MIKHAIL RAJA PECUT KEJOHANAN OLAHRAGA MSSWPL

Encik Yusup Haji Mohamad, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan (kiri) bersama adik Mikhail (tengah) dan Encik Rosli Guru Besar SK Patau-Patau

Atlet SMK Labuan, Awang Mikhail Shariff bin Kamel Shariff, 16 tahun dinobatkan sebagai Olahragawan Lelaki Bawah 18 tahun Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL).

Kejohanan kali ke-22 anjuran Jabatan Pendidikan W.P Labuan itu telah berlangsung di Stadium Mini, Kolej Matrikulasi Labuan dari 11 hingga 15 September 2023.

Adik Mikhail turut merangkul gelaran sebagai Raja Pecut apabila berjaya mengungguli acara 100meter, 200 meter dan 4×100 meter. Selain itu, adik Mikhail juga meraih emas dalam acara 4×400 meter seterusnya membawa pulang 4 pingat emas.

“Kejayaannya ini adalah usaha berterusan dan konsisten selain hasil dorongan ibu bapa, guru-guru merangkap jurulatih yang banyak menaikkan semangat saya untuk menaikkan nama SMK Labuan” katanya ketika diminta mengulas kejayaan yang diperolehi.

Sementara itu, Olahragawati Perempuan Bawah 18 tahun menjadi milik Zukrina Azra binti Zainudin, yang juga merupakan murid SMK Labuan.

Zukrina memperoleh 5 pingat emas dalam acara Lompat Kijang, 400 meter, 200 meter serta dua acara berpasukan iaitu 4×100 meter dan 4×400 meter.

“Pencapaian SMK Labuan dalam kejohanan tahun ini amat memberangsangkan berbanding tahun 2022. Peningkatan pungutan pingat emas daripada 5 emas kepada 13 emas merupakan pencapaian terbaik murid-murid SMK Labuan dalam kejohanan ini,” Pengetua SMK Labuan Tuan Haji Mohd Nizam bin Yasim meluahkan rasa bangga di atas kejayaan Awang Mikhail Sharif bin Kamel Sharif dan semua atlet SMK Labuan.

Berita Oleh : SMK Labuan




Majlis Ihtifal Lughawi Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat WP. Labuan Tahun 2023

Labuan, 25 September – Sebanyak 16 buah Sekolah Rendah dan 10 buah Sekolah Menengah menyertai Ihtifal Lughawi Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Labuan anjuran bersama Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) pada 21 dan 22 Septermber 2023 iaitu pada hari Khamis dan Jumaat.

Antara acara yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Sungai Lada itu termasuklah pertandingan Daie Cilik, Kalam Arabiybagi Sekolah Rendah dan pertandingan Mimbar Daie, Mimbar Daie Mandarin, Kalimatus Sobah, Hiwar Bahasa Arab serta Kuiz Bahasa Arab bagi Sekolah Menengah.

Penyertaan peserta seramai 132 orang daripada semua sekolah rendah dan menengah di WP Labuan yang terdiri daripada 30 orang peserta Daie Cilik, 24 peserta kalam Arabiy, 18 peserta Mimbar Daie, 9 orang peserta Mimbar Daie Bahasa Mandarin, 5 orang peserta Kalimatussobah, 15 peserta Hiwar Menengah Rendah dan 27 orang peserta Kuiz Bahasa Arab Menengah Atas.

Majlis Penutupan Ihitfal Lughawi Sekolah-Sekolah (ILSS) telah dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Tuan Yusup bin Haji Mohamad pada hari Jumaat yang lalu.

Berita Oleh : SK Sungai Lada




NICOLE JUARA PIDATO LABUAN

Labuan, 25 Sept – Adik Nicole Grace Wong, murid tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan, telah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Pidato 2023 peringkat negeri bagi kategori menengah atas yang telah diadakan Dewan Sekolah Menengah Sains Labuan pada Khamis lalu.

Pertandingan bertemakan Sukan, Pendidikan dan Teknologi ini adalah anjuran Jabatan Pendidikan W. P Labuan telah disertai oleh 11 buah sekolah menengah di Labuan.

Dengan tajuk pidato ‘Pendidikan Cemerlang, Negara Terbilang’, adik Nicole telah mempamerkan keyakinan yang tinggi dengan hujah-hujah mantap telah berjaya menewaskan 10 peserta lain.

