Majlis Mohon Restu Ilmu Calon SPM 2021 SMK Pantai IB World School

Labuan, 25 Feb – Panitia Pendidikan Islam SMK Pantai IB World School Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Majlis Mohon Restu Ilmu untuk calon-calon SPM 2021 dalam situasi norma baharu yang diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Google Meet dan Youtube yang disertai oleh para ibu bapa dan warga sekolah. Semua calon SPM  menyertai majlis ini di dalam kelas manakala barisan pentadbir, AJK terlibat dan guru-guru yang mengajar tingkatan 5 berada di dalam bilik mesyuarat.

Objektif majlis tersebut adalah untuk menyantuni ibu bapa serta guru-guru dengan memohon doa, kemaafan dan memberi penghargaan kepada mereka yang telah menunjukkan sokongan dan kasih sayang, menjadi pendorong dan tenaga pengajar kepada calon-calon SPM 2021 sepanjang mereka belajar di sekolah ini.

Terdahulu majlis pada pagi Jumaat itu dimulai dengan bacaan Surah al Kahfi dan Yassin yang diketuai oleh murid  kelas 5 Thinker iaitu saudara Aidil bin Hadis dan Mohd Arief Daniel bin Mohammad Azlan. Ini disusuli pula dengan bacaan doa yang diketuai oleh Muhammad Mukhriz bin Junait dari kelas 5 Caring. Ucapan wakil murid pula diwakili oleh  Muhd Izam Mushadat bin Gasfar dari kelas 5 Inquirer.

Muhd Izam Mushadat bin Gasfar mewakili calon-calon SPM 2021 menyampaikan ucapan penghargaan & terima kasih kepada ibu bapa dan semua guru

Dalam majlis itu juga, doa memohon keberkatan kepada Ilahi telah dibimbing oleh Ustaz Muhammad Firdaus Shaifullah bin Mohd Abdul Karim. Amanat untuk calon-calon SPM 2021 pula telah disampaikan oleh Puan Haslindah Muawan (wakil Bidang Bahasa), Puan Jennifer bt Alip @ Janneffar (Ketua Panitia Sejarah dan wakil Bidang Kemanusiaan), Encik Abdullah bin Ali selaku Ketua Guru Bidang Teknik & Vokasional dan Encik Farid Arifin bin Md Arifin mewakili Bidang Sains & Matematik.

YDP PIBG Dr. Rosnelizaide bin Ramely selaku wakil ibu bapa turut menyampaikan ucapan berupa nasihat ringkas dan doa kepada calon-calon SPM 2021 serta ucapan terima kasih atas segala usaha guru-guru & pihak sekolah selama ini bagi membantu persediaan calon-calon ini untuk menduduki SPM kelak.

Semua calon SPM 2021 mengikuti Majlis Mohon Restu Ilmu di dalam kelas.

Pengetuanya, Encik Ismail bin Abdullah telah menyampaikan amanat kepada semua calon SPM 2021 agar menggunakan peluang pada majlis tersebut untuk memohon doa restu & meminta maaf daripada semua guru dan ibu bapa masing-masing. Beliau turut membacakan doa yang mengharapkan penghargaan  dan keampunan kepada ibu bapa dan guru-guru serta kejayaan kepada semua calon SPM 2021 di sekolah itu. Beliau juga turut mengucapkan rasa terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua guru yang akan berpindah pada tahun ini.

Majlis itu telah diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada guru-guru yang akan berpindah dan penyampaian cenderahati kepada wakil calon-calon SPM 2021. Semoga dengan penganjuran majlis seumpama ini akan dapat memberi ketenangan dan motivasi kepada calon-calon SPM 2021, serta sekali gus menaikkan semangat kepada mereka untuk menghadapi peperiksaan nanti.

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN KEPADA SEMUA CALON SPM 2021.

IKHLAS DARIPADA WARGA SMK PANTAI IB World School WP LABUAN.

Berita disediakan oleh : Puan Asfalela binti Mohd Zain

Pengetua SMK Pantai IB World School, Encik Ismail bin Abdullah
berucap dan membacakan doa untuk calon-calon SPM 2021



Guru Labuan Terbit Dalam Buku LaRIS

Labuan, 25 Februari 2022 – Persatuan Penyelidikan, Inovasi, dan Kreativiti Labuan atau LaRIS (Labuan Research, Innovation and Creativity Society) berjaya menerbitkan buku kedua bertajuk “Bicara Ilmu, Inovasi, dan Kreativiti: Kompilasi Pembentangan CAIELTS”.

Pengerusi LaRIS selaku Ketua Editor, Dr. Hyginus Lester Junior Lee berkata, buku tersebut menghimpunkan penulisan pembentangan yang telah dibuat dalam CAIELTS (Creativity and Innovation Exhibition & Language Teaching Seminar), sebuah program antarabangsa yang diadakan setiap tahun.

Buku terbitan LaRIS kali ini mengandungi tiga bahagian iaitu kajian, inovasi, dan kreativiti.

