Meningkatkan Kompetensi Guru Pendidikan Islam
Bengkel Integrasi Digital Dalam PdP Pendidikan Islam

Labuan, 19 Julai Jawatankuasa Task Force Pendidikan Islam SPM dengan kerjasama Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) berjaya menganjurkan Bengkel Integrasi Digital Dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Pendidikan Islam secara dalam talian yang diadakan pada Sabtu lalu.

Bengkel Integrasi Digital yang diadakan merupakan satu usaha untuk meningkatkan profesionalisme guru Pendidikan Islam ke arah melahirkan warga pendidik yang bermaklumat tentang kaedah pengajaran yang terkini melalui perkongsian kepakaran dalam dunia digital.

Turut hadir sama dalam program itu Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam ustazah Kamariah binti Salim dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha merangkap Pengerusi Jawatankuasa Task Force Pendidikan Islam SPM ustaz Wan Azman bin Wan Awang.

Seramai 94 peserta yang terdiri daripada guru-guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab sekolah menengah dan sekolah rendah di wilayah ini menyertainya.

Menurut Wan Azman, Integrasi digital dalam PdP memainkan peranan penting seiring dengan perkembangan teknologi pendidikan terkini. Ini kerana penggunaan teknologi dalam pendidikan akan memberi kesan terhadap perubahan sistem dan kualiti pendidikan yang dilaksanakan oleh guru. Diharapkan juga agar bengkel ini dapat meningkatkan kecemerlangan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) GPI di wilayah ini.

PERKONGSIAN ILMU yang sangat menarik dan interaktif daripada Jurulatih Google Classroom negeri Johor, ustaz Yusri Yusoff

Bengkel ini telah dikendalikan oleh ustaz Yusri bin Yusoff, Guru Cemerlang Pendidikan Islam, Sekolah Menengah Sains Batu Pahat, Johor sebagai penceramah jemputan. Merupakan penceramah yang berpengalaman luas dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi juga merupakan admin digital classroom negeri Johor.

Antara perkongsian Ilmu yang telah disampaikan oleh penceramah ialah berkaitan keperluan Digital, aplikasi digital dalam PdP, Peranan Teknologi Dalam Pengajaran dan Pembelajaran, Kepentingan Teknologi Pendidikan Dalam Pengajaran dan Pembelajaran.

Menurut Yusri, Integrasi Digital menjadi kaedah terbaik untuk meneruskan pendidikan apabila pendemik COVID-19 melanda untuk memastikan bahawa sesi pembelajaran tidak terganggu.

“Teknologi menjadikan proses PdP akan menjadi lebih menarik dan berkesan di dalam kelas maya.  Melalui interaksi digital proses PdP dapat dijalankan dengan lebih mudah, ringkas dan padat kerana murid-murid akan didedahkan dengan gambaran dan persembahan menarik serta mudah untuk di fahami”.

Katanya lagi, guru akan lebih kreatif dan inovatif dalam PdP mereka  malah keberkesanan hasil dan objektif pengajaran dan pembelajaran dapat berlaku dengan mudah dan terancang.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Kamariah binti Salim merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian penceramah berkongsi ilmu dengan warga pendidik di W.P.Labuan serta komitmen guru yang hadir pada petang Sabtu tersebut.

“Kita memahami atas kekangan masa rutin guru di sekolah yang padat, namun berupaya hadir memenuhi undangan ceramah. Alhamdulillah pada petang ini beliau berkesempatan bersama kita berkongsi ilmu pendigitalan yang sedang hangat diperkatakan oleh warga pendidik.” katanya dalam ucapan penutupan.

“Sesungguhnya Pendemik Covid-19, secara tidak langsung mengandungi hikmah yang amat luar biasa. Warga pendidik tidak mempunyai pilihan selain menggunakan teknologi digital bagi kelangsungan proses PdP. Jadi sudah tiba masanya untuk kita mantapkan lagi pembelajaran dan pengajaran dalam talian ini terutamanya untuk kegunaan pada masa akan datang,” katanya

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

BERUCAP: Ustazah Kamariah menyampaikan ucapan penutupan di dalam bengkel tersebut.
KENANGAN: Peserta kursus sempat merakamkan gambar bersama penceramah selepas selesai bengkel integrasi digital.



Kursus Kepimpinan Murid SMK Taman Perumahan Bedaun Tahun 2021

Labuan, 10 Julai – SMK Taman Perumahan Bedaun telah menjayakan Kursus Kepimpinan Murid bagi tahun 2021 dengan Norma Baharu secara atas talian Google Meet bertempat di kediaman masing-masing.  Kursus yang dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK TPB ini bermula pada jam 9.30 pagi hingga 12.00 tengahari. Kursus ini melibatkan empat tunggak pemimpin murid SMK TPB yang terdiri daripada Pengawas Sekolah, Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), Pengawas Pusat Sumber Sekolah (PSS) dan Ketua Tingkatan seramai 60 orang peserta secara keseluruhannya dan 3 orang guru penasihat sebagai penceramah kursus.

