1

KURSUS KEPAKARAN GURU BIMBINGAN DAN KAUNSELING

WP Labuan, 9 dan 10 September – Sektor Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Pendidikan WP Labuan telah menganjurkan Kursus Kepakaran Guru Bimbingan dan Kaunseling serta Kaunselor Matrikulasi yang bertempat di Dewan Seminar Rafflesia, Kompleks Ujana Kewangan.

Objektif kursus ini adalah untuk mewujudkan Kumpulan Guru Bimbingan dan Kaunseling yang berkemahiran dan kompeten sebagai responder pertama di sekolah terhadap isu anti gangguan seksual dan intervensi pencegahan bunuh diri demi memastikan kesejahteraan psikologi warga sekolah.

Kursus kepakaran yang dilaksanakan ini dibahagikan dalam dua modul, iaitu hari pertama Intervensi Anti Gangguan Seksual dan hari kedua Intervensi Pencegahan Bunuh Diri.

Bertepatan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia yang disambut pada setiap 10 September, kursus kepakaran yang diadakan ini adalah satu hari yang amat penting dalm usaha meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan bunuh diri.

Jurulatih Utama Kebangsaan yang berkongsi pengetahuan dalam kursus kepakaran ini iaitu En. Ahmad, Kaunselor Pendidikan Negeri Sarawak, Pn. Haslinda, Kaunselor Pendidikan Daerah Papar, En. Rahimen, Kaunselor Pendidikan Daerah Lahad Datu dan En. Rozan, Kaunselor Pendidikan Daerah Kudat.

Ucaptama perasmian telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Tuan Haji Sawal bin Haji Mohd Salleh.

Hadir sama, Tuan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, En Ag Marten bin Haji Abd Rahman dan Tuan Ketua Kaunselor Pendidikan Negeri Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, En Sabdin bin Japarudin.

Sesungguhnya penganjuran Kursus Kepakaran ini membuktikan bahawa Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan sangat komitmen terhadap kaunselor dan guru-guru bimbingan dan kaunseling, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan terhadap usaha-usaha memartabatkan dan menyemarakan budaya mencintai ilmu dan mengamalkan praktik penyampaian perkhidmatan Guru Bimbingan dan Kaunseling serta produktiviti sentiasa pada tahap optimum.