1

BRISK WALK – GEOTAPAK TANJUNG LAYANG-LAYANGAN, ANJURAN KELAB PENDIDIKAN

Labuan, 28 Jan 2024 – Seramai 50  warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) menyertai Brisk Walk- Geotapak Tanjung Layang-Layangan anjuran Kelab Pendidikan (KelPen), JPWPL bermula jam 7.00 pagi tadi.

Brisk walk iaitu berjalan menyelusuri pantai Tanjung Layang-layangan ini merupakan aktiviti kedua yang dianjurkan KelPen sesi 2024/2025 selepas Hari Keluarga. Aktiviti pagi tadi dimulai dengan taklimat ringkas dari geoguide berpengalaman, Encik Nazli Ho Abdullah dan sesi pemanasan badan.

Menurutnya, Geopark Labuan terdapat tiga tapak iaitu Geotapak, Biotapak dan Tapak Budaya. Di Geotapak Tanjung Layang-Layangan terdapat Lapisan Silang, Lanskap Hakisan Pantai dan Gerbang Laut yang terbina 15 juta tahun dahulu.

Geopark Labuan telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang baharu pada 16 Disember 2021 semasa Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan Bilangan 1 Tahun 2021. Sekaligus menjadikan Geopark berkenaan satu lagi produk  pelancongan  yang bakal menarik pengunjung ke Labuan.

Geopark Kebangsaan Labuan yang berkeluasan 402 kilometer persegi mempaparkan evolusi endapan batuan dan landskap yang membentuk Pulau Labuan serta tapak-tapak biologi.

Aktiviti pada pagi tadi berakhir dengan sesi penyampaian hadiah oleh Pengerusi KelPen Puan Suriani Alland Rice Onxley kepada 5 orang pemenang kuiz geopark iaitu Encik Jurukan Jinseng, Puan Evionna Sambai, Datin Hanijah, Puan Julynah Wali dan Puan Kamariah Salim serta penyampaian Sijil Penghargaan kepada geoguide.

Berita Oleh : Kelab Pendidikan JPWPL




Lawatan Kerja Pengurusan Tertinggi KPM ke SK Sungai Lada dan SMK Mutiara

Labuan, 26 Januari 2024 – Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Sektor Operasi Sekolah, menjalankan tugas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Azman bin Haji Adnan, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, YBrs. Tuan Haji Muie bin Ngah A.M.T. dan Pengarah, Bahagian Pendidikan Islam, KPM, YBrs. Tuan Haji Abu Hanipah @ Fauzi bin Zahari telah mengadakan lawatan kerja ke SK Sungai Lada dan SMK Mutiara pagi tadi.

Di SK Sungai Lada, rombongan ini telah dibawa melihat persekitaran sekolah, kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan galeri sekolah. Terdapat 6 bilik darjah PPKI dengan jumlah murid seramai 43 orang, 6 orang guru dan 3 orang pembantu pengurusan murid. Rombongan lawatan tersebut turut diperlihatkan demonstrasi membuat ambuyat.

Tuan Haji Azman tekun mendengar dan melihat hasil kerja murid SK Sungai Lada
Lawatan persekitaran sekolah SK Sungai Lada
Rombongan berkesempatan melihat dan mencuba cara-cara membuat ambuyat

Manakala di SMK Mutiara, rombongan dibawa melihat hasil inovasi murid Kelas Aliran Agama (KAA) dan Sukan. Murid-murid KAA turut mempersembahkan lagu KAA hasil ciptaan ustazah Rohani Tali, Penolong Kanan HEM SMKM. Ahli rombongan kerja tersebut turut diberi taklimat tentang aktiviti memanah dan tidak melepaskan peluang mencubanya.

Tuan Hj Azman turut memberikan sentuhan motivasi kepada 154 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Akronim DUIT iaitu Doa dan bermunajat, Usaha berterusan, Ilmu yang cukup dan Tawakkal kepad Allah merupakan resepi untuk berjaya.

Tahniah kepada barisan pentadbir,guru, murid dan seluruh warga sekolah yang sentiasa komited memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar. Semoga SPM 2023, Labuan akan mencatatkan kejayaan cemerlang, inshaAllah.

