekas murid Kelas Aliran Agama, SMK Mutiara . Penyampai Halaqah Thaqafah Alamiyyah ke duanya adalah Mohd Shafiq Haziq bin Faizal, penuntut tahun pertama Jurusan Bahasa Arab dan Kesusasteraan ,University of Jordan, Jordan dan syeikh Ahmad Abu Zaid al-Hafiz , Pengurus El-Syabab Academy Education,Jordan.

En. Ag Rozlan bin Manan, pengetua SSN SMK Mutiara telah merasmikan program ini dengan jayanya. Beliau telah menyampaikan amanat buat semua peserta agar terus istiqamah mempelajari Bahasa Arab  demi memartabatkan agama Islam buat warga Wilayah Persekutuan . Mahrajan Thaqafi Madani Antarabangsa Kelas Aliran Agama SSN SMK Mutiara ini disasarkan kepada semua murid Kelas Aliran Agama SMK Mutiara seramai  133 orang murid dari  tingkatan satu hingga ke tingkatan lima Kelas Aliran Agama SSN SMK Mutiara. Ianya bermatlamat untuk membina keyakinan tinggi para murid menghadapi suasana persekitaran yang mempunyai pelbagai aliran pemikiran, seterusnya melahirkan generasi yang berilmu dan beramal soleh.  Inilah aspirasi kepimpinan negara yang ingin melihat setiap insan itu mempunyai keistimewaan tersendiri yang diharapkan untuk menambah baik sistem pendidikan negara. Kita bukan hanya ingin melahirkan golongan bijak pandai tetapi juga mempunyai sahsiah dan jati diri yang tinggi terhadap negara. Sikap tahu mengucapkan terima kasih, tahu menghormati golongan tua dan pemimpin yang berjasa harus sentiasa diterapkan dalam jiwa anak-anak muda. Sikap ini penting dalam memastikan negara mempunyai generasi pewaris yang berwibawa. Hal ini bukanlah satu perkara mudah, apatah lagi dalam era globalisasi tanpa sempadan ini, namun kerjasama semua pihak dan rasa kebertanggungjawaban yang ada dalam diri manusia mampu melakukan transformasi ini.

Beliau juga merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada murid-murid yang akan menerima hadiah nanti atas pencapaian mereka dan diharapkan pencapaian kecemerlangan tersebut tidak berakhir di sini sahaja. Teruskanlah kecemerlangan itu sampai bila-bila. Segala kejayaan ini tidak seharusnya melekakan kita. Benar, kita telah mencipta banyak kejayaan, tetapi ini tidak bermakna bahawa kita boleh selesa berpeluk tubuh mengharapkan setiap kejayaan yang dicipta pada masa lalu akan berulang dengan sendirinya pada masa hadapan. Hakikatnya, kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang menuntut supaya kita sentiasa meneroka ilmu terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan.

Semua peserta mengambil peluang ini dengan memberikan sepenuh tumpuan kepada ceramah yang disampaikan oleh semua penceramah jemputan yang dijemput oleh pihak penganjur. Sessi video call secara langsung bersama syeikh Ahmad Abu Zaid menaikkan semangat kepada para peserta untuk berbual secara langsung dalam Bahasa Arab. Keterujaan peserta diteruskan lagi dengan sessi klinik memanah bersama pasukan Kelab Memanah al-Ehsan dan Persatuan Memanah Tradisional Victoria. Pertandingan Memanah juga telah diadakan kepada semua peserta yang hadir  Terdapat 5 anugerah utama yang dipertandingkan pada majlis kali ini. Berikut adalah senarai nama pemenang utama setiap kategori yang dipertandingkan. Antaranya Tokoh Kelas Aliran Agama dan Tokoh Kurikulum KAA dimenangi oleh Adik Nur Adlina binti Mohd Saifulizzan,5 as-Syafie, Tokoh Kokurikulum dimenangi oleh adik Roslynah binti Zakaria ,5 as-Syafie, Tokoh Imam as-Syafie dimenangi oleh adik Dinca al-Fansia,3 as-Syafie dan adik Ajmal Rosyada binti Zainal,5 as-Syafie. Kelas 3 as-Syafie dan 5 as-Syafie dinobatkan sebagai Kelas Terbaik KAA 2023. 5 orang murid telah dipilih untuk menjadi Tokoh Bilal Surau al-Marjan dan 10 orang murid telah terpilih untuk memenangi Tokoh Imam Syafie. Cikgu Hisham Abd Aziz Penolong Kanan Pentadbiran SMA MAIWP Labuan telag dinobatkan sebagai Tokoh Mursyid KAA SMK Mutiara 2024. Semoga program ini memberikan impak maksima kepada semua murid KAA dan menyuntik motivasi mereka untuk meneruskan pengajian ke menara gading. Ucapan terima kasih juga kepada pihak Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SSN SMK Mutiara kerana menjadi rakan penajaan strategik kepada pihak pengajur program ini. Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada Sektor Pendidikan Islam ,Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan yang telah memberikan kerjasama yang erat kepada SSN SMK Mutiara melalui sumbangan kewangan yang terbaik demi menjayakan program yang mulia. Semoga segala jasa baik yang diberikan oleh semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini akan menjadi wasilah dan bekalan baik kita semua untuk agama, bangsa dan negara kita.

