SMK Labuan Sertai Program Keusahawanan dan Penggalakan Koperasi Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2023

Seramai 24 murid dari SMK Labuan telah menyertai program keusahawanan dan penggalakan koperasi Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2023 yang telah diadakan di Anggerik Square, Ujana Kewangan pada Sabtu lalu.

Koperasi SMK Labuan telah membuka booth jualan dengan menjual cheesekut hasil usaha empat ahli koperasi sekolah berkenaan. Mereka ialah Shersly Poh, Tan Xuan Xuan, Nurhumairah binti Mohd Najid dan Stevenie Lester.

Selain itu, 20 pelajar Tingkatan 6 telah menyertai program tersebut sebagai peserta jemputan beserta dua orang guru pengiring yang juga merupakan guru koperasi SMK Labuan iaitu Puan Rubaizah bt Basir dan Puann Juriati binti Jumat.

Menurut guru penasihat, En Chua Chee Kiat, penyertaan dalam program ini adalah untuk menimbulkan minat keusahawanan dalam kalangan murid.

Program anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Cawangan Labuan telah dirasmikan oleh Encik Matias Kundapin, Pengarah SKM negeri Sabah.

Dalam ucapannya, Matias menyeru agar koperasi-koperasi di Labuan dapat bekerjasama antara satu sama lain terutama dalam pasaran yang agak terhad di dalam Labuan.

“Setiap koperasi perlu merebut peluang meluaskan kerjasama dengan koperasi di luar Labuan sama ada di semenanjung ataupun di Sabah.

Salah seorang murid, Adik Nur Zahra menyifatkan penyertaan dalam program ini telah membuka peluang dan pengalaman dalam aktiviti perniagaan.

“Saya bersyukur atas dorongan guru dalam membimbing kami melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti koperasi” kata adik Nur Zahra lagi.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan W.P Labuan, Encik Samsul Mandisin dan Pegawai SKM Labuan, Encik Azmaniansyah Bachok.

Berita Oleh : SMK Labuan

Tanda sokongan daripada Pengetua SMK Labuan, Encik Mohd Nizam (2 dari kiri)



PERANAN PIBG MANTAPKAN USAHA SMK PANTAI MENGANGKAT MARTABAT MURID.

Peranan PIBG sangat penting untuk memantapkan usaha SMK Pantai mengangkat martabat murid. Pengetua SMK Pantai, WP Labuan Encik Ismail Abdullah berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung PIBG SMK Pantai yang telah diadakan pada 20 Mei 2023 yang lalu. Mesyuarat tersebut berlangsung di Dewan SMK Pantai dihadiri kira-kira 400 orang ahli PIBG SMK Pantai.

Pihak sekolah sedar bahawa pembangunan adab dan akhlak murid perlu diberi tumpuan khusus kerana jika murid beradab dan berakhlak , mudah mereka menerima pelajaran dan guru-guru juga lebih banyak masa ditumpukan kepada aspek pembelajaran. Bagaimanapun lumrah alam persekolahan, tentu ada juga sebilangan kecil murid yang terlibat dalam pelanggaran disiplin di sekolah. Harapan pihak sekolah agar ibu bapa  bersama-sama menangani hal ini. Ibu bapa menguruskan anak-anak di rumah, guru-guru menguruskan mereka di sekolah berpandukan garis panduan disiplin KPM yang sedang berkuatkuasa.

Hal berkaitan pembangunan bakat dan kepimpinan murid juga akan diberi tumpuan selaras dengan slogan “SMK Pantai mengangkat martabat murid”. Sekolah akan memberi peluang seluas-luasnya kepada murid untuk terlibat dan bersaing di peringkat negeri, kebangsaan atau antarabangsa dalam pelbagai aktiviti atau pertandingan yang ada.