Penulisan kajian telah disumbangkan oleh mahasiswa Pangasinan State University di Alaminos City, Filipina bertajuk “Effectiveness of code switching in teaching English language in public junior high schools in Alaminos City”. Panitia Bahasa Inggeris, SMK Mutiara Wilayah Persekutuan Labuan pula menerbitkan kajian tinjauan “Motivation in English language learning among school leavers: a survey”. Penulisan oleh panitia tersebut merupakan kerjasama Noor Hasimah Mohd Ayub, Debbie Lawrence, Onnia Ahngol, dan Dr. Hyginus Lester Junior Lee.

Bahagian inovasi menghimpunkan laporan dan perkongsian inovasi daripada guru-guru dari negeri Pahang, Perak, dan Labuan.

Turut dimuatkan dalam buku ini ialah penulisan inovasi berkumpulan Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran) Jabatan Pendidikan WP Labuan, Yahya Ahmad Puteh bersama Junaidah Baharuddin dan Roziah Abdul Rahman bertajuk “Sulaman Bahasa” untuk memudahkan murid membuat pendahuluan dalam membina karangan Bahasa Melayu.

Guru SMK Mutiara, Sylvianie William dan Dr. Hyginus Lester Junior Lee telah berkolaboratif menghasilkan penulisan inovasi bertajuk “Kad LoHEx” untuk meningkatkan kemahiran berfikir dalam kalangan murid. Penulisan inovasi bahasa Melayu bertajuk “Roda Bahasa” dikongsi oleh guru bahasa Melayu SMK Mutiara, Junaidah Baharuddin, Norsuziana Amnor, Shafiq Abdul Aziz, dan Mohd Yusup bin Mohammad.

Penulisan kreativiti disumbangkan sendiri oleh Dr. Hyginus Lester Junior Lee, SISC+ Bahasa, Sektor Pembelajaran, tentang penggunaan One Page Data-Driven Projection yang membantu Ketua-ketua Panitia Bahasa Inggeris di Labuan memantau pencapaian dan perkembangan pentaksiran bilik darjah dan gred peperiksaan di sekolah masing-masing.

Buku Bicara Ilmu, Inovasi, dan Kreativiti: Kompilasi Pembentangan CAIELTS ini telah dilancarkan secara maya dalam Youtube oleh Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yusup Haji Mohamad pada 7 Februari 2022.

Dalam ucapannya, Yusup mengucapkan tahniah kepada guru-guru kerana bergiat aktif dalam kajian dan inovasi.

Beliau juga percaya bahawa penyertaan guru dalam aktiviti seumpama ini memberi peluang dan ruang kepada mereka untuk berkongsi idea dan kepakaran dengan dunia luar dan sekaligus membuktikan pendidik di Malaysia bersifat kompetitif dan mampu mengetengahkan kualiti amalan baik di peringkat antarabangsa.

Dr. Hyginus merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Labuan kerana sentiasa menyokong usaha LaRIS dalam membantu membangunkan profesionalisma guru di Labuan.

Beliau juga menggalakkan lebih ramai guru untuk menyertai the 7th Creativity and Innovation Exhibition & Language Teaching Seminar yang akan diadakan pada Ogos 2022.

Pelancaran buku Bicara Ilmu, Inovasi, dan Kreativiti: Kompilasi Pembentangan CAIELTS boleh diakses melalui https://youtu.be/NQADFrbDc3g




Hari Radio Sedunia Bagi Tahun 2022

14 Februari 2022, LABUAN – “Radio dan Kepercayaan” merupakan tema Hari Radio Sedunia bagi tahun 2022 dimana hari tersebut disambut setiap tahun pada tanggal 13 Februari. Hari Radio ini disambut oleh penyiar radio diseluruh dunia dan tidak turut ketinggalan Ranchas’fm 107.5 Mhz juga turut bersiaran secara virtual langsung melalui platform Facebook. Sebagai radio rasmi SMK Rancha-Rancha , pada tahun ini sambutan Hari Radio Sedunia peringkat SMK Rancha-Rancha telah mengundang tetamu istimewa dari pelbagai latar belakang.

Dengan menampilkan ramai tetamu undangan dari Semenanjung Malaysia dan Wilayah Perekutuan Labuan, rancangan “Radio Merentas Zaman” edisi khas bersempena Hari Radio Sedunia buat tahun ini diterbitkan bagi berkongsi dan mendapatkan pendangan daripada generasi terdahulu dan anak muda berkenaan dengan penyiaran radio. Slot pertama “Frekuensi Nostalgia” membawakan perongsian yang menarik berkenaan dengan pengaplikasian teknologi radio pada zaman dahulu bersama dengan tetamu undangan iaitu Tn. Mazidi Rosli (Pegawai Bomba) dan Cik Zaharah Mat Jali (Mantan Pendidik).

