Program Interaksi Akademik Tingkatan 4 Dapat Sambutan Walaupun Secara Dalam Talian

Labuan – SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) sekali lagi berjaya mengadakan  “Program Interaksi Akademik” bersama ibu bapa, guru – guru dan murid-murid Tingkatan 4 pada 09 September 2021 (Khamis). Program yang dilaksanakan secara dalam talian melalui medium “google meet” telah dihadiri oleh 86 orang murid Tingkatan 4 bersama- sama dengan ibu bapa masing-masing. Hadir bersama dalam program ini ialah Tuan Pengetua, En. Ag. Rozlan bin Manan, Pen. Kanan Pentadbiran, Pn. Chai Yee San, Pen. Kanan HEM, En. Awang Adi bin Tuah, Pen. Kanan Kokurikulum, Pn. Lau Chin Ying serta Guru-guru Kanan Bidang. Objektif program ini adalah untuk mewujudkan interaksi dua hala antara pihak sekolah dan ibu bapa dalam membincangkan isu dan pencapaian anak-anak Tingkatan 4 dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun  (PPT) 2021 di samping membincangkan tentang pelibatan anak-anak dalam PdPR.

Majlis dimulakan dengan pembentangan analisis pencapaian murid-murid Tingkatan 4 dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun (PPT) baru-baru ini oleh Tuan Pengetua, En. Ag Rozlan bin Manan. Sebelum memulakan pembentangan, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada ibu bapa yang sudi hadir demi memastikan kecemerlangan anak-anak memandangkan anak-anak Tingkatan 4 ini merupakan calon SPM 2022. Dapatan daripada analisis PPT 2021, Tuan Pengetua memaklumkan bahawa Gred Purata Sekolah (GPS) yang dicapai ialah 5.37, manakala peratus lulus ialah 80.26 peratus. Selain itu,  5 orang murid didapati gagal dalam kedua-dua mata pelajaran wajib lulus iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah dalam peperiksaan ini. Pihak sekolah amat berharap agar semua murid lulus dalam semua mata pelajaran dan mencapai sekurang-kurangnya Gred “C” dalam peperiksaan akan datang. Pelbagai intervensi akan diambil bagi menangani isu murid-murid yang masih lemah penguasaannya dalam setiap mata pelajaran. Oleh itu, beliau berharap agar ibu bapa sentiasa ada bersama-sama dengan pihak sekolah dalam meningkatkan pencapaian akademik anak-anak.

Antara pembentangan yang dibuat oleh En. Ag Rozlan dalam program ini.

Seterusnya, Tuan Pengetua, En. Ag Rozlan memaklumkan kepada ibu bapa berkaitan analisis kehadiran murid-murid sepanjang PdPR berlangsung. Masih ada segelintir murid yang didapati kurang memberikan komitmen untuk hadir mengikuti kelas PdPR. Oleh itu, kerjasama daripada ibu bapa amatlah diharapkan memandangkan sesi persekolahan secara bersemuka belum dapat dilaksanakan. Tanpa sokongan ibu bapa, anak-anak sudah pasti akan tercicir dalam pembelajaran masing-masing. Beliau turut menjelaskan kepada ibu bapa bahawa pelaksanaan PdPR sememangnya tidak sama dengan pembelajaran secara bersemuka dan berharap agar anak-anak akan dapat kembali semula ke sekolah pada Oktober nanti.