 

Disediakan oleh :

Ustaz Haji Zainal Abdul Wahab

Penyelaras

Mahrajan Thaqafi Madani Antarabangsa Kelas Aliran Agama SSN SMK Mutiara 2024

Gambar kenangan semua peserta Mahrajan Thaqafi Madani Antarabangsa, Kelas Aliran Agama SMK Mutiara 2024

Poster Digital Mahrajan Thaqafi Madani Antarabangsa Kelas Aliran Agama SMK Mutiara 2024

Syeikh Ahmad Abu Zaid sedang menyampaikan amanat Halaqah Thaqafiyah Alamiyah kepada peserta semua peserta Mahrajan Thaqafi Madani Antarabangsa Kelas Aliran Agama SMK Mutiara 2024 secara online.

Barisan Guru Pendidikan Islam KAA SMK Mutiara bersama Puan Roziah Abdul Rahim ,Penolong Kanan Pendbiran SMK Mutiara dan En. Ag Rozlan bin Manan ,pengetua SSN SMK Mutiara.

Ustazah Nufalina Kassim menerima sijil dan hadiah cenderahati dari encik Ag Rozlan Manan sambil diperhatikan oleh Ustaz Zainal Abdul Wahab.

En. Hisham Abd Aziz menerima anugerah Tokoh Mursyid KAA SMK Mutiara 2024 dari En. Ag Rozlan bin Manan bersama barisan Guru Pendidikan Islam KAA SMK Mutiara.

Adik Nur Adlina Mohd Saifulizzan menerima piala dan sijil Penghargaan Tokoh Kelas Aliran Agama SMK Mutiara 2023 sambil ditemani oleh ayahnya Ustaz Mohd Saifulizzan dan Ustaz Zainal Abdul Wahab.

Hajjah Kamariah menerima sijil penghargaan dan cenderahati dari encik Ag Rozlan bin Manan dan diperhatikan oleh Ustaz Zainal Abdul Wahab.

Adik Alya Mahirah Abdul Wahid wakil kelas 3 as-Syafie menerima hamper selaku kelas Terbaik KAA SMK Mutiara 2023 daripada En. Ag Rozlan Manan diperhatikan oleh Ustaz Zainal Abdul Wahab dan Ustazah Siti Sarah Abdul Majid.

Sessi perbualan video langsung dari Jordan bersama syeikh Ahmad Abu Zaid dan peserta program.

En. Ag Rozlan Manan melakukan latihan memanah bersama jurulatih memanah dari Kelab Memanah al-Ehsan.

Ustaz Zainal Abdul Wahab melakukan latihan memanah bersama jurulatih memanah dari Kelab Memanah al-Ehsan.

Hajjah Kamariah memberikan bimbingan dan tunjuk ajar kaedah memanah yang betul kepada adik Arynah binti Yahya.