Peredaran masa menjadikan komunikasi media khususnya radio semakin berkembang seperti apa yang dapat kita lihat seakrang ini penyiaran radio bukan hanya tertumpu kepada pancaran siaran radio, malah penyiaran radio sudah dapat diakses melalui internet.

“Secara jujurnya, saya masih lagi menyimpan radio yang menggunakan antena yang menjadi barangan antik di rumah saya dan kini saya hanya menggunakan telefon pintar sahaja untuk mendengar radio kerana lebih mudah untuk diakses dan mengikut peredaran zaman yang semakin maju ini yang mana kebanyakan benda didunia ini berada dihujung jari sahaja”. –menurut Tn. Mazidi Rosli ketika ditemu bual oleh penyampai DJ Raziq dalam slot yang pertama.

Selain dari memberikan hiburan kepada pendengar, penyiaran radio juga sangat berperanan bagi menyebarkan dan menyampaikan maklumat yang berguna dan sahih. Malah penyiaran radio ini sudah semakin berkembang dengan wujudnya stesen radio khusus seperti stesen radio pendidikan yang menyampaikan maklumat yang berguna kepada pendengar.

“Radio merupakan satu pendekatan yang baik, radio ini sangat berguna dan sangat efektif kerana kewujudan radio dari zaman dahulu lagi menjadi satu sumber bagi rakyat terutama yang mendengarnya. Jadi radio ini merupakan saluran baik bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih kerana radio ini disiarkan. Sebelum kandungan radio ini disiarkan, pastinya pihak penyiaran mendapatkan kepastian dan menapis maklumat yang berkaitan untuk memastikan samada ianya sahih ataupun tidak”. –ujar Mukmin Nusril yang merupakan Aktivis Masyarakat yang aktif di Selangor.

Turut tidak ketinggalan dua orang Pelajar SMK Rancha-Rancha yang turut serta dalam perkongsian sempena Hari Radio Sedunia tahun ini dalam slot kedua iaitu “Radio Era Kini” yang juga ditemu ramah oleh penyampai DJ Raziq dan DJ Nasrul di Ranchas’fm secara virtual. Pendekatan penyiaran radio kepada generasi muda perlu diterapkan lagi bagi memastikan penggunaan radio pada masa kini tidak ditelan zaman. Lebih banyak manfaat daripada mudarat apabila menjadikan radio sebagai platform penyiaran utama bagi seorang generasi baharu.

Tetamu untuk segmen Radio Era Kini

Pengetua Sekolah Menengah Rancha-Rancha iaitu Ustaz Wan Azman bin Wan Awang berasa gembira atas program yang dilaksanakan oleh Pusat Sumber DSDN. Beliau melihat program tersebut bukan sahaja berjaya dari segi perancangan, namun  apa yang lebih besar adalah kemenjadian pelajar dari aspek modal insan dengan penerapan nilai kerjasama, kemahiran komunikasi dan teknologi.

Pengetua SMK Rancha Rancha Ustaz Wan Azman bin Wan Awang

“Kami ingin melahirkan pelajar yang berjaya mengharungi cabaran era abad 21, dengan menekankan aspek kemenjadian pelajar bertaraf dunia. Pelajar abad 21 perlu mahir menguasai aspek teknologi dan kemahiran berkomunikasi ” ujar Cikgu Sapri Idris selaku pengurus Stesen Radio Ranchas’ FM. Setelah tergendala selama 2 tahun sejak pandemic covid 19 melanda seluruh dunia, tahun ini SMK Rancha-Rancha merancang program atas talian dengan penglibatan komuniti dan pelajar seluruh Malaysia. Kami ingin menjadi contoh terbaik di Malaysia untuk sekolah penggerak digital.

Guru Perpustakaan dan Media SMK Rancha Rancha, Cikgu Sapri Idris



Mengimarahkan Kekuatan Rohani Murid : SMK Mutiara Anjur Program Solat Hajat Dan Restu Ilmu Peringkat Sekolah Sebagai Persediaan Terakhir Calon SPM 2021

14 Februari 2022, Labuan Sebagai satu usaha untuk menyediakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada segi emosi, rohani dan intelektual sebelum menduduki peperiksaan sebenar yang akan bermula pada 2 Mac 2022,  Program Solat Hajat dan Restu Ilmu telah diadakan bertempat di Dataran Perhimpunan SMK Mutiara. Program ini diadakan mengikut norma baharu ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara tanpa dihadiri oleh ibu bapa dan penjaga murid.

Program yang telah dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) bersama Panitia Pendidikan Islam SMK Mutiara ini bermatlamat melahirkan murid yang berbudi luhur, berketrampilan, berdaya saing dan cemerlang dalam membentuk sahsiah peribadi yang seimbang antara akhlak dan pencapaian akademik. Memupuk sikap hormat-menghormati, nilai budi serta sikap menghargai ibu bapa dan guru secara tidak langsung dapat menyemai perasaan menghargai, bersyukur dan berterima kasih murid kepada ibu bapa, guru dan pihak sekolah.

