1

SSN SMK MUTIARA Cipta Hatrik Johan Bola Tampar MSSWPL 2024

SSN SMK Mutiara mencipta hatrik Kejohanan Bola Tampar Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan (MSSWPL) 2024, setelah menjadi johan keseluruhan 3 tahun berturut-turut bermula tahun 2022.
Kejohanan Bola Tampar MSSWPL 2024 telah berlangsung di Dewan Arena Bukit Kuda pada 10 hingga 14 Jun lalu.
Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Labuan, En. Ag. Marten Bin Haji Abdul Rahman.

 

SSN SMK Mutiara muncul johan berpasukan bagi kategori Lelaki 18 tahun dan Perempuan 18 tahun. Bagi kategori sekolah rendah pula, Sekolah Kebangsaan Bebuloh telah merangkul kejuaraan bagi kategori Lelaki 12 tahun dan Sekolah Kebangsaan Pekan Satu telah menjuarai bagi kategori Perempuan 12 tahun.

Tahniah kepada Pengelola Kejohanan Bola Tampar Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan (MSSWPL) 2024, SSN SMK Mutiara dan Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha kerana telah menjayakan Kejohanan Bola Tampar pada kali ini.

Dengan ini harapan agar para atlet kita dapat menunjukkan prestasi yang baik berbanding dengan tahun lalu sekiranya pasukan bola tampar dihantar ke MSSM pada tahun 2024 ini dan mampu bersaing dengan negeri-negeri lain.

 




Program Korban Madani Erat Kerjasama Warga JPWPL

Labuan, 18 Jun 2024 (Selasa), seekor lembu sumbangan Yayasan Didik Negara telah disembelih dalam Program Korban Madani Peringkat Jabatan Pendidikan WP Labuan Tahun 2024 di Pusat Ko kurikulum Negeri, Ganggarak..

Program bermula seawal jam 7.00 pagi telah dimulai dengan tazkirah ringkas berkaitan tatacara dan hikmah korban yang dikaitkan dengan hadis 40 Imam Nawawi. Tazkirah disampaikan oleh ustaz Ibrahim bin Mat daripada SJKC Chung Hwa.

Pihak berkuasa Jabatan Veteriner W.P. Labuan turut melakukan pemantauan aktiviti penyembelihan agar SOP yang ditetapkan sentiasa dipatuhi. Selain daripada itu pelaksanaan ibadah korbah telah mendapat permit kebenaran agar memastikan haiwan sembelihan berada dalam keadaan baik dan terkawal daripada sebarang penyakit.

Aktiviti gotong-royong korban meliputi proses melapah, menimbang, membungkus dan mengagih daging telah dibantu oleh staf jabatan Pendidikan seramai 60 orang.

Seramai 30 orang murid daripada SK Tanjung Aru dan SK Lubuk Temiang bersama ibu bapa dari kalangan asnaf hadir menerima daging korban. Kakitangan pembersihan dari sekolah berhampiran turut berpeluang menerima sumbangan daging korban.

Penyampaian daging korban telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Awg Martin Datuk Hj Abdul Rahman. Turut hadir Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan Noraini Hj Sabudin , Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Sawal Hj Salleh dan pegawai-pegawai jabatan.

 




Majlis Peluncuran Kempen Amalan Pemakanan Sihat Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 17 Jun 2024 – Majlis Peluncuran Kempen Amalan Pemakanan Sihat Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan telah berlangsung pada 14 Jun 2024 bertempat di Dewan Sri Kedayan, SK Sg Lada.

Majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Encik Awang Marten bin Datuk Haji Abdul Rahman.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited membudayakan amalan pemakanan berkhasiat dan seimbang dalam kalangan murid dan pelajar sekolah di seluruh negara bagi melahirkan masyarakat yang sihat.

SK Sg Lada dan SMK Pantai merupakan pengelola bersama bagi program ini. Majlis turut dihadiri oleh Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Cawangan W.P Labuan, Encik Ismail bin Abdullah, Yang Dipertua Majlis Guru Besar, Encik Mohamed Al Ghaffar bin Haji Mohamed Maidin, Yang Dipertua PIBG SK Sg Lada, Puan Syarifah Azizah binti Wan Semawi, pegawai-pegawai dari Jabatan Pendidikan W.P Labuan, guru-guru dan murid-murid dari dua buah sekolah pengelola.

