Hari Penetapan Sasaran SPM dan PT3 SMK Mutiara Perkukuh Komitmen Murid dan Ibu Bapa Terhadap Pendidikan

Labuan – Seramai 200 murid dan ibubapa telah hadir ke Majlis Hari Penetapan Sasaran SPM 2020 yang telah berlangsung pada 14 Februari lalu di Dewan Semarak SMK Mutiara. Majlis yang bermula jam 10 pagi itu dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah ini.

Penyelaras program, Encik Mohd Hafiz bin Lukman yang juga Kaunselor sekolah berkata seramai 145 calon SPM terlibat dalam majlis ini yang diadakan untuk memberi peluang kepada murid dan ibubapa masing-masing menetapkan sasaran pencapaian yang dihasratkan dalam SPM 2020.

“Sasaran murid dan ibubapa dipersetujui secara bersama dan disaksikan oleh guru-guru yang mengajar mereka. Sasaran yang diletakkan perlu mencabar dan memerlukan komitmen dan kesungguhan untuk dicapai.” katanya lagi.

Selain itu program ini juga memberi peluang kepada ibubapa untuk mengetahui program-program yang akan dijalankan oleh pihak sekolah bagi memastikan sasaran dapat dicapai.

Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim dalam ucapan beliau mengucapkan terima kasih kepada ibubapa dan penjaga atas usaha yang bersungguh-sungguh untuk hadir ke majlis ini.

Beliau telah menyentuh beberapa perkara penting dalam memastikan prestasi murid dan prestasi sekolah dapat ditingkatkan dalam SPM 2020. Antaranya ialah berkaitan kehadiran murid ke sekolah sepanjang tahun dan komitmen ibubapa atau penjaga terhadap pembelajaran anak-anak.

“Sebagai ibubapa, kita mesti bertanggungjawab terhadap Pendidikan mereka sehingga tamat persekolahan. Mereka adalah amanah yang perlu dididik dengan sempurna. Ibubapa jangan berkira dalam hal-hal pelaburan dalam pendidikan anak-anak kerana pulangannya nanti akan sampai semula kepada kita” tegas beliau.

Ibu bapa yang hadir memberi sokongan kepada pendidikan anak-anak mereka

Dalam Majlis itu juga, Encik Mohd Nizam telah menunjukkan prestasi pencapaian SPM dalam tempoh 3 tahun sejak 2016 hingga 2018. Pencapaian layak sijil SMK Mutiara telah menunjukkan peningkatan ketara iaitu 81.82% dalam tahun 2017 kepada 89.93% dalam SPM 2018. Beliau turut berharap agar momentum peningkatan ini dapat dijelmakan lagi di dalam keputusan SPM 2019 yang bakal diumumkan pada Mac nanti seterusnya dalam SPM 2020.

Menurutnya lagi, kerjasama dari semua pihak amat diperlukan dan dihargai dalam usaha mengangkat martabat SMK Mutiara sebagai sebuah institusi pendidikan yang dihormati. PIBG dan agensi luar telah banyak membantu pihak sekolah dalam menyalurkan dana untuk pelaksanaan program-program peningkatan Prestasi sekolah.

Turut hadir di dalam majlis berkenaan ialah Naib YDP PIBG, Puan Zuraidah binti Ahmad, pegawai angkat sekolah, Encik Afandi bin Nasir dan Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Siti Aminah Binti Zakaria.

Puan Zuraidah berkata PIBG akan memberikan insentif kepada murid terbaik SPM Tahun 2020. Menurutnya lagi, PIBG akan sentiasa memberi kerjasama sewajarnya demi kepentingan murid-murid yang bersekolah di sini.

Encik Afandi Nasir turut menasihatkan murid-murid yang beragama Islam agar mengamalkan membaca surah-surah yang pendek setiap hari sebagai pendekatan rohani ke arah kecemerlangan.

Puan Siti Aminah ketika menjawab pertanyaan ibubapa menjelaskan bahawa program terdekat yang akan dilaksanakan untuk calon-calon SPM 2020 ialah bengkel menjawab soalan peperiksaan yang melibatkan 17 mata pelajaran. Bengkel ini akan dibiayai sepenuhnya oleh PIBG sekolah.

