Sektor Pembelajaran Meraih Beberapa Pingat Emas dan Pingat Perak Dalam 5th CAIELTS 2020

The 5th Creativity and Innovation Exhibition and Language Teaching Seminar (5th CAIELTS 2020) yang berlangsung pada 08 Ogos 2020 secara maya, anjuran Persatuan Penyelidikan, Inovasi, dan Kreativiti Labuan (Labuan Research, Innovation and Creativity Society – LaRIS) telah menampilkan tujuh pegawai Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan berkongsi dapatan kajian dengan jayanya.

Unit Bahasa menghantar tiga penyertaan untuk seminar pengajaran bahasa – dua individu dan satu berkumpulan. Hjh Siti Zahara binti Mohammad telah membentangkan kertas konsep bertajuk “Pemetaan DSKP dan item” manakala Dr. Hyginus Lester berkongsi kertas konsep “Integrasi Tonggak Pedagogi, Alat PAK21, dan SKPMg2 S4: Satu Syor Model PdPc”. Kedua-dua pembentang meraih pingat emas. Turut meraih pingat emas ialah pembentangan berkumpulan yang dianggotai oleh Puan Amiah binti Bua dan Dr. Hyginus Lester bertajuk “Adopting and adapting the ‘new normal’ in ELT during MCO”.

Pasukan Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) pula membentangkan dapatan “Penggunaan DSKP dalam kalangan guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di Labuan”. Pasukan yang terdiri daripada Encik Pgn Abdul Kadir Pgn Budin, Puan Arni Samiraty Abdol Samat, Cik Juraidah Aman, Cik Suriani Alland Rice Oxley, dan Dr. Hyginus Lester meraih pingat perak.

5th CAIELTS 2020 peringkat antarabangsa ini disertai oleh 129 orang termasuk pembentang fitur (featured speakers), antaranya Professor Madya Dr. Jonathan Newton (Pengarah MA in TESOL, Victoria University of Wellington, New Zealand), YBhg To’ Puan Nurul Izatee Md Yusoff (Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Naim), Dr. Mohamad Ramon Dasuki (Dekan, Fakulti Sastra, Universitas Pamulang, Indonesia), Dr. Dewi Indrani Anggraini (Dosen, Universitas Pamulang, Indonesia), Darshini Nadarajan (University of Oxford), Angelicia Anthony Thane (Victoria University of Wellington), Rocky Michael Tandi (Francis School, Indonesia), dan Eka Margianti Sagimin (Universitas Pamulang, Indonesia).

Juri 5th CAIELTS 2020 pula adalah Encik Goh Kok Ming (Top 5 Cikgu Juara Digital MDEC dan MIE Expert), Puan Chin Tsuey Wei (mantan SISC+), Dr. Tam Suet Yet (Wellington, New Zealand), Puan Joscey Joseph @ Linda (pensyarah), dan Cik Suriani Alland Rice Oxley (Tokoh Inovasi Labuan).

Pembentang 5th CAIELTS 2020 dari Sektor Pembelajaran merakamkan penghargaan kepada Encik Yusup bin Hj Mohamad, Timbalan Pengarah Pembelajaran atas sokongan moral yang telah diberikan. Mereka juga turut mengucapkan terima kasih kepada Puan Khaziyati Osman, Pengarah Pendidikan Labuan kerana sentiasa menggalakkan warga jabatan untuk terus berkecimpung dalam penyelidikan dan inovasi.




Perkukuh Jalinan Kerjasama DI Antara JPWPL Dan MAIWP

Labuan, 26 Ogos – Lawatan Kerja Rasmi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ke Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) bertempat di Sektor Sumber Pendidikan Negeri (SSTP) yang julung kali diadakan kelmarin telah mencapai kata sepakat yang jelas terhadap kesiapsiagaan pendaftaran SMA MAIWP sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang pertama di wilayah ini.

