Raikan Bakatmu Sanjung Budimu

Labuan, 6 Disember – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah mengadakan Majlis Raikan Bakatmu Sanjung Budimu bersama murid-murid,warga pendidik dan rakan strategik JPWPL di Desa Tunas, Kampung Sungai Lada petang tadi.

Majlis tersebut merupakan satu pentas untuk memberi penghargaan kepada murid, guru dan sekolah dalam bidang sukan, kokurikulum, hal ehwal murid, ko-akademik, kelab dan persatuan, kesenian, stem, badan beruniform, dan pusat kokurikulum.

Di samping memberi penghargaan kepada mereka yang telah membawa nama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan di peringkat kebangsaan mahupun peringkat Antarabangsa melalui pelbagai program dan pertandingan yang disertai.

Pengarah Pendidikan, Encik Yusup Haji Mohamad dalam ucapannya merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima anugerah pada hari ini.

Sepanjang tahun 2022, pelbagai program dan pertandingan telah dilaksanakan di peringkat negeri mahupun kebangsaan di bawah Sektor Pembangunan Murid (SPM), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) dan juga Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Program-program serta pertandingan yang dijalankan dilihat mampu meningkatkan lagi kemenjadian murid dari pelbagai aspek tidak hanya di dalam bilik darjah. Dari segi pencapaian, Labuan tidak terlepas dari menempah nama di kedudukan 5 teratas daripada 16 negeri yang terdapat di Malaysia dalam acara tertentu.

“Ini telah membuktikan murid-murid di Labuan mempunyai potensi untuk bersaing dengan murid-murid negeri lain di peringkat kebangsaan. Semoga prestasi cemerlang yang ditunjukkan akan memberikan impak signifikan ke arah pencapaian yang lebih unggul.” katanya semasa menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

Majlis Raikan Bakatmu Sanjung Budimu telah disempurnakan oleh Encik Yusup Haji Mohamad, Turut hadir Encik Yahya Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah (TP) Sektor Pembelajaran, Puan Kamariah Salim Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam menjalankan tugas TP Sektor Pembangunan Murid.

Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Encik Ismail Abdullah, Yang Dipertua Majlis Guru Besar (MGB) Puan Dg Sarifah A.Mahmood, barisan pengurusan tertinggi jabatan, Pengetua, Guru Besar, Pegawai-pegawai jabatan, guru-guru,anggota kumpulan pelaksana dan murid-murid.

Dalam majlis tersebut turut disampaikan sumbangan Yayasan Tun Hussin Onn kepada guru-guru yang sedang menjalani rawatan kesihatan serta penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik JPWPL.




Jabatan Pendidikan W.P. Labuan Tubuhkan Kumpulan Kugiran Pendidikan

Labuan, 03 Disember –  Jabatan Pendidikan WP.Labuan sekali lagi melakar sejarah dengan tertubuhnya kumpulan band atau kugiran pendidikan. Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan WP.Labuan, Encik Yusup bin Mohamad, selama 20 tahun kewujudan Jabatan Pendidikan WP.Labuan, inilah kali pertama Jabatan Pendidikan mempunyai kumpulan kugirannya sendiri.

Penubuhan kumpulan kugiran pendidikan ini yang telah diinisiatifkan oleh Sektor Pembelajaran dibawah Unit Sains Sosial adalah bertujuan untuk memartabatkan mata pelajaran pendidikan muzik di WP.Labuan. Ini adalah kerana mata pelajaran pendidikan muzik merupakan mata pelajaran yang boleh membantu mempertingkatkan pelbagai aspek perkembangan dan kemahiran murid-murid di sekolah. Melalui muzik dan nyanyian juga, tingkah laku yang positif di kalangan murid-murid dapat dipupuk.

Strategi untuk memartabatkan mata pelajaran pendidikan muzik ini telah diatur semenjak bulan Julai melalui aktiviti pementoran pengajaran dan pembelajaran (PdP) pendidikan muzik di bilik darjah oleh SISC+ Sains Sosial, bengkel asas bermain alat muzik dan teknik vokal kepada guru-guru muzik bukan opsyen oleh kumpulan fasilitator yang major dalam pendidikan muzik serta aktiviti pemantapan kemahiran bermain alat muzik dan vokal dalam kalangan guru-guru muzik yang opsyen melalui sesi ‘jamming’.

