SK Kerupang Prihatin Bantu Keluarga Murid Mangsa Kebakaran
Labuan, 23 Mac – Rombongan guru dan staf SK Kerupang yang diketuai oleh Yang Berusaha Guru Besar , Puan Hajah Aini binti Haji Salleh telah mengadakan lawatan amal kepada mangsa rumah terbakar iaitu adik Maulana Ibrahim yang menuntut di tahun 4 Aspirasi, SK Kerupang.
“Pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ibu bapa, guru dan murid di atas kutipan sumbangan ikhlas Kepada Adik Maulana Ibrahim. Semoga DiKurniakan Rezeki yang Luas Dan DiRahmati Allah SWT….Tahniah Semua Warga SKK Warga Perihatin. “ Puan Hjh Aini Binti HJ Salleh
Kebakaran berlaku pada 20 Mac 2021 yang lalu, memusnahkan keseluruhan rumah kediaman adik Maulana sekeluarga.
Dalam sesi lawatan ini, Puan Guru Besar telah menyerahkan sumbangan ikhlas daripada pihak sekolah kepada keluarga adik Maulana bagi membantu sedikit sebanyak beban yang ditanggung oleh mereka akibat musibah ini.
Serahan Sumbangan sekolah yang kedua menyusul dan disampaikan oleh Puan Hajah Aini pada keesokan harinya bersamaan 24 Mac 2021, kepada keluarga adik Maulana.
Berita Oleh : SK Kerupang
Program Jambatan Kasih 2021
Labuan, 22 Mac– Sekolah Kebangsaan Pekan Satu (SKPS) Wilayah Persekutuan Labuan sekali lagi telah menerima rombongan lawatan daripada Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (TKPPM) Dato’ Hj Adzmin bin Talib. Turut hadir Pengarah Pendidikan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad berserta timbalan dan penolong-penolong pengarah. Program ini bermula dari jam 11.30 pagi sehingga 1.15 petang.
Menurut Encik Yusup, program ini merupakan lawatan bersifat muhibah untuk mengenal pasti langkah yang terbaik melaksanakan proses penyuraian murid di SKPS. “Dengan mematuhi SOP yang ketat, pihak sekolah memberi contoh yang baik kepada sekolah lain khususnya dalam proses penyuraian murid menggunakan aplikasi e-Mulih” tambah beliau lagi.
Ketibaan rombongan ini disambut meriah oleh Guru Besar SKPS, Anita Shyamini A/P S. Azman. Turut hadir PK Pentadbiran SKPS Encik Airol Azmi bin Abd Gani, PK HEM SKPS Puan Normah binti Rahimi, PK Kokurikulum SKPS Encik Esmit bin Amat, PK PPKI En. Mohd Faizal Abd Moin serta guru-guru SKPS sebagai tanda memberi semangat yang tidak terhingga kepada rombongan pelawat.
Di samping itu, Dato’ Hj Adzmin mengucapkan tahniah kepada Pihak pengurusan dan semua guru kerana melihat kerjasama dan kesungguhan guru-guru dalam memastikan penyuraian murid berjalan lancar melalui aplikasi e-Mulih. Secara keseluruhannya Dato’ Hj Adzmin berpuas hati dan mengucapkan tahniah khasnya kepada Encik Airol Azmi dan Encik Mohd Noor Izuan Bin Anuar “the founder of e-Mulih” dan amnya kepada seluruh pasukan penyuraian serta semua yang terlibat dalam kejayaan ini. Dato’ Hj Adzmin menunjukkan minat terhadap sistem e-Mulih dan akan cuba mengetengahkannya diperingkat sekolah-sekolah KPM.
Dari Kiri Encik Yusup, Dato’ Hj Adzmin Dan Puan Anita Shyamini Berbaris Di Stesen “Scan QR Code”
Puan Anita Shyamini meluahkan rasa syukur dengan periktirafan Aplikasi e-Mulih kerana ianya umpama satu kredit besar kepada SKPS dalam menaikkan maruah guru dan sekaligus menaikkan martabat SKPS. Apa yang paling penting SKPS telah menemui satu formula penyuraian yang sesuai dengan kapasiti murid, ibubapa dan ruang terhad sekolah. “Insha Allah founder of e-Mulih akan diimport ke Kelantan atau secara GoogleMeet untuk sesi perkongsian amalan penyuraian ini” tambah beliau lagi.
Akhir sekali, penyelaras program Encik Mohd Noor Izuan melahirkan rasa terima kasih kepada pihak rombongan kerana sudi melawat SKPS dan melihat perjalanan proses penyuraian menggunakan aplikasi e-mulih. “Kami sebagai guru juga mengharapkan proses penyuraian menggunakan Aplikasi e-Mulih berjalan lancar dan akan berusaha mempertingkatkan lagi aplikasi ini dari semasa ke semasa agar ianya bertambah baik” ulas beliau lagi.