Lawatan kerja Pengurusan Tertinggi KPM ke SMK Mutiara
Rombongan melihat hasil inovasi murid Kelas Aliran Agama (KAA) dan Sukan
Tuan Haji Azman mencuba aktiviti memanah sambil diperhatikan oleh Encik Awang Rozlan (tengah)

Turut hadir dalam lawatan kerja kerja ini adalah Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Encik Yahya Ahmad Puteh, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Puan Kamariah Salim, Ketua Penolong Pengarah Sektor Integriti Mohd Khairul Rizal dan Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Suntikan Motivasi kepada Calon Peperiksaan SPM oleh Tuan Haji Azman
Gambar kenangan : Rombongan KPM dan JPWPL bersama warga sekolah SMK Mutiara



Program RIMUP diperkasa, Perpaduan Madani terserlah

 

LABUAN –  Sambutan Perayaan Krismas dan Tahun Baharu Cina telah disambut dengan meriah oleh seluruh warga sekolah di Dewan Muhibah, SM St.Anne baru-baru ini.

Pengetua SM St.Anne, Mary Anita Abah dalam ucapannya mengucapkan rasa syukur kerana walaupun dalam kesibukan guru-guru membuat persediaan untuk murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada Isnin nanti namun masih sanggup bertungkus lumus menjayakan majlis sebegini dengan jayanya. Selain itu, katanya semangat perpaduan dan semangat hidup bermasyarakat ini antara elemen yang perlu diberikan tumpuan bagi mengelakkan wujudnya isu polarisasi perkauman antara murid di sekolah. Sebaliknya, sejak alam persekolahan inilah murid-murid dibiasakan untuk menjiwai kemanisan hidup bermasyarakat dengan mengakui, menghargai dan meraikan keragaman budaya dan agama selaras dengan konsep Perpaduan Madani.

 

Majlis sambutan ini telah dirasmikan oleh YDP PIBG SM St.Anne, Bonis Samid. Dalam ucapannya, beliau berkata amalan menyambut perayaan bersama-sama ini salah satu mekanisme yang dilakukan oleh pihak sekolah dalam memperkasakan program Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP). Kemeriahan sambutan perayaan ini turut sama dirasai oleh beberapa orang tetamu jemputan antaranya ibu bapa, AJK PIBG, ahli Lembaga Sekolah, Paroki Gereja Sacrament WP Labuan, Rev.FR.Thomas Madanan, Guru Besar SKK St.Anne, Cecilia Chua, Guru Besar Tadika St.Anne, SR Julie Bating dan Pegawai Perhubungan Sekolah, ASP Dorarin Guanoi.

Dalam ucapan perasmian itu juga Bonis Samid telah menyatakan bahawa secara peribadi beliau sangat menyokong amalan menyambut perayaan bersama-sama ini. Menurutnya, galakan menyambut perayaan bersama-sama ini sememangnya patut diterapkan sejak di bangku sekolah lagi. Katanya lagi, guru dan murid sama-sama dapat melihat sendiri perbezaan kepelbagaian budaya yang akhirnya melengkapkan diri mereka menjadi warganegara Malaysia yang bertuah. Oleh itu, sewajarnya hasrat KPM untuk memperkasa program Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP) di semua sekolah perlu disokong dan dijayakan bersama-sama.

            Pelbagai pengisian dimuatkan dalam majlis sambutan ini antaranya persembahan tarian singa, pertandingan “Miss Chinese”, pemberian ang pao dan limau mandarin, cabutan bertuah, persembahan biola, nyanyian, dan tarian kipas.

 

Mary Anita Abah, Pengetua SM St.Anne menyampaikan ucapan alu-aluan

Bonis Samid, YDP PIBG selaku perasmi majlis Sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu Cina

Dari kanan Aydah Patarusi, Penolong Kanan Pentadbiran, Mary Anita Abah, Cecilia Chua, Guru Besar SKK St.Anne bersama-sama dengan murid Sek Men St.Anne

Rev.FR.Thomas Madanan empat kiri, Mary Anita Abah tiga kiri bersama-sama dengan ibu bapa murid yang menyumbangkan persembahan tarian singa

ASP Dorarin Guanoi, kanan, bersama-sama dalam menyempurnakan gimik perasmian

Lovely Hossana membuat persembahan biola

Pertandingan “Miss Chinese” yang melibatkan semua kelas Tingkatan 1 hingga 4

Pertandingan “Miss Chinese” yang melibatkan semua kelas Tingkatan 1 hingga 4




Progaram Santai-santai KelPen 2024

Labuan, 21 Januari 2024 – Kelab Pendidikan (KelPen), Jabatan Pendidikan WP Labuan telah menganjurkan Santai-santai KelPen Labuan pagi tadi bertempat di Pantai Rekreasi Kampung Sungai Lada.

