Program Bimbingan Berterusan Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM) Di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SSN SMK Mutiara WP Labuan

Labuan, 31 Jan 2023 – Seramai 6 orang Pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia, KPM, 2 orang Pegawai dari Sektor Pentaksiran Dan Peperiksaan JPWP Labuan Dan 1 orang Pegawai Sektor Pendidikan Khas JPWP Labuan telah datang Ke SSN SMK Mutiara bagi melihat pelaksanaan PASM khususnya Pentaksiran MBPK Di PPKI SSN SMK Mutiara.

Kehadiran Rombongan disambut oleh Encik Ag. Rozlan Bin Manan (Pengetua SSN SMK Mutiara), Puan Roslaniah Binti Zainal (Penolong Kanan Pendidikan Khas), Guru Pendidikan Khas Dan Pembantu Pengurusan Murid.

Program dimulakan dengan Pembentangan Profile Sekolah dan PPKI oleh Tuan Pengetua SSN SMK Mutiara. Kemudian, lawatan ke kelas PPKI untuk melihat aktiviti kemahiran MBPK.

Pembentangan Profile Sekolah dan PPKI oleh Tuan Pengetua

Seterusnya ke Makmal Komputer untuk bimbingan pelaksanaan PASM yang telah di buat oleh guru Pendidikan Khas. Beberapa isu PASM yang dialami oleh guru turut disampaikan semasa bimbingan.

Wakil Pegawai LPM iaitu Tuan Hj Shamsulamri, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembinaan Instrumen Alternatif, menyampai rasa bangga atas kesungguhan pihak sekolah melaksana Pentaksiran MBPK Di PPKI. Beliau mengingatkan pihak sekolah membuat perancangan pelaksanaan EBAI agar dapat membantu MBPK dalam kebolehpasaran di bidang kerjaya atau latihan tertinggi.

Program ditutup dengan Penyampaian Cenderahati dari Pihak Lembaga Peperiksaan kepada pihak sekolah. Sebelum bersurai, rombongan menikmati Jamuan ringan Di Bilik Mesyuarat.

Berita Oleh : SMK Mutiara




SSN SMK Mutiara Berjaya Anjurkan Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana Untuk Calon SPM 2022

Labuan: SSN Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara telah mengambil inisiatif suntikan motivasi dengan mengadakan Majlis Solat Hajat dan bacaan Yasin serta bacaan doa untuk memohon hadrat Allah SWT agar memperkenankan segala usaha selama ni dan seterusnya mengurniakan kejayaan yang cemerlang kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 SSN SMK Mutiara di Masjid Nurul Iman, Kampung Sungai Bedaun yang akan  menduduki ujian bertulis bermula bulan Februari 2023 ini.

Majlis Bacaan Yasin ,Tahlil ,Doa dan Solat Hajat anjuran Panitia Pendidikan Islam dan Panitia Bahasa Arab SSN SMK Mutiara telah diadakan pada 26 Januari 2023  lalu yang turut disertai oleh Yang Ybhg. En. Yusop bin Haji Mohamad   , Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan, En. Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan WP Labuan, En. Ag.  Rozlan bin Manan, Pengetua SSN SMK Mutiara, En. Mohd Rashidi Awang Jaman, Yang Dipertua PIBG SSN SMK Mutiara,Tuan Haji Minggu bin Haji Mat Noh, Pengerusi Masjid Nurul Iman, Kampung Sungai Bedaun, Al-Fadhil Ustaz Anuar bin Mat Saad, Ketua Imam Masjid Nurul Iman, Kampung Sungai Bedaun, para  ibu bapa dan guru serta murid-murid  Tingkatan Lima  SSN SMK Mutiara. Turut menghadiri majlis ini adalah jemaah masjid daripada komuniti penduduk di sekitar Kampung Sungai Bedaun sebagai tanda sokongan moral terhadap usaha murni pihak sekolah.

