SMK PANTAI KUASAI ANUGERAH PROGRAM PEMERKASAAN DIGITAL MURID (PPDM) PERINGKAT WP LABUAN 2024

Labuan – SMK Pantai berjaya mempamerkan kehebatan dalam bidang digital murid apabila memenangi 3 Johan,  3 Naib Johan Dan 2 Tempat Ketiga Dalam Majlis Anugerah Program Pemerkasaan Pendidikan Digital Murid Peringkat WP Labuan 2024 yang berlangsung pada 7 November 2024 lalu, bertempat di Bilik Seminar Raflesia, Kompleks Ujana Kewangan.

Majlis yang dianjurkan oleh Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan WP Labuan telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Abidin bin Haji Marjan, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Pengarah Pendidikan, Tuan Haji Abidin bin Marjan menyampaikan sijil kepada Cikgu Baexi dan para pemenang dari SMK Pantai bagi kategori Media Kreatif, Johan We Think Digital Kategori Sekolah Menengah. Peserta Eva Amanda binti Md Azman, Azalea Arissa binti Ismail, Nurul Halimah binti Zulkifli dan Hana Marissa binti Abdul Wahab. Turut sama Encik Mohamad bin Pindut, KPP SSTP.

Anugerah-anugerah yang dimenangi oleh SMK Pantai ialah :

  1. Johan Pengaturcaraan : Minecraft Education Challenge (Menengah Atas). Peserta Abigail Ellandra Chua.
  2. Johan Media Kreatif : Digital Story Telling Animation Kategori Stop Motion & 3D Sekolah Menengah. Peserta Puteri Balqis Deealiss binti Noorsaidi, Nurul Zulaikha binti Dzulkarnaine dan Eva Amanda binti Md Azman.
  3. Johan Media Kreatif : We Think Digital Kategori Sekolah Menengah. Peserta Eva Amanda binti Md Azman, Azalea Arissa binti Ismail, Nurul Halimah binti Zulkifli dan Hana Marissa binti Abdul Wahab.
  4. Naib Johan Pengaturcaraan : Minecraft Education Challenge (Menengah Rendah). Peserta Ezekiel Aidan Chua.
  5. Naib Johan Pengaturcaraan : Drone Education Challenge IR 4.0 (Menengah Rendah). Peserta Nurul Shamiera binti Abang Jaffaruddin dan Nursyefaa Syahira binti Fauzi.
  6. Naib Johan Pengaturcaraan : Drone Education Challenge IR 4.0 (Menengah Atas). Peserta Fadhlin Hasya Dania binti Masri dan Alya Zawana binti Adih
  7. Tempat Ketiga Pengaturcaraan : Drone Education Challenge IR 4.0 (Menengah Rendah), Peserta Elisha Ramadhani binti Mohd Shafiq dan Nur Qaireen Adelia binti Haidir.
  8. Tempat Ketiga Pengaturcaraan : Drone Education Challenge IR 4.0 (Menengah Atas), Peserta Muhammad Rayyan Daniyal bin Razif Haniff dan Izzah Syazwina Qasdina binti Rahim.

Pengetua SMK Pantai Encik Ismail Abdullah berkata kejayaan ini selari dengan hasrat sekolah untuk mencapai matlamat yang ditetapkan dalam Teras Pertama Dasar Pendidikan Digital Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu menghasilkan Murid Fasih Digital.

Pengetua mengucapkan terima kasih kepada guru pembimbing Cikgu Baexi Jakim atas usaha kolaboratif dengan guru-guru lain dalam membimbing peserta-peserta SMK Pantai. Juga kepada PIBG SMK Pantai yang sentiasa menyokong keperluan kewangan untuk menyertai pertandingan-pertandingan tersebut.

Pengetua juga menghargai komitmen dan sokongan ibu bapa kepada anak-anak mereka dan ini juga merupakan antara faktor utama kejayaan murid-murid yang menyertai pertandingan ini.