Dato’ Hj Adzmin Berkesempatan Mengimbas QR Code Bagi Ibubapa Yang Mengambilnya Anaknya Melalui “Drive-thru”.
Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi SMKTPB Labuan Berhad
Labuan, 15 Mac – Koperasi SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) Labuan Berhad telah menganjurkan mesyuarat agung tahunan koperasi kali ke 17 seperti yang dirancangkan oleh Ahli Lembaga Koperasi telah berjalan dengan lancar.
Mesyuarat ini berlangsung secara dalam talian pada 12 Mac 2021 bermula jam 2.30 petang sehingga jam 4.00 petang yang telah dipengeruskan oleh Encik Ag Rozlan Bin Manan, selaku Pengerusi Koperasi. Mesyuarat ini juga turut dihadiri oleh Encik Azmaniansyah Bin Bachok, Pengurus Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) cawangan Wilayah Persekutuan Labuan, guru-guru, dan juga murid-murid SMKTPB seramai 80 orang.
Pengerusi koperasi memulakan mesyuarat dengan ucapan alu-aluan dan merakamkan ucapan terima kasih kepada Encik Azmaniansyah bin Bachok selaku Pengurus SKM yang sudi hadir bersama untuk memantau dan melihat perjalanan sepanjang mesyuarat ini berlangsung. Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli koperasi yang meluangkan masa untuk hadir bersama.
Menurut Pengerusi Koperasi, Encik Ag Rozlan bin Manan, mesyuarat ini adalah bertujuan untuk mendedahkan kepada semua ahli koperasi terutama murid-murid dalam menguruskan koperasi terutama dari segi kewangan dan cara untuk menguruskan koperasi dengan bijak dan juga memberi pengalaman kepada murid-murid untuk merasai suasana bermesyuarat dalam keadaan sebenar. Mesyuarat ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada ahli koperasi dari segi belanjawan tahunan, dapatan keuntungan dan juga aktiviti koperasi yang telah dirancang pada setiap tahun.
En. Ag Rozlan menyampaikan ucapan
En. Azmaniansyah Bin Bachok
Pengurus SKM cawangan Labuan
Selesai ucapan daripada Encik Ag Rozlan, mesyuarat ini diteruskan dengan agenda- agenda yang telah dirancangkan termasuklah pembubaran Ahli Lembaga Koperasi (ALK) bagi sesi 2019/2020 dan melantik Ahli Lembaga Koperasi yang baharu bagi sesi 2020/2021, Pembentang Anggaran Belanjawan bagi Sesi 2020/2021, Pemberian elaun kepada ALK dan hal-hal lain.
Dalam cadangan usul, Encik Ag Rozlam meminta agar pihak koperasi dapat memikirkan mekanisme yang boleh memberi pengalaman kepada semua murid sekolah dari segi keusahawanan, perniagaan dan ekonomi supaya murid-murid lebih bersemangat dan bermotivasi untuk menceburkan diri dalam pelbagai bidang terutama dalam perniagaan.
Sebelum mengakhiri mesyuarat, Encik Azmaniansyah dalam ucapannya merakamkan ucapan terima kasih atas kehadiran semua dalam mesyuarat ini. Beliau juga merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada pihak Koperasi kerana berjaya mengadakan mesyuarat ini secara dalam talian walaupun dalam keadaan pandemik Covid-19 ini. Beliau berharap agar koperasi dapat membuat penambahbaikan dan mengikuti segala peraturan-peraturan dalam undang-undang kecil koperasi dengan lebih efektif. Turut hadir bersama dalam mesyuarat ini penolong kanan pentadbiran Puan Chai Yee San, Penolong kanan Kokurilum Puan Lau Chin Ying dan Penolong kanan HEM Encik Awang Adi Bin Tuah.
Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun
Agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) SMK Rancha-Rancha Sesi Tahun 2021
Labuan, 11 Mac 2021 – Program agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) telah berjaya dilaksanakan dengan adanya komitmen padu daripada pihak pentadbir sekolah, guru, staf dan ibu bapa / penjaga. Sungguhpun negara dilanda pandemik Covid-19, namun program ini dilaksanakan dalam keadaan norma baharu sesuai dengan keadaan semasa. Program yang dilaksanakan ini melibatkan jumlah penerima bantuan sebanyak 216 orang, yang dapat memberi manfaat kepada penerima. Selain itu, penerima bantuan juga dapat mempersiapkan diri dengan membeli barang kelengkapan sekolah sebelum pembukaan sekolah pada 5hb April 2021.
