Pupuk Minat Murid Berniaga : Hari Keusahawanan SK Sungai Bedaun Berlangsung Meriah
Labuan – Penganjuran Hari Keusahawanan SK Sungai Bedaun merupakan manifestasi erat pelbagai pihak, khususnya antara warga Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bedaun dan masyarakat setempat.
Hari Keusahawanan (HK) ini berlangsung meriah dengan kehadiran
ramai pengunjung yang dianggarkan seramai 1500 orang. Pelbagai aktiviti diadakan
bermula seawal jam 6.30 pagi dan berakhir jam 3.30 petang pada 29 September yang
lalu di perkarangan sekolah tersebut.
Bertemakan ‘Sumbangan Anda, Kebanggaan Kami’, HK ini diadakan untuk meningkatkan pemuafakatan antara pihak sekolah, ibu bapa, masyarakat setempat, agensi kerajaan dan syarikat swasta ke arah mengumpul dan menambah dana PIBG, menaiktaraf infrastruktur prasarana sekolah dan sumbangan kebajikan untuk warga sekolah.
Menurut Puan Dg. Sarifah Binti A. Mahmod Guru Besar SKSB, hari keusahawanan yang julung kali diadakan di SKSB ini diharap dapat memupuk dan memantapkan semangat kerja sepasukan dan hubungan dua hala di antara warga SKSB dengan pelbagai pihak demi menjayakan program transformasi bersepadu sekolah.
Antara pengisian Hari Keusahawanan ini meliputi aspek keusahawanan, aspek pemantapan bakat , kreativiti dan inovasi dan aspek kemasyarakatan.
“Penganjuran hari keusahawanan ini merupakan salah satu wadah untuk menyatu dan meningkatkan kerjasama pihak pentadbiran, guru-guru, murid-murid, ibu bapa dan komuniti setempat. Melalui aktiviti ini pembentukan sikap, nilai murni dan integriti warga sekolah dapat dijana ke arah melahirkan sebuah persekitaran sekolah yang harmoni dan dinamik”. Katanya ketika berucap dalam majlis penutupan.
Menurutnya lagi, penglibatan
murid-murid secara aktif dalam aktiviti ini diharap dapat memberi pendedahan kepada mereka
mengenai kaedah perniagaan dan mengaplikasi pembelajaran di dalam kelas
Rekabentuk Teknologi (RBT) dalam kehidupan seharian (RBT).
“Minat keusahawanan perlulah dipupuk dari bangku sekolah lagi dan melalui program sebegini, secara tidak langsung dapat meningkatkan minat mereka dalam bidang keusahawanan,” katanya lagi.
Antara aktiviti yang dikendalikan oleh pihak sekolah ialah Jualan Makanan daripada Gerai Nasi
Berlauk, Gerai Mi, Gerai ‘Junk Food’, Gerai Minuman, Jualan ‘Pre
loved’, pertandingan mewarna, Wayang dan Sentuhan Si Comel.
Anak-anak begitu teruja menyertai pertandingan Sentuhan Si Comel. Mereka
memang cukup minat untuk bermain dengan alat solek. Justeru, inilah peluang
mereka menonjolkan minat dan bakat mereka.
Selain daripada itu, pelbagai pertandingan turut diadakan bagi
memeriahkan suasana seperti pertandingan yang melibat aktiviti Sains,
Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pertandingan ‘Beyblade’,
permainan ‘Pemburu Buta’, Ps4 dan permainan ‘Supa Dupa’.
Aktiviti yang dianjurkan oleh PIBG ialah ‘Fun Walk’ , jualan makanan, jualan kraftangan, jualan anak benih pokok dan pertandingan ‘Sedondon Kitane’. Sebanyak 21 gerai jualan luar turut memeriahkan suasana dengan pelbagai jenis jualan.
Pihak urusetia Hari Keusahawanan turut memanggil pelbagai agensi kerajaan untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan yang diberi. Antaranya ialah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba dan Penyelamat, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Perangkaan dan Jabatan Muzium Labuan.
Hari keusahawanan ini turut disertai syarikat swasta iaitu Kaunter
Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), CIMB Bank
Berhad. Rawatan Darus Syifa’ juga memberikan perkhidmatan pada hari tersebut.
Puan Kamariah Binti Salim Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) berkata, karnival keusahawanan ini merupakan Komuniti Pembelajaran Sekolah (School Learning Community) dimana pihak sekolah, murid-murid, ibu bapa dan masyarakat bersama-sama terlibat untuk melakukan penambahbaikan terhadap segala aspek di sekolah dan pada masa yang sama membantu meningkatkan peluang pembelajaran murid-murid.
“Pihak sekolah amat terharu atas komitmen dan sokongan daripada komuniti setempat khususnya Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) yang diterajui oleh Puan Wiwik Iswandari Binti Sudirman. Karnival keusahawanan yang diadakan juga merupakan cetusan idea daripada beliau dan guru besar”. Katanya.
Amat membanggakan pihak sekolah menerima lebih 100 hamper dan
sumbangan kupon berjumlah RM 2,280.00 untuk anak yatim dan golongan asnaf yang
disumbangkan oleh individu dan syarikat.
Majlis penutupan Karnival Keusahawanan diakhiri dengan penyampaian hadiah bagi setiap acara yang dipertandingkan serta cabutan nombor bertuah.
Berita Oleh : SK Sungai Bedaun