Berita Oleh : SMK Pantai

 




Bengkel Penulisan Berita dan Media Tingkat Kemahiran Penulis Berpotensi

Labuan, 15 Oktober 2024 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah menganjurkan bengkel penulisan berita yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran guru dan pegawai dalam menghasilkan penulisan yang informatif dan menarik. Bengkel ini diadakan di Bilik Benua, SSTP, JPWP Labuan dari jam 1.00 petang hingga 5.00 petang.

Bengkel ini disasarkan kepada guru perpustakaan media sekolah dan pegawai dari setiap sektor di Jabatan Pendidikan Labuan. Peserta diberi pendedahan tentang teknik-teknik penulisan berita yang berkesan, termasuk cara menstruktur berita, penggunaan bahasa yang tepat, serta kaedah menarik minat pembaca.

Peserta bengkel diberikan latihan praktikal dan teori oleh penceramah yang berpengalaman dalam bidang komunikasi dan media iaitu Pn Noor Affatizah Sabtu Ketua Bahagian Rancangan Jabatan Penyiaran Negeri WP Labuan. Mereka belajar mengenai cara menyusun berita, penggunaan bahasa yang sesuai, dan pentingnya elemen-elemen seperti latar belakang, fakta, dan pendapat dalam penulisan berita.

Dalam sesi bengkel ini, peserta turut berpeluang untuk berkongsi pengalaman dan bertukar idea mengenai penulisan berita yang berkaitan dengan aktiviti pendidikan di sekolah-sekolah. Penceramah yang dijemput terdiri daripada pakar dalam bidang komunikasi dan media yang berpengalaman.

Ketua Penolong Pengarah  Sektor Sumber Teknologi Peendidikan , Jabatan Pendidikan Labuan menyatakan, En Mohamad Pindut berkata  “ Saya berharap bengkel ini dapat memberi impak positif kepada semua peserta dalam meningkatkan kualiti penulisan mereka. Dengan kemahiran yang dipelajari, mereka dapat menyampaikan berita mengenai aktiviti dan kejayaan pendidikan dengan lebih berkesan.”

Cikgu Sapri Idris GPM SMK Rancha-Rancha  peserta bengkel berpendapat bengkel ini bukan sahaja membantu meningkatkan kemahiran penulisan, tetapi juga bertujuan memperkukuh jaringan kerjasama antara guru dan pegawai di JPWP Labuan.

Pn Noor Affatizah Sabtu penceramah jemputan Bengkel Bengkel Penulisan Berita

Penyampaian cenderamata oleh Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Peendidikan En Mohamad Pindut kepada penceramah jemputan.




Karnival Xploredel 2024: SK Layang-Layangan Pupuk Murid Mahir Pembelajaran Digital Abad Ke-21

Labuan, 26 Oktober 2024 – Karnival Xploredel Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2024 telah berlangsung dengan tema Memperkasa Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21) melalui DELIMa. Karnival ini memberi peluang kepada murid-murid sekolah rendah khususnya untuk mempamerkan kemahiran teknologi dan aplikasi terkini, selari dengan matlamat PAK-21.

Tiga orang murid dari Sekolah Kebangsaan Layang-layangan turut mengambil bahagian dalam pameran tersebut, iaitu Nur Dania Rizqin Abdullah (6 Sarjana), Fairy Lily Gabriel (5 Bestari) dan Nur Afiqah Solehah Muhammad Khairul (5 Sarjana). Di bawah bimbingan sepenuhnya Cikgu Victoria Mazuin Malarn, murid-murid ini telah berjaya menyampaikan pembentangan berkaitan amalan baik pembudayaan DELIMa dengan memanfaatkan tiga aplikasi digital termasuklah Google Interland, Arkib Negara dan Autodraw.

Penglibatan mereka ini telah menjadi satu penanda aras kepada murid SK Layang-layangan yang lain untuk mendorong minat mereka serta memupuk kreativiti dan kemahiran dalam menggunakan platform digital bagi memperkasakan lagi teknologi pendidikan dalam proses pembelajaran.

Suasana ketika pembentangan sedang dijalankan di hadapan para juri dan murid-murid dari sekolah lain.

Suasana ketika pembentangan sedang dijalankan di hadapan para juri dan murid-murid dari sekolah lain.