Kursus Kepimpinan Murid ini dimulakan dengan taklimat daripada Guru Penasihat setiap badan Kepimpinan Murid berkenaan. Seterusnya semua peserta diberikan bengkel secara atas talian yang telah disampaikan oleh En. Abdul Kadir bin Ali selaku Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK TPB. Barisan Pemimpin Murid seramai 60 orang ini disajikan dengan motivasi dan kemahiran dalam membina potensi sebagai seorang pemimpin pada masa kini.

Kursus Kepimpinan ini diakhiri dengan Majlis Perasmian Penutupan dan Watikah Perlantikan Pemimpin Murid SMK TPB tahun 2021. Encik Ag. Rozlan bin Manan, selaku pengetua SMK TPB dalam ucapannya juga mengingatkan barisan pemimpin murid supaya bersiap sedia dan memperkasakan potensi kepimpinan mereka agar berjaya memberi contoh terbaik kepada murid-murid lain. Kejayaan mereka sebagai pemimpin menjadi salah satu tanda aras kemenjadian murid sekolah ini. Pihak sekolah juga berharap kerjasama yang diberikan oleh barisan pemimpin murid mampu membawa kejayaan dan kecemerlangan sekolah dalam aspek kurikulum, kokurikulum dan sahsiah murid.

Kursus Kepimpinan ini di akhiri dengan bacaan Ikrar barisan Pemimpin Murid yang diketuai oleh Ketua Pemimpin Murid yang dilantik. Semoga dengan Kursus Kepimpinan yang telah dijalankan ini dapat memberi suntikan semangat dan kemahiran yang bermanfaat kepada semua Pemimpin Murid SMK Tmn Perumahan Bedaun. Penolong Kanan Pentadbiran Puan Chai Yee San dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid En. Awang Adi bin Tuah turut hadir dalam majlis penutupan ini.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




29 Guru SK Membedai WP Labuan Menghadiri Bengkel Pemerkasaan Pentaksiaran Bilik Darjah PBD Secara Dalam Talian

Sekolah kebangsaan Membedai telah mengadakan Program Bengkel Pemerkasaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) peringkat sekolah pada 10 Julai 2021 yang telah dirasmikan oleh Encik Mohamed Al Ghaffar bin Haji Mohamed Maidin Guru Besar SK Membedai W.P Labuan. Objektif bengkel ini dilaksanakan ialah untuk membimbing guru agar dapat melaksanakan pentaksiran bilik darjah dalam apa jua keadaan. Ini bermakna semasa pandemic covid 19 melanda dan guru-guru melaksanakan PdPR tetapi pada masa yang sama PBD masih tetap dilaksanakan. Bengkel telah dijalankan di atas talian dari jam 9 pagi hingga 11.30 pagi.

Dalam teks ucapan Pengarah Pendidikan yang dibacakan oleh Guru Besar beliau merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah atas inisiatif dan komitmen pihak pentadbir dan guru-guru SK Membedai melaksanakan PLC bagi memperkasa pelaksanaan PBD sebagai satu instrumen untuk mengukur tahap penguasaan murid-murid dalam pembelajaran. Oleh itu, seperti kita sedia maklum pemansuhan UPSR kini tumpuan telah beralih dari penilaian berorientasi peperiksaan kepada pentaksiran yang menumpukan kepada perkembangan tingkah laku murid dalam penguasaan kemahiran pembelajaran. Sehubungan itu, langkah pihak sekolah memperkasa pelaksanaan PBD adalah amat bertepatan dengan perubahan tersebut dan diharapkan dapat mempertingkatkan kemenjadian murid secara berterusan dan holistik.  

Guru Besar SK Membedai, Encik Mohd Al-Ghaffar Mohd Maidin

Penceramah utama bengkel ialah Cikgu Juraidah binti Aman SISC+ Unit TVET serta dibantu oleh Cikgu Mohd Daud bin Abdullah SISC+ Unit TVET dan Cikgu Ebby Heryani binti Rahmat Mentor PBD TVET.  Turut hadir bersama ialah Puan Amiah binti Bua, Ketua Penolong Pengarah Unit Bahasa Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Semua Pentadbir sekolah dan guru terlibat dalam bengkel ini.