Lawatan Kerja Bahagian Pembangunan Insan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan seramai 10 ahli rombongan telah diketuai oleh Timbalan Pengurus Bahagian Pembangunan Insan, Wan Maizatun Binti Wan Hassan. Turut hadir Pengetua Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur, Tuan Nurul Amali Bin Shamsuddin, Pengetua Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) MAIWP,Tn Wan Jamaludin Bin Wan Bidin, Ketua Unit Pendidikan Menengah, Bahagian Pembangunan Insan, Abdul Halim Bin Sulaiman.

Hadir sama dalam sesi lawatan kerja tersebut ialah Pengurus MAIWP Labuan (MAIWPL) iaitu Ahmad Saifuddin bin  Hj Md. Tahir, Pengetua SMA MAIWP , Mohd Hasnizan Bin Hasin serta pegawai-pegawai daripada MAIWPL. Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Encik Yusup Bin Hj Mohamad, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Encik Abdul Rahman Bin Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Kamariah Binti Salim selaku urusetia lawatan, Ketua-ketua penolong pengarah dan penolong-penolong pengarah.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Khaziyati binti Osman mengalu-alukan semua ahli rombongan ke pulau yang indah ini untuk Lawatan Kerja Rasmi Bahagian Pembangunan Insan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ke Jabatan Pendidikan W.P.Labuan dan melahirkan rasa syukur di atas usaha yang bersungguh-sungguh pihak MAIWP untuk pendaftaran SMA MAIWP sebagai SABK.

 “Saya difahamkan Lawatan Kerja Rasmi, Bahagian Pembangunan Insan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada petang ini adalah untuk membincangkan berkaitan SMA MAIWP Labuan. Semoga urusan pendaftaran sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dapat direalisasikan. Ia merupakan satu usaha murni kerajaan untuk membantu dan memperkasakan sekolah – sekolah agama di Malaysia khususnya di W.P.Labuan. Ini merupakan peluang yang sangat berharga bagi kecemerlangan pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan.” katanya.

Menurutnya lagi, bagi memenuhi permintaan komuniti setempat terhadap pendidikan agama. Terdapat 3 buah sekolah yang menawarkan Kelas Aliran Agama (KAA) di iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara untuk tingkatan 1 hingga 5 dengan jumlah pelajar seramai 162 orang, KAA di SMK Rancha-Rancha untuk tingkatan 1 hingga 3 dengan jumlah pelajar seramai 66 orang dan KAA di SMK Taman Perumahan Bedaun untuk tingkatan 1 hingga 3 dengan jumlah pelajar seramai 58 orang.

Kini, JPWPL dalam proses merangka pemusatan Kelas Aliran Agama di sebuah sekolah menengah agar perlaksanaan kelas aliran agama lebih teratur dan sistematik. Pelan jangka panjang pemusatan ini sehingga 2023.

Timbalan Pengurus Bahagian Pembangunan Insan MAIWP, Wan Maizatun Binti Wan Hassan turut merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan Puan Khaziyati sebagai Pengarah JPWPL yang baharu.

“Alhamdulillah, kami di Bahagian Pembangunan Insan MAWIP amat berbesar hati di atas lawatan mesra kali pertama di JPWPL dan berdoa agar lawatan kerja ini dapat mengukuhkan lagi jalinan kerjasama yang lebih erat di antara MAWIP dengan JPWPL. Mesej utama dalam lawatan ini adalah berkaitan halatuju dan masa hadapan SMA MAIWP menjadi SABK”. Katanya.

Menurutnya lagi, SMA MAIWP Labuan telah beroperasi selama 10 tahun dengan cemerlang. Kini, pihak MAIWP telah bersedia untuk menyerahkan SMA MAIWP kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) khususnya dari segi kepakaran pendidikan.

Pengoperasian SMA MAIWP Labuan bermula 15 Januari 2011. Ia merupakan tanda keperihatinan kerajaan dalam memenuhi hala tuju pendidikan Sekolah Rendah Agama Islam di Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi. SMA MAIWP Labuan merupakan cawangan SMA MAIWP Kuala Lumpur yang telah diwujudkan sejak tahun 2007. SMA MAIWP Labuan berorentasikan Sekolah Menengah Berasrama Penuh Aliran Agama yang pertama di Wilayah Persekutuan Labuan di mana semua pelajar perlu tinggal di asrama yang dikendalikan di Darul Kifayah.

