1

NUR IZZATI IRDINA JOHAN TAEKWONDO ANTARABANGSA

Labuan, 31 Julai – Murid Tingkatan 4 SMK Pantai, Nur Izzati Irdina Binti M Jefree mengharumkan nama W.P. Labuan apabila berjaya memenangi 1 emas dan 1 perak dlm Kejohanan 7th International Gewinn Taekwondo Championship 2024 berlangsung di KSL Esplanade Mall , Klang pada 19 – 21 Julai 2024.

Nur Izzati memenangi pingat emas dalam acara Poomsae Individual 18-39 tahun bagi kategori Terbuka (White-Green Belt) setelah menewaskan peserta dari Indonesia.

Beliau juga telah mendapat perak setelah tewas tipis 0.5 mata kepada peserta India dalam acara Poomsae Individual 16 tahun bagi kategori White-Green Belt.

Kejohanan ini telah disertai oleh 54 kelab dari 5 buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, India, Brazil dan Nepal.

Nur Izzati yang berlatih di bawah Kelab EV Taekwondo Labuan terlibat aktif dalam sukan Taekwondo dan telah memenangi beberapa kejohanan pada tahun-tahun sebelum ini.

Pengetua SMK Pantai, Encik Ismail Abdullah berkata pihak sekolah sangat menggalakkan murid-murid berlatih secara profesional di bawah kelab yang diiktiraf. Pengetua turut mengucapkan penghargaan kepada ibu bapa Nur Izzati yang memberi galakan dan sokongan serta Kelab EV Taekwondo Labuan atas usaha mencungkil bakat dan menjadikan murid-murid sebagai pencabar di peringkat antarabangsa.

Nur Izzati memenangi pingat Perak
Nur Izzati menerima pingat dan tali pinggang daripada Pengetua SMK Pantai Encik Ismail Abdullah



Pelancaran Buku “Koleksi Contoh Bahan Pengajaran & Pembelajaran Pedagogi Terbeza bagi Prasekolah, KSSR, KSSM, KSSR Pendidikan Khas, dan KSSM Pendidikan Khas” oleh Guru-Guru di WP Labuan

Labuan, 19 Julai 2024 – Wilayah Persekutuan Labuan menyaksikan satu lagi pencapaian penting dalam bidang pendidikan dengan pelancaran buku bertajuk “Koleksi Contoh Bahan Pengajaran & Pembelajaran Pedagogi Terbeza bagi Prasekolah, KSSR, KSSM, KSSR Pendidikan Khas, dan KSSM Pendidikan Khas”. Buku ini adalah hasil usaha gigih guru-guru di WP Labuan dan dilancarkan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan W.P. Labuan, Tuan Haji Abidin bin Haji Marjan dengan diiringi oleh Tuan Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yahya bin Ahmad Puteh dan Tuan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, En Ag Marten bin Haji Abd Rahman  di Majlis Perhimpunan Bulanan (Julai) Jabatan Pendidikan W.P. Labuan di Bilik Rafflesia, Ujana Kewangan Labuan.

Buku ini merupakan satu kompilasi bahan pengajaran dan pembelajaran yang direka khusus untuk mematuhi kurikulum prasekolah, KSSR, KSSM, serta KSSR dan KSSM Pendidikan Khas. Buku ini bertujuan untuk membantu guru-guru dalam menyediakan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan inklusif untuk semua murid, termasuk mereka yang memerlukan pendekatan pedagogi terbeza. Pelancaran buku ini mencerminkan komitmen W.P. Labuan untuk meningkatkan kualiti pendidikan melalui penggunaan bahan pengajaran yang relevan dan berkesan. Buku ini mengandungi pelbagai contoh rancangan pengajaran, aktiviti pembelajaran dan strategi pengajaran yang inovatif yang boleh digunakan oleh guru-guru di dalam bilik darjah.

