KUNJUNG BANTU DAN PEMANTAUAN UTVET SEKTOR PEMBELAJARAN KE SMK PANTAI










































Labuan, 10 Feb 2026 – Kejohanan Merentas Desa MSSWPL 2026 telah mencatatkan kejayaan membanggakan buat kontinjen SMK Pantai apabila berjaya meraih tempat ketiga keseluruhan. Kejohanan yang menghimpunkan pelbagai sekolah ini menjadi pentas menguji ketahanan fizikal dan semangat juang murid dalam suasana penuh persaingan.
Dalam kategori berkumpulan, pasukan lelaki 15TKB berjaya menamatkan saingan di tempat ketiga, manakala pasukan perempuan 18TKB pula cemerlang dengan kedudukan naib johan. Kejayaan ini turut diserikan dengan pencapaian individu apabila beberapa murid SMK Pantai berada dalam kelompok 10 peserta terbaik. Russel Raynald Tan dari kelas 3UPM muncul sebagai johan untuk kategori L15TKB, M. Iqram Hazam dari 1UPM menamatkan larian di tempat ketujuh dalam kategori yang sama, manakala Alessya Zafirah dari 2UPM meraih tempat ketiga bagi kategori P15TKB, Dhiya Alisha dari 1UKM berada di tempat kelapan dalam kategori yang sama. Nur Arissa dari 5UM menutup senarai dengan kedudukan kesepuluh dalam kategori P18TKB.
Kejayaan ini adalah hasil bimbingan jurulatih berpengalaman iaitu Cikgu Brolin, Cikgu Didie, dan Cikgu Jasrin, serta sokongan pengurus pasukan Cikgu Zarina, Cikgu Norlia, dan Cikgu Cynthia yang memastikan setiap aspek persediaan berjalan lancar.
Dalam kategori pendidikan khas, pencapaian lebih menyerlah apabila murid SMK Pantai turut mengungguli podium. Siti Puteri Rania Nor Aliysia muncul sebagai johan P15TKB, manakala Fidyatul Umaira meraih naib johan dalam kategori yang sama. Riyan Jazsrul Daniel pula menamatkan saingan sebagai naib johan L18TKB, sementara Muhammad Ashraf turut meraih naib johan bagi kategori L15TKB. Kesemua pencapaian ini dibimbing oleh jurulatih Cikgu Haniwijaya dan Cikgu Nuramirah, dengan pengurus pasukan Cikgu Rowency yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran penyertaan.
Kejohanan Merentas Desa MSSWPL 2026 bukan sahaja mengangkat nama SMK Pantai di persada sukan daerah, tetapi juga membuktikan bahawa semangat kesukanan, disiplin, dan usaha gigih mampu melahirkan pencapaian yang membanggakan. Semangat juang yang ditunjukkan oleh murid-murid menjadi inspirasi kepada seluruh warga sekolah untuk terus berusaha menuju kecemerlangan dalam bidang kokurikulum.
SUMBER BERITA : SMK Pantai, WP Labuan













Labuan, 8 Februari 2026 – Pesta Tanglung Hari Wilayah 2026 telah berlangsung dengan penuh warna-warni di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa. Acara yang dianjurkan oleh Perbadanan Labuan ini menjadi tumpuan masyarakat setempat, khususnya murid-murid SMK Pantai yang tampil dengan persembahan kreatif dan penuh semangat.
Murid telah bersedia seawall jam 5.00 petang. Di bawah pengurusan Cikgu Kasnan, Cikgu Jasiman dan Cikgu Claire Marie, murid-murid tampil menyerlah dengan pakaian etnik yang unik seperti cheong sam, baju Kadazan, serta pakaian bertema hitam yang dihiasi dengan fluorescent strip light. Penampilan tersebut bukan sahaja memikat perhatian penonton, malah menonjolkan kepelbagaian budaya dan kreativiti generasi muda.
Hasil usaha gigih dan komitmen yang ditunjukkan, pasukan SMK Pantai berjaya meraih tempat saguhati dan membawa pulang hadiah tunai RM500. Pencapaian ini menjadi bukti bahawa penyertaan mereka bukan sekadar untuk pertandingan, tetapi juga sebagai wadah memperkukuh semangat kebersamaan dan memperkenalkan identiti budaya kepada masyarakat.
Pesta Tanglung Hari Wilayah 2026 bukan sahaja menjadi pentas meraikan tradisi, tetapi juga mengangkat semangat perpaduan dan kreativiti anak muda. Kehadiran murid dengan pakaian etnik yang menyerlah telah menambah seri sambutan, menjadikan pesta ini satu kenangan indah dalam lipatan sejarah sambutan Hari Wilayah di Labuan.
SUMBER BERITA : SMK Pantai, WP Labuan