En. Ag Rozlan turut menyatakan keyakinan beliau dengan komitmen yang ditunjukkan oleh guru-guru dalam pelaksanaan PdPR. Beliau menjelaskan bahawa dalam situasi kini, murid-murid perlu mengikuti kelas PdPR kerana guru-guru telah cuba sedaya upaya untuk menyampaikan pembelajaran kepada semua murid dengan pelbagai kaedah yang bersesuaian. Di samping itu, guru juga akan mendedahkan kepada murid-murid tentang teknik menjawab soalan peperiksaan serta memberikan bimbingan untuk membuat latih tubi.  Oleh itu, sekiranya murid tidak hadir PdPD mereka akanvtercicir dalam pembelajaran dan  akan mengalami defisit pembelajaran kerana banyak tertinggal dalam pembelajaran seharian mereka. Pada akhir ucapannya, beliau turut menyatakan harapan pihak sekolah kepada calon SPM 2022. Antaranya ialah mencapai 100 peratus keterlibatan murid dalam PdPR dan mencapai 100 peratus kehadiran murid ke sekolah secara bersemuka nanti. Di samping itu, pihak sekolah turut mengharapkan peranan daripada ibu bapa sebagai pendorong kepada kecemerlangan anak-anak dalam memastikan hasrat sekolah dapat dicapai. Hal ini kerana semua murid SMKTPB diharapkan dapat memiliki sijil SPM dengan keputusan yang berkualiti bagi memastikan mereka mampu bersaing untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, mahupun untuk memperoleh peluang pekerjaan yang baik

Sebahagian daripada ibu bapa dan murid-murid yang turut hadir

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




Ziarah Kasih Manifestasi Keprihatinan Warga Jabatan

Ahli-ahli Pengurusan Tertinggi Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah menganjurkan Ziarah Kasih kepada salah seorang kakitangan kumpulan sokongan, Puan Julynah binti Haji Wali yang telah kematian anaknya baru-baru ini.

Rombongan ziarah di Kampung Sungai Miri itu telah disertai oleh 11 orang dan diketuai oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Sempena ziarah ini, pihak jabatan turut menyampaikan sumbangan kutipan derma ikhlas daripada warga jabatan yang diusahakan oleh Sektor Psikologi dan Kaunseling(SPsK). Selain itu, ahli rombongan turut membuat bacaan tahlil yang telah dipimpin oleh Ustaz Shahir bin Mohamad Yusof, Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam (SPI).

Menurut penyelaras rombongan ziarah, Encik Fadzil bin Mohd Jamil yang juga Ketua Kaunselor Pendidikan Negeri (KKPN), ziarah ini adalah manifestasi keprihatin warga jabatan terhadap kakitangan jabatan yang ditimpa musibah.

Terdahulu, Encik Yusup telah menzahirkan ucapan takziah daripada semua warga jabatan kepada keluarga Puan Julynah dan berharap agar semua ahli keluarga tabah dalam menghadapi dugaan ini.

Puan Julynah turut mengucapkan terima kasih atas kunjungan dan doa yang telah dipanjatkan kepada arwah anaknya.

Turut serta dalam ziarah ini ialah Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim dan Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Matnoh.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Encik Yusup dan warga jabatan yang hadir melawat keluarga Puan Julynah



Sesi Perjumpaan Pengarah Pendidikan Bersama Guru Bimbingan dan Kaunseling Bantu Murid-Murid Terkesan Covid-19

Labuan, 13 Sept – Sektor Pembangunan Murid (SPM), Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah menganjurkan pertemuan bersama 26 Guru Bimbingan Kaunseling (GBK) dari semua sekolah seluruh Labuan pada Jumaat lalu.

Perjumpaan di Bilik Kiamsam, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan itu telah dipengerusikan oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Menurut penyelaras, Puan Saadiah Jakob yang juga Penolong Pengarah Unit Binbingan dan Kaunseling, perjumpaan ini adalah susulan daripada dua sesi pertemuan maya antara Pengarah bersama murid-murid Tingkatan 5 dan pelajar-pelajar Tingkatan 6 pada bulan lalu.

“Antara dapatan penting yang diperolehi daripada pertemuan tersebut ialah hal berkaitan emosi murid kesan daripada PdPR yang telah berlangsung dalam jangkamasa yang agak panjang” kata beliau lagi.

Dalam ucapan, Encik Yusup mengucapkan tahniah kepada GBK W.P. Labuan kerana telah berjaya membuat bimbingan dan sesi kaunseling paling tinggi di peringkat kebangsaan sepanjang tempoh pandemik ini.

“Saya berharap GBK dapat mengambil inisiatif dan peranan proaktif dalam menangani emosi dan kebajikan anak-anak yang telah kehilangan ibu atau bapa kerana Covid-19 terutama daripada golongan keluarga B40”

“Kita perlu memastikan murid-murid yang terkesan ini dibantu untuk terus berada di dalam sistem pendidikan” tegas beliau lagi.