“Saya bersyukur kerana usaha dan persiapan yang saya lakukan selama ini terbalas. Terima kasih juga diucapkan kepada Cikgu Hastiah dan Cikgu Suzana yang telah berusaha membimbing saya hingga mencapai kejayaan bermakna ini” kata Adik Nicole yang juga seorang pengawas sekolah.

Dengan kejayaan ini, adik Nicole membawa pulang sebuah trofi dan sijil kemenangan. Selain itu adik Nicole juga akan mewakili W. P Labuan ke pertandingan peringkat kebangsaan di Selangor pada November depan.

Selain itu, seorang lagi peserta SMK Labuan, adik Annisa binti Mohd Jamali berjaya mendapat tempat ketiga kategori Menengah Rendah.

Hadiah-hadiah kemenangan telah disampaikan oleh Penolong Kanan Pentadbiran, SM Sains Labuan, Ustaz Nik Afandi bin Nik Mahmud yang mewakili Pengarah Pendidikan W.P Labuan.

Berita Oleh : SMK Labuan




SMK LABUAN JOHAN PROGRAM K3P

Labuan, 11 September – SMK Labuan telah merangkul Johan dalam Karnival Kelab Program Pelancongan Pelajar (K3P) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan pada 9 hingga 10 September 2023 lalu.

Karnival tahunan anjuran Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya W.P Labuan telah diadakan di Palm Beach Resort & Spa, Labuan disertai oleh semua sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Labuan.

SMK Labuan telah diwakili oleh empat murid yang ketuai oleh Adik Muhammad Adam bin Sufian. Turut menganggotai pasukan ialah Muhammad Fairuz Bin Herman, Nursyafiqah Aren Binti Barhama dan Eva Dylvia Henry (4C)

Menurut guru pembimbing, Puan Norul Syamila Binti Azizi, pasukan SMK Labuan menunjukkan pencapaian memberangsangkan dalam pembentangan pembangunan pakej Pelancongan bertajuk “Tourism Across Generation”.

“Murid-murid ini layak bertanding mewakili Labuan ke peringkat Kebangsaan yang akan dijadualkan pada 18-21 Oktober 2023 di Pulau Pinang” katanya lagi.

Hadiah-hadiah pertandingan telah disampaikan oleh Encik Rosli bin Mat Jinun, Penolong Pegawai Tadbir Tinggi, Pejabat Pelancongan, Seni dan Budaya W. P. Labuan.

Berita Oleh : SMK Labuan




10 GURU DAN SEORANG PKP SMK LABUAN TERIMA APC 2022

Labuan, 11 September – Seramai 10 guru dan seorang Pegawai Khidmat Pelaksana (PKP) SMK Labuan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun perkhidmatan 2022 pada Sabtu lalu. Mereka adalah sebahagian daripada 121 penerima APC pelbagai kategori pada tahun ini.

Majlis bertemakan “Perkhidmatan Cemerlang Teras Malaysia Madani” telah dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan W.P Labuan di salah sebuah hotel terkenal pusat bandar.

Kira-kira 200 telah hadir dalam majlis tersebut terdiri daripada penerima APC , pegawai-pegawai jabatan pendidikan, para pengetua dan guru besar serta pihak media.

Encik Wan Hasyim bin Wan Rahim, Timbalan Ketua Setiausaha, Bahagian Perancangan dan Pembangunan, KPM telah hadir merasmikan majlis tersebut.

Dalam ucapannya, Encik Wan Hasyim mengucapkan tahniah atas budaya kecemerlangan yang telah ditunjukkan dalam merealisasikan misi dan visi KPM.

“Saya berharap agar anugerah ini menjadi pencetus inspirasi kepada perkhidmatan yang lebih cemerlang. Budaya kerja cemerlang ini wajar dikongsi dan ditingkatkan sejajar aspirasi Malaysia Madani” kata beliau lagi yang mewakili Ketua Setiausaha KPM, Dato’ Indera Nasarudin bin Mohd Zawawi.

Sembilan guru SMK Labuan yang menerima APC 2021 ialah Puan Jamaliah Razali, Puan Cheah Siew Ling, Encik Cheah Teong Aik, Puan Norsiah Nasip dan Puan Nor Azura Darus.

