1

Multaqa Guru Pendidikan Islam Siri Pertama Tahun 2024

26 Ogos 2024: Menjunjung Amanah dan Tanggungjawab menjadi tema Multaqa Guru Pendidikan Islam (GPI) Siri Pertama Tahun 2024 yang julung-julung kali diadakan.

Multaqa membawa maksud pertemuan dan percambahan pemikiran itu telah disertai seramai 200 orang guru pendidikan islam seluruh Wilayah Persekutuan Labuan di Dewan Juara Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan.

Tujuan Multaqa GPI ini diadakan adalah untuk merapatkan ukhuwwah serta mengukuhkan jamaah di kalangan GPI. Disamping itu multaqa ini juga diharap mampu meningkatkan komitmen dan kerjasama di kalangan GPI di wilayah ini dalam usaha untuk merealisasikan kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar. Juga diharapkan program ini akan dapat meningkatkan motivasi diri GPI untuk membina kecemerlangan diri dan organisasi.

Ucaptama Multaqa telah disampaikan oleh Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Tuan Haji Abidin bin Marjan.

Hadir sama Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Tuan Haji Sawal bin Haji Mohd Salleh, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan Tun Haji Mohd Nizzam bin Yassin, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha En Wan Ahmad bin Wan Awang, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Kamariah binti Salim dan Guru-guru




PROGRAM PERKAMPUNGAN BAHASA BITARA DAN JELAJAH BAHASA

WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN, 14 Ogos – Program Perkampungan Bahasa Bitara dan Jelajah Bahasa telah diadakan dari 25 hingga 26 Jun 2024 bertempat di Kompleks Darul Kifayah, Majlis Agama Islam WP Labuan. Program ini telah dirasmikan oleh Tuan Haji Abidin bin Haji MarjanK.M.N, B.S.K Pengarah, Jabatan Pendidikan WP Labuan. Program Perkampungan Bahasa Bitara dan Jelajah Bahasa ini ialah program yang diadakan khusus untuk calon-calon SPM di semua sekolah menengah dan program ini merupakan kolaboratif Bersama Bahagian Sukan, Kesenian dan Kokurikulum(BSKK) Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pendidikan WP Labuan manakala SSN SMK Mutiara pula menjadi pengerusi pengelola bagi program ini.

Perkampungan Bahasa Bitara dilaksanakan di bawah inisiatif #108 Pemartabatan Pendidikan Bahasa Melayu, dibawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013-2025). Oleh sebab itu, pelaksanaan program ini selaras dengan hasrat KPM melahirkan murid yang holistik dan menyokong teras keempat daripada tujuh teras utama KPM iaitu mengelakkan keciciran pendidikan, masalah literasi dan merapatkan kesenjangan pendidikan. Program ini juga menekankan konsep pembelajaran luar bilik darjah yang menyeronokkan dan menggembirakan.

Matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk membantu meningkatkan kecemerlangan murid dalam ujian bertutur Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Selain itu, program yang dilaksanakan juga bertujuan menyediakan peluang kepada murid-murid untuk meneroka pelbagai maklumat melalui aktiviti bertutur dalam Bahasa Melayu dan seterusnya meningkatkan keseronokan ketika melakukan aktiviti bahasa di luar bilik darjah. Selain itu juga, program ini diadakan sebagai sebahagian daripada aktiviti Task Force Bahasa Melayu SPM WP Labuan yang bermatlamat untuk meningkatkan pencapaian calon-calon SPM semua sekolah menengah khususnya dalam subjek Bahasa Melayu.

Program Perkampungan Bahasa Bitara dan Jelajah Bahasa ini telah berlangsung selama dua hari bermula pada 25 Jun sehingga 26 Jun 2024 dengan melibatkan semua sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Labuan. Program ini telah berjaya menghimpunkan   seramai 388 orang murid dan 70 orang guru.  Antara aktiviti menarik yang telah dilaksanakan ialah sesi pembentangan bahan-bahan berkaitan tema ujian bertutur Bahasa Melayu SPM oleh para pembentang terpilih daripada setiap sekolah menengah. Di samping itu juga, para pembentang turut melakukan inovasi dan mempamerkan kreativiti masing-masing semasa menerangkan bahan-bahan yang dipamerkan. Bagi meningkatkan pemahaman murid-murid tingkatan 5 yang berkunjung ke setiap tapak pameran, murid-murid digalakkan untuk bersoal jawab dengan para pembentang mengikut aras pemikiran yang sesuai berdasarkan bahan pameran yang dipaparkan. Pada akhir Program Perkampungan Bahasa Bitara dan Jelajah Bahasa ini, semua sekolah menerima cenderahati dan hamper daripada pihak penganjur.