Majlis dimeriahkan lagi dengan pameran-pameran berkaitan dengan amalan pemakanan sihat dan selamat yang dipamerkan di reruai Seksyen Pemakanan dan Bahagian Keselamatan & Kualiti Makanan (BKMM) dari Jabatan Kesihatan Negeri W.P Labuan, Kelab Doktor Muda SK Sungai Lada dan SMK Pantai.




MESYUARAT PIBG MEDAN ERAT KERJASAMA GURU, IBU BAPA DAN KOMUNITI SMK LABUAN

Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan (SMKL) telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (MAT PIBG) kali ke-26 pada hari Sabtu lalu, 18 Mei 2024.  Lebih 300 orang ibu bapa dan guru hadir bagi menjayakan majlis tersebut yang diadakan di Dewan Juara, SMK Labuan. Majlis yang bermula tepat pada jam 8 pagi itu dibanjiri hadirin seawal jam 7 pagi.

Majlis dimulai dengan ucapan alu-aluan oleh Yang dipertua PIBG lama SMK Labuan, Tuan Haji Md. Yussof bin Hj ChuChu. Di kesempatan itu, beliau menyatakan rasa Syukur dan terima kasih kepada pihak sekolah dan hadirin kerana telah memberikan sepenuhnya kepercayaan dan sokongan kepadanya dalam menerajui kepimpinan Persatuan Ibu-Bapa dan Guru.

Seterusnya, Pengetua SMK Labuan, Encik Mohd Nizam bin Yasim dalam ucapan perasmiannya menyeru ibu bapa agar memberikan kerjasama dan kepercayaan yang penuh kepada barisan guru dalam mendidik anak-anak mereka ketika berada di sekolah.

Beliau juga berharap ibu bapa dapat memberikan komitmen dan menyokong penuh semua aktiviti anjuran sekolah bagi menjayakan semua aktiviti sekolah ke arah kemenjadian murid SMK Labuan yang unggul. Sokongan itu juga dimaklumkan berupa bentuk sumbangan pembayaran PIBG di mana tidak sampai separuh daripada bilangan murid membuat bayaran sumbangan tersebut.

Beliau menjelaskan bayaran sumbangan itu diperlukan bagi tujuan membaik-pulih fasiliti sekolah seperti kipas, meja dan lampu yang mana pada masa ini pembaik-pulih dilakukan oleh guru-guru sendiri demi keselesaan murid. Beliau juga berterima kasih atas inisiatif ibu bapa yang turut menyumbang kipas elektrik kepada sekolah untuk kegunaan murid.

Pada akhir ucapannya, beliau memaklumkan bahawa faktor keselamatan di jalan raya dikawal selia oleh pegawai keselamatan sekolah. Oleh itu, ibu-bapa tidak perlu risau atas keselamatan anak-anak semasa berada di sekolah.

Ucapan perasmian oleh Pengetua SMK Labuan, Encik Mohd Nizam bin Yasim

Selain daripada itu, Majlis juga menjemput ASP Francisca Duliat, ASP Siasatan Perundangan, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Labuan selaku pegawai perhubungan sekolah untuk berucap dan berkongsi mengenai isu buli yang kian berleluasa di sekolah. Beliau berkongsi jenis-jenis buli dan juga memberi peringatan kepada ibu bapa agar tidak bertindak bersendirian tanpa melakukan prosedur yang betul bagi menangani isu buli.

Antara agenda utama Mesyuarat PIBG Kali Ke-26 adalah pembubaran Ahli Jawatankuasa PIBG yang lama serta pelantikan YDP yang baharu iaitu Puan Susanna Koh dan AJK PIBG Sesi 2024 serta perbahasan usul dan perkongsian idea untuk memajukan SMKL.

MAT PIBG kali ke-26 ini turut diserikan dengan cabutan bertuah. Hadiah utama bagi cabutan bertuah ialah sebuah peti sejuk berjenama Haier yang telah dimenangi oleh ibu pelajar yang bertuah iaitu Puan Misbah binti Taib.