AJK PIBG SMK PANTAI 2023/2024

Pengetua berkongsi rasa gembira kerana pada 24 Februari 2023 yang lalu, murid ting 4 SMK Pantai (sekarang ting 5) iaitu Nur Allya Mardiana binti Jairin telah dipilih sebagai penyanyi utama dalam Konsert DiRaja Kementerian Pendidikan Malaysia yang diadakan di Istana Budaya dan Nur Allya membuat persembahan di hadapan DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Ini adalah antara pencapaian tertinggi bagi murid-murid WP Labuan di peringkat kebangsaan.

Kejayaan-kejayaan lain seperti pencapaian pingat emas oleh Rosyam Qusyairi Aspar di Kejohanan Tae Kwondo Antarabangsa di India, emas SUKMA oleh Nur Aimileeya Ismail serta banyak pencapaian lain dalam sukan Boling Padang, Petanque dan Tae Kwon Do membuktikan murid-murid SMK Pantai tidak ketandusan bakat dan faktor sokongan ibu bapa juga merupakan faktor terpenting.

Pengetua juga berkongsi kegembiraan bersama para ibu bapa tentang kejayaan guru SMK Pantai yang baru setahun bertugas di SMK Pantai iaitu Cikgu Sharania a/p Gunasegaran yg telah berjaya menjadi johan kebangsaan bersama pasukan Bahas Guru WP Labuan dalam Pertandingan Bahas Guru Piala KPPM yang berlangsung pada 15 Mei yang lalu di Melaka. Ini akan memberi inspirasi kepada murid-murid dan guru-guru yg lain untuk mencapai kejayaan yang lebih banyak lagi.

Untuk memastikan lebih banyak kejayaan akademik dan kokurikulum dicapai, tentulah sekolah memerlukan dana bagi membiayai aspek pengurusan aktiviti-aktiviti berkaitan. Selain daripada peruntukan sedia ada oleh KPM yang memang tidak mencukupi untuk membiayai semua aktiviti, dan juga sumbangan pihak-pihak tertentu, pengetua juga memohon agar ibu bapa dapat menyokong pihak sekolah dengan menjelaskan sumbangan PIBG yang jumlahnya  diputuskan dalam mesyuarat ini

Berkaitan dengan pelaksanaan aktiviti pembelajaran dan pentaksiran,  untuk murid-murid tingkatan 1,2 dan 3 KPM telah menetapkan bahawa semua sekolah mesti melaksanakan dan memperkasakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang berlaku secara berterusan sepanjang sesi, dan di akhir sesi persekolahan barulah ada ujian yang disebut sebagai UJIAN AKHIR SESI AKADEMIK (UASA).

PBD ialah pentaksiran yang berlaku secara berterusan sepanjang PdP bagi semua mata pelajaran. PBD bukan bertujuan untuk membandingkan tahap penguasaan antara murid, tetapi untuk melihat perkembangan kemajuan murid dalam pembelajaran di samping membantu guru menambah baik pengajaran mereka.

Oleh itu tiada ujian atau peperiksaan dalaman yang berjadual untuk tingkatan 1,2 dan 3. PBD dilaksanakan oleh guru mata pelajaran melalui pelbagai kaedah pentaksiran seperti pemerhatian, penulisan dan lisan melalui aktiviti seperti kerja projek, kuiz, pembentangan dan sebagainya. Akhirnya guru akan membuat pertimbangan profesional untuk menentukan Tahap Penguasaan yang dicapai oleh setiap murid, dan pelaporan PBD ini akan disediakan 2 kali setahun untuk diberi kepada murid / ibu bapa.

Pemangku Yang DiPertua PIBG SMK Pantai Puan Daisy Jack dalam ucapan alu-aluannya menyatakan komitmen PIBG untuk bersama-sama pengetua dan guru-guru SMK Pantai memastikan prestasi SMK Pantai dalam pelbagai bidang akan sentiasa menunjukkan peningkatan.

Beliau bersyukur dengan kerjasama padu yang diberikan oleh PIBG dan ibu bapa dan komitmen pihak sekolah yang bersungguh-sungguh memastikan kepentingan pendidikan murid-murid SMK Pantai diberi keutamaan.