Penyampaian semula sijil penghargaan dan pingat daripada pihak sekolah.

Penyampaian sijil penghargaan dan pingat daripada pihak Jabatan Pendidikan W.P. Labuan kepada SK Layang-layangan.

Berita oleh: SK Layang-Layangan




Majlis Bicara Wahyu Kementerian Pendidikan Malaysia Siri ke-9/2024

Labuan- Majlis Bicara Wahyu (MBW) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) siri ke-9 tahun 2024 telah diadakan dengan jayanya di Dewan Kompleks Darul Kifayah, Labuan.

Majlis anjuran Bahagian Pendidikan Islam (BPI) KPM ini diadakan setiap bulan secara bergilir-gilir di semua negeri.

Majlis ini diadakan bagi mengukuh dan memantapkan akidah, penghayatan Islam, sahsiah dan nilai murni dalam kalangan warga KPM di samping membuka minda warga pendidikan melalui sesi perbincangan agama yang sihat dalam usaha mempertingkatkan mutu produktiviti kerja cemerlang mereka.

Antara pengisian sepanjang MBW ini diadakan ialah bacaan surah Al Kahfi, surah yaasin dan doa yang dipimpin oleh Ustaz Azhan bin Salleh dan Ustaz Muhammad Fakhrurrazi bin Mohd Najakhi.

Slot bicara hadis 40 Imam Nawawi telah disampaikan oleh ustas Syamun bin Yahaya daripada Kolej Matrikulasi Labuan.

Forum bertajuk Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah telah disampaikan oleh Sahibul Fadhilah Dr. Nik Azlan bin Nik Man (Timbalan Mufti), Ustaz Muhammad Shafie bin Abdul Ghani, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) manakala ustaz Abdul Aziz bin Abdullah selaku Moderator.

Hadir sama dalam majlis ini Tuan Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Malaysia Tn Hj Abidin bin Marjan, Pengurus Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan Encik Mohamad Fazdli bin Md Saad, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pembangunan Adab dan Nilai Encik Zamri bin Basir, pegawai-pegawai daripada JPWPL, JAWI, MAIWPL, Pejabat Mufti, Pusat Pungutan Zakat, Kolej Matrikulasi, pentadbir sekolah, guru-guru dan anggota kumpulan pelaksana.

Majlis turut diselitkan dengan aktiviti kuiz kahoot yang menyediakan 20 hadiah. 




SMK MUTIARA ANJUR KOLOKIUM INOVASI DAN KAJIAN TINDAKAN

LABUAN: Sekolah Sukan Negeri (SSN) SMK Mutiara telah menganjurkan Kolokium Inovasi dan Kajian Tindakan Peringkat Negeri 2024 bertempat di Dewan Semarak dan Bilik Mesyuarat SSN SMK Mutiara pada 12 Oktober 2024. Kolokium tersebut telah melibatkan 51 orang guru yang terdiri daripada guru-guru yang mewakili 14 panitia mata pelajaran, Program Pendidikan Khas dan Integrasi (PPKI), Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) serta 4 orang guru jemputan iaitu Michele Edmund dan Ritah Julai  dari SJKC Chung Hwa, Nuridayu  Shapi dari SJKC Chi Wen dan Rajeswari A/P Perumal dari SK Lubok Temiang.

 

Penyelaras program Junaidah Baharuddin berkata Kolokium Inovasi dan Kajian Tindakan ini diadakan adalah untuk membantu para guru mendalami ilmu inovasi dan kajian tindakan agar dapat meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan seterusnya melahirkan guru-guru yang kreatif dan inovatif dan sentiasa membudayakan inovasi dan kajian tindakan. Selain itu,guru-guru juga dapat berkongsi ilmu, pengalaman dan amalan terbaik menerusi penyertaan dalam kolokium ini.

 

Kolokium Inovasi dan Kajian Tindakan ini telah diadili oleh 4 orang panel hakim berwibawa iaitu Pengerusi Persatuan Penyelidikan, Inovasi dan Kreativiti Labuan (LaRIS) Dr Hyginus Lester Junior Lee, Penolong Pengarah Unit Inovasi dan Kajian Tindakan Teknologi , Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Desmond Sandum, Penerbit Rancangan Jabatan Penyiaran Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) WP Labuan  Mohd Saiful Adha Ismail dan guru SK Pekan Dua WP Labuan Nurulhuda Mohd Derus.

