1

IHTIFAL LUGHAWI SEKOLAH-SEKOLAH PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN TAHUN 2024

Labuan, 12 September 2024 – Majlis Penutupan Iftifal Lughawi Sekolah-sekolah (ILSS) Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2024 telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Bukit Kallam petang tadi. 

Iftifal Lughawi pada tahun ini dikelolakan oleh Sekolah Kebangsaan Bukit Kallam dengan tema Adab dan Nilai Menjana Karamah Insaniah. Ia melibatkan seramai 203 peserta sekolah rendah, 58 peserta sekolah menengah dan 38 orang juri dengan penyertaan daripada 17 buah sekolah rendah dan 10 buah sekolah menengah. Acara yang dipertandingkan kategori sekolah rendah ialah Kalam Jamaie, Kalam Arabi dan Daie Cilik. Manakala acara sekolah menengah pula ialah Kuiz Bahasa Arab, Kalimatus Sobah, Mimbar Daie. Sekolah Kebangsaan Pekan Satu dan Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori sekolah rendah manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori sekolah menengah.

ILSS yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan ini merupakan satu platform yang amat penting untuk para pelajar kita memperkasa dan memperhalusi penguasaan mereka dalam bahasa Arab. Di sinilah medan untuk menguji bakat para peserta bukan hanya dari segi kefasihan berbahasa tetapi juga dari segi pemahaman budaya, kesenian dan kesusasteraan yang kaya dengan makna.

Perasmian penutupan Ihtifal Lughawi telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan puan Noraini binti Sahbudin yang mewakili Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Turut hadir hadir dalam majlis ini Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam ustazah Kamariah binti Salim, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas Tuan Haji Sahbudin Bin Ag. Muhamad, Ketua Penolong Pengarah Sektor Teknologi Maklumat Puan Hajjah Murniza Binti Mohammad, Guru besar daripada semua sekolah rendah, wakil pengetua, guru-guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab serta ibu bapa dan penjaga murid.

Semoga peserta yang akan mewakili Wilayah Persekutuan Labuan dalam Ihtifal Lughawi KPM Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Terengganu pada 24-27 Oktober ini beroleh kejayaan yang cemerlang.