Beliau juga menyeru agar semua ibu bapa memberi perhatian sepenuhnya terhadap perkembangan anak masing-masing dan memastikan mereka membuat apa-apa tugasan yang diberi oleh guru-guru supaya mereka dapat mengikuti pembelajaran dengan sebaik-baiknya.

Ucapan aluan Pemangku YDP PIBG

Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SMK Pantai juga diserikan dengan acara cabutan bertuah yang menyediakan 119 hadiah cabutan bertuah. Hadiah utama iaitu sebuah  basikal telah dimenangi oleh Encik Hashim Maidan.

Berita Oleh : SMK Pantai

PEMENANG UTAMA CABUTAN BERTUAH EN HASSIM MAIDAN



NUR ALLYA JOHAN PERTANDINGAN “U GOT TALENT” KARNIVAL JOM MASUK U ZON SABAH

Murid Tingkatan 5 SMK Pantai, WP Labuan Nur Allya Mardiana binti Jairin telah dinobatkan sebagai johan Pertandingan U Got Talent Karnival Jom masuk U Zon Sabah yang diadakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kota Kinabalu pada 28 Mei 2023 yang lalu.

Nur Allya bersaing di peringkat akhir bersama 14 penyertaan yang lain,  terdiri daripada peserta solo dan berkumpulan yang menunjukkan bakat masing-masing dalam nyanyian lagu dan tarian.

Nur Allya yang mempersembahkan nyanyian solo lagu “Semalam” yang dipopularkan oleh Aina Abdul telah berjaya menewaskan  14 penyertaan lain dari seluruh Sabah iaitu SMK Narinang Kota Belud, SMK Entabuan Tenom, SMK Tandek 2 Kota Marudu, SMK Lohan Ranau, SMK Bahang Penampang, SMK Mat Salleh Ranau, SMK St Joseph Papar, SMK Bandaraya, SMK Inanam, SMK Kolombong, SMK Kota Marudu II, SMK Pekan Kota Belud dan SMJK Chung Hwa Tenom.

Nur Allya memenangi wang tunai RM1,000 dan sijil penyertaan. Sebelum ini Nur Allya telah terpilih sebagai penyanyi utama dalam Konsert DiRaja Kementerian Pendidikan Malaysia dan telah membuat persembahan di hadapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong pada 24 Februari 2023 di Istana Budaya.

Kejayaan Nur Allya dalam bidang nyanyian ini telah mengharumkan nama WP Labuan dan nama SMK Pantai di peringkat kebangsaan. Pihak sekolah sangat menggalakkan dan memberi sokongan kepada penglibatan Nur Allya sehingga peringkat tertinggi.

Berita Oleh : SMK Pantai




SMK Labuan Johan Bahas Bahasa Inggeris peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2023.

SMK Labuan telah dinobatkan sebagai Johan dalam Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris peringkat Wilayah Persekutuan Labuan bagi tahun 2023.

Pertandingan selama 3 hari bermula 22 hingga 25 mei lalu telah menarik penyertaan sebanyak 8 buah sekolah menengah iaitu SMk Pantai, SMK Lajau, SM St Anne dan SM St Anthony.

Selain itu, SMK Mutiara, SMK Rancha-rancha, SMK Labuan dan SMK Perumahan Berdaun turut menyertai pertandingan tersebut.

Menurut ketua Panitia Bahasa Inggeris dan selaku setiausaha pengelola iaitu Puan Nasthashia binti Masiri  , Pertandingan Bahas tahun ini dikelolakan oleh SMK Labuan melibatkan 23 orang juri yang telah dilantik oleh pihak penganjur iaitu Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pertandingan pusingan akhir telah berlangsung di dewan Mutiara SMK Labuan yang melibatkan pembahas daripada SMK Labuan dan SM St Anne.

Pasukan SMK Labuan yang dibimbing oleh guru-guru Bahasa Inggeris SMK Labuan telah dianggotai oleh Nicole Grace Wong (Tingkatan 4), Wong Yan Yee (Tingkatan 4), Hana Syazana binti Hamsah (Tingkatan 3), Adam Danial Montallana (Tingkatan 3) dan Harleen Kaur a/p Sukvinderjeet Singh (Tingkatan 1).