Selain guru-guru, strategi ini juga mensasarkan mana-mana warga pendidikan yang berbakat dan berminat dalam seni muzik untuk bersama-sama memartabatkan mata pelajaran pendidikan muzik ini melalui gandingan persembahan muzik dan nyanyian di atas pentas. Pemantapan kemahiran dalam teknik vokal, membaca not dan bermain alat muzik di kalangan guru-guru muzik akan membantu mereka untuk melaksanakan PdP pendidikan muzik yang berimpak.

Di majlis pelancaran penubuhan kumpulan kugiran pendidikan ini, Pengarah Jabatan Pendidikan WP.Labuan, Encik Yusup bin Mohamad telah melakukan gimik memetik gitar dengan diiringi oleh Timbalan Sektor Pembelajaran, Encik Yahya bin Ahmad Puteh. Selepas upacara gimik pelancaran, para tetamu dihiburkan dengan persembahan nyanyian lagu ‘Sway’, Original Sabahan dan Gemilang oleh kumpulan kugiran pendidikan yang terdiri daripada Cikgu Romeno Suali (SKK ST Anne) selaku pemain gitar bass, Cikgu Bryandevon Bin Dahreen (SK Pantai) selaku pemain ‘lead guitar’, Cikgu Eben Ezer Pengiran (SK Pekan Satu) selaku pemain drum, Encik Denny Kindamin (Sektor ICT) selaku pemain kibod dan Cikgu Charlie Ginsin (SJKC Chung Hwa) serta Encik Mohd Marzukqi bin Madun (SK Sungai Lada) sebagai vokalis utama kumpulan. Turut bersama di dalam kumpulan kugiran pendidikan ini ialah jurutera bunyi iaitu Cikgu Mohd Noor Izuan Anuar dari SSTP Labuan.

Tuan Pengarah JPN WP Labuan melakukan gimik memetik gitar dengan diiringi oleh kumpulan kugiran pendidikan. Turut bersama ialah Tuan Timbalan Sektor Pembelajaran (berdiri no.3 dari kiri) dan Puan Ketua Penolong Pengarah Unit Sains Sosial (berdiri no.1 dari kiri)

Encik Yusup bin Mohamad, Pengarah Jabatan Pendidikan WP.Labuan mengucapkan tahniah dan syabas kepada Timbalan Sektor Pembelajaran, Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Ketua Penolong Pengarah Unit Sains Sosial Puan Murni binti Jaafar, Penolong Pengarah Unit Sains Sosial Encik Mohd Reno bin Mohd Idris dan ‘School Improvement Specialist Coaches’ (SISC+) Unit Sains Sosial iaitu Cikgu Suriani Alland Rice Oxley yang telah berjaya menguruskan penubuhan kumpulan kugiran pendidikan ini. Beliau juga mengucapkan tahniah dan merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan pemikir pendidikan muzik, kumpulan fasilitator muzik dan semua ahli kumpulan kugiran pendidikan terutamanya kepada para penyanyi dan pemain muzik yang terlibat dengan acara persembahan dimajlis pelancaran ini. Semoga inisiatif untuk memartabatkan mata pelajaran pendidikan muzik di WP.Labuan ini akan memberi impak kepada perkembangan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial murid-murid, guru-guru dan seluruh warga pendidikan di WP.Labuan.

Berita Oleh : Sektor Pembelajaran




Program Cambahan Ilmu Mata Pelajaran Pendidikan Moral & Pendidikan Seni Visual, Sekolah Menengah W.P Labuan

Labuan, 01 Disember – Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan WP.Labuan di bawah Unit Sains Sosial, telah menganjurkan Program Cambahan Ilmu bagi mata pelajaran Pendidikan Moral & Pendidikan Seni Visual, Sekolah Menengah Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Labuan. Program Cambahan Ilmu ini merupakan program perkongsian amalan terbaik yang telah dilaksanakan oleh Panitia Pendidikan Moral dan Pendidikan Seni Visual dari 4 buah sekolah menengah yang terlibat dengan Program Transformasi Daerah (DTP) iaitu SMK Labuan, SMK Pantai, SMK Mutiara dan SMK Lajau di Desa Tunas Hijau WP Labuan.

Kedua-dua panitia ini merupakan panitia mata pelajaran yang dibimbing oleh Suriani Alland Rice Oxley (School Improvement Specialist Coaches @SISC+). Program bimbingan panitia mata pelajaran ini dilaksanakan secara individu dan berkumpulan dengan menggunakan Modul Pemimpin Pertengahan yang berkonsepkan teknik mereflek amalan kendiri yang dihasilkan oleh SISC+ sendiri.

