1

Murid 12 tahun menjuarai 4th Malaysia Open International Taekwondo Championship 2019

6 Ogos 2019 / Labuan – Mohammad Mainiezam
Bin Maswandie, murid 12 tahun yang bersekolah di SK Tanjung Aru telah
mengharumkan nama Labuan sekali lagi tahun ini dengan memenangi pingat emas
dalam 4th Malaysia Open International Taekwondo Championship 2019 pada 2 hingga
4 Ogos yang bertempat di Stadium Juara, Mont Kiara, Kuala Lumpur, Malaysia.

Murid ini juga telah menyertai
pertandingan ini selama tiga tahun berturut-turut dan sentiasa mencapai
kejayaan yang cemerlang. Murid ini pernah mendapat tempat kedua bagi kategori
yang sama pada tahun lalu dan kini adik Mohd Mainiezam membuktikan bahawa
dirinya boleh menjadi lebih baik daripada tahun sebelum ini. Hasil daripada sokongan
dan didikan daripada ibu bapa, adik Mohammad Mainiezam akhirnya berjaya
mendapat juara pada Kejohanan ini. 
Disiplin serta azam yang tinggi daripada diri murid ini sendiri turut
menyumbang kepada kejayaannya pada kali ini.

Negara-negara
luar yang terlibat dalam pertandingan ini termasuklah Indonesia, Singapura,
Kemboja, Nepal, India, Brazil dan China. Kesemua peserta yang terlibat
memberikan saingan yang sengit dalam setiap kategori yang dipertandingkan.
Namun begitu, hal ini tidak meruntuhkan semangat murid 12 tahun ini dan setelah
bertanding selama 3 hari, murid ini membuktikan bahawa dirinya dapat mengatasi
semua cabaran dalam kategori ‘Kyorugi’ lelaki 10-12 tahun (Heavy Weight) dan
akhirnya berjaya merangkul pingat emas dengan menewaskan lawan daripada Negeri
Sembilan.

Ucapan
setinggi-tinggi tahniah juga  diberikan
kepada murid ini daripada seluruh warga SK Tanjung Aru sempena kemenangannya
pada tahun ini.