Dalam sesi lawatan tersebut turut diadakan perkongsian pengoperasian SMA MAIWP Kuala Lumpur yang disampaikan oleh pengetuanya Tuan Nurul Amali Bin Shamsuddin. Manakala perkongsian pengoperasian SMA Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz, Kuala Lumpur (SMISTA) disampaikan oleh Tuan Wan Jamaludin Bin Wan Bidin.

Khaziyati binti Osman (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kenangan kepada Wan Maizatun binti Wan Hassan (tengah). Turut sama Yusup Hj Mohamad (kiri), Ahmad Saifuddin bin Hj Md. Tahir (dua dari kanan),Tn Wan Jamaludin Bin Wan Bidin (kanan).
Kamariah binti Salim sedang mengajukan soalan berkaitan pengoperasian SABK semasa sesi dialog bersama MAIWP.



Guru SMK Mutiara Dapat Bimbingan Pengisian Deskripsi Tugas Melalui egHRMIS

Labuan- Seramai lebih 50 guru SMK Mutiara telah menerima taklimat dan bimbingan secara langsung berkaitan pengisian Deskripsi Tugas (Job Description) melalui platform egHRMIS secara online pada Rabu lalu.

Bimbingan yang diadakan di bilik mesyuarat SMK Mutiara telah dipimpin oleh Encik Azreyn bin Haji Mamma, pegawai daripada Sektor Sumber Manusia, Jabatan Pendidikan W.P Labuan.

Menurut pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim, bengkel tersebut diadakan bagi memudahkan guru-guru membuat pengisian Deskripsi Tugas masing-masing di dalam platform HRMIS. Pengisian JD ini adalah keperluan baharu sebagai alternatif kepada penggunaan myPortfolio yang dibuat secara manual.

“Penggunaan HRMIS sebagai platform pengurusan kerajaan telah memasuki era pendigitalan secara menyeluruh secara berperingkat. Setiap guru sebagai Pemilik Kompetensi (CO) perlu menyenggara dan memastikan maklumat dan data berkaitan diri, perkhidmatan dan tugas masing-masing perlu sentiasa kemaskini dan mudah diakses pada masa yang diperlukan” ujarnya lagi.

Fasilitator bengkel, Encik Azryen menyifatkan inisiatif pihak sekolah ini adalah langkah proaktif khususnya dalam memberi kefahaman secara lebih mendalam kepada guru-guru berkaitan perkara ini.

“Bengkel ini diadakan secara ‘hands on’ bagi memberi kefahaman yang jitu kepada pemilik-pemilik kompetensi (CO) dalam mengurus HRMIS masing-masing. Guru-guru juga mendapat panduan yang lebih jelas bagi memastikan aspek-aspek teknikal pengisian dapat dibuat dengan betul” kata beliau lagi.

Guru-guru yang hadir telah melahirkan rasa puashati dengan bimbingan yang telah diberikan malah ada dalam kalangan mereka berjaya menyiapkan pengisian JD masing-masing dalam tempoh 2 jam bengkel berlangsung.

Di akhir bengkel, pihak sekolah telah menyampaikan sijil penghargaan kepada Encik Azreyn dan Jabatan Pendidikan W.P Labuan. Sijil-sijil telah disampaikan oleh pengetua sekolah.

Turut hadir di dalam bengkel tersebut ialah penolong-penolong kanan dan guru-guru kanan mata pelajaran.




81 LEPASAN STPM SMK LABUAN BERJAYA KE UNIVERSITI

Labuan, 25 Ogos – Seramai 81 orang daripada 136 calon STPM 2019 Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan berjaya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) melalui keputusan yang diumumkan baru-baru ini.