Selain itu, Puan Teo Lyh Ping, Encik Jailani Su, Puan Nurul Hatusyima Tahang, Encik Danny Alvin Lim, Puan Seri Kandi Muali dan Puan Ruslina Rosli turut terpilih.

Pengetua SMK Labuan, Encik Mohd Nizam bin Yasim turut hadir meraikan kejayaan guru-guru SMK Labuan yang memperoleh APC pada tahun 2022.

Beliau mengucapkan tahniah atas kejayaan mereka dan berharap mereka terus cemerlang menggalas amanah, memikul tanggungjawab bersama-sama meletakkan SMK Labuan sebaris dengan sekolah-sekolah hebat yang lain.

Turut hadir ialah Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Encik Sawal Salleh dan Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Puan Noraini binti Sabudin.

Berita Oleh : SMK Labuan




FORUM BAITI JANNATI: ANAK YANG BAIK LAGI CERDIK BERLANDASKAN AL-QURAN DAN SUNNAH CETUSKAN INSPIRASI DAN MARTABATKAN KELAS ALIRAN AGAMA SSN SMK MUTIARA

LABUAN, 5 OGOS 2023. Penyelaras Kelas Kemahiran Quran, Kelas Aliran Agama SSN SMK Mutiara dengan Kerjasama Persatuan Ulama’ Malaysia telah berjaya menganjurkan  forum Baiti Jannati: Anak Yang Baik Lagi Cerdik Berlandaskan Al-Quran Dan Sunnah pada 5 Ogos 2023 bertempat di Dewan Kuliah Utama, Institut Latihan Perindustrian, Labuan. Sokongan dan kolaborasi yang mantap juga diberikan oleh pihak pentadbiran Institut Latihan Perindustrian (ILP Labuan), Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah-Sekolah (PEKDIS), Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG SSN SMK Mutiara) dan Persatuan Anak Muda Labuan (PAMULA) bagi menjayakan diskusi ilmiah ini buat masyarakat di Wilayah Persekutuan Labuan. Program ini telah dirasmikan oleh Puan Noraini binti Hj Sabudin, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Tambahan pula, Encik Hisham Abdul Aziz yang merupakan Penolong Kanan Pentadbiran SSN SMK Mutiara menyatakan bahawa pembentukan anak yang baik lagi cerdik itu bukan sahaja mampu memacu kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan. Bahkan, ianya juga mampu mengukir senyuman pada wajah ibu ayah tercinta serta disukai masyarakat.

Seramai 170 orang telah menyertai program ini dengan jayanya melibatkan murid dari SSN Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara, pelajar Institut Latihan Perindustrian Labuan, Madrasah Tahfiz Al Quran Sri Merinding serta masyarakat sekitar. Ustaz Muhammad Izzuddin selaku penyelaras program dan moderator forum telah menjemput dua orang panel program yang dibawakan khas dari Universiti Malaya iaitu Prof. Dr Mohd Roslan Bin Mohd Nor dan Dr. Mohd Safwan Bin Harun. Penglibatan aktif dua tokoh cendekiawan ini dalam hal ehwal islam di negara kita tidak dapat disangkal lagi apabila Prof Roslan dan Dr Safwan menekankan bahawa pembentukan peribadi anak yang baik lagi cerdik berlandaskan Al-Quran dan Sunnah merupakan strategi terbaik dan ampuh dalam membentuk keluarga bahagia serta memartabatkan konsep yang sering diungkapkan oleh Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia, Dato Hj Pkharuddin Hj Ghazali. Tujuan penganjuran program ini adalah untuk memantapkan institusi kekeluargaan ke arah pencapaian yang cemerlang dalam diri pelajar yang baik lagi cerdik serta penerapan karamah insaniah dalam pembangunan masyarakat dan negara.

Prof Dr Mohd Roslan Bin Mohd Nor, Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya menekankan bahawa pendekatan pendidikan anak-anak berlandaskan Al-Quran merupakan tunjang utama dalam merealisasikan slogan Anak yang baik lagi cerdik. Selain itu, Dr Mohd Safwan Bin Harun, Pensyarah Kanan Universiti Malaya menjelaskan bahawa pelaksanaan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah merupakan elemen penting bagi menentukan kejayaan seseorang pelajar. Antara amalan yang boleh diaplikasikan ialah bersedekah, solat pada malam hari, berdoa dan bersangka baik dengan takdir Allah. Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan  yang telah memberikan sumbangan kewangan demi menjayakan program yang berimpak ini. Semoga segala jasa baik yang diberikan oleh semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini akan menjadi wasilah dan bekalan baik kita semua untuk agama, bangsa dan negara.