Hadiah-hadiah kemenangan telah disampaikan oleh Tuan Haji Minggu bin Haji Amat iaitu Ketua Penolong Pengarah, Unit Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid Wilayah Persekutuan Labuan.

Terdahulu dalam ucapannya, Haji Minggu mengharapkan agar pertandingan ini dapat mencungkil bakat dalam kalangan murid sekolah terutamanya kebolehan untuk mengemukakan hujah-hujah berkualiti berkaitan sesuatu tajuk.

Ucapan perasmian penutupan oleh Ketua Penolong Pengarah, Encik Haji Minggu bin Haji Amat

“Latihan yang berterusan, semangat berpasukan dan motivasi yang diberikan oleh guru-guru pembimbing dan ibubapa menjadi pemangkin kejayaan bagi SMK Labuan” kata adik Hana Syazana yang juga terpilih sebagai Pembahas Terbaik.

Pembahas terbaik Hana Syazana

Turut hadir dalam Majlis penutupan Pertandingan ini ialah Encik Kitli bin Beka iaitu Penolong Kanan Pentadbiran yang mewakili Pengetua SMK Labuan iaitu Encik Nizam bin Yasim , Pengetua SM St Anne iaitu Puan Anita Abah dan guru-guru pengiring.

Berita Oleh : SMK Labuan

Ahli jawatankuasa Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris



Mesyuarat PIBG Medan Erat Kerjasama Guru, Ibu Bapa dan Komuniti

Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan (SMKL) telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (MAT PIBG) kali ke-25 pada hari Sabtu lalu.

Lebih 300 ibu bapa dan guru hadir menjayakan majlis tersebut yang diadakan di Dewan Mutiara sekolah berkenaan.

Sebelum mesyuarat bermula, para ibu bapa telah diberikan taklimat berkaitan kesihatan dan keselamatan murid.

Slot Advokasi berkaitan Anemia untuk Remaja telah disampaikan oleh Cik Ainor Farahin binti Aziz daripada Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan.

Manakala Koperal Encik Mohd Farehan bin Morshidi daripada IPD Labuan telah berkongsi tentang maklumat yang berkaitan cabaran-cabaran remaja masa kini.

Pengetua SMK Labuan, Encik Mohd Nizam bin Yasim dalam ucapannya menyeru ibu bapa memberi kepercayaan kepada pihak sekolah dalam memberi pendidikan terbaik ke arah melahirkan “Anak yang Baik lagi Cerdik” (ABC).

Beliau juga berharap agar ibu bapa dapat memberikan komitmen dan bersama-sama pihak sekolah menjayakan semua aktiviti sekolah ke arah kemenjadian murid SMK Labuan yang unggul.

Selain itu, beliau mengambil kesempatan menerangkan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).

“Pengukuran UASA tidak lagi merujuk gred atau markah tetapi dijelaskan melalui Tahap Penguasaan (TP) 1 hingga 6” jelas beliau.

Ucapan Aluan oleh Pengetua SMKL, Encik Mohd Nizam Yasim

MAT PIBG kali ini dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Dalam ucapannya, beliau menjelaskan fungsi sesebuah sekolah bukan semata-mata melahirkan murid-murid cemerlang akademik tetapi melahirkan pewaris negara yang mempunyai peribadi, sahsiah, akhlak dan agama.

“Dalam melahirkan generasi pewaris negara yang beradab mulia, sekolah perlu menjalinkan hubungan yang mantap antara ibu bapa, guru dan komuniti” ujar beliau lagi.

Pada akhir ucapannya, beliau menzahirkan harapan agar kerjasama yang erat ini akan berterusan demi kebaikan anak-anak yang bakal menjadi pewaris kepemimpinan pada masa hadapan.