Hadir selaku tetamu jemputan dalam majlis ini ialah En. Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan WP Labuan dan Ustaz Sahrom bin Samlan, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Adab dan Nilai Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Majlis dimulakan dengan solat sunat hajat berjemaah yang dipimpin oleh adik Muhammad Nur Iman bin Afandi daripada tingkatan 5 Ibnu Sina (IBS). Acara diteruskan lagi dengan bacaan doa-doa yang diketuai oleh adik Muhammad Mifzal bin Mohd Rapi yang juga daripada tingkatan 5 Ibnu Sina (IBS). Doa yang dipanjatkan ini dengan penuh pengharapan agar diberikan kemudahan, ketenangan, kelancaran semasa peperiksaan dan memperoleh keputusan yang cemerlang kepada semua calon yang bakal menempuhi peperiksaan SPM yang bakal dihadapi tidak lama lagi.

Solat Sunat Hajat secara berjemaah yang diimamkan oleh wakil murid Tingkatan 5 iaitu adik Muhammad Nur Iman bin Afandi manakala bacaan doa pula telah dipimpin oleh adik Muhammad Mifzal bin Mohd Rapi.

“Persiapan bagi menghadapi peperiksaan memerlukan persiapan yang rapi. Fokus kepada persediaan anda untuk berjuang mencapai kecemerlangan dan kejayaan demi menyambung keiltizaman sekolah dan harapan keluarga. Orang yang berjaya akan menunjukkan hasil namun orang yang gagal akan memberikan alasan”, ujar Encik Yahya bin Ahmad Puteh dalam intipati ucapan khas motivasi terakhir daripada Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran yang mewakili Encik Yusup bin Hj Mohamad, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan . Tambah beliau lagi, peperiksaan SPM ini adalah pintu utama bagi mengukur kefahaman, penguasaan, ingatan, kemahiran, kebolehan serta penghayatan murid terhadapa sesuatu subjek yang telah dipelajari. Di samping berusaha bersungguh-sungguh semasa menuntut ilmu, seiring dengan doa dan amalan,  kita seharusnya menyerahkan segala ketentuan kepada Yang Maha Esa ujar beliau lagi.

Ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua guru SMK Mutiara turut diucapkan diatas segala kerja keras warga guru yang tidak pernah lelah dalam membantu meningkatkan pencapaian murid. “ Saya yakin guru-guru yang hebat dan berpengalaman yang berada di SMK Mutiara ini menjadi nadi penggerak dalam mencipta sebuah sejarah kejayaan sekolah”, kata Encik Yahya bin Ahmad Puteh dalam suntikan semangat dan motivasi ini.

“Selain itu, saya juga ingin menekankan agar semua murid yang akan menduduki peperiksaan SPM untuk kekal patuh dan terus membudayakan kepentingan SOP di sekolah di dalam tempoh yang mencabar ini bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku yang akan menghalang murid untuk menduduki peperiksaan ini nanti”, tambah beliau lagi.

“Hubungan silaturrahim di antara warga guru dan murid dapat dieratkan diantara  khususnya sewaktu program dijalankan. Semoga majlis yang mulia ini memperoleh keberkatan menjelang peperiksaan yang bakal tiba. Tahniah kepada Unit Bimbingan dan Kaunseling bersama-sama Panitia Pendidikan Islam dan kesemua pihak iaitu murid, guru serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang telah terlibat dalam menjayakan program kerohanian seperti ini”, kata Pengetua SMK Mutiara, Encik Ag. Rozlan bin Manan. Tambahnya lagi, selain daripada usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak sekolah ini, doa yang dipohon hendaklah seiring dengan usaha murid itu sendiri daripada aspek persediaan intelektual.

Majlis diteruskan dengan bacaan ikrar pelajar yang dipimpin oleh adik Muhammad Nurasliman bin Asmauwi daripada tingkatan 5 Hibiscus (HBS).  Bacaan ikrar yang penuh iltizam ini dapat membangkitkan semangat murid dalam menjaga nama baik dan imej sekolah serta berusaha mencapai kejayaan cemerlang. Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan dan hadiah kepada kesemua murid yang hadir dalam majlis ini yang telah disumbangkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Mutiara.  Diharapkan semua calon yang bakal menempuhi peperiksaan SPM ini diberikan kemudahan dan memperoleh keputusan yang cemerlang.

Bacaan ikrar oleh kesemua murid Tingkatan 5 yang telah dipimpin oleh wakil murid iaitu adik Muhammad Nurasliman bin Asmauwi sebagai perjanjian dan semangat dalam persediaan menghadapi peperiksaan SPM yang akan tiba.
En. Yahya bin Ahmad Puteh, selaku Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan WP Labuan turut bersama-sama mengagihkan hadiah dan cenderahati yang ditaja oleh PIBG SMK Mutiara kepada semua murid Tingkatan 5 yang menghadiri majlis ini dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
Majlis Solat Hajat dan Restu Ilmu yang telah dilaksanakan masih mengekalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan melaksanakan solat hajat secara berjemaah dengan berjarak .