Program perkongsian ini dilaksanakan secara ‘station gallery walk’ iaitu di setiap stesen, pengunjung berpeluang untuk melihat sendiri 6 perkongsian amalan terbaik yang telah dilaksanakan oleh Pendidikan Moral & Pendidikan Seni Visual di 4 buah sekolah menengah ini.

6 perkongsian amalan terbaik yang dipamerkan di dalam program ini ialah Modul Teknik KK.NI.WA.IS dari Panitia Pendidikan Moral SMK Mutiara yang dihasilkan oleh Cikgu Isah Binti Impih (Ketua Panitia Pendidikan Moral), Cikgu Gavin Mak Tien Kee dan Cikgu Anyolevia Benidick. Modul Teknik KK.NI.WA.IS. ialah modul yang membantu murid-murid untuk menjawab soalan esei dengan cara memahami 6 kata kunci soalan iaitu berikan, cerakinkan, huraikan, jelaskan, terangkan dan bincangkan.

Modul Teknik KK.NI.WA.IS, SMK Mutiara

Seterusnya adalah buku Glosari Moral Tingkatan 5 dari Panitia Pendidikan Moral SMK Labuan yang dihasilkan oleh Cikgu Azizan Bin Razali (Ketua Panitia Pendidikan Moral) dan Cikgu Salfinaz Afira Binti Mohd Ismail. Glosari Moral Tingkatan 5 ini mengandungi 68 patah perkataan dalam Bahasa Melayu yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Mandarin termasuk penerangan mengenai perkataan berkenaan.

Buku Glosari Moral Tingkatan 5, SMK Labuan

Perkongsian yang ketiga ialah projek Komik Nilai yang menggabungkan antara Panitia Pendidikan Moral dan Panitia Pendidikan Seni Visual SMK Pantai yang dilaksanakan oleh Cikgu IrmaSuzila Binti Ngopil (Ketua Bidang), Cikgu Siti Madihah Binti Mohd Kamal (Ketua Panitia Pendidikan Moral), Cikgu Kasnan Josef (KP PSV), Cikgu Maureen Imang Jau dan Cikgu Didie Pilin. Murid-murid Tingkatan 1 – 3 dibimbing untuk menghasilkan komik yang mempunyai elemen ‘nilai moral’.

Selain itu, terdapat juga perkongsian program ‘Exit Card’ oleh Panitia Pendidikan Seni Visual dari SMK Labuan yang dihasilkan oleh Cikgu Afandi Yahya (Ketua Panitia Pendidikan Seni Visual). Beliau mengaplikasikan penggunaan ‘Exit Card’ di dalam PdP ketika sesi penutup. Murid-murid akan menulis perkara yang mereka pelajari semasa PdP dan pada hujung bulan, murid-murid ini akan menganalisis segala kemahiran yang telah mereka pelajari.

Perkongsian kelima adalah dari Panitia Pendidikan Seni Visual, SMK Labuan yang dilaksanakan oleh Cikgu Evy Lovelin Binti Kimlin. Beliau melaksanakan pendekatan PdP PSV di luar bilik darjah yang melibatkan 3 proses (pemerkasaan kefahaman, pengaplikasian kefahaman & penerangan berdasarkan kefahaman) bagi membantu murid-murid untuk mendapatkan TP6 bagi teori seni seperti garisan, rupa, bentuk, jalinan, warna dan ruang yang terdapat dalam satu karya.

Program ‘Exit Card’, SMK Labuan
PdP PSV di luar bilik darjah, SMK Labuan

Perkongsian yang terakhir adalah dari Panitia Pendidikan Moral SMK Lajau yang bertajuk Aktiviti 18 Nilai Universal Moral yang dilaksanakan oleh Cikgu Rachell Maycy Morris Mojolou (Ketua Panitia Pendidikan Moral), Cikgu Iz’aannur Syifa binti ismail dan Cikgu Angelin Lee Chai Siah. Aktiviti 18 Nilai Moral merupakan satu program berupa pertandingan seperti ‘word search’, soalan objektif dan soalan subjektif khusus untuk 29 orang murid yang mengambil mata pelajaran pendidikan moral di SMK Lajau.

Aktiviti 18 Nilai Universal Moral, SMK Lajau

Program Cambahan Ilmu ini telah dikunjungi oleh Encik Yusup bin Mohamad, Pengarah Jabatan Pendidikan WP.Labuan. Turut hadir adalah Encik Yahya bin Ahmad Puteh (Timbalan Sektor Pembelajaran), Encik Ismail bin Abdullah (Pengerusi Majlis Pengetua Sekolah Malaysia-Labuan), Puan Murni binti Jaafar (Ketua Penolong Pengarah Unit Sains Sosial), Puan Suriani Alland Rice Oxley (SISC+ Unit Sains Sosial), para pengetua dan guru-guru Pendidikan Moral dan Pendidikan Seni Visual di WP Labuan.