Seramai 13 orang guru telah menerima Anugerah Emas manakala Anugerah Perak pula diberikan kepada 20 orang guru dan 14 orang guru pula menerima Anugerah Gangsa. Anugerah Pilihan Juri bagi kolokium Inovasi dan Kajian Tindakan peringkat negeri ini telah dinobatkan kepada Mizan Adlia  Mohd Shoib dari SMK Mutiara.

Dalam majlis yang sama sijil penghargaan juga diberikan kepada Persatuan Penyelidikan, Inovasi dan Kreativiti Labuan (LaRIS) Wilayah Persekutuan Labuan kerana menjadi Rakan Strategik sempena kolokium ini.

Majlis telah dirasmikan oleh Penolong Pengarah, Unit Sains dan Matematik Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL)  Nurul Hidayah Umar yang  mewakili Pengarah Pendidikan JPWPL Abidin Marjan. Turut hadir dalam majlis tersebut Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) Rohani Tali @Md Ali mewakili pengetua SMK Mutiara Ag.Rozlan Manan.

SSN SMK Mutiara merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan kerana telah menyokong menjayakan Kolokium Inovasi dan Kajian Tindakan anjuran SSN SMK Mutiara yang  bertujuan agar guru-guru membudayakan Inovasi dan Kajian Tindakan bagi membantu guru dalam menghadapi cabaran dan masalah berhubung dengan amalan pengajaran dan pembelajaran  serta dapat meningkatkan kemahiran profesional guru.

Berita oleh : SMK Mutiara

PENGHARGAAN : Nurul Hidayah Umar (tengah) menyampaikan sijil Anugerah Pilihan Juri (Kajian Tindakan) kepada guru SMK Mutiara, Mizan Adlia Mohd Shoib (kiri) diperhatikan Rohani Tali @ Md Ali (kanan)

PENGHARGAAN : Nurul Hidayah Umar (tengah) menyampaikan sijil penghargaan Rakan Strategik Kolokium Inovasi dan Kajian Tindakan kepada Dr. Hyginus Lester Junior Lee (kiri), diperhatikan Rohani Tali @ Md Ali (kanan)

Rohani Tali @Md Ali (Tengah) menyampaikan cenderahati kepada Nurul Hidayah Umar (kanan) diperhatikan Junaidah Baharuddin (kiri)




Hari Keusahawanan dan Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun Suburkan Budaya Keusahawanan dan Kesukanan

Labuan – Hari Keusahawanan dan Kokurikulum SMK Taman Perumahan Bedaun 2024 yang berlangsung pada 29 September lalu, telah diadakan di perkarangan sekolah dengan menyediakan pelbagai aktiviti dan pengisian. Antaranya Pertandingan Bola Tampar terbuka, menyediakan gerai jualan bagi kelab sekolah dan peniaga luar, pameran dari agensi luar, rumah hantu, tayangan filem di pusat sumber sekolah,  dan lawatan kemasyarakatan.

Hari Keusahawanan dan Kokurikulum (HKK) SMK Taman Perumahan Bedaun telah menyuburkan budaya keusahawanan dan kesukanan, demikian intipati ucapan perasmian Pengetua, Puan Norazita  binti Md Nor @ Shamsuri. 

Beliau berkata, Hari Keusahawanan dan Kokurikulum menyediakan murid-murid dengan peluang menimba pengalaman dalam bidang perniagaan. Ini secara langsung juga dapat memberi impak kepada pembangunan sifat-sifat positif murid seperti rajin, jujur, bekerjasama dan komited terhadap tanggungjawab yang diberi, pihak sekolah komited dengan peranan pihak sekolah iaitu  membantu membangunkan modal insan yang kompetitif serta berpotensi untuk memperkukuhkan bidang keusahawanan negara.

Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam pertandingan bola tampar yang juga memupuk semangat kesukanan dalam kalangan murid sekolah SMK Taman Perumahan Bedaun.

