1

Kunjungan Ketua Polis Labuan Pada Hari Pertama Persekolahan

Labuan, 7 Januari – Ketua Polis IPD Labuan Superintendan Hj Mohamad Farid bin Ahmad dan rombongan telah membuat kunjungan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan pada 2hb Januari 2019 iaitu pada hari pertama persekolahan tahun 2019.

Ketika berucap dalam perhimpunan pagi, Superintendan Hj Mohamad Farid menyeru murid-murid sekolah sentiasa memberi tumpuan kepada pelajaran dan penglibatan dalam aktiviti-aktiviti sekolah yang bertujuan memupuk kebolehan diri serta meningkatkan kualiti sahsiah diri.

Murid-murid mesti mempunyai kekuatan untuk menghindarkan diri daripada risiko dan pengaruh yang tidak baik daripada rakan-rakan sebaya.

Kesilapan dalam membuat pertimbangan akan menjejaskan tumpuan kepada pelajaran dan usaha untuk mencapai sesuatu kejayaan.

Beliau juga berharap, murid-murid dapat bertindak sebagai mata dan telinga pihak polis , memberi maklumat berkaitan kegiatan-kegiatan tidak sihat yang berlaku dalam kalangan rakan-rakan.

Tujuannya supaya kegiatan tersebut dapat dibanteras dan murid-murid yang terlibat tidak terjerumus dalam kegiatan yang merosakkan masa depan mereka.

Pihak polis akan sentiasa membantu pihak sekolah dari segi pencegahan dan pembangunan diri murid-murid kerana itu merupakan sebahagian daripada sumbangan pihak polis kepada masyarakat.

Sementara itu, dalam ucapan aluan Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah, pihak sekolah  sangat menghargai komitmen pihak IPD membantu sekolah dalam hal berkaitan pencegahan jenayah dan aktiviti-aktiviti tidak sihat dalam kalangan murid SMK Labuan.

Pihak sekolah telah mewujudkan medium komunikasi whatsapp bersama pegawai perhubungan polis untuk memudahkan penyaluran maklumat dari kedua-dua pihak.

Semoga kerjasama ini dapat membantu memudahkan usaha sekolah melakar kejayaan dan mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang, memberi peluang kepada ramai murid terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang boleh membawa nama baik SMK Labuan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Turut hadir  DSP Firdaus bin Ramli, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, ASP Syed Asrul Sani bin Syed Adnan, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Labuan, merangkap Pegawai Perhubungan Polis SMK Labuan, ASP Sukvinderjeet Singh, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, IPD Labuan,  En Mohd Nizam bin Yasim, Pegawai Sektor Pengurusan Akademik JPWP Labuan, merangkap Pegawai Angkat SMK Labuan, Ustazah Marziawati binti Mardan, Penolong Kanan HEM SMK Labuan, En Cheah Teong Aik, Penolong Kanan Kokurikulum, SMK Labuan, En Saminan bin Sabtu, Penolong Kanan Pusat Tingkatan Enam, SMK Labuan.

Dari Kiri, ASP Syed Asrul Sani, Encik Ismail, Encik Nizam, Superintendan Hj Mohamad Farid, DSP Firdaus dan ASP Sukvinderjeet Singh

Berita Oleh:
Encik Ismail Abdullah
Pengetua SMK Labuan