1

Warga Pendidik Di Labuan Hadiri Kempen Kesedaran Kanser Oleh MAKNA

Labuan, 09 Dis – Seramai 90 guru besar, guru-guru dan pegawai kumpulan pelaksana  menghadiri kempen Kesedaran Kanser yang dianjurkan oleh Majlis Kanser Nasional (MAKNA) di Bilik Mesyuarat Botanikal, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL)  yang telah diadakan pada 03 Disember 2019.

Kempen Kesedaran Kanser ini bertujuan untuk memberi
penerangan secara terperinci mengenai kanser, perkhidmatan MAKNA, serta
cara-cara membantu pesakit kanser untuk mendapatkan rawatan. Kempen ini telah
diurusetiakan oleh Sektor Perancangan, JPWPL.

Menurut Cik Melen Anak Sana, Pegawai Pembangunan Dana
MAKNA,  kanser boleh dicegah dan dirawat
sekiranya dikesan pada peringkat awal. Namun, kesedaran kanser di kalangan
masyarakat Malaysia masih rendah di mana kebanyakan pesakit yang datang ke
hospital bagi mendapatkan rawatan kebiasaannya berada di peringkat akhir. Tambahan
pula, kos rawatan yag tinggi sering menjadi kekangan bagi pesakit yang kurang
berkemampuan.

Majlis Kanser Nasional atau lebih dikenali sebagai MAKNA
merupakan sebuah pertubuhan sosial ditugaskan untuk mengumpulkan dan
menggunakan setiap usaha, kepakaran dan kebajikan dari setiap lapisan
masyarakat untuk melawan kanser dan mengurangkan kesakitan, penderitaan dan
morbiditi yang pesakit kanser sering alami. ‘MAKNA’ dan slogannya bermaksud
“Mengingati Makna Kehidupan” (A Meaning to Life).

Sementara itu, Puan Kamariah Binti  Salim, Penolong Pengarah Sektor
Perancangan  berkata, kempen ini di
adakan untuk memberi kesedaran kepada seluruh warga pendidika di JPWPL akan bahayanya
penyakit kanser dan pentingnya pengesanan awal bagi mengelakkan keadaan menjadi
lebih parah. 

“Kesedaran semua pihak adalah penting bagi mencegah dan mengesan kanser lebih awal. Kanser boleh dicegah dan dielak melalui amalan gaya hidup sihat. Kita berharap agar info yang disampaikan oleh pihak MAKNA dapat dikongsi kepada ahli keluarga dan rakan-rakan” katanya ketika ditemui.

Puan Sarifah Binti Suip, guru dari Sekolah Kebangsaan Pantai
berkata, taklimat yang disampaikan amat menarik serta banyak info yang
diperolehi berkaitan tanda-tanda awal kanser serta makanan yang perlu dielakkan
untuk pengidap kanser. Selain itu peserta berpeluang menyalurkan sumbangan
kepada pihak MAKNA untuk membantu pesakit-pesakit kanser yang menerima rawatan.

Turut hadir dalam kempen ini Encik Azryn Bin  Hj Mamma, penolong pengarah Sektor Sumber manusia, JPWPL.

Berita Oleh : Puan Kamariah Salim

En Azryn menyampaikan sijil penghargaan kepada Cik Melen Anak Sana