Menurut Encik Yusup lagi, motivasi calon-calon SPM juga perlu berada pada tahap tinggi untuk terus mengikuti PdPR dan bersedia untuk menghadapi peperiksaan terutamanya murid-murid yang berprestasi rendah dan sederhana.

Selain itu GBK juga perlu membantu murid-murid meneroka peluang-peluang dalam menentukan hala tuju yang jelas selepas alam persekolahan.

Guru Bimbingan Kaunseling yang hadir perjumpaan bersama Pengarah

Dalam pertemuan ini, data dan maklumat berkaitan kehadiran murid dalam PdPR turut dibentang oleh Puan Siow May Yun, Penolong Pengarah di Sektor Pembelajaran.

Di akhir sesi pertemuan, Encik Yusup sempat berinteraksi secara dua hala bersama dengan GBK dalam menangani  beberapa isu berkaitan perkhidmatan GBK di sekolah.

Turut hadir dalam sesi pertemuan ialah Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim dan Kaunselor Pendidikan Negeri, Encik Sabdin bin Japaruddin.

Berita Oleh : Sektor Perancangan




Penjurian Aktiviti Pendidikan Luar Pusat Kokurikulum Negeri 2021

Labuan, 13 Sept – Penjurian Aktiviti Pendidikan Luar Pusat Kokurikulum Pusat Kokurikulum Peringkat Negeri W.P. Labuan telah dijalankan oleh 24 orang juri bermula 8 September hingga 10 September 2021 yang telah diadakan di Makmal Komputer, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan SSTP di Jalan Bukit Besar Kampung  Sungai Lada. Barisan juri adalah dari kalangan jurulatih Pusat Kokurikulum yang juga merupakan barisan guru dari seluruh sekolah di W.P. Labuan. Penjurian mengambil masa selama 3 hari berturut-turut kerana penyertaan yang sangat menggalakkan dari kalangan peserta. Seramai 100 murid Sekolah Rendah dan 155 orang murid Sekolah Menengah telah menyertai Pertandingan Aktiviti Pendidikan Luar Pusat Kokurikulum yang telah berlangsung dari 7 Ogos sehingga 30 Ogos yang lalu.

Terdapat 6 jenis pertandingan yang dipertandingan iaitu Ikatan dan Simpulan, Bantu Mula, Membina Gajet, Kraftangan dari bahan kitar semula, Lukisan Alam dan Masakan Rimba Ikhtiar Hidup. Semua pelajar yang menyertai pertandingan ini menghantar rakaman video mereka yang berdurasi 4 hingg 5 minit untuk dihakimi.

PKK2Sedutan Rakaman Video Bantu Mula kategori sekolah menengah

Menurut Abdul Kahar bin Abdul Rahim, Penolong Pengarah Pusat Kokurikulum pelaksanaan aktiviti kokurikulum yang terancang, mantap dan praktikal dalam norma baharu sebegini akan menyokong pengembangan potensi murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi , rohani dan intelek selari dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Penyertaan aktif dan berkesan murid dapat membantu dari segi menyediakan murid dengan sifat-sifat kecemerlangan diri seperti daya saing, jati diri, kreatif , kritis , berkeyakinan tinggi dan daya tahan bagi menghadapi cabaran era globalisasi dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi [ ICT ]. Membantu juga meningkatkan tahap disiplin murid melalui pemilihan idea dan ketepatan rakaman yang dihasilkan, selaras dengan hasrat Rukun Negara.

Aktiviti Pendidikan Luar secara maya ini juga membantu mengukuhkan dan meningkatkan pengetahuan murid dalam pelbagai bidang. Peranan utama kokurikulum masa kini adalah untuk menndedahkan murid dengan aktiviti yang menggembirakan seterusnya membantu mewujudkan persekitaran rumah yang menyeronokkan, menarik dan kondusif  “ Outdoor Is Fun “ Usaha ini diharapkan dapat menghiburkan pelajar seterusnya melupakan seketika bebanan dengan Pembelajaran secara Dalam Talian.