Poster Program Baiti Jannati: Anak Yang Baik Lagi Cerdik Berlandaskan Al-Quran Dan Sunnah.
Duduk dari kanan: Dr. Mohd Safwan Bin Harun merupakan pensyarah kanan Jabatan Fiqh dan Usul Universiti Malaya, Prof Dr Roslan Bin Mohd Nor selaku Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya serta Ustaz Muhamad Izzuddin Bin Mahamad Nazeri dari SSN SMK Mutiara.
Para peserta sedang mengalunkan zikir asmaul husna sebelum forum bermula
Ucapan perasmian disampaikan oleh Puan Noraini binti Hj Sabudin, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
Prof Dr Mohd Roslan Bin Mohd Nor dan Dr Mohd Safwan Bin Harun mewakili Persatuan Ulama’ Malaysia menyampaikan cenderahati kepada Encik Hisham Bin Abdul Aziz, Penolong Kanan Pentadbiran SSN SMK Mutiara.
Sesi fotografi guru-guru SSN SMK Mutiara sebagai tanda kenang-kenangan bersama Prof. Dr Mohd Roslan Bin Mohd Nor dan Dr Mohd Safwan Bin Harun.



PROGRAM SUNTIKAN MOTIVASI “Ubah Diri, Tingkat Prestasi, Capai Misi” MEMBAKAR SEMANGAT MURID CALON SPM

Labuan, 18 Julai – Unit Bimbingan dan Kaunseling SSN SMK Mutiara dan SMK Taman Perumahan Bedaun telah berkolaborasi menjalankan program suntikan motivasi “Ubah Diri, Tingkat Prestasi, Capai Misi”.

Program yang diselaras oleh Encik Ahmad Radzi bin Ab Halim dan Puan Viviana Ayu Saidin tersebut, bertujuan untuk membimbing pelajar mengasah minda positif dan yakin dalam menghadapi cabaran. Di samping itu, mendorong pelajar untuk bermotivasi mencapai matlamat atau impian mereka. Program juga bertujuan untuk mendedahkan kepada pelajar mengenai kaedah atau teknik dalam penetapan matlamat sama ada dalam pembelajaran mahupun alam karier termasuk berkongsikan dengan pelajar teknik dan kemahiran belajar efektif melalui kaedah atas talian dan luar talian.

Program suntikan motivasi dijalankan pada 18 Julai 2023, jam 7.30 pagi hingga jam 4.30 petang, bertempat di Auditorium Labuan International School. Seramai 154 murid tingkatan 5 dari SSN SMK Mutiara dan 104 murid tingkatan 5 dari SMK Taman Perumahan Bedaun telah menghadiri program yang dijalankan.

Turut hadir sepanjang program dijalankan adalah Encik Ag. Rozlan bin Manan, pengetua SSN SMK Mutiara, Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun, Cikgu Christleynie Jaitin, guru bimbingan dan kaunseling SSN SMK Mutiara, Cikgu Anna Karmilla binti Arbani, guru bimbingan dan kaunseling SMK Taman Perumahan Bedaun serta guru-guru SSN SMK Mutiara dan SMK Taman Perumahan Bedaun.

Program dimulakan dengan pendaftaran peserta pada jam 7.30 pagi sebelum disusuli tiga slot ceramah disampaikan oleh Tuan Hadi Hidayah Hj Tutuh, penceramah jemputan dari Master Trainer dan Motivator, Al-Hidayah Training Consultancy (AHTC), Sabah.

Slot-slot tersebut ialah slot Quantum Motivasi Sukses “Ubah Diri, Tingkat Prestasi, Capai Misi”, slot Berani Berimpian Sukses dan slot Mengurus Waktu dan 7 Protokol. Slot Quantum Motivasi Sukses dijalankan selepas murid-murid mendaftar manakala slot Berani Berimpian Sukses dijalankan selepas jam 9.30 pagi iaitu minum pagi. Pada jam 12.30 tengah hari hingga jam 1.30 petang, murid-murid rehat, solat dan makan tengah hari.