Bahan pengajaran dan pembelajaran di dalam buku ini telah disumbangkan oleh 53 orang guru yang meliputi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Tamil, Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Muzik, Geografi, Asas Sains Komputer Dan Reka Bentuk Dan Teknologi bagi KSSR & KSSM, mata pelajaran Pengurusan Kehidupan, Seni Kreatif, Bahasa Inggeris, Seni Visual, English For Communication, Pendidikan Moral, Komunikasi, Seni Kraf Anyaman dan Pendidikan Sains Sosial & Alam Sekitar bagi KSSR & KSSM Pendidikan Khas, matapelajaran Aktiviti Luar dan Pendidikan Moral bagi Prasekolah serta tajuk Ekspresi Emosi bagi Kaunseling. Guru-guru yang menyumbangkan Contoh Bahan Pengajaran & Pembelajaran Pedagogi Terbeza di dalam buku ini telah dibimbing oleh Duta Pedagogi Terbeza, Puan Suriani Alland Rice Oxley, SISC+ Unit Sains Sosial dari Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan W.P. Labuan

Pelancaran buku “Koleksi Contoh Bahan Pengajaran & Pembelajaran Pedagogi Terbeza bagi Prasekolah, KSSR, KSSM, KSSR Pendidikan Khas, dan KSSM Pendidikan Khas” oleh Pengarah Jabatan Pendidikan W.P. Labuan, Tuan Haji Abidin bin Haji Marjan dengan diiringi oleh Tuan Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yahya bin Ahmad Puteh (no.2 dari kanan), Tuan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, En Ag Marten bin Haji Abd Rahman (no.1 dari kiri) dan Duta Pedagogi Terbeza, Pn Suriani Alland Rice Oxley (no.1 dari kanan) di Majlis Perhimpunan Bulanan (Julai) Jabatan Pendidikan W.P. Labuan di Bilik Rafflesia, Ujana Kewangan Labuan.
Tuan Pengarah bergambar bersama semua penyumbang bahan buku Koleksi Contoh Bahan Pengajaran & Pembelajaran Pedagogi Terbeza.
Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran , En Yahya bin Ahmad Puteh sedang menyampaikan sijil kepada salah seorang penyumbang bahan pengajaran dan pembelajaran di dalam buku terbitan JPN W.P.Labuan, Cikgu Rietah binti Unchang dari SK Pekan Satu.



EMPAT PELAJAR SMK LABUAN PEROLEH PNGK 4.00 STPM 2023

Labuan, 23 Julai 2024 – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan mencatatkan peningkatan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) sebanyak 0.13 mata berbanding 2.65 pada tahun lepas kepada 2.78 pada tahun 2023.

Seramai empat pelajar tingkatan enam SMK Labuan memperoleh keputusan cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kumulatif sempurna PNGK 4.00, 11 calon peroleh PNGK 3.75, 43 calon PNGK 3.00 dan 78 calon peroleh PNGK 2.00.

Keputusan itu diumum Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Tuan Haji Abidin bin Marjan, di Dewan SMK Labuan.

Empat pelajar terbaik ialah Nur Fazrinah Jamal, Norashafiqa Nazira Erme, Mathew Chew Kah Ming dan Nur Amylia Safea Zairudin.

Bilangan pelajar peroleh 4A semua mata pelajaran turun kepada lapan calon berbanding 10 calon pada tahun 2022.

Secara keseluruhan 99.28 peratus iaitu 139 calon hadir menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), berbanding 140 calon yang mendaftar.

Kesemua pelajar yang menduduki peperiksaan itu layak memperoleh sijil STPM 2023.




Majlis Penyerahan Peranti Wakalah Zakat KPM Kepada Murid Di Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 23 Julai 2024 – Yayasan Didik Negara (YDN) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah menganjurkan Majlis Penyerahan Peranti Tablet Wakalah Zakat KPM kelmarin bertempat di Dewan SK Sungan Bedaun.

Seramai 70 murid SK Sungai Bedaun yang layak telah diberikan peranti tablet ini untuk tujuan pembelajaran digital serta penggunaan buku teks digital.