Berita Oleh : Sektor Pembelajaran




Sesi Libat Urus PBD dan Sekolahku Sejahtera Dapat Sambutan Daripada Ibu Bapa

Labuan, 29 November – SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah mengadakan sesi libat urus Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Sekolahku Sejahtera bersama ibu bapa dan penjaga pada 26 November 2022.

Objektif utama program ini adalah untuk memberi penerangan dan pendedahan kepada ibu bapa berhubung dengan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan menjelaskan tentang konsep Sekolahku Sejahtera.

Turut hadir bersama ialah Yang Dipetua PIBG SMKTPB, En. Haider Husin bin Md Rashid, Penolong Kanan Pentadbiran, Pn. Chai Yee San, Penolong Kanan Kokurikulum, En. Yee Choon Hian, guru-guru kanan bidang dan juga guru-guru.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Nik Muhammad Fazli bin Nik Abdul Rahman.

Pengetua SMKTPB, Pn. Norazita Md Nor @ Shamsuri dalam ucapan alu-aluan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ibu bapa yang sudi meluangkan masa ke program ini. Sememangnya sokongan ibu bapa amat diperlukan bagi memastikan kemenjadian anak-anak SMKTPB.

Pn. Norazita menyampaikan taklimat PBD dan Sekolahku Sejahtera kepada ibu bapa yang hadir.

Program diteruskan dengan taklimat PBD yang disampaikan oleh Pn. Norazita kepada ibu bapa yang hadir.

PBD merupakan proses pentaksiran yang berterusan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan murid dan keberkesanan kaedah pedagogi guru dalam mencungkil penguasaan murid.

Kaedah pentaksiran PBD melibatkan pentaksiran secara lisan, secara bertulis dan pentaksiran secara pemerhatian. Manakala pelaporan PBD pula akan dibuat dua kali setahun iaitu pada pertengahan sesi akademik dan pada akhir sesi akademik.

Melalui PBD, ibu bapa akan dapat mengetahui potensi, kekuatan dan kelemahan anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga dapat mengetahui perkembangan anak secara menyeluruh serta dapat mengenal pasti pencapaian anak-anak dari semasa ke semasa.

Ibu bapa juga diharapkan dapat membantu anak-anak dalam pembelajaran berdasarkan maklumat pentaksiran, selain dapat membantu anak-anak mencapai tahap penguasaan mengikut keupayaan.

Berdasarkan kepada laporan PBD pada pertengahan sesi persekolahan, masih ramai murid yang belum mencapai tahap penguasaan (TP4, TP5 dan TP6) dalam semua mata pelajaran. Diharapkan agar pada akhir sesi persekolahan nanti pencapaian tahap penguasaan murid-murid akan lebih meningkat.

Dalam majlis ini juga Pn. Norazita turut menjelaskan kepada ibu bapa tentang konsep “Sekolahku Sejahtera”.

Sekolahku Sejahtera merujuk kepada suasana sekolah yang selamat, aman, selesa, menggembirakan, membina dan inklusif bagi mencapai kesejahteraan masyarakat.

Terdapat 14 elemen yang ditekankan melalui Sekolahku Sejahtera. S = Selamat, Seronok dan Sihat, E = Etika dan Empati, J = Jati Diri, A = Adab Sopan, H = Harmoni, T = Tekun, Teliti dan Terampil, E = Eksplorasi, R = Rasional, dan A = Artikulasi.

Pada akhir ucapannya, Pn. Norazita menyatakan hasrat sekolah kepada ibu bapa amatlah besar agar dapat bersama-sama mencipta kecemerlangan anak-anak dari segi akademik khususnya, selain pencapaian kokurikulum dan sahsiah diri.

Dalam sesi libat urus ini, Kaunselor Sekolah, Cik Anna Karmilla binti Arbani turut menyampaikan maklumat berkaitan dengan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Pentaksiran Psikometrik (PPSi) juga merupakan salah satu cabang kepada PBS. PPsi ialah satu kaedah yang digunakan secara sistematik untuk mengumpul maklumat yang menggambarkan tret psikologi.