Bengkel berjalan lancar dengan pembentangan dan soal jawab yang membina. Di peringkat sekolah, Pentadbir sekolah dan guru mempunyai peranan tersendiri bagi merealisasikan pelaksanaan PBD agar berkesan serta memberi impak yang positif kepada murid. Pihak pentadbir sekolah melakukan bimbingan dan pemantauan,manakala guru-guru dalam panitia mata pelajaran melakukan perbincangan sesama mereka dalam melakukan pertimbangan professional terhadap murid.

Berita Oleh : SK Membedai




104 Murid SK Membedai Menghadiri Kem Bestari Solat Secara Dalam Talian

Labuan, 5 Julai – Sekolah Kebangsaan Membedai telah mengadakan Program Kem Bestari Solat (KBS) secara dalam talian, kelmarin yang telah dirasmikan oleh Encik Yusup bin Haji Mohamad Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri W.P Labuan.

Objektif program ini dilaksanakan ialah untuk membimbing murid untuk melaksanakan solat dengan sempurna dan baik, membantu murid memperbetulkan kesalahan biasa di dalam solat serta mendidik murid tentang kepentingan kesempurnaan solat.

Dalam ucapan perasmian tersebut, Encik Yusup mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada warga Sekolah Kebangsaan Membedai, khususnya Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab kerana berjaya menjalankan Kem Bestari Solat secara dalam talian walaupun berdepan cabaran pandemik Covid-19.

Beliau menzahirkan kegembiraan ke atas penyertaan murid yang ramai dalam program ini. Encik Yusup memperingatkan kepada yang hadir dan murid-murid SK Membedai tentang kepentingan dan kewajipan menunaikan solat  kerana ia merupakan rukun islam yang kedua. Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada ibu bapa dan murid-murid yang hadir untuk memberi sokongan dengan menyertai kem secara dalam talian.

Ucapan aluan oleh Encik Yusup Haji Mohamad

Encik Yusup turut bersama menyaksikan pelaksanaan amali solat murid-murid dan beliau gembira kerana mereka dapat melakukan solat dengan baik.

Ucapan tahniah kepada panita Pendidikan Islam dan Bahasa Arab ke atas kejayaan mendapat pingat emas dan “ Judge’s Choice “  didalam pertandingan inovasi LaRIS Creativity and Innovation Showcase 2021 peringkat kebangsaan baru-baru ini.

Program telah dihadiri oleh Guru Besar Sk Membedai, Encik Mohamed Al Ghaffar bin Haji Mohamed Maidin, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Ustazah Kamriah binti Salim, Penolong Pengarah  Sektor Pendidikan Islam Ustazah Rahimah barisan Pentadbir Sk Membedai, Guru-guru SK Membedai dan ibubapa.

Program ini dibimbing oleh Ustaz Nawawi bin Ejal selaku ketua Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab, Ustaz Mohammad Akmal Danial Bin Hazani, Ustazah Nasibah Binti Abdullah Dan Ustazah Anfal Binti Amir.

Berita Oleh : SK Membedai

Sambutan yang menggalakkan daripada murid dan ibu bapa
Encik Mohamed Al Ghaffar Guru Besar SK Membedai



STPM SMK LABUAN KEKAL LULUS 100%

Labuan, 1 Julai – Prestasi Wilayah Persekutuan Labuan dalam STPM 2020 kekal 100% dengan mencatatkan lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran bagi calon sekolah kerajaan. STPM 2019 juga mencatatkan keputusan 100%.

SMK Labuan merupakan satu-satunya Pusat Tingkatan Enam di Labuan dengan calon STPM pada tahun 2020 seramai 136 orang.

Dari segi jumlah prinsipal, 76 calon mendapat 4 prinsipal iaitu  55.88%,   31  calon  mendapat   3 prinsipal iaitu  22.79%,19 calon mendapat 2 prinsipal iaitu 13.97% dan 10 calon mendapat 1 prinsipal iaitu 7.35%.

Seramai 36 calon mendapat Purata  Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.00 ke atas iaitu 26.47%. Pelajar terbaik STPM 2020 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan  ialah JAYNE CAREY WONG dengan mendapat PNGK 3.84.

Pengetua SMK Labuan Encik Ismail Abdullah mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang telah berjaya menyumbang kepada pencapaian lulus 100%, termasuk 36 orang pelajar yang mencapai keputusan cemerlang PNGK 3.00 ke atas.

“Terima kasih juga kepada semua guru yang telah berusaha dengan gigih melaksanakan pembelajaran dalam suasana pandemic Covid-19 yang sangat mencabar. Juga kepada PIBG SMK Labuan yang sentiasa memberi bantuan kewangan untuk melaksanakan program-program kecemerlangan setiap semester.” Encik Ismail Abdullah

Penghargaan kepada Jabatan Pendidikan WP Labuan yang membantu dari segi penempatan guru-guru Tingkatan Enam serta bantuan dalam aspek kurikulum.