Semoga aktiviti sebegini dapat membina konsep kendiri yang positif dan penghargaan diri yang tinggi supaya mempunyai perasaan hormat diri yang baik, realisitik, mempunyai kebolehan memajukan diri serta menjadi lebih yakin dan berkebolehan menghadapi sebarang masalah serta mampu mengendalikannya dalam mendepani global pandemik Covid-19. Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang akan dilakukankan sebaik sahaja selesai Karnival Bakat Murid anjuran Unit Pembangunan Bakat, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan W.P. Labuan yang telah dilancarkan oleh Encik Yusup bin Hj. Mohamad, Pengarah Pendidikan W.P. Labuan dengan tema Serlahkan Bakatmu.

PKK3 – Sedutan Rakaman Video Masakan Rimba Ikhtiar Hidup kategori sekolah rendah
PKK4- Sedutan Rakaman Video Kraftangan Bahan Kitar Semula kategori sekolah rendah

Berita Oleh : Pusat Kokurikulum Negeri W.P Labuan




Sektor Perancangan Anjur Bengkel Sinergi SKPMg2:Kualiti@Sekolah Kepada Sekolah Rintis

Labuan, 10 Sept – Sektor Perancangan selaku peneraju kepada pengisian portal SKPMg2 telah menganjurkan bengkel pengujian instrumen SKPMg2:Kualiti@Sekolah kepada 10 buah sekolah rintis kelmarin.

Seramai 17 orang terdiri daripada Pengetua, Guru Besar dan Penolong Kanan telah hadir dalam taklimat tersebut. Encik Joe Hellmy Jumat, Penolong Pengarah di Sektor Perancangan telah menyampaikan taklimat yang telah diadakan di Bilik Botanikal.

Menurut beliau, pengenalan sinergi baharu SKPMg2 ini mengambil kira perubahan-perubahan bagi memudahkan pihak sekolah membuat pengisian portal pada masa-masa akan datang termasuk kemudahan pengisian secara offline.

SKPMg2 adalah alat pengurusan yang telah diperkenalkan oleh Jemaah Nazir Sekolah (JNS) sejak tahun 2010.

“Uji rintis ini adalah bagi memastikan pemuka baharu SKPMg2 ini dapat difahami dan dilaksanakan dengan mudah di peringkat sekolah. Pihak sekolah juga berpeluang membiasakan diri dengan pengisian instrumen wajah baharu ini” kata beliau lagi.

Berita Oleh : Sektor Perancangan




Pengarah Pendidikan Lakukan Kunjung Hormat Kepada YB Senator Datuk Bashir

Labuan, 9 Sept – Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah mengadakan kunjungan hormat kepada Ahli Dewan Negara, YB Senator Datuk Haji Bashir bin Haji Alias, di pejabatnya di Tingkat 4, Wisma Perbadanan hari ini. Kunjung hormat ini bersempena pelantikan Encik Yusup bin Haji Mohamad sebagai Pengarah Pendidikan yang baharu berkuat kuasa 1 Mac yang lalu.

Rombongan dari Jabatan Pendidikan seramai 4 orang turut disertai oleh Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Perancangan Encik Mohd Nizam bin Yasim, Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah Puan Maimoon binti Haji Matnoh dan Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Encik Awang Marten bin Datuk Haji Abdul Rahman.

Dalam pertemuan itu, Encik Yusup Mohamad telah menerangkan hal-hal berkaitan kesediaan pengoperasian semula  sekolah yang dijangkakan bermula pada 4 Oktober 2021. Menurut beliau, setakat ini semua sekolah telah bersedia untuk beroperasi selaras dengan pengistiharan Labuan telah memasuki Fasa 4 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Selain itu, beliau turut memaklumkan beberapa projek pembangunan baharu termasuk pembinaan Kolej Tingkatan 6 dan pembinaan satu blok gantian yang mengandungi 12 bilik darjah di SMK Labuan.

Terdahulu, YB Senator Datuk Haji Bashir mengucapkan tahniah kepada Encik Yusup kerana telah dilantik menerajui Jabatan Pendidikan W. P. Labuan. Beliau turut melahirkan rasa bangga atas pelantikan anak tempatan menerajui agensi kerajaan yang terbesar di pulau ini.