Pencapaian ini merangkumi 59.6 peratus daripada jumlah calon STPM 2019 dan jauh lebih baik daripada pencapaian pada STPM 2018 iaitu 46.4 peratus (sebelum rayuan) dan 52.2 peratus (selepas rayuan).

Dijangka lebih ramai pelajar akan mendapat tempat selepas rayuan dan peratus akan melebihi 60 peratus.

Pelajar-pelajar ini telah ditawarkan kesembilan buah universiti iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) (seorang), Universiti Malaysia Sabah (UMS): 50 orang, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS): lima orang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) : 13 orang, Universiti Malaysia Kelantan (UMK): tiga orang, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI): empat orang, Universiti Malaysia Terengganu (UMT): seorang, Universiti Sains Malaysia (USM): tiga orang dan Universiti Malaya juga seorang.

Empat pelajar cemerlang STPM 2019 yang mendapat PNGK 3.92 juga telah mendapat tawaran masing-masing.

Mereka ialah Eleena Yeo Sui Mee, Perniagaan Antarabangsa (Kewangan Antarabangsa) dengan Kepujian, UMS; Aaron Lau Jiaxiang, Perniagaan Antarabangsa (Kewangan Antarabangsa) dengan Kepujian, UMS; Irham Zulhilmi Mohd Johan, Teknologi Seni Visual dengan Kepujian, UMS; dan Siti Salbiah Mohd Yussof, Sejarah, Universiti Malaya.

CEMERLANG: Pelajar cemerlang STPM 2019 (dari kiri) Eleena Yeo Sui Mei, Aaron Lau Jiaxiang, Irham Zulhilmi Mohd Johan, Siti Salbiah Mohd Yussof.

Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah menyatakan rasa gembira dengan peningkatan ketara ini.

Katanya, peningkatan setiap tahun bermakna Wilayah Persekutuan Labuan akan mempunyai golongan professional yang semakin ramai setiap tahun.

“SMK Labuan sangat gembira kerana dapat menyumbang kepada perubahan struktur sosial di WP Labuan dengan melahirkan golongan intelek yang diharapkan akan menjadi pemangkin kepada kemajuan pulau Labuan yang dicintai ini,” katanya.

Encik Ismail merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pensyarah Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan yang bersungguh-sungguh mendidik dan membimbing pelajar-pelajar hingga berjaya.




SELAMAT BERSARA CIKGU AMIN

Labuan : Seluruh warga SMK Mutiara mengucapkan selamat bersara kepada Cikgu Mohd Aminuddin bin Haji Abdul Malek, yang bersara wajib pada 18 Ogos 2020 yang lalu setelah menyumbang bakti khidmat cemerlang selama lebih 38 tahun dalam arena pendidikan.

Jawatan terakhir yang disandang beliau ialah Pengawai Meja Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan W.P Labuan yang bertanggungjawab sepenuhnya mengurus Unit Pasukan Badan Beruniform (PBB), Unit Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Unit Koakademik Bahasa Inggeris.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Amin terkenal dengan sikap proaktif dalam menjalankan tugas sehingga begitu dikenali di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau pernah mendapat pengiktirafan sebagai Tokoh Guru KRS Kebangsaan pada tahun 2013.

Cikgu Amin menyampaikan ucapan ringkas sempena lawatan perpisahan di SMK Mutiara

Selain itu, Cikgu Amin juga pernah diberi kepercayaan memegang jawatan Pengerusi Teknik Dan Pembangunan Sukan Catur Majlis Sukan Sekolah Malaysia selama 15 tahun dari 2004 hingga 2018.

Di peringkat negeri, Cikgu Amin sangat terkenal dengan ketegasan dalam mengurus persatuan-persatuan dan unit beruniform termasuk Kadet Remaja Sekolah (KRS), Kadet Bomba dan Pengakap.

Pasukan STEM negeri juga berjaya muncul naib johan peringkat kebangsaan pada tahun 2019 di bawah kendalian beliau bersama-sama Cikgu Hisyam dan Cikgu Angela Joseph.