Untuk rekod, peperiksaan STPM Ulangan Semester 2/2020, dijalankan  pada  8,  9,  10  dan 15 Mac 2021.

STPM Semester  1/2021 dan Ulangan Semester 1/2020, dijalankan pada  16, 17, 18   dan 22 Mac 2021.  

STPM Semester 3/2020, dijalankan pada 5, 6, 7, 8 dan 12 April 2021 di satu  pusat peperiksaan di Wilayah Labuan iaitu SMK Labuan.

Senarai pelajar yang mendapat PNGK 3.0 ke atas.

1 JAYNE  CAREY         WONG 3.84
2 MICHELLE  WONG FUI  PING 3.83
3 SUSAN  LEE  MEI SAN 3.75
4 NURUL ATEYRAH  BINTI YUSAILI 3.67
5 HASJUHWIYAH  BINTI  JAMAL 3.67
6 NORHIDAYAHANI NATASHA  BINTI      ROSLEN 3.67
7 NORHAFIZA  AMILAH 3.67
8 AYISHA  BINTI  MANSOR 3.67
9 VERONLYNN  IRENE  ANAK  JOSEPH 3.59
10 YAPP SEI  NEI 3.50
11 ANDI SALLEHWANGI  BIN MOHD  ARIS 3.42
12 SRISHAFINA  AMINA  BINTI  ABDUL  RAZAK 3.33
13 ELLY  NAZIRAH BINTI  SUFRI 3.25
14 SITTI NURMAMELENA  ABDULLAH 3.25
15 WAN DAYANA    ABADI  BINTI  WAN  MOHD  AZMI 3.25
16 ARDILYN  BINTI  EDIN 3.25
17 SITI  NORAISAH  BINTI  RASHID 3.25
18 MUHAMMAD  IQSHAM  BIN  ROMIU 3.25
19 SYAMIMI  NASUHA  BINTI  YAMIN 3.25
20 MOHD  JASMIE  BIN  MOHD  MASRAPI 3.17
21 MASTURINA  BINTI  HIDZAR 3.17
22 DAYANG  NURLEILA  IMAN  BINTI  AWANGKU  HARISYAM 3.09
23 HIDAYATUL  HUSNA  BINTI  YAHYA 3.09
24 NURUL  AIN  BINTI  ABDUL  GHANI 3.09
25 LYIA  KHARUN EZZANEEY  BINTI  ABDUL  LATIP 3.09
26 ROSANIZA  BINTI  ROSLI 3.08
27 MOHD  AMIRUL  SYAFIK  BIN  MOHD  ISHAK 3.08
28 NURAINA  BINTI  ISHAK 3.08
29 NUR  NASHA FARIEZA  NIECEE  BINTI  JAMBLY 3.08
30 NOR ATIKAH  BINTI  AHMAD 3.08
31 ALEEYA  NAZURIN 3.00
32 SYAZA  BINTI  MUZANI 3.00
33 EZA  EISYA  BINTI  GANDUR 3.00
34 JOSEPHINE  TAN  HUI  LING 3.00
35 SITI  NOORHAFIZA  NAZWA  BINTI  NORIZAN 3.00
36 MOHD  NASSIP 3.00



Program “Road Show Pengetua Bersama Waris dan Calon SPM 2021” Dapat Sambutan

Labuan, 29 Jun 2021 – SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah melaksanakan program “Road Show Pengetua Bersama Waris dan Calon SPM 2021” yang bermula pada 23 Jun sehingga 29 Jun secara dalam talian melalui medium “google meet”. Perjumpaan secara dalam talian bersama waris dan calon SPM diadakan secara berperingkat yang melibatkan lima kelas tingkatan 5. Seramai 90 orang calon SPM 2021 hadir bersama-sama ibu bapa masing-masing dalam program tersebut. Turut hadir bersama dalam program ini adalah barisan pentadbir SMKTPB dan juga guru-guru mata pelajaran tingkatan 5.

Menurut Tuan Pengetua, En. Ag Rozlan bin Manan, objektif utama program ini adalah untuk memaklumkan kepada ibu bapa tentang sasaran pihak sekolah terhadap calon-calon SPM 2021. Menurutnya lagi, calon SPM 2021 merupakan calon yang istimewa kerana melalui norma pembelajaran yang baharu sejak tahun 2020. Mereka juga dianggap istimewa kerana menjalani proses PdPr sejak 2020 sehinggalah kini ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara. Beliau amat berharap agar pandemik ini cepat berakhir bagi memastikan caloncalon SPM 2021 dapat mengikuti pembelajaran secara bersemuka. Untuk makluman, seramai 90 orang calon akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2021. Kehadiran ibu bapa dalam program ini amatlah diharapkan oleh pihak sekolah kerana dalam keadaan PdPr sekarang, ibu bapa dianggap sebagai tunjang utama dalam merealisasikan impian pihak sekolah untuk memastikan anak-anak hadir penuh dalam sesi PdPr. Tanpa sokongan ibu bapa, anak-anak sudah pasti akan tercicir dalam pembelajaran yang kini hanya berlangsung di rumah.