Tuan Pengetua SMK Rancha-Rancha iaitu Ustaz Wan Azman bin Wan Awang berkata, agihan BAP yang dilaksanakan adalah usaha baik yang dapat membantu meringankan beban dan tanggungan ibu bapa / penjaga yang terjejas akibat pandemik masa kini. “Bantuan ini juga diagihkan kepada murid yang berkelayakan, yang diharapkan dapat membantu dalam urusan harian murid dan keluarga“ ujar beliau. Beliau juga menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada pengurusan HEM SMK Rancha-Rancha yang berjaya menganjurkan program tersebut dalam keadaan norma baharu.
Puan Marziawati @ Ziah binti Mardan selaku Penolong Kanan HEM menegaskan program yang dilaksanakan adalah mementingkan aspek pematuhan standard prosedur operasi (SOP) iaitu penjarakan fizikal 1 meter, pemakaian pelitup separuh muka (facemask) dan amalan mencuci tangan dengan kerap. Perkara ini seperti saranan kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dan didapati semua individu yang hadir patuh terhadap SOP yang ditetapkan.
Pematuhan kepada SOP diamalkan oleh ibu bapa / penjaga semasa program berlangsung.
Program agihan tersebut berlangsung seawal jam 11 pagi dan berakhir pada jam 1 petang. Program berjalan lancar seperti yang dijadualkan dan terkawal. Kesemua guru yang bertugas menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang semasa agihan berlangsung. Diharapkan bantuan seperti ini dapat memberi banyak manfaat kepada murid sekaligus memberikan kegembiraan sebelum mereka memasuki persekolahan pada April nanti.
Barisan guru kelas yang mengagihkan bantuan kepada ibu bapa / penjaga
Pembudayaan Digital Di SMK Mutiara Terus Dipergiat : Isu Cabaran Pergaulan Dan Sahsiah Murid Menjadi Fokus Dalam Program Temubual Norma Baharu Melalui Tayangan Video
10 MAC 2021 – Dalam usaha pihak sekolah bagi terus membudayakan amalan digital sebagai medium utama dalam proses penyampaian maklumat kepada warga sekolah khususnya dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) dengan kerjasama Unit ICT Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara terus giat menganjurkan sebuah program berbentuk rakaman temubual yang bertemakan pembangunan dan perkembangan sahsiah murid.
Bual bicara kali ini yang mengangkat tema sahsiah remaja masa kini iaitu Cabaran Pergaulan dan Sahsiah Murid ini dipilih sebagai salah satu usaha warga SMK Mutiara dalam proses mendidik murid-murid di sekolah ini agar sentiasa mengamalkan gaya pergaulan yang sihat serta sentiasa membataskan diri daripada perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada aspek rohani dan jati diri remaja.
Menurut Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara iaitu Encik Ahmad Radzi bin Ab Halim dan Puan Maisaraf binti Abdul Rashid, program pembudayaan digital seperti ini mendapat sokongan dan perhatian yang sangat baik daripada Pengetua Sekolah iaitu Encik Yahya bin Ahmad Puteh serta Penolong Kanan Hal Ehwal Murid iaitu Encik Masri bin Ayong dalam usaha meningkatkan perkhidmatan Unit Bimbingan dan Kaunseling disamping kemudahan Studio SMK Mutiara yang mempunyai kemudahan asas bagi proses rakaman dan perlaksanaan program ini.
“Secara tidak langsung melalui rakaman program temubual ini pihak sekolah dapat terus membudayakan pengintegrasian dan penggunaannya secara optimum di kalangan warga sekolah “, ujar Encik Yahya bin Ahmad Puteh selepas proses rakaman berlangsung. Tambah beliau lagi penggunaan teknologi mesti digabungjalin bersama dalam aspek kehidupan dan seterusnya mampu memenuhi tuntutan masyarakat memandangkan pengaruhnya dijangkakan akan membawa impak yang lebih besar dan bermakna dalam dunia pendigitalan masa kini.
Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Pengetua SMK Mutiara menyampaikan sijil penghargaan kepada panel jemputan, Puan Noraini Binti Osman, Penolong Pegawai
Program yang dilaksanakan secara rakaman ini bertujuan bagi menyebarkan pengetahuan kepada murid mengenai cabaran sebenar realiti yang perlu dihadapi oleh mereka jika aspek pergaulan serta nilai akhlak diri dan sahsiah ini dipandang ringan yang pastinya akan memberikan impak yang besar di sepanjang kehidupan mereka kelak. Program temubual yang dilaksanakan secara santai namun penuh informasi ini telah dihadiri oleh seorang panel yang berpengalaman iaitu Puan Noraini Binti Osman, Penolong Pegawai Pembangunan Kebajikan Masyarakat Lembaga Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), WP Labuan untuk memberikan kupasan dan pandangan berkaitan dengan isu sosial yang agak penting ini. Encik Ahmad Radzi bin Ab Halim pula selaku Kaunselor SMK Mutiara telah bertindak sebagai moderator dan dibantu oleh Unit ICT SMK Mutiara yang dilaksanakan secara rakaman di Makmal Komputer Bestari SMK Mutiara.