Pencapaian tersebut hanyalah sebahagian kecil daripada sumbangan besar beliau dalam bidang pendidikan di wilayah ini.

Malah sumbangan beliau menjangkaui tugas hakiki dengan mengambil inisiatif memperkenalkan sistem STAR headcount yang bersifat akademik yang telah memberi manfaat kepada banyak sekolah di dalam dan luar Labuan.

SMK Mutiara berasa sangat berbesar hati menerima kunjungan rasmi terakhir beliau ke sekolah ini pada selasa lalu. Beliau melapor diri di SMK Mutiara pada tahun 1996 sebagai tempat bertugas pertamanya di Labuan apabila berpindah daripada tanah besar Sabah.

Rombongan beliau ke SMK Mutiara tepat jam 9.00 pagi telah disambut oleh pengetua sekolah bersama 7 orang guru yang pernah berkhidmat bersama-sama beliau di SMK Mutiara yang dahulunya dikenali sebagai SMK Membedai. Mereka termasuk Cikgu Hisyam Abdul Aziz, Cikgu Teo Geok Lin, Cikgu Mary Bong, Cikgu Kim Non Chong Keat dan Cikgu Lee Hoi Tho. Selain itu, Encik Aspan Ngadi yang bertugas sebagai Pembantu Am sekolah turut sempat berkhidmat bersama-sama Cikgu Amin.

Dalam satu majlis ringkas, Cikgu Amin telah menandatangan buku lawatan di ruang legar blok B sekolah sambil disaksikan oleh pegawai-pegawai JPN yang mengiringi beliau yang diketuai oleh Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid (SPM).

Ketibaan rombongan Cikgu Amin disambut oleh Pengetua dan guru-guru SMK Mutiara
Cikgu Amin menyampaikan ucapan ringkas sempena lawatan perpisahan di SMK Mutiara

Dalam ucapan ringkasnya, Cikgu Amin mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan kepada selama beliau bertugas di Labuan.

“Saya sedia menawarkan bantuan tenaga dan kepakaran jika diperlukan dalam tempoh persaraan saya jika diperlukan oleh pihak sekolah dan jabatan. Sekali bergelar guru, gurulah selamanya” ujar beliau lagi.

Sejurus selepas itu, sesi penyampaian cenderamata kenangan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih pihak sekolah terhadap komitmen beliau sepanjang perkhidmatan di SMK Mutiara.

Turut hadir di dalam majlis ringkas tersebut ialah Puan Roslaniah Zainal, Penolong Kanan Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI), Encik Fadhil, Kaunselor Negeri dan Encik Hasbollah Amit, KPP Unit Pembangunan Bakat Murid.

Jasamu sentiasa dikenang hingga akhir hayat. Terima Kasih Cikgu Amin
Cikgu Amin bergambar kenangan bersama Pengetua Encik Nizam.



Sekolah-Sekolah Pencapaian Lulus 100% Bahasa Melayu SPM 2019 Berkongsi Kejayaan

Labuan, 18 Ogos – Pasukan Task Force Bahasa Melayu SPM Jabatan Pendidikan WP Labuan telah memberi ruang kepada sekolah-sekolah yang mencapai kejayaan lulus 100% SPM 2019 berkongsi pengalaman dalam satu perjumpaan pada 17 Ogos 2020 bertempat di Bilik Mesyuarat SMK Pantai.

Guru-guru yang kini mengajar Tingkatan 5 tahun 2020 dari sekolah SM St Anne, SM St Anthony, SMK TP Bedaun, SMK Rancha-Rancha dan SM Sains telah berkongsi intervensi  dan pengalaman  suka duka mereka membimbing murid sehingga ke minit-minit terakhir sebelum anak-anak murid tersayang masuk ke dewan peperiksaan.

Banyak inovasi dan intervensi yang boleh dijadikan rujukan dan juga diaplikasikan mengikut kesesuaian oleh sekolah-sekolah lain.