Sumbangan oleh Yayasan Didik Negara ini bertujuan untuk memperkukuhkan kemahiran digital mereka dan memastikan mereka dapat mengakses sumber pembelajaran yang berkualiti dengan lebih efektif.

Majlis dihadiri oleh Encik Hardian bin Hadir, CEO Yayasan Didik Negara, Tuan Haji Abidin bin Haji Marjan, Pengarah Jabatan Pendidikan W.P Labuan dan Encik Ag Marten bin Datuk Haji Abd Rahman, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid.

Turut hadir Puan Zaliha binti Mohd Salleh, Ketua Penolong Pengarah HEM, Sektor Pembangunan Murid serta pegawai-pegawai Sektor Pembangunan Murid, pegawai-pegawai YDN dan guru-guru SK Sungai Bedaun serta Ibu bapa murid penerima.

SK Sungai Bedaun merupakan sekolah rendah kelima di W.P Labuan yang menerima sumbangan peranti wakalah zakat KPM selepas SK Bebuloh, SK Bukit Kalam, SK Tanjung Aru dan SK Pantai.




Literasi Maklumat Melalui Lukisan Mural di SMK Rancha-Rancha

SMK Rancha-Rancha W.P Labuan  – Projek Warna Percikan mahasiswa dan mahasiswi Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa W.P Labuan  yang memaparkan aneka lukisan mural dengan kisah dan bercirikan peralatan tradisional masyarakat berbilang kaum dan bangsa sejarah tempatan bakal menjadi tarikan baharu kepada warga  dan pelawat yang melawat SMK Rancha-Rancha.

Pengetua sekolah , Ustaz Wan Azman bin Wan Awang berkata, Projek Warna Percikan  merupakan projek kerjasama yang dilaksanakan oleh mahasiswa dan mahasiswi Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa W.P Labuan  melalui peruntukan daripada Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa W.P Labuan.

Beliau berkata, perancangan projek bermula pada 2 hingga 12 Jun 2024 . Selama 10 hari murid SMK Rancha-Rancha bersama mahasiswa dan mahasiswi Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa W.P Labuan  telah berkampung di SMK Rancha-Rancha melakar dan mewarna lukisan mural yang dibuat. Selain itu , projek ini juga dapat mencipta daya tarikan estetik ruang, mengubah dinding kosong menjadi visual karya seni menawan yang memperkayakan alam sekitar dan menyumbang kepada budaya landskap Masyarakat. Apa yang lebih menarik , setiap lukisan telah diberikan logo QR Kod untuk diimbas dan memberikan maklumat tentang alat muzik tradisional yang dilukis.

Cenderamata daripada Pengetua Sekolah Ustaz Wan Azman Wan Awang kepada wakil UMS Dr. Suzillah Sidek

Ketua projek dari Universiti Malaysia Sabah, Tharshini Ratna Krisnan berkata “Melalui projek Warna Percikan, adalah diharap dapat mencipta kesedaran antara orang awam dengan pihak sekolah dengan menekankan  inovatif mengajar dan pembelajaran  dengan strategi atau pedagogi  pendidikan . Projek ini dapat   mengintegrasi pelbagai kemahiran dan kerjasama bermakna antara murid SMK Rancha-Rancha dan mahasiswa-mahasiswi Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa W.P Labuan 

“Selain itu, hasrat utama SMK Rancha-Rancha berkolaborasi dengan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa W.P Labuan  adalah  mengindahkan kawasan sekolah dengan meriah dan mural yang menarik secara visual, pelajar dibekalkan inspirasi dan persekitaran pembelajaran yang kondusif. Projek ini telah menunjukkan bahawa visual menarik tentang persekitaran boleh memberi kesan positif kepada semangat, motivasi dan pencapaian akademik prestasi murid-murid di SMK Rancha-Rancha.

Sementara itu, seorang pelukis , Siti Maimunah Lusan , pelajar tingkatan 4 , berkata, usaha mengindahkan kawasan sekolah di sini dengan lukisan berkenaan adalah baik dan mampu memupuk kemahiran literasi maklumat dalam kalangan warga SMK Rancha-Rancha.