Rakaman program ini akan dipanjangkan ke semua saluran media sosial SMK Mutiara yang melibatkan ibu bapa dan murid SMK Mutiara agar info yang disampaikan di sepanjang perbincangan ini dapat dihayati dan dijadikan peringatan kepada semua agar sentiasa berhati-hati di dalam kehidupan. Harapan yang tinggi agar input yang berguna dapat dijadikan sebagai iktibar dan benteng yang kukuh bagi murid-murid untuk menangkis penularan ancaman gejala sosial di bawah pengaruh modenisme masa kini yang semakin berleluasa.
Golongan remaja dan murid adalah aset dan cerminan imej masa depan sesebuah negara kerana merekalah yang bakal memainkan peranan dalam mencorakkan masa depan politik, ekonomi dan kemasyarakatan di negara kita pada masa akan datang. Ibarat sebutir permata yang amat berharga terhadap ibu bapa, agama, bangsa dan negara begitulah pentingnya peranan mereka dengan penuh tanggunjawab untuk merencanakan pembangunan negara.
Umum mengetahui, alam remaja merupakan alam yang amat kompleks dan mencabar di mana fasa ini mereka masih tercari cari identiti diri yang sebenar. Namun dalam situasi ini, masih ramai remaja yang tersilap langkah dan terjerumus ke lembah gejala social. Perkara ini ditambah pula dengan pengaruh budaya barat yang semakin menular sekaligus membunuh jiwa suci para remaja ini dengan budaya-budaya negatif seperti hedonisme, sekularisme, liberalisme dan lain lain lagi.
Antara cabaran yang menjadi batu penghalang utama kepada pembangunan remaja alaf ini adalah pengaruh yang berleluasa tanpa kawalan dan sempadan. Pengaruh-pengaruh ini termasuklah pengaruh daripada persekitaran dan juga teknologi maklumat yang berleluasa dan telah menimbulkan pelbagai isu yang tidak dapat ditangani.
Maka itu, dalam usaha membentuk pelajar SMK Mutiara supaya lebih berhati-hati dalam aspek pergaulan dan mengelakkan diri daripada terjebak dengan gejala negatif diharapkan agar program temubual ini dapat membantu melahirkan murid yang lebih berdisiplin dan berhati-hati dalam memilih pergaulan demi kesejahteraan dan masa depan yang lebih baik. Perkongsian tentang bual bicara ini boleh ditonton di YouTube Channel Unit ICT SMK Mutiara iaitu Bestari Vlog di pautan https://youtu.be/tPhiZNMDsD4
Program bual bicara ini boleh ditonton di YouTube Channel Unit ICT SMK Mutiara iaitu Bestari Vlog di pautan https://youtu.be/tPhiZNMDsD4
Munajat Bacaan Yasin dan Doa Warga Pendidik WP Labuan
LABUAN – Panitia Pendidikan Islam SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menganjurkan Program Munajat Bacaan Yasin dan Doa Warga Pendidik sebagai langkah mencegah penularan pandemik Covid-19. Program ini mendapat jalinan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan WP Labuan dan juga Sekolah-sekolah di WP Labuan.
Majlis yang berlangsung secara dalam talian pada 08 Mac 2021 dimulakan dengan bacaan Yasin selepas solat Maghrib di kediaman masing-masing.
Turut hadir bersama dalam program ini ialah Encik Yusup bin Hj. Mohamad, Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Mohd Nizam bin Yasim, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan JPWPL, Pegawai-Pegawai JPWPL, Pengetua- Pengetua, Guru- Guru Besar, Pegawai Angkat Sekolah, guru-guru, ibu bapa dan juga murid-murid. Encik Awang Adi bin Tuah sebagai wakil Pengetua turut hadir bersama guru-guru SMKTPB. Seramai 86 warga pendidik dan ibu bapa telah mengikut program ini.
Menurut Penyelaras Program, Ustaz Mohd Daud Abdul Rahman, objektif program ini untuk mendoakan kesihatan dan keselamatan semua warga pendidik, petugas di barisan hadapan, murid- murid terutamanya calon SPM dan STPM, keluarga dan masyarakat agar terhindar daripada ditimpa musibah wabak Covid-19.
Program ini juga bertujuan untuk memohon kepada Allah SWT agar mereka yang dijangkiti wabak Covid-19 akan kembali sembuh dengan segera dan mendoakan agar negara kita serta dunia akan bebas daripada wabak ini.