Di akhir majlis, ibubapa mengambil peluang beramah mesra dengan guru-guru Tingkatan 5 dan guru kelas anak-anak mereka. Majlis tamat pada jam 11.30 pagi.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Ucapan aluan Pengetua SMK Rancha-Rancha, Encik Mohd Nizam



MPSM Labuan Hadiri Majlis Amanat dan Aspirasi Jabatan Pendidikan W.P. Labuan Tahun 2020

Labuan, 18 Feb 2020 – Seramai 9 Pengetua sekolah-sekolah menengah W. P. Labuan telah hadir ke Majlis Amanat dan Aspirasi Tahun 2020 di Auditorium Labuan International School (LIS), 15 Februari lalu.

Majlis yang dimulai jam 8.00 pagi turut melibatkan kira-kira 500 warga pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan termasuk YDP PIBG sekolah-sekolah.

Majlis dimulakan dengan sesi Bicara Profesional Pendidikan melibatkan penerangan fungsi dan tanggungjawab sektor-sektor di bawah penstrukturan baharu Jabatan Pendidikan W. P. Labuan.

Seramai 4 Timbalan Pengarah dan 2 Ketua Penolong Pengarah telah menyampaikan taklimat berkaitan sektor masing-masing. Sesi Bicara Profesional ini telah dikendalikan oleh moderator Encik Pengiran Abdul Kadir bin Pengiran Budin, SISC+ Matematik Jabatan Pendidikan W. P. Labuan.

Bual Bicara Profesional

Perasmian majlis ini telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman bin Datuk Haji Isli. Dalam ucapannya beliau mengucapkan terima kasih atas usaha gigih guru-guru yang telah berjaya meletakkan Labuan sebaris dengan negeri-negeri lain dalam bidang pendidikan.

“Jabatan Pendidikan telah banyak membantu membangunkan ekonomi Labuan melalui penganjuran aktiviti pelancongan Pendidikan seperti LICER, MAITAH BERINOVASI dan melalui acara-acara sukan” kata beliau lagi.

Terdahulu, Pengarah Pendidikan Labuan, Encik Raisin bin Saidin telah menyampaikan Amanat dan Aspirasi Pendidikan 2020 bertemakan BERSAMA-SAMA MELANGKAH LEBIH JAUH : AKAUNTABILITI TERHADAP PENDIDIKAN DI LABUAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA.

Menurut beliau, setiap guru mesti berakauntabiliti dan meningkatkan rasa kebertanggungjawaban secara bersama dalam pendidikan ke arah Kemenjadian Murid .

“Empat fokus utama akauntabiliti pendidikan ialah penyertaan murid, pembelajaran murid kualiti guru dan Pemimpin sekolah serta pentaksiran. Setiap guru mesti mempunyai roh yang mampu mengubah tingkah laku anak-anak murid dan melahirkan modal insan yang kalis masa depan” Encik Raisin Saidin

Di akhir amanat, Encik Raisin menyeru agar semua guru bekerja bersungguh-sungguh mendidik warga sebagai melahirkan rasa kesyukuran terhadap kerjaya dan kepada tuhan.

Di dalam majlis ini juga, Jabatan Pendidikan telah memberi penghargaan kepada 3 individu yang banyak memberi sumbangan dan berjasa kepada Pendidikan di Labuan sepanjang tahun 2019. Pengiktirafan secara tahunan ini telah diberikan kepada Datin Seri Datuk Norsiah binti Abdullah, Tuan Haji MD. Yusof bin Hj. Chu Chu dan Puan Nyuk Ping Ong.

YDP MPSM Labuan, Encik Ismail Abdullah telah memimpin bacaan Ikrar Perkhidmatan Awam dan lafaz Rukun Negara semasa majlis tersebut.

Beliau juga berkata para Pengetua adalah Pemimpin barisan hadapan yang akan menjadi peneraju kepada hasrat dan Aspirasi KPM 2020 dan akan berusaha bersungguh-sungguh ke arah kualiti sekolah dan Kemenjadian Murid selaras Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025).

Berita Oleh : Encik Mohd Nizam bin Yasim

Ikrar Perkhidmatan Awam



Umpama Menatang Minyak Yang Penuh, Skrr Sambut Pelancaran Jom Ke Sekolah

Labuan,
17 Februari 2020 – Peribahasa tersebut amat sesuai dikaitkan dengan program Jom
ke Sekolah yang telah dilancarkan pada 17 Februari 2020 (Isnin) serentak
seluruh Malaysia. Program ‘Jom Ke Sekolah” yang
direncanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Polis
DiRaja Malaysia (PDRM) bertujuan untuk  menangani masalah disiplin pelajar
dan salahlaku jenayah bermula diperingkat akar umbi.