AJK PIBG sekolah En. Zolfly bin Ahamd turut membuka gerai jualan makanan sempena Program Hari Keusahawaan dan Kokurikulum

Hari Keusahawanan dan Kokurikulum SMK Taman Perumahan Bedaun bertambah meriah dengan hasil gabungan kerjasama agensi lain melalui  pameran ‘Kenali Ubat Anda’ bersama Jabatan Kesihatan WP Labuan.

Sebanyak 12 pasukan telah mengikuti pertandingan bola tampar terbuka yang diadakan sempena Hari Keusahawanan dan Kokurikulum Sekolah. Johan pertandingan bola tampar terbuka lelaki telah dimenangi oleh Pasukan Chilun VC, naib johan pasukan TVT VT dan tempat ketiga pasukan Chailuk U21 VC.

Program ini telah mendapat maklum balas orang ramai yang sangat positif terhadap penganjuran Hari Keusahawanan dan Kokurikulum SMKTPB pada tahun ini dan berharap agar aktiviti-aktiviti seperti ini dapat diteruskan pada tahun-tahun berikutnya serta membaiki beberapa aspek yang boleh diperbaiki pada masa akan datang.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

 

Penjualan oleh Kelab Doktor Muda
Pertandingan bola tampar terbuka lelaki turut diadakan sempena Hari Keusahawanan dan Kokurikulum Tahun 2024



Pembelajaran Berasaskan Projek Pupuk Kemahiran Berbahasa Murid

LABUAN – Seramai 102 orang murid Tingkatan 4, SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) terlibat dengan “Showcase Bertema Kerjaya” yang diadakan pada 12 September 2024 (Khamis).

Program ini dianjurkan oleh Panitia Bahasa Melayu, bertempat di Dataran Bedaun SMKTPB.

Showcase ini terhasil daripada Manual Pembelajaran Bahasa Melayu Berasaskan Projek (PBMP) yang terkandung dalam Inisiatif #108: Permartabatan Pendidikan Bahasa Melayu.

Untuk makluman, PBMP merupakan kaedah PdP berpusatkan murid dan mengembangkan potensi murid secara menyeluruh yang melibatkan aktiviti PdP di dalam dan di luar bilik darjah.

Sebanyak 22 kumpulan telah mempamerkan produk kerjaya masing-masing dan membuat pembentangan pada masa tersebut. Murid-murid dari kelas lain telah membuat kunjungan ke Showcase Kerjaya dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

Penentuan projek berdasarkan kepada tema dalam DSKP dan buku teks Bahasa Melayu.

Bermula daripada perbincangan tema kerjaya di dalam bilik darjah, murid-murid dikehendaki menghasilkan produk dan akhirnya membentangkan produk masing -masing di luar bilik darjah serta membuat refleksi tentang produk kepada audiens.

Suasana di Dataran Bedaun semasa program berlangsung

Objektif PBMP adalah untuk melahirkan murid yang berketerampilan berbahasa Melayu berasaskan PAK21 dan meningkatkan kreativiti guru dalam PdP Bahasa Melayu.

Di samping membentangkan kerjaya pilihan, setiap kumpulan juga telah diberikan markah penilaian oleh pihak pentadbir sekolah.

Penilaian yang dibuat berdasarkan kepada kebolehan murid-murid dalam menyampaikan maklumat serta menilai kemahiran berbahasa murid-murid semasa membentangkan hasil kerja.  

Menurut Pengetua, Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, melalui program ini murid dapat menunjukkan tanggungjawab masing-masing untuk menghasilkan projek, di samping dapat membina keyakinan diri untuk membentangkan hasil projek kepada audiens.

Selain itu, menurut salah seorang peserta showcase, adik Nur Qaisara Najwa binti Johari, showcase ini dapat menarik minat murid untuk lebih mengenali dan mendalami bidang kerjaya yang dipamerkan, selain dapat melatih murid-murid untuk bercakap di depan audiens dengan lancar dan penuh keyakinan.

Diharapkan agar program ini menjadi salah satu intervensi dalam meningkatkan kemahiran berbahasa murid-murid terutama sekali dalam meningkatkan pencapaian Ujian Bertutur Bahasa Melayu SPM.