Kemudian, Slot Mengurus Waktu dan 7 Protokol diteruskan pada jam 1.30 petang hingga jam 4.00 petang. Hadi Hidayah berkata, “Individu yang berani menyimpan tujuan hidup, sentiasa ingat solat dan ingat ibu bapa adalah individu yang boleh berjaya.”

 Acara kemuncak program ialah sesi penyampaian sijil penghargaan kepada penceramah jemputan oleh NYDP PIBG, SSN SMK Mutiara Puan Susana Binti Binsiu. Seterusnya, Tuan Hadi Hidayah menyampaikan sijil penghargaan pihak sekolah kepada Puan Norazita, pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun dan Cikgu Radzi, wakil pengetua SSN SMK Mutiara. Kemudian, aktiviti bergambar bersama penceramah jemputan dijalankan sebagai penutup tirai program suntikan motivasi “Ubah Diri, Tingkat Prestasi, Capai Misi”.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




SMK PANTAI DAN SK LUBOK TEMIANG JOHAN PERTANDINGAN TARIAN ANTARA SEKOLAH WP LABUAN 2023

Pertandingan Tarian Antara Sekolah (Rendah dan Menengah) Peringkat WP Labuan sempena Festival Apresiasi Seni Untuk Semua (FASUS) telah dikelolakan oleh SMK Pantai pada 22 Jun 2023 di Dewan SMK Pantai.

Sebanyak 13 pasukan tarian menyertai pertandingan tersebut iaitu 8 pasukan sekolah rendah dan 5 pasukan sekolah menengah.

Kategori Sekolah Rendah disertai oleh SK Pekan Satu, SJK (C) Chi Wen, SK Patau-Patau, SK Rancha-Rancha, SK Layang-Layangan, SK Bebuloh, SK Lunok Temiang dan SK Kerupang.

Kategori Sekolah Menengah pula disertai oleh SMK Rancha-Rancha, SM St Anne, SMK Mutiara, SMK Labuan dan SMK Pantai.

Bagi kategori Sekolah Rendah, SK Lubok Temiang telah dinobatkan sebagai johan, SK Layang-Layangan naib johan, SK Patau-Patau tempat ketiga, SK Kerupang tempat keempat dan SK Pekan Satu tempat kelima.

SK Lubok Temiang Johan kategori sekolah rendah

Bagi kategori Sekolah Menengah, SMK Pantai diisytiharkan sebagai johan, SMK Labuan naib johan, SMK Mutiara tempat ketiga, SM St Anne tempat keempat dan SMK Rancha-Rancha tempat kelima.

Lapan Anugerah Khas disediakan sempena pertandingan ini. Bagi Anugerah Penari Terbaik kategori sekolah menengah, Penari Terbaik Lelaki dimenangi oleh Zulhamri bin Hamid (SMK Labuan), Penari Terbaik Wanita dimenangi oleh Nursyafiqah Aren binti Barhama (SMK Labuan). Bagi kategori sekolah rendah, Penari Terbaik Lelaki  dimenangi oleh Mohamad Faiz Ashraf bin Faizan (SK Pekan Satu), manakala Penari Terbaik Wanita dimenangi oleh Winnie Felicia Anak Kumbo (SK Patau-Patau).

Anugerah Koreografi Terbaik kategori sekolah menengah dimenangi oleh SMK Pantai manakala kategori sekolah rendah dimenangi oleh SK Lubok Temiang.

Anugerah Busana dan Tatarias Terbaik kategori sekolah menengah dimenangi oleh SMK Mutiara, manakala kategori sekolah rendah dimenangi oleh SK Lubok Temiang.

Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan disempurnakan oleh Encik Awang Marten bin Datuk Haji Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Dalam ucapannya Awang Marten menyatakan seni tari merupakan aktiviti yang dapat menyemai rasa kecintaan murid terhadap warisan dan budaya tari di samping melahirkan murid-murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani mahupun intelek. Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada sekolah-sekolah di W. P Labuan kerana berusaha menyertai pertandingan ini yang banyak memberi manfaat dan kebaikan kepada murid-murid sekolah

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Encik Nasrun Ramli, Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan WP Labuan dan Encik Ismail Abdullah Pengetua SMK Pantai selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Pertandingan.