Selesai bacaan Yasin dan doa yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Azman bin Abd Rahim, majlis diteruskan dengan ucapan daripada Encik Awang Adi, wakil Pengetua SMKTPB. Dalam ucapannya, beliau berharap agar semua warga pendidik diberikan kesihatan yang berpanjangan memandangkan sesi persekolahan secara bersemuka sudah bermula untuk sekolah rendah.
Beliau juga mengharapkan agar calon SPM dan STPM 2020 dapat menduduki peperiksaan dengan tenang serta diberikan kesihatan seterusnya berjaya memperoleh kejayaan yang cemerlang, di samping mengharapkan agar pandemik ini akan berakhir dengan segera.
Sementara itu, Encik Mohd Nizam Yasim merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada SMKTPB kerana berjaya mengelolakan program munajat ini. Beliau juga berharap agar calon-caon SPM dan STPM 2020 dapat menduduki peperiksaan dengan tenang dan diberikan kesihatan. Begitu juga dengan guru-guru kerana ramai guru yang bertugas sebagai pengawas peperiksaan.
Encik Mohd Nizam dalam ucapannya juga turut mengharapkan agar warga pendidik di Labuan dapat menjadi contoh kepada masyarakat dengan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan dan mematuhi arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Hal ini kerana, guru dianggap sebagai ikon dalam apa-apa juga keadaan kerana profesion perguruan menjadi cerminan kepada masyarakat.
Encik Mohd Nizam menyampaikan ucapan, dengan kehadiran warga pendidik, Pegawai-pegawai JPNWPL, Pegawai Angkat Sekolah, ibu bapa serta murid-murid.
Beliau turut berkongsi ilmu dengan semua hadirin berkaitan kematangan emosi. Dalam perkongsian tersebut, Encik Mohd Nizam menyatakan bahawa orang yang matang emosinya tidak akan mudah melatah dengan apa-apa provokasi yang dilemparkan kepadanya, sebaliknya harus menerima segala teguran dengan positif dan cuba perbaiki diri.
Baginya, orang yang matang emosi pasti dapat menyelesaikan masalah dengan baik dan sentiasa berfikiran positif. Tambah beliau lagi, orang yang matang emosi biasanya berani mengakui kesilapan diri dan bukannya sentiasa mencari salah orang lain.
Kita juga haruslah yakin kepada diri sendiri dalam setiap perbuatan serta tidak perlu bimbang dengan tanggapan orang lain terhadap kita bagi memastikan emosi kita stabil.
Mengakhiri ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Encik Yusup bin Hj. Mohamad atas pelantikan beliau sebagai Pengarah Pendidikan WPL yang ke-8. Encik Yusup merupakan anak jati Labuan pertama yang dilantik sebagai Pengarah Pendidikan Labuan.
Sebelum mengakhiri majlis, Encik Yusup dalam ucapannya merakamkan ucapan terima kasih kehadiran semua dalam program ini. Beliau juga merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua guru yang telah menjalankan tugas dengan baik demi kemenjadian murid selama ini.
Sebagai Pengarah Pendidikan yang baharu, beliau menyeru agar semua guru di Labuan dapat bergerak secara dalam satu pasukan bagi meningkatkan imej Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
Majlis diakhiri dengan solat Isyak dan solat Hajat di rumah masing-masing.
Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun
Repsol Oil & Gas Malaysia Limited Suntik Motivasi Murid Komuniti Nelayan Labuan
Labuan, 5 Mac 2021 – Syarikat Repsol Oil & Gas Malaysia Limited sentiasa komited bagi membantu menyuntik semangat dan motivasi murid di kalangan anak-anak nelayan di wilayah ini.
Pengurus Stakeholder Relations, Repsol Oil & Gas Malaysia Limited, Encik Ahmad Fakhrurazzi Arshad berkata syarikat yang berpangkalan di Madrid, Sepanyol ini sentiasa komited dan prihatin untuk membantu masyarakat komuniti tempatan di mana syarikat mereka beroperasi.
“Anugerah Motivasi pada hari ini merupakan kesinambungan usaha-usaha tersebut yang memfokuskan kepada pendidikan, khasnya kepada anak-anak nelayan di Wilayah Persekutuan Labuan yang masih di bangku sekolah.
Hasrat kami adalah untuk membantu dan menyuntik semangat dikalangan anak-anak ini untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik dan aktiviti kokurikulum sekolah. ”
Dalam Majlis Anugerah Motivasi Murid Golongan Komuniti Nelayan Tahun 2021 yang telah berlangsung secara maya ini, Pihak Repsol telah menghulurkan bantuan sebanyak RM400 kepada murid Tingkatan 3 yang lulus PT3 dan RM300 kepada murid Tahun 6 yang lulus dalam UPSR pada tahun lalu.