Dalam ucapannya juga, En. Ag Rozlan turut menjelaskan kepada ibu bapa bahawa pelaksanaan PdPr sememangnya tidak sama dengan pembelajaran secara bersemuka. Pembelajaran secara bersemuka membolehkan semua guru memberikan 100% tumpuan dan bimbingan kepada semua murid terutamanya murid yang masih lemah dalam penguasaan mana-mana mata pelajaran. Dapatan daripada kehadiran PdPr, sikap murid-murid yang tidak serius dengan PdPr merupakan langkah utama kepada pihak sekolah untuk melaksanakan program ini demi kepentingan anak-anak. Ibu bapa merupakan kekuatan dalam kejayaan pelaksanaan PdPr kerana anak-anak sepenuhnya berada di rumah. Beliau yakin dan percaya semua guru akan menggunakan pelbagai kaedah yang terbaik untuk memberikan bimbingan walaupun melalui PdPr.

            En. Ag Rozlan turut menjelaskan bahawa sepanjang pencapaian SPM 2018 sehingga SPM 2020, komitmen daripada ibu bapa amat membanggakan kerana sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah untuk memastikan anak-anak mencapai kecemerlangan dalam SPM. Hal ini terbukti apabila keputusan SPM sejak tiga tahun kebelakangan ini semakin meningkat iaitu SPM 2018 (GPS 5.34), SPM 2019 (GPS 5.14) dan SPM 2020 (GPS 4.76). Semua calon SPM 2020 juga layak mendapat sijil kerana pencapaian 100% lulus dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah. Peningkatan pencapaian ini jelas menggambarkan bahawa adanya kerjasama dan komitmen daripada ibu bapa dengan pihak sekolah. Adalah menjadi harapan pihak sekolah agar semua calon SPM 2021 memperoleh sekurang-kurangnya gred “C” dalam semua mata pelajaran untuk melayakkan mereka menempatkan diri ke peringkat seterusnya. Layak sijil untuk calon SPM ditentukan oleh dua mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah yang wajib lulus.

            En. Ag Rozlan juga menyampaikan amanat kepada semua calon SPM agar memanfaatkan masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran dan menggunakan sepenuhnya waktu pembelajaran secara PdPr. Murid-murid diminta untuk mengorbankan masa mereka pada tahun ini demi meraih kejayaan dalam SPM 2021. Baginya setiap orang yang bersuaha pasti akan berjaya. Guru-guru akan sentiasa bersedia untuk membimbing muri-murid walaupun secara PdPr.             Pada akhir ucapannya, beliau memberikan kata-kata semangat kepada semua murid dengan mengambil contoh empat golongan manusia untuk renungan bersama. “Pertama, orang yang rajin dan pandai pasti akan berjaya. Kedua orang yang pandai tetapi malas, hasilnya akan gagal. Ketiga, orang yang lemah tetapi rajin berusaha, juga pasti akan berjaya dan yang terakhir, orang yang lemah serta malas pasti akan mencipta kegagalan dalam hidupnya.” Harapan beliau agar ibu bapa sentiasa bersama dengan guru-guru dan pihak sekolah untuk memastikan kecemerlangan anak-anak dalam SPM 2021. Semoga Covid-19 cepat berakhir agar semua murid dapat kembali belajar secara bersemuka di sekolah

Kehadiran murid 5 Beta dan ibu bapa (23 Jun)
Kehadiran murid 5 Gamma / PVMA dan ibu bapa (25 Jun)

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




Program Munajat Warga Pendidik WP Labuan
Anjuran SMKTPB Berjaya Dilaksanakan

Labuan, 1 Julai : Panitia Pendidikan Islam SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) sekali lagi berjaya menganjurkan Program Munajat Bacaan Yasin dan Doa Warga Pendidik untuk kali ke-4 sebagai langkah mencegah penularan pandemik Covid-19. Program ini mendapat jalinan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan WP Labuan dan juga Sekolah-sekolah di WP Labuan.

Majlis yang berlangsung secara dalam talian pada 25 Jun 2021 dimulakan dengan bacaan Yasin selepas solat Maghrib di kediaman masing-masing. Turut hadir bersama dalam program ini ialah Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup Haji Mohamad, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam, Ustazah Hajah Kamariah binti Salim, Pegawai-Pegawai JPNWPL, guru-guru WP Labuan, ibu bapa dan juga murid-murid. Pengetua SMKTPB, En. Ag Rozlan Manan turut hadir bersama dengan barisan pentadbir dan guru-guru.