“Jika terdapat isu-isu berbangkit berkaitan hal-hal pendidikan, pihak saya sedia membantu terutamanya dalam meningkatkan kualiti pendidikan di wilayah ini” ujar beliau.

Di akhir majlis, Encik Yusup menyampaikan cenderamata daripada Jabatan Pendidikan W.P Labuan kepada Datuk Bashir sebagai tanda kenangan.

Berita Oleh : Sektor Perancangan




Lawatan Kerja Menteri Pendidikan Ke SMK Labuan

SMK Labuan menerima lawatan kerja Menteri Kanan Pendidikan YB Dr Radzi Jidin pada 6 September 2021. Lawatan kerja ini merupakan salah satu pengisian aktiviti sempena Sesi Libat Urus YB Menteri Kanan Pendidikan ke WP Labuan. Tujuan lawatan tersebut ialah untuk melihat perkembangan projek-projek penyelenggaraan di SMK Labuan iaitu Dewan Mutiara dan Blok Pentadbiran.

Pada masa yang sama YB Menteri juga meninjau persediaan sekolah sempena pengoperasian semula sekolah yang dijangka akan bermula pada awal Oktober nanti. Antara yang ditinjau ialah bilik darjah, kantin, tandas dan persekitaran sekolah.

Penyelenggaraan Dewan Mutiara dan Blok Pentadbiran berjalan lancar dan ini akan memberi lebih keselesaan kepada sesi pengajaran dan pembelajaran kelak. Blok Pentadbiran mengandungi Pejabat Am, Bilik Guru, Pusat Sumber Sekolah, Makmal Bestari dan Makmal Sains.

Encik Ismail memberi penerangan kepada YB Dr Radzi dan Datuk Yusran Shah.
YB Dr Radzi melawat persekitaran sekolah
YB Dr Radzi meninjau keadaan bilik darjah
Pegawai JKR WP Labuan memberi taklimat tentang penyelenggaraan Dewan Mutiara

Bilik darjah dan persekitaran sekolah memerlukan pembersihan berterusan kerana masih ada tempoh sebulan sebelum persekolahan bersemuka dimulakan . Persiapan aspek-aspek  pematuhan SOP dalam kawasan sekolah dan semasa penyuraian murid juga akan diberi perhatian. Ini untuk memastikan murid-murid dapat kembali sekolah dan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran bersemuka dengan lebih selesa dan selamat.

Sebelum mengakhiri lawatan, YB Menteri sempat menandatangani kanvas kenangan sempena Sambutan 100 Tahun SMK Labuan. Turut hadir dalam lawatan kerja ini ialah Datuk Yusran Shah bin Mohd Yusof (Ketua Setiausaha KPM), Datin Sri Hajjah Nor Zamani binti Abdol Hamid (Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia), Encik Raisin bin Saidin (Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM) dan Encik Yusup bin Mohamad (Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan).

Pengetua SMK Labuan Encik Ismail Abdullah merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada  YB Menteri Kanan Pendidikan atas lawatan kerja ini. Pihak sekolah berazam untuk memastikan persiapan yang terbaik sebelum sekolah dibuka nanti dan juga memastikan proses pengajaran dan pembelajaran akan berjalan lancar.

Berita Oleh : SMK Labuan

Encik Ismail bersama YB Dr Radzi
YB Dr Radzi bersama pentadbir SMK Labuan (dari kiri PK Pentadbiran Puan Zalina Zunkepely, Pengetua, YB Dr Radzi, PK HEM Puan Jamaliah Razali, PK Tingkatan 6 Encik Saminan Sabtu dan PK Petang Encik Kitli Beka)



Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan Peringkat SMK Mutiara Anjuran Unit Bimbingan Dan Kaunseling SMK Mutiara, Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 29 Ogos – Dalam usaha Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara, Wilayah Persekutuan Labuan menyahut dan menyemarakkan lagi sambutan bulan kaunseling kebangsaan yang diadakan pada setiap bulan oktober setiap tahun, pelbagai aktiviti melibatkan semua pelajar SMK Mutiara bukan sahaja pelajar aliran perdana tetapi juga melibatkan Pelajar Pendidikan Khas Interaktif(PPKI) dilaksanakan. Pelbagai program diadakan sepanjang bulan kaunseling kebangsaan yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara. Program-program yang telah dijalankan adalah Pertandingan Mewarna Bertemakan Kerjaya dan Kasih Sayang(PPKI), “Ooppss” Rawak Kekemasan Diri Murid, Serahan Kit Sarapan Pagi, Mentor Mentee, Sambutan Hari Lahir Oktober, “My Inner Self”, Kuiz Kahoot Kenali UBK dan Hebahan Promosi UBK.