Kehadiran Pegawai Polis yang juga Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Sekolah
Kluster Kecemerlangan (SKK) SK Rancha-Rancha iaitu ASP
Sukvinderjeet Singh A/L Chanan Singh yang turut
menyampaikan perutusan ketua polis negara sempena program ‘Jom Ke Sekolah’ peringkat
kebangsaan tahun 2020.  Antara isi
perutusan tersebut adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM) berharap agar komuniti
sekolah dan pihak yang berkaitan dapat bekerjasama untuk terus membimbing
generasi muda, agar mereka tidak mudah terpesong, dan sebaliknya menjadi modal
insan yang cemerlang dan disanjung tinggi.

Majlis turut dihadiri Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Dr Mohammad Hamim bin Mohamad Hanifah dan Naib YDP PIBG Hasan @ Hassan bin Jinin, pegawai angkat sekolah, Zaliha binti Mohd Salleh yang turut terlibat melakukan simbolik pelancaran program ‘Jom Ke Sekolah’ bersama-sama pentadbir sekolah, Guru Besar, Norinnie binti Kassim, PK Pentadbiran, Midah binti Yusop, PK Ko-kurikulum, Zulkipli Pabin, PK HEM, Shawal Abd Rahman, PK KPKP, Rodhy Edward Anak Edward Jalin. Simbolik pelancaran yang menarik dengan menampilkan murid yang berpakaian lengkap seperti seorang pegawai polis sebagai simbolik kemenjadian murid SKK SKRR.

NORINNIE (tengah) SUKVINDERJEET (empat kiri) dan HAMIM (empat kanan) bergambar kenangan pada papan kenyataan PPS.

Norinnie turut membacakan perutusan Menteri Pendidikan Malaysia turut menegaskan
bahawa kerjasama antara KPM dengan PDRM melalui PPS sentiasa diperkasakan untuk
menjadikan sekolah sebagai kawasan selamat dan ceria kepada semua murid. Pihak
KPM mengharapkan bukan sahaja murid dapat menikmati rasa selamat apabila berada
di sekolah tetapi warga sekolah, ibu bapa dan semua pihak yang berkepentingan
turut merasai perasaan tersebut setiap kali berada di kawasan sekolah.

Hamim
berharap agar program ini memberi impak positif kepada murid-murid dan turut
mengingatkan mereka agar sentiasa menjaga kebersihan diri dan persekitaran
untuk mengelakkan penularan Covid-19 dan gejala-gejala lain.

Majlis diakhiri dengan merasmikan papan kenyataan PPS yang ditandatangani oleh ASP Sukvinderjeet Singh. Program yang dikelolakan oleh penyelaras Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK), Faizurah binti Karim dan Lembaga Disiplin Sekolah di bawah seliaan pengurusan HEM berharap program yang melibatkan jalinan antara KPM – PDRM  dan PIBG sekolah  akan lebih memberi impak terhadap kehadiran murid ke sekolah dan seterusnya dapat meningkatkan lagi kemenjadian murid dari segi sahsiah, kokurikulum dan khususnya kurikulum.

Murid fokus mendengar perutusan ketua polis negara yang disampaikan oleh pegawai perhubungan sekolah.



“SEDERAP MELANGKAH”

Labuan, 16 Februari– Program Motivasi Kecemerlangan UPSR 2020 yang
bertemakan “Sederap Melangkah” berbaki hanya 7 bulan sahaja lagi sebelum
menduduki UPSR sebenar. Pelbagai usaha dilakukan untuk membantu para calon UPSR
2020 menghadapi situasi peperiksaan. Perasmian
program disempurnakan oleh Guru Besar SK Pekan Satu Puan Anita Shyamini A/P S.
Azman dan diisi dengan ceramah motivasi yang bertajuk “Ibu Bapa Terbaik, Anak
Hebat” yang disampaikan oleh Pengurus Buddies Training And Consultant Cik Emy
binti Othman.

Turut hadir ialah Penolong Pengarah Unit  Sekolah Rendah JPWPL merangkap pengawai Angkat
SKPS Haji Yunus bin Haji Yussof, Penolong Pengarah Unit Pendidikan Swasta Sektor
Pengurusan Sekolah JPWPL,merangkap NYDP PIBG SKPS Puan Zaliha binti Mohd Salleh,
PK Pentadbiran SKPS Encik Airol Azmi bin Abd Gani, PK HEM SKPS Puan Normah
Binti Rahimi, PK Kokurikulum
SKPS Encik Esmit bin Amat, PK PPKI SKPS Encik Mohd Faisal bin Haji Moin, dua
orang anggota tertinggi PIBG, 30 orang guru, 134 orang murid dan 120 orang ibu
bapa.