Berita Oleh : SMK Labuan

Mesyuarat PIBG berlangsung
Para ibu bapa yang hadir
Pemenang hadiah utama cabutan bertuah



SMK PANTAI CIPTA SEJARAH LULUS 100% SPM 2023

SMK Pantai berjaya mencatat sejarah baharu apabila semua calon SPM 2023 lulus dan layak mendapat sijil SPM berbanding  94.77% pada tahun 2022. Ini merupakan kali pertama SMK Pantai mencapai lulus 100% sejak sekolah ini ditubuhkan pada 2002.

Gred Purata Sekolah juga menunjukkan peningkatan besar  dengan pencapaian 4.33 berbanding 4.65 pada tahun 2022.

Jumlah murid yang mendapat semua A dalam semua mata pelajaran juga meningkat iaitu seramai 4 orang berbanding 2 orang pada tahun 2022. Jumlah murid yang mendapat 6A ke atas juga meningkat kepada 22 orang berbanding 14 orang pada 2022.

Murid terbaik SPM 2023 ialah Nur Waheeda binti Mohd Rizal yang mendapat 9A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains, Pendidikan Islam, Perniagaan, Prinsip Perakaunan dan Ekonomi. Nur Waheeda merupakan anak jati Labuan yang tinggal di Kampung Tanjung Aru WP Labuan. Ayahnya Mohd Rizal bin Usin merupakan seorang Juruteknik Komputer manakala ibunya Noraini binti Samsu merupakan Penolong Pendaftar Kanan di UMS Kampus Antarabangsa Labuan. Anak sulung daripada 4 orang adik beradik ini bercita-cita menjadi seorang akauntan.

Nurin Aisyah binti Rinatho mendapat 9A iaitu A+ dalam mata pelajaran Ekonomi, A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Sains, Prinsip Perakaunan dan Perniagaan, serta A- dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Ayahnya Rinatho bin Nunchi adalah seorang Pegawai Kaunseling, manakala ibunya merupakan suri rumah tangga sepenuh masa. Anak sulung daripada 6 adik beradik ini bercita-cita menjadi seorang Ahli Ekonomi atau Akauntan.

Nurin Aisyah dan ibu bapa bersama Pengetua dan Penolong-penolong kanan SMK Pantai

Harizah Syafiqah binti Hasto mendapat 9A iaitu A+ dalam Bahasa Melayu, Sejarah dan Prinsip Perakaunan, A dalam Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Perniagaan dan Ekonomi, dan A- dalam Pendidikan Islam. Ayahnya Hasto binti Zakaria bertugas di TUDM dan ibunya Lina binti Abdul Rasyid seorang kerani bank. Anak pertama daripada 3 orang adik beradik ini bercita-cita menjadi Akauntan.

Nur Alisya Nuriena binti Mohamad Azrie mendapat 9A iaitu A+ dalam Matematik, A dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Kimia, dan A- dalam Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik Tambahan, Fizik dan Biologi. Ayahnya Mohamad Azrie bin Hamzah bertugas di TUDM manakala ibunya Mimi Fazura binti Zulkifflee seorang suri rumah sepenuh masa.  Anak sulung daripada 4 orang adik beradik ini bercita-cita menjadi Ahli Veterinar.

Nur Aliesya Nuriena bersama keluarga

Pengetua SMK Pantai, Encik Ismail bin Abdullah berkata kejayaan ini adalah hasil usaha dan kerjasama kolektif semua guru, ibu bapa, PIBG serta murid-murid calon SPM 2023 sejak daripada awal lagi. Program intervensi yang dirancang dan dilaksanakan secara berterusan mendapat sokongan padu dari pada PIBG yang sentiasa menyumbang aspek kewangan untuk menjayakan program yang dijalankan.

Pengurusan kurikulum juga diberi perhatian secara teliti dan berterusan oleh pengetua dan para pentadbir., Guru-guru berusaha melaksanakan pelbagai intervensi yang berbeza dan disesuaikan untuk kumpulan murid lemah, sederhana dan cemerlang.

Pengetua mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada guru-guru, ibu bapa, PIBG serta Jabatan Pendidikan WP Labuan yang turut menyumbang kepada kejayaan bersejarah ini. Matlamat lebih tinggi akan ditetapkan untuk SPM 2024 setelah post mortem SPM 2023 dilaksanakan nanti.

Berita Oleh : SMK Pantai

Murid-murid yang mencapai 6A ke atas bersama Pengetua dan Penolong2 Kanan SMK Pantai