Sesungguhnya penganjuran program ini  dapat memberikan impak yang positif kepada murid dalam mempraktikkan cara berkomunikasi dengan baik dan bertatasusila. Seterusnya, kesan baik program ini adalah membina keyakinan diri murid semasa berkomunikasi dengan pelbagai pihak. Menerusi program yang dilaksanakan ini juga, murid dapat mengasah kemahiran bertutur dengan lebih berkesan dan lebih bersedia menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang tiba. Oleh sebab itu, adalah diharapkan kesinambungan penganjuran program ini akan diteruskan agar dapat memberi impak kepada semua calon SPM yang berada di WP Labuan.

Aktiviti pembentangan oleh para pembentang daripada setiap sekolah menengah di WP Labuan

Sesi Penyampaian hadiah kepada penerima anugerah setiap sekolah

Peserta-peserta Program Perkampungan Bitara Bahasa dan Jelajah Bahasa

Berita Oleh : SMK Mutiara



Pendidikan Asas Kepada Pembangunan Manusia Dan Kemajuan Masyarakat

Labuan, 12 Ogos – Melalui pendidikan, seseorang individu menimba ilmu pengetahuan dan memperoleh kemahiran untuk menavigasi kompleksiti dunia ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Tuan Haji Abidin bin Marjan berkata pendidikan di sekolah bukan saja untuk mendapatkan ilmu tetapi kemampuan untuk menganalisis sesuatu ilmu yang diperoleh.

Katanya, pendidikan masa kini bukan saja tentang ilmu tetapi lebih kepada pengurusan bakat. Bagi mencapai matlamat itu, tiga(3) perkara digariskan untuk semua warga pendidikan khususnya di Wilayah Persekutuan Labuan. Antaranya guru harus memiliki kelayakan yang tinggi dan mampu menginspirasi serta membimbing murid dengan lebih baik. Guru juga perlu menguasai kemahiran digital. Disamping memastikan pembentukan jati murid yang kukuh dan berkeyakinan tinggi.

Beliau berkata demikian pada Majlis Aspirasi Guru Madani Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2024 pada sabtu lalu di Dewan Konvensyen, Ujana Kewangan.

Dalam ucapan perasmian, Tuan Haji Abidin menekankan 6 Inisiatif Kementerian Pendidikan dalam Reformasi Pendidikan Negara iaitu Penstrukturan Sistem Prasekolah, Intervensi Kurikulum, Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET), Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuhkan Bahasai Inggeris dan Pendidikan Digital.
 
Pada majlis itu turut disampaikan Anugerah Tokoh Guru Madani kepada Puan Hajjah Dayang Damit Md. Yassin manakala Anugerah Kepimpinan Madani di anugerahkan kepada Puan Norismah Moin.
 
Turut disampaikan Anugerah Tokoh Kepimpinan Guru Besar dan Tokoh Kepimpinan Pengetua serta Anugerah Guru Inovasi.
 
Majlis itu dihadiri lebih 1,600 pendidik melibatkan guru sekolah rendah dan menengah di Labuan.

 




MAHRAJAN AL QURAN SEKOLAH-SEKOLAH KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA (MQSS) PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN TAHUN 2024M/ 1446H

2 Ogos 2024: Majlis Penutupan Mahrajan Al Quran Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (MQSS) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2024 telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan petang tadi di Sekolah Kebangsaan Pekan Dua.
 
Mahrajan Al-Quran merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Islam, KPM yang bertujuan untuk mendidik jiwa dan rohani murid-murid menerusi pelbagai aktiviti dan pertandingan. Program ini juga merupakan platform terbaik dalam memupuk keyakinan dalam kalangan murid-murid selain untuk mengembangkan minat serta bakat mereka menerusi pertandingan-pertandingan seperti hafazan, tarannum dan kuiz.
 
Nilai-nilai murni yang dipupuk menerusi program Mahrajan Al-Quran amat penting untuk membentuk sahsiah murid-murid Islam serta kemenjadian mereka secara holistik selaras dengan tujuh teras utama Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu memberi penekanan kepada aspek ‘karamah insaniah’ melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti.
 