Pertandingan dihakimi oleh lima orang hakim diketuai oleh Encik Hasnan bin Md Saad Pegawai Teknikal Kesenian (Tari) Jabatan Pendidikan WP Labuan selaku Ketua Hakim, dibantu oleh empat orang hakim yang lain iaitu Puan Farizah binti Musa Artis Budaya Perbadanan Labuan, Puan Afizalina binti Abdul Wahap Artis Budaya Perbadanan Labuan, Encik Mohamad bin Haji Omar Penggiat Artistik Fesyen dan Solekan, dan Encik Edzanfauzan bin Tamin Jurulatih Tari Dansa Art Productions.

Berita Oleh : SMK Pantai

Barisan Hakim Pertandingan – dari kiri : Farizah Musa, Afizalina Abdul Wahap, Hasnan Md Saad, Mohamad Hj Omar dan Edzanfauzan Tamin



PERSIDANGAN PENGURUSAN PENDIDIKAN PENGETUA –PENGETUA SEKOLAH MENENGAH SABAH DAN WP LABUAN KALI KE 47 TAHUN 2023

Labuan – Persidangan Pengurusan Pendidikan Pengetua –Pengetua Sekolah Menengah Sabah Dan WP Labuan Kali Ke 47 Tahun 2023 telah diadakan pada 13-15 Jun 2023 di Palm Beach Resort WP Labuan. Seramai 221 orang pengetua dari seluruh Sabah dan 11 orang pengetua dari WP Labuan telah menyertai persidangan tersebut yang membawa tema  “Kepimpinan Berkualiti Merealisasikan Pendidikan Insaniah”

Persidangan tersebut dianjurkan oleh Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah (PPSMS) dengan kerjasama Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) WP Labuan.

Persidangan tahunan yang dikelolakan secara bergilir antara zon PPSMS Sabah, kali ini dianjurkan oleh PPSMS Zon Ranau, Tuaran dan Kota Belud yang dipengerusikan oleh Pengerusi PPSMS Ranau iaitu Encik Marcus Shapi serta dibantu oleh MPSM WP Labuan.

Persidangan selama 3 hari tersebut padat dengan pengisian yang sangat penting dan bertepatan dengan tema persidangan iaitu “Kepimpinan Berkualiti Merealisasikan Pendidikan Insaniah”

Ucap Utama Persidangan bertajuk “Karamah Insaniah Dalam Pendidikan” disampaikan oleh YBhg. Datuk Dr Amin bin Senin, Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan, mengupas konsep Karamah Insaniah atau Kemuliaan Insan yang merangkumi Keadilan Peluang, Pembangunan Potensi, Pendidikan Holistik, Kebebasan Berfikir dan Kreativiti serta Pembelajaran Sepanjang Hayat. Juga ditekankan tentang kepimpinan pengetua sebagai pemimpin pendidikan untuk memastikan konsep Karamah Insaniah ini difahami dan dibudayakan.

Dr Amin Senin (3 dari kiri) bersama tetamu kehormat

Majlis Perasmian Persidangan disempurnakan oleh Tuan Haji Abidin Marjan, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah yang mewakili Tuan Raisin Saidin Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Antara intipati ucapan beliau ialah KPI Gred Purata Negeri (GPN) SPM boleh dicapai dengan amalan kepimpinan kolaboratif, penerapan nilai ABC dalam kalangan pelajar, pembudayaan STEM dalam melahirkan generasi cemerlang abad ke 21, kejayaan pemimpin pendidikan Sabah menjadi teladan untuk pengetua, serta dorongan kepada guru yang berpotensi menjadi pemimpin pendidikan.

Dalam majlis yang sama Tuan Haji Abidin juga menyampaikan Anugerah Tokoh Pengetua Sabah yang dianugerahkan kepada YBhg. Datin Seri Panglima Datuk Dr. Hajah Nuinda binti Haji Alias yang juga merupakan Tokoh Guru Kebangsaan 2023.

Sesi Bicara Profesional disampaikan oleh Puan Jennifer Asing, Pengetua Cemerlang JUSA C SMK St Michael, Penampang. Beliau menyampaikan perkongsian bertajuk “My Odyssey From Ordinary Teacher To JUSA C”. Beliau menjelaskan perkara-perkara dan proses yang perlu sebagai persediaan seseorang pengetua dalam permohonan sebagai Pengetua Cemerlang JUSA C.