Turut hadir ialah Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Chai Yee San, Penolong Kanan Kokurikulum, Encik Yee Choon Hian, Guru Kanan Bidang, guru-guru serta semua murid SMKTPB.

Berita oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




IHTIFAL LUGHAWI SEKOLAH-SEKOLAH PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN TAHUN 2024

Labuan, 12 September 2024 – Majlis Penutupan Iftifal Lughawi Sekolah-sekolah (ILSS) Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2024 telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Bukit Kallam petang tadi. 

Iftifal Lughawi pada tahun ini dikelolakan oleh Sekolah Kebangsaan Bukit Kallam dengan tema Adab dan Nilai Menjana Karamah Insaniah. Ia melibatkan seramai 203 peserta sekolah rendah, 58 peserta sekolah menengah dan 38 orang juri dengan penyertaan daripada 17 buah sekolah rendah dan 10 buah sekolah menengah. Acara yang dipertandingkan kategori sekolah rendah ialah Kalam Jamaie, Kalam Arabi dan Daie Cilik. Manakala acara sekolah menengah pula ialah Kuiz Bahasa Arab, Kalimatus Sobah, Mimbar Daie. Sekolah Kebangsaan Pekan Satu dan Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori sekolah rendah manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori sekolah menengah.

ILSS yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan ini merupakan satu platform yang amat penting untuk para pelajar kita memperkasa dan memperhalusi penguasaan mereka dalam bahasa Arab. Di sinilah medan untuk menguji bakat para peserta bukan hanya dari segi kefasihan berbahasa tetapi juga dari segi pemahaman budaya, kesenian dan kesusasteraan yang kaya dengan makna.

Perasmian penutupan Ihtifal Lughawi telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan puan Noraini binti Sahbudin yang mewakili Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Turut hadir hadir dalam majlis ini Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam ustazah Kamariah binti Salim, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas Tuan Haji Sahbudin Bin Ag. Muhamad, Ketua Penolong Pengarah Sektor Teknologi Maklumat Puan Hajjah Murniza Binti Mohammad, Guru besar daripada semua sekolah rendah, wakil pengetua, guru-guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab serta ibu bapa dan penjaga murid.

Semoga peserta yang akan mewakili Wilayah Persekutuan Labuan dalam Ihtifal Lughawi KPM Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Terengganu pada 24-27 Oktober ini beroleh kejayaan yang cemerlang.




KURSUS KEPAKARAN GURU BIMBINGAN DAN KAUNSELING

WP Labuan, 9 dan 10 September – Sektor Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Pendidikan WP Labuan telah menganjurkan Kursus Kepakaran Guru Bimbingan dan Kaunseling serta Kaunselor Matrikulasi yang bertempat di Dewan Seminar Rafflesia, Kompleks Ujana Kewangan.

Objektif kursus ini adalah untuk mewujudkan Kumpulan Guru Bimbingan dan Kaunseling yang berkemahiran dan kompeten sebagai responder pertama di sekolah terhadap isu anti gangguan seksual dan intervensi pencegahan bunuh diri demi memastikan kesejahteraan psikologi warga sekolah.

Kursus kepakaran yang dilaksanakan ini dibahagikan dalam dua modul, iaitu hari pertama Intervensi Anti Gangguan Seksual dan hari kedua Intervensi Pencegahan Bunuh Diri.

Bertepatan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia yang disambut pada setiap 10 September, kursus kepakaran yang diadakan ini adalah satu hari yang amat penting dalm usaha meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan bunuh diri.

Jurulatih Utama Kebangsaan yang berkongsi pengetahuan dalam kursus kepakaran ini iaitu En. Ahmad, Kaunselor Pendidikan Negeri Sarawak, Pn. Haslinda, Kaunselor Pendidikan Daerah Papar, En. Rahimen, Kaunselor Pendidikan Daerah Lahad Datu dan En. Rozan, Kaunselor Pendidikan Daerah Kudat.

Ucaptama perasmian telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Tuan Haji Sawal bin Haji Mohd Salleh.