Adik Ahmad Zawafir Afnan bin Zainal melakukan latihan memanah sambil diberikan tunjuk ajar oleh jurulatih Memanah Kelab al-Ehsan, en. Mohd Agku Fitri.

Semua peserta lelaki sedang menunaikan solat Zohor secara berjemaah.

Ustazah Nurfalina Kassim sedang menyampaikan amanat dalam Slot Halaqah Thaqafiyah Alamiyah kepada para peserta program.




BRISK WALK – GEOTAPAK TANJUNG LAYANG-LAYANGAN, ANJURAN KELAB PENDIDIKAN

Labuan, 28 Jan 2024 – Seramai 50  warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) menyertai Brisk Walk- Geotapak Tanjung Layang-Layangan anjuran Kelab Pendidikan (KelPen), JPWPL bermula jam 7.00 pagi tadi.

Brisk walk iaitu berjalan menyelusuri pantai Tanjung Layang-layangan ini merupakan aktiviti kedua yang dianjurkan KelPen sesi 2024/2025 selepas Hari Keluarga. Aktiviti pagi tadi dimulai dengan taklimat ringkas dari geoguide berpengalaman, Encik Nazli Ho Abdullah dan sesi pemanasan badan.

Menurutnya, Geopark Labuan terdapat tiga tapak iaitu Geotapak, Biotapak dan Tapak Budaya. Di Geotapak Tanjung Layang-Layangan terdapat Lapisan Silang, Lanskap Hakisan Pantai dan Gerbang Laut yang terbina 15 juta tahun dahulu.

Geopark Labuan telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang baharu pada 16 Disember 2021 semasa Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan Bilangan 1 Tahun 2021. Sekaligus menjadikan Geopark berkenaan satu lagi produk  pelancongan  yang bakal menarik pengunjung ke Labuan.

Geopark Kebangsaan Labuan yang berkeluasan 402 kilometer persegi mempaparkan evolusi endapan batuan dan landskap yang membentuk Pulau Labuan serta tapak-tapak biologi.

Aktiviti pada pagi tadi berakhir dengan sesi penyampaian hadiah oleh Pengerusi KelPen Puan Suriani Alland Rice Onxley kepada 5 orang pemenang kuiz geopark iaitu Encik Jurukan Jinseng, Puan Evionna Sambai, Datin Hanijah, Puan Julynah Wali dan Puan Kamariah Salim serta penyampaian Sijil Penghargaan kepada geoguide.

Berita Oleh : Kelab Pendidikan JPWPL




Lawatan Kerja Pengurusan Tertinggi KPM ke SK Sungai Lada dan SMK Mutiara

Labuan, 26 Januari 2024 – Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Sektor Operasi Sekolah, menjalankan tugas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Azman bin Haji Adnan, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, YBrs. Tuan Haji Muie bin Ngah A.M.T. dan Pengarah, Bahagian Pendidikan Islam, KPM, YBrs. Tuan Haji Abu Hanipah @ Fauzi bin Zahari telah mengadakan lawatan kerja ke SK Sungai Lada dan SMK Mutiara pagi tadi.

Di SK Sungai Lada, rombongan ini telah dibawa melihat persekitaran sekolah, kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan galeri sekolah. Terdapat 6 bilik darjah PPKI dengan jumlah murid seramai 43 orang, 6 orang guru dan 3 orang pembantu pengurusan murid. Rombongan lawatan tersebut turut diperlihatkan demonstrasi membuat ambuyat.

Tuan Haji Azman tekun mendengar dan melihat hasil kerja murid SK Sungai Lada
Lawatan persekitaran sekolah SK Sungai Lada
Rombongan berkesempatan melihat dan mencuba cara-cara membuat ambuyat

Manakala di SMK Mutiara, rombongan dibawa melihat hasil inovasi murid Kelas Aliran Agama (KAA) dan Sukan. Murid-murid KAA turut mempersembahkan lagu KAA hasil ciptaan ustazah Rohani Tali, Penolong Kanan HEM SMKM. Ahli rombongan kerja tersebut turut diberi taklimat tentang aktiviti memanah dan tidak melepaskan peluang mencubanya.