Ucapan Perasmian oleh Pengarah Pendidikan, JPWPL Encik Yusup Haji Mohamad

MAT PIBG kali ke-25 ini turut diserikan dengan cabutan bertuah. Pemenang hadiah utama yang berupa sebuah TV telah menjadi milik salah seorang bapa atau penjaga murid yang hadir.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Yang Dipertua (YDP) PIBG, Tuan Haji Yusuf bin Haji Chu Chu bersama dengan barisan AJK PIBG sesi 2023/2024.

Berita Oleh : SMK Labuan

Mesyuarat PIBG sedang berlangsung
Para ibu bapa yang hadir
Pemenang Hadiah Utama Cabutan Bertuah



AKTIVITI MENARIK DISUSUN SEMPENA MINGGU HARI GURU SK BUKIT KALLAM 2023

Majlis dirasmikan oleh Encik Sajali @ Sazalee Hj Dinin, Guru Besar SK Bukit Kallam

Saban tahun, Hari Guru akan disambut pada 16 Mei setiap tahun bagi menghargai pengorbanan guru-guru dalam mendidik anak bangsa. Justeru itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru dengan kerjasama Teacher’s and Non Teacher’s Club (TnT)SK Bukit Kallam menganjurkan Minggu Sambutan Hari Guru Tahun 2023

Minggu Hari Guru dimulakan dengan Majlis Perasmian yang disempurnakan oleh Encik Sajali @ Sazalee Bin Haji Dinin selaku Guru Besar. Semasa majlis tersebut, dimulakan dengan bacaan perutusan Hari Guru oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan Menteri Pendidikan. Bukan itu sahaja, lafaz ikrar guru dan nyanyian lagu Kami Guru Malaysia juga diselitkan.

Bagi memeriahkan majlis,terdapat dua persembahan daripada murid iaitu Deklamasi Sajak dan Poem Recitation yang dalam masa yang sama menyokong Highly Immersive Programme.

Pada sebelah petang pula diadakan aktiviti Senam Zumba, diteruskan dengan Sukaneka dan Perlawanan Bola Jaring yang menyaksikan empat buah rumah sukan yang diwakili oleh Guru dan AKP.

Minggu Hari Guru ini juga akan menyaksikan semua guru akan diundi oleh anak murid untuk Anugerah Hari Guru, seterusnya lawatan ke rumah guru bersara dan juga Majlis Jamuan Makan Hari Guru sebagai penutup program ini.

Lafaz ikrar guru
 
Senam zumba yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Jasmani & Kesihatan
Pelbagai permainan yang dipertandingkan dalam Sukaneka
Perlawanan bola jaring yang menyaksikan Rumah Helang menjadi Johan



Sambutan RIMUP Hari Raya, Pra Pesta Kaamatan dan Hari Gawai Menyuburkan Perpaduan SMK Taman Perumahan Bedaun

Labuan – Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah mengadakan Sambutan RIMUP (Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan) Hari Raya, Pra Pesta Kaamatan dan Hari Gawai dengan penuh meriah.

Sambutan ini berlangsung pada 17 Mei 2023 di kelas masing-masing dan diteruskan di Dataran Bedaun SMKTPB.

Sambutan RIMUP ini disambut bertujuan untuk memupuk semangat muhibah, perpaduan dan kemesraan antara warga sekolah melalui aktiviti-aktiviti yang diadakan di samping menjadi landasan kepada hubungan baik di antara warga sekolah dengan murid-murid.

Sesi bergambar semua guru bersama murid-murid

Sambutan dimulakan dengan jamuan raya di mana murid-murid membawa juadah masing-masing dan dinikmati bersama-sama guru-guru dan rakan-rakan. Murid-murid sangat teruja berkongsi hidangan dengan rakan-rakan yang pelbagai agama dan bangsa.

Selesai menjamu selera, semua murid dikumpulkan di Dataran Bedaun untuk mengikuti acara seterusnya.

Pengetua SMKTPB, Puan Norazita binti Md.Nor @ Shamsuri telah dijemput untuk berucap dan dalam ucapannya beliau berkata sambutan ini diadakan untuk memupuk dan menyemai sikap bersatu-padu di kalangan murid.