Objektif utama program ini ialah bertujuan meningkatkan keyakinan murid-murid dalam menghadapi situasi pembelajaran khususnya UPSR yang bakal diduduki oleh murid-murid tahun 6. Selain itu, program ini salah satu usaha guru-guru tahun 6 bagi menerapkan nilai-nilai murni dalam membina pembelajaran yang berkualiti.

Peserta motivasi tekun mendengar ceramah motivasi yang disampaikan oleh penceramah.

Dalam ucapan, Puan Anita Shyamini mengucapkan jutaan
terima kasih kepada para jemputan terutama ibubapa penjaga murid dan semua yang
terlibat dalam Program Motivasi Kecemerlangan UPSR 2020. Bagi pengetahuan
semua, keputusan UPSR pada tahun 2019 meningkat berbanding UPSR tahun 2018 dan
ianya menjadi pemangkin semangat kepada guru-guru untuk berusaha
memperbanyakkan lagi program sebegini bagi mempersiapkan diri murid-murid tahun
6 menghadapi UPSR lebih awal.

“Saya juga berharap agar semua ibu bapa khususnya ibu
bapa tahun 6 memberi kerjasama yang jitu kepada guru-guru SKPS bagi melaksanakan
pelbagai program untuk murid-murid tahun 6 ini kerana tanpa komitmen semua
pihak maka objektif sesuatu program tidak akan tercapai” tambah beliau lagi.

Motivasi yang bertajuk “Ibu Bapa Terbaik, Anak Hebat”,
Cik Emy menekankan tentang kesedaran kepada ibu bapa akan kepentingan kerjasama
3 hala iaitu guru, ibu bapa dan murid. Kegigihan serta kesungguhan ahli
jawatankuasa melaksanakan program ini memperlihatkan usaha guru-guru
mempersiapkan minda dan fizikal para calon sebagai pahlawan yang berentap dalam
peperiksaan UPSR sebenar yang bakal menjelang. “Ibubapa hendaklah sentiasa
memastikan anak-anak menhormati guru-guru khususnya, agar ilmu yang diperolehi
akan diberkati dan dengan keredhaan seorang guru menjadi tunggak utama
murid-murid mencapai kejayaan kelak” tambah beliau lagi.

Secara konklusinya, penyelaras program iaitu Puan Norsharina binti Nordin menyatakan dengan adanya program seumpama ini akan menjadi pemangkin serta wadah kejayaan murid-murid SKPS malah sebagai tunggak kecemerlangan prestasi akademik SKPS. “Pencapaian terbaik murid dalam akademik merupakan cerminan kepada kecemerlangan guru yang hebat dalam mengadaptasikan segala ilmu pengetahuan sekaligus memperlihatkan komitmen yang tinggi dalam kalangan guru-guru Tahun 6 SKPS terhadap kepentingan calon-calon UPSR SKPS mencapai kegemilangan di dalam bidang akademik” tambah beliau lagi.

Ibu bapa yang hadir memeriahkan program Motivasi Kecemerlangan UPSR 2020.




Pelancaran Kempen Jom Ke Sekolah 2020

Labuan, 17 Februari- Program Pelancaran Kempen Jom Ke Sekolah 2020 SK Pekan Satu yang melibatkan semua warga SKPS diadakan di Dewan C.U.N. Program ini selaras dengan saranan Kementerian Pendidikan Malaysia bahawa kehadiran murid ke sekolah harus diberi perhatian sepanjang tahun ini kerana peratus kehadiran murid ke sekolah merupakan satu kriteria penting dalam menentukan kecemerlangan sekolah. Perasmian majlis disempurnakan oleh Pegawai Cawangan Khas IPD W.P. Labuan merangkap Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) SK Pekan Satu (SKPS) Asp. Mohd Sudirman Bin Abu.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pegawai Cawangan Hal Ehwal Awam IPD W.P. Labuan merangkap Penolong PPS SKPS Sjn. Stia Ak Mapan, Penolong Pengarah Unit Sekolah Rendah JPWPL merangkap pengawai Angkat SKPS Haji Yunus bin Haji Yussof, Guru Besar SKPS Puan Anita Shyamini A/P S. Azman, Yang Dipertua (YDP) PIBG SKPS Encik Azrul Rizhan bin Abd Rahman, PK HEM SKPS Puan Normah Binti Rahimi, PK Kokurikulum SKPS Encik Esmit bin Amat, PK PPKI SKPS Encik Mohd Faisal bin Haji Moin, AJK Biro Kewangan Pibg Encik Yassin bin Tawih dan 85 orang guru.