Tuan Hj Azman turut memberikan sentuhan motivasi kepada 154 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Akronim DUIT iaitu Doa dan bermunajat, Usaha berterusan, Ilmu yang cukup dan Tawakkal kepad Allah merupakan resepi untuk berjaya.

Tahniah kepada barisan pentadbir,guru, murid dan seluruh warga sekolah yang sentiasa komited memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar. Semoga SPM 2023, Labuan akan mencatatkan kejayaan cemerlang, inshaAllah.

Lawatan kerja Pengurusan Tertinggi KPM ke SMK Mutiara
Rombongan melihat hasil inovasi murid Kelas Aliran Agama (KAA) dan Sukan
Tuan Haji Azman mencuba aktiviti memanah sambil diperhatikan oleh Encik Awang Rozlan (tengah)

Turut hadir dalam lawatan kerja kerja ini adalah Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Encik Yahya Ahmad Puteh, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Puan Kamariah Salim, Ketua Penolong Pengarah Sektor Integriti Mohd Khairul Rizal dan Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Suntikan Motivasi kepada Calon Peperiksaan SPM oleh Tuan Haji Azman
Gambar kenangan : Rombongan KPM dan JPWPL bersama warga sekolah SMK Mutiara



Program RIMUP diperkasa, Perpaduan Madani terserlah

 

LABUAN –  Sambutan Perayaan Krismas dan Tahun Baharu Cina telah disambut dengan meriah oleh seluruh warga sekolah di Dewan Muhibah, SM St.Anne baru-baru ini.

Pengetua SM St.Anne, Mary Anita Abah dalam ucapannya mengucapkan rasa syukur kerana walaupun dalam kesibukan guru-guru membuat persediaan untuk murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada Isnin nanti namun masih sanggup bertungkus lumus menjayakan majlis sebegini dengan jayanya. Selain itu, katanya semangat perpaduan dan semangat hidup bermasyarakat ini antara elemen yang perlu diberikan tumpuan bagi mengelakkan wujudnya isu polarisasi perkauman antara murid di sekolah. Sebaliknya, sejak alam persekolahan inilah murid-murid dibiasakan untuk menjiwai kemanisan hidup bermasyarakat dengan mengakui, menghargai dan meraikan keragaman budaya dan agama selaras dengan konsep Perpaduan Madani.

 

Majlis sambutan ini telah dirasmikan oleh YDP PIBG SM St.Anne, Bonis Samid. Dalam ucapannya, beliau berkata amalan menyambut perayaan bersama-sama ini salah satu mekanisme yang dilakukan oleh pihak sekolah dalam memperkasakan program Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP). Kemeriahan sambutan perayaan ini turut sama dirasai oleh beberapa orang tetamu jemputan antaranya ibu bapa, AJK PIBG, ahli Lembaga Sekolah, Paroki Gereja Sacrament WP Labuan, Rev.FR.Thomas Madanan, Guru Besar SKK St.Anne, Cecilia Chua, Guru Besar Tadika St.Anne, SR Julie Bating dan Pegawai Perhubungan Sekolah, ASP Dorarin Guanoi.

Dalam ucapan perasmian itu juga Bonis Samid telah menyatakan bahawa secara peribadi beliau sangat menyokong amalan menyambut perayaan bersama-sama ini. Menurutnya, galakan menyambut perayaan bersama-sama ini sememangnya patut diterapkan sejak di bangku sekolah lagi. Katanya lagi, guru dan murid sama-sama dapat melihat sendiri perbezaan kepelbagaian budaya yang akhirnya melengkapkan diri mereka menjadi warganegara Malaysia yang bertuah. Oleh itu, sewajarnya hasrat KPM untuk memperkasa program Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP) di semua sekolah perlu disokong dan dijayakan bersama-sama.

            Pelbagai pengisian dimuatkan dalam majlis sambutan ini antaranya persembahan tarian singa, pertandingan “Miss Chinese”, pemberian ang pao dan limau mandarin, cabutan bertuah, persembahan biola, nyanyian, dan tarian kipas.