Tret psikologi yang diukur merangkumi aptitud dan personaliti murid. Hasil dapatan PPSi dapat digunakan untuk membantu meningkatkan pembelajaran murid.

Kaunselor Sekolah, Cik Anna Karmilla menyampaikan taklimat tentang Pentaksiran Psikometrik.

Sebelum berakhirnya program, Yang Dipertua PIBG SMKTPB, En. Haider Husin bin Md Rashid telah memaklumkan bahawa Kelab Anak Muda SMKTPB akan ditubuhkan di bawah Biro Sukan dan Rekreasi PIBG SMKTPB.

Objektif utama penubuhan kelab ini ialah untuk menggalakkan penyertaan murid dalam aktiviti kemasyarakatan dan komuniti.

Beliau berharap agar murid-murid Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 dapat menyertai kelab yang ditubuhkan ini.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

YDP PIBG, En. Haider memaklumkan tentang penubuhan Kelab Anak Muda SMKTPB
Sebahagian daripada ibu bapa yang hadir



Program Mini Kolokium Inovasi / Kajian Tindakan SMKTPB 2022

Labuan, 3 Nov – SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menganjurkan Program Mini Kolokium Inovasi/Kajian Tindakan yang berlangsung pada 16 November 2022 (Rabu) dan bertempat di Bilik Mesyuarat SMKTPB.

Program Mini Kolokium Inovasi/Kajian Tindakan pertama kalinya diadakan di SMKPTB yang melibatkan warga guru SMKTPB  yang diadakan secara bersemuka dengan seramai 28 orang guru yang terlibat pada hari tersebut.

Turut hadir dalam program ini ialah Pengetua SMKTPB, Puan Norazita Binti Mohd Nor@Shamsuri dan Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Chai Yee San. Pegawai SISC+ Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Puan Juraidah Aman dijemput hadir semasa program tersebut dan dilantik sebagai Pegawai Penilai bagi setiap pembentangan inovasi dan kajian tindakan guru-guru.

Pengetua SMKTPB, Puan Norazita Binti Mohd Nor@Shamsuri mengalu-alukan kedatangan Pegawai SISC+ agar dapat memberikan motivasi dan mendorong semangat guru-guru SMKTPB dalam menghasilkan inovasi dan kajian tindakan yang terbaik serta dapat dijadikan contoh terbaik dalam kalangan guru-guru. Pada masa yang sama, inovasi dan kajian tindakan yang dihasilkan oleh guru-guru dapat meningkatkan profesionalisme guru-guru.

Puan Norazita Binti Mohd Nor@Shamsuri (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Pegawai SISC+ JPWPL, Puan Juraidah Aman (tengah).

Pada akhir program, lima orang guru telah dipilih oleh Pegawai SISC+ sebagai pembentang terbaik dalam menghasilkan inovasi dan kajian tindakan mengikut subjek guru berkenaan. Guru yang terpilih ialah Guru Pendidikan Seni Visual, Encik Maibistamizlan Bin Mohd Salleh, Guru Program Vokasional Menengah Atas, Puan Faridatul Khairah Binti Mohamed Termizi, Guru Kimia, Puan Nadia Adlyn Binti Yussof, Guru Kaunselor, Puan Viviana Ayu Saidin dan Guru Pendidikan Muzik, Cik Marcella Binti Maikel. Guru-guru tersebut menerima sijil penghargaan dan hadiah cenderahati oleh pihak sekolah.

Pegawai SISC+, Puan Juraidah Aman berkata inovasi yang dihasilkan oleh guru perlu lebih berfokus. Beliau berkata, inovasi yang dihasilkan bukan semata-mata untuk bertanding ke peringkat tertinggi kerana guru-guru berusaha menghasilkan sesuatu kaedah dan produk pengajaran untuk membantu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) murid di dalam kelas. Sekiranya inovasi yang dihasilkan terpilih sebagai inovasi terbaik, itu adalah sebagai bonus atas kekreatifan guru-guru tersebut.

Dalam ucapannya juga, beliau mengucapkan tahniah kepada guru-guru SMKTPB kerana telah berjaya menghasilkan pelbagai produk inovasi bagi membantu memudahkan proses PdP murid di sekolah. Selain itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah kerana menyediakan gelanggang kepada guru-guru untuk perkongsian ilmu dan membentangkan inovasi.