Beliau berharap perpaduan itu tidak hanya dilihat ketika sambutan ini sahaja tetapi turut mengharapkan murid-murid sentiasa mengamalkannya dalam kehidupan seharian dengan lebih harmoni.

Puan Norazita binti Mohd Nor @Shamsuri menyampaikan ucapan

Sambutan diteruskan dengan pertandingan menganyam ketupat. Seramai 17 orang murid telah menyertai pertandingan dan menunjukkan kemahiran masing-masing. Pertandingan ini telah dimenangi oleh Maizatul Aqma bt Harun.

Seterusnya pertandingan ikat samping telah berlangsung. Seramai 24 orang murid lelaki telah menunjukkan kreativiti masing-masing dalam mengikat samping dan memperagakan hasil ikatan dengan penuh bergaya. Mohd Khazwan bin Sahiron telah dipilih sebagai pemenang bagi pertandingan ini.

Terdapat juga pertandingan mengalunkan takbir raya, pertandingan menghasilkan kad ucapan, kelas ceria raya dan ‘groufie’ kelas.

Murid-murid menyertai pertandingan menganyam ketupat

Cikgu Maibistamizlan telah dipilih sebagai pemenang penampilan Hari Raya, Pra Pesta Kaamatan dan Hari Gawai bagi kategori guru lelaki manakala Cikgu Marcela binti Maikel bagi kategori guru perempuan.

Mohd Khazwan sekali lagi telah dipilih sebagai pemenang penampilan bagi kategori murid lelaki dan Elizabeth Elly Mai Anak Leonard bagi kategori murid perempuan.

Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang dan sesi bergambar semua warga sekolah.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




Kem Kepimpinan Dan Watikah Pelantikan Pemimpin Muda Meningkatkan Kemahiran Insaniah Murid

LABUAN, 17 Mei 2023 – Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun Unit Bimbingan dan Kaunseling, Unit Disiplin Sekolah, Unit Pusat Sumber Sekolah dan guru penyelaras tingkatan telah berkolaborasi menjalankan Kem Kepimpinan dan Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Muda sesi 2023/2024.

Kem kepimpinan dan watikah pelantikan yang diselaras oleh, Viviana Ayu Saidin, bertujuan untuk mengiktiraf jawatan pemimpin muda sekolah. Selain itu, kem kepimpinan dan watikah pelantikan pemimpin muda bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri dan motivasi barisan pemimpin muda sekolah dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin muda di sekolah.

Kem kepimpinan pemimpin muda dijalankan pada 11 Mei 2023 dan 12 Mei 2023. Terdapat tiga slot ceramah diadakan semasa hari pertama kem iaitu slot “Ice Breaking”, slot disiplin dan slot penampilan diri pemimpin muda. Slot bidang tugas pengawas sekolah, slot bidang tugas pembimbing rakan sebaya, slot bidang tugas pengawas pusat sumber dan slot bidang tugas ketua kelas dan penolong ketua kelas dijalankan pada hari kedua kem kepimpinan. Disamping itu, raptai watikah pelantikan juga dijalankan pada hari kedua kem kepimpinan.

Watikah pelantikan pemimpin muda dijalankan pada 15 Mei 2023, isnin, 7.00 pagi hingga 7.30 pagi, bertempat di Dataran Bedaun sekolah. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu “Negaraku’, lagu Wilayah Persekutuan “Maju dan Sejahtera” dan lagu Rasmi Sekolah “Berwawasan, Progresif dan Cemerlang”. Pengacara majlis adalah Nurul Izzatie binti Abdullah, manakala Shafizul bin Jainal, daripada kelas 4 Beta memimpin bacaan doa. Seterusnya, barisan pemimpin muda melafazkan ikrar pemimpin muda dengan diketuai oleh ketua pengawas sekolah, Jericho Adree bin Josnih @ Joseph.