 

Mary Anita Abah, Pengetua SM St.Anne menyampaikan ucapan alu-aluan

Bonis Samid, YDP PIBG selaku perasmi majlis Sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu Cina

Dari kanan Aydah Patarusi, Penolong Kanan Pentadbiran, Mary Anita Abah, Cecilia Chua, Guru Besar SKK St.Anne bersama-sama dengan murid Sek Men St.Anne

Rev.FR.Thomas Madanan empat kiri, Mary Anita Abah tiga kiri bersama-sama dengan ibu bapa murid yang menyumbangkan persembahan tarian singa

ASP Dorarin Guanoi, kanan, bersama-sama dalam menyempurnakan gimik perasmian

Lovely Hossana membuat persembahan biola

Pertandingan “Miss Chinese” yang melibatkan semua kelas Tingkatan 1 hingga 4

Pertandingan “Miss Chinese” yang melibatkan semua kelas Tingkatan 1 hingga 4




Progaram Santai-santai KelPen 2024

Labuan, 21 Januari 2024 – Kelab Pendidikan (KelPen), Jabatan Pendidikan WP Labuan telah menganjurkan Santai-santai KelPen Labuan pagi tadi bertempat di Pantai Rekreasi Kampung Sungai Lada.

Aktiviti Senamrobik beramai-ramai mendahului aktiviti lain yang diketuai oleh Cikgu Norhayati, Encik Ismail, Cikgu Murni dan Puan Julynah. Acara sukanika kanak-kanak turut diadakan. Antaranya memasukkan air dalam botol dan memancing botol.

Manakala acara dewasa pula ialah meniup belon, memecahkan belon dan bowling kelapa.
Seramai 70 orang staf jabatan bersama ahli keluarga hadir dalam majlis ini. Santai-santai KelPen merupakan cetusan idea Tuan Pengarah Ybrs Tn Hj Abidin Marjan semasa perjumpaan pertama ahli kelab pada 11 Januari 2024 yang lalu yang bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturrahim di kalangan warga jabatan serta menyatu dan meningkatkan kerjasama antara warga JPWPL.

Aktiviti ini turut disertai oleh Tuan Pengarah JPWPL Ybrs Hj Abidin Marjan, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Encik Yahya Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Encik Awg Marten Datuk Hj Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Encik Sawal Hj Salleh, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan Puan Noraini Hj Sahbudin. Ketua- ketua Penolong Pengarah dan warga jabatan.

Berita Oleh : Kelab Pendidikan JPWPL




Kelab Pendidikan JPWPL Sesi 2024/2025

Labuan, 11 Januari 2024 – Perjumpaan Pengarah Pendidikan bersama Ahli Jawatan kuasa Kelab Pendidikan (KelPen) Sesi 2024/2025 diadakan pagi tadi di Bilik Mesyuarat Botanikal, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dalam suasana penuh harmoni.

Dalam ucapannya, YBrs. Tuan Hj Abidin Marjan mengharapkan agar 145 warga pendidikan yang merupakan ahli KelPen dapat bersama-sama bersatu hati dalam menyokong dan menjayakan aktiviti yang dirancang oleh KelPen. Antara fokus utama KelPen ialah mengeratkann hubungan silaturrahim di kalangan ahli melalui acara hari keluarga, aktiviti ziarah menziarahi dan bersukan.

“Aktiviti lawatan dapat merapatkan hubungan silaturrahim sesama ahli. Tidak kisahlah kita melawat dengan kawan mahupun keluarga, di dalam ataupun di luar negara yang pasti hubungan yang terjalin antara kita akan menjadi lebih rapat dan mesra lagi” ujarnya lagi.

Dalam majlis tersebut turut disampaikan surat lantikan ahli jawatankuasa berkuatkuasa pada 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2025 yang dipengerusikan oleh Puan Suriani Allan Rice Oxley.

Beliau cukup yakin barisan jawatankuasa yang baharu dilantik dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan ini secara professional dengan penuh komitment, cekap dan berkesan dan seterusnya dapat meningkatkan prestasi jabatan ini.