Aktiviti Senamrobik beramai-ramai mendahului aktiviti lain yang diketuai oleh Cikgu Norhayati, Encik Ismail, Cikgu Murni dan Puan Julynah. Acara sukanika kanak-kanak turut diadakan. Antaranya memasukkan air dalam botol dan memancing botol.

Manakala acara dewasa pula ialah meniup belon, memecahkan belon dan bowling kelapa.
Seramai 70 orang staf jabatan bersama ahli keluarga hadir dalam majlis ini. Santai-santai KelPen merupakan cetusan idea Tuan Pengarah Ybrs Tn Hj Abidin Marjan semasa perjumpaan pertama ahli kelab pada 11 Januari 2024 yang lalu yang bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturrahim di kalangan warga jabatan serta menyatu dan meningkatkan kerjasama antara warga JPWPL.

Aktiviti ini turut disertai oleh Tuan Pengarah JPWPL Ybrs Hj Abidin Marjan, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Encik Yahya Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Encik Awg Marten Datuk Hj Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Encik Sawal Hj Salleh, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan Puan Noraini Hj Sahbudin. Ketua- ketua Penolong Pengarah dan warga jabatan.

Berita Oleh : Kelab Pendidikan JPWPL




Kelab Pendidikan JPWPL Sesi 2024/2025

Labuan, 11 Januari 2024 – Perjumpaan Pengarah Pendidikan bersama Ahli Jawatan kuasa Kelab Pendidikan (KelPen) Sesi 2024/2025 diadakan pagi tadi di Bilik Mesyuarat Botanikal, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dalam suasana penuh harmoni.

Dalam ucapannya, YBrs. Tuan Hj Abidin Marjan mengharapkan agar 145 warga pendidikan yang merupakan ahli KelPen dapat bersama-sama bersatu hati dalam menyokong dan menjayakan aktiviti yang dirancang oleh KelPen. Antara fokus utama KelPen ialah mengeratkann hubungan silaturrahim di kalangan ahli melalui acara hari keluarga, aktiviti ziarah menziarahi dan bersukan.

“Aktiviti lawatan dapat merapatkan hubungan silaturrahim sesama ahli. Tidak kisahlah kita melawat dengan kawan mahupun keluarga, di dalam ataupun di luar negara yang pasti hubungan yang terjalin antara kita akan menjadi lebih rapat dan mesra lagi” ujarnya lagi.

Dalam majlis tersebut turut disampaikan surat lantikan ahli jawatankuasa berkuatkuasa pada 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2025 yang dipengerusikan oleh Puan Suriani Allan Rice Oxley.

Beliau cukup yakin barisan jawatankuasa yang baharu dilantik dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan ini secara professional dengan penuh komitment, cekap dan berkesan dan seterusnya dapat meningkatkan prestasi jabatan ini.

Berita Oleh : Kelab Pendidikan JPWPL




Kunjungan Hormat Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) W.P Labuan Ke Pejabat Pengarah Jabatan Pendidikan W.P Labuan

Labuan, 8 Januari 2024 – Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) W.P Labuan telah membuat kunjungan hormat ke pejabat Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan pada 3 Januari 2024. Rombongan 10 orang pengetua tersebut diketuai oleh Encik Ismail bin Abdullah, Pengetua SMK Pantai merangkap Yang DiPertua MPSM WP Labuan.

Ahli-ahli MPSM WP Labuan yang hadir ialah Tuan Hj Mohd Nizam bin Yasim (SMK Labuan), Puan Mary Anita Abah (SM St Anne), Puan Siti Aminah Zakaria (SMA MAIWP Labuan), Puan Norazita Md Nor @Shamsuri (SMK Taman Perumahan Bedaun), Encik Ag Rozlan Manan (SSN SMK Mutiara), Encik Wan Azman Wan Awang (SMK Rancha-Rancha), Encik A Zailani A Mumin (SM Sains Labuan) dan Puan Wong Tong Moi @Connie (SM St Anthony).