Majlis Makan Malam “Mirumoh-Rumoh” tajaan Kerajaan Negeri Sabah disempurnakan oleh YBhg. Prof Madya Datuk Ts Dr. Ramzah Dambul, Pegawai Eksekutif Institute For Development Studies (IDS) yang mewakili YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Kewangan Negeri Sabah. Beliau juga menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Pengetua Bersara, Pengetua Yang Bertukar Jawatan serta hadiah Pertandingan Golf sempena persidangan yang dimenangi oleh Encik Mike Eping Pengetua SMK Gunsanad II Keningau.

Majlis Penutupan Persidangan disempurnakan oleh Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan WP Labuan, mewakili Encik Yusup bin Hj Mohamad Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Beliau menekankan tentang pengetua sebagai pemimpin perlu mempunyai dinamika kepimpinan iaitu mempunyai kekuatan rohani, jasmani, jiwa, adab, idealisme, komited dan mempunyai daya juang yang kental dan berpandangan jauh agar dapat mendepani pelbagai cabaran yang mendatang.

Encik Yahya (tengah) menerima cenderahati daripada Encik Ismail

Sepanjang persidangan juga 4 pameran pendidikan telah disediakan untuk kunjungan peserta-peserta persidangan iaitu Pameran Intervensi Komik Nilai (Kolaborasi Panitia Pendidikan Moral dan Pendidikan Seni Visual SMK Pantai), Pameran Intervensi Emotion Expression (Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Pantai), Pameran Kajian Tindakan Junior (SM St Anne) dan Pameran Rancha’s Radio (SMK Rancha-Rancha).

Antara kepimpinan PPSMS dan MPSM WP Labuan yang hadir sepanjang persidangan ialah Encik Ajmal Hj Jumah, Presiden PPSMS, Encik Ismail Abdullah Yang DiPertua MPSM WP Labuan, Dr Rabe Johari Timbalan Presiden PPSMS serta Encik Marcus Shapi Pengerusi PPSMS Ranau merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Persidangan.

Persidangan ini telah memberi ilmu pengetahuan berguna kepada semua peserta dari pelbagai sudut kepimpinan dan diharap akan memberi impak kepada peningkatan kualiti kepimpinan mereka di sekolah masing-masing.

Persidangan kali ke 48 tahun 2024 akan dikelolakan oleh Zon Selatan iaitu PPSMS Papar, Beaufort, Sipitang dan Kuala Penyu.

Berita Oleh : MPSM WP Labuan

Barisan Pengetua Sekolah W.P Labuan
Cenderhati kepada Ts Dr Ramzah



SPM 2022 : LABUAN CATAT PENINGKATAN 4 TAHUN BERTURUT-TURUT

Labuan, 8 Jun 2023 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan peningkatan keputusan SPM 4 tahun berturut-turut iaitu peningkatan dari segi peratus calon layak mendapat sijil dan Gred Purata Negeri bermula tahun 2019.

97.63% calon layak mendapat sijil SPM 2022 berbanding jumlah peratus 94.88% tahun  2021 iaitu perbezaan sebanyak 2.75%.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan W.P. Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad, ketika mengumumkan keputusan itu di Dewan Sekolah Menengah Sains Labuan, hari ini.

Mengumumkan keputusan peperiksaan SPM 2022, beliau berkata pencapaian calon SPM pada 2022 adalah lebih baik apabila merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 4.56 berbanding 4.67 pada tahun sebelumnya.

Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik. Keputusan ini mengatasi Gred Purata Nasional yang mencatatkan 4.74.

Pelajar Cemerlang yang mendapat semua A juga meningkat 2.11% berbanding 1.93% tahun sebelumnya.

Pelajar SMK Labuan, Edison Lau Wei Chun dinobatkan sebagai pelajar cemerlang peringkat Wilayah Persekutuan Labuan dengan memperoleh keputusan 8A+ dan 2A.

Lima buah sekolah turut mendapat pencapaian kelulusan 100% iaitu Sekolah Menengah (SM) Sains Labuan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancha-Rancha, SM St. Anne, Sekolah Menangan Agama (SMA) MAIWP dan SM St Anthony.

Tahniah diucapkan !

Pelajar-pelajar Cemerlang Labuan SPM 2022
Wajah-wajah ceria pelajar-pelajar yang menerima keputusan SPM 2022