YBhg. Encik Yusop bin Haji Mohamad , Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan mengharapkan ibu bapa sentiasa menyuntik semangat kepada anak -anak dan mendoakan mereka agar dapat mencipta kejayaan dalam akademik. ‘”Usaha daripada murid itu sendiri amatlah penting kerana tiada jalan pintas untuk mencapai sebuah kejayaan dalam hidup ini,” Ujar beliau semasa menyampaikan amanat dalam majlis ini.

Program yang telah dijalankan ini mendapat sambutan yang baik oleh guru-guru dan murid-murid. Kerjasama yang ditunjukkan oleh ibubapa dan guru-guru untuk menjayakan program ini juga amat memberangsangkan. Besarlah harapan agar program yang dijalankan ini dapat memberi impak dan manfaat yang berguna kepada semua murid dalam menghadapi kehidupan yang penuh cabaran ini.

En. Ag.  Rozlan bin Manan, Pengetua SSN SMK Mutiara berkata bahawa jumlah calon SPM bagi SSN SMK Mutiara pada tahun ini adalah seramai 125 orang yang telah berdaftar.Beliau  berharap agar calon SPM 2022 ini  sentiasa mempunyai daya saing yang positif sesama rakan mereka untuk mencapai kejayaan. “Adalah diharapkan semua urusan calon SPM 2022 ini dipermudahkan dan diberikan kesihatan yang berpanjangan oleh Allah dan sentiasa bersemangat. Program ini sangat penting memberi kesedaran dan pedoman kepada para murid betapa perlunya memohon kepada Allah S.W.T selain usaha kita sendiri, “, kata beliau dalam menyuntik semangat serta harapan kepada semua murid yang telah hadir.

Bacaan Yassin sempena program ini telah dipimpin oleh Ustaz Haji Sahrum bin Samlan, imam Masjid Nurul Iman, Kampung Sungai Bedaun,manakala Solat Hajat pula dipimpin oleh Ustaz Haji Zainal Bin Abdul Wahab, Guru Bahasa Arab SSN SMK Mutiara . Majlis diakhiri dengan jamuan yang telah disediakan oleh pihak penganjur program iaitu pihak Panitia Pendidikan Islam dan Panitia Bahasa Arab SSN SMK Mutara.

Duduk dari kiri: AlFadhil Ustaz Haji Sahrum Samlan memimpin bacaan Yasin ,Tahlil dan Doa Tahlil  bersama-sama YDP PIBG SSN SMK Mutiara , En. Mohd Rashidi Awang Jaman, Yang Dipertua PIBG SSN SMK Mutiara Sesi 2022-2024
Duduk dari kiri: Encik Hisham bin Abdul Aziz,PK Pentadbiran SSN SMK Mutiara, En. Yahya Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan WP Labuan dan Ustaz Zainal Abdul Wahab, Penyelaras Program Solat Hajat Perdana Calon SPM SSN SMK Mutiara 2022.

 

Ybhg. En Yusop bin Haji Mohamad   , Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan sedang menyampaikan amanat kepada calon SPM 2022 anak-anak  murid SSN SMK Mutiara.
En. Ag.  Rozlan bin Manan, Pengetua SSN SMK Mutiara sedang menyampaikan ucapan aluan kepada semua hadirin yang hadir.
Bergambar kenangan warga SSN SMK Mutiara bersama-sama Ybhg En. Yusop bin Haji Mohamad, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan dan para pegawai Jabatan Pendidikan WP Labuan (JPWPL) serta jemaah Masjid Nurul Iman, Kampung Sungai Bedaun.
Duduk dari kiri:Ustaz Haji Zainal Abdul Wahab, Penyelaras Program Solat Hajat Perdana SSN SMK Mutiara 2023, En. Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan WP Labuan,Ybhg.  En. Yusop bin Haji Mohamad, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan, En. Ag.  Rozlan bin Manan, Pengetua SSN SMK Mutiara, En. Mohd Rashidi Awang Jaman, Yang Dipertua PIBG SSN SMK Mutiara,Tuan Haji Minggu bin Haji Mat Noh dan En. Mohd Rashidi Awang Jaman, Yang Dipertua PIBG SSN SMK Mutiara.
Turut bersama-sama Ahli Jawatankuasa Kerja Program Solat Hajat Perdana Calon SPM 2022 SSN SMK Mutiara



