1

MAKOM SMK Labuan Meraikan Pencapaian Cemerlang Pelajar dan Guru 2023

Labuan, 8 Disember – 5 kategori anugerah telah diberikan kepada pelajar dan guru SMK Labuan yang telah berjaya mengharumkan nama SMK Labuan dalam pertandingan di peringkat negeri mahupun kebangsaan. Majlis Anugerah Kokurikulum telah dijalankan pada Jumaat lepas bertempat di Dewan Mutiara SMK Labuan.

Kira-kira seramai 79 orang pelajar dan 42 orang guru yang terdiri daripada pelbagai Badan Unit Beruniform sekolah telah menerima anugerah yang terdiri daripada Anugerah Pencapaian Kelab & Persatuan Terbaik, Anugerah Sukan & Permainan Terbaik, Anugerah Badan Beruniform Paling Aktif, Anugerah Khas Pengetua dan Anugerah Tokoh Kokurikulum.

Pengetua SMK Labuan, Tuan Haji Mohd Nizam bin Yasim dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada pelajar dan guru atas pencapaian yang telah diperoleh di peringkat negeri dan kebangsaan. Beliau juga telah memberi galakan kepada pelajar untuk sentiasa memberikan usaha yang terbaik dalam mana-mana penyertaan yang dipertandingkan.

Anugerah Khas Pengetua telah dianugerahkan kepada Muhammad Danial Danish bin Mohd Atzuwan dan Nichole Tiong Yen Hui bagi kategori menegah rendah.

Selain itu, pelajar Moses Yi Xi Hong dan Nicole Grace Wong pula adalah penerima Anugerah Khas Pengetua bagi kategori menengah atas. Kejayaan pelajar-pelajar ini bukan sahaja kerana mereka terlibat aktif dalam penyertaan di dalam pertandingan, malah mereka juga aktif dalam menggalas tanggungjawab sebagai pengawas dan juga jawatan lain di sekolah.

Anugerah Tokoh Pelajar pula telah dianugerahkan kepada Awang Mikhail Shariff bin Kamel Shariff sebagai Putera KOKUM, manakala Zukrina Azra binti Zainudin adalah penerima bagi Puteri KOKUM. Mereka merupakan pelajar yang sangat aktif dalam penyertaan sukan di peringkat sekolah, negeri dan juga kebangsaan. Selain daripada terlibat aktif dalam Kejohanan Olahraga MSSWPL, mereka juga telah mengutip emas dalam pertandingan yang telah diceburi. Antaranya adalah, mendapat emas dalam pertandingan 100 meter, 200 meter, 4 x 100 meter, 4 x 400 meter, lompat jauh dan lompat kijang. Tambahan pula, pelajar Zukrina Azra telah mendapat gelaran olahragawati pada kejohanan tersebut.

Tuan Haji Mohd Nizam bin Yasim juga menzahirkan rasa syukur dan mengucap akan tahniah kepada semua guru yang berusaha untuk memberi latihan dan bimbingan kepada pelajar untuk terus berjaya dalam pertandingan yang telah disertai.

Berita Oleh : SMK Labuan