Turut hadir sama dalam majlis perkongsian ini ialah Pengerusi Bersama Task Force Bahasa Melayu iaitu Puan Norazita Md Nor (Pengetua SMK Pantai) dan En Yahya Ahmad Puteh (Pengtua SMKRR), Puan Amiah binti Bua, Ketua Penolong Pengarah Bahasa serta Puan Hjh Siti Zahara Mohamad, SISC+ dari Sektor Pembelajaran JPWPL.

Encik Yahya sedang memberi suntikan semangat kepada para guru-guru

Dalam ucapan penyuntik semangat, En Yahya Ahmad Puteh menekankan usaha serta komitmen tinggi semua pihak.

Task Force Bahasa Melayu ini sangat bernilai kerana ia akan menjadi salah satu pencetus & penentu Layak Sijil anak-anak murid kita bagi SPM 2020”

Apa yang dapat dirumuskan dari sesi perkongsian ini, perkara paling utama ialah sentuhan dari hati ke hati guru kepada murid, motivasi pengetua kepada guru dan pemberian ganjaran yang akhirnya berjaya membakar semangat untuk lulus dalam peperiksaan.

Perkongsian ini juga berjaya menanam semangat juang dalam diri guru-guru khususnya Guru-guru Bahasa Melayu. Semoga SPM 2020 akan membuahkan kejayaan lulus 100% bagi semua sekolah di WP Labuan. Usaha tangga kejayaan.

Berita Oleh : Sektor Pembelajaran




Lapan Guru dan Seorang PKP SMK MUTIARA Terima APC 2019

Labuan, 17 Ogos – Seramai 8 guru dan seorang Pegawai Khidmat Pelaksana (PKP) SMK Mutiara menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun perkhidmatan 2019 pada Sabtu lalu. Mereka ada sebahagian daripada 120 penerima APC pada tahun ini.

Majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah diadakan di sebuah hotel di pusat bandar. Seramai 170 hadir dalam majlis tersebut terdiri daripada penerima APC , pegawai-pegawai jabatan pendidikan, para pengetua dan guru besar serta pihak media.

Encik Raisin bin Saidin, Timbalan Pengarah Kanan, Sektor Perancangan dan Pengoperasi BPSH yang juga mantan Pengarah Pendidikan W.P. Labuan telah hadir merasmikan majlis tersebut.

Dalam ucapannya, Encik Raisin Saidin menyeru agar semua penerima APC meneruskan momentum kecemerlangan dan sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran terutamanya dalam era pendigitalan ini.

“Jadilah benih yang baik, walau tercampak di manapun kita tetap akan tumbuh. Berusaha bersungguh-sungguh mendidik anak bangsa kerana kemenjadian mereka bergantung kepada bimbingan guru. Jadikan diri kita sebagai orang yang tepat dan ditunggu-tunggu kehadirannya oleh mana-mana organisasi” tegas beliau lagi.

Lapan guru SMK Mutiara yang menerima APC 2019 ialah Puan Roslaniah Zainal, Cik Lim Shok Ing, Puan Norika binti Mohd Nor, Puan Maslinda binti Mat Jan, Puan Fadillah Awang, Cik Siti Khadijah binti Mohd Razali, Cik Zulrida binti Ismail, dan Encik Adrien Chew. Manakala seorang lagi ialah Puan Dayang Masnah binti Garasing yang bertugas sebagai pembantu makmal.

Pengetua bersama sebahagian daripada penerima APC 2019

Salah seorang penerima, Puan Norika binti Mohd Nor menyifatkan anugerah ini sebagai satu pengiktirafan dan pembakar semangat baginya untuk terus menyumbang khidmat bakti cemerlang pada masa-masa akan datang.

Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim turut hadir meraikan kejayaan guru-guru SMK Mutiara memperoleh APC pada tahun 2019.

Beliau mengucapkan tahniah atas kejayaan mereka dan berharap mereka terus cemerlang menggalas amanah, memikul tanggungjawab bersama-sama meletakkan SMK Mutiara sebaris dengan sekolah-sekolah yang lain.