Pengetua, Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, menyerahkan sijil watikah pelantikan pemimpin muda kepada wakil pengawas sekolah iaitu Jericho Adree bin Josnih @ Joseph, wakil pembimbing rakan sebaya, Mohammad Firdaus bin Mamat, wakil pengawas pusat sumber, Muhd Norazwandy Adha bin Norazlan dan wakil ketua kelas serta penolong ketua kelas, Jelvan bin Justin dengan diiringi oleh guru Penolong Kanan pentadbiran, Chai Yee San. Turut hadir sepanjang majlis dijalankan, Penolong Kanan Kokurikulum, Yee Choon Hian, guru-guru dan staf sokongan sekolah. Seramai 41 orang murid pengawas sekolah, 49 orang murid pembimbing rakan sebaya, 25 orang murid pengawas pusat sumber sekolah, 22 orang murid ketua kelas dan 22 orang murid penolong ketua kelas telah menerima sijil watikah pelantikan pemimpin muda.

Menurut Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, “Anak Baik lagi Cerdik adalah matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia masa kini. Maka dengan itu, semoga adanya kem kepimpinan dan watikah pelantikan pemimpin muda ini dapat meningkatkan kemahiran-kemahiran yang diperlukan oleh semua pemimpin muda. Pemimpin muda sekolah ialah pengawas sekolah, pembimbing rakan sebaya, pengawas pusat sumber, ketua-ketua kelas dan penolong ketua kelas. Begitu juga semoga kem kepimpinan dan watikah pelantikan ini dapat meningkatkan keyakinan pemimpin muda selepas ini semasa menjalankan tugas di sekolah.”

Puan Norazita Menyampaikan Ucapan Peringatan Tanggungjawab Sebagai Pemimpin Muda Kepada Pemimpin Muda Yang Baharu Diwatikahkan

Kemudian, watikah pelantikan muda ditutup dengan acara sesi bergambar pengetua, barisan pentadbir sekolah, guru penyelaras pengawas sekolah, guru penyelaras pembimbing rakan sebaya, guru penyelaras pengawas pusat sumber, guru penyelaras tingkatan bersama barisan pengawas sekolah, pembimbing rakan sebaya, pengawas pusat sumber sekolah, ketua-ketua kelas dan penolong ketua-ketua kelas.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




Memperingati Detik-Detik Penurunan Al-Quran Kepada Nabi Muhammad SAW

Labuan, 17 April – Sambutan Nuzul Al-Quran merupakan suatu acara tahunan yang diadakan di seluruh negara pada setiap tanggal 17 Ramadan. Tujuannya adalah bagi mengingati peristiwa Penurunan Al-Quran buat kali pertama kepada Nabi Muhammad SAW yang disampaikan oleh Malaikat Jibril daripada Allah SWT. Pada tahun ini, SMK Taman Perumahan Bedaun juga turut tidak melepaskan peluang mengadakan sambutan Nuzul Al-Quran. Sambutan ini dianjurkan oleh pihak Panitia Pendidikan Islam dengan menjemput penceramah luar bagi menyampaikan ceramah dan input penting kepada warga sekolah.

Sambutan Nuzul Al-Quran diperingkat SMK Taman Perumahan Bedaun dilaksanakan pada 14 April 2023 bersamaan pada pagi hari Jumaat. Ianya bermula pada pukul 7 pagi dengan bacaan 10 ayat dari Surah Al-Kahfi dan disusuli dengan bacaan Al-Ma’thurat di dataran Bedaun. Pada jam 7.30 pagi pula, bermulalah agenda utama iaitu Ceramah Nuzul Al-Quran yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Fariz Bin Mohd Zaini, Guru pendidikan Islam SK Kerupang. Turut hadir, seramai 32 orang guru dan 350 orang murid beragama Islam.

Antara intipati ceramah yang telah disampaikan adalah berkaitan dengan Sejarah Penurunan Al-Quran yang terdiri dari 3 peringkat Penurunan. Beliau juga berkongsi tentang detik-detik pertama kalinya Nabi Muhammad SAW menerima wahyu yang pertama iaitu ayat 1 hingga 5 dari surah Al-Alaq dan keadaan Baginda yang ketakutan lantas turun dari Gua Hira pulang ke rumah baginda. Diringkaskan cerita, isteri baginda Saidatina Khadijah Al-Kubra telah merujuk kepada saudaranya iaitu Waraqah Bin Naufal akan peristiwa yang telah berlaku kepada suaminya dan telah mendapati bahawa Baginda SAW telah dilantik menjadi Rasul akhir zaman.