Pada akhir ucapannya, beliau berharap agar guru-guru tidak berhenti menghasilkan pelbagai inovasi. Beliau berkata, rahsia inovasi adalah menghasilkan produk yang maujud agar produk tersebut dapat digunakan secara berterusan. Beliau turut berharap agar guru-guru sentiasa komited dan bermotivasi dalam meningkatkan profesionalisme guru-guru di sekolah agar lebih cemerlang pada masa hadapan.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Puan Norazita Binti Mohd Nor@Shamsuri (kiri) menyampaikan sijil penghargaan dan hadiah cenderahati kepada Guru Kaunselor, Puan Viviana Ayu kerana terpilih sebagai pembentang inovasi terbaik yang dinamakan “Jump Smash”
Puan Norazita Binti Mohd Nor@Shamsuri (kiri) menyampaikan sijil penghargaan dan hadiah cenderahati kepada Guru Pendidikan Seni Visual, Encik Maibistamizlan Bin Mohd Salleh kerana terpilih sebagai pembentang inovasi terbaik yang dinamakan “Pembaris Figura”



Pelajar SMK Labuan Juara Kebangsaan

Labuan, 4 Nov – Adik Nur Athikah binti Hamdan telah melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai Johan dalam pertandingan Penulisan Kreatif MBMMBI kategori menengah atas peringkat kebangsaan baru-baru ini.

Pertandingan koakademik anjuran Kementerian Pendidikan itu telah menarik penyertaan dari seluruh negara dalam pelbagai kategori.

Majlis pengumuman keputusan telah dibuat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Adik Nur Athikah Hamdan merupakan pelajar Tingkatan 6 Atas di SMK Labuan.

“Kemenangan ini adalah sesuatu di luar jangkaan kerana hasrat awal hanyalah untuk penyertaan sahaja. Syukur kepada Allah” katanya ringkas yang telah dibimbing oleh Cikgu Nasthashia Binti Masiri@Masrih.

Adik Nur Athikah Hamdan

Beliau telah membawa pulang hadiah kemenangan berupa sebuah trofi dan sijil kemenangan.

Pengetua sekolah, Encik Mohd Nizam Yasim melahirkan rasa bangga atas kemenangan yang diraih.

“Ini dapat membuktikan bahawa slogan Labuan Superb bukan hanya sebuah slogan retorik tetapi merupakan menifestasi dan keazaman murid-murid Labuan apabila bertanding di peringkat kebangsaan.” tambah beliau.

Selain itu, kontinjen Labuan juga berjaya meraih tempat terbaik dalam kategori masing-masing.

Antaranya ialah adik Akif bin Kitli (SM St. Anthony), adik Moses Yii Xi Hong (SMK Labuan), adik Faiza Amalina binti Amdan (SM Sains) dan adik Janice Ann Julius (SM St. Anne)

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Dr. Hajjah Zalina binti Mohd Tahir, Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD, Jabatan Pendidikan W. P. Kuala Lumpur.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Encik Mohd Nasrun bin Ramlee, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid, Sektor Pembangunan Murid dan Puan Roziah binti Abdul Rahman, guru pembimbing dari SM St. Anthony.

Berita Oleh : SMK Labuan




Pengetua-pengetua Labuan Hadiri Persidangan Kebangsaan

Labuan, 3 Nov – Seramai 10 Pengetua sekolah di Labuan telah menghadiri Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia kali-60 yang diadakan di salah sebuah hotel di Langkawi dari 31 Oktober hingga 3 November 2022.

Persidangan tahunan anjuran Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Kebangsaan dengan kerjasama MPSM Kedah kali ini telah berjaya menghimpunkan kira-kira seramai 680 peserta dari seluruh negara.

Menurut YDP MPSM Labuan, Encik Ismail Abdullah, persidangan ini bertujuan untuk menyalurkan informasi terkini berkaitan dasar-dasar pendidikan negara selain berkongsi amalan-amalan terbaik dari seluruh negara.

“Para peserta juga berpeluang untuk menjalinkan kerjasama antara sekolah-sekolah seluruh negara bagi meningkatkan kualiti sekolah dan kemenjadian murid”. katanya lagi yang juga merupakan Pengetua SMK Pantai.

Perasmian persidangan yang bertemakan “Kepimpinan Pendidikan Mendepani Normal Baharu” telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato’ Haji Pkharuddin bin Ghazali.

Dalam ucapannya, beliau menyeru agar pemimpin-pemimpin sekolah sentiasa meningkatkan kemahiran dalam menangani dunia pendidikan yang dinamik.

“Kita perlu mengubah paradigma ‘Command and Control’ kepada paradigma ‘Trust and Inspire’ dengan menyentuh hati guru-guru dan murid-murid”

Beliau turut menekankan kepentingan semua guru kembali kepada tunjang pembelajaran iaitu membina adab dan nilai yang baik dalam kalangan murid.