Pelbagai program yang telah dirancang dan dilaksanakan adalah juga selari dengan kefungsian am unit bimbingan dan kaunseling iaitu sebagai sistem sokongan kemenjadian murid khususnya pelajar-pelajar SMK Mutiara. Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara berhasrat untuk mendekatkan semula organisasi dengan pelajar yang telahpun mula datang ke sekolah walaupun secara penggiliran disamping menyahut dan memanfaatkan bulan kaunseling semaksimum mungkin.

Menurut Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara iaitu Encik Ahmad Radzi bin Ab Halim(K.B.P.A) dan Puan Normaisaraf binti Abdul Rashid(K.B.P.A), bulan kaunseling kebangsaan tahun ini adalah sangat istimewa kerana pelajar telah mula datang ke sekolah secara berperingkat, dan program bersifat menyeluruh wajar dilaksanakan sebagai tanda dan sokongan menyambut bulan kaunseling kebangsaan. “Walaupun masih berada dalam fasa pandemik, namun itu tidak menjadi penghalang kepada UBK SMK Mutiara untuk merangka dan melaksanakan program yang bersesuaian”, ujar Encik Mohd Hasrul Bin Mohd Redzuan selaku guru bimbingan dan kaunseling pelatih daripada Universiti Putra Malaysia yang sedang menjalankan latihan beliau di Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara.

Antara sesi pelaksanaan Program Kit Sarapan Pagi anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara

Pengetua SMK Mutiara, Encik Yahya Bin Ahmad Puteh berkata, “Saya amat kagum dengan usaha dan inisiatif yang begitu banyak dan aktif  daripada kaunselor-kaunselor SMK Mutiara dalam mendekati pelajar semula disamping menyambut bulan kaunseling kebangsaan tahun ini dengan aktiviti dan program yang banyak namun bersesuaian”.

“Program ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh kerana wujud kerjasama yang begitu hebat daripada guru-guru SMK Mutiara selari dengan trademark SMK Mutiara yang terkini iaitu SMK Mutiara H.E.B.A.T”, ujar Puan Normaisaraf selaku salah seorang kaunselor di SMK Mutiara.

Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara dan sekolah secara amnya akan terus berusaha membantu, memahami dan mendekati pelajar dalam usaha meningkatkan kemenjadian murid selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan agar masyarakat yang maju dan berdaya saing akan dapat dibentuk khususnya di Wilayah Persekutuan Labuan.

Pelaksanaan aktiviti Mentor-Mentee sempena Bulan Kaunseling Kebangsaan

Berita Oleh : SMK Mutiara




Program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) : Pemantapan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Untuk Guru-Guru SMK Taman Perumahan Bedaun

Labuan, 24 Ogos 2021 (Selasa) – Program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) Pemantapan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) oleh pegawai SISC+ dan Mentor PBD Unit TVET Sektor Pembelajaran bersama warga guru SMK Taman Perumahan telah dilaksanakan pada Selasa lalu. Bengkel Pemantapan PBD ini disampaikan oleh pegawai SISC+, Cik Juraidah binti Aman dan dua orang guru daripada SMK Lajau iaitu En Rafizi bin Hj Yusuf merupakan penyelaras mata pelajaran Perniagaan SMK Lajau dan Cik Ebby Haryani binti Rahmat selaku Ketua Panitia RBT SMK Lajau. Pendekatan program ini membabitkan perkongsian amalan baik dalam pelaksanaan PBD guru dan pengurusan PBD dalam panitia. Penolong Kanan Pentadbiran Pn. Chai Yee San memulakan program dengan menerangkan bahawa tujuan program ini adalah untuk memantapkan dan memperkasakan pengurusan dan pelaksanaan pentaksiran bilik darjah (PBD) yang mana PBD merupakan salah satu komponen utama dalam dasar pendidikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang menjurus kepada kemenjadian murid.