Warga SMExcel Berjaya Tawan Puncak Kinabalu

Labuan, 7 Februari 2022 – Seramai 20 orang warga SM Sains Labuan (SMSL)  berjaya menawan Gunung Kinabalu pada 3 hingga 4 Februari 2022. “Alhamdulillah, semua pendaki berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu. Pendakian ini tidak mudah namun sudah pasti akan menjadi kenangan untuk kami sampai bila-bila. Kata Rohana Yasin selaku ketua delegasi SMSL yang turut disertai oleh guru-guru, staf dan juga ibu bapa sebagai wakil PIBG. Kumpulan pendaki SMSL ini juga dikenali sebagai Geng Hiking Excel (GHE).

Menurut  Rohana, program pendakian ini bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan antara warga SMSL dan dalam masa yang sama program ini memberi peluang kepada pendaki yang terlibat untuk melihat keindahan Gunung Kinabalu.

Berkongsi pengalamannya, Rohana berkata, mereka telah menjalani latihan selama sebulan sebelum mendaki puncak tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara tersebut.  Program ini telah dirancang sejak tahun 2019 lagi namun hanya dapat dilaksanakan pada tahun ini akibat pandemik Covid-19 yang telah melanda seluruh dunia.

Bercerita lanjut mengenai perjalanan sepanjang pendakian itu, Rohana berkata, mereka telah memulakan pendakian dari Timpohon pada pagi Khamis, 3 Februari dan  tiba di Panalaban pada jam 4 petang . Kemudian mereka memulakan pendakian menuju puncak Gunung Kinabalu seawal jam 2:00 pagi dan tiba di puncak pada jam 6:00 hingga 7:00 pagi pada Jumaat, 4 Februari 2022.

Katanya, antara cabaran yang dilalui oleh mereka adalah mengekalkan stamina berikutan oksigen yang semakin berkurangan ketika berada pada aras tinggi, cuaca hujan menyebabkan mereka terpaksa melalui jalan licin ketika menuruni Gunung Kinabalu dan pelbagai cabaran lain. Namun semua cabaran dan halangan tersebut dapat diatasi dengan adanya sokongan daripada rakan-rakan dan juga pendaki yang lain.




‘Kouryukai’ JPWPL Mengeratkan Jaringan Antarabangsa Bersama Jepun

Labuan, 18 Januari : Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya menganjurkanKouryukai’ , program pengantarabangsaan bersama University of Toyo, Tokyo pada Isnin lalu.

Kouryukai merupakan ungkapan kata bahasa Jepun bermaksud sebagai satu pertemuan atau berhimpun untuk bertukar-tukar pandangan, idea sama ada dari segi pendidikan, budaya dan sebagainya di antara dua kumpulan orang yang mempunyai perbezaan negara, bangsa atau budaya serta bertujuan berkenal-kenal mesra.

Program anjuran Sektor Perancangan dilaksanakan secara dalam talian melibatkan 75 orang peserta.

Penyelaras program, Puan Faridah Amit berkata seramai 28 pelajar University of Toyo dan 47 murid-murid sekolah menengah di Labuan terlibat di dalam program yang memasuki siri ke-3 sejak tahun 2021.

“Objektif utama program ini adalah untuk menyediakan peluang mengenali budaya antara dua negara kepada murid-murid di Labuan, selain memberi peluang murid-murid untuk berinteraksi walaupun berlainan bahasa” kata beliau.

Dalam sesi kali ini, murid-murid Labuan berpeluang mengenali beberapa aspek di dalam kehidupan remaja di negara matahari terbit. Antaranya ialah aktiviti-aktiviti pembelajaran, rekreasi, makanan dan permainan tradisi seperti Daruma-san ga Koronda.  

Adik Mohd Aidil bin Farhan dari SMK Labuan melahirkan rasa bertuah kerana terpilih menyertai program ini.

“Saya dapat mengenali budaya Jepun dengan lebih dekat. Kebetulan pula saya memang meminati majalah Mangas dan karya kartun Jepun yang begitu popular di Malaysia”

Program turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim. Dalam ucapan penutupan program, beliau berharap agar program jaringan antarabangsa ini dapat diteruskan walaupun situasi pandemik Covid-19 masih melanda dunia.

Program telah dikendalikan oleh Cikgu Cladius Upin Lonsiong Jr. dari SMK Rancha-Rancha sebagai moderator.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Antara makanan ringan di Jepun
Antara permainan tradisional di Jepun



Pengarah Turun Padang, Kunjungi Calon SPM 2021

Labuan : SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menerima kunjungan daripada Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad bersama enam orang pegawai JPN pada 12 Januari 2022 (Rabu) lalu.