Tuan Haji Abidin bin Marjan Pengarah Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah menerima kunjungan hormat tersebut bersama tiga orang Timbalan Pengarah iaitu Encik Yahya bin Ahmad Puteh Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Tuan Haji Sawal bin Salleh Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah dan Puan Noraini binti Haji Sabudin Timbalan Pengarah Sektor Perancangan.

Selain daripada untuk sesi suaikenal dan ramah mesra, kunjungan hormat tersebut juga bertujuan untuk menerangkan peranan MPSM dalam memperkasakan pendidikan di WP Labuan, serta mendengar amanat yang disampaikan oleh Pengarah Pendidikan.

Encik Ismail (2 dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Tuan Haji Abidin disaksikan semua Timbalan Pengarah

Encik  Ismail Abdullah menekankan tentang peranan MPSM W.P Labuan melaksanakan Task Force SPM yang mempunyai matlamat, objektif dan konsep seperti berikut.

MATLAMAT :

Menerajui pasukan guru mata pelajaran untuk meningkatkan atau melonjakkan prestasi matapelajaran SPM WP Labuan.

OBJEKTIF :

  1. Merancang strategi meningkatkan pencapaian mata pelajaran SPM peringkat WP Labuan
  2. Menyediakan panduan untuk pelaksanaan strategi meningkatkan pencapaian mata pelajaranSPM peringkat sekolah

KONSEP :

  1. Program Untuk Guru – Peningkatan kualiti PdP dan kemahiran teknik menjawab soalan.
  2. Program Untuk Murid – Peningkatan penguasaan teknik belajar dan teknik menjawab soalanSPM bagi kelompok murid lemah, sederhana dan cemerlang

Tuan Haji Abidin Marjan telah menyampaikan beberapa amanat penting untuk tindakan semua pengetua.

  1. Pengetua memberi fokus yang besar kepada Kepimpinan Instruksional dalam mengemudi sekolah
  2. Setiap Pengetua perlu tahu data dan maklumat berkaitan prestasi semasa sekolah.
  3. Sekolah perlu membuat persediaan melaksanakan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dalam tempoh 3 bulan sehingga April 2024.
  4. Pengetua mengajar mata pelajaran sesuai dengan opsyen masing-masing.
  5. Setiap Pengetua perlu menggerakkan jentera pentadbiran dalam pengoperasian sekolah dan jangan bekerja bersendirian.
  6. Kehadiran murid ke sekolah mestilah mencapai purata sekurang-kurangnya 93% kerana pencapaian murid berkait langsung dengan kehadiran mereka ke sekolah.
  7. Persekitaran sekolah mesti sentiasa bersih, selamat dan selesa.

Kunjungan hormat ini menghasilkan persefahaman yang jelas antara hala tuju Pengarah dan kesepaduan tindakan dalam kalangan pengetua untuk mencapai matlamat yang ditetapkan serta memartabatkan pendidikan WP Labuan ke tahap yang lebih tinggi.

Berita Oleh : MPSM Labuan




NUR AIMILEEYA CEMERLANG DALAM KEM BAKAT LAWN BOWLS KEBANGSAAN.

Murid tingkatan 3 SMK Pantai, Nur Aimileeya binti Ismail mempamerkan kebolehan cemerlang dalam Kem Bakat Lawn Bowls Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Arena Lawn Bowls Perak, Kompleks Sukan DBI, Ipoh Perak pada 18-24 Disember 2023, anjuran Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Belia dan Sukan serta Persekutuan Lawn Bowls Malaysia. Empat pencapaian Nur Aimileeya sepanjang Kem Bakat tersebut ialah :

1. 1 st Runner Up Ultimate Fours Challenge
2. Best Score Woman
3. Princess Bowlers Terbaik
4. Top 7 Test Drill Keseluruhan


Nur Aimileeya juga merupakan peserta yang mencatatkan mata tertinggi semasa pemilihan pasukan lawn bowls Wilayah Persekutuan ke Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 pada bulan November lalu.

Nur Aimileeya yang juga merupakan pemenang pingat emas acara Women’s Four SUKMA 2022 berazam untuk mengekalkan kejuaraan dalam SUKMA 2024 dan memenangi kejohanan-kejohanan lain yang disertai pada masa akan datang.