Berita Oleh : Kelab Pendidikan JPWPL




Kunjungan Hormat Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) W.P Labuan Ke Pejabat Pengarah Jabatan Pendidikan W.P Labuan

Labuan, 8 Januari 2024 – Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) W.P Labuan telah membuat kunjungan hormat ke pejabat Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan pada 3 Januari 2024. Rombongan 10 orang pengetua tersebut diketuai oleh Encik Ismail bin Abdullah, Pengetua SMK Pantai merangkap Yang DiPertua MPSM WP Labuan.

Ahli-ahli MPSM WP Labuan yang hadir ialah Tuan Hj Mohd Nizam bin Yasim (SMK Labuan), Puan Mary Anita Abah (SM St Anne), Puan Siti Aminah Zakaria (SMA MAIWP Labuan), Puan Norazita Md Nor @Shamsuri (SMK Taman Perumahan Bedaun), Encik Ag Rozlan Manan (SSN SMK Mutiara), Encik Wan Azman Wan Awang (SMK Rancha-Rancha), Encik A Zailani A Mumin (SM Sains Labuan) dan Puan Wong Tong Moi @Connie (SM St Anthony).

Tuan Haji Abidin bin Marjan Pengarah Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah menerima kunjungan hormat tersebut bersama tiga orang Timbalan Pengarah iaitu Encik Yahya bin Ahmad Puteh Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Tuan Haji Sawal bin Salleh Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah dan Puan Noraini binti Haji Sabudin Timbalan Pengarah Sektor Perancangan.

Selain daripada untuk sesi suaikenal dan ramah mesra, kunjungan hormat tersebut juga bertujuan untuk menerangkan peranan MPSM dalam memperkasakan pendidikan di WP Labuan, serta mendengar amanat yang disampaikan oleh Pengarah Pendidikan.

Encik Ismail (2 dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Tuan Haji Abidin disaksikan semua Timbalan Pengarah

Encik  Ismail Abdullah menekankan tentang peranan MPSM W.P Labuan melaksanakan Task Force SPM yang mempunyai matlamat, objektif dan konsep seperti berikut.

MATLAMAT :

Menerajui pasukan guru mata pelajaran untuk meningkatkan atau melonjakkan prestasi matapelajaran SPM WP Labuan.

OBJEKTIF :

  1. Merancang strategi meningkatkan pencapaian mata pelajaran SPM peringkat WP Labuan
  2. Menyediakan panduan untuk pelaksanaan strategi meningkatkan pencapaian mata pelajaranSPM peringkat sekolah

KONSEP :

  1. Program Untuk Guru – Peningkatan kualiti PdP dan kemahiran teknik menjawab soalan.
  2. Program Untuk Murid – Peningkatan penguasaan teknik belajar dan teknik menjawab soalanSPM bagi kelompok murid lemah, sederhana dan cemerlang

Tuan Haji Abidin Marjan telah menyampaikan beberapa amanat penting untuk tindakan semua pengetua.

  1. Pengetua memberi fokus yang besar kepada Kepimpinan Instruksional dalam mengemudi sekolah
  2. Setiap Pengetua perlu tahu data dan maklumat berkaitan prestasi semasa sekolah.
  3. Sekolah perlu membuat persediaan melaksanakan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dalam tempoh 3 bulan sehingga April 2024.
  4. Pengetua mengajar mata pelajaran sesuai dengan opsyen masing-masing.
  5. Setiap Pengetua perlu menggerakkan jentera pentadbiran dalam pengoperasian sekolah dan jangan bekerja bersendirian.
  6. Kehadiran murid ke sekolah mestilah mencapai purata sekurang-kurangnya 93% kerana pencapaian murid berkait langsung dengan kehadiran mereka ke sekolah.
  7. Persekitaran sekolah mesti sentiasa bersih, selamat dan selesa.

Kunjungan hormat ini menghasilkan persefahaman yang jelas antara hala tuju Pengarah dan kesepaduan tindakan dalam kalangan pengetua untuk mencapai matlamat yang ditetapkan serta memartabatkan pendidikan WP Labuan ke tahap yang lebih tinggi.

Berita Oleh : MPSM Labuan