Program yang dikenali sebagai “Program Pengarah Turun Padang” diadakan secara bersemuka dengan 90 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Objektif utama program ini adalah untuk memberi peluang kepada calon SPM 2021 untuk mendengar amanat daripada Pengarah sebelum mereka menduduki SPM pada 02 Mac 2022 nanti.

Turut hadir bersama dalam program ini ialah YDP PIBG, Encik Peter Wong, Pengetua, Encik Ag Rozlan bin Manan, Penolong-Penolong Kanan serta guru-guru mata pelajaran SPM.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh adik Danial Hakimi bin Ramli dari kelas 5 Gamma dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yahya bin Ahmad Puteh.

Encik Yahya menjelaskan bahawa program ini bertujuan untuk memberi sedikit ruang dan peluang kepada Tuan Pengarah untuk bertemu dan berbicara dengan lebih dekat lagi bersama-sama calon SPM 2021. Beliau juga memaklumkan bahawa sekolah-sekolah lain juga akan menerima kunjungan daripada Pengarah melalui program Pengarah Turun Padang sebelum menjelangnya SPM. Beliau berharap agar semua calon dapat menggunakan masa yang masih ada dengan sebaik mungkin demi mencapai kecemerlangan dalam SPM.

Encik Yahya menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis
Pengarah Turun Padang.

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Pengarah Pendidikan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.Dalam ucapannya, Encik Yusup merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon SPM 2021 yang dapat hadir bersama-sama dalam program tersebut.

Beliau turut menjelaskan bahawa tujuan pelaksanaan program ini adalah untuk bertanyakan khabar calon SPM serta memberi inspirasi kepada semua calon untuk berdepan dengan satu cabaran yang sangat penting dalam hidup anak-anak iaitu menduduki peperiksaan SPM.

Beliau amat berharap agar semua calon SPM pada tahun ini dapat bangkit dan lebih berkeyakinan untuk mencipta kejayaan walaupun banyak cabaran yang terpaksa diharungi dari semasa ke semasa. Calon SPM 2021 dianggap istimewa kerana sejak dari tingkatan empat lagi mereka telah melalui fasa pembelajaran secara dalam talian ekoran pandemik Covid-19.

Encik Yusup turut berharap agar semua calon SPM dapat menggunakan masa yang ada dengan sebaik mungkin untuk mencipta sejarah dalam kehidupan masing-masing kerana SPM merupakan “Sijil Penentu Masa Depan” anak-anak.

Encik Yusup Haji Mohamad

Di samping berkongsi kata-kata semangat dengan calon SPM, sesi soal jawab bersama Pengarah juga diadakan. Banyak ilmu dan kata-kata semangat yang dapat diperoleh daripada sesi soal jawab tersebut. Pada akhir ucapannya, beliau berharap agar semua calon SPM akan memperoleh kejayaan yang cemerlang dan seterusnya dapat membanggakan ibu bapa serta sekolah dengan pencapaian masing-masing.

Sebelum berakhir, majlis diteruskan dengan penyampaian slip keputusan Peperiksaan Percubaan SPM kepada sembilan orang murid yang berjaya mendapat 4A, 5A, 6A, 7A dan 9A dalam peperiksaan percubaan baru-baru ini.

Selain itu, penyampaian banner “Selamat Menduduki Peperiksaan SPM 2021” daripada pihak JPN kepada pengetua sekolah juga turut diadakan diikuti dengan simbolik penyampaian Modul YaPEIM kepada wakil murid.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan daripada pihak sekolah kepada pihak JPN yang disampaikan oleh Pengetua, Encik Ag Rozlan kepada Encik Yusup.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Encik Yusuf dan pegawai-pegawai JPWPL bergambar bersama pentadbir dan YDP PIBG sekolah



PIBKS Meningkatkan Pembangunan Pendidikan Di Labuan

Peranan ibubapa, komuniti, pihak swasta dan agensi kerajaan adalah penyokong kuat kepada gerakan dan aktiviti pembangunan Pendidikan di WPL.

Bagi menghargai komitmen dan peranan yang dimainkan oleh Kumpulan Penggerak Ibubapa Komuniti dan Swasta Negeri(KPIBKSN), Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah menganjurkan Program Executive Talk PIBKS pada 13 November lalu.

Program yang dihadiri kira-kira 150 jemputan anjuran Sektor Pengurusan Sekolah (SPS) itu telah diadakan di Palm Beach Resort, Batu Manikar.

Menurut Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Matnoh, program ini diadakan khusus bagi mengiktiraf peranan KPIBKS dalam bersama-sama menyumbang kepada pembangunan pendidikan di pulau bertuah ini.

“Selain itu, forum ini juga adalah untuk memaklumkan perkembangan terkini berkaitan pembangunan pendidikan di Labuan” ujar beliau lagi.

Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad telah hadir merasmikan majlis tersebut.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan pendidikan sebagai senjata paling ampuh dalam meningkatkan kualiti sosio ekonomi keluarga dan masyarakat.