Encik Yusup (tengah), Tuan Haji Abdul Rahmam (kiri), Encik Nizam (kanan), Encik Ag. Marten (belakang kanan) dan Encik Mohamad (belakang kiri)
Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup Mohamad merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Repsol di atas usaha murni dalam membantu pelajar dari golongan komuniti nelayan berpendapatan rendah sebagai motivasi dalam pelajaran dan kehidupan mereka.
“ Dengan bantuan ini, kita berharap para pelajar akan menggunakan wang bantuan itu dengan sebaik-baiknya dan menggunakan bantuan itu untuk membeli peralatan sekolah dan buku-buku pelajaran,” katanya.
“ Saya berharap program ini dapat diperluaskan kepada pelajar-pelajar lain yang layak dan menjadikan program ini salah satu program utama secara ‘one off’ yang menjadi fokus utama khidmat masyarakat daripada pihak Repsol,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Encik Mohd Nizam Yasim, dan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad dan Datuk Eddie Abdullah Penasihat, Perhubungan Masyarakat & Kerajaan Negeri Sabah dan Labuan.Repsol Oli & Gas Malaysia Limited.
Datuk Eddy (kiri) bersiaran secara langsung di ibu pejabat Repsol Kuala Lumpur
Jabatan Pendidikan Labuan anjurkan Bengkel Kajian Tindakan Peringkat Kebangsaan
Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang berkesan memerlukan kepada penambahbaikan berterusan. Setiap guru perlu berusaha untuk meningkatkan kualiti pengajaran melalui pelbagai kaedah sesuai dengan situasi semasa.
Menyedari kepentingan ini, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengorak langkah untuk menganjurkan Bengkel Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah peringkat kebangsaan.
Menurut Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim merangkap pengurus program, bengkel empat siri yang bermula daripada 4 Mac sehingga 8 April ini telah mendapat pengiktirafan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai program peringkat kebangsaan. Bengkel melibatkan penyertaan seramai lebih 1600 orang daripada 16 buah negeri di seluruh Malaysia.
“Sesuai dengan situasi pandemic Covid-19 yang belum berakhir, kita telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan bengkel ini secara dalam talian sepenuhnya. Ini adalah satu sejarah bagi Labuan kerana buat pertama kalinya kita menganjurkan bengkel sebegini besar secara dalam talian”
“Oleh kerana sambutan yang sangat menggalakkan daripada warga pendidik seluruh negara, kita menggunakan platform webinar untuk tujuan penyiaran. Selain itu, pasukan penyiaran (broadcaster) juga telah menggunakan pelantar maya seperti facebook live dan Youtube live bagi memastikan semua peserta mendapat akses kepada bengkel ini mengikut kesesuai masing-masing” kata beliau.
TEKNOLOGI…. Medium youtube live turut digunakan bagi memastikan setiap peserta mendapat akses terbaik kepada bengkel ini.
Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah telah diperkenalkan oleh Puan Suriani Alland Rice Oxley sejak tahun 2017. Beliau yang merupakan Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+) telah berjaya mengharumkan nama Labuan dengan menjadi Naib Johan Inovasi dalam Konvensyen SISC kebangsaan pada tahun 2018 melalui inovasi Teknik 12 Langkah ini.
SURIANI ALLAND RICE OXLEY, Pencipta Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah
Bagi melicinkan perjalanan bengkel, seramai 12 jurulatih utama (JU) telah dilantik dan diketuai sendiri oleh Puan Suriani. Jurulatih akan membantu semua peserta dalam memahami Teknik 12 Langkah ini melalui bimbingan dalam lima saluran selari.
Bercakap semasa merasmikan bengkel ini, mantan Pengarah Pendidikan W.P. Labuan, Puan Khaziyati binti Osman berkata setiap guru perlu bersedia untuk terus meningkatkan kompetensi masing-masing.
“Kajian tindakan adalah platform terbaik bagi setiap warga pendidik meningkatkan prestasi PdP dengan membuat penambahbaikan berterusan. Warga pendidikan mesti bersedia untuk learn, unlearn and relearn bagi menjamin pengetahuan dan kemahiran pendidik sentiasa relevan dengan keperluan semasa” ujar beliau lagi.
Bangunan Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) di Sungai Lada telah dijadikan pusat penyiaran bagi bengkel ini. Seramai 8 ahli pasukan penyiaran bertungkus lumus bagi emmastikan perjalanan bengkel secara dalam talian ini berjalan lancar. Akses kepada bengkel ini boleh dicapai melalui laman https://sites.google.com/view/kolokium-kebangsaan-jpnwpl/utama dan saluran Youtube https://www.youtube.com/watch?v=SOzMX5ZOChk
BELAKANG TABIR, Sebahagian daripada ahli pasukan penyiaran bertungkus lumus memastikan penyiaran bengkel berjalan lancar.BERJAYA, sebahagian daripada ahli jawatankuasa pelaksanan bengkel bergambar setelah selesai siri 1 semalam.