Pengetua SMK Pantai Ismail Abdullah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Persatuan Bowling Padang WP Labuan serta ibu bapa Nur Aimileeya yang sentiasa memberi bimbingan dan sokongan berterusan.

Kejayaan Nur Aimileeya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada masa-masa akan datang akan memberi motivasi kepada murid-murid lain untuk mengikut jejak langkah kecemerlangannya.

 




Rangkuman JPWPL Sana Sini Oktober-Disember 2023: MAJLIS LAUTAN KASIH SEJUTA KENANGAN

JPWPL telah mengadakan Majlis Lautan Kasih Sejuta Kenangan pada 23 November 2023.Majlis yang dianjurkan oleh MPT,MPSM dan MGB tersebut diadakan bersempena pertukaran YBrs.Tuan Yusup bin Hj Mohamad yang telah menerima kenaikan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Kanan,Gred JUSA C di Sektor Dasar Dan Perancangan Pembangunan Keguruan Bahagian Profesionalisme Guru,Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kenaikan pangkat tersebut mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila YBrs.Tn.Yusup bin Hj Mohamad merupakan anak tempatan dari WP Labuan pertama yang dilantik ke jawatan kanan di KPM tersebut.

Dalam ucapan beliau, YBrs.Tn.Yusup menyampaikan nasihat-nasihat dan saranan-saranan sebagai panduan semua.Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa lebih banyak lagi kejayaan-kejayaan boleh tempa oleh warga pendidikan di Labuan.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh semua Timbalan-Timbalan Pengarah,Ketua-Ketua Penolong Pengarah, para Pengetua dan Guru Besar serta pegawai dan kakitangan JPWPL.Majlis tersebut diurusetia dan dikelola bersama oleh Sektor Sumber Manusia, MPSM dan MGB.

YBrs.Tuan Yusup bin Hj Mohamad telah memulakan tugas secara rasmi di BPG KPM pada 28 November 2023.




Rangkuman JPWPL Sana Sini Oktober-Disember 2023: BENGKEL KEPIMPINAN DAN HIGH PERFORMANCE TEAM 2023

Sektor Sumber Manusia dan Sektor Pengurusan Sekolah JPWPL telah mengadakan dengan jayanya Bengkel Kepimpinan & High Performance Team pada 6-8 November 2023 yang melibatkan para Pengetua dan Guru Besar di sekolah-sekolah Labuan.

Program yang memberi penekanan kepada aspek pengukuhan kapasiti kepimpinan tersebut turut disertai kepimpinan tertinggi JPWPL termasuk Pengarah serta Timbalan-Timbalan Pengarah JPWPL serta KPP SSM.Turut terlibat dalam program kali ini adalah penceramah dari IAB serta KKPN JPN Sabah. Disamping didedahkan dengan kemahiran-kemahiran teori, peserta jua turut dimantapkan lagi dengan aktiviti-aktiviti outdoor dan fizikal yang telah diadakan di Pulau Manukan Kota Kinabalu.

Program tersebut turut mendapat maklumbalas positif dari peserta dan rata-rata berharap kesinambungan program ini akan dapat diadakan pada masa akan datang.




Rangkuman JPWPL Sana Sini Oktober-Disember 2023: KURSUS PEMANTAPAN PENGURUSAN CUTI, ELAUN DAN KENAIKAN PANGKAT

Sektor Sumber Manusia JPWPL telah mengadakan dengan jayanya Kursus Pemantapan Pengurusan Cuti,Elaun dan Kenaikan Pangkat kepada AKP – AKP yang terlibat dalam mengendalikan urusan tersebut di Sekolah dan Jabatan. Kursus yang telah diadakan pada 6-8 Oktober 2023 di Miri Sarawak tersebut telah dihadiri hampir 40 peserta dari pelbagai sektor dan sekolah-sekolah di Labuan.

Disamping memberi panduan dan pendedahan terkini berkenaan dengan Pengurusan Cuti,Elaun dan Kenaikan Pangkat, sebagai tambah nilai kursus ini juga berjaya merapatkan lagi jalinan yang lebih erat antara SSM serta semua AKP sebagai sebuah pasukan yang padu dan mantap demi kecemerlangan JPWPL.

Semoga kerjasama yang erat ini akan dapat diteruskan utk program akan datang.