Sehubungan itu, Cikgu Jasmini Daud selaku guru Pendidikan Seni Visual berkata, beliau tidak melepaskan peluang baik ini utk menerima  perlaksanaan projek melukis kerana selain sebagai pencetus kreativiti murid-murid yang mengambil subjek elektif Pendidikan seni visual  ianya juga sebagai satu wadah penzahiran kreatif di kalangan murid-muridnya yang ternyata berbakat besar dlam seni visual. Bakat dan minat harus di pupuk dan di asah agar mereka lebih menjiwai dan lebih memahami konsep estetik dalam seni.

Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha




NEPTUNE – JUARA KEJOHANAN OLAHRAGA SMK TAMAN PERUMAHAN BEDAUN KALI KE-22

23 Jun (Ahad) – SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah berjaya menganjurkan Kejohanan Olahraga kali ke-22 tahun 2024 dengan jayanya. Kejohanan ini berlangsung  di Kolej Matrikulasi Labuan, selama dua hari dengan meriah iaitu pada hari Sabtu dan Ahad bersamaan 22 dan 23 Jun 2024. Acara ini telah disertai oleh empat buah rumah sukan iaitu rumah sukan Neptune (Merah), Marikh (Hijau), Musytari (Kuning) dan Zuhal (Biru).

Menurut, Penolong Kanan Kokurikulum En. Yee Choon Hian, sebanyak 11 acara sukan pelbagai kategori dipertandingkan dalam tempoh empat hari. Acara padang dilaksanakan di sekitar kawasan sekolah pada 19 dan 20  Jun 2024 (Rabu-khamis) manakala acara balapan telah diadakan di Kolej Matrikulasi Labuan.

Acara perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua PIBG, Encik Heider Hussein bin Mohammad Rashid. Dalam ucapannya, beliau menyarankan semua atlet agar bersungguh-sungguh untuk meraih pingat dalam setiap acara yang diceburi dan menerapkan semangat kesukanan yang tinggi semasa bersukan. Di samping itu juga, beliau menyatakan bahawa banyak aktiviti-aktiviti sukan akan diadakan bertujuan mengeratkan lagi silatulrahim dalam Masyarakat setempat.

Terdahulu, Pengetua, Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran tetamu kehormat untuk merasmikan kejohanan dan merakamkan ucapan terima kasih atas kehadiran YDP PIBG, Encik Heider Hussein bin Mohammad Rashid, Pegawai Angkat Sekolah, Encik Mohd Nazri Mustapa serta murid-murid. Beliau juga turut mengucapkan terima kasih atas komitmen guru-guru dalam memastikan kejohanan kali ini berjalan dengan lancar.

Rumah sukan Neptune telah berjaya muncul juara keseluruhan dengan kutipan 17 pingat emas, 19 perak dan 18 gangsa. Rumah Marikh pula berjaya menjadi naib johan keseluruhan. Bagi acara sorakan rumah sukan pula, Rumah Zuhal mendapat tempat pertama.

Olahragawati bagi kategori perempuan bawah 15 tahun dimenangi oleh adik Siti Rahma binti Ismail dari rumah Neptune yang memperoleh 3 emas dan 1 perak. Olahragawan bagi kategori lelaki bawah 15 tahun pula dimenangi oleh adik  Muhamad Aiman Zahrie Herry. Adik Aiman berjaya memperoleh 3 emas dan 1 gangsa yang juga daripada rumah Neptune.

Olahragawati bagi kategori perempuan bawah 18 tahun pula berjaya dimenangi oleh adik Mivian Chua Cheng Ling dari rumah Marikh dan telah mendapat 3 pingat emas dan 1 pingat perak. Manakala olahragawan kategori lelaki bawah 18 tahun dimenangi oleh adik Haikal Ifzan yang telah memperoleh 3 pingat emas dari rumah Zuhal.

Kejohanan kali ini telah melabuhkan tirainya pada jam 1.00 petang.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Barisan VIP, pentadbir dan guru SMKTPB