Dalam ucapannya, Puan Anita Shyamini mengucapkan terima kasih dan syabas kepada hadirin dan AJK program kerana dapat melaksanakannya dengan cemerlang. Beliau memetik ucapan Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia YB Teo Ni Ching “Program sebegini mampu menjalinkan kerjasama yang mantap diantara pihak sekolah dan PPS yang mana ianya dapat mewujudkan disiplin murid yang lebih terkawal selaras dengan konsep sekolah selamat dan amalan guru penyayang”.

Tetamu-tetamu kehormat berkesempatan bersama guru-guru dalam program guru penyayang di pintu sekolah menyambut kedatangan murid.

Asp. Mohd Sudirman amat teruja dengan kerjasama yang diberikan oleh pihak sekolah terhadap PSS. Beliau berkesempatan menyampaikan perutusan daripada Ketua Polis Negara “KPM, PDRM dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan telah menerbitkan Buku Panduan Pegawai Perhubungan Sekolah (BPPPS) sebagai garis panduan kepada PSS dan semua pihak yang berkaitan dalam melaksanakan program atau aktiviti yang telah ditetapkan”.

Penyelaras program, Puan Hjh Jamayah Binti Mohid melahirkan rasa kesyukuran dan terima kasih kepada semua terutama kepada guru-guru yang mengawal keadaan murid bagi melancarkan program ini. Tambahnya lagi, berharap agar mesej yang disampaikan semasa program Jom Ke Sekolah 2020 dapat dihayati oleh murid-murid sepenuhnya.

Suasana murid-murid di Dewan C.U.N dalam keadaan yang terkawal.



Delegasi Guru SK. Pekan II Mencaknai Aspirasi Pendidikan

Labuan, 17 Feb 2020 – Seramai 14 orang delegasi guru dari SK. Pekan II, WP. Labuan telah menghadiri Majlis Amanat dan Aspirasi Tahun Baharu 2020 bertempat di Dewan Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS), 15 Februari lalu, yang telah dihadiri oleh 500 orang warga pendidikan Labuan.

Majlis telah dirasmikan oleh YB Datuk Rozman Bin Datuk Hj. Isli, Ahli Parlimen Labuan.

Dalam amanat beliau, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Cikgu Raisin Bin Saidin menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada warga pendidikan, sekolah, ibu bapa dan komuniti telah berjaya memartabatkan pendidikan serta kemenjadian murid-murid dalam akademik dan kokurikulum sehingga mencapai peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau berharap momentum kecemerlangan ini diteruskan lagi pada tahun 2020 selaras dengan roh guru yang seharusnya mampu mengubah tingkahlaku murid dan menerima manfaat daripada tugas dan tanggungjawab guru tersebut.

Beliau seterusnya menerangkan tentang “Wawasan Kemakmuran Bersama 2030” yakni untuk melahirkan modal insan yang kalis masa depan. Antaranya adalah strategi transformasi modal insan yang fokus kepada penyediaan halatuju sumber tenaga yang lebih produktif, efektif, berkemahiran, berteknologi dan bernilai tinggi. Bagi tahun 2020, fokus Jabatan akan lebih tertumpu ke arah ‘Merealisasikan Kemakmuran Bersama Melalui Pendidikan’. Ini bermakna semua murid mesti berupaya bersaing dengan jayanya dalam kehidupan mereka.

Duta Guru SK. Pekan II cikgu Nadia (depan sekali sebelah kiri) dan warga pendidik SK Pekan II

Persediaan dan kesedaran dalam kalangan murid-murid, guru dan komuniti melalui program Ziarah Cakna yang bertujuan  untuk mengeratkan hubungan murid-murid, sekolah dan ibubapa adalah merupakan platform terbaik demi merealisasikan dan membina rangka intervensi yang bersesuaian.

Sehubungan itu pelibatan komuniti hendaklah dipertingkatkan untuk faedah anak-anak. Selaras dengan itu penekanan terhadap penguasaan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu perlu diberi perhatian yang serius oleh semua guru memandangkan subjek ini wajib lulus termasuk Sejarah pada 2021.