Hadir sama, Tuan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, En Ag Marten bin Haji Abd Rahman dan Tuan Ketua Kaunselor Pendidikan Negeri Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, En Sabdin bin Japarudin.

Sesungguhnya penganjuran Kursus Kepakaran ini membuktikan bahawa Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan sangat komitmen terhadap kaunselor dan guru-guru bimbingan dan kaunseling, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan terhadap usaha-usaha memartabatkan dan menyemarakan budaya mencintai ilmu dan mengamalkan praktik penyampaian perkhidmatan Guru Bimbingan dan Kaunseling serta produktiviti sentiasa pada tahap optimum.




Program Sekolah Bitara SPM 2024 ‘Selangkah ke Menara Gading’ SMK Taman Perumahan Bedaun

LABUAN – SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah mengadakan program sekolah bitara SPM 2024 ‘Selangkah ke Menara Gading’ dengan sasaran kepada calon SPM 2024 seramai 109 orang. Program ini telah diadakan selama 4 hari iaitu bermula 27 sehingga 30 Ogos 2024 bertempat di Dewan Sri Timbalai,Pusat Koreksional WP Labuan dan Dataran Bedaun, SMK Taman Perumahan Bedaun.

Menurut Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, objektif program ini dijalankan ialah membantu murid dalam kaedah dan teknik menjawab soalan SPM untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sains dan Kimia.

Seterusnya,program ini juga dijalankan agar dapat membina keyakinan diri kepada murid SPM 2024 bahawa mereka boleh mencapai kejayaan jika berusaha tanpa mengenal erti jemu dengan cara menanamkan sikap positif, meningkatkan keyakinan diri, bekerjasama dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran serta berwawasan.

Di samping itu, murid boleh mencapai keputusan yang lebih baik dalam SPM 2024 bagi meningkatkan prestasi dan penarafan sekolah khususnya dalam Standard Kualiti pendidikan Malaysia (SKPM). Malah,program ini juga dirangka untuk meningkatkan motivasi murid SPM 2024 agar sentiasa bersemangat tinggi dalam usaha mencapai kejayaan.

Terdapat pelbagai slot ataupun bengkel teknik menjawab telah dilaksanakan sepanjang 4 hari program tersebut berlangsung. Sepanjang program ini berlangsung, banyak perkongsian teknik menjawab soalan yang telah diberikan oleh penceramah-penceramah jemputan bagi mata mata Pelajaran yang terlibat.

Perkongsian Teknik menjawab SPM yang telah diberikan oleh para penceramah telah membantu murid untuk menggunakan peluang dan ruang yang ada bagi menjawab persoalan yang berkaitan dengan permasalahan yang berlegar di minda murid untuk menngetahui isi dan markah yang mencukupi dalam peperiksaan nanti.

Setiap slot bengkel teknik menjawab ini juga telah diisi dengan memberikan sijil penghargaan kepada peserta yang paling aktif dalam bengkel tersebut. Selain itu, unit bimbingan kaunseling sekolah juga telah mengambil peluang dengan mengadakan slot motivasi sebagai penyuntik semangat kepada smua calon SPM 2024 yang bakal menduduki SPM tidak lama lagi dengan menjemput penceramah dari Kota Kinabalu.

Majlis penutupan program ini telah disempurnakan oleh Tuan Saat Bantalani iaitu Timbalan Penguasa Penjara Pusat Koreksional Labuan.

Pada masa yang sama juga, pihak sekolah telah mengadakan sesi tandatangan Sijil Jalinan Rakan Strategik antara SMK Taman Perumahan Bedaun dan Pusat Koreksional WP Labuan, Jabatan Penjara Malaysia.

Setelah berakhirnya program ini, pihak sekolah khususnya akan terus membantu calon SPM 2024 tanpa henti untuk sama-sama memperolehi keputusan yang cemerlang sekali gus meningkatkan pencapaian SPM sekolah.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Semua peserta program Bitara Sekolah SPM 2024 bergambar bersama Timbalan Penguasa Penjara, Tuan Saat Penguasa Penjara dan Pengetua Puan Norazita