MQSS tahun ini telah dikelolakan oleh Sekolah Kebangsaan Pekan Dua, WP Labuan selama dua hari dengan penglibatan seramai 139 peserta yang mewakili 27 buah sekolah rendah dan menengah di wilayah ini. Sebanyak 3 acara yang dipertandingkan iaitu tilawah Al Quran sekolah rendah dan menengah, Hafazan sekolah rendah dan menengah, Qiraatus Sab’i wa Taranum sekolah menengah dan kuiz ilmu wahyu sekolah menengah.
 
Dalam ucapan perasmian penutupan oleh tuan Haji Abidin bin Marjan berkata, beliau cukup yakin penganjuran Mahrajan Al-Quran ini akan menjadi wadah yang terbaik bagi membangunkan generasi yang cemerlang dan unggul dalam pelbagai aspek menerusi penghayatan terhadap ajaran al- Quran.
 
“Di samping dapat memartabatkan lagi syair Islam, saya percaya banyak potensi dan kelebihan anak-anak kita dapat dicungkil dan diketengahkan supaya bakat dan kemahiran membaca Al Quran yang mereka miliki dapat dikembangkan dengan sepenuhnya.” Katanya lagi.
 
Semoga peserta yang mewakili WP Labuan ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan di negeri Perak Darul Ridzuan pada 27 – 30 September nanti beroleh kejayaan. InshaAllah.
 
Majlis tersebut turut dihadiri Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembelajaran, Puan Noraini Haji Sahbudin, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan, Kamariah binti Salim Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam, guru besar, guru-guru dan ibu bapa.



SMK PANTAI JUARA BERGANDA KEJOHANAN HOKI MSSWP LABUAN  2024

Labuan, 1 Ogos – SMK Pantai muncul sebagai johan keseluruhan Kejohanan Hoki MSSWPL yang berlangsung pada 23 hingga 26 Julai 2024 di Padang Labuan International School (LIS). Dalam perlawanan akhir kategori Lelaki 18 Tahun SMK Pantai menewaskan Sekolah Sukan Negeri (SSN) SMK Mutiara dengan jaringan 2 – 0, manakala dalam perlawanan akhir kategori Perempuan 18 Tahun SMK Pantai menewaskan SSN SMK Mutiara dengan jaringan 1 – 0.

Kejohanan selama 4 hari itu disertai 8 buah sekolah menengah di WP Labuan. SMK Pantai juga merupakan sekolah pengelola bagi kejohanan kali ini.

Pasukan SMK Pantai dilatih oleh Cikgu Hassan Abadin, Cikgu Brolin Peter Ugau, Cikgu Suhaimi Ramli dan Cikgu Sharania a/p Gunasegaran.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Encik Awang Marten bin Datuk Haji Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Turut hadir ialah Pengetua SMK Pantai Ismail Abdullah, Guru Besar SK Bukit Kalam Ustazah Dalilah Desa selaku Pengerusi Pengelola Bersama bagi kejohanan kali ini, serta Cikgu Saifol Abdul selaku Pengerusi Teknik Hoki MSSWP Labuan.

Sebanyak 7 Anugerah Khas telah dimenangi oleh SMK Pantai iaitu :

PENYERANG TERBAIK P18

Adreana Bathreesya Binti Rizuan Nizzam

PEMAIN TENGAH TERBAIK & PEMAIN TERBAIK KEJOHANAN P18

Maz Aryani Zulaikha Binti Taib

PENJAGA GOL TERBAIK P18

Avyra Albertus Voo

PENJAGA GOL TERBAIK L18

Mohammad Ilham Haqemy bin Mohammad Farizal

PEMAIN TENGAH TERBAIK L18

Muhamad Amirul Hakimi

PENYERANG TERBAIK L18

Ahmad Fudhail bin Ahmad Fuad

JOHAN KESELURUHAN

SMK Pantai

Pengetua SMK Pantai Encik Ismail Abdullah gembira dengan momentum kemenangan ini setelah muncul juara berganda Kejohanan Bola Baling MSSWP Labuan 2024 dua minggu sebelumnya. Ucapan penghargaan kepada PIBG dan ibu bapa yang memberi sokongan dan dorongan kepada anak-anak demi mencapai maksud slogan “SMK Pantai Mengangkat Martabat Murid”.