Program Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana Bagi Persediaan Kepada Calon SPM 2022

Labuan, 28 Januari – Panitia Pendidikan Islam SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) berjaya menganjurkan Program Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana bagi calon SPM 2022 khususnya pelajar beragama Islam pada 28 Januari 2023.

Program ini dilaksanakan bertempat di Masjid Nurul Iman, Kampung Sungai Bedaun.

Program ini dianjurkan bertujuan untuk memupuk sifat rendah diri dan kebergantungan hanya kepada Allah. Selain itu, memberi kesedaran kepada pelajar bahawa solat sunat dapat memberikan ketenangan pada diri. 

Program dimulai dengan bacaan Yasin yang dipimpin oleh Ustaz Nik Fazli bin Nik Abdul Razak selaku ketua penyelaras program. Seterusnya, solat hajat diketuai oleh Ustaz Sahrum bin Samlan.

Bacaan Yasin yang dipimpin oleh Ustaz Nik Muhammad Fazli bin Nik Abdul Razak

Seramai 34 calon pelajar SPM 2022 turut hadir bersama ibu bapa bagi menjayakan program ini, disertai juga seramai 24 guru-guru muslim SMKTPB.

Turut hadir Encik Yusup bin Haji Mohamad, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, Pengetua SMKTPB, Ustaz Mohd Fadzli bin Syeikh Abdul Rahim, Penolong Pengarah SPI JPWPL, Encik Minggu bin Hj Matnoh, Pengerusi Masjid Nurul Iman Kampung Sungai Bedaun serta Encik Heidar Hussein bin Md Rashid, YDP PIBG SMKTPB.

Selesai solat hajat, program diteruskan dengan ucapan dari pengetua SMKTPB. Puan Norazita mengharapkan pelajar tingkatan 5 yang akan menghadapi peperiksaan SPM ini membuat persediaan yang sebaiknya dengan memperbanyakkan latihan berkaitan soalan yang tidak difahami.  Beliau turut mendoakan agar semua calon SPM 2022 memperoleh kejayaan yang cemerlang.

“Saya berharap pelajar dapat melaksanakan serta mengamalkan solat-solat sunat seperti dhuha, hajat dan sentiasa berdoa memohon pertunjuk daripada-Nya dalam apa jua keadaan” katanya.

Manakala, Encik Yusup bin Haji Mohamad juga turut mengingatkan kepada calon untuk melakukan yang terbaik dalam SPM kerana sijil ini merupakan penentu kepada masa hadapan dan  memberi keyakinan kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan dengan bersungguh-sungguh.

“Dalam saat menghadapi peperiksaan, anak-anak murid perlulah sentiasa menjaga kesihatan, kuatkan emosi dan rohani serta kerap membuat latihan ulangkaji”. Encik Yusup bin Haji Mohamad

Program diakhiri dengan penyampaian sijil dan sumbangan kepada pengerusi Masjid Nurul Iman, Kampung Sungai Bedaun.

Encik Yusuf bin Haji Mohamad (dua kiri) diiringi Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi Masjid Nurul Iman Kampung Sungai Bedaun

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




Majlis Interaksi Akademik Bersama Ibu Bapa/Penjaga Murid Tingkatan 5 SMK Taman Perumahan Bedaun

Labuan, 14 Januari – Pada hari Sabtu yang lalu, SMK Taman Perumahan Bedaun telah mengadakan Majlis Interaksi Akademik Bersama Ibu Bapa/ Penjaga Murid Tingkatan 5 bagi membincangkan pencapaian murid dalam Peperiksaan Percubaan SPM tahun 2022.