Bengkel ini berlangsung secara dalam talian melalui aplikasi ‘Google Meet’ dan dihadiri oleh 38 orang guru SMK Taman Perumahan Bedaun. Turut mengikuti bengkel ini Pengetua En. Awang Rozlan bin Manan, Penolong Kanan Pentadbiran Pn Chai Yee San, Penolong Kanan Kokurikulum Pn Lau Chin Ying dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid En Awang Adi bin Tuah. Perkongsian yang disampaikan oleh Cik Juraidah dapat membentuk kesediaan guru dalam pelakasanaan PBD kepada murid dan sejauh mana Ketua Panitia menguruskan pelaksanaan PBD di sekolah.

Beliau juga turut memaklumkan bahawa pelaksanaan PBD ini mestilah berlandaskan Buku Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah. Buku ini sangat penting dan wajib ada pada setiap guru sebagai sumber rujukan  panduan untuk melaksanakan PBD tersebut. Antara intipati yang terdapat dalam buku panduan tersebut seperti yang dinyatakan oleh Cik Juraidah ialah berkenaan tentang pengurusan PBD di sekolah supaya pelaksanaan PBD itu lebih berkesan dan berkualiti. Selain itu , beliau juga menyatakan tentang asas PBD adalah menggunakan pelbagai kaedah strategi, pelbagai aras, pengetahuan, kemahiran dan mestilah berasaskan standard kurikulum iaitu DSKP. DSKP ini sangat ditekankan kepada guru agar dapat menguasainya dan mahir dalam memberikan PBD yang berkesan kepada murid-murid. Ini akan menunjukkan pelaksanaan PBD itu sangat berkesan dan berkualiti terhadap perkembangan murid.

Guru-guru yang menghadir dalam talian program CPD

Menurut Cik Juraidah, dalam merancang pelaksanaan PBD ini tangunggjawab pengetua, penolong kanan pentadbiran, setiausaha PBD dan ketua panitia  mestilah memahami konsep , kepentingan dan pelaksanaan PBD itu. Ini dapat memantapkan dan memperkasakan lagi dari segi pengurusan pelaksanaan PBD di sekolah.

Manakala perkongsian daripada  Cikgu Rafizi pula ialah berkaitan dengan pengurusan panitia berkenaan dengan pelaksanaan PBD terutama sekali dalam matapelajaran Perniagaan yang dikongsinya pada hari tersebut. Cikgu Rafizi juga menyatakan bahawa penggunaan DSKP adalah sangat penting terutama sekali guru-guru perlu mendapatkan DSKP yang terbaru. Ini kerana didalam DSKP tersebut sangat lengkap untuk menjadi panduan dan memudahkan guru-guru untuk melaksanakan PBD kepada murid. Selain itu beliau juga berkongsi tentang pelbagai kaedah yang digunakan untuk melaksanakan PBD kepada murid berdasarkan DSKP yang menjadi sumber rujukannya.

Bengkel pemantapan PBD ini juga dikongsikan bersama dengan Cikgu Ebby. Beliau berkongsi tentang bagaimana pengurusan fail PBD itu dilaksanakan oleh Ketua Panitia terutama sekali dalam matapelajaran yang diajar oleh beliau iaitu matapelajaran RBT. Cikgu Ebby menyatakan pengurusan fail PBD yang dilaksanakan di sekolah beliau ialah dengan cara atas talian. Beliau mewujudkan pengurusan fail PBD itu dengan cara perekodan di dalam Google Drive agar lebih memudahkan kepada semua guru terutama guru-guru yang ada dibawah bidang TVET. Terdapat satu folder yang telah diwujudkan di dalam Google Drive tersebut iaitu folder fail pengurusan PBD. Di dalam folder tersebut terdapat tujuh pecahan folder yang telah diwujudkan. Antaranya ialah  Surat Lantikan Pentaksiran, Surat Akuan Penerima Pentaksiran, Dokumen Standard Kurikulum dan pentaksiran (DSKP), Standard Prestasi, Senarai Semak Rekod Sementara, Pelaporan dan Lampiran. Beliau memaklumkan bahawa wujudnya Sistem perekodan pengurusan fail PBD atas talian ini amat memudahkan beliau dan juga kepada guru-guru yang lain. Dalam masa yang sama pihak pentadbir dan ketua bidang serta ketua panitia dapat melihat apa yang dilaksanakan oleh guru-guru terutama sekali dalam perekodan laporan PBD yang telah dilaksanakan.