Berita Oleh : SMK Mutiara




“Jadilah seperti benih yang baik”
MAJLIS ANUGERAH APC 2019 JABATAN PENDIDIKAN WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN.

Labuan, 17 Ogos – “Jadilah seperti benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung dan jika dicampak ke laut menjadi pulau”. Encik Raisin bin Saidin, Timbalan Pengarah Kanan, Sektor Perancangan dan Pengoperasian Pendidikan, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Encik Raisin Saidin ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2019, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, sabtu lalu.

Beliau berkata pegawai yang cemerlang akan sentiasa berusaha mencari inisiatif untuk menambah baik proses kerja yang bukan hanya berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama(KPI), malah melangkaui ekspektasi pemegang taruh iaitu murid dan juga masyarakat setempat.

“Bagi saya penerima Anugerah Khidmat Cemerlang ini merupakan antara tangan yang berjaya membentuk keperibadian murid sehingga menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.”

Encik Raisin Saidin

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Puan Khaziyati binti Osman mengucapkan syabas dan tahniah kepada penerima anugerah APC 2019.

Beliau berkata kecemerlangan yang telah ditunjukkan pada tahun 2019 perlu dipertingkatkan dengan nilai tambah dan “WOW Factor”. Puan Khaziyati menekankan tentang 8 prinsip kerja Pengarah yang diakronimkan sebagai OBEDIENT untuk diserapkan dalam karakter kerja buat warga pendidikan di Labuan.

OBEDIENT membawa maksud Outcome based, Believe, Efficient, Data Driven, Innovative and Creative, Effective, Now, Thinker.

Seramai 120 orang warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan 7 orang dari Kolej Vokasional W.P Labuan menerima APC 2019 yang berlangsung di salah sebuah hotel di Labuan.

Encik Raisin Saidin menyampaikan sijil APC kepada Ustaz Azwan (SK Sungai Bedaun) sambil diperhatikan oleh Puan Khaziyati (kanan), Tuan Haji Abdul Rahman (kiri) dan Puan Cornelea (2 kanan)

Foto Oleh : Mohd Firlii Firzuan Lee




SMK Mutiara Terima Kunjung Bantu Sektor Pembelajaran

Labuan – Seramai 9 pegawai daripada Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah membuat sesi kunjung bantu dan konsultansi ke SMK Mutiara pada Jumaat lalu.

Rombongan yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Unit Teknologi dan Vokasional Encik Mohd Al-Ghaffar bin Mohamad Maidin telah memulakan sesi kunjung bantu secara kaunter terbuka bermula jam 8.30pagi.

Menurut Encik Al-Ghaffar, sesi kunjung bantu ini melibatkan beberapa aspek bimbingan iaitu susunan jadual waktu dalam tempoh PKPP, penjajaran semula Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) dan penjajaran semula kurikulum. Selain itu, bimbingan pedagogi dan pengurusan panitia turut menjadi fokus bimbingan.

“Kita bertanggungjawab memastikan pembelajaran di sekolah berjalan lancar walaupun dalam tempoh PKPP. Cabaran sudah pasti berbeza namun kurikulum pembelajaran mesti disampaikan kepada murid terutamanya calon-calon tingkatan 5 yang bakal menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi” katanya lagi.

Dr. Hyginus dan Puan Siti Zaharah, SISC+ bahasa sedang menjelaskan penjajaran semula kurikulum kepada Cikgu Siti Khadijah
Cikgu Mary Bong dibimbing oleh SISC+. Cik Juraidah Aman

Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim mengalu-alukan kehadiran dan bimbingan yang dibuat oleh pegawai-pegawai daripada SPb.

“Semua guru perlu mengambil peluang ini untuk mendapatkan maklumat, nasihat dan bimbingan berkaitan bidang tugas masing-masing. Semoga dengan bimbingan ini guru-guru SMK Mutiara dapat meningkatkan kualiti penyampaian terutamanya dari aspek pedagogi di dalam bilik darjah” tambah beliau lagi.