Seramai 69 orang ibu bapa atau penjaga yang menghadiri program ini bersama dengan anak masing-masing bertujuan untuk mengambil slip Peperiksaan Percubaan SPM Tahun 2022  dan dan slip Inventori Minat Kerjaya (IMK) daripada ujian Psikometrik Unit Bimbingan dan Kaunseling. Turut hadir sebagai tetamu kehormat iaitu Encik Mohd Nazri Bin Mustapa, Pegawai Angkat Sekolah, SMK Taman Perumahan Bedaun.

Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk membincangkan halatuju dan perkembngan pembelajaran murid terutamanya murid Tingkatan 5 yang akan menduduki SPM. Selain itu, perkongsian idea antara pihak sekolah dan ibu bapa/ penjaga dapat dieratkan serta hubungan seterusnya meningkatkan kerjasama antara ibu bapa/ penjaga dan guru-guru dalam menangani masalah murid sama ada dari segi kehadiran, sahsiah dan prestasi akademik. 

Ibu bapa/ penjaga beserta anak murid Tingkatan 5 yang hadir mendengar pembentangan dari pihak sekolah.

Puan Viviana Ayu Saidin, guru bimbingan dan kaunseling SMK Taman Perumahan Bedaun, membentangkan data psikometrik murid tingkatan 5 iaitu Inventori Minat Kerjaya (IMK). Dalam pembentangan beliau, Puan Viviana Ayu menyatakan kepentingan IMK ini adalah untuk pemilihan kerjaya berdasarkan ekspresi personality individu.

Daripada enam aspek personality, murid tingkatan 5 SMK Taman Perumahan bedaun menunjukkan data paling tinggi pada aspek investigative (32 daripada 88 orang murid), diikuti oleh sosial (19 daripada 88 orang murid). Seterusnya, konvensional (16 daripada 88 orang murid). Realistic mencatatkan 10 daripada 88 orang murid, manakala artistic mencatatkan 7 daripada 88 orang murid. Aspek terendah ialah enterprising iaitu hanya 4 daripada 88 orang murid.

Selepas pembentangan IMK, Puan Norazita Binti Md Nor @ Shamsuri, Pengetua, SMK Taman Perumahan Bedaun membentangkan mengenai Perkembangan pencapaian murid Tingkatan 5 yang akan menduduki SPM. Puan Norazita memulakan pembentangan dengan menunjukkan countdown hari SPM serta tatikh-tarikh penting SPM sama ada Ujian Amali Sains Bersepadu (UAS), Ujian Lisan Bertutur dan Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, serta Ujian Bertulis SPM yang bermula 30 Januari 2023 sehingga 15 Mac 2023.

Dalam pembentangan laporan pencapaian prestasi calon SPM berdasarkan peperiksaan percubaan tahun 2022, Pengetua menyatakan bahawa GPS sekolah masih jauh lagi untuk mencapat target SPM yang ditetapkan oleh sekolah iaitu 4.78. Peratus layak sijil juga belum mencapai 100 peratus seperti yang diharapkan untuk pencapaian SPM murid.

Dengan itu, pengetua menyatakan harapan sekolah agar murid dapat hadir ke sekolah sepanjang waktu persekolahan dan melibatkan diri 100 % dalam PdP dan kelas bimbingan MASTERI yang diadakan oleh pihak sekolah. Murid juga hendaklah menjaga hubungan baik dengan guru, ibu bapa, ahli keluarga dan orang sekeliling. Selain itu, pihak sekolah juga memberikan motivasi diri kepada murid agar motivasi mereka dapat dipacu sepanjang waktu pembelajaran melalui Bimbingan Kaunseling. Akhir sekali, harapan sekolah agar ibu bapa dapat memberikan sokongan moral terhadap pembelajaran anak dan terhadap aktiviti/ program sekolah.

