1

IHTIFAL LUGHAWI SEKOLAH-SEKOLAH PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN TAHUN 2024

Labuan, 12 September 2024 – Majlis Penutupan Iftifal Lughawi Sekolah-sekolah (ILSS) Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2024 telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Bukit Kallam petang tadi. 

Iftifal Lughawi pada tahun ini dikelolakan oleh Sekolah Kebangsaan Bukit Kallam dengan tema Adab dan Nilai Menjana Karamah Insaniah. Ia melibatkan seramai 203 peserta sekolah rendah, 58 peserta sekolah menengah dan 38 orang juri dengan penyertaan daripada 17 buah sekolah rendah dan 10 buah sekolah menengah. Acara yang dipertandingkan kategori sekolah rendah ialah Kalam Jamaie, Kalam Arabi dan Daie Cilik. Manakala acara sekolah menengah pula ialah Kuiz Bahasa Arab, Kalimatus Sobah, Mimbar Daie. Sekolah Kebangsaan Pekan Satu dan Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori sekolah rendah manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori sekolah menengah.

ILSS yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan ini merupakan satu platform yang amat penting untuk para pelajar kita memperkasa dan memperhalusi penguasaan mereka dalam bahasa Arab. Di sinilah medan untuk menguji bakat para peserta bukan hanya dari segi kefasihan berbahasa tetapi juga dari segi pemahaman budaya, kesenian dan kesusasteraan yang kaya dengan makna.

Perasmian penutupan Ihtifal Lughawi telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan puan Noraini binti Sahbudin yang mewakili Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Turut hadir hadir dalam majlis ini Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam ustazah Kamariah binti Salim, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas Tuan Haji Sahbudin Bin Ag. Muhamad, Ketua Penolong Pengarah Sektor Teknologi Maklumat Puan Hajjah Murniza Binti Mohammad, Guru besar daripada semua sekolah rendah, wakil pengetua, guru-guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab serta ibu bapa dan penjaga murid.

Semoga peserta yang akan mewakili Wilayah Persekutuan Labuan dalam Ihtifal Lughawi KPM Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Terengganu pada 24-27 Oktober ini beroleh kejayaan yang cemerlang.




KURSUS KEPAKARAN GURU BIMBINGAN DAN KAUNSELING

WP Labuan, 9 dan 10 September – Sektor Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Pendidikan WP Labuan telah menganjurkan Kursus Kepakaran Guru Bimbingan dan Kaunseling serta Kaunselor Matrikulasi yang bertempat di Dewan Seminar Rafflesia, Kompleks Ujana Kewangan.

Objektif kursus ini adalah untuk mewujudkan Kumpulan Guru Bimbingan dan Kaunseling yang berkemahiran dan kompeten sebagai responder pertama di sekolah terhadap isu anti gangguan seksual dan intervensi pencegahan bunuh diri demi memastikan kesejahteraan psikologi warga sekolah.

Kursus kepakaran yang dilaksanakan ini dibahagikan dalam dua modul, iaitu hari pertama Intervensi Anti Gangguan Seksual dan hari kedua Intervensi Pencegahan Bunuh Diri.

Bertepatan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia yang disambut pada setiap 10 September, kursus kepakaran yang diadakan ini adalah satu hari yang amat penting dalm usaha meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan bunuh diri.

Jurulatih Utama Kebangsaan yang berkongsi pengetahuan dalam kursus kepakaran ini iaitu En. Ahmad, Kaunselor Pendidikan Negeri Sarawak, Pn. Haslinda, Kaunselor Pendidikan Daerah Papar, En. Rahimen, Kaunselor Pendidikan Daerah Lahad Datu dan En. Rozan, Kaunselor Pendidikan Daerah Kudat.

Ucaptama perasmian telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Tuan Haji Sawal bin Haji Mohd Salleh.

Hadir sama, Tuan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, En Ag Marten bin Haji Abd Rahman dan Tuan Ketua Kaunselor Pendidikan Negeri Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, En Sabdin bin Japarudin.