SMK Mutiara, W.P Labuan Menyebarluas Kepentingan Informasi Juvana Kepada Warga Sekolah
5 MAC 2021 – Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) dengan kerjasama Unit ICT SMK Mutiara telah menganjurkan sebuah program berbentuk rakaman temubual di bawah bidang perkhidmatan Unit Bimbingan dan Kaunseling yang berfokuskan kepada aspek peningkatan disiplin diri pelajar khususnya kepada warga di SMK Mutiara. Bual bicara informasi yang bertajuk ‘Cabaran dan Hukuman Salah Laku Juvana’ ini dipilih memandangkan pada masa kini masalah disiplin yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia terutamanya di peringkat bawah umur berada pada tahap yang semakin membimbangkan.
Bertitik tolak daripada kebimbangan inilah, satu inisiatif telah diambil oleh pihak sekolah dengan melibatkan perbincangan antara Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara bersama barisan pentadbir bagi mengetengahkan isu ini. Sesi temubual yang santai namun penuh dengan informasi ini merupakan langkah awal pihak sekolah dalam usaha membentuk sahsiah diri pelajar terutamanya di kalangan warga SMK Mutiara yang lebih berdisiplin dengan penerapan nilai-nilai murni. Secara tidak langsung melalui program ini, ianya juga dapat menyebarluaskan lagi maklumat secara holistik mengetahui impak dan akibat yang akan diterima dalam kehidupan sekiranya terlibat dalam salah laku juvana.
Program ini telah dijayakan dengan kehadiran seorang ahli panel jemputan iaitu ASP Haslina bin Hassan, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah WP Labuan untuk memberikan kupasan dan pandangan berkaitan kes yang melibatkan pelajar sekolah manakala Encik Ahmad Radzi bin Ab Halim, Kaunselor SMK Mutiara telah bertindak sebagai moderator dalam sesi bual bicara ini. Pemilihan ASP Haslina bin Hassan dalam program ini dilihat amat tepat memandangkan beliau merupakan Pegawai Perhubungan Sekolah yang senantiasa memantau perkembangan isu disiplin yang berkaitan dengan pelajar di SMK Mutiara khususnya. Selari dengan norma baharu di sekolah, program ini telah dilaksanakan secara rakaman di Makmal Komputer Bestari SMK Mutiara di bawah seliaan Unit ICT. Rakaman program ini akan dipanjangkan ke semua platform dan saluran media sosial SMK Mutiara yang melibatkan ibu bapa dan pelajar SMK Mutiara supaya matlamat program ini untuk menyebarluaskan info yang telah dibincangkan di sepanjang sesi bual bicara ini dapat dihayati dan dijadikan peringatan kepada semua pihak.
Gambar kenang-kenangan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Mutiara, Encik Masri bin Ayong (paling tengah) bersama tetamu jemputan program bual bicara ASP Haslina bin Hassan, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (dua kanan) serta kaunselor SMK Mutiara Puan Normaisaraf binti Ab Rashid (paling kiri) dan Encik Ahmad Radzi bin Ab Halim (dua dari kiri).
Antara intipati di sepanjang bual bicara ini adalah kupasan mengenai salah laku juvana yang merujuk kepada salah laku yang dilakukan oleh remaja yang bertindak menyalahi undang-undang dan enggan menjalankan kewajipan sosial mereka. Masalah tingkah laku dan salah laku juvana ini merupakan terma yang memberi maksud yang sama, iaitu kumpulan yang menyalahi undang-undang dan mengganggu hak asasi manusia. Antara faktor yang menyumbang kepada salah laku juvana dalam kalangan remaja adalah seperti kurang didikan ibu bapa, pengaruh rakan sebaya, pengaruh sosial serta pengaruh media yang sukar dikawal pada masa kini.
Dalam usaha membentuk pelajar SMK Mutiara agar lebih berwaspada dalam berhadapan dengan tingkah laku yang kurang baik, program ini telah berjaya direalisasikan dan diharap perkongsian yang diberikan ini dapat membantu melahirkan pelajar yang lebih berdisiplin untuk terus meningkatkan nama baik sekolah dan seterusnya memacu kejayaan dan kegemilangan di sekolah selari dengan tagline SMK Mutiara iaitu Mutiara Hebat Juara Terpahat. Kesedaran pelajar dalam pembentukan sahsiah terpuji ke arah kecemerlangan akademik serta berhati-hati dalam memilih rakan sebaya perlu diberikan perhatian oleh semua pihak demi kesejahteraan dan masa depan pelajar yang lebih baik. Perkongsian tentang bual bicara ini boleh ditonton di YouTube Channel, Unit ICT SMK Mutiara iaitu Bestari Vlog di pautan di pautan https://youtu.be/PWafR8aeHMg
Program bual bicara ini boleh ditonton di YouTube Channel, Unit ICT SMK Mutiara iaitu Bestari Vlog di pautan https://youtu.be/PWafR8aeHMg
Anak Jati Labuan Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Baharu
Encik Yusup bin Haji Mohamad, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran telah dilantik sebagai Pengarah Pendidikan W.P. Labuan yang baharu menggantikan Puan Khaziyati binti Osman berkuatkuasa pada 1 Mac 2021.