SMK Pantai WP Labuan, 6 Februari 2026 – Program Inisiatif Menuju Puncak Kejayaan (IMPAK) 1.0 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan SMK Pantai. Program ini dianjurkan khusus untuk semua murid Tingkatan 5 sebagai usaha sekolah memperkukuh persediaan akademik dan sahsiah menjelang peperiksaan utama.
Program IMPAK 1.0 dijalankan dalam dua sesi, iaitu dari jam 8.30 hingga 10.00 pagi dan disusuli sesi kedua pada jam 10.30 hingga 11.30 pagi. Sepanjang program, murid diingatkan agar mempunyai motivasi diri untuk mencapai hala tuju kejayaan yang diharapkan oleh pihak sekolah.Unit Bimbingan dan Kaunseling bertindak sebagai penggerak utama program ini dengan kerjasama penuh daripada Tuan Pengetua, En. Ismail bin Abdullah. Dalam ucapan beliau, pengetua menekankan bahawa IMPAK 1.0 bukan sekadar program motivasi, tetapi satu inisiatif menyeluruh yang menyasarkan pencapaian akademik cemerlang serta pembentukan sahsiah unggul dalam kalangan murid.
Hasrat sekolah melalui program ini adalah untuk memastikan setiap murid Tingkatan 5 memiliki keyakinan diri, disiplin, dan strategi pembelajaran yang mantap. Pihak sekolah percaya bahawa dengan sokongan guru, kaunselor, dan pentadbir, murid akan lebih bersedia menghadapi cabaran peperiksaan serta melangkah ke arah kejayaan yang diimpikan.
Program IMPAK 1.0 telah meninggalkan kesan positif, dengan murid menunjukkan keterlibatan aktif sepanjang sesi. Semangat dan komitmen yang ditunjukkan menjadi bukti bahawa warga SMK Pantai bersatu hati dalam usaha menuju puncak kejayaan.
SUMBER BERITA : SMK Pantai, WP Labuan







SMK Pantai WP Labuan, 5 Februari 2026 – Kejohanan Sukantara Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai telah berlangsung dengan penuh meriah selama dua hari, iaitu pada 4 dan 5 Februari 2026. Pertandingan bermula setiap petang dari jam 2.30 hingga 5.00, bertempat di padang sekolah dan gelanggang biru.
Selepas dua hari pertandingan yang sengit, Rumah Sukan Aqua berjaya muncul sebagai johan keseluruhan dengan pungutan mata sebanyak 515. Tempat naib johan disandang oleh Rumah Sukan Ignus dengan 392 mata, manakala kedudukan ketiga diraih oleh Rumah Sukan Ventus dengan 368 mata. Rumah Sukan Terra pula menamatkan kejohanan di tempat keempat dengan 327 mata.
Walaupun kejohanan berjalan lancar, terdapat sedikit cabaran apabila tapak lompat jauh menjadi becak akibat hujan sejak beberapa hari yang lepas. Semua acara lompat jauh terpaksa ditunda ke hari kedua. Namun begitu, semangat murid tetap berkobar-kobar. Mereka hadir dengan penuh komitmen dan gigih menyelesaikan setiap acara sukantara yang dipertandingkan.
Kejohanan Sukantara SMK Pantai 2026 bukan sahaja menguji kekuatan fizikal, tetapi juga menonjolkan nilai disiplin, daya tahan, dan semangat berpasukan dalam kalangan pelajar. Kejayaan Rumah Aqua menjadi bukti latihan berterusan dan kerjasama erat antara ahli rumah sukan, sementara sokongan guru serta rakan sepasukan menambahkan lagi suasana meriah sepanjang kejohanan.
SUMBER BERITA : SMK Pantai, WP Labuan