“Apabila anak-anak kita baik barulah mudah bagi kita mendidik mereka menjadi cerdik dengan penerapan elemen-elemen intelektual” tambahnya lagi.

Pengetua SMK Labuan, Encik Mohd Nizam bin Yasim menyifatkan penyertaan kali pertamanya di dalam persidangan ini adalah sangat berguna untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran sebagai seorang pemimpin di sekolah.

“Saya berpeluang mendengar secara langsung perkongsian hala tuju dan prinsip kerja oleh KPPM, berkongsi pandangan, idea dan pengalaman bersama Pengetua-pengetua lain dalam membangunkan potensi sekolah ke arah yang lebih cemerlang” tambahnya lagi.

Turut serta dalam persidangan tersebut ialah NYDP MPSM Labuan, Puan Hajjah Siti Muslihah binti Leeudin dan Setiausaha MPSM Labuan, Puan Mary Anita Abah.

Para Pengetua Sekolah W.P Labuan



Program Perkampungan Ilmu Sifar Gagal Bahasa Melayu Sejarah SPM 2022

Labuan, 3 Nov – SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) bersama-sama dengan SMA MAIWP telah menganjurkan Program Perkampungan Ilmu Sifar Gagal Bahasa Melayu dan Sejarah SPM 2022 yang berlangsung pada 27-28 Oktober 2022 (Khamis-Jumaat) dan bertempat di Kompleks Darul Kifayah.

Program Perkampungan Ilmu dan Sifar Gagal (Bahasa Melayu dan Sejarah SPM 2022) pertama kalinya diadakan yang melibatkan semua sekolah-sekolah menengah di Labuan yang diadakan secara bersemuka dengan seramai 234 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang terpilih.

Objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada calon SPM 2022 teknik ilmu dan Sifar gagal dalam kedua-dua subjek iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah yang merupakan mata pelajaran wajib lulus sebelum menduduki Peperiksaan SPM yang akan bermula pada pertengahan Februari 2023. Hari pertama 27 Oktober 2022 diadakan untuk bengkel mata pelajaran Bahasa Melayu dan hari kedua pula untuk mata pelajaran Sejarah.

Penceramah jemputan untuk Bengkel Teknik Menjawab Bahasa Melayu SPM adalah Guru Cemerlang Bahasan Melayu Maktab Sultan Ismail Kelantan, Mohamad Shaharudden Mohamad Kalam manakala penceramah jemputan untuk Bengkel Teknik Menjawab Sejarah adalah Guru Cemeralng Sejarah SMK Elopura 2 Sandakan Sabah, Shamsudin Frans @ Junaiddi.

Turut hadir dalam program ini ialah pengetua SMA MAIWP, Encik Mohd Hasnizan Hasin, Penolong kanan SMK Taman Perumahan Bedaun selaku wakil pengetua, Puan Chai Yee San, Guru Kanan Bidang  serta guru-guru mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah setiap sekolah yang terdapat di Labuan. Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMKTPB, Encik Haider Hussein Mohammad Rashid turut hadir memberi sokongan pelaksanaan program ini.

Pengetua SMA MAIWP, Encik Mohd Hasnizan Hasin dalam ucapannya mengalu-alukan kedatangan penceramah dan kata-kata motivasi kepada calon-calon SPM yang terlibat dalam bengkel ini.

Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yahya Ahmad Puteh telah mewakili pengarah Pendidikan merasmikan program Perkampungan Ilmu Sifar Gagal ini.

Dalam ucapannya, beliau memberikan kata-kata motivasi kepada pelajar agar terus berusaha dan bersemangat untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan Percubaan SPM yang akan berlangsung dalam bulan November ini dan juga sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM 2022.

Beliau berharap agar semua calon dapat menggunakan masa yang masih ada dengan sebaik mungkin demi mencapai target masing-masing dalam SPM menjadi pelajar cemerlang.

Encik Yahya juga turut megharapkan agar murid-murid dapat hadir penuh ke sekolah semasa menjawab peperiksaan percubaan agar dapat mencapai target mereka dan tidak ketinggalan dalam mana-mana mata pelajaran.

Dalam ucapannya juga, beliau menyatakan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri amat yakin dengan pihak sekolah yang sememangnya mempunyai perancangan untuk memastikan pencapaian semua calon SPM 2022 layak memperoleh sijil SPM kerana sejarah sebelum ini telah membuktikan bahawa SMKTPB pernah mencapainya.