Sesungguhnya penganjuran Kursus Kepakaran ini membuktikan bahawa Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan sangat komitmen terhadap kaunselor dan guru-guru bimbingan dan kaunseling, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan terhadap usaha-usaha memartabatkan dan menyemarakan budaya mencintai ilmu dan mengamalkan praktik penyampaian perkhidmatan Guru Bimbingan dan Kaunseling serta produktiviti sentiasa pada tahap optimum.




Program Sekolah Bitara SPM 2024 ‘Selangkah ke Menara Gading’ SMK Taman Perumahan Bedaun

LABUAN – SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah mengadakan program sekolah bitara SPM 2024 ‘Selangkah ke Menara Gading’ dengan sasaran kepada calon SPM 2024 seramai 109 orang. Program ini telah diadakan selama 4 hari iaitu bermula 27 sehingga 30 Ogos 2024 bertempat di Dewan Sri Timbalai,Pusat Koreksional WP Labuan dan Dataran Bedaun, SMK Taman Perumahan Bedaun.

Menurut Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, objektif program ini dijalankan ialah membantu murid dalam kaedah dan teknik menjawab soalan SPM untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sains dan Kimia.

Seterusnya,program ini juga dijalankan agar dapat membina keyakinan diri kepada murid SPM 2024 bahawa mereka boleh mencapai kejayaan jika berusaha tanpa mengenal erti jemu dengan cara menanamkan sikap positif, meningkatkan keyakinan diri, bekerjasama dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran serta berwawasan.

Di samping itu, murid boleh mencapai keputusan yang lebih baik dalam SPM 2024 bagi meningkatkan prestasi dan penarafan sekolah khususnya dalam Standard Kualiti pendidikan Malaysia (SKPM). Malah,program ini juga dirangka untuk meningkatkan motivasi murid SPM 2024 agar sentiasa bersemangat tinggi dalam usaha mencapai kejayaan.

Terdapat pelbagai slot ataupun bengkel teknik menjawab telah dilaksanakan sepanjang 4 hari program tersebut berlangsung. Sepanjang program ini berlangsung, banyak perkongsian teknik menjawab soalan yang telah diberikan oleh penceramah-penceramah jemputan bagi mata mata Pelajaran yang terlibat.

Perkongsian Teknik menjawab SPM yang telah diberikan oleh para penceramah telah membantu murid untuk menggunakan peluang dan ruang yang ada bagi menjawab persoalan yang berkaitan dengan permasalahan yang berlegar di minda murid untuk menngetahui isi dan markah yang mencukupi dalam peperiksaan nanti.

Setiap slot bengkel teknik menjawab ini juga telah diisi dengan memberikan sijil penghargaan kepada peserta yang paling aktif dalam bengkel tersebut. Selain itu, unit bimbingan kaunseling sekolah juga telah mengambil peluang dengan mengadakan slot motivasi sebagai penyuntik semangat kepada smua calon SPM 2024 yang bakal menduduki SPM tidak lama lagi dengan menjemput penceramah dari Kota Kinabalu.

Majlis penutupan program ini telah disempurnakan oleh Tuan Saat Bantalani iaitu Timbalan Penguasa Penjara Pusat Koreksional Labuan.

Pada masa yang sama juga, pihak sekolah telah mengadakan sesi tandatangan Sijil Jalinan Rakan Strategik antara SMK Taman Perumahan Bedaun dan Pusat Koreksional WP Labuan, Jabatan Penjara Malaysia.

Setelah berakhirnya program ini, pihak sekolah khususnya akan terus membantu calon SPM 2024 tanpa henti untuk sama-sama memperolehi keputusan yang cemerlang sekali gus meningkatkan pencapaian SPM sekolah.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Semua peserta program Bitara Sekolah SPM 2024 bergambar bersama Timbalan Penguasa Penjara, Tuan Saat Penguasa Penjara dan Pengetua Puan Norazita



SMK PANTAI Johan Keseluruhan Olahraga MSSWP Labuan 2024

Labuan, 8 September 2024 – SMK Pantai berjaya merampas gelaran johan keseluruhan Kejohanan Olahraga MSSWP Labuan 2024 yang telah berlangsung pada 2-6 September 2024 di Kolej Matrikulasi Labuan.