“Peranan dan tanggungjawab ibubapa, komuniti dan pihak swasta adalah sangat signifikan dalam pendidikan Labuan sejak awal pendidikan kanak-kanak sehingga ke lepasan menengah”

“Kebolehan menguasai kemahiran literasi dalam kalangan anak-anak pra sekolah sudah tentu akan membuka ruang penerokaan pelbagai ilmu pembelajaran di peringkat sekolah rendah” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan SMA Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (SMA MAIWP) telah menjadi warga pendidikan terbaharu dengan termeterai kesefahaman antara Jabatan Pendidikan W.P Labuan, MAIWP dan KPM sejak Jun lalu.

“Kerajaan turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM65 juta dalam Belanjawan 2022 baru-baru ini untuk pembinaan bangunan baharu SMA MAIWP. Ini adalah manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap penduduk Labuan” tambah beliau lagi.

Encik Yusup menyampaikan cenderhati kepada YDP PIBG SMK Labuan, Tuan haji Md Yusof

Selain itu beliau turut memaklumkan beberapa kelulusan projek menaik taraf institusi pendidikan yang bakal berlangsung dalam RMK-12.

Antaranya ialah projek pembinaan Kolej Tingkatan Enam dan penambahan bilik darjah di SMK Labuan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM36 juta.

Di samping itu, Jabatan Pendidikan juga berusaha untuk membida projek kemudahan Kompleks Sukan di tapak seluas 59 ekar di Sungai Lada dalam RP4, RMK-12.

Di akhir ucapan, beliau mengucapkan terima kasih atas keprihatinan anggota masyarakat setiap peringkat dalam menyantuni murid-murid yang telah kehilangan ibubapa akibat pandemik Covid-19.

“Pihak sekolah akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan murid-murid SMK Mutiara mendapat peluang terbaik bukan hanya dalam bidang akademik malah di dalam bidang sukan” katanya lagi.

Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Kolej Vokasional (KV), Encik Awang Alik bin Saidil turut berkongsi peluang-peluang pembelajaran dalam bidang kemahiran yang terdapat di Kolej Vokasional Labuan.

“Dari aspek kebolehpasaran graduan keluaran KV, setakat ini sekitar 80% pelajar terus memasuki pasaran kerja sejurus tamat pengajian, 15% menjadi usahawan dan selebihnya menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi” jelas beliau.

Sebanyak 3 “letter of intent” telah ditandatangani dalam majlis ini melibatkan JPN Labuan, Persatuan Bola Sepak Labuan(LAFA), SMK Mutiara, Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Kolej Vokasional Labuan dan Areach Marketing & Supplies Sdn. Bhd.

Di akhir program, Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah berbesar hati menyampaikan cenderahati kepada agensi-agensi terlibat sebagai tanda apresiasi atas kerjasama yang telah diberikan sepanjang tahun ini.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Penghargaan kepada pihak Media Labuan atas kerjasama dan sumbangan dalam mempromosikan Jabatan Pendidikan kepada masyarakat.
Letter of Intent” antara JPN Labuan dengan Persatuan Bola Sepak Labuan(LAFA)



Persidangan Guru Pewaris Negara Peringkat Kebangsaan

Labuan, 29 Nov 2021- Pada 23-25 November 2021 diadakan Persidangan Guru Pewaris Negara Peringkat Kebangsaan bertempat Berjaya Times Square, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Persidangan ini dihadiri oleh wakil jawatankuasa Guru Pewaris Negara setiap negeri-negeri dan wilayah persekutuan seluruh Malaysia.

Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dibawah Pegawai Meja Guru Pewaris Negara WP Labuan iaitu Tuan Haji Minggu bin Haji Amat (Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid) menghantar 6 orang guru dan seorang pegawai pengiring.

Pegawai pengiring ialah Puan Sadiah binti Jakob (Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid), Cikgu Anwar bin Ibrahim (Ketua Pengerak Guru Pewaris Negara WP Labuan) daripada Kolej Vokasional Labuan, Cikgu Saharuddin bin Bandung (Timbalan Ketua Pengerak GPN WP Labuan) daripada Kolej Vokasional Labuan, Cikgu Muhamad Hanafi bin Salim (Media GPN WP Labuan) daripada SK Sungai Lada, dan tiga orang AJK iaitu Cikgu Mohd Asyraf bin Abd Hamid daripada SK Sungai Berdaun, Cikgu Shafini Adhira binti Mohd Zaini daripada SK Patau-Patau dan Cikgu Nor Hani binti Misbah daripada SK Patau-Patau.

Perwakilan dari Guru Pewaris Negara Wilayah Persekutuan Labuan

Sepanjang persidangan ini guru-guru dari perwakilan Guru Pewaris Negara setiap negeri dan wilayah dapat Bersama-sama pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta memberi maklumat terkini secara terus daripada pengurusan tertinggi bagi kelancaran diperingkat pelaksana. Program seperti ini dapat merapatkan jurang KPM dan para guru.