Menurut moderator, Ustaz Mohd Daud bin Abdul Rahman, tujuan utama program ini adalah untuk mendoakan kesihatan dan keselamatan semua warga pendidik, petugas di barisan hadapan, murid- murid, keluarga dan masyarakat agar terhindar daripada ditimpa musibah wabak Covid-19.

Program ini juga bertujuan untuk memohon kepada Allah SWT agar mereka yang dijangkiti wabak Covid-19 akan kembali sembuh dengan segera dan mendoakan agar negara kita serta dunia akan bebas daripada wabak ini. Di samping itu, program ini juga diadakan untuk mendoakan kesembuhan buat adik Muhammad Najman bin Nazmi dari Tingkatan 1 Delta yang menghidap penyakit buah pinggang. 

Selesai bacaan Yasin yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Azman bin Abd. Rahim dan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Erzadiansyah bin Uzad, majlis diteruskan dengan ucapan daripada Pengetua SMKTPB, En. Ag Rozlan Manan. Dalam ucapannya, beliau merakamkan ucapan terima kasih atas kehadiran semua dalam menjayakan program ini secara dalam talian.

Menurutnya, program ini merupakan sebahagian daripada usaha pihak sekolah dan JPNWPL dalam menangani pandemik Covid-19. En. Ag Rozlan turut memohon kerjasama daripada semua ibu bapa untuk sama-sama memantau pembelajaran anak-anak di rumah memandangkan tempoh pelaksanaan PdPr yang masih panjang. Walaupun PdPr tidak sama dengan pembelajaran secara bersemuka, namun beliau yakin dengan adanya kerjasama daripada ibu bapa, anak-anak tidak akan tercicir dalam pembelajaran walaupun secara PdPr.

Beliau juga mengharapkan agar semua hadirin dapat bersama-sama mendoakan kesejahteraan dan keafiatan untuk adik Mohd Najman bin Nazmi (murid SMKTPB) yang menghidap penyakit buah pinggang dan akan menjalani pembedahan. Beliau turut berharap agar kita semua sentiasa dilindungi dan mudah-mudahan doa yang dipanjatkan akan dimakbulkan oleh Allah SWT.

En. Ag Rozlan menyampaikan ucapan kepada semua yang hadir

Selesai ucapan daripada Pengetua, majlis diteruskan dengan ucapan daripada Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Maklumat ICT, Encik Mohd Nazrien bin Abdul Rahman. Dalam ucapannya, beliau merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada SMKTPB kerana berjaya melaksanakan program ini. Beliau juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada SMKTPB kerana peningkatan pencapaian dalam keputusan SPM 2020 dengan pencapaian GPS 4.76.

Walaupun banyak halangan yang terpaksa dihadapi oleh pihak sekolah dengan adanya pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PdPr, namun kejayaan dalam SPM 2020 telah membuktikan bahawa semua usaha telah memberikan hasil yang terbaik. Harapan beliau agar pencapaian SPM 2021 akan lebih cemerlang walaupun masih dalam suasana pandemik Covid-19.

Sememangnya anak-anak SPM 2021 merupakan insan terpilih untuk berada dalam situasi ini. Beliau mendoakan agar anak-anak yang akan menduduki SPM 2021 akan memperoleh kejayaan yang cemerlang. Semoga usaha kita semua akan dapat membantu memutuskan rantaian pandemik Covid-19. Sesungguhnya setiap musibah yang Allah turunkan ada hikmahnya yang tersendiri. Pada akhir ucapannya, beliau berharap agar wabak ini segera diangkat oleh Allah SWT dan mendoakan agar kita semua dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Majlis diakhiri dengan solat Isyak dan solat Hajat di rumah masing-masing. TAMAT.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

           




36 Pelatih Dari 3 Buah Sekolah Program Vokasional Menengah Atas Kohort 2019 Terampil Dan Layak Menerima Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 Di Labuan

Labuan, 29 Mei – Satu kejayaan yang membanggakan bagi Labuan apabila kesemua 36 calon pelatih PVMA yang menduduki Penilaian Khas Akhir pada 6 hingga 8 April 2021 telah di perakui terampil dengan tahap pencapaian Tahap 2.

Jawatankuasa Senat Persijilan Kemahiran Malaysia yang bermesyuarat pada 27 Mei 2021 telah menyemak dan meneliti maka dengan itu meluluskan keputusan penilaian tersebut. Kesemua 16 negeri terlibat dalam mesyuarat ini bersama Pengarah BPLTV Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia.