SMK Pantai berjaya memenangi 18 emas, 17 perak dan 10 gangsa. Tempat kedua ialah SSN SMK Mutiara yang memenangi 16 emas, 14 perak dan 19 gangsa. Manakala tempat ketiga ialah SMK Labuan yang memenangi 12 emas, 8 perak dan 9 gangsa. Sebanyak 11 sekolah bertanding dalam kategori sekolah menengah.

SMK Pantai yang disertai oleh 58 orang atlit serta 11 orang guru sebagai pengurus dan jurulatih juga telah memenangi anugerah khas Pasukan Terbaik Kategori P15 (6 emas, 2 perak, 2 gangsa), Pasukan Kedua Terbaik Kategori P18 (7 emas, 3 perak, 3 gangsa), serta Pasukan Kedua Terbaik Kategori L18 (7 emas, 4 perak, 3 gangsa)

Tiga orang murid SMK Pantai juga telah berjaya mencatat rekod baru kejohanan:

  1. MUHAMMAD SULAIMAN BIN HASNUL HADI dalam acara LONTAR PELURU L15 mencatat rekod baru 13.04 meter, mengatasi rekod lama 12.66 meter yang dicatat oleh Jeffrey Chan Wen Jie dari SSN SMK Mutiara pada 2014.
  2. MUHAMMAD HANIF ILHAM BIN NORAEDY dalam acara LOMPAT KIJANG L18 mencatat rekod baru 13.33 meter mengatasi rekod lama 13.30 meter yang dicatat oleh Aizul Hussin dari SSN SMK Mutiara pada 2020.
  3. DIYA KHALISH KASRYANTO dalam acara LOMPAT JAUH P15 mencatat rekod baru 4.74 meter, mengatasi rekod lama 4.68 meter yang dicatat oleh Fatin Nur Afifah Abdul Jamil dari SMK Labuan pada 2012 ‎
Pengarah Pendidikan, Tuan Haji Abidin Marjan (kiri) bersama Diya Khalish (tengah) dan pemenang acara lompat jauh P15

Pengetua SMK Pantai, Encik Ismail Abdullah berkata kejayaan besar ini adalah hasil daripada perancangan dan latihan berterusan dan berfokus selama setahun. Pencapaian 18 emas mengatasi sasaran awal iaitu 16 emas.  

Encik Ismail mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas komitmen dan sokongan PIBG, para ibu bapa serta pasukan pengurus dan jurulatih yang terdiri daripada Encik Hassan Abadin, Puan Royani Abd Hamid, Encik Sabri Nullah, Encik Brolin Peter, Puan Christie Cherry Alfred, Puan Didie Pilin, Puan Muhairah Basrin, Puan Zarina Md Zuki, Puan Norlia Baba, Puan Cyntia Zauti, Encik Muhammad Harraz Nazi, Encik Wilter Jonathan Ebang dan Encik Muhammad Shaiful Aidil Mohd Syafaruddin.

SMK Pantai berazam untuk mengekalkan kejuaraan tahun depan dan akan memulakan perancangan ke arah matlamat tersebut tidak lama lagi.

Majlis Penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Tuan Haji Abidin Marjan, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan. Turut hadir ialah Encik Awang Marten bin Abdul Rahman (Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid), Encik Yahya bin Ahmad Puteh (Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Tuan Haji Sawal bin Salleh (Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah), Puan Noraini Sahbudin (Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, para pengetua dan guru besar.

Kejohanan kali ini dianjurkan oleh pengelola bersama iaitu SM Sains Labuan dan SK Bebuloh. Di akhir majlis , bendera kejohanan diserahkan oleh Pengarah Pendidikan kepada pengelola bersama tahun 2025 iaitu SMK Pantai dan SK Lubok Temiang.

Berita Oleh : SMK Pantai

Pengetua Encik Ismail bersama pengurus dan jurulatih SMK Pantai