Beliau juga mengingatkan kepada semua guru yakni “Jika sudah memilih profesyen guru sebagai kerjaya maka bekerjalah sebagai tanda kesyukuran kepada Tuhan dengan memastikan kemenjadian anak-anak murid dan sentiasa menyayangi mereka”.

Pada akhir ucapannya beliau mengucapkan selamat bertugas kepada semua guru dan menyeru supaya berusaha menjulang nama Labuan dalam bidang pendidikan.

Berita Oleh : SK Pekan Dua




Komitmen Ibubapa Menerusi Pibg Membantu Dalam Pembangunan Dan Kemenjadian Murid SK Sungai Lada

Labuan, 16 Februari 2020 – Melahirkan generasi untuk kemenjadian murid melalui ucapan Pengarah Pendidikan Cikgu Raisin Bin Saidin adalah sejajar dengan hasrat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sasaran Sekolah Kebangsaan Sungai Lada W.P Labuan. Mesyuarat PIBG berlangsung pada 16 Februari 2020 (Ahad) bertempat di Dewan Sri Kedayan telah dirasmikan oleh Cikgu Raisin Bin Saidin Pengarah Pendidikan W.P Labuan dengan begitu meriah sekali dan disambut dengan kehadiran ibubapa dan guru yang banyak memberikan komitmen atas semua program sekolah dan pibg.

Raisin (tengah),Abd Rauf (kiri), Maidan Dali (kanan), Siroja, Norlihan, Syarifah (NYDP) dan AJK PIBG

Seramai 242 orang ibu bapa dan guru hadir pada mesyuarat tersebut. Turut hadir YDP PIBG  En Abd Rauf  Bin Lang Pasih , En Maidan Dali @ Sumardi Bin Yusoff Guru besar, Encik Jevareeani A/L Samigano pegawai angkat sekolah, Pn Siroja Rahimin GPKP, Pn Noorlihan Binti Abdul Alip GPKHEM, Ustaz Abd Kahar  Bin Abdul Rahim GPKO, barisan AJK PIBG dan guru-guru Sekolah Kebangsaan Sungai Lada.

Sementara itu, pada mesyuarat kali ini juga Cikgu Raisin telah menyampaikan insentif  SSPN sebanyak RM500 setiap orang kepada 3 orang murid cemerlang UPSR iaitu adik Nurul Maisara Bin Maidan Dali @ Sumardi (6A), Ros Anis Adawiyah Binti Roslimeh (6A) dan adik Nur Atiqah Zaheerah Binti Abd Isa (5A1B). Insentif  ini adalah sumbangan daripada PIBG untuk murid yang cemerlang UPSR. Peningkatan UPSR Sekolah Kebangsaan Sungai Lada juga telah berjaya meningkatkan peratus lulus minimum sebanyak 11% daripada 52%(2018) kepada 63% (2019) dan peningkatan keputusan PAJSK semua gred A.

Mesyuarat Agung PIBG Kali ke -28

Selain itu, pada tahun 2019 juga Sekolah Kebangsaan Sungai Lada telah
berjaya meraih anugerah HEM dalam kategori Pengurusan disiplin Cemerlang
bertaraf lima bintang peringkat kebangsaan tahun 2019 lalu. Mesyuarat PIBG
diteruskan selepas perasmian dan mesyuarat berjalan dengan lancar.

Majlis yang berlangsung ini juga diselitkan dengan ceramah khas daripada bank
angkat sekolah Public Bank, ceramah kesihatan dari jabatan kesihatan dan SSPN
tabung pendidikan. Penyerahan sumbangan buku cerita untuk pusat sumber daripada
sumbangan PIBG kepada sekolah juga disalurkan untuk menggalakkan budaya membaca
di kalangan anak-anak. Guru besar  En
Maidan Dali juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada ibubapa dan
komuniti sekolah yang terlibat kerana sentiasa memberikan komitmen dan
kerjasama kepada pihak sekolah untuk pembangunan murid . Mesyuarat PIBG telah
diakhiri dengan sesi bergambar ramai-ramai.




Memantapkan Kepimpinan KRS Labuan

Labuan, 17 Feb 2020 – Seramai 19 peserta menghadiri Perkhemahan Kepimpinan Pelajar Kadet Remaja Sekolah (KRS) dan Pentauliahan Pangkat Lans Koperal dan Koperal KRS SMK Labuan 2020 pada 14 hingga 16 Februari lalu.