Setiap tetamu persidangan akan berkongsikan tajuk-tajuk mengenai Pendidikan masa kini seperti Kesantuan Budi, Profesionalisme Keguruan, Human Governance dan Integriti, Keterampilan Guru, Motivasi dan Kreativiti Seorang Guru, Taklimat Pengoperasian Sekolah dan sesi libat urus bersama Menteri Kanan Pendidikan.

Sesi libat urus YB Senator Datuk Dr Radzi (Menteri Kanan Pendidikan), Datuk Yusran Shah (Ketua Setiausaha KPM), Datin Seri Nor Zamani (Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia),  Tuan Zainal Abas (Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian

Program dahulu dikenai sebagai Guru Muda Malaysia dan sekarang dijenamaan semula kepada Guru Pewaris Negara. Guru Perwaris Negara ini bertujuan melahirkan pemimpin pelapis yang memahami dasar, semangat jati diri dan patriotik, kreatif, berbakat, semangat kesukarelawanan dalam kalangan guru melalui bimbingan guru berpengalaman. Pelbagai aktiviti dirancang mengikut kluster seperti Kluster Profesionalisme, Kluster Perpaduan, Kluster Riadah dan Sosial, Kluster Kebajikan dan Kluster Kepimpinan.

Guru-guru di Wilayah Persekutuan Labuan boleh mengikuti laman Facebook (Guru Pewaris Negara – WP Labuan) bagi mendaptkan maklumat terkini dan program-program yang bakal diadakan pada masa akan datang.

#GuruPewarisNegara

#SekolahKuSEJAHTERA

#NothingBeatsHardWork




Anugerah Teknologi Pendidikan dan Hari Inovasi Pemangkin Warga Digital

Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah melaksanakan majlis Anugerah Teknologi Pendidikan (TEKNOPEN) dan Hari Inovasi Pendidikan bagi tahun 2021 secara serentak 24 November lalu.

Majlis yang diadakan di Bilik Benua, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) telah dikelolakan secara kolaboratif antara SSTP, Sektor Pembelajaran, Sektor Pengurusan Maklumat dan Sektor Perancangan.

Menurut penyelaras majlis, Encik Awang Marten bin Haji Abdul Rahman yang juga Ketua Penolong Pengarah SSTP, majlis diadakan sebagai memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada semua warga pendidikan yang telah menyumbang daya kreatif, inovatif dan mencapai tahap yang membanggakan dalam setiap kategori yang dipertandingkan.

“Sebanyak 37 kategori dalam Anugerah TEKNOPEN dipertandingkan melibatkan warga sekolah dan warga jabatan. Penilaian adalah berdasarkan merit keberhasilan yang telah ditunjukkan oleh para penerima” kata beliau lagi.

Sementara itu, penyelaras Hari Inovasi Pendidikan (HIP) 2021, Puan Faridah Amit berkata seramai 32 pemenang daripada 12 kategori telah dipilih melalui pencalonan yang diterima.

“Pihak urusetia induk telah melantik urusetia bagi setiap kategori untuk memilih pemenang. Panel-panel penilai telah dilantik mengikut kepakaran mereka” jelas beliau.

Puan Anita mewakili cikgu Airol (SK Pekan Satu) menerima Anugerah Guru Pencipta Kandungan Digital

Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad telah hadir merasmikan majlis tersebut. Dalam ucapannya, beliau menekankan peri penting penambahbaikan berterusan dalam organisasi bagi menangani perubahan-perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan.

“Saya yakin usaha-usaha inovasi dan idea-idea kreatif telah berjaya meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan pendidikan dan berjaya meletakkan nama Labuan sebaris dengan negeri-negeri lain”

Selain itu, beliau turut menyeru agar semua warga pendidik menguasai teknologi digital dalam pendidikan bagi mendepani dunia VUCA.

Anugerah tokoh inovasi kategori individu telah dianugerahkan kepada Encik Sapri Idris daripada SMK Rancha-Rancha.

Beliau yang juga guru pusat sumber sekolah berkenaan telah berjaya mewujudkan pusat sumber digital sesuai dengan perkembangan teknologi masa kini.

Selain itu, idea-idea kreatif dan inovasi banyak dapat dilihat melalui susun atur di dalam pusat sumber selain memperkenalkan TV Pusat Sumber Sekolah dan Radio sekolah sebagai saluran penyampaian maklumat.

Manakala Labuan Research and Innovation Society (LaRIS) telah berjaya merangkul tokoh inovasi negeri dalam kategori kumpulan/pertubuhan/program.

Persatuan yang ditubuhkan dua tahun lalu itu telah berjaya menggerakkan pelbagai aktiviti berkaitan kajian tindakan dan inovasi di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Turut hadir dalam majlis berkenaan Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim, para Pengetua, Guru Besar dan Pegawai-pegawai JPN.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Encik Mohd Nizam mewakili Sektor Perancangan menerima Anugerah Kualiti Pengurusan Program/Aktiviti