Pada akhir ucapannya, beliau berharap agar semua calon SPM 2022 akan memperoleh kejayaan yang cemerlang dan seterusnya dapat membanggakan ibu bapa serta sekolah dengan pencapaian masing-masing. Tamat.

Berita oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Encik Yahya Ahmad Puteh (tiga kanan) bersama Penolong Kanan Pentadbiran, SMKTPB Puan Chai Yee San (empat kanan), Pengetua SMA MAIWP,  Encik Mohd Hasnizan(satu kanan), Penyelaras Program, Puan Erney Saharman (empat kiri) dan barisan guru-guru Taman Perumahan serta penceramah Bahasa Melayu, Encik Mohammad Shaharudden Muhammad Kalam (2 kanan).
Pengetua SMA MAIWP, Encik Mohd Hasnizan Hasin (dua kiri), Penceramah Sejarah, Encik Shamsuddin Frans (tiga kiri) , Penolong Kanan Pentadbiran SMKTPB, Puan Chai Yee San (empat kiri), Penyelaras Program, Puan Erney Saharman (tiga kanan), Ketua Panita Sejarh Puan Nurul Faezah (empat kanan) dan barisan guru-guru yang menjayakan perkampungan sejarah serta calon-calon SPM 2022



Guru-guru dan AKP SMK Labuan ikuti Bengkel myPortfolio

Labuan, 31 Okt : Seramai 135 guru dan AKP SMK Labuan telah hadir mengikuti bengkel penyediaan dan pengemaskinian Myportfolio yang telah diadakan pada Sabtu lalu di Dewan Mutiara sekolah berkenaan.

Bengkel yang dibuat secara ‘hands on’ telah dikendalikan oleh Puan Fauziah Ahmad, Puan Ajiejah Lajim dan Puan Norazimah binti Yaacob daripada Jabatan Pendidikan W.P Labuan.

Menurut penyelaras bengkel, Puan Jamaliah Razali berkata bengkel ini bertujuan untuk membuka peluang kepada semua guru dan AKP melengkapkan myPortfolio masing-masing terutamanya dalam membuat pengemaskinian mengikut format terkini.

Salah seorang guru, Cikgu Syafiq Rohim berkata bengkel ini sangat bermanfaat kepada semua guru dalam memahami keperluan perkhidmatan secara lebih terperinci.

“Sebagai guru baharu, saya berasa bertuah kerana telah dibimbing secara bersemuka dan ‘hands on’ oleh pegawai-pegawai JPN” tambah beliau lagi.

Turut hadir dalam bengkel tersebut ialah Penolong-penolong Kanan sekolah iaitu Encik Kitli Beka, Encik Cheah Teong Aik dan Encik Saminan Sabtu.

Berita Oleh : SMK Labuan




Peranti Siswa : 117 Pelajar Tingkatan 6 SMK Labuan Terima Peranti Bantu Pembelajaran

Labuan, 30 Okt : Seramai 117 pelajar Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan bertuah menerima sebuah peranti untuk pembelajaran pada Jumaat lalu.

Insentif kerajaan di bawah program Peranti Siswa ini berjaya menyediakan peluang pembelajaran secara digital dengan lebih berkesan.

Penolong Kanan Tingkatan 6, Encik Saminan Sabtu berkata pelajar-pelajar yang menerima insentif ini adalah dalam kalangan pelajar-pelajar B40 yang menuntut di Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan.

Salah seorang penerima, adik Nurul Syamisha binti Herman Tuah berasa bersyukur atas pemberian khas kerajaan kepada pelajar-pelajar Tingkatan Enam.

“Semestinya peranti ini membolehkan saya dan rakan-rakan belajar dengan lebih berkesan terutamanya dalam menghadapi peperiksaan tidak lama lagi”. Nurul Syamisha

Peranti yang disumbangkan oleh kerajaan adalah berbentuk sebuah tablet berjenama yang dibekalkan oleh sebuah syarikat yang dilantik.

Turut hadir dalam meninjau sesi pengagihan peranti ialah Encik Sahbudin Ag. Muhammad dan Encik Christopher John Sintum, Penolong Pengarah Unit Menengah, Sektor Pengurusan Sekolah.

Berita Oleh : SMK Labuan

Adik Nurul Syamisha dari Kelas 6AA menerima peranti dari Encik Sahbudin
Encik Sahbudin meyampaikan peranti siswa kepada pelajar tingkatan 6AB, adik Thien Hui Shen