Matlamat program itu ialah untuk memberi peluang kepada kadet dan AJK Tertinggi KRS SMK Labuan untuk memperolehi pengetahuan, pengalaman, kemahiran, kebolehan mengurus dan memimpin.

Pengisian aktiviti sepanjang program ialah penghayatan kurikulum KRS kawad kaki, ikhtiar hidup, penghayatan rohani.

Pada majlis itu, empat orang murid mendapat pentauliahan dan menerima pangkat Koperal KRS iaitu Aznil Abdullah, Mohd Khairul Azwan Azman, Nick Zachary Petrus dan Deena Liyana Talip.

Empat lagi murid menerima pangkat Lans Koperal KRS iaitu Siti Nuraliah Zam Zam, Nurul Farhana Bali, Syarikey Benedict dan Nor Akmal Danial Abdul Latif.

Encik Cheah dan Encik Mohd Zukifli memakaikan pangkat kepada Koperal KRS Khairul Azwan bin Azman
Lapan orang penerima pentauliahan pangkat

Lima orang guru terbabit dalam program berkenaan iaitu Kapten KRS Irwan Herman, Leftenan Muda KRS Normazrena Kadam, Pegawai KRS Siti Juhaidah Sani, Pegawai KRS Norazimah. Mereka dibantu oleh enam orang pelajar KRS Tingkatan 6 sebagai fasilitator.

Pentauliahan pangkat disempurnakan oleh Timbalan Komandan KRS SMK Labuan Mejar KRS Cheah Teong Aik.

Turut hadir Penyelaras Unit Beruniform SMK Labuan Cikgu Mohd Zukifli Ismail.

Sementara itu, Pengetua SMK Labuan Encik Ismail Abdullah berharap AJK KRS yang telah dilantik boleh membantu guru penasihat dengan yakin dalam setiap interaksi perjumpaan kokurikulum.

Manakala penerima pangkat dapat memberi inspirasi kepada ahli lain agar terus aktif dan meningkatkan kemahiran.

“KRS SMK Labuan terus cemerlang dan berupaya membentuk peribadi, ketrampilan dan kepimpinan murid-murid SMK Labuan,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada murid-murid dan guru-guru KRS.

Berita Oleh : SMK Labuan




BERSAMA-SAMA MELANGKAH LEBIH JAUH : Akauntabiliti Terhadap Pendidikan Di Labuan Tanggungjawab Bersama

Labuan 16 Feb 2020 – Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin telah menyampaikan Amanat dan Aspirasi Pendidikan 2020 bertemakan BERSAMA-SAMA MELANGKAH LEBIH JAUH : AKAUNTABILITI TERHADAP PENDIDIKAN DI LABUAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA.

Seramai 500 orang warga pendidikan di Labuan telah menghadiri Majlis tersebut bagi mendengar amanat yang disampaikan oleh Encik Raisin Saidin di Dewan Utama, Sekolah Antarabangsa Labuan, kelmarin.

Encik Raisin Saidin berkata setiap guru perlu membuat refleksi terhadap tugas mereka sebagai seorang pendidik. Natijah yang besar akibat kerja buat seorang guru mampu mengubah tingkah laku seseorang murid di dalam bilik darjah.

“Roh dan aura seorang guru yang ‘mendarah daging’ hendaklah sampai kepada murid-murid dan sehingga mereka yakni murid dapat merasainya” Encik Raisin Saidin

Empat pendekatan yang difokuskan oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 2020 iaitu akauntabiliti seorang guru terhadap muridnya sesuai dengan slogan ‘guru sayang muridnya’, aura roh guru sentiasa mendarah daging dalam diri guru, guru mengajar murid belajar dan berbuat, meningkatkan kecemerlangan dan kemenjadian murid secara menyeluruh.

Tambahnya lagi setiap ringgit daripada peruntukan kewangan yang diterima daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan dibelanjakan sama ada di peringkat Jabatan mahu pun di sekolah hendaklah memberi pulangan maksimum kepada murid. Dengan kata lain faedahnya hendaklah dipulangkan kepada anak-anak murid.

Ikrar Perkhidmatan Awam oleh warga pendidikan yang hadir
Para Guru Besar dan guru-guru yang hadir mendengar amanat dan aspirasi tahun 2020

Majlis telah dirasmikan oleh Datuk Rozman Haji Isli, Ahli Parlimen P166 Labuan.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan dilihat sebagai prospek terbaik dalam membantu meningkatkan sektor pelancongan di wilayah ini sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Jabatan Pendidikan Labuan menganjurkan seminar, persidangan, lawatan silang budaya, pertandingan sukan serta aktiviti kokurikulum yang dilihat sebagai penyumbang yang membantu perkembangam industri pelancongan di wilayah ini.