Selepas sesi pembentangan, sesi pengagihan Slip Peperiksaan Percubaan SPM Tahun 2022 dan slip Inventori Minat Kerjaya (IMK) oleh guru kelas diadakan di Dataran Bedaun untuk Murid Tingkatan 5sekaligus perbincangan perkembangan murid antara ibu bapa dan guru kelas.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Puan Norazita Binti Md Nor @ Shamsuri, (Pengetua, SMKTPB) dan Encik Mohd Nazri Bin Mustapa(Pegawai Angkat SMKTPB) mengikuti sesi perbincangan antara guru kelas, ayah dan murid kelas 5 Alfa.



Bakat Pemain Boling Padang SMK Pantai Cemerlang

Labuan, 16 Januari – Pemain-pemain boling padang SMK Pantai telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam beberapa kejohanan peringkat kebangsaan dan peringkat WP Labuan.

Nur Aimileeya Ismail murid tingkatan dua SMK Pantai merupakan pemenang pingat emas kategori Women Fours Kejohanan SUKMA 2022.

Baru-baru ini pada 1 Januari 2023 Nur Aimileeya bersama pasukannya telah berjaya menjadi johan dalam Kejohanan Lawn Bowls Open Triples yang berlangsung di Arena Boling Padang WP Labuan dan memenangi hadiah RM6000.00.

Sementara itu Nur Farah Faizah binti Roziman murid tingkatan satu SMK Pantai muncul sebagai naib johan kejohanan tersebut bersama pasukannya iaitu abang dan kakaknya dan memenangi hadiah RM4000.00.

Tempat ketiga juga dimenangi oleh Nur Khairunnisa murid tingkatan 4 SMK Pantai bersama pasukannya dan memenangi RM2000.00.

Pihak sekolah akan terus memberi sokongan dan dorongan agar lebih ramai murid SMK Pantai menyertai dan menunjukkan prestasi cemerlang dalam permainan boling padang. Kerjasama dan sokongan ibu bapa juga merupakan faktor utama kejayaan murid-murid berkenaan.

Semoga kejayaan murid-murid ini akan membantu WP Labuan mencapai kejayaan dalam sukan boling padang peringkat kebangsaan dan berharap suatu hari nanti ada di antara murid-murid ini yang akan mewakili Malaysia dalam kejohanan boling padang peringkat antarabangsa.

Berita Oleh : SMK pantai

Nur Farah Faizah (3 dari kiri) bersama pasukannya dan pasukan lawan.
Nur Khairunnisa (tengah) bersama rakan sepasukan



Murid SMK Pantai Meraih Kejayaan Taekwondo Antarabangsa

Labuan, 10 Januari – Dua orang murid SMK Pantai telah meraih kejayaan membanggakan dalam kejohanan taekwondo peringkat antarabangsa pada akhir tahun 2022.

Rosyam Qusyairi bin Aspar murid Tingkatan 4 SMK Pantai telah memperolehi satu pingat emas dalam Kejohanan AOT Cup 3rd Open International Taekwondo Championship 2022  yang berlangsung pada 28-20 Disember 2022 di Ryan International School, Bengaluru India.

Kejohanan tersebut disertai oleh 7 buah Negara iaitu India, Malaysia, Ethiopia, Ghana, Amerika Syarikat, Nepal dan Bangladesh.

Rosyam merupakan peserta tunggal dari WP Labuan bersama 10 orang peserta lain mewakili Malaysia bertanding di bawah Kelab Taekwondo MTH (WTF).

Encik Ismail bersama pemenang pingat emas Rosyam Qusyairi (kiri) dan pemenang pingat perak Mohammad Farish (kanan)

Sementara itu, Mohammad Farish Shamir bin Kasmir, murid Tingkatan 4 SMK Pantai telah berjaya memenangi pingat perak dalam Kejohanan 2nd Korea Ambassador Cup yang berlangsung di Negara Brunei Darussalam. Kejohanan disertai oleh Malaysia, Korea dan Negara Brunei Darussalam. Mohammad Farish Shamir juga menyertai kejohanan tersebut di bawah Kelab Taekwondo MTH (WTF),

Diharap pencapaian kedua-dua murid ini akan meningkatkan semangat mereka untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada tahun ini dan memupuk minat murid-murid lain untuk terlibat dalam aktiviti Taekwondo.

