1

The 4th International Creativity and Innovation Exhibition & Language Teaching Seminar

Panitia
Bahasa Inggeris Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara Wilayah Persekutuan Labuan
dengan kerjasama Unit Bahasa, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan
telah menganjurkan The 4th International Creativity and Innovation
Exhibition & Language Teaching Seminar atau ringkasnya 4th CAIELTS
2019 pada 27 Julai 2019 bertempat di Dewan Semarak SMK Muiara. Program tersebut
juga telah mendapat sokongan Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Mutiara dan SISC+
Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Majlis perasmian pembukaan 4th
CAIELTS 2019 telah disempurnakan oleh Encik Mohd Nizam bin Yasim, Pengetua SMK
Mutiara selaku Penasihat CAIELTS. Dalam ucapannya, beliau merakamkan
penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan
Wilayah Persekutuan Labuan kerana telah menyokong usaha sekolah meningkatkan
kualiti pedagogi melalui perkongsian amalan baik pembentangan kertas kerja dan
pameran produk kreatif dan inovatif oleh guru-guru dalam dan luar Labuan.

Menurutnya lagi, CAIELTS bermula sebagai
latihan dalam perkhidmatan peringkat Panitia Bahasa Inggeris SMK Mutiara yang pernah
dipimpin oleh Dr. Hyginus Lester dan dahulunya dikenali sebagai Creative and
Innovative English Language Teaching Seminar pada tahun 2016. Namun, tahun 2017
memperlihatkan penjenamaan semula CAIELTS sebagai Creativity and Innovation
Exhibition & Language Teaching Seminar kerana peranannya yang lebih meluas.
Ucapan terima kasih dilahirkan kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi
Nasional Labuan dan Innospace Labuan kerana telah menjadi kolaborator CAIELTS
pada tahun 2016 dan 2017.

Beliau turut mengalu-alukan penyertaan 18 pembentangan kertas kerja, 48 pempamer, 19 peserta, 3 hakim inovasi, dan 21 orang ahli jawatankuasa pengelola.  Antara yang hadir dalam seminar tersebut adalah Ikon Guru Kebangsaan, Dr. Hyginus Lester Junior Lee, Ikon Guru Labuan Puan Suriani Alland Rice Oxley dan Encik Samih bin Kukung serta Guru Adiwira Labuan, Cik Norfadzillah Chin dan Encik Yahya Burhanuddin.

Guru sedang menerangkan bahan pameran kepada pengunjung dari negara Jepun

Pengerusi Pengelola CAIELTS, Dr. Hyginus Lester
Junior Lee menyatakan bahawa CAIELTS tahun ini lebih unik dan istimewa kerana
menyelit pembentangan maya daripada dua pembentang luar negara, Profesor Madya
Dr. Jonathan Mark Newton dan Dr. Bui Le Diem Trang (Vietnam), masing-masing
pensyarah kanan dan lulusan pascasiswazah Victoria University of Wellington,
New Zealand. Pembentangan maya itu adalah tentang pengajaran bahasa Inggeris
melalui Task-based Language Teaching (TBLT) yang berjaya menggalakkan kemahiran
komunikatif dan pembelajaran berpusatkan murid.

Sally Ann Scott dari Labuan English Academy
adalah salah seorang pembentang fitur (featured speaker) dalam CAIELTS. Berasal
dari United Kingdom, beliau berkongsi teknik dan petua mengajar bahasa Inggeris
sebagai bahasa kedua dalam konteks sekolah rendah di Labuan. Puan Tomomi Iyama
dari NPO SAM Japan dan Encik Daichi Baba dari ZenFoods Japan berkongsi tentang penjagaan
kesihatan di sekolah-sekolah Jepun.

Dalam ucapan perasmian penutupan 4th CAIELTS 2019, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin bin Saidin menyatakan bahawa seminar pengajaran bahasa seperti ini dapat mendedahkan dan menerapkan amalan pedagogi kreatif dan inovatif dalam kalangan guru berorientasikan konsep pembelajaran abad ke-21, lantas mampu meningkatkan penguasaan dan profisiensi murid dalam bidang bahasa menggunakan aktiviti yang menarik dan efektif. Pameran kreativiti dan inovasi pula menjadi platform guru-guru berpengalaman memperkenalkan amalan pedagogi kreatif dan inovatif untuk dikongsi bersama, mempersembahkan kaedah pembelajaran dan pengajaran lebih menarik, membincangkan isu dan cabaran dalam pendidikan abad ke-21, dan membangunkan motivasi dan minat murid dalam pembelajaran serta menjana pemikiran yang lebih kritis. Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Encik Louren Abon, Pegawai SIP+ Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, wakil rasmi Pengarah Pendidikan.

Majlis Perasmian penutupan oleh Encik Louren (kiri) bersama Encik Mohd Nizam, Dr. Hyginus dan Puan Siti Aminah

The
4th CAIELTS 2019 turut memberikan sijil penghargaan kepada tiga
orang inovator dalam kalangan pegawai pendidikan yang telah mengharumkan nama
sekolah, jabatan, negeri, dan negara dalam program kreativiti dan inovasi
peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Penerima sijil tersebut adalah Puan
Suriani Alland Rice Oxley, Dr. Hyginus Lester Junior Lee, dan Encik Samih bin
Kukung.

Bagi
penilaian pembentangan pengajaran bahasa, Dr. Hyginus Lester Junior Lee meraih
pingat emas dengan tajuk kajian “The Mystery of As”. Penerima pingat emas yang lain
ialah Encik Samih bin Kukung (Velcro Smart Board Innovation – SK Lubok Temiang),
Puan Junaidah Baharuddin dan Cik Norsuziana Amnor (ROGABA – SMK Mutiara), Pasukan
SISC+ (Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan),
dan Noor Azma Mukhtar (Keberkesanan Penggunaan Simbol Nombor Dalam Proses Tranformasi
Ayat – SM Sains Labuan). Anugerah Pilihan Hakim bagi pembentangan terbaik
pengajaran bahasa dirangkul oleh Encik Samih bin Kukung dan Dr. Hyginus Lester
Junior Lee.

Penilaian
Pameran Kreativiti dan Inovasi melihat pasukan I SPY 5 Starflowers (SMK Mutiara),
Velcro Smart Board Innovation (SK Lubok Temiang), Model E-VAR (SMK Mutiara), BaTaSuSiRum
(SM St. Anne), Biology A+ Secretbox (SM Sains Labuan), Grammar Blocks (SM Sains
Labuan), DIY Mini Kit (SM Sains Labuan), Kit ALLIN 1 (SK Sangkabok, Kuala Penyu),
CoCA-Or-La (SM Sains Labuan), dan Lukisan Kronologi (SM Sains Labuan) meraih
pingat emas. Anugerah Pilihan Hakim kategori kreativiti dan inovasi dirangkul
oleh Kit ALLIN 1 (SK Sangkabok, Kuala Penyu), KIT DIY Mini Kit (SM Sains Labuan),
dan Lukisan Kronologi (SM Sains Labuan).

Turut hadir dalam The 4th CAIELTS 2019 ialah Puan Siti Aminah binti Zakaria (Penolong Kanan Pentadbiran SMK Mutiara) dan Encik Josten Lamibai (Penolong Kanan Kokurikulum SMK Mutiara).

Berita Oleh : SMK Mutiara

Pemenang Pingat Emas Kreativiti dan Inovasi (Pasukan I SPY 5 Starflowers – SMK Mutiara)
(dari kiri: Dr. Hyginus, Puan Sally Ann Scott, Encik Mohd Nizam, Puan Tamomi Iyama, Encik Daichi)