Encik Mohamed Al Ghaffar bin Haji Mohamed Maidin, Ketua Penolong Pengarah, Unit TVET, Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan WP Labuan yang merupakan pegawai meja bagi program ini berkata sekolah yang terlibat ialah SMK Taman Perumahan Bedaun, SMK Pantai dan SMK Lajau.

Sekolah ini menawarkan Program Vokasional Menengah Atas seperti Penyediaan dan Pembuatan Makanan di SMK Pantai, Pembuatan Pakaian Wanita di SMK Lajau dan Artis Multimedia-Visual di SMK Taman Perumahan Bedaun.

Pengurusan induk untuk program ini adalah di peringkat Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia.

Di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri program ini di kawal selia oleh Unit TVET Sektor Pembelajaran dan di peringkat sekolah di urus oleh Pengetua sebagai PBC, guru – guru PVMA sebagai PP dan seorang penyelaras sebagai PPD. Untuk Penilaian Khas tahun ini ia tetap berjaya dilaksanakan walaupun dalam suasana yang terhad akibat pandemic Covid-19. Penilaian telah diadakan secara dalam talian dari 6 hingga 8 April dengan cemerlang.

Pembentangan Penilaian Akhir Labuan oleh Encik Mohamed Al Ghaffar bin Haji Mohamed Maidin KPP TVET SPb JPWPL

Program PVMA memberi nilai tambah kepada kemenjadian murid. Melalui program ini murid memperolehi dua persijilan, iaitu SPM serta pernyataan MPAK bagi mata pelajaran akademik yang tertentu dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Bagi memastikan kelancaran PVMA, 12 kursus telah dikenal pasti di seluruh negara. Apa yang menjadi kebanggaan ialah bagi seluruh Malaysia, hanya di SMK Taman Perumahan Bedaun, Labuan sahaja yang menawarkan subjek program Artis Multimedia-Visual.

Encik Mohamed Al- Ghaffar berharap agar semua pelajar PVMA yang mengikuti program ini mendapat ilmu dan kemahiran yang bermanfaat. Setinggi-tinggi penghargaan juga diberikan kepada Pengetua, guru-guru PVMA, ibu bapa serta pelajar yang terlibat di dalam program PVMA ini. Secara tidak langsung, melalui program ini telah membuka peluang yang luas untuk pelajar-pelajar mendapat pekerjaan dibidang industri, perhotelan dan lain-lain yang berkaitan.

Berita Oleh : Unit TVET, Sektor Pembelajaran




Unit TVET Dan Kumpulan Pemikir Menganjurkan Program Pembangunan Profesionalisme Guru Reka Bentuk Teknologi Bagi Sekolah-Sekolah Menengah Di Labuan

Labuan, 29 Mei Pasukan pemikir mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi Labuan bersama Encik Mohamed Al Ghaffar bin Hj Mohamed Maidin, Ketua Penolong Pengarah, Encik Abdul Rizal bin Abdul Rahim Penolong Pengarah, Cik Juraidah Hj Aman dan Encik Mohd Daud Bin Abdullah rakan SISC+ Unit TVET, Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan WP Labuan telah merangka Program Pembangunan Profesionalisme Guru RBT bagi sekolah-sekolah menengah di sekitar Labuan setelah membuat tinjauan keperluan guru-guru tersebut.

Di antara Program Pembangunan Profesionalisme Guru yang dirancang adalah Bengkel Pemantapan Penguasaan Kandungan Subjek RBT, Bengkel Pembinaan Item, Bengkel Pembinaan ABM/BBM dan Perkongsian Amalan Baik oleh rakan SISC+ unit TVET, Labuan.

Salah satu program yang telah dijalankan adalah Bengkel Pemantapan Penguasaan Kandungan Subjek RBT dimana bengkel ini merupakan perkongsian ilmu oleh guru-guru pakar yang di pilih di kalangan guru-guru RBT di Labuan sendiri.

Subjek RBT mula diperkenalkan di sekolah menengah pada tahun 2017 untuk tingkatan 1. Oleh itu, seramai 32 orang guru RBT sekolah menengah di sekitar Labuan amat memerlukan pendedahan latihan yang berterusan untuk subjek ini.

Cikgu Khairul (SM Sains) dan Cikgu Mat Sani (SMK Lajau) sebagai penceramah
Cikgu Mizan Adlia dari SMK Mutiara sebagai penceramah

Ketua pasukan pemikir mata pelajaran RBT Labuan, Cikgu Felicia Jeffrey berkata tujuan bengkel tersebut dilaksanakan adalah satu usaha bagi membantu guru-guru RBT sekolah menengah meningkatkan penguasaan semua kandungan tajuk yang terdapat dalam subjek RBT agar penyampaian guru dalam pdpc lebih berkesan. Bengkel ini telah mula dilaksanakan pada 23 April yang lalu secara dalam talian menggunakan aplikasi Google Meet.