Pegawai-pegawai Sektor Pembelajaran turut dibawa untuk melawat ke bilik-bilik darjah. SISC+, Dr. Hyginus Junior Lee melahirkan rasa gembira kerana sepanjang pemerhatiannya semua guru dan murid menjalani proses pengajaran dan pembelajaran dalam suasana yang harmoni walaupun dalam tempoh PKPP.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Pengetua (tengah) sedang berbincang dengan Puan Siti Zahara



Pembentangan Penetapan KPI Pencapaian Bahasa Melayu dan Sejarah SPM 2020 Membuka Peluang Perkongsian Antara Sekolah

Labuan, 14 Ogos – Pencapaian Layak Sijil SPM merupakan satu agenda penting dalam pendidikan di peringkat menengah. Pencapaian ini akan menentukan halatuju murid-murid terutamanya untuk membolehkan mereka menyambung pelajaran ke peringkat tertier.

Menyedari hakikat ini, Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah menganjurkan taklimat pembentangan dan penetapan KPI bagi dua mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan SPM tahun 2020 pada Rabu dan Khamis lepas.

Taklimat yang telah dihadiri oleh pengetua-pengetua dan guru-guru mata pelajaran berkenaan telah diadakan di Bilik Kiamsam, Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) Sungai Lada.

Semua pengetua sekolah termasuk dari Kolej Vokasional telah membentangkan tahap pencapaian semasa (TOV), peningkatan sasaran operasi (OTI), prestasi sebenar (AR) dan sasaran jangkaan prestasi (ETR) bagi kedua-dua mata pelajaran berkenaan.

Guru-guru yang hadir taklimat

Sesi pembentangan yang telah dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yusup bin Mohamad turut membincangkan secara terperinci murid-murid yang dikategorikan sebagai GALUS dan intervensi-intervensi yang bakal dilaksanakan bagi membantu murid berkenaan.

“Murid-murid GALUS perlu dibimbing dengan cara yang berbeza dengan murid-murid yang lain. Ramai dalam kalangan mereka terdiri daripada golongan B40 dan perlu diberi bantuan dari aspek jatidiri, motivasi dan kewangan” kata beliau.

Menurut beliau lagi, pengetua dan guru mesti mencari kaedah terbaik menyentuh hati murid-murid GALUS kerana kesediaan mental mereka adalah sangat penting sebelum pengisian pembelajaran.

YDP MPSM LABUAN, Encik Ismail Abdullah yang juga Pengetua SMK Labuan menyifatkan pembentangan ini telah membuka peluang perkongsian antara sekolah-sekolah menengah terutamanya dari aspek perancangan intervensi yang bersesuaian bagi sekolah masing-masing.

“Pihak sekolah mungkin boleh mengubahsuai dan menambahbaik intervensi yang dilaksanakan di sekolah lain berdasarkan keperluan sekolah masing-masing. Keutamaan kita ialah memastikan semua murid di wilayah ini layak mendapat sijil SPM dengan lulus dalam dua mata pelajaran utama iaitu Sejarah dan Bahasa Melayu” ujar beliau lagi.

Selepas sesi pembentangan, Encik Yusup telah merumuskan bahawa setiap sekolah perlu merancang dan melaksanakan intervensi berdasarkan situasi sekolah masing-masing. Keberkesanan intervensi perlu diukur secara objektif dengan lebih kerap tanpa perlu menunggu keputusan ujian atau peperiksaan.

Encik Yusup mempengerusikan Taklimat Penetapan KPI Mata Pelajaran

Beliau turut meminta pihak sekolah membuat perkongsian amalan terbaik intervensi yang telah menampakkan kesan dalam pembentangan akan datang yang turut melibatkan Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Puan Khaziyati binti Osman.

Turut hadir dalam taklimat pembentangan kali ini ialah pegawai-pegawai dari Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan W. P. Labuan termasuk SISC+.