“Saya berharap pada tahun 2020, pemimpin sekolah akan lebih aktif menganjurkan hubungan permuafakatan di peringkat antarabangsa ke Labuan” . Datuk Rozman Haji Isli.

Datuk Rozman Haji Isli, Encik Raisin Saidin, Timbalan-timbalan Pengarah bersama Pegawai dan Warga Sekolah di Labuan

Terdahulu, Bual Bicara Profesional membincangkan hala tuju pendidikan di Labuan, mentransformasi sistem penyampaian perkhidmatan pendidikan melalui pemantapan peranan dan fungsi pembangunan dasar, perancangan serta pengoperasian di peringkat Kementerian dan Jabatan Pendidikan.

Ahli panel terdiri daripada Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Puan Khaziyati bt Osman, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yusup bin Mohamad, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon bt Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Encik Ag Marten bin Abdul Rahman dan Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Ustaz Mohd Syahir bin Mohd Yusoff.

Moderator bual bicara ini dipengerusikan oleh Pgn. Abd Kadir bin Pgn. Budin.

Moderator dan Panel Bual Bicara Profesional

Sempena majlis itu juga, Datuk Rozman turut menyampaikan Anugerah Khas Pendidikan kepada tiga individu yang telah banyak membantu dan menyumbang kepada Jabatan Pendidikan Labuan sepanjang tahun 2019.

Tiga individu yang menerima anugerah khas itu ialah ahli korporat, YBhg. Datin Sri Dato’ Hajah Norsiah Abdullah, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Labuan, Tuan Haji Md.Yusof bin Chuchu dan Guru Besar Tadika Riang Ria, Puan Ong Nyuk Ping.

Datuk Rozman Hj Isli, Encik Raisin Saidin, Timbalan-timbalan Pengarah bersama penerima Anugerah Pendidikan
Sokongan berterusan daripada Komuniti PIBG Sekolah
Gambar Kenangan : Encik Raisin Saidin bersama Timbalan-timbalan Pengarah, Ketua-ketua Penolong Pengarah, YDP MPSM dan Pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan WP Labuan



Murid SK Pekan II raih Anugerah Penerjun Cemerlang Lelaki

Labuan 16 Feb 2020 – Penerjun Sekolah Kebangsaan Pekan II, Wilayah Persekutuan Labuan berjaya membawa pulang Anugerah Penerjun Cemerlang Lelaki Bawah 12 Tahun di Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan Kali ke-19 2020 yang diadakan di Kolam Renang Labuan International School pada 10-14 Februari lalu.

Murid 5 Bijaksana, Joramli Soni memenangi
pingat emas 1 meter Terjun Papan Anjal Kategori Lelaki Bawah 12 Tahun.

Beliau turut meraih pingat perak 3 meter
Terjun Papan Anjal Kategori Lelaki Bawah 12 Tahun.

Seorang lagi penerjun SK Pekan II, Mohd
Nazmi Abd Majid (2 Intelek) berjaya membawa pulang pingat emas 50 meter Gaya
Bebas Kategori Lelaki Bawah 8 Tahun.

Mohd Nazmi turut meraih pingat perak 50 meter
Gaya Kupu-Kupu Kategori Lelaki Bawah
8 Tahun.

Kejayaan kedua-dua murid tersebut membolehkan SK Pekan II meraih 2 Emas dan 2 Perak.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin.

Kejohanan Akuatik ini adalah sukan yang diadakan setiap tahun dan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ialah untuk melahirkan murid cerdas mental dan cergas fizikal.

Antara objektif program tersebut ialah
untuk melahirkan bakat-bakat baru yang akan dipilih untuk mewakili sekolah
dalam kejohanan akuatik bagi mewakili MSS WP Labuan ke peringkat kebangsaan.

“Kejohanan Akuatik juga bertujuan untuk membina dan memupuk nilai-nilai disiplin kerjasama, daya saing dan daya juang dalam kalangan murid” Encik Raisin Saidin

Sebanyak 16 sekolah rendah termasuk LIS telah menghantar penyertaan bagi acara terjun dan renang.

Berita Oleh : SK Pekan Dua

Gambar Kenangan : Encik Raisin Saidin bersama Puan Hajah Dayang Damit @ Saidah dan adik Joramli Soni