Phak sekolah akan terus memberi galakan dan sokongan kepada murid-murid selaras dengan slogan “SMK Pantai Mengangkat Martabat Murid” dan salah satu Fokus Kerja 2023 SMK Pantai iaitu “Pengantarabangsaan”.

Berita Oleh : SMK Pantai




Majlis Apresiasi Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah JPWPL

Labuan, 10 Disember – Jabatan Pendidikan WP. Labuan telah menganjurkan Majlis Apresiasi Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah bagi menghargai sumbangan semua pihak yang telah menjayakan penganjuran bengkel dan kolokium Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah (KT12L), peringkat kebangsaan bagi tahun 2022.

Majlis ini telah dilaksanakan di Hotel Tiara WP Labuan dengan dihadiri oleh 18 orang tetamu yang terdiri daripada para pegawai di Sektor Perancangan, barisan Jurulatih Utama, pasukan penyiar rasmi dan ahli jawatankuasa teknikal yang dilantik. Turut hadir bagi merasmikan majlis ini ialah Tuan Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran yang juga merangkap Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Yahya bin Ahmad Puteh.

Di majlis ini, semua jurulatih utama, pasukan penyiar dan jawatankuasa teknikal diberikan sijil penghargaan di atas sumbangan mereka menjayakan bengkel dan kolokium KT12L 2022. Sebanyak 4 siri bengkel telah dilaksanakan yang bermula pada 18 Mei – 01 Julai 2022 melalui siaran langsung di YouTube dan aplikasi Google Classroom manakala acara kolokium pula telah dilaksanakan selama 3 hari bermula pada 15 – 17 Julai 2022 melalui siaran YouTube. Seramai 120 orang pembentang telah membentangkan kertas kajian tindakan mereka dengan menggunakan Teknik 12 Langkah iaitu satu teknik menjawab 12 soalan mudah bagi menghasilkan penulisan kajian tindakan yang dicipta oleh Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) Labuan, Puan Suriani Alland Rice Oxley.

Dimajlis ini, turut diumumkan nama 5 orang peserta bengkel dan kolokium KT12L 2022 sebagai penerima anugerah iaitu Dr. Lingaswaran Arjunan dari SMK Menglembu, Perak (Anugerah Pembentang KT12L 2022 Terbaik), Puan Savina A/P A. Saiman dari SMK Seri Budiman Gerik, Perak (Anugerah Persembahan Video KT12L 2022 Terbaik), Puan Chung Fui Han dari SM All Saints Kota Kinabalu, Sabah (Anugerah Penulisan KT12L 2022 Terbaik), Puan Zaleha Binti Pump @ Pumb dari SMK Pantai, WP Labuan (Anugerah Khas Juri KT12L – Labuan Bisai 2022) dan Puan Hajah Ruhani Binti Said dari SM Sains Banting, Selangor (Anugerah Khas Juri KT12L – Semangat Waja 2022). Kesemua penerima anugerah masing-masing menerima sijil anugerah dan plak.

Teknik 12 Langkah dalam penulisan kajian tindakan ini telah menjadi produk utama Jabatan Pendidikan WP Labuan dalam membantu para pendidik untuk menambahbaik amalan mereka melalui kajian tindakan semenjak tahun 2018. Pada tahun 2022 ini, Teknik 12 Langkah telah berjaya dibukukan dan dilancarkan oleh Tuan Pengarah Jabatan Pendidikan WP.Labuan, Encik Yusup bin Mohamad pada 30 September 2022 di majlis perhimpunan bulanan pendidikan yang diadakan di Bilik Benua Sektor Sumber Teknologi Pendidikan WP Labuan. Kini, buku dan Teknik 12 Langkah ini bukan sahaja digunakan oleh para pendidik di WP Labuan malahan telah digunakan secara meluas di seluruh Malaysia.