Puan Khaziyati Osman pula akan menjawat jawatan sebagai Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) Negeri Sabah berkuatkuasa pada tarikh yang sama. Pelantikan pengarah negeri yang ke lapan ini telah diumumkan secara rasmi oleh Datuk Dr. Habibah binti Abdul Rahim, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) pada 1 Mac 2021. Sesi pertemuan telah dibuat secara maya kerana kekangan pandemic Covid-19.
Dalam pertemuan tersebut, Datuk Dr. Habibah sempat berbincang dan berkongsi pandangan bersama-sama Encik Yusup berkaitan perjalanan pembukaan semula sekolah bagi murid-murid Pra sekolah, Tahun 1 dan Tahun 2 di Wilayah Persekutuan Labuan.
KPPM juga turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan ini dan berharap agar amanah yang dipertanggungjawabkan dapat dilaksanakan dengan penuh dedikasi demi kecemerlangan pendidikan.
Encik Yusup adalah anak jati Wilayah Persekutuan Labuan yang pertama dilantik sebagai Pengarah Pendidikan W.P.Labuan. Pelantikan ini telah merealisasikan harapan penduduk Labuan untuk melihat seorang anak watan negeri ini menjawat jawatan tertinggi dalam sesebuah organisasi di wilayah ini. Tambahan pula, Jabatan Pendidikan adalah agensi kerajaan yang terbesar di pulau ini.
LAPOR DIRI… Encik Yusup menandatangani buku lapor diri di Jabatan Pendidikan W.P.Labuan dan disambut oleh tiga Timbalan Pengarah iaitu Encik Abdul Rahman, Encik Mohd Nizam dan Puan Maimoon.
Encik Yusup adalah anak kelahiran Kampung Patau-Patau 1. Beliau memulakan karier sebagai pendidik sebagai Guru Tingkatan 6 di SMK Labuan pada tahun 1993 sebelum dilantik menjadi Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun pada tahun 2001 pada usia 33 tahun. Semenjak itu beliau telah berkhidmat di beberapa buah sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan termasuklah menjawat Pengetua SMK Pantai, IBWS dan SMK Lajau.
Kerjaya beliau berkembang selangkah lagi apabila dilantik sebagai SIPartner+ (Rakan Pembangunan Sekolah) pada tahun 2018. Atas kecemerlangan dalam perkhidmatan, beliau telah dilantik menjadi Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran pada awal tahun 2019 menggantikan Puan Norismah binti Hj Ab. Moin yang bersara wajib.
Pengalaman beliau yang pelbagai dan atas kecemerlangan pengurusan yang ditunjukkan, maka pada tanggal keramat 1 Mac 2021, beliau telah diperakui sebagai Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Labuan yang ke lapan.
Mengulas pelantikan ini, beliau melahirkan rasa syukur kepada Allah dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah bersama-sama menyokong kerjaya beliau dari dahulu sehingga ke hari ini. Beliau turut menyeru agar semua pihak dapat terus bekerjasama bagi menjamin kecemerlangan pendidikan yang telah dirintis oleh pengarah-pengarah yang terdahulu.
“Keutamaan kita ialah bagi memastikan sistem pendidikan peringkat rendah dan menengah di wilayah ini dapat berkembang maju seiring dengan negeri-negeri yang lain dan kita tidak mahu ketinggalan di belakang. Kemudahan-kemudahan fizikal, infrastruktur dan modenisasi dalam pendidikan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa” kata beliau lagi.
Majlis serah tugas jawatan telah berlangsung pada 05 Mac 2021 secara dalam talian sesuai dengan amalan norma baharu bagi mengekang penularan Covid-19. Warga Jabatan Pendidikan W.P.Labuan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas pelantikan ini dan komited untuk terus menabur khidmat bakti setia demi menjamin kelangsungan kecemerlangan dan kemenjadian murid dan kualiti sekolah di Labuan.
Berita Oleh : Sektor Perancangan
Majlis Sanjungan Budi mantan Pengarah Pendidikan Puan Khaziyati Osman secara maya. Menabur bakti selama 18 tahun di Jabatan Pendidikan W.P Labuan. Tahniah di atas pelantikan sebagai Pengarah Institut Aminudin Baki (IAB) Negeri Sabah. Terima kasih atas segalanya. Jasamu sentiasa dikenang !