Menurut beliau lagi, bengkel ini akan diadakan sebanyak 16 kali mengikut jumlah kandungan tajuk pada setiap petang hari Jumaat selama 2 jam. Manakala, pemilihan tuan rumah yang mengelolakan bengkel adalah berdasarkan kepakaran guru yang ada pada sekolah tersebut. Sehingga hari ini, sebanyak 4 bengkel pemantapan penguasaan kandungan subjek RBT berjaya dijalankan.

Ketua Penolong Pengarah TVET Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Labuan, Encik Mohamed Al- Ghaffar bin Hj Mohamed Maidin berharap agar semua guru yang menghadiri program ini mendapat ilmu yang bermanfaat. Setinggi-tinggi penghargaan juga diberikan kepada tuan rumah serta guru-guru yang terlibat di atas perkongsian kepakaran, bimbingan serta tunjuk ajar yang disampaikan. Secara tidak langsung, melalui program seperti ini guru-guru RBT di Labuan dapat menjalinkan kerjasama dan semangat kerja berpasukan di luar komuniti sekolah masing-masing.

Berita Oleh : Unit TVET, Sektor Pembelajaran

Antara peserta bengkel yang hadir dalam talian



PROGRAM PEMBANGUNAN PROFEFSINALISME (CPD) : Bengkel Pengaturcaraan Scratch dan Microbit Pasukan Pemikir RBT Sekolah Rendah

Labuan, 20 Mei – Unit TVET Sektor Pembelajaran dan Pasukan Pemikir Reka Bentuk dan Teknologi Sekolah Rendah Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah mengadakan satu Program Pembangunan Profesional (CPD) Bengkel Pengaturcaraan Scratch dan Microbit.

Bengkel ini diadakan hasil daripada dapatan daripada guru-guru yang mengajar di W.P Labuan yang mana mereka memerlukan kepakaran untuk memantapkan Pengajaran dan Pembelajaran sama ada secara bersemuka atau secara atas talian mereka

Unit TVET, Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan WP Labuan telah menjemput kepakaran dari luar W.P Labuan iaitu Jalinan Pintar bersama Pejabat Pendidikan Daerah Tenom. Encik Rodolf Arat, Penolong Pegawai, Sektor Pengurusan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Tenom yang juga salah seorang jurulatih untuk Scratch dan Microbit Sekolah Rendah bagi Wilayah Sabah telah berkongsi kepakaran beliau.

Bengkel Pengaturcaraan ini diadakan secara dalam talian memandangkan keadaan yang tidak mengizinkan secara bersemuka. Walaupun ia diadakan secara di dalam talian menggunakan aplikasi Google Meet dan akaun Delima tidak bermakna Pasukan pemikir hanya mendapat ilmu kepakaran ini secara teori tapi juga dijalankan secara praktikal yang mana akan dipersembahkan oleh Pasukan Pemikir yang terlibat.

Pencermah Encik Rodolf Arat (bawah kanan), Encik Rizal (atas kiri) dan Pasukan Pemikir

Menurut Encik Mohd Daud Bin Abdullah, Pegawai SISC+ TVET Jabatan Pendidikan W.P Labuan sebagai penyelaras bengkel Pengaturcaraan ini, antara tujuan bengkel ini diadakan selain daripada dapatan guru-guru disekitar W.P Labuan tetapi juga untuk membangunkan kemenjadian murid dalam pengaturcaraan yang boleh mereka gunakan semasa belakunya Pembelajaran dan Pengajaran semasa bersemuka dan di dalam talian.

Mereka juga boleh membuat Invensi, Inovasi untuk diri mereka dan juga mungkin boleh di bawa ke pertandingan -pertandingan yang akan dianjurkan di dalam dan di luar WP Labuan.

Penolong Pengarah Unit TVET Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan WP Labuan Encik Abdul Rizal bin Abdul Rahim  berharap agar Pasukan Pemikir yang mengikuti Bengkel ini akan seterusnya mengadakan Bengkel Pengaturcaraan ini kepada  semua guru-guru Reka Bentuk dan Teknologi Sekolah Rendah.

Setinggi-tinggi penghargaan juga diberikan kepada Penceramah di atas perkongsian kepakaran, bimbingan serta tunjuk ajar yang disampaikan. Secara tidak langsung, melalui program seperti Pasukan Pemikir RBT Sekolah Rendah di Labuan dapat menjalinkan kerjasama dan semangat kerja berpasukan di luar komuniti sekolah masing-masing.

Berita Oleh : Unit TVET, Sektor Pembelajaran

Bengkel Pengaturcaraan oleh Pasukan Pemikir yang diperhatikan oleh Penceramah