Pengarah Jabatan Pendidikan WP.Labuan, Encik Yusup bin Mohamad merasmikan pelancaran buku Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah dengan disaksikan oleh (dari kiri) Puan Maimoon binti Haji Matnoh, Puan Suriani Alland Rice Oxley, Puan Faridah Amit, En Yahya bin Ahmad Puteh dan Encik Mohd Nizam bin Yasim.

Dari gambar kiri : Encik Yahya bin Ahmad Puteh menyampaikan sijil penghargaan kepada Encik Hasnan Mohd Saad (Jurulatih Utama), Puan Samsuria Ebni (Ketua Penyiaran) dan Encik Jefery bin Undang (AJK Teknikal).

Puan Suriani Alland Rice Oxley menyerahkan buku Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah kepada Datuk Pkharuddin Ghazali (Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia) sambil disaksikan oleh Tuan Raisin bin Saidin (Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian), Encik Yusup bin Mohamad (Pengarah Jabatan Pendidikan WP.Labuan) dan En Yahya bin Ahmad Puteh (Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran JPN WP Labuan)

Berita Oleh : Sektor Pembelajaran




Fun Run JPWPL Melakar Sejarah

LABUAN- Semangat kesukanan yang tinggi dan amalan gaya hidup sihat di kalangan warga Pendidikan di wilayah ini menjadi mercu kejayaan pelaksanakan Fun Run JPWPL tahun 2022 yang telah diadakan di Padang Majal pagi tagi.

Fun Run JPWPL merupakan salah satu daripada aktiviti Karnival Sukan Jabatan Pendidikan yang telah dilaksanakan bermula 26 November yang lalu. Antara aktiviti yang telah dilaksanakan ialah Pertandingan Bola Sepak, Bola Jaring, Bola Tampar, Badminton dan Golf.

Aktiviti ini selaras dengan usaha kerajaan mengambil langkah yang bersepadu ke arah mentransformasikan Malaysia kepada sebuah negara yang bersukan bukan sahaja di sekolah bahkan di peringkat jabatan sekaligus dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang cergas, aktif dan produktif.

Seawal jam 6.30 pagi para peserta telah berhimpun di tapak perhimpunan untuk sama-sama melakukan aktiviti senam aerobik yang diketuai oleh Zin Tony.

Pelepasan peserta Fun Run telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Encik Yahya Ahmad Puteh mewakili tuan pengarah tepat jam 7.30 pagi. Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam menjalankan tugas Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Puan Kamariah Salim, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas menjalankan tugas Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Puan Noraini Sahbudin, Ketua Penolong Pengarah Unit Bakat Murid Encik Samsul Mandisin, Guru besar, pegawai jabatan guru-guru, ibu bapa dan murid-murid.

Penyampaian hadiah cabutan bertuah telah menyemarakkan lagi kemeriahan Fun Run biarpun dalam suasana hujan. Hadiah utama berupa basikal lipat telah dimenangi oleh Encik Mohammad Firli Firzuan.




Pengukuhan Sukan Sepak Takraw Sekolah Rendah Labuan

Labuan, 9 Dis – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) dengan kerjasama Bahagian Sukan kokurikulum dan kesenian (BSKK) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengadakan Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw sekolah rendah bertempat di Dewan Arena Bukit Kuda pada 7 dan 8 Disember baru-baru ini.

Pegawai BSKK, Encik Badrol Nizam bin Hamzah dalam ucapannya berkata, pihak KPM telah melakukan road show ke semua negeri bagi program pengukuhan sukan sepak takraw ini dan W.P. Labuan merupakan negeri terakhir dalam misi tersebut.

Beliau berkata, sekiranya murid mempunyai potensi untuk diketengahkan, mereka ini akan dibawa ke pusat latihan daerah, sekolah sukan negeri atau sekolah sukan Malaysia. Peluang yang sangat cerah untuk mereka menyambung pelajaran di pusat pengajian tinggi dalam bidang Sains Sukan.

“Program ini adalah sebahagian daripada usaha KPM untuk memberi ruang seluas-luasnya kepada murid sekolah menonjolkan kebolehan dan bakat masing-masing.”

“Ini adalah satu usaha menyeluruh untuk melihat dan memastikan potensi murid dapat dioptimumkan selain mengesan bakat sukan baharu”.

Menurut penyelaras program Encik Aznan Abidin, Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw ini membabitkan 5 buah sekolah di WP Labuan iaitu SK Kerupang, SK Sungai Bedaun , SK Tanjung Aru ,SK Pantai dan SK Bebuloh dengan penyertaan seramai 40 orang murid beserta jurulatih masing-masing.

Program ini telah dibimbing oleh 3 mentor daripada jurulatih sepak takraw negara iaitu Encik Hasrul Abd Halim dan Encik Azmi bin Abd Ghani dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar Johor dan Encik Mohd Faisal bin Mohamad daripada Sekolah Sukan Malaysia Terengganu.




Raikan Bakatmu Sanjung Budimu

Labuan, 6 Disember – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah mengadakan Majlis Raikan Bakatmu Sanjung Budimu bersama murid-murid,warga pendidik dan rakan strategik JPWPL di Desa Tunas, Kampung Sungai Lada petang tadi.

Majlis tersebut merupakan satu pentas untuk memberi penghargaan kepada murid, guru dan sekolah dalam bidang sukan, kokurikulum, hal ehwal murid, ko-akademik, kelab dan persatuan, kesenian, stem, badan beruniform, dan pusat kokurikulum.

Di samping memberi penghargaan kepada mereka yang telah membawa nama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan di peringkat kebangsaan mahupun peringkat Antarabangsa melalui pelbagai program dan pertandingan yang disertai.

Pengarah Pendidikan, Encik Yusup Haji Mohamad dalam ucapannya merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima anugerah pada hari ini.

Sepanjang tahun 2022, pelbagai program dan pertandingan telah dilaksanakan di peringkat negeri mahupun kebangsaan di bawah Sektor Pembangunan Murid (SPM), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) dan juga Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Program-program serta pertandingan yang dijalankan dilihat mampu meningkatkan lagi kemenjadian murid dari pelbagai aspek tidak hanya di dalam bilik darjah. Dari segi pencapaian, Labuan tidak terlepas dari menempah nama di kedudukan 5 teratas daripada 16 negeri yang terdapat di Malaysia dalam acara tertentu.

“Ini telah membuktikan murid-murid di Labuan mempunyai potensi untuk bersaing dengan murid-murid negeri lain di peringkat kebangsaan. Semoga prestasi cemerlang yang ditunjukkan akan memberikan impak signifikan ke arah pencapaian yang lebih unggul.” katanya semasa menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

Majlis Raikan Bakatmu Sanjung Budimu telah disempurnakan oleh Encik Yusup Haji Mohamad, Turut hadir Encik Yahya Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah (TP) Sektor Pembelajaran, Puan Kamariah Salim Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam menjalankan tugas TP Sektor Pembangunan Murid.

Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Encik Ismail Abdullah, Yang Dipertua Majlis Guru Besar (MGB) Puan Dg Sarifah A.Mahmood, barisan pengurusan tertinggi jabatan, Pengetua, Guru Besar, Pegawai-pegawai jabatan, guru-guru,anggota kumpulan pelaksana dan murid-murid.

Dalam majlis tersebut turut disampaikan sumbangan Yayasan Tun Hussin Onn kepada guru-guru yang sedang menjalani rawatan kesihatan serta penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik JPWPL.