1

Tuan Haji Md Yusof Kekal YDP PIBG SMK Labuan 2020-2022

Labuan, 22 Feb 2020 – Tuan Haji Md Yusof Haji Chucu kekal sebagai Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( YDP PIBG ) SMK Labuan bagi tahun 2020 sehingga tahun 2022.

Mesyuarat Agung PIBG SMK Labuan Kali ke 22 tahun 2020 telah dirasmikan oleh Pengetua SMK Labuan merangkap penasihat PIBG, Encik Ismail Abdullah,  bertempat di Dewan Mutiara SMK Labuan, hari ini.

Encik Ismail berkata, sokongan penuh dan kerjasama antara
ibu bapa dengan pihak sekolah amat penting dalam usaha meningkatkan kecemerlangan
murid-murid SMK Labuan secara berterusan.

Katanya lagi, pihak sekolah sangat komited untuk mendidik
murid mengikut tahap kemampuan dengan harapan dapat meningkatkan keupayaan
mereka sama ada dalam bidang akademik, kokurikulum mahu pun dalam bidang
sahsiah dan disiplin.

Pelbagai strategi yang telah dirancang oleh pihak sekolah
dalam meningkatkan prestasi murid tahun 2020.

Antaranya ialah Program Setiap Murid Bernilai (Semurni 3 )
yang memberi tumpuan kepada murid tingkatan 3, dalam usaha meningkatkan
prestasi Menguasai Tahap Minimum (MTM) dalam kalangan murid-murid lemah, di
samping strategi untuk murid sederhana dan cemerlang.

Tahun ini juga, SMK Labuan menyasarkan 100% lulus iaitu layak mendapat sijil dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui program Semurni 5 dengan sasaran Gred Purata Sekolah (GPS) 4.65.

Manakala Program Sasaran GPS 3.00 dilaksanakan khusus untuk murid-murid yang menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dengan mengetengahkan pelbagai strategi kurikulum, motivasi, pendidikan luar dan sahsiah diri.

Hadirin yang hadir membanjiri Dewan Mutiara, SMK Labuan

Sementara itu, Tuan Haji Md Yusof berkata, amanat yang diberikan merupakan satu tanggungjawab yang harus beliau pikul bersama ahli jawatankuasa yang lain bagi memastikan pemuafakatan antara ibu bapa dan guru di sekolah sentiasa terjalin.

Tambahnya, Permuafakatan seumpama ini diharapkan dapat membina
kesefahaman tentang tugas dan tanggungjawab bersama dalam usaha untuk
meningkatkan mutu pengajaran guru-guru dan pembelajaran murid disekolah.

Di samping itu, PIBG juga mempunyai peranan saling melengkapi terhadap fungsi Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menyediakan prasarana, kemudahan dan suasana sekolah yang kondusif kepada murid-murid dan guru-guru di sekolah berkenaan.

Untuk rekod, seramai 500 ibu bapa dan penjaga yang hadir dalam Mesyuarat Agung kali ke 22 tahun 2020 ini.

Pemilihan Jawatankuasa PIBG SMK Labuan Tahun 2020-2022, YDP
disandang Tuan Haji Md Yusof bin Haji Chucu, Naib YDP Encik Nordin Ahmad,
Setiausaha Puan Normazrena Kadam, Penolong Setiausaha Puan Fazlinah Razali, Bendahari
Puan Lui Teck Huoy dan Penolong Bendahari Puan Junaidah Amat Sah.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Ibu Bapa terdiri daripada Leftenan Kolonel Haslen, Encik Azri Onn Othman dan Puan Susanna Koh. Manakala lantikan AJK Guru, Ustazah Norizah Abd Kadir, Encik Teng How Ching, Puan Noorul Syarhida Nurul Hadi, Puan Rafidah Md Pee, Ustaz Jailani Muda dan Encik Yusrin Ahmad. Juruaudit, Encik Russlan Saji dan Puan Zunaidah Haji Matiasin.

Sumber Berita : SMK Labuan

Pertanyaan daripada salah seorang ibu bapa yang hadir dalam Mesyuarat Agong PIBG SMK Labuan kali Ke 22