Akhir sekali, pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada Pegawai SISC+ JPWPL Cik Juraidah binti Aman, Cikgu Rafizi dan Cikgu Ebby yang sudi meluangkan masa untuk memberi bimbingan, tunjuk ajar dan ilmu kepada guru-guru SMKTPB ini untuk memperkasa dan memantapkan lagi Pentaksiran Bilik Darjah bagi merealisasikan visi pelestarian TS25 di SMK Taman Perumahan Bedaun.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




Program Let’s Talk Bersama Alumni Inspirasi SMK Mutiara, W.P Labuan

Labuan,26 OGOS 2021 – Dalam usaha pihak sekolah menyampaikan maklumat dan menyuntik motivasi pelajar untuk belajar aktif secara Pdpr, Unit Bimbingan dan Kaunseling Smk Mutiara telah melaksanakan program Let’s Talk Bersama Alumni Inspirasi iaitu satu program yang mengetengahkan alumni daripada SMK Mutiara sendiri untuk berkongsi pengalaman, pandangan dan memberi suntikan motivasi untuk para pelajar SMK Mutiara turut mencapai kejayaan dalam bidang atau aliran masing-masing.

Program ini dilaksanakan secara bersiri dan siri yang kedua telah dilaksanakan pada 25 Ogos 2021 yang lepas. Walaupun dijalankan secara atas talian, namun sambutan daripada warga sekolah amat memberansangkan. Menurut Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara iaitu Encik Ahmad Radzi bin Ab Halim dan Puan Normaisaraf binti Abdul Rashid, program ini membantu memberi bayangan dan menyuntik motivasi pelajar untuk mencapai kejayaan dalam akademik kerana perkongsian yang diberikan adalah daripada alumni sekolah mereka sendiri yang dahulunya turut bersekolah disekolah yang sama dan pelajar seperti mereka suatu ketika dahulu. Pengetua SMK Mutiara, En. Yahya Bin Ahmad Puteh berkata,”SMK Mutiara dan alumni sekolah bergerak seiring dalam membantu perkembangan pelajar di sekolah untuk mencapai kejayaan dalam bidang mereka”. Aktiviti selingan yang menarik seperti cabutan bertuah turut dilaksanakan ketika program siri yang kedua dilaksanakan.

Kaedah penyampaian maklumat terhadap pelajar adalah secara bual bicara yang dijalankan secara atas talian bermula pada jam 8 malam sehingga 9 malam. Program ini telah mendapat sambutan yang sangat memberansangkan daripada pengetua, guru-guru dan para pelajar SMK Mutiara kerana keterujaan pengembalian nostalgia oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara, perkongsian daripada alumni SMK Mutiara yang kini telah berjaya menempatkan diri masing-masing dalam bidang kerjaya mereka. En. Mohd Hasrul Bin Mohd Redzuan, guru bimbingan dan kaunseling pelatih daripada Universiti Putra Malaysia yang kini menjalankan latihan di SMK Mutiara berkata,”usaha sekolah melalui peranan penting Unit Bimbingan dan Kaunseling mampu membantu pelajar dalam meningkatkan lagi motivasi mereka untuk Berjaya dalam akademik seperti alumni mereka kerana bukti yang nyata telah mereka lihat sendiri”.

Pihak sekolah akan terus berusaha meningkatkan motivasi pelajar untuk berjaya dengan pelaksanaan program-program yang berupa sedemikian dalam era pandemik kini.

Berita Oleh : SMK Mutiara