Ceramah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Fariz Bin Mohd Zaini
Barisan guru yang turut memeriahkan program

Penceramah juga telah berkongsikan tentang kepentingan Al-Quran dalam hidup manusia sebagai petunjuk dan rujukan bagi yang hak dengan yang batil. Pada akhir ceramah beliau telah berkongsi satu hadis Nabi SAW berkaitan perumpamaan kategori orang mukmin yang membaca Al-Quran iaitu hadis daripada Abi Musa RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Perumpamaan orang mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujah (limau sitrus), rasanya enak dan baunya wangi. Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah Kurma, rasanya enak tetapi tidak berbau”. [Riwayat al-Bukhari (7560) dan Muslim (797)]

Beliau sempat menyelitkan satu lagi peristiwa besar yang juga berlaku pada 17 Ramadan tahun ke-2 hijrah iaitu peperangan Badar Al-Kubra. Ianya merupakan peristiwa besar yang telah berlaku selepas Baginda berhijrah ke Madinah.

Ceramah Nuzul Al-Quran ini telah usai pada jam 8.30 pagi iaitu telah berlangsung selama 1 jam. Walau ianya tidaklah merupakan suatu tempoh yang lama, namun sarat dengan maklumat dan ilmu baru yang diperolehi bukan sahaja kepada murid-murid bahkan seluruh warga sekolah. Sambutan ini telah menerima maklum balas yang sangat menggalakan dari warga sekolah dan diharapkan akan diadakan lagi pada masa yang akan datang.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Suasana semasa ceramah disampaikan
Sesi bergambar bersama warga SMKTPB



Raikan Ramadhan dengan Al-Quran

Seramai 30 orang murid terdiri daripada murid tingkatan 4,5 dan 6 dan 6 orang guru telah menyertai Majlis Khatam Al-Quran peringkat SMK Labuan pada Jumaat lalu.

Majlis diadakan di Dewan Mutiara sekolah berkenaan turut dihadiri oleh semua guru dan murid sesi pagi seramai lebih 600 orang.

Majlis dimulai dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang telah dialunkan oleh Adik Muhammad Daniel Danish bin Atzuwan dari kelas 2 Berkat dan bacaan terjemahannya oleh Adik Muhamad Yunus bin Ganzuan dari kelas 2 Efektif.

Seterusnya peserta khatam Al-Quran telah membacakan surah Ad-Dhuha dan diakhiri dengan Surah An-Nas yang dipimpin oleh khalifah khatam iaitu Ustaz Mohd Sanusi bin Ya.

Majlis diserikan lagi dengan tausiyyah bertajuk “Kemuliaan Ramadhan” yang turut disampaikan oleh Ustaz Mohd Sanusi.

“Ramadhan adalah hadiah istimewa kepada umat Islam kerana kelebihannya melebihi 1000 bulan”

“Adalah satu kerugian jika kita berpuasa namun tidak disertai dengan amalan-amalan yang lain seperti bersedekah, membaca Al-Quran dan berterawih setiap malam” kata beliau.

Menurut penyelaras program, Ustazah Jamaliah binti Mohd Said berkata majlis khatam Al-Quran adalah aktiviti kemuncak program Ihya’ Ramadan yang diadakan sepanjang bulan Ramadan.

Di akhir majlis, pengetua sekolah telah menyampaikan infaq ramadhan berupa bag makanan kepada penerima-penerima yang layak.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penolong Kanan HEM, Puan Jamaliah Razali, Penolong Kanan Tingkatan Enam, Encik Saminan Sabtu dan Penolong Kanan Petang, Encik Abdul Ghafar Sallleh.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun