TAFAQQUH FIDDIN : KEMULIAAN REJAB
Merungkai Ibadah Zakat dan Agihan Wakalah

Labuan, 23 Feb – Kemuliaan Rejab menjadi tajuk tazkirah dalam Program Tafaqquh Fiddin, jalinan kerjasama antara Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) dengan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Cawangan Wilayah Persekutuan Labuan secara dalam talian yang diadakan baru-baru ini.

Tafaqquh Fiddin merupakan program mingguan SPI dalam usaha memberi pengetahuan tentang agama Islam meliputi bidang akidah, syariah dan akhlak di bawah unit Pembangunan Adab dan Nilai.

Majlis bermula seawal jam 8.00 pagi dengan bacaan surah Al Kahfi ayat 1 hingga 10 dan ayat 100 hingga 110 yang dipimpin oleh Tuan Hj Sahrum bin Samlan dari SPI, JPWPL

Ianya diikuti dengan bacaan surah Yaasin yang dipimpin oleh Encik Amir bin Budin dari Sektor Sumber Manusia (SSM). Manakala bacaan doa selamat dipimpin oleh ustaz Mohd Syahir bin Mohd Yusof daripada SPI.

Tazkirah on-line,  Kemuliaan Rejab, Penjelasan Zakat dan Wakalah telah disampaikan oleh Tn Hj Ahmad Sharizah bin Saffian daripada PPZ.

TAZKIRAH: Ahmad Sharizal menyampaikan tazkirah Kemuliaan Rejab dan merungkai persoalan berkaitan zakat dan wakalah.

Menurut Ustaz Ahmad Sharizal, Bulan Rejab merupakan salah satu daripada ‘al-Ashur al-Hurum’ (bulan-bulan haram) dan bulan yang menghampiri Ramadan. Bulan Rejab ini setiap kezaliman, dosanya lebih besar daripada bulan lain sebagaimana kebaikan yang dilakukan pada bulan ini maka pahalanya lebih banyak daripada bulan lain. Antara keistimewaan bulan Rejab ialah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj yang menurut kebanyakan ulama’ ia berlaku pada 27 Rejab.

“Rejab bermaksud mengagungkan. Rejab digabungkan dengan syaaban disebut rejaban. Bulan untuk kita koreksi semula puasa-puasa yang belum diqada’ maka bersegeralah untuk melunaskan hutang puasa.  Di bulan inilah kita perbanyakkan ibadah sunat seperti solat sunat, bersedekah, berzikir, berpuasa sunat untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. sebagai persiapan untuk menyambut Ramadan.

“Di bulan Rejab inilah kita merancang untuk mengagihkan wang wakalah yang telah disalurkan ke sekolah-sekolah. Agihkanlah wang wakalah mengikut garis panduan yang sepatutnya untuk tujuan maslahat seperti surau sekolah, membantu pelajar-pelajar miskin, aktiviti keagamaan sebagaimana garis panduan yang telah diedarkan ke sekolah-sekolah”. katanya.

TEKUN: Amir bin Budin mengetuai Bacaan Surah Yaasin semasa Program Tafaqquh Fiddin.

Wakalah merupakan pengembalian wang zakat kepada entiti yang membayar zakat kepada Pusat Pungutan Zakat-MAIWP untuk diagihkan kepada asnaf yang layak berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Penyerahan wang wakalah oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ke sekolah-sekolah telah dilaksanakan pada bulan Disember yang lalu.

Majlis secara maya menggunakan aplikasi google meet ini telah dihadiri oleh Pengarah JPWPL, Puan Khaziyati binti Osman, Timbalan-timbalan Pengarah, Ketua-ketua Penolong Pengarah, Pengetua dan Guru Besar, pegawai-pegawai di JPWPL, guru-guru Pendidikan Islam dan warga pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Siaran langsung majlis ini turut dimuat naik dalam Facebook Live  dan You Tube Live.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

KENANGAN: Hadirin turut merakamkan gambar bersama penceramah dan puan pengarah seusai majlis Tafaqquh Fiddin.



PLC Meningkatkan Kompetensi Guru Pendidikan Islam

Professional Learning Community (PLC): Penulisan Objektif Pembelajaran Dan Kriteria Kejayaan (OPKK) Dalam Rancangan Pelajaran Harian (RPH) Pendidikan Islam Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2021 telah diadakan secara dalam talian pada 17 Februari lalu.

Kursus yang dianjurkan oleh Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) bertujuan untuk meningkatkan kompetensi Guru Pendidikan Islam (GPI) dalam memantapkan lagi penulisan OPKK dalam RPH. Diharapkan juga agar kursus ini dapat meningkatkan kecemerlangan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) GPI di wilayah ini.

PLC ini merupakan satu usaha untuk meningkatkan profesionalisme guru
melalui pelbagai aktiviti yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti serta amalan pengajaran dan pembelajaran, berkongsi kepakaran, menjalinkan kerjasama di samping mewujudkan semangat kerja berpasukan yang utuh ke arah kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran.  

Seramai 100 peserta yang terdiri daripada Guru Pendidikan Islam sekolah rendah dan sekolah menengah di wilayah ini menyertai kursus ini.

Kursus ini  disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Pegawai SISC+ Sains Sosial, PPD Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, Puan Nor Shifa binti Saad.

KOMITED: Puan Nor Shifa begitu komited dan bersemangat ketika menyampaikan ceramah

Antara perkongsian Ilmu yang telah disampaikan oleh penceramah ialah berkaitan  Idea Utama PLC, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), Pentaksiran Bilik Darjah, Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21), SKPMg2 Standard 4 iaitu hubung kait antara guru sebagai pendorong dan murid sebagai pembelajar aktif, Sekolah Transformasi (TS25), Penjajaran Kurikulum 2.0, Cara Penulisan Objektif Pembelajaran dan Kriteria Kejayaan.

Menurut Puan Nor Shifa manusia memiliki kekuatan dari dalam bagi membentuk ummah yang berkualiti. Guru adalah individu yang paling rapat yang mampu memberi bimbingan dan dorongan kepada para pelajar.

“Tugas guru bukan hanya tertumpu kepada aspek kurikulum semata-mata bahkan guru perlulah bersedia dengan bidang ilmu yang pelbagai.”

 “Karena itu, untuk membangun manusia bukan Outside-In, tetapi Inside-Out. kerana hal besar di mulai dari dalam hati (niat) bukan dari luar diri,” lanjutnya.

Guru perlu bersedia membantu dan dibantu.Menyertai sesi coaching dapat membantu guru mengeluarkan potensi diri bagi memajukan diri dan membuat anjakan yang postitif dalam pemikiran dan tindakan.  Resepinya ialah bertanya dan mendengar.

Perkongsian ilmu: Puan Nor Shifa berkongsi ilmu berkaitan PdPR dan bersedia menjawab persoalan daripada peserta kursus.
PENERANGAN: Penerangan tentang cadangan Penulisan objektif pembelajaran dan kriteria kejayaan.

Katanya lagi, dunia sekarang yang volatile, uncertain, complex, ambiguous (VUCA) memerlukan guru yang sentiasa bersiap sedia, peka terhadap perubahan dan dinamik dalam pengurusan dan kepimpinan.  

“Sebagai contoh Pendemik Covid-19, ianya secara tidak langsung mengandungi hikmah yang amat luar biasa. Guru-guru mulai kreatif mempelbagaikan gaya pengajaran dengan menggunakan sumber sama ada secara ‘On-line’ mahupun ‘Off-line’.Perkara penting yang perlu dititikberatkan adalah pelaksanaan tugas dengan cekap dan menepati masa.” katanya.

Dalam ceramah yang diselang selikan dengan sesi soal jawab, Puan Nor Shifa turut menekankan penulisan objektif pembelajaran dan kriteria kejayaan yang betul amat penting untuk membantu murid memahami proses dan hasil yang dihasratkan pada akhir pembelajaran. OPKK perlu dipaparkan di hadapan kelas dan sentiasa dirujuk sepanjang berlangsungnya PdP.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Puan Kamariah Salim merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian penceramah berkongsi ilmu dengan warga pendidik di W.P.Labuan biarpun secara maya.

BERUCAP: Kamariah menyampaikan ucapan ringkas semasa telesidang PLC Penulisan OPKK Pendidikan Islam Dalam Rancangan Pengajaran Harian secara telesidang.

Katanya, guru-guru turut berpeluang untuk bertanya soalan dan merungkai segala permasalahan berkaitan penulisan OPKK yang sangat penting khususnya sekolah TS25 bagi memaksimumkan potensi guru dan  murid menerusi peningkatan kualiti pembelajaran dan pengajaran.

“Keadaan semasa ketika ini ‘memaksa’ semua guru bertindak lebih responsif. Namun secara tidak langsung menjadikan guru-guru lebih kreatif menerokai dunia teknogi maklumat. Pelbagai kaedah dan platform diguna pakai bagi proses PdPr, sama ada secara on-line mahupun off-line yang membolehkannya secara interaktif selari kaedah PdP abad ke-21”. Katanya semasa majlis PLC tersebut.

Menurutnya lagi, beliau berkeyakinan pada tahun 2021, pelaksanaan PdPR akan bertambah baik berikutan pengalaman guru-guru pada tahun lepas yang boleh dijadikan pengajaran.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

KENANGAN: Peserta kursus merakamkan gambar bersama penceramah secara atas talian selepas selesai kursus.



Memohon Doa Restu SPM 2020 SMK Pantai IBWS

Labuan, 19 Feb – SMK Pantai IBWS Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Majlis Mohon Restu Ilmu untuk calon-calon SPM 2020 dalam situasi norma baharu kerana majlis tersebut turut diadakan secara dalam talian yang disertai oleh para ibu bapa dan warga sekolah. Majlis tersebut merupakan satu pengisian minggu terakhir sebelum menjelangnya SPM yang akan berlangsung pada 22 Februari 2021.

Objektif majlis tersebut adalah untuk menunjukkan sokongan dan kasih sayang guru-guru yang menjadi tenaga pengajar kepada calon-calon SPM 2020 sepanjang mereka belajar di sekolah ini. Selain itu, majlis ini memberikan peluang kepada murid-murid memohon doa, kemaafan dan memberi penghargaan kepada guru-guru mereka.

Terdahulu majlis pada pagi Jumaat itu dimulai dengan bacaan Yaasin yang diketuai oleh adik Naeim Hazeq bin Yusup merupakan murid 5 Principled. Bacaan doa diketuai oleh adik Adam Daniel bin Haris dari kelas 5 inquirer. Ucapan wakil murid pula diwakili oleh adik Aliya Shakira binti Mohd Amir dari kelas 5 Inquirer. Dalam majlis itu juga, Puan Zaleha binti Pump @ Pumb (Guru Kanan Bidang Bahasa) turut  menyampaikan amanat untuk subjek Bahasa Melayu. Manakala, Puan Jennifer bt Alip @ Janneffar (Ketua Panitia Sejarah) menyampaikan amanat untuk subjek Sejarah.

Pengetuanya, Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri telah menyampaikan amanat kepada semua calon SPM 2020 agar menggunakan peluang pada majlis tersebut untuk memohon daripada semua guru agar menghalalkan semua ilmu yang diberikan.

Beliau juga berpesan kepada calon-calon SPM 2020 supaya menjaga keselamatan dan kesihatan sepanjang peperiksaan di samping meluangkan masa dengan perkara berfaedah dan terus memberikan tumpuan untuk membuat ulang kaji. 

Pada majlis itu juga, Puan Norazita menyeru agar guru-guru mendoakan urusan peperiksaan dipermudah, menghalalkan semua ilmu yang diberikan, memaafkan kesalahan murid dan mendoakan murid dengan ikhlas kerana kejayaan murid merupakan kejayaan kepada guru.

 “Saya suka membuat kesimpulan bahawa apa-apa yang dilalui selama ini sebagai DUIT dalam menerangkan perkara penting untuk menjadi murid yang cemerlang.  ‘D’ ialah doa yang kita  ungkapkan setiap masa dan doa ibu bapa dan guru-guru. ‘U’ ialah usaha yang kita kerjakan ke arah kecemerlangan akademik. ‘I’ ialah  istiqamah iaitu konsisten atau usaha berterusan.  Akhir sekali ialah  ‘T’ merupakan tawakal iaitu menyerahkan segalanya kepada Allah”, katanya penuh harapan sambil mengucapkan tahniah kepada AJK pelaksana kerana berjaya mengadakan majlis tersebut walaupun dalam keadaan norma baharu.

Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, Pengetua SMK Pantai IBWS menyampaikan amanat kepada calon-calon SPM 2020.

Berita Oleh : Puan Zaleha binti Pump @ Pumb




Majlis Bacaan Yasin dan Restu Ilmu Calon SPM 2020

Labuan, 21 Feb – Panitia Pendidikan Islam SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menganjurkan Majlis Bacaan Yasin dan Restu Ilmu untuk calon SPM 2020. Program ini berlangsung secara dalam talian melalui “Google Meet” bersama-sama dengan calon SPM 2020, ibu bapa dan juga guru-guru dengan pelibatan seramai 98 orang.

Menurut Penyelaras Program, Ustaz Mohd Daud Abdul Rahman, objektif program ini adalah untuk mendoakan kesihatan dan keselmaatan warga sekolah serta keluarga terhindar daripada ditimpa musibah wabak Covid-19, di samping memohon kepada Allah agar mereka yang dijangkitan wabak Covid-19 akan kembali sembuh dengan segera.

Tambah beliau, program ini juga bertujuan untuk memohon pertolongan Allah dan sebagai usaha kerohanian agar murid-murid yang akan menduduki peperiksaan SPM berada di sekolah dalam keadaan yang selamat, dapat belajar dengan tenang dan beroleh keputusan yang cemerlang dalam SPM kelak.

Program yang bermula selepas solat Maghrib di rumah masing-masing dimulakan dengan bacaan Yasin dan diikuti dengan bacaan doa secara dalam talian yang dipimpin oleh Ustaz Erzadiansyah bin Uzad.

Pengetua SMKTPB, Encik Ag. Rozlan Manan merkamkan ucapan terima kasih atas kehadiran semua murid, ibu bapa serta guru-guru ke majlis ini yang dilaksanakan secara norma baharu tidak seperti tahun-tahun sebelumnya.

Ucapan oleh pengetua, Encik Awang Rozlan bin Manan

Beliau berharap agar murid-murid Tingkatan 5 tahun 2020 sudahpun bersedia untuk menduduki peperiksaan SPM setelah 11 tahun di alam persekolahan. Dalam ucapannya juga, beliau memaklumkan bahawa rakaman taklimat daripada guru mata pelajaran untuk kertas SPM akan dihantar kepada murid melalui rakaman audio dan video.

Beliau juga memohon kerjasama daripada ibu bapa unutk mengawal pergerakan dan aktiviti anak-anak di rumah sepanjang musim peperiksaan berlangsung. Motivasi dan kata-kata semangat daripada ibu bapa, di samping memantau kesihatan anak-anak amatlah diharapkan dalam membantu meningkatkan keyakinan anak-anak untuk menduduki peperiksaan SPM.

Sebelum mengakhiri majlis, beliau turut menyatakan keyakinannya dengan kemampuan murid, ditambah dengan keupayaan guru serta sokongan ibu bapa kepada calon SPM untuk mengulangi pencapaian 100 peratus lulus SPM.

Untuk rekod, seramai 94 orang murid sekolah ini akan menduduki peperiksaan SPM yang akan bermula pada hari Isnin, 22 Februari 2021.

Majlis diakhiri dengan solat Isyak dan solat Hajat di rumah masing-masing.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




Road To Success SPM 2020 Di Didik Tv @ Ntv 7 : Pendidikan Maya Alaf Baharu Sebagai Persiapan Menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

17 Februari – Program Road to Success SPM 2020 Bahasa Arab Kertas 1 telah disiarkan secara langsung di Didik TV NTV 7 bersama calon-calon SPM 2020 Bahasa Arab Tingkatan 5 Ibnu Sina dari SMK Mutiara, WP Labuan. Program yang menggunakan platform secara atas talian iaitu Google Meet selaras dengan norma baharu ini telah melibatkan seramai 23 orang murid calon SPM Bahasa Arab dari SMK Mutiara bersama-sama calon-calon SPM lain dari seluruh Malaysia.

Buat julung kalinya murid-murid kelas 5 Ibnu Sina dari SMK Mutiara telah menerima jemputan khas dari NTV 7 sebagai peserta Program Teknik Menjawab SPM Bahasa Arab Kertas 1 secara langsung pada jam 3 sehingga 4.30 petang. Pendidikan maya ini telah dikendalikan secara interaktif oleh guru yang berpengalaman mengajar dalam Bahasa Arab selama 20 tahun iaitu Ustaz Alimshah Zulkafri dari SABK Maahad Al-Ehya Asshariff, Gunung Semanggol, Perak sebagai penceramah jemputan Program Teknik Menjawab Bahasa Arab Kertas 1 ini.

“ Inisiatif daripada Panitia Bahasa Arab SMK Mutiara, WP Labuan ini diharapkan dapat membantu murid-murid SMK Mutiara yang akan menduduki SPM Kertas Bahasa Arab pada 15 Mac 2021 tidak lama lagi. Walaupun mereka menghadapi kekangan dan cabaran dalam pembelajaran online, ianya tidak menghalang pihak sekolah untuk terus memberi peluang, ruang serta pendekatan yang sesuai sebagai persiapan murid-murid menghadapi peperiksaan SPM “, kata Encik Zainal Bin Abdul Wahab selaku Ketua Panitia Bahasa Arab SMK Mutiara, WP Labuan ketika dihubungi.  Tambah beliau lagi, dalam menghadapi saat-saat genting ini, pendekatan motivasi pembelajaran yang berterusan kepada murid adalah sangat penting sebagai kekuatan jiwa mereka yang lebih kuat dan kental  untuk menduduki peperiksaan SPM sambil berazam tinggi untuk membuktikan sesuatu kepada diri sendiri, sekolah, ibu bapa dan masyarakat.

Manakala, adik Mohammad Aiman Hakim bin Kamarul selaku wakil murid Tingkatan 5 Ibnu Sina dalam sesi live ini mengatakan bahawa walaupun mereka merupakan calon SPM yang paling bersejarah dan juga yang paling banyak melalui cabaran berbanding calon-calon sebelumnya, ini tidak akan menghalang mereka untuk membuat persiapan terakhir menduduki peperiksaan. Malah aura yang ceria dan pendekatan yang positif sepanjang program ini berlangsung dapat meningkatkan lagi semangat juang dan keyakinan dalam menghadapi Kertas 1 Bahasa Arab.

Adik Mohammad Aiman Hakim bin Kamarul daripada Tingkatan 5 Ibnu Sina menjadi salah seorang antara wakil peserta murid SMK Mutiara, WP Labuan dari seluruh Malaysia secara Live di program ini.

“ Melalui program live Didik TV NTV 7 ini, banyak ilmu, input dan  teknik dalam menjawab Bahasa Arab Kertas 1 yang boleh saya dan rakan-rakan sekelas yang lain manfaatkan sebagai persediaan peperiksaan kertas Bahasa Arab pada 15 Mac nanti. Insya Allah kami akan cuba yang terbaik untuk diri kami sendiri, ibu bapa serta guru-guru SMK Mutiara yang tidak berputus asa dalam mendidik kami”, ujar adik Nurul Haziqah Binti Mohd Rashidin juga daripada Tingkatan 5 Ibnu Sina.

Sekalung terima kasih juga kepada barisan Unit ICT SMK Mutiara, WP Labuan, Puan Farah Sha’adah binti Hamzah dan Encik Mohd Asrul bin Jais yang telah membantu di sepanjang program bagi memastikan kelancaran program ini berlangsung di Makmal Komputer Bestari, SMK Mutiara. Secara keseluruhannya program ini telah berjaya mencapai objektif Panitia Bahasa Arab SMK Mutiara WP Labuan dan semua murid yang terlibat telah menunjukkan reaksi yang positif dan bersemangat di sepanjang program ini berlangsung. Terlepas menonton Road To Success SPM 2020 di Didik TV @ NTV 7 semalam?  Boleh tonton semula di pautan berikut : https://youtu.be/JO25ynbd2Sc  atau siaran ulangannya di www.tonton.com.my.

Ketua Panitia Bahasa Arab SMK Mutiara, WP Labuan, Ustaz Haji Zainal bin Abdul Wahab sedang memberikan bimbingan dan sokongan sepanjang Program Teknik Menjawab Kertas 1 SPM Bahasa Arab : Road To Success SPM 2020 sedang berlangsung kepada murid-murid Tingkatan 5 Ibnu Sina
Pembelajaran maya melalui Google Meet di Didik TV @ NTV 7 berjaya menarik minat dan semangat murid dalam persiapan menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi.
Walaupun hanya melalui alam maya, ianya tidak menghalang usaha guru berpengalaman dalam subjek Bahasa Arab selama 20 tahun iaitu Ustaz Alimshah Zulkafri untuk berkongsi ilmu, tips dan panduan dalam teknik menjawab Kertas 1 SPM Bahasa Arab kepada calon-calon murid Kertas 1 Bahasa Arab SMK Mutiara, WP Labuan dan di seluruh Malaysia melalui medium Didik TV @ NTV 7.



Bengkel Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) Tingkat Kualiti Guru SMK Taman Perumahan Bedaun

Labuan, 16 Februari 2021 (Selasa) – Bengkel Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) untuk warga guru di SMK Taman Perumahan Bedaun dengan kerjasama oleh pegawai SISC+ Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan berjalan lancar.

Pengetua En. Ag Rozlan merakamkan ucapan terima kasih kepada pegawai SISC+ Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Labuan yang sudi meluangkan masa membimbing guru-guru SMKTPB.

Beliau turut  memaklumkan sekolah telah meletakkan KPI semua panitia melaksanakan kajian tindakan untuk peningkatan kualiti pembelajaran murid-murid yang seterusnya dapat meningkatkan skor Standard 4 SKPMg2 dalam pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc).

Bengkel CPD yang dilaksanakan selama 2 jam telah disampaikan oleh Cik Juraidah Aman dan Cik Suriani Oxley. Melalui bengkel ini, pegawai SISC+ menyampaikan taklimat berkaitan Standard 4 Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) dan Perancangan Kajian Tindakan. Bengkel ilmiah ini dijalankan secara dua hala, iaitu berlakunya sesi soal jawab antara pegawai SISC+ dan warga guru.

Bimbingan secara langsung yang disampaikan kepada warga guru menerusi Program Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) berupaya meningkatkan kualiti pendidik terutamanya apabila guru melaksanakan Kajian Tindakan.  

Menurut Cik Suriani Oxley, Kajian Tindakan yang dilaksanakan oleh guru dapat membantu guru menyelesaikan permasalahan murid dalam Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc). Bimbingan ini juga dapat memberikan impak berkesan terhadap murid dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Dalam meningkatkan kualiti guru, pegawai SISC+ boleh membimbing guru untuk mengamalkan pedagogi menarik, kreatif dan inovatif supaya pembelajaran dan pengajaran kepada murid dapat dilakukan secara berkesan.

“Bengkel ini bukan sahaja memberi manfaat untuk meningkatkan kualiti guru di sekolah, malah membolehkan amalan terbaik guru dikongsi bersama guru-guru di sekolah lain.” Cik Suriani Oxley

Penceramah Program Pembangunan Cik Suriani Oxley

Berdasarkan taklimat di bawah Standard 4 SKPMg2, guru berperanan sebagai pemudah cara dalam proses PdPc yang berkesan untuk memperkembangan potensi murid secara menyeluruh dan meningkatkan pencapaian murid pada tahap optimum secara berterusan.

Menurut Cik Juraidah Aman, kaedah PdPc yang baik adalah yang berpusatkan pelajar serta berlakunya PdPC dua hala antara guru dan murid, di samping penyerapan kemahiran bernilai tambah, iaitu kemahiran berfikir dan teknologi maklumat serta komunikasi di dalam dan di luar bilik darjah.

“Oleh hal yang demikian, guru-guru perlu mencari pendekatan, kaedah, strategi, dan teknik pengajaran baharu agar pelajar pasca merdeka kini suka akan guru dan pengajaran guru.” Cik Juraidah Aman

Dalam mendepani pandemik COVID-19, warga guru SMKTPB berusaha untuk menyampaikan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) yang berkesan kepada murid.

Pegawai SISC+ bukan sahaja memainkan peranan dalam memberi bimbingan dalam sesi PdPc dan PDPR, malah membimbing guru-guru dalam meningkatkan profesionalisme keguruan bagi menyediakan guru yang akan menjadi seorang pengurus dan pentadbir profesional kelas pertama.

Bagi merealisasikan hasrat ini semua pihak harus menggalas tugas tidak berbelah bagi untuk melahirkan bakal guru berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin.

Turut hadir bersama Penolong Kanan Pentadbiran  Pn. Chai Yee San  dan Penolong Kanan Ko-kurikulum Pn. Lau Chin Ying.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Pengetua En. Ag Rozlan memberi ucapan alu-aluan untuk program CPD sekolah



Pelancaran Mai Tah Baurung-Urung Secara Dalam Talian 2021

Labuan, 16 Februari – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah melancarkan Program Maitah Baurung-Urung 2021 secara dalam talian, kelmarin dengan jayanya.

Pelancaran dibuat melalui saluran Youtube rasmi Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan yang telah dihadiri oleh warga pendidikan di Labuan.

Program ini telah berjaya menghimpunkan warga pendidikan di Labuan untuk mendapatkan komitmen dan kesungguhan bagi menjayakan sasaran kerja tahunan serta KPI yang perlu dicapai bagi tahun 2021.

Selain itu, program ini dapat membuat refleksi pencapaian warga pendidikan Jabatan Pendidikan W.P Labuan sepanjang tahun 2020 dan memperbaharui ikrar serta komitmen warga pendidikan untuk menjayakan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Gelombang 3 (2021-2025) dan perancangan strategik Jabatan.

Ikrar Perkhidmatan Awam diketuai oleh Encik Ag Marten Abdul Rahman, KPP SSTP

Puan Khaziyati Osman, Pengarah Jabatan Pendidikan W.P Labuan dalam ucapan amanahnya berbicara mengenai berkenaan Hala tuju Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu The Next Level  yang bertemakan Pendidikan Komprehensif Minda Kelas Dunia.

Beliau menyeru agar warga pendidikan dapat mengadaptasikan Tagline dan Teras Profesional Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Tagline Jabatan Pendidikan ialah Labuan World, Guru sayang muridnya, Kemenjadian murid bermula di Wilayah Persekutuan Labuan, Semua murid sangat bernilai, Semua sekolah di Labuan adalah sekolah pilihan.

Manakala teras profesional warga pendidikan W.P Labuan ialah L.A.B.U.A.N yang membawa maksud Lead, Accountable, Bold, Unanimous, Approachable, Now.

Katanya lagi, dalam mendepani cabaran Covid-19, guru seharusnya perlu mengubah kaedah pembelajaran dan pemudahcaraan menerusi platform digital berpandukan manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Keperluan meningkatkan ilmu dan mempelbagaikan kemahiran bukan merupakan kelebihan tetapi keperluan yang perlu ada pada setiap pendidik supaya kita menjadi insan yang lebih ampuh dalam menghadapi pelbagai cabaran.” Puan Khaziyati Osman.

Kerjasama guru dan ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam mengupayakan pengajaran dan pembelajaran anak-anak terus berlaku walaupun ketika anak-anak tidak ke sekolah.

Ucapan Amanat oleh Puan Khaziyati Osman, Pengarah JPWPL

Majlis telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, KPM yang diwakili oleh YBhg. Dato’ Mohd Jamil bin Mohamed, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM.

Dalam ucapannya beliau berbangga dengan tema program Mai Tah Baurung-urung Dalam Talian “Pendidikan Komprehensif Minda Kelas Dunia”. Ini jelas menunjukkan keazaman dan kesungguhan yang tinggi dalam kalangan warga pendidik di W.P Labuan untuk mempersiapkan diri dan anak didik, ilmu serta kemahiran yang menyeluruh bagi menghadapi persaingan global dengan persiapan minda yang berilmu.

Pendidikan yang berkualiti memerlukan para guru melakukan paradigma sikap minda kelas dunia dengan meningkatkan tahap kompetensi untuk membina kompetensi murid-muridnya mencapai tahap penguasaan tertinggi. Jika kualiti guru dapat ditingkatkan ke tahap yang cukup tinggi, pastilah pendidikan kita dapat mencapai tahap cemerlang. Oleh itu, sebagai guru kita juga harus sentiasa berusaha mempertingkatkan ilmu dalam diri agar kita juga dapat berjalan seiring dengan kemajuan sistem pendidikan global.

Penguasaan dalam bidang ICT dan pelbagai aplikasi dalam talian sudah tentu menjadi semakin penting dalam dunia pendidikan kini supaya ia seiring dengan kehidupan anak didik kita masa ini dan keperluan pendidikan di zaman ini.

“Harapan saya semoga tahun 2021 memberi kekuatan fizikal dan minda yang cukup kuat dalam usaha kita meningkatkan prestasi pendidikan walaupun terkesan dengan pandemik ini. Saya percaya komitmen dan usaha yang bersungguh-sungguh daripada cikgu-cikgu sekalian serta semua warga pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan akan melahirkan murid-murid yang berjaya melepasi segala rintangan dan mengelakkan defisit pembelajaran.” Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim.

Ucapan perasmian oleh Dato’ Mohd Jamil bin Mohamed, Pengarah BPSH

Tahniah dan syabas kepada Jabatan Pendidikan W.P Labuan yang telah menyediakan Perancangan Strategik Organisasi yang lebih menyeluruh dan bersepadu dan saya berharap ia akan dapat direalisasikan melalui pelaksanaan yang kemas dan tersusun demi mencapai matlamat sekolah berkualiti dan kemenjadian murid seperti yang dihasratkan dalam PPPM 2013-2025.




SMK TAMAN PERUMAHAN BEDAUN ANJUR PROGRAM MUNAJAT WARGA PENDIDIK 2021

Labuan, 03 Februari (Rabu) – SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menganjurkan Program Munajat Warga Pendidik dengan jalinan kerjasama dari Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Program ini berlangsung secara dalam talian melalui “Google Meet” bersama-sama dengan ibu bapa, guru-guru serta pegawai dari Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Objektif program ini adalah untuk mendoakan kesihatan dan keselamatan warga sekolah serta keluarga agar terhindar dari musibah wabak Covid-19, di samping memohon kepada Allah agar mereka yang dijangkiti akan kembali sembuh.

Program ini juga bertujuan untuk mendoakan agar murid-murid yang akan menduduki peperiksaan SPM dapat berada di sekolah dalam keadaan selamat  dan belajar dengan tenang, seterusnya beroleh kejayaan yang cemerlang dalam SPM nanti.

Program yang bermula selepas solat Maghrib di rumah masing-masing, dimulakan   dengan bacaan surah Yasin dan diikuti bacaan doa secara dalam talian. Pengetua SMKTPB, Encik Ag. Rozlan bin Manan merakamkan ucapan terima kasih atas kehadiran semua guru, ibu bapa dan juga pegawai dari jabatan Pendidikan WP Labuan secara dalam talian untuk menjayakan program ini.

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Matnoh. Dalam ucapannya, beliau mengharapkan agar murid-murid Tingkatan 5 SPM 2020, dapat meneruskan usaha dengan sebaik mungkin kerana mereka dianggap sebagai calon SPM yang sangat istimewa dan diberikan masa yang cukup panjang untuk belajar serta mengulang kaji pelajaran akibat pandemik Covid-19. Hakikatnya, situasi ini telah memberikan cabaran kepada kita semua dalam semua aspek.

Ucapan aluan, Puan Maimoon Matnoh

Puan Maimoon turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua guru atas kesungguhan dalam melaksanakan  tanggungjawab mendidik anak-anak SPM, selain merakamkan ucapan terima kasih kepada ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan kepada anak-anak unutk menghadapi situasi yang sukar ini. Beliau turut menyatakan keyakinan beliau terhadap kemampuan murid, keupayaan guru dan sokongan ibu bapa kepada calon SPM  untuk mengulangi pencapaian 100% lulus SPM seperti tahun sebelumnya.

Majlis diakhiri dengan solat Isyak dan solat hajat di rumah masing-masing.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




Program Motivasi Menuju Puncak Pelajar SPM SMK Rancha-Rancha.

Sabtu 30 Jan 2021 – Unit Bimbingan Kaunseling dan Unit Kurikulum SMK Rancha-Rancha telah mengadakan satu program motivasi secara dalam talian khusus untuk menaikkan semangat dan motivasi pelajar-pelajar SPM tahun ini .  Menurut guru Bimbingan dan Kauseling SMKRR Puan Rafeeza binti Sanadi ,  antara objektif utama program ini diadakan adalah untuk  meningkatkan motivasi dalam diri pelajar SPM demi memperolehi kecemerlangan di dalam peperiksaan serta mendedahkan pelajar mengenai pengurusan masa yang betul bagi mengulangkaji pelajaran di saat-saat akhir.

Program motivasi kali ini dikendalikan oleh motivator  Encik Mohamad Khairul Anwar bin Rosnan dari Recaliph Consultant. Program kali ini melibatkan kolaborasi bersama SMK Taman Keramat Kuala Lumpur.  Seramai 89 orang peserta dari kedua-dua sekolah menyertainya.  Program atas talian yang dianjurkan oleh SMKRR ini sangat bermanfaat kepada murid kerana ianya salah satu program yang dapat membantu meningkatkan semula motivasi diri setelah sekian lama mereka belajar melalui atas talian sepanjang PKP. Pandemik Covid 19 yang sedang melanda negara sedikit sebanyak telah menjejaskan emosi para pelajar terutama sepanjang PKP dan PKPB pelajar hanya belajar di atas talian tanpa bertemu secara langsung dengan guru, dengan adanya motivasi yang dianjurkan ini, sedikit sebanyak telah memberi sinar kepada mereka untuk terus berjuang demi kecermerlangan SPM yang mereka akan tempuhi pada 22 februari ini.

Pengetua SMK Rancha-Rancha Ustaz Wan Azman bin Wan Awang mengucapkan terima kasih atas usaha Unit Bimbingan Kaunseling, Unit Kurikulum berserta guru-guru kanan bidang mata pelajaran atas usaha gigih dalam penganjuran program yang sangat bermanafaat ini. Beliau berharap, dengan adanya program seperti ini , sedikit sebanyak dapat membantu memberi suntikan semangat kepada semua calon-calon SPM agar lebih tabah dan berjuang sehabis baik untuk mendapat keputusan terbaik dalam SPM kelak. Doa dan tawakal harus sentiasa menjadi pegangan pelajar kerana setiap dugaan ada hikmah yang Allah janjikan kepada setiap umatnya. Beliau berpesan agar pelajar memanfaatkan masa yang ada ini untuk mengulangkaji pelajaran dan belajar semampu yang mungkin dan harus bijak membahagikan masa serta bijak mengendalikan situasi agar tidak timbul tekanan yang membebankan pemikiran. Kebijaksanaan mengatur dan membahagi masa adalah salah satu kunci kejayaan seorang pelajar. Beliau berharap agar program seperti ini dapat di teruskan di masa-masa akan datang.

Pengetua SMK Taman Keramat Pn. Norlela Mat Jalil turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada SMK Rancha-Rancha kerana telah sudi menjemput pelajar – pelajar SPM sekolah beliau untuk sama-sama menyertai program ini, dan beliau berharap kerjasama seperti ini akan terus berkekalan demi impak yang baik kepada anak-anak pelajar di kedua-dua buah sekolah. Beliau memuji usaha SMK Rancha-Rancha yang terus berusaha membantu pelajar sehingga ke saat-saat akhir persediaan murid menghadapi peperiksaan SPM.

Selain dari pelajar, ibubapa juga telah dijemput hadir ke program tersebut untuk sama-sama mendengar motivasi yang telah diberikan oleh motivator. Penglibatan ibubapa juga sangat menggalakkan. Dengan penglibatan ibubapa ini, ianya memberi ruang dan peluang ibubapa sama-sama membantu anak-anak mereka  dalam proses memberi motivasi dan galakan untuk mereka terus bijak mengatur masa dan sentiasa bersemangat dan tidak berputus asa untuk terus berjuang dalam masa yang singkat ini, ibubapa juga digalakkan untuk memantau aktiviti anak-anak supaya pengaturan masa itu lebih bermanfaat dan sentiasa memberi sokongan moral kepada anak-anak terutama ketika mereka mengulangkaji pelajaran di rumah.

Program motivasi ini berlangsung selama dua jam dan respon positif pelajar sangat menggalakan.




Norma Baharu Dalam Pelaksanaan Orientasi Tingkatan 1

25 Januari – Program Orientasi Tingkatan 1 SMK Mutiara WP Labuan, Norma Baharu Melalui Tayangan Video telah dilancarkan pada 25 Januari 2021. Program yang dirasmikan oleh Tuan Pengetua, Encik Yahya Bin Ahmad Puteh merupakan program yang julung-julung kali diadakan secara atas talian. Program yang dianjurkan oleh Unit Bimbingan Dan Kaunseling ini bermatlamat untuk memberi pengetahuan kepada murid mengenai keperluan murid dalam norma baharu di samping mengenali tentang budaya dan persekitaran persekolahan yang terdapat di SMK Mutiara.

“Walaupun kita masih dalam situasi Perintah  Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh kerjaan baru-baru ini namun situasi tersebut tidak menghalang sekolah untuk mengadakan program kepada murid-murid Tingkatan Satu yang baru memulakan persekolahan mereka di sekolah ini”, kata Encik Yahya, Pengetua SMK Mutiara  ketika dihubungi.     Beliau juga menambah bahawa pada ketika ini , semua murid Tingkatan 1 tidak hadir secara bersemuka dan hanya mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah secara atas talian.

Manakala, En Ahmad Radzi bin Ab Halim, selaku urusetia program mengatakan bahawa semua video telah dimuat naik ke Youtube adalah untuk tontonan semua pelajar baharu Tingkatan 1, penjaga/waris dan warga sekolah. Dalam video yang dipaparkan ini, semua murid dan warga sekolah akan dapat mendengar taklimat daripada semua unit yang terlibat melalui rakaman yang disediakan seperti amanat yang disampaikan sendiri oleh Pengetua, En. Yahya bin Ahmad Puteh , En. Masri bin Ayong Penolong iaitu Kanan HEM, En. Hisham bin Abdul Aziz iaitu Penolong Kanan Pentadbiran, En. Jostelen Lamibai iaitu Penolong Kanan Kokurikulum.

Selain itu, rakaman ucapan juga turut melibatkan unit-unit penting di sekolah seperti Unit Bimbingan dan Kaunseling, Skim Pinjaman Buku Teks, Unit Disiplin, Pusat Sumber Sekolah SMK Mutiara  dan juga unit-unit yang lain. Dalam pautan video yang dikongsikan juga, pelajar tingkatan 1 juga boleh membuat pertanyaan melalui Google Form yang disediakan dan juga boleh memberikan cadangan penambahbaikan. Secara keseluruhannya, respon yang diperolehi daripada pelajar melalui soal selidik Google Form yang diberikan menunjukkan pelajar menyukai dan bersetuju dengan cara baharu orientasi kali ini dijalankan.

Program Orientasi Tingkatan 1 SMK Mutiara WP Labuan, Norma Baharu Melalui Tayangan Video telah dilancarkan melalui sebaran video dan ditonton di kediaman masing-masing melalui pautan https://www.youtube.com/watch?v=oHS0_y-F_c0. Sasaran program ini adalah untuk semua pelajar baharu Tingkatan 1. Turut hadir dalam gimik pelancaran program ini PK HEM, En Masri Ayong dan kaunselor sekolah iaitu En Ahmad Radzi bin Ab Halim dan Pn Normaisaraf binti Ab Rashid dengan menggunakan kaedah baharu iaitu menekan butang “send” di youtube bagi melancarkan video yang telah disediakan.